Dulu kita ada perseteruan antara Mitsubishi dan Subaru dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC). Namun buat masa sekarang, persaingan yang sama terjadi antara dua jenama dari Asia iaitu Hyundai dan Toyota. Ketika berlumba, kedua-dua jenama berkenaan mungkin nampak seperti musuh, tetapi dengan perseturuan ini sebenarnya dapat merangsang adrenalin peminat dan juga mengekalkan momentum keseronokan dalam sukan permotoran.
Oleh itu, Hyundai Motor Company dengan kerjasama Toyota Motor Corporation mengumumkan kedua-dua jenama itu bakal melangsungkan satu acara sukan permotoran yang agak unik iaitu Hyundai N x Toyota Gazoo Racing Festival yang bakal diadakan di Everland Speedway, Yong-in, Korea Selatan pada 27 Oktober 2024 ini!
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, acara ini disasarkan untuk menonjolkan model-model prestasi dan juga kereta-kereta lumba dari kedua-dua jenama, serta dalam masa yang sama “memberikan peluang yang tidak ternilai terhadap pengalaman dunia sukan permotoran yang mengujakan” kepada pengunjung.
Antara aktiviti yang akan dijalankan sempena festival ini termasuk ‘Track Day’ serta pemanduan demonstrasi kereta rali dan pemandu rali sebenar dari pasukan lumba dan WRC kedua-dua jenama. Malah acara ini turut akan dihadiri oleh pengerusi eksekutif Hyundai Motor Group Euisun Chung dan juga pengerusi Toyota Motor Corporation iaitu Akio Toyoda yang terkenal dengan nama samaran ‘Morizo’ ketika terlibat dengan sebarang aktiviti pemanduan dan perlumaan.
Untuk sayap perlumbaan rasmi Hyundai iaitu Hyundai N, ia akan membawa jentera-jentera WRC termasuk i20 N Rally1 Hybrid dan i20 N Rally2 yang bakal dikemudi oleh pemandu WRC Hyundai Motorsport iaitu Thierry Neuville, Dani Sordo, dan Andreas Mikkelsen.
Jenama Korea itu juga akan menampilkan pemandu touring car yang kini bertanding dalam siri TCR iaitu Norbert Mischelisz dan Mikel Azcona yang akan memandu model-model produksi prestasi tinggi Hyundai N termasuk Ioniq 5 N dan Elantra N.
Manakala Toyota Gazoo Racing, ia akan menampilkan jentera-jentera lumba seperti GR Yaris Rally1 WRC, GR Yaris Rally2, GR Supra, GR86 dan juga lain-lain kereta rali dan model berprestasi tinggi. Antara pemandu yang akan membuat ‘persembahan’ mewakili jenama Jepun ini termasuk prinsipal pasukan dan bekas pemandu WRC TGR World Rally Team iaitu Jari-Matti Latvala, pemandu WRC Jepun Takamoto Katsuta dan juga ayahnya, Norihiko Katsuka yang merupakan juara Japan Rally Championship sebanyak sembilan-kali.
Festival ini juga akan menampilkan model-model konsep dan prototaip yang membayangkan masa hadapan kedua-dua jenama. Bagi Hyundai, ia akan membawa model ubahsuai Ioniq 5 N Drift Spec, Ioniq 5 N TA Spec yang kini memegang rekod di perlumbaan Pikes Peak di Amerika Syarikat, dan juga model konsep dengan kuasa hidrogen N Vision 74 yang baru-baru ini diumum bakal dihasilkan dalam bentuk produksi pada masa hadapan.
Manakala untuk Toyota, ia akan membawa kereta-kereta ubahsuai yang bergerak dengan enjin pembakaran dalaman menggunakan hidrogen yang dibangunkan oleh Toyota Gazoo Racing, termasuk Toyota Sprinter Trueno AE86 H2 Concept dan juga kereta lumba GR Corolla H2.
“Kami teruja untuk mengalu-alukan pasukan Toyota Gazoo Racing, pesaing kami dalam WRC, ke Korea”, kata Yeong Ho Lee, Naib Presiden Eksekutif, Bahagian Operasi Global Hyundai. “Acara ini akan menekankan persaingan sengit dan persahabatan yang wujud bersama dalam sukan permotoran dan merupakan peluang untuk menunjukkan semangat murni untuk kereta yang dikongsi oleh kedua-dua Hyundai dan Toyota, serta komitmen kami untuk mengembangkan lagi budaya sukan permotoran pada masa hadapan.”
“Kami gembira kerana Hyundai N dan Toyota Gazoo Racing, yang merupakan pesaing dalam sukan permotoran dunia, bekerjasama untuk mencipta peluang untuk menikmati budaya kereta lebih dari sukan permotoran”, kata Manabu Konyama, Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Toyota Motor Korea. “Toyota kekal komited untuk memajukan dan mengukuhkan budaya sukan permotoran,” tambahnya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.