Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mendedahkan sebanyak 41,005 daripada 49,598 saman yang dikeluarkan kepada pemandu warga asing dari tahun 2022 hingga November tahun lalu masih belum dijelaskan. Ia melibatkan tunggakan saman berjumlah lebih RM4.5 juta membabitkan kenderaan asing khususnya dari Singapura, laporan Harian Metro.
Jelas beliau, pemandu dari Singapura menjadi juara carta saman yang masih tertunggak ini dengan sejumlah 28,642 daripada 33,033 saman yang dikeluarkan dalam tempoh tersebut. Ia diikuti dengan pemandu Thailand sebanyak 7,725 saman dengan 6,589 belum dibayar.
Manakala Brunei berada di kedudukan ketiga negara dikenakan saman iaitu 5,917 dengan 3,721 saman belum dijelaskan dan Indonesia pula sebanyak 772 saman dan 585 belum dijelaskan.
“Lain-lain negara 2,151 saman dengan 1,468 belum dijelaskan lagi di mana daripada 49,598 saman dikeluarkan hanya 8,593 sahaja dijelaskan dalam tempoh tiga tahun itu. Pandu laju merekodkan kesalahan tertinggi dilakukan warga asing iaitu 33,226 saman, abai isyarat lalu lintas (4,576), halangan lalu lintas (3,514), potong Q (2,022) dan lain–lain kesalahan (8,370),” katanya.
Menurut Mohd Yusri lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JSPT melaksanakan operasi khas membabitkan kenderaan warga asing yang ingkar serta culas dalam menjelaskan saman.
“Sebanyak 14 Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) dilaksanakan bermula pada 2014 sehingga 2024 di negeri bersempadan dengan negara luar seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Antara negeri terbabit dalam pelaksanaan operasi ini adalah Johor (enam operasi), zon utara membabitkan negeri Perlis, Kedah dan Perak (empat operasi), Kelantan (dua operasi), Sarawak (satu operasi) dan Sabah (satu operasi).
“Semua operasi OSTWA dilaksana menggunakan punca kuasa undang-undang yang termaktub di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Polis 1967, Kanun Prosedur Jenayah dan juga arahan Pengarah JSPT,” katanya sambil menambah setiap lokasi sekatan jalan raya dilengkapi kemudahan kaunter bayaran saman yang mana memudahkan OKS menjelaskan tunggakan saman mereka.
Tambah beliau, bagi yang masih ingkar, tindakan mengikut undang-undang seperti dinyatakan akan diambil dengan membawa pesalah trafik ke mahkamah sehingga proses selesai.
“PDRM melalui JSPT membangunkan portal dan aplikasi MyBayar PDRM pada 2021. Portal dan ia dapat diakses secara 24 jam tidak hanya kepada warganegara Malaysia sahaja malahan boleh diakses warganegara asing, sekali gus menafikan alasan kepada mereka yang mempunyai saman tertunggak untuk tidak melunaskan tunggakan saman mereka,” katanya.
Katanya, portal serta aplikasi ini boleh diakses melalui laman sesawang https://mybayar.rmp.gov.my atau dimuat turun secara percuma di Google Playstore, Apple AppStore dan Huawei AppGallery. Selain menyediakan perkhidmatan transaksi atas talian tanpa caj tambahan, pengguna berdaftar boleh semak status dan butiran saman dikeluarkan.
Laporan sebelum ini pernah menyebut, JSPT akan mengemaskini data pesalah trafik warga asing melalui kaedah semak silang dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengenal pasti pemilik saman tertunggak. Mohd Yusri juga berkata, JSPT juga dalam perancangan melaksanakan penguatkuasaan saman di sempadan negara Malaysia-Singapura melalui sistem penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan dan PDRM.
Menurutnya lagi, menerusi pelaksanaan VEP ini, mana-mana kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dan melanggar undang- undang perlu membayar saman sebelum meninggalkan negara ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

