Perkara yang dijangka sudah pun berlaku – produksi dan jualan model sedia ada Proton Saga (dikenali sebagai MC2) bakal berakhir. Sama seperti pengakhiran produksi Iriz tempoh hari, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Proton, tetapi ia mula tular internet menerusi hantaran-hantaran yang dibuat oleh staf kilang menunjukkan pemasangan badan terakhir Saga sudah disiapkan pada Jumaat minggu lalu, sebelum ia dilengkapkan dengan layangan cat serta dipasang dengan komponen-komponen lain.
Saga merupakan model paling laris Proton, dan pengakhiran model MC2 ini akan disambung dengan model baharu yang sedang dibangunkan serta sehingga kini dirujuk sebagai MC3. Tahun lalu Proton sendiri telah mengesahkan bahawa produksi Proton Saga akan dipindahkan sepenuhnya ke fasiliti mereka di Tanjong Malim.
Ini bermakna kilang pertama Proton yang bersejarah terletak di Hicom Shah Alam berkenaan juga bakal ditutup sepenuhnya tidak lama lagi. Buat masa sekarang kilang tersebut hanya memproduksi Saga selepas penghasilan MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora dihentikan di kilang berkenaan dua tahun lalu.
Kilang tersebut mula beroperasi pada tahun 1985 di mana unit pertama Saga keluar dari barisan pemasangan fasiliti tersebut pada 9 Julai, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada 1 September tahun yang sama oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sejak dari unit pertama tersebut sehingga bulan Mei tahun lalu, Proton telah merekodkan lebih dua juta unit Saga terjual. Sedan ini juga menjadi model nombor empat paling laris di Malaysia tahun lalu dengan mencatatkan jualan sebanyak 69,863 unit sepanjang 2024. Manakala untuk tahun ini, rekod Proton menunjukkan bahawa sebanyak 44,676 unit telah terjual sehingga Ogos 2025.
Produksi Saga di Malaysia (ia juga ada dipasang di beberapa negara luar dengan kit CKD dihantar dari sini) kekal di Shah Alam tanpa di buat di fasiliti lain seperti di Pekan, Pahang mahupun di Tanjong Malim, Perak. Jadi sejarah mencatatkan bahawa kilang Proton Shah Alam ini bermula dengan Saga, dan ia turut berakhir dengan Saga sepanjang 40 tahun operasinya.
Rancangan Proton untuk berpindah sepenuhnya ke Tanjung Malim bukan sesuatu yang baharu kerana perkara itu sudah disebut ketika 2017 lagi. Ketika proses berkenaan dirancang untuk dilengkapkan selewat-lewatnya pada 2022, namun rancangan tersebut tergendala kerana berlakunya pendemik Covid-19 pada 2020.
Tarikh rasmi pelancaran Saga MC3 masih belum diumumkan oleh Proton, namun ia dijangka akan dibuat sebelum berakhirnya tahun ini. Ketika pelancaran kilang EV Proton di Tanjung Malim awal bulan ini, Proton telah menyiarkan video berkenaan Saga MC3 tersebut sebagai teaser rasmi pertamanya dengan mendedahkan pembangunan serta beberapa perincian dan juga rekaan sedan mampu milik yang dipertingkat itu.
Saga MC3 ini sah diasaskan dari platform AMA, iaitu platform yang diasaskan dari model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton sebelum ini dan diberikan pelbagai penambahbaikkan untuk kekal relevan dengan standard keselamatan serta teknologi model-model terkini dalam pasaran.
Dalam video tersebut, Proton mendedahkan bahawa pembangunan Saga ini bukan hanya di buat di Malaysia, malah ia turut dibangunkan bersama Geely menerusi Pusat Kajian dan Pembangunan Proton (PRDC) yang terletak di Hangzhou Bay dalam perkarangan kawasan yang sama dengan Zhejiang Geely Holding. Video tersebut turut memaparkan unit prototaip Saga MC3 yang diuji dalam cuaca bersalji di China, dan pembangunan keseluruhannya melibatkan 240 tenaga kerja dari Malaysia.
Beberapa rekaan Saga MC3 juga terdedah dalam video ini, antaranya rekaan lampu LED hadapan dengan gril baharu, lampu baharu belakang dengan lensa albino bersama grafik jalur LED serta bar lampu merentangi sepenuhnya penutup but belakang diinspirasikan dari Proton S70, serta papan pemuka dengan skrin infotainmen dan juga skrin paparan instrumental digital sepenuhnya yang bersambung.
Proton juga mengesahkan bahawa Saga MC3 ini akan dijana oleh enjin baharu yang dibekalkan oleh Geely. Perincian berkenaan enjin itu tidak disebut, tetapi sebelum ini ada tertiris maklumat bahawa Saga MC3 akan dibekalkan dengan satu pilihan enjin iaitu 1.5 liter NA, digandingkan dengan pilihan transmisi automatik empat-kelajuan 4AT atau CVT automatik bergantung pada varian.
Kami menjangkakan enjin yang digunakan tersebut adalah enjin 1.5 liter NA beroperasi dengan sistem suntikan bahan api port (PFI) dikenali dengan kod BHE15PFI, iaitu enjin Geely yang dibangunkan oleh Aurobay. Enjin ini telahpun digunakan oleh Proton pada X50 facelift 2025 tetapi dalam varian suntikan bahan api terus dan disuap pengecas turbo, dikenali dengan kod BHE15TD. Lebih perincian berkenaan enjin BHE15 ini boleh anda baca pada PAUTAN INI.
Model Saga yang dipertingkatkan ini juga disahkan menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi termasuk pemantau titik buta dan juga brek kecemasan automatik. Dalam video ini juga nampaknya Saga MC3 telah mula diproduksi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.