Bagi yang ingin balik ke kampung atau ke mana-mana destinasi menggunakan lebuhraya utama sempena cuti perayaan Deepavali yang bakal disambut pada 20 Oktober 2025, ini ada berita baik untuk anda. Kerajaan telah bersetuju untuk meluluskan diskaun tol sebanyak 50% selama dua hari. Perkara ini diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2026 petang ini.
Kementerian Kerja Raya (KKR) pula memaklumkan pemberian diskaun tol sebanyak 50% ini adalah bagi kenderaan Kelas 1 (Kelas 2 di Jambatan Pulau Pinang) sahaja bermula jam 12.01 tengah malam pada 18 Okt 2025 (Sabtu) dan berakhir jam 11.59 malam, 19 Okt 2025 (Ahad).
Dan seperti kelazimannya, diskaun tol ini melibatkan semua plaza tol KECUALI di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
“Kerajaan akan menanggung implikasi kewangan yang dianggarkan sebanyak RM19.86 juta bagi membayar pampasan kepada semua syarikat konsesi lebuhraya bertol berikutan pemberian diskaun tol 50% kepada rakyat bersempena musim Perayaan Deepavali ini,” kata KKR menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

