CFMoto 250 SR Lite dilancar – enjin 250 cc 27 hp, tork 22 Nm, ABS dual-channel, meter LCD, harga RM9,988

Bersempena dengan minggu MotoGP di Litar Sepang hari ini, MForce Bike Holdings Sdn Bhd melancarkan CFMoto 250 SR Lite yang dijual pada harga RM9,988 tidak termasuk insurans dalam pilihan tiga warna iaitu Zephyr Blue, Nebula Black dan Gem Black.

Model sports dengan fairing penuh ini dipacu oleh enjin satu silinder DOHC penyejukan cecair, digabungkan bersama transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa 27 hp pada 9,750 rpm dan tork 22 Nm pada 7,250 rpm.

Sebagai sebuah model permulaan, 250 SR Lite menggunakan kelengkapan yang ringkas sahaja, termasuk fork teleskopik di hadapan, monoshock di belakang serta rim 17 inci yang dibalut masing-masing tayar 110/70 dan 140/60.

Sistem brek terdiri daripada unit cakera pada kedua-dua roda, dengan angkup dua piston di hadapan dan satu piston di belakang. Sistem ABS dual-channel diberikan secara standard.

Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk soket pengecas USB-C dan A, kesemua lampu jenis LED, tangki bahan api 12 liter serta meter digital LCD. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun tanpa had batuan.