Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah memeriksa sejumlah 27,300 buah kenderaan perdagangan menerusi Operasi Khas Perang Lebih Muatan di seluruh negara sejak 14 Oktober lalu
Daripada jumlah itu, sebanyak 1,017 kenderaan dikesan melakukan kesalahan membawa barangan melebihi muatan, manakala 1,696 pemandu dan pemilik kenderaan telah dikenakan tindakan saman, kata Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli.
“Pada masa sama, 96 buah lori turut disita di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) atas kesalahan membawa barangan lebih muatan,” katanya lagi ketika sidang media Ops Perang Lebih Muatan di Plaza Tol Sungai Petani (Utara) malam tadi.
Tambah Aedy, pihaknya menegaskan bahawa tindakan serius akan diambil terhadap mana- mana pemandu, pemilik kenderaan atau syarikat pengangkutan yang gagal mematuhi peraturan dan had muatan yang telah ditetapkan.
Dalam hal ini, JPJ komited untuk terus mempergiat aktiviti penguatkuasaan, pemantauan dan pendidikan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya, infrastruktur awam terpelihara serta tahap pematuhan undang-undang dalam industri pengangkutan terus dipertingkatkan.
Pada 14 Oktober lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa JPJ telah memulakan operasi penguatkuasaan bersepadu sehingga 31 Disember 2025 yang disifatkan sebagai “pengisytiharan perang” terhadap kesalahan membawa muatan lebih melibatkan kenderaan perdagangan.
Katanya, operasi penguatkuasaan bersepadu itu dilaksanakan meliputi lima zon utama, iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo, di mana tindakan penguatkuasaan itu merupakan langkah tegas untuk mengekang sikap sambil lewa dan ketidakpatuhan dalam kalangan pengusaha, serta pemandu kenderaan perdagangan yang membawa lebih muatan dan melanggar undang-undang jalan raya.
Selain dari operasi bersepadu, Loke turut mengarahkan JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melaksanakan kerangka pentadbiran baharu bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap syarikat pengendali kenderaan perdagangan berisiko tinggi.
Dengan kerangka tersebut, pesalah berulang bukan sahaja akan dikenakan saman oleh JPJ, tetapi permit kenderaan atau lesen pengendali syarikat turut boleh digantung atau dibatalkan oleh APAD.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

