Pembinaan Projek LRT Laluan Mutiara di Pulau Pinang akan diteruskan walau pun sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina (CNY) dan Hari Raya Aidilfitri. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata tiada sebarang kelewatan boleh berlaku kerana garis masa yang sangat ketat diperlukan untuk menyiapkan projek itu menjelang Disember 2031.
Beliau berkata, Pelan Pengurusan Trafik (Traffic Management Plan, TMP) terperinci bagi mengurangkan impak kesesakan susulan pembinaan terbabit telah diluluskan pada 14 Oktober lalu dan kini sedang dilaksanakan secara berperingkat mengikut lokasi.
“TMP yang disediakan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation (MRTC) mensyaratkan pelan mitigasi trafik di setiap lokasi stesen dari George Town hingga Permatang Damar Laut. Pelaksanaan TMP dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2030 yang mana kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada Januari 2026. Sasaran keseluruhan projek siap pada Disember 2031.
“Kerja-kerja pembinaan akan diteruskan seperti dirancang, termasuk sepanjang musim perayaan seperti Tahun Baru Cina (Februari) dan Hari Raya Aidilfitri (Mac). Walaupun tidak boleh ditangguhkan kerana jadual yang padat, pelaksanaan TMP pada musim perayaan akan disusun dengan teliti bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.
Tambah beliau, kerja-kerja pembinaan bermula Januari tahun hadapan masih tidak melibatkan sebarang penutupan jalan. Pengguna jalan raya boleh menyemak aplikasi navigasi seperti Waze untuk mendapatkan maklumat trafik masa nyata bagi merancang perjalanan.
Walau bagaimana pun, menurut Zairil lagi, langkah mitigasi akan dilaksanakan oleh MRT Corp untuk meminimumkan impak terhadap trafik sedia ada, memastikan pergerakan kenderaan yang lancar dan meningkatkan kecekapan aliran trafik di kawasan-kawasan utama sepanjang tempoh pembinaan LRT Laluan Mutiara. “MRT Corp juga akan menyediakan laluan alternatif dan lencongan trafik sebagai sebahagian daripada TMP yang diluluskan, yang akan disemak dan diperhalusi setiap bulan bagi perancangan seterusnya,” jelasnya.
SRS Consortium selaku kontraktor bagi Pakej Kontraktor Utama Awam 1 (CMC1) berkata Jalan Magazine, persimpangan di hadapan Sunny Point di Batu Uban, dan Jalan Sultan Azlan Shah di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas merupakan lokasi yang dijangka paling terjejas oleh kerja-kerja pembinaan.
Jajaran LRT Laluan Mutiara dianggarkan lebih kurang 29.5 kilometer dan bakal memiliki 21 stesen termasuk satu stesen provisional di Pulau Reklamasi Selatan Pulau Pinang dan dua stesen pertukaran iaitu di Stesen KOMTAR dan Stesen Penang Sentral. LRT Laluan Mutiara ini akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke KOMTAR dan seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai untuk memberi ketersambungan kepada rangkaian kereta api KTM Komuter dan ETS sedia ada.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

