Sebelum ini ada desas-desus yang menyatakan bahawa Xpeng P7 bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia pada tahun ini. Namun ketika kami bertanya kepada Xpeng Motors sendiri semasa berkunjung ke ibu pejabatnya di Guangzhao kelmarin, wakil syarikat berkenaan berkata ada kemungkinan besar model ini sedikit lewat tiba di pasaran kita. Dan mereka merancang untuk memperkenalkan model SUV bersaiz besar (kami jangkakan ia sama ada GX atau pun G9) terlebih dahulu iaitu pada suku ketiga (Q3) atau keempat (Q4) tahun ini.
Walau bagaimana pun, dalam masa yang sama, Xpeng turut mengesahkan akan mempertontonkan P7 serba baharu ini di acara KLIMS 2026 yang bakal berlangsung pada Jun ini di MITEC. Namun difahamkan P7 yang bakal dipertontonkan di KLIMS 2026 adalah versi pemanduan sebelah kiri (LHD).
Sebelum ini, ada perkhabaran menyatakan bahawa Xpeng bakal memperkenalkan P7+ untuk pasaran ASEAN termasuk Malaysia. Cuma buat masa ini, belum dipastikan sama ada P7 serba baharu atau pun P7+ (Xpeng berkata, buat masa ini tiada rancangan untuk memproduksikan versi LHD dan ia disasarkan untuk pasaran Eropah sahaja).
Selain Xpeng P7, turut bakal memeriahkan booth jenama ini di KLIMS 2026 kelak ialah kereta terbang Xpeng X2 dan juga robot IRON. XPeng X2 ialah kenderaan terbang elektrik (eVTOL) yang dibangunkan oleh anak syarikat XPeng AeroHT di bawah XPeng Motors. Ia dibangunkan sebagai pengangkutan bandar jarak dekat, penerbangan autonomi (tanpa pemandu) dan penggunaan peribadi.
IRON pula merupakan robot humanoid (berbentuk manusia) yang dibangunkan oleh XPeng Motors sebagai sebahagian daripada visi mereka dalam AI dan “future mobility” — bukan sekadar kereta, tapi robot serta kereta terbang. Diperkenalkan pada tahun 2024, IRON direka untuk bergerak, berfikir, dan berinteraksi seperti manusia dan ia juga “human-like robot” paling realistik setakat ini.
Ia berketinggian 178 cm dan seberat 70 kg serta mempunyai antara 60 hingga 82 sendi (degrees of freedom) yang sangat fleksibel. Ia memiliki tangan 22 DOF yang boleh memegang objek kecil termasuk telur dan otaknya dibantu oleh kecerdasan buatan AI dengan tiga cip Turing, serta memiliki sistem Vision 720° yang membolehkannya nampak sekeliling.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

