Hyundai Stargazer bakal didedahkan di KLIMS 2026?

Hyundai Stargazer bakal didedahkan di KLIMS 2026?

Awal tahun ini Hyundai Motors Malaysia (HMY) sudahpun mengesahkan bahawa ia akan membawa Stargazer ke pasaran tempatan, dan dijadualkan akan dilancarkan pada suku ke-4 nanti. Namun malam tadi MPV segmen-B berkenaan muncul dalam satu hantaran Facebook rasmi HMY – mungkin sebelum dilancarkan secara rasmi, Stargazer akan didedahkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2026 yang akan belangsung minggu hadapan terlebih dahulu?

Hyundai Stargazer membuat kemunculan sulung globalnya pada 2022, dengan diperkenalkan di pasaran Indonesia untuk berhadapan dengan model-model seperti Mitsubishi Xpander, Honda BR-V dan juga kembar Perodua Alza iaitu Toyota Veloz/Daihatsu Xenia. Ia merupakan MPV tujuh-tempat duduk yang dihasilkan dengan dimensi 4,460 mm panjang, 1,780 mm lebar, 1,695 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,780 mm.

Seperti pesaing-pesaingnya yang lain, Stargazer digerakkan dengan enjin 1.5 liter Smartstream NA empat-silinder MPI yang menghasilkan kuasa 115 PS dan tork maksima 143.8 Nm, digandingkan dengan transmisi IVT dan memacu hanya roda hadapan.

Di Indonesia Stargazer telahpun diperkenalkan dalam versi facelift pada Julai tahun lalu, dikenali sebagai Stargazer Cartenz. Model facelift ini menampilkan perubahan rupa luaran yang ketara, terutamanya bahagian hadapan dengan bonet lebih panjang, lampu utama yang diletakkan lebih tinggi serta lampu nyalaan siang berbentuk ‘H’. Gril hadapan kini lebih besar dengan corak segi empat, manakala bahagian apron bawah tampil lebih agresif. Di belakang, lampu turut menerima sentuhan rekaan serupa.

Selain Hyundai Stargazer Cartenz standard, MPV ini turut ditawarkan dalam versi yang lebih lasak seperti SUV dikenali sebagai Stargazer Cartenz X di pasaran negara tersebut. Ia dijual pada harga 269.9 juta rupiah (sekitar RM70,000) sehingga 350.4 juta rupiah (RM91,000), manakala Cartenz X dijual antara 361.9 juta rupiah (RM94,000) hingga 391.9 juta rupiah (RM101,000).

Untuk pasaran Malaysia, buat masa sekarang HMY masih belum menyebut sebarang perincian berkenaan spesifikasi yang bakal diberikan, malah sebarang bayangan harga juga masih belum didedahkan. Mungkin jika ia muncul di KLIMS 2026 kelak beberapa perincian penting akan diumum terlebih dahulu?

GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz di GIIAS 2025

GALERI: Hyundai Stargazer Cartenz X di GIIAS 2025

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Sell your car, get paid in 24 hours

Renew your car insurance with us, 10% discount!

Use the promo code 'PAULTAN' when you checkout for 10% discount!

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required