Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lori treler dipandu lawan arus, pemandu ditahan polis

    Rasa macam nak gugur jantung tengok video di atas ini. Pada pagi 8 November lalu, pengguna Facebook Calvin Shung sedang memandu di Lebuhraya Pan Borneo berhampiran Papar, Sabah apabila dia terserempak dengan sebuah lori treler meluncur laju ke arahnya di selekoh, yang melawan arus di laluan sehala dengan dua lorong itu.

    Nasib baik, dia (serta van di hadapannya) sempat mengelak ke tepi bagi mengelak daripada bertembung dengan lori treler terbabit. Cukup mengerikan kalau membayangkan bahaya yang menanti sekiranya berlaku pertembungan dan pelanggaran.

    Semalam Shung berkongsi rakaman video terbabit di laman Facebook, dan tag sekali Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis. Hari ini, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Papar berkongsikan berita di Facebook bahawa pemandu lori treler tersebut telah pun dijumpai dan ditahan.

    Bukan sekali dua insiden kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan dipandu melawan arus, dah banyak kali perkara sebegini dilaporkan. Namun jika ia melibatkan kenderaan berat termasuk lori treler sebegini, ia mampu mengundang bahaya yang lebih teruk malah lebih mengerikan sekiranya terlibat dengan kemalangan. Sudahlah melawan arus, kenderaan dipandu laju pulak tu.

    Itu sebabnya penting adanya dashcam atau kamera pemuka di dalam kenderaan, kerana ia boleh dijadikan bahan bukti sekiranya berlaku kejadian sebegini. Menerusi rakaman tersebut, nombor plat pendaftaran lori terbabit turut jelas kelihatan, membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan yang lebih pantas. Apa pun, tolonglah terus memandu berhati-hati, fokus dan amalkan pemanduan berhemah.

     
     
  • Mercedes-Benz buka hab logistik serantau di Johor – bekalkan komponen alat ganti untuk Asia Tenggara

    Mercedes-Benz buka hab logistik serantau di Johor – bekalkan komponen alat ganti untuk Asia Tenggara

    Mercedes-Benz telah melancarkan Pusat Logistik Serantau Malaysia (RLCM) yang baharu di Senai Airport City, Johor. Pusat ini dioperasikan oleh Mercedes-Benz Parts Logistics Asia Pacific (MBPLAP) dan ia dijangka bakal memberikan khidmat selepas servis yang lebih baik dan efisien merentasi 20 negara dalam rantau Asia-Pasifik, selari dengan komitmen syarikat itu bagi menjadikan Malaysia sebagai hab logistik strategik.

    “RLCM Mercedes-Benz di Johor menandakan satu peristiwa penting dalam pembangunan ekonomi negeri kita, (mengukuhkan) peranan Johor sebagai hab logistik utama di Asia Tenggara, (memupuk) pembangunan bakat dan (menyediakan) peluang kerjaya yang berharga untuk rakyat kita,” kata menteri besar Johor Dato’ Onn Hafiz Ghazi.

    “Perasmian Mercedes-Benz (RLCM) menandakan pencapaian penting yang menyumbang kepada matlamat negara untuk menjadi Hab Perkhidmatan Global menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12). (Ia) bukan sahaja menarik pelaburan peringkat atasan tetapi juga mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di kalangan rakyat Malaysia,” kata CEO Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid.

    Mercedes-Benz buka hab logistik serantau di Johor – bekalkan komponen alat ganti untuk Asia Tenggara

    Dengan modal berbayar sebanyak RM189 juta, Mercedes-Benz merancang untuk meningkatkan pelaburan rantaian nilainya sehingga RM1.5 bilion menjelang 2035. Komitmen berterusan ini akan memacu pertumbuhan kemudahan melalui fasa, membolehkan jenama itu menyokong pengembangan perniagaan masa depan dan meningkatkan kapasiti logistik secara signifikant.

    “Pelaburan kami di Malaysia menggariskan komitmen kami terhadap perkhidmatan pelanggan yang luar biasa di seluruh Rantau Asia Pasifik dan menyerlahkan kepentingan strategik Malaysia sebagai hab logistik. Pusat (RLCM) baharu ini adalah salah satu projek logistik Mercedes-Benz yang paling penting dalam dekad lalu, mengukuhkan dedikasi kami terhadap pertumbuhan ekonomi dan kemampanan Malaysia,” kata CEO MBPLAP Jan Fischer.

    Pusat dengan keluasan melebihi sejuta kaki persegi ini akan mengedarkan alat ganti, aksesori, peralatan bengkel dan sebagaiya untuk barisan model kereta dan van penumpang Mercedes-Benz secara serantau. RLCM ini juga merupakan gudang yang canggih beroperasi dengan sistem pengurusan gudang bina-dalam, menampilkan teknologi seperti forklift tanpa pemandu, robot pembersih, pengimbas mudah alih, stesen bekerja bergerak dan sistem Very Narrow Aisle yang menjimatkan ruang.

    Akan datang, pusat ini turut dirancang akan dilengkapi sistem penyimpanan berautomasi, dron, dan pengimbas dimensi bagi meningkatkan kadar automosi. Dan selari untuk menyokong sasaran global Mercedes-Benz bagi mencapai neutraliti karbon menjelang 2039, fasiliti ini turut bakal menjana tenaga boleh diperbaharui menerusi sistem fotovoltan dan mensasarkan untuk mendapat pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI).

    Mematuhi dasar alam sekitar jenama, RLCM baharu di Johor ini memantau penggunaan tenaga dengan teliti dan melaksanakan langkah balas seperti yang diperlukan, selain mengumpul dan melaporkan data alam sekitar termasuk metrik sisa dan air. Ia juga memenuhi standard ISO 9001 untuk Pengurusan Kualiti dan ISO 14001 untuk Pengurusan Alam Sekitar.

     
     
  • RXZ Twin Boss V2 buatan Malaysia akan ke Jepun – dua enjin dua lejang, bersaing di pentas antarabangsa

    RXZ Twin Boss V2 buatan Malaysia akan ke Jepun  – dua enjin dua lejang, bersaing di pentas antarabangsa

    Semasa acara Art of Speed 2024 yang berlangsung Julai lalu, salah satu pertandingan yang dianjur, iaitu Invitational Bike Build Off menyaksikan RXZ Twin Boss hasil tangan Irwan Cheng dari FNGWorks membolot kedua-dua anugerah pilihan pengunjung dan juga juri.

    Selain membawa pulang wang tunai RM5,000, satu lagi hadiah yang diberi kepada Irwan adalah perjalanan ke Jepun untuk bertanding di Yokohama Hot Rod Custom 2024. Bukan beliau sahaja yang akan ke sana, tetapi juga motosikal yang menjadi bualan ramai tersebut.

    Lihat sahaja pada motosikal ini kita sudah tahu ia adalah sebuah jentera kustom, tetapi yang menjadikannya lebih dekat kepada pemain motosikal di Malaysia adalah penggunaan enjin daripada Yamaha RXZ. Pergi satu tahap lebih tinggi lagi, bukan setakat satu enjin, tetapi dua, digabungkan menjadi satu.

    Sebenarnya, ini bukan kali pertama Irwan menghasilkan sebuah jentera kustom yang menggunakan dua enjin RXZ. Ia pertama kali didedahkan pada tahun 2017, sebagai satu projek untuk dijadikan hadiah kepada pengunjung bertuah Art of Speed tahun itu.

    Sementara RXZ Twin Boss V1 itu menggunakan dua enjin RXZ yang diletakkan berasingan secara menegak, model versi kedua ini pula menyaksikan dua enjin itu digabungkan pada bahagian crank case secara melintang. Tiada ubah suai besar dibuat pada bahagian head dan blok selain memperkemaskan perinciannya.

    Setelah enjin siap, barulah Irwan memulakan proses pembuatan sebuah motosikal dengan menetapkan jarak roda yang dimahukan, diikuti kerangka dan bahagian-bahagian lain. Tangki dan tempat duduk kini merupakan satu unit, dengan menurut Irwan, proses penghasilannya “sangat organik, tanpa perancangan tertentu.”

    RXZ Twin Boss V2 buatan Malaysia akan ke Jepun  – dua enjin dua lejang, bersaing di pentas antarabangsa

    Antara bahagian menarik lain yang diubah suai oleh Irwan antaranya adalah rim belakang, yang diambil daripada rim kereta, dibuang bahagian tengahnya, dan kemudian ditebuk untuk dipasangkan dengan spoked serta hab yang diambil daripada Yamaha 125Z.

    Motosikal ini cuma mempunyai sistem serapan di hadapan sahaja, sementara di belakang, kedudukannya adalah kejur (rigid), dengan roda belakang disambungkan kepada plet besi yang dipotong menggunakan grinder pegangan tangan, dan bukannya mesin.

    Bahagian hadapan nampak kosong kerana ia tidak mempunyai brek (cuma motosikal pameran) dan di bahagian pemegang ia menggunakan kabel tersembunyi untuk pendikit dan juga klac. Karburator menggunakan dua unit 28 mm daripada Uma Racing.

    Bagi menjadikan perjalanan Irwan ke Jepun lebih istimewa, pihak Art of Speed juga akan menghasilkan filem pendek enam bahagian seakan dokumentari, yang merakam pengembaraan Irwan bermula dari Malaysia hinggalah ke Jepun, bertajuk “RXZ Balik Kampung.”

    Selain disiarkan melalui pelbagai platform Art of Speed, filem pendek ini juga akan dihantar untuk bertanding dalam beberapa festival filem antarabangsa seperti Motorcycle Film Festival (Kanada), VAHNA Motorcycle Film Festival (USA) dan Dubai Motorcycle Film Festival (Dubai).

     
     
  • Chery Auto rai EV pertamanya yang dipasang di Malaysia, Omoda E5 CKD di Kilang Inokom, Kulim

    Chery Auto rai EV pertamanya yang dipasang di Malaysia, Omoda E5 CKD di Kilang Inokom, Kulim

    Selari dengan perancangan, Chery Auto Malaysia hari ini mengumumkan bahawa ia telah pun memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi model EV Omoda E5, dan unit pertama tersebut telah pun berjaya keluar dari barisan pengeluaran Kilang Inokom di Kulim, Kedah.

    “Dengan pengeluaran unit CKD pertama Omoda E5 hari ini, ia adalah bukti dedikasi kami terhadap inovasi, kualiti, dan komitmen kami kepada pasaran Malaysia. Dengan memasang kereta kami secara tempatan, ia bukan sahaja membolehkan kami menawarkan harga yang lebih kompetitif tetapi juga menandakan komitmen jangka panjang Chery di Malaysia, memupuk penciptaan peluang pekerjaan dan pembangunan kemahiran dalam tenaga kerja tempatan,” kata Presiden Chery Auto Malaysia, Leo Chen.

    Beliau turut menambah bahawa inisiatif ini juga selaras dengan dasar pematuhan penyetempatan kerajaan dan akan menyokong serta membantu Malaysia menjadi hab serantau untuk kenderaan elektrik.

    Dato’ Jeffri Salim Davidson, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad pula berkata, pencapaian terbaharu ini penting bagi mencerminkan pengukuhan kerjasama dan visi yang dikongsi antara Sime Darby dan Chery.

    Chery Auto rai EV pertamanya yang dipasang di Malaysia, Omoda E5 CKD di Kilang Inokom, Kulim

    “Keupayaan kami merangkumi seluruh rantaian nilai automotif, dan perkhidmatan pemasangan adalah kawasan pertumbuhan yang penting serta pemacu utama untuk bahagian pemotoran kami. Kami berharap dapat mencapai lebih banyak kejayaan bersama ketika kami memperluas fasiliti kami dan menegaskan komitmen kami untuk memajukan penyelesaian mobiliti yang mampan,” katanya.

    Majlis perasmian line-off barisan pengeluaran Omoda E5 tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Liew Chin Tong.

    “Chery patut diberi pujian kerana 99% daripada tenaga kerja pemasangan mereka di sini adalah rakyat Malaysia,” katanya. “Industrialisasi Malaysia harus membawa kepada pekerjaan yang lebih baik dan gaji yang lebih tinggi untuk rakyat Malaysia, bukan lebih banyak pekerjaan untuk pekerja asing yang tidak mahir. Di mana sahaja yang mungkin, kita harus mengautomasi lebih banyak dan menggunakan lebih banyak teknologi, bukannya menggaji pekerja asing yang tidak mahir.”

    Beliau turut menambah bahawa sehingga 30 September 2024, sebanyak 32,543 Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) telah didaftarkan di jalan raya Malaysia, namun 98% daripadanya merupakan unit yang dibawa masuk secara diimport sepenuhnya (CBU).

    Chery Auto rai EV pertamanya yang dipasang di Malaysia, Omoda E5 CKD di Kilang Inokom, Kulim

    “Dengan majlis line-off ini, Chery menyertai jenama-jenama lain yang memasang EV di Malaysia, menandakan satu kemajuan besar dalam usaha melokalkan pengeluaran kenderaan elektrik. Penyetempatan sebanyak mungkin dalam aspek pembuatan kenderaan mempunyai dimensi imbangan pembayaran. Pada tahun 2023, sektor automotif mencatatkan jumlah nilai import sebanyak RM62.14 bilion, manakala nilai eksport keseluruhan ialah RM18.01 bilion,” tambahnya lagi.

    Chery Auto Malaysia tidak mengumumkan sebarang perubahan spesifikasi mahupun harga untuk Omoda E5 CKD ini. Ketika dilancarkan pada pasaran tempatan Mac lalu, Omoda E5 ditawarkan dalam varian tunggal, dijual pada harga atas jalan bermula RM146,800.

    Ia digerakkan menerusi motor elektrik tunggal berkuasa 205 PS dan tork 340 Nm yang hanya memacu roda hadapan, menerima bekalan kuasa dari bateti litium logam fosfat yang dibekalkan BYD berkapasiti 61 kWj. Ini membolehkan ia bergerak sejauh 430 km dalam kitaran ujian WLTP, dan menyokong pengecas pantas DC sehingga 80 kW serta pengecas AC 9.9 kW.

     
     
  • Royal Enfield Bear 650 didedah – gaya scrambler, enjin dua silinder selari SOHC 47 hp, meter TFT empat inci

    Royal Enfield Bear 650 didedah – gaya scrambler, enjin dua silinder selari SOHC 47 hp, meter TFT empat inci

    Royal Enfield memperkenalkan sebuah lagi model baru dari barisan 650, dipanggil sebagai Bear 650. Ia sebenarnya menggunakan asas yang sama dengan Interceptor 650, tetapi perkakasannya diubah untuk menjadikannya sebagai sebuah motosikal bergaya scrambler.

    Antara yang berbeza adalah lampu hadapan, yang lebih nipis dan merupakan unit LED, fender hadapan lebih pendek, fender belakang melengkung, tempat duduk yang naik ke atas di belakang serta ekzos yang kini cuma tinggal satu di sebelah kanan bagi Bear 650.

    Kemudiannya model ini juga menerima kelengkapan lebih moden, termasuk panel meter TFT berbentuk bulat yang boleh disambung kepada telefon pintar dan memaparkan navigasi. Kemudiannya bahagian suspensi dinaik taraf dengan fork Showa USD 43 mm di hadapan, sementara di belakang masih menggunakan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban.

    Sesuai dengan motif untuk menjadikannya lebih lasak, Bear 650 dipasang dengan rim spoked bersaiz 19 inci di hadapan, dengan tayar 100/90 di hadapan, sementara di belakang menggunakan unit 17 inci dengan tayar 140/80. Brek masih lagi unit cakera tunggal 320 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan 270 mm dengan angkup satu piston di belakang – lengkap dengan sistem ABS dual-channel.

    Menggerakkan Bear 650 ini adalah enjin sama seperti Interceptor 650 dan Super Meteor 650, iaitu unit dua silinder selari SOHC yang berkuasa 47 hp, tetapi tork telah bertambah 5 Nm menjadi 57 Nm pada 5,150 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan.

    Perincian lain Bear 650 adalah termasuk tangki bahan api 13.7 liter, berat keseluruhan 216 kg serta semua lampu jenis LED. Di India, ia ditawarkan pada harga bermula 339,000 rupee (RM17,720), iaitu sedikit lebih tinggi berbanding Interceptor yang dijual pada harga bermula 321,000 rupee (RM16,780). Di Malaysia, Interceptor 650 dijual pada harga bermula RM33,700.

     
     
  • Lebih 20 pemilik baru MG5 dirai dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di MG Motor Glenmarie

    Lebih 20 pemilik baru MG5 dirai dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di MG Motor Glenmarie

    SAIC MOTOR Malaysia telah meraikan lebih dari 20 pemilik baharu untuk sedan MG5 dalam satu majlis penyerahan yang dibuat di MG Motor Glenmarie, iaitu salah satu dari 18 pengedar MG di Malaysia, diuruskan oleh Mega Galeri Sdn Bhd.

    “MG5 benar-benar menonjol dalam segmen pembeli yang mengutamakan gaya dan keperibadian, dan kami sangat teruja untuk meraikan kejayaan ini bersama pelanggan kami,” kata COO SAIC Motor Malaysia Lee Wen Hsiang.

    “Menerusi acara seperti ini, kami dapat berinteraksi secara langsung dengan pelanggan kami, mendengar maklum balas mereka dan mengumpul pandangan bermakna tentang tahap kepuasan mereka. Hubungan berterusan dengan pelanggan kami ini bukan sahaja membantu kami meningkatkan perkhidmatan kami tetapi juga mengukuhkan masyarakat yang bersatu dengan semangat MG,” tambahnya.

    Lebih 20 pemilik baru MG5 dirai dalam satu majlis penyerahan yang diadakan di MG Motor Glenmarie

    MG5 merupakan pendatang baharu dalam pasaran sedan segmen-B tempatan yang didakwa paling besar dalam kelasnya, dilancarkan awal bulan lalu. Ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, dalam hanya satu varian, ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM93,900, namun buat masa sekarang SAIC Motor menawarkan rebat sebanyak RM7,000 bagi membolehkan ia dijual pada harga promosi RM86,900.

    Ia dijana oleh enjin 1.5 liter empat-silinder NA berkuasa 115 PS dan tork maksima 150 Nm, digandingkan dengan kotak gear CVT yang diberikan lapan-kelajuan maya. Kami sudahpun memandu uji model ini dan anda boleh baca laporannya pada PAUTAN INI.

     
     
  • Pas bulanan My50 bakal terima pilihan pembayaran alternatif tahun depan, tidak lagi guna MyKad – Loke

    Pas bulanan My50 bakal terima pilihan pembayaran alternatif tahun depan, tidak lagi guna MyKad – Loke

    Mulai tahun hadapan, pengguna pas perjalanan bulanan My50 tanpa had tidak perlu lagi menggunakan MyKad mereka, kerana pilihan pembayaran alternatif akan diperkenalkan. Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, pihak pemegang saham sedang merancang kaedah pembayaran baharu.

    Ini termasuk penggunaan kad Touch ‘n Go (TnG) dan kod QR dalam telefon bimbit, laporanNew Straits Times. “Apabila proses integrasi sistem selesai, pengguna akan dapat menggunakan kad Touch ‘n Go atau akses melalui telefon pintar mereka, menggunakan kod QR. Ini adalah butiran yang sedang kami usahakan,” katanya.

    Beliau berkata perubahan itu sedang dibuat kerana pengguna telah menyuarakan bahawa menggunakan MyKad adalah menyusahkan apabila melibatkan pengangkutan awam. “Mereka tidak suka menggunakan MyKad mereka setiap kali untuk mengimbas, bimbang ia mungkin terhilang,” katanya. Beliau menambah secara tidak langsung, langkah itu juga akan memajukan pendigitalan sistem pengangkutan awam negara.


    Diperkenalkan pada 2019, My50 ialah pas perjalanan tanpa had yang menawarkan rakyat Malaysia perjalanan tanpa had selama 30 hari untuk pengangkutan awam kendalian Rapid KL iaitu LRT, MRT, monorel, BRT, bas Rapid KL dan perkhidmatan bas pengantara MRT di Lembah Klang dengan bayaran hanya RM50 sebulan.

    Loke berkata secara purata, terdapat kira-kira 220,000 pengguna bulanan My50 pada masa ini, berbanding hanya 98,000 pada 2019, sekaligus menonjolkan popularitinya. “Dalam tempoh lima tahun sahaja, bilangan pengguna pas My50 meningkat dua kali ganda, menunjukkan inisiatif ini telah menarik lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam,” katanya.

     
     
  • Honda HR-V 2025 facelift di Thailand — lampu tinggi adaptif, kit tambahan, hanya e:HEV; dari RM116k

    Honda HR-V 2025 <em>facelift</em> di Thailand — lampu tinggi adaptif, kit tambahan, hanya e:HEV; dari RM116k

    Dua bulan selepas didedahkan di Thailand, Honda kini memperkenalkan secara rasmi model HR-V facelift di sana dengan mengumumkan harga jualannya. SUV segmen B itu dijual bermula dengan harga 899,000 baht (RM115,900) bagi varian e:HEV E untuk tempoh terhad, dan akan menjadi 949,000 baht (RM122,300) selepas 1 Januari 2025.

    Dua lagi varian diberikan harga yang sama seperti sebelum ini: e:HEV EL dijual dengan harga 1,079,000 baht (RM139,100) dan e:HEV RS yang paling lengkap dengan harga 1,179,000 baht (RM152,000), walaupun semua varian menerima peningkatan kelengkapan.

    HR-V terbaru ini turut menerima beberapa kemaskini di bahagian luaran, misalnya bampar depan dengan gril lebih lebar, disertai dengan jalur perak yang menghubungkan lampu utama. Lampu belakang juga baru, dengan palang merah, menampakkannya lebih cantik.

    Honda HR-V 2025 <em>facelift</em> di Thailand — lampu tinggi adaptif, kit tambahan, hanya e:HEV; dari RM116k

    Model RS untuk pasaran Siam mengekalkan penggunaan bodykit hitam berkilat dengan spoiler depan dan kemasan di bampar belakang, dipasangkan jalur krom dan tanda “garis degupan jantung” di depan. Ciri baru untuk varian flagship ialah lampu projektor LED matrix dengan lampu selekoh aktif berserta lampu belakang denga perumah gelap.

    Selebihnya, saiz rim 17 dan 18-inci dikekalkan, dengan saiz yang lebih besar diberikan penyudah dua-tona warna. Pilihan warna badan juga ada pertambahan, iaitu warna Sand Khaki baru dengan bumbung hitam, hanya untuk varian EL dan RS.

    Di dalam, konsol tengah yang melingkari ruang dahulunya kini telah digantikan dengan rekaan yang konvensional dan simetri, dengan pertambahan ruang simpanan di bawah pengawal pendingin. Unit utama sistem infotainmen untuk pasaran tempatannya didatangkan dengan skrin sentuh lapan-inci dan ada sokongan Apple CarPlay dan Android Auto. Sementara itu, corong pendingin belakang, enam-pembesar suara dan cermin rias kini standard.

    Honda HR-V 2025 <em>facelift</em> di Thailand — lampu tinggi adaptif, kit tambahan, hanya e:HEV; dari RM116k

    Lain-lain kelengkapan yang khusus untuk varian EL ke atas termasuklah slot USB-C di depan dan belakang, kerusi pemandu larasan elektrik lapan-arah dan pengecas tanpa wayar Qi. Sama seperti sebelum ini, HR-V terus dilengkapi dengan Honda Sensing untuk bantuan pemandu, terdiri daripada antaranya AEB, kawalan melayar adaptif dengan Low Speed Follow, bantuan ke tengah lorong dan amaran pergerakan depan.

    HR-V di pasaran Thailand hanya dalam versi hibrid, dikuasakan oleh motor elektrik yang menghasilkan sebanyak 131 PS dan 253 Nm tork, dan kuasa dijana daripada enjin 1.5 liter NA i-VTEC dengan 106 PS/127 Nm dan disalurkan ke roda depan. Kadar penggunaan minyak ialah 25.6 km per liter, memberikan jarak perjalanan lebih 800 km. Untuk varian RS, ada pertambahan ciri stereng dengan nisbah-boleh ubah.

    Boleh dijangkakan HR-V facelift ini akan tiba di Malaysia tahun depan.

     
     
  • Pas Rapid KL MyTourist dilancar – pas 1-hari, 2-hari dan 3-hari tanpa had untuk bas/tren, harga dari RM15

    Pas Rapid KL MyTourist dilancar – pas 1-hari, 2-hari dan 3-hari tanpa had untuk bas/tren, harga dari RM15

    Prasarana, menerusi Rapid KL, telah melancarkan pas MyTourist, yang telah direka khusus untuk memudahkan pelancong domestik dan antarabangsa menggunakan pengangkutan awam di Lembah Klang. Pas perjalanan harian ini menawarkan perjalanan tanpa had bagi perkhidmatan LRT, MRT, Monorel, BRT, bas Rapid KL dan perkhidmatan bas perantara MRT untuk satu, dua atau tiga hari.

    Buat masa ini, pas tersebut menawarkan harga pengenalan sehingga 9 Disember 2024. Rakyat Malaysia boleh membeli pas kegunaan untuk satu hari dengan harga RM15, pas dua hari bernilai RM25 dan pas tiga hari pula RM35. Bagi bukan warganegara Malaysia, pas sehari berharga RM 35, RM50 untuk pas dua hari dan pas tiga hari dengan harga RM65.

    Bagi rakyat Malaysia, anda hanya perlu membawa kad Touch ‘n Go anda sendiri untuk pengekodan dengan pas MyTourist dan tunjukkan MyKad/MyTentera anda di pejabat perkhidmatan Rapid KL untuk pengesahan dan kelayakan bagi kadar untuk rakyat Malaysia. Anda juga perlu memastikan bahawa terdapat baki minimum RM6 dalam kad TnG anda.

    Selain perjalanan tanpa had, pas MyTourist juga menyediakan faedah menarik, termasuk diskaun di tempat pelancongan popular, kedai makanan dan minuman, pusat membeli-belah dan lokasi acara dan taman tema terpilih seperti Petrosains, Menara Berkembar Petronas, Sunway Lagoon dan Menara Kuala Lumpur.

    Pembelian dan pengaktifanpas MyTourist ini juga boleh dibuat di mana-mana pejabat perkhidmatan pelanggan Rapid KL atau di semua stesen LRT, MRT, Monorel dan BRT serta hab stesen bas terpilih (Chow Kit, Pasar Seni, Seksyen 2 Shah Alam, Greenwood, Sri Nilam, Pearl Point dan Puchong Utama). Pas MyTourist adalah berdasarkan kiraan kitaran hari, dan ia boleh dibeli pada bila-bila masa sepanjang bulan.

     
     
  • BYD Sealion 7 dikesan di M’sia menjelang pelancaran

    BYD Sealion 7 dikesan di M’sia menjelang pelancaran

    Baru-baru ini, BYD Sealion 7 kelihatan di Port Klang, berada di atas treler pengangkut, seperti yang dikongsikan menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook. SUV elektrik ini bakal dilancarkan di sini pada 14 November (Khamis ini), sementara tempahannya telah pun dibuka sejak 6 November lalu.

    Setakat ini, apa yang kami tahu, Sealion 7 untuk pasaran Malaysia bakal menerima output 530 PS dan tork 690 Nm hasil penjana kuasa elektrik dwi-motor AWD, yang membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat dan mampu capai jarak gerak sekitar 542 km mengikut standard NEDC.

    BYD Sealion 7 dikesan di M’sia menjelang pelancaran

    Bagi kapasiti baterinya, model pasaran Hong Kong menerima pek bateri 82.56 kWh yang boleh dicaj dengan pengecas pantas DC sehingga 150 kW dan AC 11 kW. Sementara pasaran Eropah pula menerima bateri 91.3 kWh yang boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 230 kW.

    Selain pasaran seperti Hong Kong, Sealion 7 juga ditawarkan dengan penjana kuasa motor-tunggal RWD 313 PS dan 380 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat dan jarak gerak sekitar 567 km mengikut standard NEDC dalam pengecasan penuh.

    Jika sedan BYD Seal merupakan pesaing buat Tesla Model 3, bagi BYD Sealion 7 pula dijangka bakal memberikan persaingan sengit buat Tesla Model Y di Malaysia. Namun adakah ia mampu meraih populariti yang sama seperti versi sedan itu?

    GALERI: BYD Sealion 7

     
     
  • Honda Racing bangunkan enjin K20C dari Civic Type R untuk hasilkan 600 HP bagi kegunaan perlumbaan

    Honda Racing bangunkan enjin K20C dari Civic Type R untuk hasilkan 600 HP bagi kegunaan perlumbaan

    Honda Racing Corporation (HRC) kini sedang membangunkan enjin HRC-K20C, iaitu enjin yang diasaskan dari unit 2.0 liter empat silinder VTEC Turbo yang diambil dari Honda Civic Type R untuk ditawarkan kepada pelanggan bagi digunakan dalam pelbagai perlumbaan.

    Dalam keadaan standard, enjin tersebut sudahpun mampu untuk menghasilkan kuasa 330 PS dan 420 Nm bagi membolehkan Civic Type R FL5 menjadi hot-hatch produksi terpantas di Litar Nürburgring, Jerman. Manakala bagi enjin HRC-K20C ini, ia akan ditawarkan dalam empat spesifikasi bermula dengan Spec A berkuasa 300 HP hingga Spec D berkuasa 600 HP dan kesemuanya dibangunkan agar boleh bertahan digunakan secara lasak dalam perlumbaan.

    HRC-K20C Spec B telahpun diletakkan di dalam lima buah kereta lumba Acura Integra Type S DE5 di Amerika Utara, di mana kesemua kereta tersebut berlumba dalam perlumbaan Touring Car TC America dalam kelas TCX. Ia juga menjana kereta lumba Acura Integra yang digunakan dalam perlumbaan Pikes Peak International Hill Climb pada Jun lalu.

    Enjin Spec B ini menggunakan blok silinder yang diperkuat menerusi proses tuangan istimewa berasaskan blok produksi K20A, dan ia masih dikilangkan di Kilang Enjin Anna Honda di Ohio, Amerika Syarikat. Ia masih lagi menggunakan banyak komponen yang sama seperti enjin K20A produksi kecuali omboh, rod penghubung dan bolt yang diperkuat, jet-jet dan sesekat minyak pelincir yang dipertingkat serta blok yang disebut tadi.

    Pada 7 November lalu HRC turut menguji enjin HRC-K20C Spec D pada jentera lumba single-seater Super Formula SF19. Enjin Spec D ini bukan hanya ditala bagi menghasilkan 600 hp, malah ia turut boleh menggunakan sistem pelincir jenis dry sump serta boleh dipadankan pada casis kereta lumba Formula seperti SF19 ini.

    Menurut HRC, kesemua enjin ini dibangunkan bagi boleh digunakan dalam pelbagai kategori perlumbaan dengan pelbagai kelas kuasa kuda, serta seimbang dari segi potensi dan menampilkan kos rendah. Sayap perlumbaan Honda itu menyatakan bahawa ia kini sedang meneroka bagi memasarkan enjin ini untuk pasukan-pasukan lumba luar yang memerlukan.

     
     
  • Haval H6 HEV – 200 unit versi CKD Melaka sudah diserah kepada pelanggan, tempahan lebih 1,500 unit

    Haval H6 HEV – 200 unit versi CKD Melaka sudah diserah kepada pelanggan, tempahan lebih 1,500 unit

    Great Wall Motor (GWM) Malaysia mengumumkan bahawa ia telah menyerahkan sebanyak 200 unit SUV segmen-C Haval H6 HEV yang diproduksi menerusi kilang milik EP Manufacturing Berhad (EPMB) yang terletak di Taman Perindustrian Hicom Pegoh, Melaka. Model berkenaan baru sahaja dilancarkan pada pasaran tempatan pada 9 Oktober lalu, dan kini ia telahpun menerima lebih dari 1,500 tempahan.

    Model ini ditawarkan hanya dalam satu varian, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM139,800. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm dan tinggi 1,724 mm. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,738 mm, lebih jauh berbanding saingan-saingan terdekatnya seperti Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

    Manakala untuk unit rangkaian kuasa, ia menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS/230 Nm dengan motor elektrik 177 PS/300 Nm yang disepadukan dalam transmisi DHT dua kelajuan. Ini membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 243 PS dan 530 Nm, dengan penggunaan bahan api di sekitar 5.2l/100 km.

    Haval H6 HEV – 200 unit versi CKD Melaka sudah diserah kepada pelanggan, tempahan lebih 1,500 unit

    Antara perincian standard yang diberikan pada Haval H6 Hybrid Ultra pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED matrix, gril hadapan ‘Star Matrix’, bumbung sutina panaromik dan rim aloi 19-inci dalam kemasan hitam berkilat.

    Haval H6 HEV ini ditawarkan dengan waranti kenderaan dari pengeluar selama 7 tahun atau 200,000km. Ia juga diberikan waranti khas untuk enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu) dan juga waranti untuk sistem hibrid elektrik selama 8-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu).

    Waranti enjin dan sistem hibrid berkenaan hanya sah untuk pemilik pertama dan didaftarkan sebagai kenderaan persendirian sahaja. Untuk sistem hibrid elektrik tersebut komponen yang terlibat dalam waranti yang ditawarkan adalah termasuk kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT), bateri dan kabel voltan tinggi dan juga kotak komputer kawalan transmisi (TCU).

    Haval H6 HEV – 200 unit versi CKD Melaka sudah diserah kepada pelanggan, tempahan lebih 1,500 unit

    Khas untuk pembeli yang mendaftar Haval H6 pada tahun 2024, mereka akan menerima pakej servis percuma (termasuk kos buruh dan alat ganti) selama 5 tahun. Manakala jika anda merupakan seorang pemilik mana-mana kenderaan jenama Haval, GWM Malaysia turut memberikan rebat tambahan sebanyak RM3,000 sekiranya membeli SUV ini.

    Sebelum dilancarkan, kami telahpun menguji SUV ini dan laporan pandu uji tersebut boleh anda baca pada PAUTAN INI.

     
     
  • Yamaha perkenal Y16ZR Edisi Terhad 6MRO sempena produksi ke-6 juta — 3,000 unit, harga RM13,668

    Yamaha perkenal Y16ZR Edisi Terhad 6MRO sempena produksi ke-6 juta — 3,000 unit, harga RM13,668

    Sempena meraikan pencapaian pengeluaran ke-6 juta unik motosikalnya, serta ulang tahun ke-45 Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) beroperasi di Malaysia, syarikat itu kini memperkenalkan model edisi terhad Yamaha Y16ZR 6MRO. Ditawarkan hanya dalam 3,000 unit sahaja, motosikal ini menampilkan skim warna berbeza di kedua-dua sisinya dengan menggunakan tema warna yang menyerlah.

    Yamaha Y16ZR edisi terhad ini juga didatangkan dengan nombor siri unik bagi setiap satunya dengan lencana khas “6MRO”. Juga tidak ketinggalan, pertama kali ditawarkan oleh Yamaha untuk versi ini ialah lencana “glow in the dark”. Selain itu ada perincian dengan apa yang dipanggil sebagai “chameleon effect” yang menggunakan grafik UV istimewa dengan kesan warna bertukar dengan peralihan cahaya.

    Ada juga pakej cenderahati eksklusif yang didatangkan khusus untuk model edisi terhad ini. Ia terdiri daripada satu kotak khusus yang di dalamnya terdiri daripada seutas jam tangan hasil kerjasama dengan Casio Jepun yang menerapkan skim warna yang sama dengan badan motosikal terbabit. Kedua ialah plat sijil logam dengan ukiran timbul dengan nombor siri eksklusif yang sama, dengan bingkai warna emas dan terakhir, model “die cast” Yamaha Y16ZR 6MRO.

    Satu lagi aksesori yang disertakan ialah helmet eksklusif daripada Tekhne Helmet, yang juga datang dengan nombor siri dan skim warna yang sedondon dengan imej keseluruhan motosikal.

    Harga jualan bagi motosikal edisi terhad ini ialah RM13,668, belum termasuk yuran pendaftaran dan insurans. Tiada perbezaan bagi spesifikasi mekanikal berbanding Y16ZR biasa.

    Gambar rasmi

     
     
  • PANDU UJI: MG5 – alternatif setaraf Honda City, Toyota Vios dan Proton S70 dalam julat harga sama?

    PANDU UJI: MG5 – alternatif setaraf Honda City, Toyota Vios dan Proton S70 dalam julat harga sama?

    Sedan merupakan satu segmen yang dilihat teruk diancam oleh kewujudan SUV. Tengok sahaja pasaran sedan segmen-D yang kini semakin pupus, sementara sedan segmen-C hanya dikuasai oleh dua model iaitu Honda Civic dan Proton S70. Namun untuk pasaran lebih marhaen, sedan nampaknya masih lagi diperlukan sebagai kenderaan keluarga yang versatil, boleh digunakan untuk apa sahaja situasi.

    Oleh itu pasaran sedan segmen-B nampaknya masih lagi utuh di mana ia dikuasai Honda City, Toyota Vios dan Proton Persona. Dengan permintaan yang masih lagi kukuh, jenama automotif British yang ‘hidup kembali’ dengan kuasa dari China, MG Motors nampaknya turut berminat untuk bersaing dalam pasaran sedan segmen-B tempatan, selepas memperkenalkan dua model EV sebelum itu.

    Ini dia, MG5 yang baru sahaja dilancarkan pada pasaran tempatan pada awal bulan lalu. Ia ditawarkan dalam versi diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, hanya dalam satu varian dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM93,900. Namun buat masa sekarang pengedar MG di sini iaitu SAIC Motor Malaysia memberikan rebat sebanyak RM7,000, menjadikan harga jualannya hanya RM86,900.

    PANDU UJI: MG5 – alternatif setaraf Honda City, Toyota Vios dan Proton S70 dalam julat harga sama?

    Dari segi harga, MG5 nampaknya bersungguh untuk menyaingi lawan-lawannya dari Jepun; varian tertinggi untuk Toyota Vios iaitu 1.5G dijual pada harga RM 95,500.00, manakala varian tertinggi untuk versi enjin petrol sepenuhnya bagi Honda City iaitu 1.5 RS dijual pada harga RM 99,900.00.

    Dalam julat harga yang sama juga, MG5 sudah tentu mahu merebut sedikit bahagian pasaran yang dipegang oleh sedan segmen-C Proton S70. Proton menawarkan S70 dalam varian Flagship pada harga atas jalan tanpa insuran RM89,800, manakala varian paling tinggi dengan kelebihan hanya bumbung suria pula dijual pada harga RM94,800.

    Dari segi rupa dan saiz, MG5 mungkin dapat bersaing dengan lawan-lawan yang disebutkan tadi. Tapi dari segi keseluruhan, adakah model ini dapat menjadi dambaan pengguna-pengguna di Malaysia? Baru-baru ini kami berpeluang menguji MG5 ini dalam satu sesi pandu uji media melibatkan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Desaru, Kota Tinggi, Johor, dan teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut tentang model ini.

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Hong Leong Yamaha capai angka pengeluaran 6 juta unit motosikal di Malaysia, lancarkan muzium Space Y

    Hong Leong Yamaha capai angka pengeluaran 6 juta unit motosikal di Malaysia, lancarkan muzium Space Y

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) meraikan satu lagi pencapaian bermakna syarikat itu melalui pengeluaran motosikal yang ke-enam juta setakat ini di Malaysia. Pencapaian ini juga mencerminkan kesungguhan HLYM untuk terus berkembang dan memanfaatkan teknologi serta inovasi ke dalam operasinya. Ini merupakan pengeluar sejuta unit yang paling singkat tempoh masanya yang pernah dicapai oleh syarikat tersebut sepanjang sejarahnya di sini.

    Pengarah Urusan Kumpulan Hong Leong Industries Berhad, Dato’ Prof. Dr. Jim Khor berkata: “Pengeluaran unit ke-5 juta sebelum ini merupakan pencapaian membanggakan buat kami, yang mampu dicapai dalam 46 bulan. Namun, dengan meraikan pencapaian ke-enam juta ini pula (6MRO, Six Million Roll-Out), ia dicapai dalam masa lebih singkat iaitu dalam hanya 37 bulan. Ini pencapaian sejuta produksi yang paling pantas dalam industri motosikal di Malaysia.”

    “Dalam perjalanan kami menuju pengeluaran unit ke-enam juta ini, kami memberi tumpuan kepada melaksanakan Revolusi Industri 4.0 dan pendigitalan dalam semua urusan syarikat. Pasukan kami juga akan terus meneroka teknologi status operasi masa nyata, penjadualan dan perancangan maju, pengurusan barisan kenderaan AMR serta bekalan alat ganti automatik. Kami komited untuk meneruskan kerja untuk mencapai unit pengeluaran ke-tujuh juta pula.” Sempena meraikan pencapaian ini, sebuah model Yamaha Y16 edisi khas 6MRO akan dilancarkan malam ini.

    Seiring dengan pencapaian tersebut, HLYM turut memlancarkan Space Y, sebuah muzium motosikal yang pertama di Malaysia yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

    Terletak di dalam ibupejabat Yamaha Motor Lifestyle Station di Sungai Buloh, Space Y dibina dengan keluasan ruang seluas 9,000 kaki persegi dan menampilkan beberapa seksyen pameran seperti Sejarah dan Perlumbaan, Terowong Inovasi, Ruang Interaktis dan Seni, Ruang Tayangan dan juga Kedai Space Y.

    Muzium tersebut terbuka kepada umum dan masuk adalah percuma hingga 31 Disember 2024. Waktu operasinya ialah dari Isnin-Jumaat (10 pagi – 5 petang), dan Sabtu berselang setiap bulan (10 pagi – 4 petang). Pada 9 November 2024, 100 pengunjung terawal akan menerima kopi percuma dan kempen servic percuma Yamaha.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025