Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha Tenere 700 2025 didedah – pelbagai bahagian ditambah baik, termasuk teknologi dan ergonomik

    Yamaha Tenere 700 2025 didedah – pelbagai bahagian ditambah baik, termasuk teknologi dan ergonomik

    Selain MT-07 dan Tracer 9, Yamaha juga memberikan pembaharuan pada Tenere 700 untuk model tahun 2025. Ia melibatkan bahagian panel badan, suspensi, ergonomik dan juga penambahan teknologi.

    Bermula dengan penampilannya, Tenere 700 2025 meskipun masih menggunakan gaya ala motosikal rali yang sama, tetapi keseluruhan panel badannya adalah baru termasuk penghadang angin hadapan, tangki, lampu LED hadapan serta tempat duduknya.

    Kemudiannya sekarang, Tenere 700 sudah menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, sekaligus membolehkan ia dilengkapi dengan kawalan cengkaman (boleh ditutup) serta mod tunggangan, yang disediakan dalam dua pilihan (Sport dan Explorer).

    Sama seperti sebelum ini, Tenere 700 mempunyai sistem ABS yang boleh dipilih, sama ada untuk berfungsi di hadapan dan belakang, hadapan sahaja atau ditutup terus, tetapi sekarang ia dilengkapi dengan butang khas untuk melakukan pilihan tersebut di sebelah meter TFT 6.3 inci barunya (dengan sambungan kepada telefon pintar).

    Meter serta fungsi utama motosikal ini boleh dikawal melalui butang baru di bahagian kiri pemegang, yang kini berupa tombol kecil, seperti pada MT-07. Untuk bahagian pengendalian, Yamaha telah memperbaiki fork serta monoshock boleh laras sepenuhnya pada model ini. Jarak geraknya masih lagi 210 mm di hadapan dan 200 mm di belakang, sekaligus tinggi tempat duduk juga tidak berubah – 875 mm.

    Tidak cukup dengan itu, Yamaha juga memberi penambah baikan pada ciri ergonomik motosikal ini dengan menggunakan penutup klac yang lebih nipis supaya tidak mengganggu kaki penunggang serta pemijak kaki yang lebih lebar dan panjang.

    Yamaha Tenere 700 2025 didedah – pelbagai bahagian ditambah baik, termasuk teknologi dan ergonomik

    Tiada perubahan dibuat pada bahagian enjin, dengan Tenere 700 ini masih lagi menggunakan unit dua silinder selari DOHC 689 cc, bersama kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 73.4 PS pada 9,000 rpm dan 68 Nm tork pada 6,500 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 16 liter.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Tenere 700 2025 adalah rim spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, soket pengecas serta brek yang terdiri daripada set cakera berkembar 282 mm dengan angkup Brembo di hadapan dan cakera tunggal 245 mm di belakang. Berat keseluruhan Tenere 700 adalah 208 kg.

     
     
  • EV paling laris di Malaysia sehingga Okt 2024 – BYD, Tesla bolot lima tempat teratas, Taycan di atas BMW i7

    EV paling laris di Malaysia sehingga Okt 2024 – BYD, Tesla bolot lima tempat teratas, Taycan di atas BMW i7

    Sebelum ini kita sudah melihat 10 kenderaan paling laris di Malaysia, bagi 10 bulan pertama 2024, tetapi data jualan kenderaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), turut mendedahkan lebih lagi perincian lain.

    Antaranya untuk kenderaan elektrik (EV), carta 20 teratas menampakkan model-model sama seperti lapan bulan pertama tahun ini. Dalam kedudukan lima teratas, hanya terdapat perubahan kecil pada kedudukan keseluruhan.

    BYD terus berada di atas, tetapi Seal yang sebelum ini berada di tempat pertama sehingga Ogos telah diganti oleh Atto 3 dengan jumlah jualan 2,559 unit pada bulan Oktober. Seal pula mencatat 2,534 unit.

    EV paling laris di Malaysia sehingga Okt 2024 – BYD, Tesla bolot lima tempat teratas, Taycan di atas BMW i7

    Kedudukan seterusnya diduduki oleh dua model Tesla iaitu Model 3 dengan catatan jualan 2,470 unit dan Model Y 2,070 unit, diikuti BYD Dolphin (1,297 unit) di tempat kelima. Melihat kepada jenama, jumlah yang dicatat oleh BYD untuk 10 bulan pertama 2024 adalah 6,390 unit, sementara Tesla pula 4,540 unit.

    Kedudukan tempat keenam hingga ke sepuluh melibatkan model-model sama seperti carta bulan Ogos, tetapi dengan kedudukan yang berubah. Ora Good Cat keluaran GWM naik ke tempat keenam dengan jumlah 522 unit, menggantikan tempat Chery Omoda E5 (510 unit), diikuti smart #1/#3 di tempat kelapan (510 unit), BMW i5 410 unit dan MG4 EV 394 unit.

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, jumlah untuk Ora Good Cat dan 07 keluaran GWM dikira sekali, sama seperti smart #1 dan #3 kerana JPJ memilih untuk meletakkannya masing-masing sebagai ‘Ora’ dan ‘Brabus’.

     
     
  • Malaysia bakal lancar petrol Euro 5 pada Sept 2025

    Malaysia bakal lancar petrol Euro 5 pada Sept 2025

    Malaysia akan melaksanakan penggunaan petrol Euro 5 mulai September 2025 dan dijangka mencapai spesifikasi penuh pada 2027 sebagai langkah penyelesaian jangka panjang dalam menjaga kualiti udara negara, laporan Utusan Malaysia.

    Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, pelaksanaan ini juga adalah selaras dengan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Kandungan Bahan Api Petrol dan Diesel) 2007.

    “Justeru, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan bekerjasama rapat dengan industri untuk memastikan peralihan ini berjalan lancar,” katanya.

    Tambahnya, penggunaan Euro 5 juga akan mendorong industri automotif Malaysia untuk meningkatkan teknologi kenderaan termasuk bagi kenderaan komersial dan industri berat. Selain itu, kenderaan dengan teknologi pelepasan Euro 5 akan beroperasi dengan lebih efisien dan menghasilkan pelepasan asap yang lebih bersih, sekali gus dapat memberikan kesan positif terhadap kualiti udara di negara ini.

    Malaysia bakal lancar petrol Euro 5 pada Sept 2025

    “Sebelum ini, negara telah mengambil langkah proaktif menangani isu pencemaran udara dengan memperkenalkan bahan api diesel Euro 5 sejak April 2021 dan seterusnya telah mencapai spesifikasi penuh pada April 2023. Diesel Euro 5 ini memenuhi piawaian ketat, termasuk pengurangan kandungan sulfur dan bahan pencemar lain,” tambahnya.

    Peralihan kepada petrol Euro 5 berkemungkinan memacu kemajuan dalam sektor automotif tempatan, khususnya dalam industri komersil dan berat, di mana teknologi kenderaan yang dikemaskini adalah penting. Pengenalan petrol Euro 5 di Malaysia telah diwartakan pada 2015 oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk pengenalan di stesen minyak mulai 1 September 2025, dan ketersediaan diesel Euro 5 juga diwartakan pada masa yang sama pada September 2020.

    Kualiti petrol Euro 5 akan mematuhi piawaian baharu bagi sulfur dan plumbum, menurut kementerian pada masa itu. Ia juga menambah bahawa baki standard minimum untuk petrol Euro 5 seperti tekanan Reid Vapor, kandungan oksigen, benzena, olefin, aromatik dan banyak lagi akan dikuatkuasakan secara berperingkat, sepanjang tahun 2026 dan 2027.

    Diesel Euro 5 menggantikan gred Euro 2M pada April 2021, dengan pengenalan bahan api tersebut ditangguhkan kerana kekangan yang dihadapi oleh pelbagai industri serta pandemik Covid-19.

     
     
  • PANDU UJI: Nissan Kicks e-Power — 129 PS/280 Nm, 900 km jarak; boleh lawan Honda HR-V e:HEV RS?

    PANDU UJI: Nissan Kicks e-Power — 129 PS/280 Nm, 900 km jarak; boleh lawan Honda HR-V e:HEV RS?

    Tempoh kurang lebih empat tahun lalu adalah satu rentang waktu yang sunyi untuk Edaran Tan Chong Motor (ETCM) di Malaysia. Tidak ada satu pun model baru diperkenalkan oleh pengedar kenderaan Nissan itu di sini. Selain MPV Nissan Serena S-Hybrid dan trak pikap Navara yang ada diberikan kemaskini, model “paling baru” daripada Nissan ialah sedan segmen B, Almera yang ditawarkan sejak penghujung 2020.

    Namun, menurut ETCM, “kemarau” itu akan segera berakhir, dan jalan ke depan bagi syarikat itu juga kelihatan lebih cerah. Ini merujuk kepada kehadiran model terbarunya, Nissan Kicks 2024 yang sudah pun didedahkan spesifikasi tempatan dan akan dilancarkan ketika KLIMS 2024 Disember nanti — ura-ura Kicks akan memasuki pasaran tempatan sudah didengari sejak tahun 2018 lagi.

    Nissan Kicks merupakan sebuah SUV crossover kompak segmen B, dengan sistem janaan hibrid e-Power oleh Nissan sendiri, yang akan menyaingi antara lain model seperti Honda HR-V e:HEV RS dan juga Toyota Corolla Cross Hybrid — walaupun dengan saiz dan ukuran yang lebih dekat dengan SUV segmen A seperti Perodua Ativa. Nissan Kicks juga terlambat dua tahun, kerana kedua-dua pesaingnya itu dilancarkan di sini pada 2022.

    Jadi apa yang menarik dan tidak tentang Nissan Kicks? Kami berkesempatan meluangkan masa untuk memandu ujinya secara singkat dalam perjalanan KL-Melaka pada awal minggu ini dan akan kongsikan beberapa pandangan dan pemerhatian tentang model terbaru Nissan untuk pasaran Malaysia ini.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • BYD Sealion 7 dilancarkan di Malaysia – dua varian SUV EV, hingga 530 PS; harga RM183,800-RM199,800

    BYD Sealion 7 dilancarkan di Malaysia – dua varian SUV EV, hingga 530 PS; harga RM183,800-RM199,800

    Selepas BYD Atto 3, Dolphin, Seal dan M6, kali ini giliran Sealion 7 pula dilancarkan di pasaran Malaysia. SUV EV lima-tempat duduk ini pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada November 2023 di Guangzhou Auto Show dan dilancarkan secara rasminya pada April 2024 di Beijing Auto Show. Telah pun dibuka tempahan sejak 6 November lalu, Sealion 7 ini hadir dengan dua varian iaitu Premium yang berharga RM183,800 dan Performance pula RM199,800. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Untuk varian Premium, ia diberikan motor tunggal RWD dengan kuasa 313 PS (308 hp atau 230 kW) dan tork 360 Nm, yang membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 6.7 saat. Dengan pengecasan tunggal, jarak geraknya sehingga 567 km mengikut standard NEDC.

    Bagi yang inginkan SUV EV lebih padu, pastinya varian tertinggi Performance lebih bersesuaian, di mana ia diberikan dwi-motor AWD dengan angka prestasi cecah 530 PS (523 hp atau 390 kW) dan tork 690 Nm. Varian ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.5 saat. Manakala jarak geraknya sekitar 542 km mengikut standard NEDC, juga dalam pengecasan tunggal.

    BYD Sealion 7 dilancarkan di Malaysia – dua varian SUV EV, hingga 530 PS; harga RM183,800-RM199,800

    Kedua-dua varian ini turut dilengkapi bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) berkapasiti 82.5 kWh yang boleh dicas menggunakan pengecas AC Type 2 11 kW dan juga pengecas pantas DC CC2 150 kW dengan status pengecasan 30-80% sekitar 32 minit. Sealion 7 juga diberikan fungsi vehicle-to-load (V2L) untuk membekalkan kuasa kepada peralatan elektrik lain. Setiap soket termasuk dengan pelindungan overload, boleh digunakan secara selamat dalam beberapa situasi termasuk aktiviti luaran.

    SUV elektrik ini memiliki dimensi berukuran 4,830 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,620 mm tinggi, dengan jarak roda 2,930 mm, meletakkannya sebagai pesaing rapat Tesla Model Y. Ia diberikan ruang penyimpanan barang di belakang berkapasiti 1,769 liter dengan tempat duduk belakang dibaringkan sepenuhnya.

    Bagi rekaan lurannya, ia banyak persamaan dengan model Seal. Mengetengahkan rekaan senibina Ocean X Design seperti adik beradiknya yang lain. Sealion 7 ini hadir dengan rekaan signatur model-model terkini BYD, dengan rekaan gril atas berbentuk bar menghubungkan lampu utama ‘terapung’ LED berbentuk-C, serta ciri lain termasuk lampu nyalaan siang LED, corong pengambilan udara yang besar, dan roda aloi bersaiz 19-inci untuk Premium dan Performance pula menerima unit 20-inci dengan tayar Michelin Pilot Sport EV dan kaliper merah.

    Manakala di belakangnya pula, ia ditampikan dengan lampu kombinasi LED lebar sepenuhnya yang direka berinspirasikan titisan air dan diffuser juga bersaiz besar. Lencana BYD lebih ringkas juga tertera, dan tiada lagi tulisan panjang “Build Your Dreams” yang lama

    Menjengah bahagian kabinnya, pandangan mata tertumpu pada bahagian papan pemuka ala terapung yang turut diberikan sentuhan lembut pada permukaan panelnya. Ia juga ditampilkan dengan kluster instrumen digital 10.25-inci dan panel penumpang iluminasi. Seperti mana model BYD lain, Sealion 7 juga diberikan skrin sesentuh besar yang boleh dipusing bersaiz 15.6-inci.

    Turut diberikan bumbung kaca panoramik besar bersaiz 2.1 meter, tempat duduk hadapan dan belakang balutan upholstery kulit Nappa yang juga dilengkapi fungsi pemanas dan ventilasi, kad kunci digital NFC (dengan fungsi membuka/mengunci kenderaan dengan menggunakan Apple Watch mahu pun telefon pintar iPhone atau Android), pendingin hawa automatik dwi-zon, sistem bunyi Dynaudio dengan 12-pembesar suara, pengecas tanpa wayar Qi, pencahayaan ambien serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Untuk aspek keselamatan, BYD Sealion 7 ini dilengkapi sembilan beg udara, kamera 360-darjah, sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS), cagak ISOFIX untuk tempat duduk kanak-kanak, ABS, Brek Parkir Elektronik (EPB), ESC, cermin pandang belakang auto-kelam, serta kelengkapan DiPilot 100 ADAS yang terdiri daripada 12-penderia ultrasonic, gelombang radar 5mm dan 11 kamera omni-view. Ciri bantuan pemandu pula terdiri daripada kawalan kelajuan adaptif, Brek Kecemasan Autonomous (AEB), Amaran Pelanggaran Hadapan dan Belakang (FCW, RCW), Pengesan Titik Buta (BSD), bantuan lampu tinggi dan Amaran Ketibaan Lorong (LDA).

    BYD Sealion 7 Diberikan empat pilihan warna luaran iaitu Cosmos Black, Aurora White, Atlantis Grey dan Shark Grey. Sekali lagi, varian Premium ditawarkan dengan harga RM183,800 dan Performance pula berharga RM199,800. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans. Setiap pembeliannya didatangkan dengan waranti enam-tahun/150,000 km untuk kenderaan, lapan-tahun/160,000 km dengan State of Health (SOH) di atas 70% untuk bateri dan lapan-tahun/150,000 km untuk unit pemanduan.

    Sempena pelancaran SUV EV ini, BYD Malaysia turut menawarkan pengecas rumah percuma dan juga kredit pengecasan bernilai RM800 untuk pembelian mana-mana varian Sealion 7 yang didaftarkan menjelang 31 Disember 2024.

    BYD Sealion 7 Premium

    BYD Sealion 7 Performance

     
     
  • Chery Malaysia buat promosi – potongan sehingga RM15k untuk Tiggo 8, RM13k untuk Omoda 5

    Chery Malaysia buat promosi – potongan sehingga RM15k untuk Tiggo 8, RM13k untuk Omoda 5

    Memasuki akhir tahun ini, Chery Malaysia mengadakan pelbagai promosi untuk kenderaan jualannya, denagn menawarkan penjimatan dari RM4,000 ke RM15,000 bergantung kepada model.

    Bagi SUV Omoda 5, ia ditawarkan dengan penjimatan RM13,000, daripada harga asalnya iaitu RM108,800 untuk varian C dan RM118,800 untuk varian H. Dilancarkan Julai tahun lalu, Omoda 5 digerakkan oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter turbo, menghasilkan 156 hp dan 230 Nm untuk dihantar kepada roda hadapan melalui transmisi CVT.

    Kedua-dua varian SUV ini mendapat pakej ADAS penuh yang termasuk Lane Departure Warning and Prevention, Blind Spot Detection, Emergency Lane Keeping, Rear Cross Traffic Alert, Adaptive Cruise Control dengan Low Speed Follow, Front Collision Warning dan AEB, Auto High Beam, Hill Start Assist, Hill Descent Control dan Tyre Pressure Monitoring.

    Chery Malaysia buat promosi – potongan sehingga RM15k untuk Tiggo 8, RM13k untuk Omoda 5

    Satu lagi SUV, Omoda E5 ditawarkan dengan penjimatan RM11,000, daripada harga asalnya RM146,800. Asalnya ditawarkan sebagai unit import dari China, kini Omoda E5 dipasang di Kulim, Kedah.

    Menggerakkan Omoda E5 adalah motor elektrik tunggal 204 PS/340 Nm dan pacuan roda hadapan, mampu membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.2 saat. Bateri lithium iron phosphate (LFP) 61 kWh yang digunakan mampu memberikan jarak gerak sehingga 430 km (WLTP), dengan kadar penggunaan tenaga 15.5 kWh setiap 100 km. Pengecasan melalui DC sehingga 80 kW boleh menaikkan bateri 30-80% dalam masa 28 minit.

    Penjimatan paling besar ditawarkan untuk model Tiggo 8 Pro, iaitu RM15,000 daripada harga asalnya RM159,800. Ini dibuat selepas satu lagi promosi yang diadakan pada bulan September, yang memberikan diskaun sehingga RM8,000.

    Chery Malaysia buat promosi – potongan sehingga RM15k untuk Tiggo 8, RM13k untuk Omoda 5

    Di negara kita, Tiggo 8 Pro ditawarkan dengan enjin petrol 2.0 liter turbo, menghasilkan 256 hp dan 390 Nm kepada roda hadapan melalui transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan. Antara kelengkapan yang diberi adalah termasuk dua skrin 12.3 inci, kemasan kayu, lampu suasana, tempat duduk hadapan larasan kuasa, bumbung panoramik, pengecas telefon tanpa wayar serta fungsi ADAS.

    Turut tidak ketinggalan adalah Tiggo 7 Pro, yang ditawarkan dengan penjimatan sehingga RM4,000 daripada harga asalnya RM119,800. Model ini digerakkan oleh enjin petrol 1.6 liter turbo dengan kuasa 197 hp dan tork 290 Nm, dihantarkan kepada roda hadapan melalui transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

    Tiggo 7 Pro juga mendapat susun atur dalaman seperti Tiggo 8 Pro, dengan dua skrin 12.3 inci, pengecas telefon tanpa wayar, lampu suasana serta bumbung panoramik. Untuk ADAS, model ini mendapat AEB, Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop and go, Lane Centring Assist, Rear Collision Alert, Blind Spot Monitoring dengan Collision Prevention, Rear Cross Traffic Alert dengan Auto Brake dan Auto high Beam.

     
     
  • Harga minyak 14-20 Nov – semuanya masih dikekalkan

    Harga minyak 14-20 Nov – semuanya masih dikekalkan

    Kementerian Kewangan memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel untuk tempoh 14 hingga 20 November 2024, iaitu sama seperti minggu sebelum ini.

    Ini bermakna petrol RON 97 masih berharga RM3.19 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Menerusi perbentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penyasaran subsidi bagi petrol RON95 akan diumumkan pada pertengahan tahun hadapan. Buat masa ini, tiada lagi tarikh ditetapkan, dan bagaimana ia akan dilaksanakan, namun Anwar memberitahu penyasaran subsidi ini hanya akan melibatkan golongan ‘mahakaya’ dan tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.

     
     
  • Pulau Pinang akan uji lorong khas bas di Jalan Ria dan Jalan Penang selama 6 bulan, sehingga 19 Mei 2025

    Pulau Pinang akan uji lorong khas bas di Jalan Ria dan Jalan Penang selama 6 bulan, sehingga 19 Mei 2025

    Susulan kejayaan program lorong khas bas di Kuala Lumpur, Pulau Pinang juga akan mengikut jejak langkah yang sama, dengan ujian projek lorong khas bas selama enam bulan akan dilaksanakan di Jalan Penang dan Jalan Ria mulai minggu depan.

    Projek perintis itu melibatkan laluan sepanjang 500 meter bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan bas Rapid Penang, yang sering terjejas akibat kesesakan lalu lintas, menyebabkan kelewatan bas sampai ke hentian dan terminal mereka, laporan New Straits Times.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Negeri Zairil Khir Johari, projek perintis itu direka untuk menilai kebolehlaksanaan laluan khas bas dan mengurangkan masa perjalanan bas, terutamanya pada waktu puncak.

    “Berdasarkan kejayaan inisiatif yang sama di Kuala Lumpur (koridor Ampang, koridor Genting Kelang, dan koridor Jalan Klang Lama), yang menjimatkan masa perjalanan bas sehingga 10-15 minit, kami berharap untuk penambahbaikan serupa di Pulau Pinang,” katanya

    Pulau Pinang akan uji lorong khas bas di Jalan Ria dan Jalan Penang selama 6 bulan, sehingga 19 Mei 2025

    Ujian percubaan juga dijangka meningkatkan keselamatan penumpang, terutamanya di perhentian bas Pasar Chowrasta, di mana dengan adanya lorong bas, ia akan membolehkan bas beroperasi dengan lancar tanpa gangguan daripada kenderaan lain, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.

    Projek rintis ini akan dilaksanakan di Jalan Ria dari persimpangan Jalan Ria/Jalan Dr Lim Chwee Leong ke persimpangan Jalan Ria/Jalan Magazine (200 meter) dan di Jalan Penang, dari persimpangan Jalan Penang/Jalan Magazine /Jalan Datuk Keramat ke Jalan Penang/Jalan Burma (100 meter) dan dari persimpangan Jalan Penang/Lebuh Chulia ke persimpangan Jalan Penang/Jalan Dr Lim Chwee Leong (200 meter).

    Zairil berkata projek perintis itu akan berjalan selama enam bulan, beroperasi setiap hari termasuk cuti umum iaitu dari 6.30 pagi hingga 9 pagi dan 4.30 petang hingga 8 malam. Beliau berkata hanya bas awam, bas sewa, teksi dan kenderaan kecemasan akan dibenarkan menggunakan lorong bas, dan menggesa pengguna jalan raya di kawasan terlibat untuk memberi kerjasama.

    Dalam tempoh percubaan, papan tanda akan diletakkan di sepanjang laluan, manakala kon keselamatan akan diletakkan di sepanjang lorong bas semasa waktu operasi dan dialihkan sebaik sahaja lorong ditutup. Selain itu, pihak berkuasa juga akan menjalankan penguatkuasaan untuk memastikan aliran trafik lancar dan pematuhan sekatan lorong bas.

     
     
  • PMX rasmikan kilang CKD Proton di Mesir – Saga LHD mula dipasang Dis ini, untuk pasaran Afrika Utara

    PMX rasmikan kilang CKD Proton di Mesir – Saga LHD mula dipasang Dis ini, untuk pasaran Afrika Utara

    Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim telahpun merasmikan kilang untuk operasi pemasangan tempatan (CKD) Proton di Mesir ketika lawatan rasminya ke negara itu. Kilang baharu tersebut terletak di Taman Perindustrian Al Oula di Giza, dimiliki oleh Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF), sebuah usaha sama antara Ezz Elarab dan Elsewedy Capital Holding.

    Kilang ini dijangka akan beroperasi pada Disember tahun ini, bermula dengan memasang Proton Saga dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD). Proton telahpun mula menghantar kit CKD Saga berkenaan dari Malaysia bermula pada September lalu.

    Menurut Proton fasiliti yang bernilai USD35 juta berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 20,000 unit dalam satu syif. Apabila beroperasi pada kapasiti operasi penuh, ia dijangka menyediakan peluang pekerjaan kepada 400 orang. Menerusi unjuran tiga tahun yang dibuat, Proton menjangkakan sebanyak 16,000 kit CKD akan dihantar ke Mesir dengan nilai RM570 juta menjelang 2026, tidak termasuk hasil yang akan diperoleh daripada eksport alat ganti yang dijangka bernilai RM20 juta.

    Sebanyak 1,400 unit Saga dijangka bakal disiapkan menerusi kilang berkenaan untuk tahun ini, dan sasaran tersebut akan naik kepada 5,000 unit pada tahun 2025. Kereta-kereta yang dihasilkan menerusi kilang ini bukan sahaja akan dijual di pasaran domestik Mesir tetapi juga akan dieksport ke negara-negara di Afrika Utara dan Sub-Sahara di mana Proton kini sedang berusaha untuk menembusi wilayah tersebut serta pasaran Timur Tengah.

    “Proton bukan hanya sebuah syarikat automotif; ia adalah satu kebanggaan dan sebahagian daripada identiti Malaysia,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dalam ucapannya semasa majlis perasmian. Beliau turut menekankan bahawa usaha sama sebegini amat penting untuk memajukan industri tempatan sambil menggesa Proton untuk mengunakan kemudahan tempatan sepenuhnya dengan secepat mungkin.

    “Proton telah menjadi pengeksport kenderaan terkemuka Malaysia selama beberapa dekad dengan volum eksport semasa kami menyumbang kira-kira 3% daripada jumlah volum jualan kami. Walaupun usaha ini telah membuahkan hasil, sejarah kami sendiri menunjukkan terdapat banyak potensi yang belum diterokai untuk syarikat di pasaran di luar Malaysia. Mesir adalah pusat rancangan kami untuk rantau ini dan seterusnya, kami berminat untuk melibatkan diri dalam lebih banyak kerjasama dengan rakan kongsi seperti ESAF untuk membuka kunci potensi jualan untuk kereta kami di negara yang bilangan pemilikan kereta masih meningkat,” kata Pengerusi Proton Tan Sri Syed Faisal Albar.

     
     
  • Jaecoo J7 kini dengan penyelenggaraan percuma lima tahun, termasuk upah dan alat ganti – sehingga 31 Dis

    Jaecoo J7 kini dengan penyelenggaraan percuma lima tahun, termasuk upah dan alat ganti – sehingga 31 Dis

    Jaecoo J7 kini datang dengan penyelenggaraan percuma selama lima tahun, termasuk alat ganti dan upah. Promosi ini dibuat untuk kenderaan yang didaftarkan sebelum 31 Disember 2024. Semasa pelancaran, SUV ini diperkenalkan dengan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km, manakala pembeli awal pula diberikan dengan waranti enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer.

    Model ini juga adalah produk pertama Jaecoo yang tiba di Malaysia, dan ia berkongsi platform sama dengan Chery Tiggo 7 dengan menampilkan saiz dengan dimensi panjang 4,500 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,689 mm dan jarak roda 2,672 mm.

    Dua varian diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, bermula dengan versi 2WD pada harga RM138,800 dan versi AWD berharga RM148,800. Namun, kedua-duanya menggunakan enjin sama, iaitu unit 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan yang dibekalkan oleh Getrag.

    Jaecoo J7 AWD juga datang dengan kebolehan meredah offroad sebenar dengan adanya sistem seperti Intelligent 4WD dengan tujuh mod permukaan pemanduan serta gandar belakang yang mampu menampung beban sehingga 3,000 Nm. Model pacuan hadapan pula hanya diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sports.

    Senarai kelengkapan bagi dua varian Jaecoo J7 ini adalah sama, termasuk lampu hadapan LED automatik, spoiler bumbung belakang, rel bumbung dan rim aloi 19-inci Aurora Design di luar, sementara di dalam pula terdapat skrin infotainmen 14.8-inci menegak, skrin instrumen digital LCD 10.25-inci, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta tempat duduk balutan kulit sintetik dengan fungsi larasan kuasa, memori dan liang udara untuk yang di hadapan.

    Jaecoo J7 AWD

    Pelancaran Jaecoo J7 pasaran Malaysia

     
     
  • Ops Khas Motosikal – 19,362 motosikal diperiksa, 3,855 saman dikeluarkan JPJ Selangor dalam 12 hari

    Ops Khas Motosikal – 19,362 motosikal diperiksa, 3,855 saman dikeluarkan JPJ Selangor dalam 12 hari

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 3,855 sama kepada penunggang motosikal dalam masa 12 hari pertama sejak pelancaran Ops Khas Motosikal pada 1 November lalu – lapor New Straits Times.

    Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, 325 anggota ditugaskan untuk operasi tersebut di kawasan hotspot seluruh negeri, dan setakat ini 19,362 penunggang motosikal telah diperiksa.

    Daripada 3,855 notis saman yang dikeluarkan, 1,644 adalah disebabkan oleh kesalahan teknikal seperti modifikasi yang menyalahi undang-undang, tiada cermin sisi dan lampu tidak berfungsi. Sejumlah 983 saman lagi dikeluarkan kerana tidak mempunyai cukai jalan sah, manakala 737 dikeluarkan kerana tidak mempunyai lesen sah.

    Ops Khas Motosikal – 19,362 motosikal diperiksa, 3,855 saman dikeluarkan JPJ Selangor dalam 12 hari

    “302 notis sama juga dikeluarkan kerana kesalahan nombor plet, manakala 34 lagi dikeluarkan untuk tujuh kesalahan trafik utama,” kata Azrin.

    Tujuh kesalahan tersebut adalah memotong barisan, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu merah di lampu isyarat, melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau helmet dan menyalahgunakan lorong kecemasan.

    Operasi yang dijalankan oleh jabatan itu malam Selasa lalu menyaksikan 631 motosikal diperiksa dan 259 saman dikeluarkan. Daripada situ, 19 motosikal diberikan arahan untuk diperiksa semula manakala lima disita. Menurut Azrin, JPJ Selangor akan mengadakan tujuh ke lapan sekatan jalan setiap hari di semua daerah dalam negeri.

     
     
  • Malaysia berpotensi jadi hab pembuatan EV di ASEAN hasil pengalaman 4 dekad dalam produksi automotif

    Malaysia berpotensi jadi hab pembuatan EV di ASEAN hasil pengalaman 4 dekad dalam produksi automotif

    Memandangkan Malaysia mempunyai sejarah selama 40 tahun dalam pengeluaran automotif sejak 1983 dan kluster perindustrian semikonduktor yang kukuh, tidak mustahil negara ini mampu menjadi hab serantau pembuatan kenderaan elektrik (EV) di ASEAN suatu hari nanti.

    Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, Malaysia juga berhasrat untuk memupuk integrasi lebih baik antara industri automotif dan semikonduktor dengan matlamat menjadi hab terkemuka bagi mereka bentuk cip khususnya untuk sektor automotif, laporan Bernama.

    “Malaysia adalah lokasi yang sangat menarik, kita adalah pengeksport produk semikonduktor keenam terbesar di dunia. Walaupun kita mungkin tidak mempunyai jenama keluaran tempatan, Malaysia memainkan peranan penting terutamanya di dalam proses ‘backend’,” katanya.

    Malaysia berpotensi jadi hab pembuatan EV di ASEAN hasil pengalaman 4 dekad dalam produksi automotif

    Beliau turut berkongsikan pengalamannya ketika melawat Detroit, Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, Setiausaha Perdagangan AS, Gina M. Raimondo memberitahu ketika dalam satu pertemuan bahawa apabila Malaysia melaksanakan sekatan pergerakan penuh semasa pandemik COVID-19, kilang automotif di Detroit terpaksa ditutup.

    “Ini kerana cip yang mereka harapkan datang dari Malaysia dan beberapa syarikat semikonduktor di Malaysia memberikan sumbangan ketara dalam cip automotif global. Justeru, apabila bercakap mengenai industri automotif terutamanya elektrifikasi mobiliti, adalah penting untuk kita tidak bekerja secara ‘silo’ (bersendirian).

    “Saya mahu melihat industri ini memupuk penciptaan produk baharu, reka bentuk litar bersepadu dan cip automotif yang dikeluarkan oleh Malaysia. Ini akan membolehkan Malaysia bukan sahaja mengeksport alat ganti automotif tetapi juga cip automotif,” tambahnya.

    Malaysia berpotensi jadi hab pembuatan EV di ASEAN hasil pengalaman 4 dekad dalam produksi automotif

    Kerajaan Malaysia menetapkan sasaran untuk EV membentuk 20% daripada jumlah keseluruhan kenderaan (TIV) menjelang 2030, 50% menjelang 2040 dan 80% menjelang 2050.

    “Walaupun ia kelihatan bercita-cita yang tinggi memandangkan kita bermula dari asas, Tinjauan EV Global tahunan Agensi Tenaga Antarabangsa menekankan beberapa arah trend utama…EV hanya membentuk 2% daripada TIV secara global pada 2018.

    “Menjelang 2022, ia telah meningkat kepada 14% daripada TIV di seluruh dunia…menjelang 2023, ia mencapai 18%. Oleh itu, mencapai 20% daripada TIV menjelang 2030 bukanlah sasaran yang sukar dicapai, bagaimanapun ia memerlukan usaha bersepadu. Ia memerlukan kita berfikir di luar kotak (berfikir di luar kebiasaan),” katanya.

     
     
  • Peralihan EV penting untuk kurangkan beban subsidi bahan api petrol kerajaan – Liew Chin Tong

    Peralihan EV penting untuk kurangkan beban subsidi bahan api petrol kerajaan – Liew Chin Tong

    Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong menyatakan bahawa penggunaan kenderaan elektrik (EV) perlu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha peralihan hijau Malaysia selain mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api petrol.

    Menurutnya dalam laporan Bernama, Malaysia juga perlu menumpukan penggunaan petrol yang melangkaui paras semasa, sekali gus menekankan matlamat besar elektrifikasi sektor automotif untuk mengurangkan penggunaan bahan api itu dan membolehkan kemunculan semula Malaysia sebagai pengeksport bersih petroleum.

    “Wujud keperluan mendesak untuk memastikan EV dapat memenuhi jalan raya Malaysia bagi menangani pelbagai cabaran yang kita hadapi seperti mengurangkan beban fiskal membabitkan subsidi petrol dan meletakkan semula Malaysia sebagai pengeksport bersih petroleum dan pembangunan negara yang mesra iklim.

    “Bagi mencapai keterjaminan tenaga, kita juga perlu membolehkan Malaysia menjadi pengeksport bersih petroleum. Pada 2022 misalnya, Malaysia mengimport petroleum mentah bernilai US$12.2 bilion,” katanya pada majlis line-off pemasangan tempatan (CKD) EV Chery Omoda E5 di kilang Inokom, Kulim Kedah Jumaat lalu.

    Liew turut mendedahkan bahawa pada 2022 dan 2023, jumlah subsidi bahan api negara (RON95, diesel dan gas asli cecair) berjumlah kira-kira RM50 bilion atau kira-kira satu perlapan daripada belanjawan negara. Tambahnya setakat 30 Sept, 2024, terdapat sejumlah 32,543 kenderaan elektrik bateri (BEV) berdaftar di jalan raya Malaysia dengan 98 peratus daripadanya diimport secara unit pasang siap (CBU).

    Beliau turut menyatakan penggunaan EV di Malaysia berbanding negara jiran dengan BEV hanya mewakili 1.2 peratus daripada jumlah jualan kenderaan pada 2023 berbanding 12 peratus kenderaan itu di Thailand, Vietnam (15 peratus) dan Singapura (18 peratus). Pada 2023, Malaysia menjual sejumlah 799,731 unit kereta dengan hanya 1.2 peratus merupakan BEV (10,159 unit) manakala Indonesia mencatat 1.2 peratus jualan EV pada 2023.

    “Angka 1.2 peratus pada 2023 dan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) sebanyak 2.6 peratus bagi separuh pertama 2024 menunjukkan Malaysia agak ketinggalan daripada sasaran 20 peratus bagi 2030.

    “Jika kita dapat bertindak secara bersama, Malaysia boleh menyaksikan pertumbuhan EV yang luar biasa di jalan raya kita dalam tempoh lima tahun seterusnya, mencapai sasaran EV menyumbang 20 peratus daripada TIV pada 2030,” katanya.

     
     
  • Subsidi petrol RON95: Kerajaan kaji mekanisme guna MyKad dan e-dompet dalam projek rintis sejak 2022

    Subsidi petrol RON95: Kerajaan kaji mekanisme guna MyKad dan e-dompet dalam projek rintis sejak 2022

    Kerajaan berkata ia sedang meneliti secara terperinci berhubung penggunaan MyKad (kad pengenalan, atau IC) serta e-dompet sebagai mekanisme untuk melaksanakan subsidi bersasar apabila program rasionalisasi untuk petrol RON 95 dilaksana mulai pertengahan tahun depan.

    Untuk mengetahui kesesuaian menggunakan mekanisme ini sebagai kaedah pengeluaran, kerajaan berkata projek perintis selama 20 bulan dijalankan pada dua tahun lalu untuk mencuba penggunaan MyKad dan e-dompet, laporan Malay Mail. Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, ia dilakukan untuk melihat kebolehlaksanaan tersebut.

    “Satu projek perintis telah dijalankan antara tahun 2022 dan 2023, menggunakan kad pengenalan dan e-dompet di stesen minyak terpilih. Jadi ia telah pun diuji. Dari segi pengesahan kelayakan pada peringkat back end, hab pangkalan data pusat (PADU) telah beroperasi dan digunakan dalam beberapa kes penggunaan,” katanya di Dewan Rakyat.

    Subsidi petrol RON95: Kerajaan kaji mekanisme guna MyKad dan e-dompet dalam projek rintis sejak 2022

    Rafizi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Krau Kamal Ashaari, yang bertanya sama ada kerajaan telah menguji pelaksanaan dan tidak menggunakan pendekatan “umum dahulu, selidik kemudian”. “‘Umumkan dahulu, selidik kemudian’ hanya datang daripada pembangkang,” jawab Rafizi lagi.

    Kemungkinan menggunakan mekanisme harga dua peringkat juga dibangkitkan semula, apabila Rafizi menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kayat, yang meminta butiran mengenai mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk mengesahkan kelayakan untuk subsidi RON 95.

    “Secara amnya, bahagian pertama, penentuan kelayakan, dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi, manakala bahagian kedua, melaksanakan mekanisme harga dua peringkat untuk pembelian RON 95 di stesen minyak, dikendalikan oleh Kementerian Kewangan,” jelas Rafizi.

    Subsidi petrol RON95: Kerajaan kaji mekanisme guna MyKad dan e-dompet dalam projek rintis sejak 2022

    Tambahnya, kedua-dua kementerian terbabit kini sedang mengkaji dan memperhalusi mekanisme terperinci untuk melaksanakan subsidi itu. “Kriteria dan mekanisme akhir akan dibentangkan kepada Kabinet, selaras dengan garis masa pelaksanaan yang disasarkan pada pertengahan 2025,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan mengakui cabaran dalam melaksanakan projek itu. “Ini termasuk isu infrastruktur, khususnya, akses internet yang perlahan di kawasan luar bandar dan cip kad pengenalan yang rosak, risiko pengesahan identiti dan potensi penyalahgunaan kad pengenalan,” jelasnya.

    Jelasnya lagi, tiada kaedah yang sempurna untuk melaksanakan sistem subsidi bahan api tetapi kerajaan akan memilih yang terbaik yang tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang secara drastik. “Paling penting, kerajaan akan menekankan usaha mengawal harga barang dan inflasi,” katanya.

     
     
  • Subsidi petrol RON95: isi rumah pendapatan rendah mungkin tercicir kerana isu pemilikan kenderaan

    Subsidi petrol RON95: isi rumah pendapatan rendah mungkin tercicir kerana isu pemilikan kenderaan

    Sistem levi yang dicadangkan untuk pelaksanaan mekanisme subsidi minyak bersasar petrol RON 95 mungkin boleh menyebabkan keciciran kepada isi rumah berpendapatan rendah, daripada menerima bantuan itu – lapor The Star. Memetik kenyataan menteri ekonomi, Rafizi Ramli, beliau memberitahu bahawa sekitar 40% daripada isi rumah berpendapatan rendah tidak mempunyai kenderaan yang didaftarkan atas nama mereka dalam pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Kerana satu keluarga mungkin dia menggunakan kenderaan atas nama orang lain. Kita juga telah lalui perkara ini semasa pelaksanaan penyasaran diesel contohnya. Data awal ini menunjukkan ada ketidak padanan yang besar akibat amalan yang berlainan di bawah, kerana sama ada orang sambung bayar ataupun guna nama orang lain,” kata Rafizi di parlimen.

    Tambah beliau lagi, sementara terdapat usul untuk kerajaan melaksanakan levi petrol pada kenderaan semasa pemandu memperbaharui cukai jalan, sistem levi ini menjadi satu daripada tiga cadangan yang sedang dipertimbangkan, dan setakat ini kerajaan merasakan sistem harga dua peringkat adalah cara yang terbaik.

    Subsidi petrol RON95: isi rumah pendapatan rendah mungkin tercicir kerana isu pemilikan kenderaan

    Cadangan ketiga adalah dengan terus memberikan wang tunai kepada individu yang layak, tetapi terdapat kebimbangan ini akan membawa kepada peningkatan harga barang dan inflasi, kata Rafizi.

    “Pakar ekonomi berkata bahawa cara bayaran tunai adalah lebih baik kerana ia tidak melibatkan pengendali stesen minyak. Tetapi kerajaan melihat terdapat potensi peningkatan harga barangan kerana apabila harga minyak naik, peniaga akan menjadikannya sebagai alasan untuk menaikkan harga,” kata Rafizi.

    Beliau juga memberitahu bahawa tiada cara yang sempurna untuk melaksanakan sistem subsidi bahan api ini dan kerajaan akan memilih cara terbaik yang tidak akan menyebabkan peningkatan mendadak harga barangan

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025