Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Lori rempuh 11 kereta, sebuah motosikal di MRR2

    Lori rempuh 11 kereta, sebuah motosikal di MRR2

    Ada lagi satu kemalangan terbaru yang melibatkan sebuah lori dan beberapa kenderaan. Tengahari semalam, sebuah lori lima-tan telah merempuh 11 kereta dan sebuah motosikal di Jalan Lingkaran Tengah Dua (MRR2). Tiga orang mengalami cedera ringan, dan tiada yang terkorban.

    Bernama melaporkan bahawa semua mangsa adalah warga negara yang berumur antara 43 hingga 65 tahun, dan telah diserahkan kepada pegawai kesihatan untuk rawatan lanjut.

    Menurut Pembantu Pengarah Operasi Bomba Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian berkenaan pada pukul 3.09 pm semalam. Tujuh anggota bomba dari stesen Selayang telah digerakkan ke tempat kejadian dengan dua jentera bomba, dan semua operasi menyelamat selesai pada pukul 4.43 pm.

    Lori rempuh 11 kereta, sebuah motosikal di MRR2

    Melalui gambar yang ada, kejadian tersebut bukanlah terlalu asing berlaku di Malaysia. Beberapa kenderaan tersepit di antara satu sama lain — mungkin ketika mengikuti dari belakang dengan jarak dekat — sebelum satu daripadanya melakukan brek kecemasan, dan yang lain tidak sempat memberi reaksi yang sama.

    Selalu ingat untuk tidak mengekori dari dekat kenderaan di depan anda. Selalu juga biarkan ada jarak selamat dengan kereta di depan. Jika adan yang memantu dengan rampat di depan atau di belakang anda, biar mereka pergi jauh terlebih dahulu. Lebih penting, berikan tumpuan sepenuhnya kepada jalan dan terhadap pemanduan. Jangan mengalih perhatian kepada telefon misalnya.

    Kejadian ini adalah tambahan terbaru kepada kejadian serupa melibatkan lori sebelum ini. Minggu lalu sahaja ada dua kejadian berasingan, satu di Bukit Mertajam dan satu lagi di Simpang Renggam. Tumpu sepenuh perhatian dan berhati-hati di jalan raya.

     
     
  • Kereta pengiring VIP langgar kereta awam dalam hujan

    Sebuah kereta polis yang dipercayai sedang mengiringi seorang VIP telah melanggar belakang kereta sebuah Proton Saga di KM 259 Lebuhraya PLUS, ketika cuaca hujan dan jalan basah pada 16 November lalu. Bernama melaporkan yang PDRM sedang menyiasat kemalangan tersebut.

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata bahawa jabatan tersebut tahu tentang kemalangan yang melibatkan dua kenderaan itu dan sedang melalukan siasatan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

    “Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta untuk menyalurkan maklumat tersebut bagi membolehkan siasatan di selesaikan,” jelas beliau.

    Dalam sebuah video yang beredar di media sosial, yang datang dari dashcam Saga terlibat itu menunjukkan sebuah Proton X70 polis sedang membuka laluan bagi konvoi mereka dalam keadaan hujan lebat dan pandangan terhad akibat cuaca buruk.

    Sebuah kenderaan warna gelap dengan lampu strob kemudian mengikut dengan kelajuan yang sama, menukar lorong dan kemudian melanggar Saga berkenaan. Seorang kanak-kanak kemudiannya terdengar menangis sebelum video itu dipotong untuk menunjukkan bahagian belakang Saga yang remuk teruk. Sebuah Toyota Camry yang tidak terlihat dalam video juga difahamkan mengalami kerosakan lampu depan sebelah kirinya pecah — puncanya belum diketahui.

     
     
  • Hyundai Elantra N TCR Edition diperkenal – model edisi khas ‘replika’ jentera lumba untuk jalan raya!

    Hyundai Elantra N TCR Edition diperkenal – model edisi khas ‘replika’ jentera lumba untuk jalan raya!

    Hujung minggu lalu pemandu pasukan BRC Hyundai Squarda Corse, Norbert Michelisz berjaya mempertahankan gelaran juara dunia kejohanan TCR World Tour buat kali kedua berturut-turut pada pusingan terakhir siri tersebut untuk musim 2024 di Macau. Mungkin sudah menjangkakan keputusan berkenaan, Hyundai terus memperkenalkan edisi istimewa untuk Elantra N iaitu Elantra N TCR Edition, ‘replika’ untuk jalan raya bagi jentera lumba Elantra N TCR yang dipandu oleh Norbi.

    Jadi berbanding Elantra N biasa, model TCR Edition ini diberikan beberapa perincian yang menyerupai kereta lumba sebenar Elantra N TCR. Ia termasuk spoiler GT belakang dengan tiang ‘tengkuk angsa’ bersama sayap boleh laras, rim aloi forged 19-inci dan juga set brek hadapan empat omboh N Performance. Manakala untuk pelanggan di Korea Utara, mereka juga boleh memilih grafik badan TCR Edition yang mirip dengan livery perlumbaan kereta-kereta lumba Hyundai N.

    Untuk sebelah dalam, Elantra N TCR Edition ini diberikan perincian istimewa seperti roda stereng balutan Alcantara dengan penanda pukul 12 berwarna Performance Blue, tali pinggang keledar juga berwarna Performance Blue dan juga lencana eksklusif TCR Edition.

    Hyundai Elantra N TCR Edition diperkenal – model edisi khas ‘replika’ jentera lumba untuk jalan raya!

    Walau bagaimanapun, Hyundai tidak menyebut sebarang peningkatan prestasi mahupun pengendalian Elantra N TCR Edition ini. Oleh itu ia sudah tentu masih dijana oleh unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 2.0 liter empat silinder turbo dengan sistem suntikan terus yang menghasilkan 280 PS dan tork maksima 392 Nm.

    Pada pasaran tertentu, Elantra N datang dengan pilihan transmisi sama ada kotak gear klac berkembar automatik DCT lapan-kelajuan atau manual enam-kelajuan bagi memacu roda hadapan serta diberikan e-LSD secara standard. Namun Hyundai juga tidak memperincikan sama ada pilihan yang sama turut ditawarkan pada TCR Edition ini atau tidak.

    Hyundai Elantra N TCR Edition diperkenal – model edisi khas ‘replika’ jentera lumba untuk jalan raya!

    Model yang dilengkapi kotak gear DCT turut diberikan fungsi N Grin Shift (NGS) yang memberikan lebih tujahan boost selama 20 saat dengan satu sentuhan butang bagi menghasilkan kuasa maksima 290 PS. Dengan sistem Launch Control, ia boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.3 saat, sebelum mencatatkan kelajuan maksima 250 km/j. Manakala untuk model manual, ia diberikan mod rev-match automatik membolehkan gear diturunkan dengan agresif tanpa memerlukan kemahiran heel & toe.

    Model istimewa ini akan mula dijual di Korea Selatan bermula Disember ini, manakala untuk pasaran global ia akan mula ditawarkan pada tahun hadapan.

     
     
  • Bank Negara anggar inflasi cecah 2%-3.5% pada 2025 dengan pelaksanaan subsidi bersasar RON95

    Bank Negara anggar inflasi cecah 2%-3.5% pada 2025 dengan pelaksanaan subsidi bersasar RON95

    Bank Negara Malaysia menjangkakan bahawa tahap inflasi di Malaysia dijangka akan berada secara purata antara 2% dan 3.5% pada 2025. Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour memaklumkan, anggaran itu mengambil kira polisi dalam negeri seperti yang digariskan dalam Belanjawan 2025, termasuklah pelaksanaan subisidi bersasar untuk RON 95 serta perluasan skop bagi cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

    “Setakat ini bagi 2024, kedua-dua inflasi utama dan inflasi teras mempunyai adalah pada kadar 1.8% dan dijangka akan kekal sepanjang baki tahun ini,” jelas Abdul Rasheed, memetik laporan NST dan Malay Mail. Beliau menambah, inflasi utama dan inflasi teras kekal stabil pada kadar 1.9% bagi suku ketiga 2024.

    “Walaupun terdapat ruang bagi inflasi lebih tinggi bagi sesetengah perkara, mislanya diesel (20.1%, naik 5.3% pada suku kedua 2024) dan insurans kenderaan (0.8%, naik dari -0.1 pada suku kedua 2024), ini diimbangkan kembali oleh penyederhanaan yang lebih luas bagi inflasi makanan dan minuman (1.6%, turun dari 1.9% dari suku kedua 2024),” tambahnya.

    Keseluruhannya, perkongsian bagi indeks harga pengguna (CPI) merekodkan kenaikan harga bulanan adalah lebih rendah dengan 38.9% pada suku ketiga 2024 berbanding 48.4% pada suku kedua 2024.

     
     
  • Subsidi petrol RON95: Kos sara hidup termasuk pekerjaan dan tanggungan individu diambil kira

    Subsidi petrol RON95: Kos sara hidup termasuk pekerjaan dan tanggungan individu diambil kira

    Bagi menetapkan penyaluran subsidi bersasar petrol RON 95, petunjuk kos sara hidup rakyat, termasuk tanggungan dan pekerjaan individu, akan diambil kira.

    Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh, petunjuk itu merangkumi statistik Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) yang dibangunkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), laporan Harian Metro.

    “Berkenaan dengan RON95, sekiranya penyasaran subsidi berlaku kelak, tentunya dia akan ada impak kepada isi rumah yang menggunakan RON95. Jadi, dalam kajian yang dibangunkan DOSM yang mana KPDN turut serta diberi taklimat, memang (petunjuk kos sara hidup ini) diambil kira.

    “Maknanya, kalau ada dua kereta, kalau ada dua orang bekerja, isteri dan suami bekerja, anak sekolah yang kecil, yang pergi sekolah, belajar universiti, semua termasuk dalam perkiraan petunjuk kos sara hidup ini,” katanya menjawab soalan tambahan Azahari Hasan (PN-Padang Rengas) di Dewan Rakyat hari ini.

    Sebelum ini, DOSM telah melancarkan statistik baharu bagi petunjuk kos sara hidup yang merangkumi PAKW dan IKSH, sebagai panduan dalam perancangan dasar bersesuaian, malah rujukan kepada rakyat dalam merancang dan menguruskan kewangan serta perbelanjaan.

     
     
  • Lexus ES facelift 2026 didedah – dapat lampu, gril dan skrin sesentuh 14 inci baru, enjin masih sama

    Lexus ES facelift 2026 didedah – dapat lampu, gril dan skrin sesentuh 14 inci baru, enjin masih sama

    Selepas banyak gambar tersebar minggu lalu, Lexus ES generasi ketujuh versi facelift kedua akhirnya didedahkan secara rasmi kepada orang ramai semasa Auto Guangzhou di China. Sedan eksekutif Jepun ini menerima beberapa perubahan gaya serta peningkatan teknologi di luar dan dalam, tetapi masih mengekalkan enjin yang sama.

    Pada bahagian luar, ia mendapat gril “seamless” seperti RX, yang menunjukkan peralihan daripada warna badan ke bahagian terbuka melalui beberapa kemasan berpetak. Ia kemudiannya diapit lampu yang menerima bahagian dalam baru dengan pencahayaan berbentuk L. Motif sama digunakan pada lampu belakang dan disambungkan dengan jalur menyala di tengah.

    Pada bahagian dalam, susun atur di tengah papan pemuka adalah serba baru, memberikan ruang untuk skrin sesentuh 14 inci (sebelum ini 12.3 inci). Sistem infotainmen Lexus Interface yang sudah diperkenalkan sejak tahun 2022 kini diberikan dengan dua tombol untuk mengawal sistem pendingin hawa dan fungsi lain, seperti NX generasi kedua.

    Lexus ES facelift 2026 didedah – dapat lampu, gril dan skrin sesentuh 14 inci baru, enjin masih sama

    Perubahan ini menyebabkan corong udara di bahagian tengah serta separuh bahagian bawah papan pemuka perlu direka semula. Bahagian lain dalam kabin tidak berubah, kecuali tombol gear, yang diberitahu oleh Lexus sebagai lebih memenuhi minat pelanggan muda di China.

    Sama seperti sebelum ini, anda masih akan mendapat ciri seperti panel instrumen digital tujuh inci, kemasan kayu hiasan, tempat duduk dibalut kulit semi-aniline dengan kawalan elektrik, fungsi memori dan liang pengudaraan, pemanas tempat duduk belakang, bumbung panoramik, pendingin hawa tiga zon Climate Concierge, pengecas tanpa wayar Qi dan sistem bunyi Mark Levinson 17 pembesar suara.

    Pakej Lexus Safety System diberikan secara standard, dengan termasuk Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control dengan stop and go dan pengurangan laju selekoh, Lane Centring Assist, Evasive Steering Assist, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert. Beg udara ada lebih daripada 10.

    Secara mekanikalnya, dua varian yang ditawarkan di China masih menggunakan enjin sama. ES200 digerakkan oleh unit empat silinder NA 2.0 liter bersama padanan transmisi CVT Direct Shift, menghasilkan kuasa 173 PS pada 6,600 rpm dan tork 206 Nm dari 4,600 ke 5,500 rpm.

    Sementara itu, ES300h pula menerima enjin empat silinder 2.5 liter dengan kuasa 178 PS pada 5,700 rpm dan tork 221 Nm dari 3,600 ke 5,200 rpm. Ia dipadankan bersama motor elektrik 120 PS/202 Nm, serta transmisi eCVT untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 218 PS.

     
     
  • Suzuki Jimny Arctic dilancarkan di Malaysia – RM168k

    Suzuki Jimny Arctic dilancarkan di Malaysia – RM168k

    Naza Eastern Motors melancarkan satu varian baru untuk Suzuki Jimny 3-Door, dipanggil sebagai Arctic. Ia dijual pada harga RM167,900 tidak termasuk insurans, dan datang dengan pelbagai perincian unik untuk menjadikannya lebih bergaya. Untuk tempoh terhad, pembeli awal model ini akan diberikan dengan rebat RM7,000.

    Pada bahagian luar, Jimny Arctic ini diberikan dengan visor pintu, filem penapis cermin tiga panel, penutup tayar berkonsepkan Arctic dan penghadang lumpur warna hitam. Berbeza berbanding Jimny biasa, versi Arctic ini datang dengan gril, bampar hadapan dan belakang, rocker panel serta lengkuk roda berwarna Pearl White.

    Di bahagian dalam pula, anda akan menemui kemasan tambahan di keliling skrin sistem infotainmennya, alas kaki tebal serta tempat duduk yang dibalut kulit Nappa dua tona. Lain daripada perincian ini, kelengkapannya adalah sama seperti Jimny biasa, termasuk enjinnya.

    Menggerakkan Jimny ini adalah enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter VVT, yang menghasilkan kuasa 100 hp pada 6,000 rpm dan tork 130 Nm pada 4,000 rpm. Ia digabungkan bersama kotak gear automatik empat kelajuan serta sistem pacuan empat roda dengan transfer box low-range.

    Selain Jimny Arctic ini, Naza Eastern Motor turut memperkenalkan pilihan warna baru untuk Jimny 3-Door, iaitu Pearl White dan Chiffon.

     
     
  • Isuzu bakal dedah enjin 2.2L MaxForce baharu untuk trak pikap D-Max dan SUV MU-X; ganti enjin 3.0L?

    Isuzu bakal dedah enjin 2.2L MaxForce baharu untuk trak pikap D-Max dan SUV MU-X; ganti enjin 3.0L?

    Menerusi satu video yang telah disiarkan, Isuzu memberikan bayangan bahawa enjin baharunya yang digelar sebagai MaxForce untuk trak pikap D-Max dan kembarnya SUV ladder frame MU-X bakal diperkenalkan dalam sedikit masa sahaja lagi.

    Enjin MaxForce ini diasaskan dari enjin RZ4E 1.9 liter empat-silinder turbodiesel, tetapi lebih ‘berkuasa’ dan lebih ‘laju’ menerusi kapasiti enjin yang lebih besar iaitu 2.2 liter dan juga dipadankan dengan pengecas turbo baharu, menurut laporan Headlight Magazine.

    Buat masa sekarang versi paling berkuasa D-Max dan MU-X dijana oleh enjin 4JJ3-TCX 3.0 liter turbodiesel yang menjana 190 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,600 rpm. Sama ada enjin MaxForce baharu ini akan menggantikan sepenuhnya enjin 3.0 liter berkenaan atau ditawarkan bersama-sama masih belum diketahui.

    Isuzu bakal dedah enjin 2.2L MaxForce baharu untuk trak pikap D-Max dan SUV MU-X; ganti enjin 3.0L?

    Isuzu Malaysia mula memperkenalkan enjin 1.9 liter turbodiesel menerusi D-Max facelift 2019. Ia menghasilkan kuasa 150 PS pada takat 3,600 rpm dan tork 350 Nm bermula 1,800 rpm hingga 2,600 rpm, bagi menggantikan pilihan enjin lebih besar 2.5 liter turbodiesel yang hanya menghasilkan kuasa 136 PS/320 Nm sebelum itu.

    Buat masa sekarang varian paling rendah Isuzu D-Max iaitu 1.9L 4×4 Single-cab dijual pada harga bermula RM99k, manakala varian paling mahal 3.0L 4×4 AT X-Terrain dijual pada harga RM158k.

     
     
  • 532,125 nahas jalan raya antara Jan-Okt 2024; 5,364 kemalangan maut, 68% babitkan motosikal – MOT

    532,125 nahas jalan raya antara Jan-Okt 2024; 5,364 kemalangan maut, 68% babitkan motosikal – MOT

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah mengumumkan bahawa dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini, sebanyak 532,125 nahas jalan raya direkodkan. Ia melibatkan 5,364 kes kemalangan maut dan 68% daripada kematian membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

    Katanya, situasi itu menunjukkan penekanan terhadap keselamatan jalan raya perlu diperkukuh secara berkesan dan berterusan di setiap peringkat lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan penunggang serta pembonceng motosikal, laporan Bernama.

    “Justeru Klinik Penunggangan Selamat adalah satu pengisian Program Komuniti Keselamatan Jalan Raya bersempena sambutan Hari Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2024 (WDOR 2024).

    “Ia dilihat dapat memberi manfaat kepada pengguna motosikal berkaitan pengetahuan tentang peraturan lalu lintas, meningkatkan kesedaran dan kemahiran keselamatan penunggangan motosikal dalam pelbagai situasi untuk bertindak dengan cepat dan tepat,” katanya.

    532,125 nahas jalan raya antara Jan-Okt 2024; 5,364 kemalangan maut, 68% babitkan motosikal – MOT

    Pada bulan lalu, Hasbi mendedahkan lebih 6,000 kematian akibat nahas jalan raya direkodkan setiap tahun dengan purata satu nyawa terkorban akibat nahas berkenaan bagi setiap 80 minit.

    “Untuk mencapai matlamat pengurangan 50% jumlah kematian akibat nahas jalan raya menjelang 2030, aliran transformasi melalui pemanduan merupakan strategi utama bagi mencegah kemalangan iaitu dengan cara menjadikan kecekapan pemandu atau pengguna mematuhi peraturan keselamatan jalan raya pada tahap optimum.

    “Justeru, pelbagai inisiatif yang mampu mengurangkan kadar kemalangan, kecederaan dan kematian secara signifikan dalam masa singkat dilaksanakan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan kerjasama Institut Memandu (IM) di negara ini,“ katanya.

     
     
  • Gudang alat ganti MG dibuka di Lembah Klang

    Gudang alat ganti MG dibuka di Lembah Klang

    Pengedar jenama MG di Malaysia, SAIC Motor Malaysia mengumumkan jenama berkenaan kini sudahpun mempunyai gudang alat ganti khusus untuk kawasan Lembah Klang, diwujudkan bagi meningkatkan kecekapan serta mempercepatkan tempoh pembaikkan sesebuah kenderaan.

    Gudang tersebut menyimpan lebih daripada 22,000 alat ganti dengan 4,500 unit penyimpanan stok (SKU), dan ia membekalkan komponen-komponen gantian bukan hanya untuk model-model EV MG seperti MG4, MG ZS dan MG Cyberster Roadster yang bakal dilancarkan, malah turut menyediakan alat-alat ganti untuk model dengan enjin pembakaran dalaman termasuk MG5 dan MG HS.

    Selain dari gudang ini, jenama MG di Malaysia kini sudah mempunyai 12 pusat servis yang sudah beroperasi dan bakal ditambah dengan 13 lagi yang bakal dibuka tidak lama lagi. Malah baru-baru ini SAIC Motor Malaysia turut sudah mengiktiraf 39 juruteknik baharu MG bagi membantu khidmat selepas jualannya.

    “Kami amat berterima kasih kepada pemilik atas kepercayaan mereka terhadap kenderaan MG. Misi kami adalah untuk memberikan sokongan selepas jualan yang terbaik,” kata Emory Qi, Pengarah Urusan SAIC Motor Malaysia.

    “Matlamat kami adalah untukmemberikan perkhidmatan yang proaktif dan boleh dipercayai, memastikan setiap kenderaan MG diservis dengan segera dan sedia untuk perjalanan,” tambahnya lagi.

     
     
  • Minyak, gas di Semenanjung Malaysia makin susut

    Minyak, gas di Semenanjung Malaysia makin susut

    Rizab minyak dan gas Semenanjung Malaysia makin berkurangan kira-kira 50%, iaitu separuh daripada 700,000 tong sehari sejak lima hingga 10 tahun lalu, kini sekitar 350,000 tong sehari sahaja, ujar Menteri Ekonomi Rafizi Ramli seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.

    “Dalam tempoh 10 tahun (rizab minyak dan gas Semenanjung Malaysia) telah berkurangan separuh dan ia akan habis lebih cepat,” katanya semalam pada Sesi Penglibatan Kementerian Ekonomi Rancangan Malaysia Ke-13 dengan kerajaan negeri Kelantan.

    Rafizi berkata rizab minyak dan gas Semenanjung Malaysia yang rendah menyukarkan kerajaan dari segi pengagihan dan penentuan peruntukan kepada setiap negeri.

    “Walaupun Malaysia baik dari segi pertumbuhan ekonomi, gaya hidup berubah, dulu naik motosikal ke kereta, tetapi gaji tak naik, perniagaan tak besar akhirnya perbelanjaan lebih besar daripada pendapatan yang ada. Jadi kalau kita tak tukar cara kita, maka kita akan hidup di luar kemampuan.

    “Sekarang di Semenanjung, kita dah mengimport 30% gas untuk menjana elektrik dalam industri dan jika tidak berhati-hati atau tidak ada langkah baik maka kita akan terus bergantung kepada negara asing,” katanya.

    Beliau turut menambah, sumber yang masih ada di Sabah dan Sarawak pula digunakan bagi memenuhi tuntutan dan penggunaannya di kedua-dua negeri itu.

    “Ada juga usaha untuk dipertimbangkan kembali cara penagihan pendapatan sumber Sabah dan Sarawak ini. Selain memenuhi tuntutan Sabah dan Sarawak, sumber ini sebahagian besar memang dieksport dan diikat dengan perjanjian jangka panjang oleh pembeli-pembeli,” katanya.

     
     
  • BYD M6 EV – hampir 1,000 unit telah ditempah hanya sebulan selepas dilancarkan pada pasaran Malaysia

    BYD M6 EV – hampir 1,000 unit telah ditempah hanya sebulan selepas dilancarkan pada pasaran Malaysia

    Selepas model-model seperti Honda Stream dan Proton Exora tidak lagi dijual di Malaysia, pengguna-pengguna tempatan sudah tidak ada lagi pilihan untuk mendapatkan MPV segmen-C baharu. Namun pada 15 Oktober lalu BYD telah melancarkan MPV dengan saiz sedemikian pada pasaran tempatan, tetapi dengan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV) iaitu BYD M6.

    Model berkenaan nampaknya mendapat sambutan yang agak baik kerana baru sebulan dilancarkan, BYD Malaysia telah pun menerima hampir 1,000 unit tempahan. Perkara ini telah disebut oleh pengarah urusan Sime Darby Motors Asia Tenggara, Hong Kong dan Macau, Jeffrey Gan ketika melancarkan BYD Sealion minggu lalu.

    BYD M6 dihasilkan dengan dimensi 4,695 mm panjang dan juga jarak roda sejauh 2,800 mm. Jadi ia bukan sahaja 220 mm lebih panjang dari MPV segmen-B Mitsubishi Xpander, malah turut 70 mm lebih panjang dari Proton Exora. Pasaran Malaysia menerima M6 dalam dua varian iaitu varian asas Standard dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM109,800, manakala model spesifikasi paling tinggi Extended pula berharga RM123,800.

    BYD M6 EV – hampir 1,000 unit telah ditempah hanya sebulan selepas dilancarkan pada pasaran Malaysia

    Kedua-dua varian tersebut menerima motor elektrik tunggal yang memacu roda hadapan. Untuk varian asas Standard, motor yang dibekalkan menghasilkan kuasa 163 PS (160 hp atau 120 kW) dan tork 310 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10.1 saat. Manakala varian tertinggi Extended menerima motor elektrik dengan kuasa lebih besar iaitu 205 PS (201 hp atau 150 kW), membolehkan ia membuat pecutan sama dalam masa 8.6 saat.

    M6 varian Standard dan Extended ini menerima bateri litium logam fosfat (LFP) Blade, tetapi dengan kapasiti berbeza. Bateri pada varian Standard adalah berkapasiti 55.4 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 350 km, manakala varian Extended pula berkapasiti 71.8 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 450 km – kedua-duanya dalam kitaran ujian WLTP.

    Untuk pengecasan, M6 Standard boleh menerima pengecas pantas DC 89 kW, manakala varian Extended boleh menerima sehingga 115 kW, membolehkan bateri dipenuhkan dari 10%-80% dalam masa hanya 40 minit. Ia juga boleh dicas menggunakan sistem AC, di mana kedua-duanya hanya menerima sehingga 7 kW.

    BYD M6 EV – hampir 1,000 unit telah ditempah hanya sebulan selepas dilancarkan pada pasaran Malaysia

    Antara perincian standard yang dibekalkan termasuk skrin tengah 12.8-inci yang boleh diputar dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, enam-pembesar suara, paparan instrumen analog bersama skrin pelbagai info TFT lima-inci, upholsteri kulit sintetik, kad kunci NFC, penghawa dingin automatik dengan penapis PM 2.5, cermin pandang belakang auto-malap, fungsi V2L dan brek parkir automatik dengan fungsi brake hold.

    Manakala varian Extended menerima penambahan fungsi seperti bumbung panaromik, tempat duduk hadapan larasan kuasa (enam-hala pemandu dan empat hala penumpang), pengecas telefon pintar tanpa wayar, rak bumbung, set pedal aloi, pintu tailgate berkuasa dan lampu tinggi automatik.

    BYD M6 2024 Extended

    BYD M6 2024 Standard

     
     
  • Persimpangan Bertingkat Shah Alam ditutup untuk turap jalan hari ini dari 10 malam hingga 5.30 pagi esok

    Persimpangan Bertingkat Shah Alam ditutup untuk turap jalan hari ini dari 10 malam hingga 5.30 pagi esok

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan penutupan sementara secara berperingkat dilaksanakan di Persimpangan Bertingkat Shah Alam pada hari ini (18 Nov 2024), dari jam 10 malam hingga 5.30 pagi pada 19 November.

    Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penambahbaikan penyelenggaraan turapan jalan di lokasi terbabit yang dilakukan sejak semalam (17 Nov). Sila rujuk info grafik di atas untuk mengetahui tentang laluan yang terlibat.

    “Pengguna lebuhraya dari arah selatan menghala ke Plaza Tol Shah Alam dinasihatkan untuk keluar di Plaza Tol Ebor (arah Selatan) atau membuat pusingan-U di Plaza Tol Setia Alam (NKVE). Sila patuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • BHPetrol rai pemenang ‘Pam &Beli, Syoknya Menang!’ – hadiah utama dapat tunai RM5k, kad petrol RM4.8k

    BHPetrol rai pemenang ‘Pam &Beli, Syoknya Menang!’ – hadiah utama dapat tunai RM5k, kad petrol RM4.8k

    Boustead Petroleum Marketing Sdn Bhd (BHPetrol) telah mengadakan majlis penyampaian hadiah bagi peraduan BHPetrol ‘Peraduan Pam & Beli, Syoknya Menang!’ di BHPetrol Bandar Seri Botani, Ipoh, Perak yang diadakan semalam.

    Peraduan yang berlangsung dari 1 Julai hingga 31 Ogos 2024 di stesen-stesen BHPetrol yang terlibat telah memberi ganjaran kepada 40 pemenang dari seluruh Semenanjung Malaysia. Di mana 10 pemenang bertuah berjaya membawa pulang hadiah utama berupa RM5,000 tunai dan kad petrol bernilai RM4,800 bagi setiap pemenang.

    Mereka yang bertuah ialah Sukri Mohamed Said, Mohamed Rafiq, Samsul Alias, Ng Poh Chen, Ho Jaan Hoong, Leong Sein Kein, Amirul Azwan Hamzah, Nazri Ariffin, Leong Kar Ngah dan Pang Lee Hsien. Manakala 10 pemenang tempat kedua pula mendapat tunai sebanyak RM3,000 tunai dan kad petrol bernilai RM4,800 setiap pemenang, dan 20 pemenang lain memenangi hadiah ketiga berupa Baucar BHPetrol bernilai RM3,000 setiap seorang.

    Sepanjang tempoh promosi, setiap pelanggan BHPetrol yang membelanjakan nilai minimum RM40 bagi setiap transaksi untuk produk minyak atau produk barangan runcit secara automatik layak untuk menyertai peraduan ini. Keistimewaan khas diberikan kepada ahli eCard BHPetrol di mana setiap penyertaan mereka dikira dua kali ganda berbanding dengan peserta bukan ahli yang menyertai melalui borang Kod QR.

    “Kami terharu dengan sambutan yang baik dan penyertaan yang tinggi dalam peraduan. Tawaran menarik kami berjaya menarik ramai pelanggan baharu serta pelanggan setia kami untuk mengunjungi BHPetrol. Kami berharap hadiah yang dimenangi akan memberi kegunaan kepada para pemenang dalam keperluan harian mereka.” kata Ir. Azizul Azily Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif BHPetrol.

    Dalam acara yang sama, BHPetrol turut mengumumkan peraduan terbarunya “Peraduan Belanja Hingga Puas” yang sedang berlangsung dari 1 November 2024 hingga 31 Disember 2024, dengan hadiah istimewa untuk ahli eCard BHPetrol untuk merebut peluang memenangi jumlah hadiah tunai sebanyak RM200,000.

    Selama lapan minggu, RM5,000 tunai akan diberikan kepada lima pemenang mingguan setiap minggu. Untuk menyertai, pembelian minimum RM40 produk petrol (RON95 atau RON97) diperlukan di stesen-stesen BHPetrol.

     
     
  • Moto Morini Calibro 700 tiba di Malaysia – RM35,888

    Moto Morini Calibro 700 tiba di Malaysia – RM35,888

    Setelah lama Moto Morini tidak mempunyai model baru untuk pasaran Malaysia, kini tiba Calibro 700, yang dilancarkan untuk jualan pada harga RM35,888 tidak termasuk insurans. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan selama dua tahun tanpa had batuan.

    Membawa identiti sebagai sebuah cruiser, Calibro 700 datang dengan reka bentuk yang menawarkan tunggangan santai, dengan terdapat fairing jenis separuh di bahagian lampunya. Dalam keadaan standard, ia datang dengan beg barangan tepi, yang setiap satunya berkapasiti 20 liter.

    Satu ciri menarik Calibro 700, peletak kakinya boleh diubah kepada dua kedudukan, sama ada yang lebih santai ke hadapan atau tegak seperti biasa. Kemudiannya pada bahagian fairing itu terdapat dua poket barangan kecil dan soket USB disediakan di bahagian tepi.

    Menggerakkan Calibro 700 adalah enjin dua silinder selari DOHC penyejukan cecair 693 cc yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 74 hp pada 8,500 rpm dan tork 68 Nm pada 6,500 rpm, untuk dihantar kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan serta sistem tali sawat.

    Memegang padanan rim 18 inci di hadapan dan 16 inci di belakang pada motosikal ini masing-masing adalah fork teleskopik 41 mm dan dua penyerap hentak dengan pelarasan pra beban. Brek cakera digunakan pada kedua-dua roda, dengan angkup J.Juan dua piston di hadapan dan satu piston di belakang.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada Calibro 700 adalah termasuk tangki bahan api 15 liter, panel meter gabungan analog dan digital, semua lampu jenis LED serta ABS dual-channel. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 228 kg.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025