Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 21-27 Nov – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 21-27 Nov – Masih tiada perubahan

    Bagi minggu bertarikh 21 hingga 27 November 2024, Kementerian Kewangan mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel dikekalkan.

    Ini bermakna petrol RON 97 masih berharga RM3.19 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Menerusi perbentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penyasaran subsidi bagi petrol RON95 akan diumumkan pada pertengahan tahun hadapan. Buat masa ini, tiada lagi tarikh ditetapkan, dan bagaimana ia akan dilaksanakan, namun Anwar memberitahu penyasaran subsidi ini hanya akan melibatkan golongan ‘mahakaya’ dan tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.

     
     
  • Honda CRF300L, CRF300 Rally 2025 diperkenal – sistem penyejukan, suspensi ditambah baik, Euro5+

    Honda CRF300L, CRF300 Rally 2025 diperkenal – sistem penyejukan, suspensi ditambah baik, Euro5+

    Kali terakhir diberi peningkatan besar pada tahun 2020, Honda CRF300L kini diberi lagi penambah baikan bagi model keluaran tahun 2025. Ia bagaimanapun tidak begitu ketara dengan antaranya pada sistem pengurusan haba serta talaan suspensi.

    Melihat pertamanya kepada versi biasa CRF300L, kedudukan fan diubah (bersama jeriji hadapannya) untuk memberikan penyejukan yang lebih baik, serta panel tepi direka semula untuk mengalihkan udara panas jauh daripada penunggang. Kemudiannya, lampu hadapan kini menggunakan unit LED, dengan bentuk yang lebih leper, berbanding membonjol sebelum ini. Di tepinya pula terdapat lampu penunjuk arah LED baru.

    Suspensi masih lagi sama, iaitu fork dan monoshock Showa dengan jarak gerak 260 mm, tetapi tetapan spring dan daya serapannya telah dilaras semula untuk menjadikannya lebih stabil dan selesa. Warna baru yang ditawarkan untuk CRF300L 2025 adalah Extreme Red dan Swift Grey.

    Pergi pula kepada versi Rally yang mempunyai penampilan inspirasi daripada jentera rali Dakar, ia juga menerima penambah baikan suspensi, lampu penunjuk arah serta sistem penyejukan yang sama, tetapi menampakkan perubahan bentuk panel tepi (berhampiran ekzos) yang lebih jelas.

    Bahagian mekanikal lain CRF300L dan CRF300 Rally ini tidak berubah, termasuk enjin yang masih merupakan unit satu silinder, DOHC, penyejukan udara 286 cc yang mampu menghasilkan 27 hp pada 8,500 rpm dan tork 26.6 Nm pada 6,500 rpm. Walaubagaimanapun, enjin yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan ini sekarang sudah menerima penarafan emisi Euro5+.

    Honda CRF300L, CRF300 Rally 2025 diperkenal – sistem penyejukan, suspensi ditambah baik, Euro5+

    Sebagai sebuah motosikal dual purpose, CRF300 didatangkan dengan rim spoked saiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, manakala kedudukannya juga lebih tinggi berbanding motosikal biasa dengan jarak dari tanah 285 mm dan tinggi tempat duduk 880 mm.

    Versi biasa CRF300L mendapat tangki bahan api 7.8 liter sementara Rally dinaik taraf dengan kapasiti lebih besar, iaitu 12.8 liter. Disebabkan itu juga Rally mencatat berat yang lebih, iaitu 153 kg, sementara CRF300L cuma 142 kg. Kelebihan lain CRF300 Rally adalah ia mempunyai penghadang angin hadapan serta pelindung enjin.

    GALERI: Honda CRF300L 2025

    GALERI: Honda CRF300 Rally 2025

     
     
  • Proton Saga 2026 – ini imej sebenar yang tertiris?

    Proton Saga 2026 – ini imej sebenar yang tertiris?

    Ogos lalu Proton telah mengesahkan bahawa ia kini sudahpun mula membangunkan model baharu Proton Saga bagi menggantikan model sedia. Menurut Proton, Saga baharu tersebut masih akan diasaskan dari platform sedia ada dan pembangunan awalnya telah dimulakan di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Proton di Teluk Hangzhou, China tetapi masih diketuai oleh jurutera R&D dari Malaysia.

    Hari ini ada satu gambar misteri telah tersebar di internet yang mendakwa bahawa ia adalah Saga generasi baharu tersebut. Ia dimuat naik di paultan.org Automotive/Car Facebook group, namun tiada maklumat dari mana gambar ini bocor, dan tak dapat dipastikan sama ada ia adalah gambar sebenar atau lakaran digital.

    Namun apa yang membuatkan imej ini nampak real adalah bentuk badan kereta itu sendiri di mana bahagian but belakang yang pendek dan badan yang tinggi agak menyerupai Saga sedia ada. Apa yang berlainan adalah bahagian pintu belakangnya menampilkan garis pada cermin suku lebih ternaik ke atas, dan ia menerima lampu belakang yang direka nipis seperti abangnya iaitu Proton S70.

    Skrip ‘Proton’ kelihatan pada bar yang merentangi penutup but bagi menghubungkan lampu kiri dan kanan, manakala skrip ‘Saga’ pula dilekat pada bahagian bawah kanan penutup but berkenaan. Bampar belakang pula kelihatan hampir sama dengan model sedia ada yang menampilkan reflektor merah diletakkan ‘berdiri’ pada sisi kiri dan kanan, dengan diffuser diberikan rekaan dua tip ekzos palsu, tetapi kali ini diberikan kemasan krom.

    Proton Saga 2026 – ini imej sebenar yang tertiris?

    Saga ini nampaknya dipadankan dengan rim aloi dua tona pelbagai jejari. Dan satu lagi perincian yang membuatkan ia mungkin petunjuk bahawa ini adalah gambar sebenar adalah kedudukan lubang pengisi bahan api yang terletak pada bahagian kiri.

    Model-model yang dibangunkan sendiri oleh Proton lazimnya mempunyai lubang pengisi bahan api pada sebelah kanan, manakala model-model yang disadur dari Geely menampilkan lubang pada sebelah kiri. Seperti yang diketahui pembangunan awalan Saga baharu ini dibuat di China, mungkin ia juga akan mula menampilkan lubang pengisi petrol pada sebelah kiri?

    Sehingga kini Proton secara rasmi masih belum mengumumkan bila Saga baharu ini akan membuat kemunculan sulung, namun ada bayangan bahawa ia mungkin akan diperkenalkan pada 2026. Ini kerana sebelum ini Proton sudahpun mengesahkan model Saga sedia ada akan dihentikan pengeluarannya di Shah Alam pada 2025, dan ia akan berpindah sepenuhnya ke Tanjong Malim pada 2026 – bermakna kilang baharu berkenaan akan disediakan untuk produksi model baharu ini.

    Apa pendapat anda? Adakah ini gambar Saga baharu sebenar yang bocor di internet, atau ia adalah imej buatan digital? Kongsikan pendapat anda pada ruang komen di bawah atau laman-laman sosial kami.

    Kemaskini: Kami sudahpun menjumpai sumber gambar ini menerusi video di bawah, dan ia sebenarnya dihasilkan oleh janaan AI

     
     
  • Triumph Tiger Sport 660 terima peningkatan teknologi

    Triumph Tiger Sport 660 terima peningkatan teknologi

    Meskipun sudah memperkenalkan Tiger Sport 800, Triumph nampaknya masih tidak melupakan Tiger Sport 660, dengan model tahun 2025 diberikan peningkatan kebanyakannya pada bahagian kelengkapan dan teknologi.

    Kini, model yang diletakkan oleh Triumph dalam kategori motosikal adventure kelas pertengahan ini menerima sistem sambungan telefon pintar yang boleh memaparkan petanda navigasi, cruise control serta quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear.

    Kemudiannya, dua mod tunggangan sedia ada (Road/Rain) ditambah dengan satu lagi mod iaitu Sport. Optimised Cornering ABS dan kawalan cengkaman (boleh ditutup) juga datang secara standard pada motosikal ini.

    Bahagian lain Tiger Sport 660 masih sama seperti sebelum ini, bermula dengan enjin yang menggunakan unit tiga silinder DOHC bersama kotak gear enam kelajuan (klac slip and assist), mampu menghasilkan kuasa 81 PS pada 10,250 rpm dan 64 Nm tork pada 6,250 rpm.

    Direka untuk pelbagai kegunaan, model ini datang dengan penghadang angin hadapan boleh laras secara manual, tangki bahan api 17.2 liter serta suspensi dari Showa yang terdiri daripada fork USD 41 mm di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Sebagai sebuah motosikal yang lebih fokus kepada tunggangan jalan biasa, Tiger Sport 660 dipasang dengan rim aluminium 17 inci, dan kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek cakera berkembar 310 mm dan angkup dua piston di hadapan, cakera 255 mm dengan angkup satu piston di belakang serta semua lampu jenis LED. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 207 kg manakala tinggi tempat duduknya adalah 835 mm.

     
     
  • SDAC Ford bakal anjur Raptor Rev pada suku pertama 2025 – acara off-road khas untuk Ranger Raptor

    SDAC Ford bakal anjur Raptor Rev pada suku pertama 2025 – acara off-road khas untuk Ranger Raptor

    Pengedar Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) mengumumkan bahawa satu acara off-road perdana bakal dianjurkan pada tahun hadapan khas untuk pemilik-pemilik trak pikap prestasi tinggi Ford Ranger Raptor. Acara yang digelar sebagai Ford Raptor Rev berkenaan dijadualkan bakal berlangsung pada suku pertama 2025.

    Menurut SDAC, buat masa sekarang Ford Ranger generasi baharu telah terjual lebih dari 4,000 unit pada pasaran tempatan. Model berkenaan ditawarkan dalam versi enjin petrol EcoBoost 3.0L V6 Twin Turbo berkuasa 397 PS/583 Nm yang dilancarkan pada Oktober 2022, dan juga versi enjin 2.0L Bi-Turbodiesel berkuasa 210 PS/500 Nm yang mula dijual pada Jun 2023.

    SDAC menyatakan bahawa Ranger Raptor Rev ini akan berlangsung selama sehari, dan ia “akan memberi peluang kepada pemilik dan peminat Raptor sebuah pengalaman yang tak ternilai.”

    “Direka khusus untuk pemilik Raptor, acara ini menjanjikan peluang yang tiada tandingannya untuk mengalami sendiri kuasa penuh kenderaan mereka dalam persekitaran mencabar dan mengujakan, disamping memupuk hubungan erat dalam kalangan individu dengan minat yang sama serta sesama komuniti Ranger,” kata Pengarah Urusan SDAC-Ford, Turse Zuhair.

    Perincian lanjut berkenaan acara ini akan diumumkan kemudian. SDAC Ford turut menyatakan bahawa ia turut akan membuat pengumuman berkenaan perincian bagi mereka yang bukan pemilik Ford yang berminat untuk menyertai acara tersebut.

     
     
  • Jaguar lakukan penjenamaan semula ke arah era pengeluaran EV sahaja – imej jenama, logo baru

    Jaguar lakukan penjenamaan semula ke arah era pengeluaran EV sahaja – imej jenama, logo baru

    Jaguar melakukan rombakan semula terhadap imej jenama mereka sebagai tanda permulaan era baru sebagai pengeluar kenderaan EV sahaja, seperti yang diumumkan melalui strategi Reimagine mereka pada tahun 2021.

    Transformasi ini didefinisi sebagai ‘Exuberant Modernism’, yang diberitahu merupakan satu falsafah kreatif yang merangkumi semua aspek dalam dunia baru Jaguar. “Ia meliputi rekaan berani, pemikiran tidak dijangka dan tulen, mencipta karekter jenama yang akan mengarah perhatian melalui kreativiti tanpa gentar,” tertulis di dalam siaran akhbar mereka.

    Perubahan yang dibuat ini juga mengambil asas daripada falsafah pengasas Jaguar, Sir William Lyon yang pernah berkata, “Jaguar tidak sepatutnya menjadi salinan kepada apa-apa.” Bagaimana agaknya rupa model Jaguar masa hadapan nanti? Syarikat itu memberitahu, mereka akan menunjukkan konsep rekaan baru melalui Design Vision Concept, yang akan didedahkan 2 Disember ini semasa acara Miami Art Week.

    Sementara pada masa ini kita masih belum dapat melihat kereta tersebut – teaser sedan EV pernah dikeluarkan baru-baru ini – Jaguar bagaimanapun ada menunjukkan logo baru yang bakal diguna. “Ia adalah satu sambutan penuh kuasa kepada modernism – bentuk geometri, simetri dan kesederhanaan – menggambarkan benda yang tidak boleh dijangka dengan menggabungkan karekter atasan dan bawah dalam imej harmoni,” kata Jaguar. Jika ditulis, ia menjadi ‘JaGUar’.

    Turut didedahkan bersama logo ini adalah tanda unik Jaguar melompat yang sudah digunakan oleh jenama ini sekian lama, dengan monogram baru dikatakan menjadi “kod untuk ekspresi dan penanda tugas yang sudah lengkap.”

     
     
  • Kos cadangan pembinaan LPT3 di Kelantan dijangka meningkat menjadi RM9.8 bilion – Ahmad Maslan

    Kos cadangan pembinaan LPT3 di Kelantan dijangka meningkat menjadi RM9.8 bilion – Ahmad Maslan

    Perkembangan terkini mengenai cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu ke Kampung Tunjong di Kota Bharu, Kelantan, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan kos bagi projek terbabit dijangka meningkat kepada RM9.8 bilion berbanding kos yang dianggar pada 2009 sebanyak RM2.867 bilion.

    Menurut beliau, peningkatan kos itu disebabkan model pembiayaan yang digunakan bagi pembinaan lebuh raya itu adalah berdasarkan pulangan keuntungan melalui kutipan bayaran tol, laporan Bernama.

    “Untuk LPT1, kosnya RM1.477 bilion dari Karak ke Jabor dan tol yang dikenakan hanya untuk penyelenggaraan. Untuk LPT2 yang dibuka pada 2015, kosnya RM4.37 bilion dari Jabor ke Kuala Telemong dan tol (dikenakan) 9.84 sen per kilometer (km), itu hanya untuk penyelenggaraan.

    “Dengan lain perkataan, LPT1 dibuat sepenuhnya menggunakan wang kerajaan Persekutuan manakala LPT2 juga wang kerajaan Persekutuan. LPT3 yang dicadangkan ini pula ia adalah kaedah tol sepenuhnya, itu sebab kosnya RM9.8 bilion atau 60 sen per km dan kos (tol) hujung ke hujung RM70,” katanya menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung kaedah pembiayaan projek LPT3 pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.

    Menjawab soalan asal Shaharizukirnain berhubung keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berkenaan pembinaan LPT3, Ahmad berkata, pelaksanaan permintaan cadangan (RFP) bagi LPT3 sedang diteliti di Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM).

    Kos cadangan pembinaan LPT3 di Kelantan dijangka meningkat menjadi RM9.8 bilion – Ahmad Maslan

    “Sekiranya dipersetujui jawatankuasa di UKAS JPM, cadangan RFP bagi projek LPT3 akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan kelulusan,” katanya.

    Ditanya berhubung faktor yang menyebabkan kajian awal pada 2009 tentang jajaran lebuh raya tersebut perlu dikaji semula, Ahmad Maslan berkata ia bagi memperincikan semula jajaran dan kos bagi cadangan projek itu yang dicadang dilaksanakan secara kerjasama awam swasta (PPP) melalui bidaan bersaing RFP.

    “Mengambil kira tempoh kajian kemungkinan yang dilaksanakan sebelum ini iaitu 15 tahun yang lepas, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja awalan pada 2020 bagi memperincikan semula jajaran dan kos,” katanya.

    Sebelum ini, Ahmad Maslan dilaporkan berkata, projek pembinaan LPT3 akan menggunakan model pembiayaan Bina, Kendali dan Pindah (BOT). Katanya, menerusi kaedah BOT, syarikat pemaju akan membuat pembiayaan pembinaan LPT3 melalui bank serta mendapatkan pulangan keuntungan melalui kutipan bayaran tol dan apabila selesai dalam suatu tempoh, projek dikembalikan kepada kerajaan.

    KKR telah melaksanakan Kajian Kemungkinan LPT3 pada 2009 yang bertujuan untuk menentukan cadangan jajaran lebuhraya tersebut berdaya maju dari aspek teknikal mahupun ekonomi dengan kos projek pada waktu itu dianggarkan RM2.867 billion.

     
     
  • Perodua anjur promosi hujung tahun – Ativa dapat rebat RM1.5k, diskaun RM4k untuk Aruz, hingga 31 Dis

    Perodua anjur promosi hujung tahun – Ativa dapat rebat RM1.5k, diskaun RM4k untuk Aruz, hingga 31 Dis

    Perodua kini sedang menganjurkan promosi ‘Rebat Istimewa Hujung Tahun’ untuk pembelian Ativa dan Aruz sehingga 31 Disember 2024. SUV pengecas turbo kompak Ativa diberikan rebat tunai bernilai RM1,500, manakala MPV tujuh-tempat duduk Aruz pula ditawarkan diskaun berjumlah RM4,000.

    Dilancarkan pada Mac 2021, Ativa masih menjadi satu-satunya model Perodua dengan enjin pengecas turbo. SUV segmen-A ini juga merupakan model pertama Perodua yang menggunakan platform DNGA, yang dijanakan enjin 1.0 liter turbo dengan kuasa 98 PS dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm yang dipadankan bersama kotak gear D-CT, Ativa ditawarkan dengan harga dari RM62,500 untuk model asas X hingga RM73,400 bagi varian tertinggi AV dengan pilihan bumbung hitam.

    Manakala Aruz diperkenalkan pada awal 2019 merupakan MPV tujuh-tempat duduk dengan jarak kelegaan tanah lebuh tinggi berbanding kebanyakan SUV lain iaitu 220 mm. Aruz berbeza dengan abangnya yang juga MPV tujuh-tempat duduk iaitu Alza, kerana ia agak seperti kereta. Untuk yang mahukan kereta dengan pandangan yang lebih jelas dan boleh meredah banjir yang tidak begitu dalam, Aruz memang pilihan yang terbaik.

    Ia diberikan enjin 1.5 liter naturally-aspirated dengan 102 PS/133 Nm, dan kotak gear automatik empat-kelajuan yang menyalurkan pacuan ke gandar belakang. Passion Red telah dimasukkan sebagai pilihan warna baharu pada akhir 2021.

    Jika berminat, selain berkunjung ke bilik pameran, anda juga boleh menempah menerusi Perodua Online Booking.

     
     
  • Kia Sportage 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 1.6T, 7DCT atau 2.0L NA, 6AT; dilancar di KLIMS

    Kia Sportage 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 1.6T, 7DCT atau 2.0L NA, 6AT; dilancar di KLIMS

    Pengedar rasmi kenderaan Kia di Malaysia, Dinamikjaya Motors telah mengumumkan mula mengambil tempahan bagi SUV Kia Sportage 2025. Selepas penantian yang agak lama untuk model ini, ia bakal ditawarkan sebagai unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang Inokom di Kulim, Kedah.

    Bakal dilancarkan secara rasmi ketika acara Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) Disember nanti, Malaysia akan menerima Sportage generasi kelima (NQ5) dalam versi sebelum facelift terbarunya, yang diperkenalkan pada Jun 2021. Kenapa? Menurut Dinamikjaya, model facelift terbaru yang diperkenalkan bulan ini hanya telah dilancarkan secara eksklusif untuk Korea Selatan sahaja ketika ini.

    “Kami menjangkakan pengenalan model facelift terbaru itu akan dilakukan dalam tempoh dua tahun lagi. Selain itu, kenaikan harga juga mungkin akan berlaku untuk model terkini berkenaan, bukan hanya untuk pasaran Malaysia tetapi untuk pasaran lain juga,” jelas syarikat itu. Pasaran Thailand dan Indonesia juga belum menerima Sportage NQ5 ini.

    Kia Sportage 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 1.6T, 7DCT atau 2.0L NA, 6AT; dilancar di KLIMS

    Dari segi spesifikasi, Sportage akan ditawarkan dalam dua versi enjin petrol untuk Malaysia. Yang pertama ialah unit 2.0 liter NA empat-silinder sebaris yang menghasilkan 156 hp dan 192 Nm tork yang digandingkan dengan transmisi automatik enam-kelajuan.

    Yang kedua ialah unit 1.6 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menghasilkan 177 hp dan 265 Nm serta diganding bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan. Belum ada perincian tentang berapa varian yang akan ditawarkan, dan sama ada 2WD atau AWD.

    Untuk kelengkapan, Sportage terbaru ini akan dilengkapi dengan fungsi keselamatan seperti Forward Collision-Avoidance Assist (FCA; AEB), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance (BCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance (RCCA) dan banyak lagi.

    Kia Sportage 2025 dibuka tempahan di Malaysia — 1.6T, 7DCT atau 2.0L NA, 6AT; dilancar di KLIMS

    Lain-lain ciri termasuklah kluster instrumen digital 12-.3-inci serta sistem infotainmen yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay. Varian lebih tinggi juga akan dilengkapi dengan ciri keselesaan lain seperti lampu ambient, kawalan pendingin dua zon dan sistem bunyi Harman Kardon.

    Belum ada perincian harga diberikan setakat ini. Seperti juga Sorento CKD, Sportage ini akan didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau 100,000 km dan pakej servis. Sportage akan bersaing dalam segmen yang sama dengan Honda CR-V, Proton X70 dan Mazda CX-5, dan beberapa lagi model pengeluar China.

    Kia Sportage X-line 4WD 2024 di Taiwan

     
     
  • Sime Darby Motors kini dikenali sebagai Sime Motors, UMW sebagai Sime UMW selepas dijenamakan semula

    Sime Darby Motors kini dikenali sebagai Sime Motors, UMW sebagai Sime UMW selepas dijenamakan semula

    Susulan penjenamaan Sime Darby yang kini hanya dikenali sebagai Sime minggu lalu, divisi automotif kumpulan berkenaan kini turut menerima nama baharu. Oleh itu Sime Darby Motors kini dikenali sebagai Sime Motors, manakala subsidiari UMW Holdings yang berjaya diambil alih oleh kumpulan tersebut dengan perolehan saham sebanyak 61.18% pada Disember 2023 kini dikenali sebagai Sime UWM.

    Perubahan ini turut menampilkan slogan baharu kumpulan berkenaan iaitu “Bridging Opportunities”, dan juga logo baharu dengan rekaan lebih moden yang menurut Sime ia adalah untuk “menghormati warisannya yang kaya sambil menonjolkan estetika yang berani dan berfokus pada masa depan.”

    Identiti jenama baharu ini akan mula digunakan secara progresif di semua pusat-pusat operasi Sime dalam tempoh beberapa bulan akan datang. Menurut Sime, penjenamaan semula ini dibuat adalah sebagai mencerminkan evolusinya dan “fokus strategiknya yang diperbaharui sebagai kuasa utama dalam segmen peralatan automotif dan industri.”

    “Identiti baharu kami menepati tujuan kami untuk membawa produk dan penyelesaian terbaik untuk membolehkan Asia Pasifik bergerak dan membangun. Ia juga menonjolkan keperibadian kami sebagai jenama,” kata CEO kumpulan Sime Datuk Jeffri Salim Davidson.

    “Kami amat teruja dengan prospek yang luas di Asia Pasifik, di mana kami berada di tengah-tengah potensi pertumbuhan yang besar. Transformasi ini membolehkan Sime memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pemegang kepentingan kami sambil mewujudkan identiti yang lebih tersendiri dalam pasaran,” tambahnya lagi.

     
     
  • Polis beri 60% diskaun saman trafik pada 22-24 Nov di Pusat Konvensyen KL sempena program Madani

    Polis beri 60% diskaun saman trafik pada 22-24 Nov di Pusat Konvensyen KL sempena program Madani

    Sempena dengan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 yang akan diadakan pada 22 hingga 24 November 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KL Convention Centre), Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengumumkan penawaran pengurangan bayaran saman trafik sehingga 60% bagi kesalahan terpilih.

    Di mana kaunter pembayaran saman trafik bersama penawaran diskaun ini akan dibuka di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada tarikh berlangsungnya program tersebut, dari jam 9 pagi hingga 6 petang.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di KL, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

    Dengan tema “Madani di Hati, Rakyat Disantuni”, pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung termasuklah reruai (booth) pameran, perkhidmatan terus kerajaan, sesi interaktif dengan agensi Kerajaan, pameran TVET, karnival kerjaya, jualan Madani dan banyak lagi.

     
     
  • Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bagi Fasa 1B dijangka bakal siap pada September 2028

    Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah bagi Fasa 1B dijangka bakal siap pada September 2028

    Dalam usaha menyediakan infrastuktur jalan raya lebih baik untuk rakyat negeri Sabah, Fasa 1B Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dijangka siap pada September 2028, laporan Bernama.

    Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya memaklumkan Fasa 1 projek berkenaan terbahagi kepada Fasa 1A yang dijangka siap Oktober 2026 dan Fasa 1B dengan jangka masa yang dinyatakan. Keseluruhan Fasa 1 itu melibatkan 35 pakej bagi pembinaan jalan raya sepanjang 706 km.

    Ketika persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini, beliau turut berkata menerusi Fasa 1 sebanyak empat pakej kerja telah disiapkan, 28 pakej kerja sedang dalam pembinaan, dua pakej kerja dalam peringkat memuktamad perolehan manakala satu pakej kerja dalam peringkat pengeluaran surat setuju terima.

    “Fasa 2 melibatkan jajaran Tamparuli-Ranau dengan anggaran jarak sekitar 98 km dan Fasa 3 jajaran Kimanis-Keningau-Kalabakan-Tawau dengan jarak sekitar 432 km masih di peringkat perancangan. Pelaksanaannya bergantung kepada kelulusan dan keupayaan kewangan kerajaan,” katanya.

    Kenyataan tersebut bagi menjawab soalan Datuk Seri Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) berkaitan perkembangan terbaharu dan status terkini pembinaan lebuhraya itu.

     
     
  • Dongfeng Box EV — harga didedah, 95 PS, laju maksimum 140 km/j, jarak hingga 430 km, dari RM101k

    Dongfeng Box EV — harga didedah, 95 PS, laju maksimum 140 km/j, jarak hingga 430 km, dari RM101k

    Dongfeng Box akan dijual secara rasmi untuk pasaran Malaysia tak lama lagi. Jika merujuk hantaran di media sosial pengedarnya, Central Auto Distributors (CADB), pelancaran dijangka akan berlangsung Jumaat ini, 22 November. Bagaimanapun, senarai harga bagi model berkenaan sudah didedahkan.

    Kereta kompak EV Box ini akan ditawarkan dalam dua varian. Paling asas E2 akan dijual dengan harga RM100,700 atas jalan tidak termasuk insurans, sementara E3 yang lebih tinggi spesifikasinya akan dijual dengan harga RM113,700. Ada juga pilihan warna badan dua-tona untuk E3, dengan tambahan RM2,000 menjadi RM115,700.

    Semua model dikuasakan oleh sebuah motor elektrik di bahagian depan yang menghasilkan 95 PS (70 kW) dan 160 Nm tork, membolehkan laju maksimum mencecah 140 km/j. Untuk pasaran tempatan, Dongfeng Box akan menjadi pesaing kepada BYD Dolphin Dynamic Standard Range — dengan janaan kuasa yang sama, tetapi tork yang kurang 20 Nm.

    Dongfeng Box EV — harga didedah, 95 PS, laju maksimum 140 km/j, jarak hingga 430 km, dari RM101k

    Box di Malaysia mempunyai ukuran seperti berikut: 4,000 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,540 mm tinggi dengan jarak roda 2,650 mm. Dari spesifikasi ringkas yang ditunjukkan ketika pra-tonton sebelum ini, model ini menggunakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP).

    Kapasiti baterinya pula ialah 31.45 kWh bagi varian E2, dengan jarak yang boleh dicapai ialah 330 km, sementara varian lebih tinggi, E3 menerima kapasiti bateri 42.3 kWh dengan jarak yang mampu diberikan ialah 430 km (10 km lebih berbanding BYD Dolphin Standard Range) — semua ini mengikut kitaran ujian CLTC versi China.

    Dongfeng tidak mendedahkan input maksimum bagi pengecasan DC bagi Box ini, dengan sekadar memaklumkan bahawa pengecasan dari 30%-80% akan mengambil masa 30 minit. Ini tempoh yang sama untuk E2 dan E3, dengan E3 boleh menampung kapasiti watt yang lebih — jika dilihat untuk pengecasan AC, memang benar: E2 dengan input 3.3 kW sementara bagi E3 dengan input 6.6 kW.

    Jadi, anda rasa Dongfeng Box akan dapat meraih lebih banyak perhatian berbanding BYD Dolphin?

     
     
  • Ford Ranger Super Duty bakal dilancar pada 2026 – dibangunkan di Australia, produksi di Thailand

    Ford Ranger Super Duty bakal dilancar pada 2026 – dibangunkan di Australia, produksi di Thailand

    Ford secara rasminya sudah mengesahkan bahawa trak pikap Ranger bakal menerima satu lagi varian iaitu Ranger Super Duty yang bakal muncul pada 2026. Sebelum ini nama ‘Super Duty’ berkenaan telahpun digunakan pada trak pikap yang lebih besar untuk pasaran Amerika Syarikat iaitu F-Series, dan ia merupakan varian yang dibina untuk kegunaan tugas lebih berat.

    Menurut Ford, ini bukan sahaja kali pertama nama Super Duty akan digunakan pada Ranger, malah sebenarnya ia juga pertama kali digunakan pada model selain dari F-Series. Ford juga menyatakan dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web rasmi Ford Australia bahawa Ranger Super Duty ini akan menjadi “trak bersaiz sederhana baharu dengan kebolehan melakukan tugas yang trak bersaiz sederhana lain tak boleh lakukan”.

    Ford Ranger Super Duty ini akan dibangunkan dengan kolobrasi terus bersama pelanggan-pelanggan flit jenama tersebut. Ford mendakwa model ini akan memberikan tahap jisim kenderaan kasar (GVM), jisim gabungan kasar (GCM), kebolehan menunda dan juga kebolehan meredah laluan off-road yang lebih tinggi berbanding trak pikap Ranger standard.

    Model ini juga akan disasarkan untuk pelanggan yang terlibat dalam operasi kecemasan, petani, pekerja utiliti dan perhutanan, pelombong, juruteknik infrastruktur dan banyak lagi.

    “Ranger Super Duty menggabungkan ciri pintar dan keselamatan yang lebih maju berbanding Ranger sedia ada kami yang telah memenangi anugerah dengan keupayaan tugas berat dan memberikan apa yang pembeli kami perlukan tetapi tidak mampu diberikan oleh model lain. Kenderaan yang bersedia untuk bekerja ini akan memberikan pemilik fleksibiliti yang mereka perlukan untuk menyelesaikan tugas besar, dengan keyakinan jaminan yang disokong kilang,” kata Sondra Sutton Phung, pengurus besar trak global di Ford Motor Company.

    Pembangunan Ranger Super Duty ini dibuat di Australia oleh pasukan pembangunan produk IMG Ford yang terdiri dari sekumpulan 1,500 pereka, jurutera dan pakar yang kuat. Namun produksinya masih kekal dibuat di Thailand, dan model ini akan dipasarkan di seluruh dunia.

    Ford juga mengesahkan bahawa Ranger Super Duty akan mempunyai kapasiti brek menunda 4,500 kg, iaitu pada tahap yang sama seperti trak pikap saiz penuh seperti Ford F-150, Chevrolet Silverado, Ram 1500 dan Toyota Tacoma. Kadar GVM 4,500 kg dan GCM 8,000 kg juga lebih besar dari Ranger biasa yang menawarkan sehingga 3,350 kg untuk GVM dan 6,400 kg GCM pada Ranger dengan enjin 3.0 liter turbodiesel V6.

    Setakat ini Ford tidak mengumumkan perubahan pada casis atau suspensi dan juga pilihan badan untuk varian baharu ini. Ia juga dijangka bakal tampil dengan saiz yang masih sama seperti Ranger biasa kerana masih kekal dalam kelas trak pikap saiz sederhana yang lebih sesuai digunakan untuk meredah hutan dan kawasan terpencil seperti di Asia.

     
     
  • Aprilia Tuareg Rally diperkenal – kelengkapan dinaik taraf untuk lebih lasak, hampir seperti model rally-raid

    Aprilia Tuareg Rally diperkenal – kelengkapan dinaik taraf untuk lebih lasak, hampir seperti model rally-raid

    Sejak diperkenalkan pada tahun 2021, Aprilia Tuareg 660 sudah mencipta nama dalam perlumbaan rali motosikal seperti Africa Eco Race dan Italian Motorally Championship. Kini, Aprilia mahu memberi manfaat kepada pengguna, melalui pengalaman yang mereka timba dalam dunia perlumbaan dengan memperkenalkan pula Tuareg Rally.

    Secara ringkasnya, ini adalah Tuareg dalam versi lebih lasak, dengan antara kelengkapan barunya adalah seperti skid plate aluminium bentuk baru dan lebih tebal, pelindung tangan lebih tegap dengan rangka besi serta pelindung rantai lebih lasak.

    Kemudiannya untuk membantu kedudukan menunggang model yang dikatakan hampir seperti model lumba rally-raid sebenar ini, ia dipasang dengan tempat duduk 20 mm lebih tinggi serta pemegang yang bukan sahaja lebih tinggi, tetapi juga menggunakan bentuk berbeza.

    Rim, yang terdiri daripada unit 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang dinaik taraf dengan unit spoked daripada Ergal yang lebih lasak dan menggunakan tiub di dalam. Suspensi Kayaba yang sama masih dikekalkan pada Tuareg Rally ini, tetapi springnya ditukar dengan jenis yang mempunyai keupayaan anjal lebih linear, berbanding progresif. Menurut Aprilia, meskipun kualiti tunggangan menjadi lebih keras, ia membantu rasa menunggang di atas jalan offroad dan memberikan kawalan lebih baik kepada penunggang.

    Sebagai pelengkap, Tuareg Rally ini dipasang dengan sistem ekzos SC Project dengan tabung titanium yang lebih agresif serta skema warna replika perlumbaan rali, dengan fork, rim dan pemegang yang berwarna emas. Akhir sekali, tongkatnya dipasang dengan tapak yang lebih lebar.

    Bersama dengan Tuareg Rally ini, Aprilia turut mengumumkan peningkatan yang dibuat pada Tuareg 2025, di mana enjin dua silinder selari DOHC 659 cc padanya menerima throttle body 52 mm, berbanding 48 mm sebelum ini. Tiada sebarang peningkatan kuasa yang diberitahu, tetapi sebelum ini, Tuareg mampu menghasilkan 80 hp pada 9,250 rpm dan 70 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Aprilia Tuareg Rally diperkenal – kelengkapan dinaik taraf untuk lebih lasak, hampir seperti model rally-raid

    Daripada aspek penampilan, hanya sedikit perubahan dibuat pada bahagian panel lampu hadapan, menjadikannya nampak lebih kemas, sementara warna baru yang ditawarkan adalah Tornado Green dan Hailstorm White.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada Tuareg 660 adalah termasuk skrin TFT-LCD 5.0 inci, sistem elektronik yang termasuk ABS, kawalan cengkaman, cruise control serta empat mod tunggangan, brek cakera berkembar dengan angkup Brembo di hadapan dan tangki bahan api berkapasiti 18 liter.

    GALERI: Aprilia Tuareg Rally 2025

    GALERI: Aprilia Tuareg 2025

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025