Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Tesla Model 3 Highland facelift kini terima Acceleration Boost di pasaran tertentu – 0-100 km/j dalam 3.8 saat

    Tesla Model 3 Highland facelift kini terima Acceleration Boost di pasaran tertentu – 0-100 km/j dalam 3.8 saat

    Pemilik Tesla Model 3 Highland facelift varian Long Range AWD di Australia dan China kini boleh mendapatkan Acceleration Boost, yang boleh menjadikan pecutan kenderaan mereka lebih pantas, dengan catatan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, berbanding 4.4 saat dalam keadaan biasa.

    Untuk pengguna di Australia, sistem ini dijual pada harga AUD3,000, manakala di China, ia dijual pada harga RMB14,100. Jika ditukar kepada Ringgit Malaysia, kedua-duanya menjadi sekitar RM8,700.

    Acceleration Boost adalah satu naik taraf perisian Tesla yang boleh dimuat turun dalam talian, dan ia mula-mula sekali ditawarkan pada Model 3 AWD pada tahun 2019, diikuti oleh Model Y AWD pada tahun 2020. Buat masa ini di Malaysia, ia masih belum tersedia, termasuk untuk Model Y.

    GALERI: Tesla Model 3 Highland Dual Motor 2023 Malaysia

     
     
  • Perodua Sales dan Petronas tandatangan MoU; Gentari bakal sediakan pengecas EV Perodua

    Perodua Sales dan Petronas tandatangan MoU; Gentari bakal sediakan pengecas EV Perodua

    Perodua Sales Sdn Bhd (Perodua Sales) dan juga Petronas bersama anak syarikatnya Gentari Sdn Bhd (Gentari) baru-baru ini telahpun menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama bagi meningkatkan pengalaman pelanggan melalui integrasi pelbagai perkhidmatan merentas dua jenama tersebut.

    Bagi MoU pertama yang ditandangani, ia membabitkan kerjasama antara Perodua Sales dan Petronas Lubricants Marketing Sdn Bhd (PLMMSB), Mesra Retail & Cafe Sdn Bhd (MESRA), dan Setel Ventures Sdn Bhd (Setel), di mana Perodua akan menyediakan akses perkhidmatan baharu di pusat servis buat para pelanggannya.

    Ini termasuk integrasi ciri pembayaran digital menerusi aplikasi Setel ke dalam aplikasi UFirst Perodua, menubuhkan fasiliti MESRA dipremis Perodua untuk kemudahan tambahan, serta pembukaan pusat servis Perodua di stesen-stesen Petronas terpilih.

    PLMMSB sudah 20 tahun berkerjasama dengan Perodua dengan menjadi pembekal eksklusif minyak pelincir kenderaan kepada Perodua Sales sejak tahun 2004. “Kerjasama ini terbukti memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Kami akan terus mengembangkan kerjasama ini untuk memberi manfaat kepada pelanggan-pelanggan setia kami,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua Sales dan Petronas tandatangan MoU; Gentari bakal sediakan pengecas EV Perodua

    “Secara keseluruhan, MoU ini akan melancarkan lagi kerjasama antara kedua-dua syarikat nasional untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan kami,” tambah Zainal.

    “Selama lebih dua dekad, Petronas dan Perodua telah menjalinkan kerjasama erat yang membawa kualiti dan kebolehpercayaan kepada jutaan pemandu di seluruh negara. Kerjasama yang diperluaskan ini akan memperkukuhkan lagi komitmen bersama kami untuk meningkatkan pengalaman pelanggan di setiap peringkat, daripada pelincir berkualiti tinggi kepada kemudahan digital dan keperluan harian.” katan Pengarah Urusan dan CEO Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani pula.

    Kerjasama antara kedua-dua pihak ini akan diteruskan lagi selari dengan peralihan negara ke arah mobiliti hijau, di mana Perodua Sales dan PLMMSB menerusi Gentari akan bekerjasama untuk menyediakan kemudahan pengecasan di pusat-pusat servis Perodua sebagai persediaan kepada pengenalan kenderaan elektrik (EV) Perodua akan datang dan menyokong pelanggannya dalam peralihan kepada EV.

    Perodua Sales dan Petronas tandatangan MoU; Gentari bakal sediakan pengecas EV Perodua

    Untuk itu, persetujuan dicapai menerusi MoU kedua yang ditandatangani antara Perodua Sales dan Gentari melalui Gentari Green Mobility Sdn Bhd. Buat masa sekarang Perodua masih belum menjual sebarang model elektrik penuh, namun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengesahkan bahawa Perodua kini sedang membangunkan EV yang akan dijual pada harga bawah RM100k, dan ia akan diperkenalkan pada hujung 2025.

    “Kami menyambut baik visi Perodua untuk memperkenalkan EV mampu milik menjelang 2025. Gentari begitu teruja untuk bekerjasama dengan Perodua dalam usaha kami untuk memacu penggunaan mobiliti hijau di Malaysia. Dengan meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan pengecasan, Gentari mensasarkan untuk meningkatkan pengalaman pemandu EV Perodua masa hadapan, seterusnya meningkatkan kepuasan pelanggan dan membina kesetiaan mereka,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli.

    “Inisiatif utama dalam kerjasama ini termasuklah pemasangan kemudahan pengecasan EV di pusat servis Perodua, terutamanya di stesen-stesen Petronas, menawarkan langganan pengecasan EV, penyelesaian pengecasan di rumah serta integrasi lancar dengan platform Gentari Go,” tambahnya.

     
     
  • JPJ Negeri Sembilan catat keuntungan cecah RM4.58 juta menerusi bidaan siri nombor pendaftaran NEE

    JPJ Negeri Sembilan catat keuntungan cecah RM4.58 juta menerusi bidaan siri nombor pendaftaran NEE

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mencatatkan keuntungan mencecah RM4.58 juta menerusi bidaan bagi siri nombor pendaftaran NEE, menurut laporan The Star.

    Pengarah JPJ negeri, Hanif Yusabra Yusuf mendedahkan, NEE 9 menerima bidaan tertinggi iaitu mencecah RM266,666, diikuti dengan NEE 8 (RM188,123), NEE 3 (RM158,999), NEE 7 (RM148,888) dan NEE 6 (RM141,600).

    Bagi sudut populariti pula, NEE 554 menerima bidaan tertinggi iaitu sebanyak 19, diikuti dengan 16 bagi NEE 288, dan masing-masing dengan 15 bidaan untuk NEE 244, NEE 26 dan NEE 98. Siri NEE ini menerima 4,661 bidaan secara keseluruhan, yang dibuka dari 15 hingga 19 November 2024, dengan 1,936 bidaan daripadanya berjaya.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Ford akan kurangkan 4,000 pekerja di Eropah pada 2027 kerana jualan EV lembab dan persaingan sengit

    Ford akan kurangkan 4,000 pekerja di Eropah pada 2027 kerana jualan EV lembab dan persaingan sengit

    Dalam keadaan yang mencabar, Ford mengumumkan bakal mengurangkan sehingga 4,000 tenaga kerjanya di Eropah menjelang akhir 2027. Menurut Ford pengurangan tenaga kerja ini kebanyakkannya akan dibuat di Jerman dan United Kingdom, manakala pasaran lain di benua berkenaan tidak akan terjejas teruk.

    Langkah ini adalah sebahagian dari rancangan penstrukturan semula Ford bagi “menghasilkan struktur dengan kos yang lebih kompetitf serta memastikan kemampanan dalam jangka masa panjang dan pertumbuhan perniagaannya di Eropah.” Ia juga menyatakan bahawa perniagaan kenderaan penumpangnya di Eropah telah mengalami kerugian besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan peralihan industri kepada kenderaan elektrik serta persaingan baharu turut telah mengganggu pertumbuhannya.

    Lebih teruk, iklim ekonomi yang lemah dan juga permintaan kereta elektrik yang jauh lebih rendah dari jangkaan turut dikatakan menjadi faktor mengapa langkah ini diambil. Menurut Ford, ia akan melaras semula program produksi model EV Explorer dan juga Capri (kedua-duanya diasaskan dari platform MEB Volkswagen), yang akan menyebabkan kilang di Cologne akan beroperasi dalam masa lebih pendek pada suku pertama 2025.

    Ford akan kurangkan 4,000 pekerja di Eropah pada 2027 kerana jualan EV lembab dan persaingan sengit

    “Ford telah berada di Eropah selama lebih 100 tahun. Kami berbangga dengan portfolio produk baharu kami untuk Eropah dan komited untuk membina perniagaan yang berkembang maju di Eropah untuk generasi akan datang. Adalah penting untuk mengambil tindakan yang sukar tetapi tegas bagi memastikan daya saing masa depan Ford di Eropah,” kata Dave Johnston, naib presiden Eropah Ford untuk transformasi dan perkongsian.

    Ford dilihat menyusun semula barisan modelnya dalam beberapa tahun ini bagi mengutamakan model-model SUV dan EV. Susulan itu ia telah menamatkan pengeluaran beberapa model ikonik seperti sedan Mondeo dan hatchback Fiesta, dan kemudian menghasilkan crossover kompak Puma dan juga menghidupkan semula nama Capri tetapi dihasilkan sebagai SUV EV, bukan lagi sebagai sport coupe.

    Namun strategi berkenaan tidak berhasil untuk meningkatkan jualan Ford. Berdasarkan data Persatuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA), jualan Ford jatuh 15.3% dari Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama pada 2023.

     
     
  • Chery Tiggo 4 Pro facelift tiba sebagai Tiggo Cross di Afrika Selatan – dua varian, enjin 1.5 liter turbo

    Chery Tiggo 4 Pro facelift tiba sebagai Tiggo Cross di Afrika Selatan – dua varian, enjin 1.5 liter turbo

    Chery baru sahaja melancarkan Tiggo Cross di salah satu pasaran terkuat mereka, iaitu Afrika Selatan. Model ini sebenarnya adalah sama seperti Tiggo 4 Pro facelift yang dilancarkan di China April lalu, dan semua peningkatan yang diperkenalkan ada pada Tiggo Cross ini termasuk gril lebih besar, DRL LED menegak, lampu hadapan lebih nipis serta lampu belakang LED yang bersambung di tengah.

    Dalam pasaran lain, model ini akan menggantikan Tiggo 4 Pro sebelumnya, tetapi nampaknya di Afrika Selatan, kedua-duanya masih dijual dan Tiggo Cross ini diletakkan di antara Tiggo 4 Pro dan Tiggo 7 Pro.

    Tiggo Cross ditawarkan dalam dua varian iaitu Comfort pada harga ZAR400k (RM99k) dan Elite pada ZAR450k (RM111k). Bagi model permulaan Comfort, ia datang dengan enam beg udara, rim 17 inci, cermin sisi boleh lipat secara elektrik, lampu utama dan lampu kabus LED, lampu belakang LED serta kemasan ekzos krom.

    Sementara itu, Elite yang berada di atasnya pula mendapat tujuh beg udara (termasuk di tengah), ADAS, rim 18 inci, angkup brek berwarna merah, bumbung panoramik, kamera 360 darjah serta tempat duduk hadapan dengan fungsi pemanas dan larasan kuasa.

    Di dalam, keadaannya sama seperti Tiggo 4 Pro facelift dengan terdapat skrin panjang di hadapan, corong udara sepanjang papan pemuka serta tombol gear yang gemuk di tengah. Di bawah bonetnya terdapat enjin empat silinder 1.5 liter turbo dengan padanan transmisi enam kelajuan klac berkembar.

    Model ini juga sudah sah akan tiba di Malaysia pada tahun hadapan. Apa pendapat anda dengannya?

     
     
  • Pendawaian yang tidak patuhi piawaian punca remaja maut terkena renjatan elektrik dalam bas – Loke

    Pendawaian yang tidak patuhi piawaian punca remaja maut terkena renjatan elektrik dalam bas – Loke

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah mendedahkan bahawa pendawaian elektrik yang rosak yang tidak mematuhi piawaian keselamatan menjadi punca kematian seorang penumpang berusia 18 tahun di dalam bas ekspres di Pulau Pinang awal bulan ini.

    Loke berkata pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat kejadian itu mendapati beberapa kerosakan kritikal pada pendawaian dan peralatan kenderaan itu termasuk didapati sambungan pendawaian dari kotak agihan ke soket dipasang secara terbalik, dan peralatan elektrik yang digunakan dalam bas gagal memenuhi piawaian keselamatan yang diperlukan, laporan The Star.

    Selain itu, individu yang tidak berlesen bertanggungjawab untuk menjalankan pemasangan pendawaian, yang bertentangan dengan garis panduan Suruhanjaya Tenaga (ST). “Walaupun komponen struktur bas itu mematuhi pelan teknikal yang diluluskan dan lulus pemeriksaan Puspakom pada 20 Mei, namun isu pendawaian elektrik memerlukan perhatian segera,” kata Loke.

    “Sebagai langkah awal, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada pengusaha, Konsortium Bas Ekspres Semenanjung (M) Sdn Bhd, pada 4 November lalu. Pada 5 November lalu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sambil diiringi ST serta Bomba dan Penyelamat telah memeriksa bas di Butterworth, Pulau Pinang,” katanya lagi.

    Pendawaian yang tidak patuhi piawaian punca remaja maut terkena renjatan elektrik dalam bas – Loke

    Pemeriksaan lanjut telah dijalankan pada 6 November di premis pengilang di Beranang, Selangor, oleh wakil dari ST, JPJ, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), dan Institut Penyelidikan Standard dan Perindustrian Malaysia (SIRIM). APAD juga mengenalpasti bas lain dari operator yang sama dengan masalah pendawaian elektrik yang sama, yang turut dikeluarkan penggantungan sementara operasi sementara menunggu siasatan lanjut.

    “Sebagai tindak balas berhubung siasatan itu, APAD mengeluarkan arahan pada 6 November untuk semua pengendali bas berhenti menggunakan soket elektrik tiga pin pada bas mereka berkuatkuasa serta-merta. Penggantungan itu akan kekal sehingga polisi baharu dan garis panduan pendawaian dikeluarkan oleh Kementerian Pengangkutan.

    “Pada masa hadapan, APAD akan memerlukan kedua-dua pengendali bas baharu dan sedia ada untuk mengemukakan laporan pemeriksaan atau sijil pemeriksaan yang diperakui untuk pemasangan pendawaian elektrik tambahan, yang dikendalikan oleh badan bertauliah yang diiktiraf oleh Jabatan Standard Malaysia,” sambungnya.

    Tambahnya lagi, dalam usaha mengelak kejadian serupa daripada berlaku pada masa hadapan, kementeriannya akan melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat berhubung piawaian keselamatan bagi pendawaian elektrik dan peralatan berkaitan dalam kenderaan pengangkutan awam, dilengkapkan dengan pemantauan yang dipertingkatkan dan langkah pematuhan yang lebih ketat. “Kerajaan memandang serius keselamatan penumpang dan akan memastikan langkah-langkah ketat dilaksanakan untuk mengelakkan insiden seperti itu berulang,” kata Loke.

     
     
  • Honda Transalp XL750 2025 diberi peningkatan

    Honda Transalp XL750 2025 diberi peningkatan

    Diperkenalkan kembali sebagai sebuah model baru pada tahun 2022, Honda Transalp XL750 kini diberi perubahan bagi model tahun 2025. Ini bagaimanapun hanyalah sedikit sahaja, iaitu melibatkan bahagian lampu serta penghadang angin hadapannya.

    Lampu LED projector baru diberikan pada Transalp, dengan bentuk yang lebih kompak serta rekaan yang lebih menghala seperti Africa Twin. Bersamanya, bahagian fairing atas dibentuk semula dengan terdapat lubang di bahagian tengah, seterusnya memperbaiki aliran udara pada kawasan sekitar kepala penunggang.

    Walaupun nampak sama, penghadang angin hadapan sebenarnya adalah baru, dengan merupakan unit Durabio yang dibentuk untuk memperbaiki aliran udara di sekitar badan penunggang dan menurut Honda, aerodinamik fairing tengah juga dibentuk semula untuk memperbaiki kawalan motosikal ini.

    Meter TFT berwarna pada Transalp 2025 ini masih lagi bersaiz lima inci, tetapi menurut Honda, ia adalah unit baru yang mempunyai paparan lebih baik sewaktu cahaya terang dan tidak mudah silau. Membantu lagi pengguna, butang kawalannya yang terdapat di bahagian kiri pemegang dijadikan lebih ringkas dan memudahkan. Sambungan kepada telefon pintar melalui aplikasi Honda RoadSync masih kekal seperti sebelum ini.

    Bahagian lain motosikal ini tidak berubah, termasuk enjin yang menggunakan unit dua silinder selari SOHC 755 cc bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan kuasa sehingga 90.5 hp pada 9,500 rpm dan 75 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Lima mod tunggangan disediakan, dengan empat daripadanya (Sport, Standard, Rain dan Gravel) sudah ditetapkan manakala satu lagi (User) boleh dilaras mengikut kegemaran penunggang. Transalp XL750 juga datang dengan sistem elektronik lain seperti empat tahap Engine Power, tiga tahap Engine Brake, lima tahap (juga boleh ditutup) Honda Selectable Torque Control (HSTC) serta mod Offroad bagi ABS (ditutup untuk brek belakang).

    Honda Transalp XL750 2025 diberi peningkatan

    Suspensi Transalp XL750 menggunakan unit daripada Showa, dengan bahagian hadapan terdiri daripada fork SFF-CATM (Separate Function Fork-Cartridge) 41 mm dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 200 mm, manakala di belakang terdapat monoshock yang menyediakan jarak gerak 190 mm bersama pelarasan pra beban dan disambung kepada lengan ayun melalui tetapan Pro-Link.

    Menghubungkan motosikal ini dengan jalan adalah rim spoked bertiub saiz 21 inci dengan tayar 90/90 di hadapan dan 18 inci dengan tayar 150/70 di belakang. Sistem brek terdiri daripada cakera 310 mm berkembar dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera 256 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Kelengkapan lain yang disediakan oleh Transalp XL750 adalah termasuk semua lampu jenis LED, lampu penunjuk arah padam sendiri dan tangki bahan api 16.9 liter. Jarak kelegaan dari tanah adalah 210 mm manakala berat keseluruhan adalah 210 kg.

     
     
  • Aplikasi MyJPJ bakal menampilkan fungsi notifikasi tarikh tamat tempoh cukai jalan tidak lama lagi

    Aplikasi MyJPJ bakal menampilkan fungsi notifikasi tarikh tamat tempoh cukai jalan tidak lama lagi

    Aplikasi MyJPJ bakal mempunyai satu fungsi bagi notifikasi iaitu pemakluman tarikh tamat tempoh Lesen Kenderaan Motor (LKM), ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke, menurut laporan The Star.

    “Kementerian dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kekal komited untuk menambah baik aplikasi MyJPJ secara berterusan bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam talian kepada orang ramai. JPJ merancang untuk melancarkan penambahbaikan pada aplikasi secara berperingkat, diutamakan berdasarkan keperluan dan kos.

    “Ciri (peringatan pembaharuan cukai jalan) ini akan diumumkan setelah ia dibangunkan sepenuhnya dan sedia untuk digunakan,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

    Loke menambah bahawa sejak 1 Februari tahun ini, pengguna boleh memperbaharui cukai jalan (LKM) dan lesen memandu secara terus melalui aplikasi, dan fungsi ‘Kongsi LKM’ membolehkan pemilik berkongsi cukai jalan mereka secara digital dengan orang lain yang menggunakan kereta tersebut.

     
     
  • Xpeng G6 kini didatangkan dengan penyelenggaran percuma 3-tahun di M’sia – harga kekal; dari RM166k

    Xpeng G6 kini didatangkan dengan penyelenggaran percuma 3-tahun di M’sia – harga kekal; dari RM166k

    Pakej selepas jualan XPeng G6 kini ditambahbaik dengan diberikan penyelenggaran berkala percuma untuk tiga-tahun atau 60,000 km. Ia kini menyertai pakej sedia ada iaitu waranti pengeluar standard lima-tahun/120,000 km dan perlindungan pek bateri voltan-tinggi dan motor selama lapan-tahun/160,000 km seperti yang diumumkan ketika kenderaan elektrik (EV) ini mula dijual pada Ogos lalu.

    Walau bagaimana pun, penambahan ini tidak menyebabkan sebarang perubahan harga bagi G6, yang masih dijual pada harga atas jalan RM165,820 tanpa insurans untuk model asas 580 Pro (Standard Range), sementara varian tertinggi 755 Pro (Long Range) juga masih dikekalkan pada RM185,820.

    Bagi aspek spesifikasi, Standard Range didatangkan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 66 kWh yang memberikan jarak gerak hingga 435 km mengikut standard WLTP. Ia menyalurkan kuasa pada motor elektrik pemasangan belakang dengan hamburan 259 PS (255 hp atau 190 kW) dan tork 440 Nm, yang membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.6 saat dan kelajuan maksimum cecah 200 km/j.

    Risalah spesifikasi Xpeng G6 2024; klik untuk besarkan

    Manakala untuk Long Range, ia dilengkapi bateri nickel manganese cobalt (NMC) dengan kapasiti tenaga sebanyak 87.5 kWh yang mampu memberikan jarak gerak hingga 570 km. Motor elektrik ini lebih padu untuk memberikan varian tersebut dengan kuasa 286 PS (282 hpatau 210 kW), manakala julat tork masih kekal sama iaitu 440 Nm, hasilnya memberikan daya pecutan dari 0-100 m.j dalam 6.2 saat.

    Kedua-dua varian G6 boleh menggunakan pengecas AC (Type 2) dengan kapasiti puncak 11 kW, bersama status tahap pengecasan (SoC) 5-100% yang diperlukan sekitar 7.5 jam untuk Standard Range dan 9.5 untuk Long Range. Manakala pengecas pantas DC (CCS2) pula dengan kapasiti yang lebih tinggi iaitu 280 kW bagi Long Range dan untuk Standard Range hanya 215 kW, kedua-duanya dengan 10-80% SoC sekitar 20 minit.

    Xpeng G6 kini didatangkan dengan penyelenggaran percuma 3-tahun di M’sia – harga kekal; dari RM166k

    Senarai harga Xpeng G6 2024; klik untuk besarkan

    Dengan naiktaraf pakej selepas jualan G6 ini, semua kereta di bawah jenama yang dikendalikan Bermaz Auto iaitu Mazda, Kia dan Xpeng, kini ditawarkan pakej selenggara percuma untuk kebanyakan kenderaannya (tidak semua). Walau bagaimana pun, perlu diingatkan bahawa EV lain yang dijual melalui anak syarikat Bermaz Auto (Dinamikjaya Motors dan Bermaz Motor) seperti Mazda MX-30, Kia EV6 dan Kia EV9 tidak disertakan dengan pakej penyelenggaraan percuma.

     
     
  • Jaguar siar teaser model konsep EV baharu – bakal didedahkan di Amerika Syarikat 2 Disember ini

    Jaguar siar teaser model konsep EV baharu – bakal didedahkan di Amerika Syarikat 2 Disember ini

    Selepas melancarkan logo bersama imej jenama baharu, Jaguar kini menyiarkan pula teaser model konsep EV yang akan membayangkan masa depan pembuat automotif dari British itu selepas ini. Model tersebut diberi nama sebagai Design Vision Concept dan ia bakal didedahkan pada Miami Art Week di Amerika Syarikat pada 2 Disember nanti

    Teaser berkenaan menayangkan bahagian belakang Design Vision Concept tersebut, dan Jaguar menyatakan bahawa rekaan ini akan menjadi inspirasi model-model baharunya selepas ini. Boleh di lihat model konsep ini menampilkan rekaan permukaan yang rata tanpa garis-garis badan yang rumit, dan badannya seolah-olah aluminium yang tidak mengenakan sebarang cat.

    Menerusi teaser baharu ini juga dapat dilihat bahawa Design Vision Concept direka seperti sebuah fastback. Tiada cermin belakang kelihatan dan ia diganti dengan panel aluminium yang nampak seperti boleh dibuka. Juga tidak nampak sebarang lampu dipadankan serta diberikan panel seakan gril pada sebelah belakang.

    Menurut laporan Autocar sebelum ini, Jaguar sudahpun menghentikan semua jualan kenderaan sedia adanya bermula November ini. Jenama berkenaan akan bermula semula selepas ini dengan hanya menawarkan model-model elektrik sepenuhnya.

    Sebelum ini juga Jaguar pernah mendedahkan imej prototaip untuk model produksi EV generasi baharu tersebut yang masih dibalut dengan pelekat penyamaran. Model berkenaan dihasilkan sebagai GT sedan empat pintu yang akan berhadapan terus dengan model seperti Porsche Taycan, dibekalkan dengan kuasa 575 hp dan jarak gerak hampir 700 km.

     
     
  • Lesen memandu, cukai jalan fizikal ditawarkan mulai tahun depan, bayaran mungkin dikenakan – Loke

    Lesen memandu, cukai jalan fizikal ditawarkan mulai tahun depan, bayaran mungkin dikenakan – Loke

    Walau pun lesen memandu dan cukai digital masih dilaksanakan, namun Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan penawaran pilihan kepada orang ramai yang ingin mencetak cukai jalan dan lesen memandu secara fizikal seperti sebelum ini bermula tahun hadapan.

    Menurut Menteri MOT, Anthony Loke, ini adalah susulan rungutan segelintir rakyat yang masih mahu menggunakan lesen memandu dan cukai jalan fizikal, laporan New Strait Times.

    “Sehubungan itu, tahun depan kita akan umumkan satu inisiatif untuk sesiapa yang ingin mencetak lesen secara fizikal. Mereka mungkin perlu membayar untuk mencetak kad fizikal itu,” katanya bagi menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) mengenai perkara itu di Dewan Rakyat semalam. Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai caj yang akan dikenakan bagi mencetak kad fizikal tersebut.

    Lesen memandu, cukai jalan fizikal ditawarkan mulai tahun depan, bayaran mungkin dikenakan – Loke

    Walau bagaimana pun, Loke mengulangi bahawa tidak akan ada berpatah balik dari segi peralihan keseluruhan kepada pendigital, dan pihaknya akan berusaha untuk mengenalpasti penambahbaikan. “Sejak pelancaran inisiatif pendigitalan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kementerian dan jabatan komited untuk terus menambah baik aplikasi MyJPJ bagi meningkatkan penyampaian perkhidmatan dalam talian kepada orang ramai,” katanya.

    Beliau berkata, salah satu penambahbaikan yang sedang dilaksanakan kementerian iaitu sebagai sebahagian daripada agenda pendigitalan jabatan ialah penggabungan fungsi notifikasi pada aplikasi untuk memaklumkan pengguna mengenai tarikh tamat tempoh lesen kenderaan bermotor (LKM) mereka. “Ciri baharu ini akan diumumkan sebaik sahaja ia dibangunkan dan sedia untuk digunakan,” katanya.

    Tambahnya, sejak dilancarkan tahun lalu, setakat ini, aplikasi MyJPJ sudah dimuat turun 13.7 juta pengguna dan lebih satu juta transaksi untuk pembaharuan cukai jalan digital dan lesen berjumlah RM121 juta telah dijalankan 31 Oktober 2024.

     
     
  • PANDU UJI: Peugeot 408 GT — crossover bergaya, taruhan kebangkitan Peugeot yang akan berhasil?

    PANDU UJI: Peugeot 408 GT — <em>crossover</em> bergaya, taruhan kebangkitan Peugeot yang akan berhasil?

    Peugeot adalah sebuah jenama yang mempunyai sejarah agak panjang di Malaysia. Jenama Perancis ini tidak juga terlalu asing bagi kebanyakan pengguna, peminat atau pengamat pasaran automotif di sini. Bagaimanapun, atas beberapa faktor seperti layanan lepas jualan dan ketahanan kenderaan, Peugeot sebelum ini tidak dapat benar-benar menangkap keyakinan pasaran massa pengguna — ia kekal sebagai sebuah jenama dengan niche yang tersendiri.

    Ini tidaklah pula membawa maksud yang buruk semata-mata. Jenamanya kekal relevan sehingga hari ini, dan Peugeot terus mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Dalam rentang sejarah yang agak dekat dengan kita hari ini, katakan sejak kurang lebih 20 tahun ke belakang, banyak kenderaan Peugeot boleh dilihat di atas jalan raya Malaysia, sampailah ke hari ini.

    Awalnya ketika itu, jenama tersebut dikendalikan oleh Kumpulan Naza — mungkin ada yang masih ingin model Peugeot 206 yang dijual sebagai Naza Bestari pada pertengahan tahun 2000an? — yang sejak itu juga sudah mula melakukan pemasangan tempatan terhadap model-model yang pernah ada. Banyak juga model Peugeot yang menarik sempat diperkenalkan ketika ia di bawah kendalian Naza.

    Baca lanjut di sini

     
     
  • Polis, JPJ ada peranti untuk periksa cukai jalan – Loke

    Polis, JPJ ada peranti untuk periksa cukai jalan – Loke

    Anggota polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dilengkapi dengan peranti elektronik untuk memeriksa cukai jalan dengan memasukkan plat nombor pendaftaran menggunakan peranti tersebut, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke, menurut laporan The Star.

    “Polis atau JPJ tidak lagi melihat atau menyemak pelekat cukai jalan pada cermin hadapan kereta. Tidak perlu menyemak secara fizikal,” kata Loke di Dewan Rakyat hari ini bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Selangor Mohd Hasnizan Harun mengenai pemandu warga emas, yang mungkin menghadapi masalah menunjukkan cukai jalan digital mereka kepada anggota penguatkuasa.

    Loke berkata, sebanyak 13.7 juta individu telah memuat turun aplikasi MyJPJ setakat ini, dengan 10.7 juta daripadanya sudah mendaftar untuk pengesahan identiti secara elektronik dengan JPJ.

    “Ini bermakna terdapat lebih kurang 10 juta individu menggunakan aplikasi MyJPJ,” katanya sambil menambah kementerian tidak akan memperlahankan usaha pendigitalannya, selaras dengan hala tuju negara.

     
     
  • Harga minyak 21-27 Nov – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 21-27 Nov – Masih tiada perubahan

    Bagi minggu bertarikh 21 hingga 27 November 2024, Kementerian Kewangan mengumumkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel dikekalkan.

    Ini bermakna petrol RON 97 masih berharga RM3.19 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Menerusi perbentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penyasaran subsidi bagi petrol RON95 akan diumumkan pada pertengahan tahun hadapan. Buat masa ini, tiada lagi tarikh ditetapkan, dan bagaimana ia akan dilaksanakan, namun Anwar memberitahu penyasaran subsidi ini hanya akan melibatkan golongan ‘mahakaya’ dan tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.

     
     
  • Honda CRF300L, CRF300 Rally 2025 diperkenal – sistem penyejukan, suspensi ditambah baik, Euro5+

    Honda CRF300L, CRF300 Rally 2025 diperkenal – sistem penyejukan, suspensi ditambah baik, Euro5+

    Kali terakhir diberi peningkatan besar pada tahun 2020, Honda CRF300L kini diberi lagi penambah baikan bagi model keluaran tahun 2025. Ia bagaimanapun tidak begitu ketara dengan antaranya pada sistem pengurusan haba serta talaan suspensi.

    Melihat pertamanya kepada versi biasa CRF300L, kedudukan fan diubah (bersama jeriji hadapannya) untuk memberikan penyejukan yang lebih baik, serta panel tepi direka semula untuk mengalihkan udara panas jauh daripada penunggang. Kemudiannya, lampu hadapan kini menggunakan unit LED, dengan bentuk yang lebih leper, berbanding membonjol sebelum ini. Di tepinya pula terdapat lampu penunjuk arah LED baru.

    Suspensi masih lagi sama, iaitu fork dan monoshock Showa dengan jarak gerak 260 mm, tetapi tetapan spring dan daya serapannya telah dilaras semula untuk menjadikannya lebih stabil dan selesa. Warna baru yang ditawarkan untuk CRF300L 2025 adalah Extreme Red dan Swift Grey.

    Pergi pula kepada versi Rally yang mempunyai penampilan inspirasi daripada jentera rali Dakar, ia juga menerima penambah baikan suspensi, lampu penunjuk arah serta sistem penyejukan yang sama, tetapi menampakkan perubahan bentuk panel tepi (berhampiran ekzos) yang lebih jelas.

    Bahagian mekanikal lain CRF300L dan CRF300 Rally ini tidak berubah, termasuk enjin yang masih merupakan unit satu silinder, DOHC, penyejukan udara 286 cc yang mampu menghasilkan 27 hp pada 8,500 rpm dan tork 26.6 Nm pada 6,500 rpm. Walaubagaimanapun, enjin yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan ini sekarang sudah menerima penarafan emisi Euro5+.

    Honda CRF300L, CRF300 Rally 2025 diperkenal – sistem penyejukan, suspensi ditambah baik, Euro5+

    Sebagai sebuah motosikal dual purpose, CRF300 didatangkan dengan rim spoked saiz 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, manakala kedudukannya juga lebih tinggi berbanding motosikal biasa dengan jarak dari tanah 285 mm dan tinggi tempat duduk 880 mm.

    Versi biasa CRF300L mendapat tangki bahan api 7.8 liter sementara Rally dinaik taraf dengan kapasiti lebih besar, iaitu 12.8 liter. Disebabkan itu juga Rally mencatat berat yang lebih, iaitu 153 kg, sementara CRF300L cuma 142 kg. Kelebihan lain CRF300 Rally adalah ia mempunyai penghadang angin hadapan serta pelindung enjin.

    GALERI: Honda CRF300L 2025

    GALERI: Honda CRF300 Rally 2025

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025