Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW F 900 R, F 900 XR 2025 terima enjin Euro 5+, naik taraf sistem dan kelengkapan, rupa disegarkan semula

    BMW F 900 R, F 900 XR 2025 terima enjin Euro 5+, naik taraf sistem dan kelengkapan, rupa disegarkan semula

    Dua model BMW Motorrad yang berkongsi asas sama, iaitu F900 R (roadster/naked) dan F900 XR (touring) diberi peningkatan untuk model tahun 2025. Ia melibatkan bahagian enjin, kelengkapan serta sistem elektronik yang diberikan secara standard.

    Bermula di bahagian enjin, unit dua silinder selari (270 darjah) 895 cc pada dua model ini secara asasnya masih lagi sama, menghasilkan kuasa 105 hp pada 8,500 rpm dan tork 93 Nm pada 6,750 rpm, tetapi tahap emisinya diperbaiki dengan kini mematuhi piawaian Euro 5+. Transmisi adalah unit enam kelajuan.

    Bagi menambah kepuasan, mod tunggangan Dynamic dengan tetapan yang lebih sporty ditambah kepada dua mod sedia ada (Rain dan Road) sebelum ini. Sistem elektronik lain yang kini diberikan standard pada dua model F900 ini adalah Dynamic Traction Control (DTC), Engine Drag Control, BMW Motorrad ABS Pro dan Dynamic Brake Control (DBC).

    Pergi ke bahagian suspensi, fork hadapan kini dinaik taraf dengan unit USD 43 mm dengan pelarasan lantunan, mampatan serta pra beban, manakala bahagian belakang masih lagi menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban dan lantunan.

    Secara keseluruhannya, berat F900 R dan F900 XR ini berkurang sebanyak tiga kilogram, menjadi masing-masing 208 kg dan 216 kg, dan antara penyumbangnya adalah rim aluminium 17 inci (-1.8 kg) serta bateri (-0.8 kg) baru. “Ekor” belakang model ini juga adalah baru, lengkap dengan lampu penunjuk arah bersepadu.

    BMW F 900 R, F 900 XR 2025 terima enjin Euro 5+, naik taraf sistem dan kelengkapan, rupa disegarkan semula

    Pada F900 R, demi menjadikannya lebih sesuai dengan karekter yang dibawa, kedudukan pemegang, peletak kaki dan tuil kawalan direka dan dilaras semula supaya lebih sporty dan dekat kepada roda hadapan. Tiga warna ditawarkan untuk F900 R 2025 iaitu Snapper Rocks Blue, Blackstorm (Triple Black) dan Lightwhite/Racingblue (Sport).

    F900 XR juga menerima tambahan kelengkapan standard khas untuknya, yang termasuk Headlight Pro, pelindung tangan, soket pengecas USB-C dan pemanas tangan. Ia ditawarkan dalam warna Racing Red, Blackstorm (Triple Black) dan Lightwhite/Racingblue.

    GALERI: BMW F900 R 2025

    GALERI: BMW F900 XR 2025

     
     
  • Hyundai bakal labur RM2.16 bilion di Malaysia menerusi kilang yang akan dibina di Kulim – Zafrul

    Hyundai bakal labur RM2.16 bilion di Malaysia menerusi kilang yang akan dibina di Kulim – Zafrul

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan bahawa Hyundai Motor bakal membina kilang pertamanya di Malaysia pada tahun depan menerusi pelaburan bernilai RM2.16 bilion.

    Beliau mengumumkan perkara ini kepada media Malaysia yang mengikuti program lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan hari ini dan mengadakan pertemuan tertutup bersama konglomerat Korea Selatan yang terdiri daripada syarikat Hyundai Motor dan OCI Holdings, lapor Bernama.

    Menurutnya lagi ini merupakan pelaburan terbesar pembuat automotif Korea berkenaan di Malaysia serta bakal menawarkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. “Ini adalah pelaburan yang besar dan sebanyak tujuh model kereta akan dikeluarkan dalam tempoh lima tahun. Kilang dibuka di Kulim (Kedah) tahun depan,” katanya.

    Buat masa sekarang beberapa model Hyundai termasuk Santa Fe sememangnya diproduksi secara tempatan di Kulim, namun ia dibuat secara kontrak menerusi syarikat tempatan, Inokom Corporation Sdn Bhd.

     
     
  • Ford Ranger MS-RT bakal ditawarkan di Thailand-enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

    Ford Ranger MS-RT bakal ditawarkan di Thailand-enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

    Ford Ranger dalam versi lebih sporty yang sebelum ini hanya ditawarkan di pasaran Eropah iaitu Ranger MS-RT secara tiba-tiba telah diumum bakal dilancarkan pada pasaran Thailand tidak lama lagi. Model ini dihasilkan oleh badan penala rasmi kenderaan komersil Ford Eropah yang dikendalikan oleh Pasukan Rali Dunia Ford iaitu M-Sport Road Technology (MS-RT), dan ia diberikan rupa lebih garang menerusi pemandanan kit badan lebar.

    Penawaran ini berkemungkinan adalah kerana rekaan kit badannya memang diinspirasikan dari trak pikap Ford Ranger yang berlumba dalam siri Thailand Super Series, dan ia telah disebut ketika model berkenaan diperkenal di Eropah Februari lalu.

    Laman automotif Thailand Headlightmag pula mendedahkan bahawa Ranger MS-RT ini akan dijual pada harga 1,749,000 baht (RM225,400), sedikit lebih murah dari Ranger Raptor di sana. Tempahannya akan mula dibuka pada 28 November ini, dan ia akan membuat kemunculan sulungnya di Thailand Motor Expo bulan hadapan.

    Tiada unsur off-road diberikan pada rekaan kit badan Ranger MS-RT ini, dan direka lebih mirip seperti jentera litar. Pada bahagian muka, Ranger MS RT menampilkan gril hadapan sarang lebah, bampar hadapan lebih labuh yang direka bersama splitter pada liang ambilan udara setiap sisi.

    Ford Ranger MS-RT bakal ditawarkan di Thailand-enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

    Badan Ranger MS RT ini juga lebih lebar menerusi keempat-empat fender yang sememangnya 82 mm lebih lebar dari Ranger biasa, bukan seperti trak pikap lain yang biasanya hanya ditambah dengan overfender. Ia juga nampak lebih rendah menerusi set skirt sisi yang tebal dan juga bampar belakang yang menerima kemasan diffuser pada bahagian bawah.

    Manakala pada pintu tailgate bed belakang pula ditambah dengan ducktail spoiler bagi melengkapkan rupanya. Ford menyatakan rekaan kit pengayaan ini dioptimakan menerusi simulasi komputer bagi memberikan keseimbangan aerodinamik keseluruhan serta kestabilan kelajuan tinggi yang lebih baik. Logo-logo MS RT dilekat pada gril hadapan dan pintu bed belakang, dan kemasan Agate Black diberikan pada penutup cermin sisi serta pembuka pintu.

    Bagi disesuaikan dengan kit badan yang lebih lebar dan labuh tersebut, Ranger MS RT menerima rim aloi rekaan istimewa berdiameter 21-inci yang dibalut dengan tayar berprofil rendah bersaiz 175/45R21 – didakwa sebagai set roda paling besar pernah ditawarkan pada Ranger. Rim kemasan Diamond Cut tersebut juga membolehkan jarak trek roda Ranger MS RT ini 40 mm lebih lebar untuk setiap sisi, seterusnya memberikan cengkaman roda lebih baik serta kestabilan lebih tinggi.

    Model istimewa ini dijana oleh enjin turbodiesel Ecoblue 3.0 liter V6 yang dikongsi dengan model Ranger Wildtrak dan Platinum pasaran Eropah, menghasilkan kuasa 240 PS dan tork maksima 600 Nm. Jadi model ini dibekalkan kuasa lebih rendah tetapi dengan tork lebih tinggi berbanding Ranger Raptor pasaran Eropah yang dijana enjin petrol turbo 3.0 liter V6, diberi talaan kuasa kuasa 288 PS dan tork maksima 491 Nm. Bagi yang belum mengetahui, Ranger Raptor V6 pasaran Eropah sememangnya menerima kuasa lebih rendah kerana kekangan undang-undang emisi di sana.

    Enjin Ecoblue V6 berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan dan juga sistem pacuan empat roda sepenuh masa e4WD baharu yang turut dikongsi bersama varian-varian Ranger yang lain. Ford menyatakan Ranger MS RT ini masih mengekalkan kebolehan mengangkat beban seberat satu tan bersama kapasiti menunda 3,500 kg.

    Ranger MS RT ini juga diberikan talaan suspensi unik di mana ia menampilkan penyerap hentak hadapan yang lebih keras, talaan semula dibuat pada suspensi belakang, serta badan yang kini 40 mm lebih rendah berbanding Ranger standard.

    Ford menyatakan dengan talaan baharu ini, ia bukan sahaja memberikan rupa yang lebih agresif, pengendalian yang lebih tepat dan kestabilan ketika mengambil selekoh lebih baik, malah tahap keseimbangan antara keselesaan dan prestasi juga ditahap yang ideal.

    Pada bahagian dalaman pula Ranger MS RT ini menerima tempat duduk hadapan yang direka semula, didakwa menampilkan sokongan sisi yang lebih baik dan perehat belakang badan yang lebih selesa. Ia dibalut dengan dengan kulit sintetik mesra alam digandingkan bersama sued, menampilkan jahitan benang biru serta logo MS-RT. Manakala pemandu pula menerima roda stereng MS RT bersama penunjuk kedudukan pukul 12 berwarna biru.

    Ford Ranger MS-RT bakal ditawarkan di Thailand-enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

    Sistem infotainmen Ford SYNC 4A dengan skrin sesentuh 12-inci dan sistem pendingin hawa automatik dua-zon merupakan antara perincian standard yang diberikan pada Ranger MS RT ini. Bagi sistem keselamatan pula, trak pikap ini diberikan penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, cruise control adaptif pintar dan juga pengehad kelajuan pintar.

    Headlightmag turut mendedahkan beberapa perincian yang disahkan akan bekalkan pada Ranger MS-RT pasaran Thailand. Antaranya adalah lampu hadapan matrix LED, lampu kabus hadapan LED, paparan instrument digital 12.4-inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon pintar Qi tanpa wayar, dan juga enam-pembesar suara.

    Ia juga diberikan sistem bantuan pemanduan penuh dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik hadapan dan belakang, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, bantuan kekal tengah lorong, bantuan pengelak stereng, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik. ia juga dibekalkan dengan tujuh beg udara dan kawalan kestabilan elektronik.

     
     
  • Mitsuoka M55 Zero Edition akan dijual pada harga RM233k; hanya 100 unit, diasaskan dari Honda Civic

    Mitsuoka M55 Zero Edition akan dijual pada harga RM233k; hanya 100 unit, diasaskan dari Honda Civic

    November tahun lalu jenama pengeluar kenderaan retro-moden Jepun, Mitsuoka telah pun mendedahkan model konsep yang digelar sebagai Mitsuoka M55 Concept yang dihasilkan sempena ulangtahun ke-55 syarikat tersebut. Dan pada Februari lalu, ‘Dodge Challenger jadian’ yang diasaskan dari Honda Civic hatchback FL1 pasaran domestik Jepun tersebut telahpun diumum bakal dihasilkan dalam versi produksi dengan rupa yang sama.

    Baru-baru ini Mitsuoka telahpun mengesahkan bahawa tempahan untuk M55 telahpun dibuka, dan penghantarannya kepada pelanggan akan bermula tahun hadapan. Walau bagaimanapun, model ini akan dihasilkan dalam versi edisi terhad hanya 100 unit yang digelar sebagai M55 Zero Edition.

    Ia diumumkan akan dijual pada harga 8,085,000 yen atau sekitar RM233k, manakala pembeli yang berminat perlu membayar deposit tempahan sebanyak 550,000 yen iaitu sekitar RM16k. Namun, bukan semua yang menempahnya akan menerima kereta ini kerana Mitsuoka akan membuat cabutan loteri untuk menentukan pelanggan bertuah yang dapat membeli kereta M55 Zero Edition tersebut.

    Mitsuoka M55 Zero Edition akan dijual pada harga RM233k; hanya 100 unit, diasaskan dari Honda Civic

    Tempahan akan ditutup pada 19 Januari 2025, dan bagi mereka yang tidak berjaya wang deposit 550,000 yen berkenaan akan dikembalikan sepenuhnya.

    Seperti yang anda boleh lihat, M55 dihasilkan dengan rupa seakan sebuah kereta Muscle Amerika, tetapi bentuk dari tiang-A, pintu hadapan, belakang dan cermin suku belakang serta tiang-C pada kereta ini mendedahkan ia diasaskan dari Honda Civic Hatchback FL1.

    Bahagian hadapan Civic FL1 ini telah ‘disumpah’ dengan bonet, fender sisi, bampar, lampu bulat berkembar dan juga gril menyerupai Dodge Challenger. Sementara bahagian pintu hatch belakang Civic yang direka landai, Mitsuoka menghasilkan lampu belakang bersama kemasan penutup but dan juga louvre pada cermin belakang seakan Ford Mustang Mach 1.

    Pada bahagian dalam, M55 Concept ini masih mengekalkan papan pemuka dan juga roda stereng asal Civic, cuma logo ‘H’ pada bahagian tengah roda stereng tersebut telah diganti dengan logo Mitsuoka. Selain itu tempat duduk asal Civic tersebut telah dibalut semula dengan material yang nampak seperti kulit, sekali lagi dengan gaya American Muscle menampilkan kemasan cecincin aloi.

    Bagi model produksi ini tulisan “Mitsuoka M55 Concept” pada perehat belakang tempat duduk hadapan telah ditukar kepada “M55 Zero Edition”.

    Dalam versi konsep M55 ini dihasilkan dalam versi unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 180 hp (182 PS) dan tork maksima 240 Nm bersama kotak gear manual enam-kelajuan. Namun untuk model produksi ini Mitsuoka mungkin akan menawarkan kotak gear CVT dan juga pilihan unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV.

    GALERI: Mitsuoka M55 Concept

     
     
  • Treler ‘tertanggal’ dari kepala lori di Lebuhraya NKVE dan rempuh pembahagi jalan – polis siasat kejadian

    Treler ‘tertanggal’ dari kepala lori di Lebuhraya NKVE dan rempuh pembahagi jalan – polis siasat kejadian

    Sebuah treler tertanggal dari lori yang membawanya di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) baru-baru ini, yang berlaku pada Khamis lalu (21 November 2024) telah dirakamkan menerusi video yang tular di media sosial.

    Video berdurasi 17 saat itu memaparkan treler berkenaan ‘menyusur’ ke lorong kanan dan melanggar pembahagi jalan sementara lori yang membawanya berhenti sama sekali di lorong paling kiri. Menerusi rakaman video ini, kelihatan treler terbabit hampir menghimpit serta nyaris melanggar sebuah lori lain. Mujur juga kenderaan yang merakamkan video ini sempat berhenti serta merta daripada merempuh treler terbabit.

    Menerusi laporan Sinar Harian, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya telah mengambil keterangan pemandu lori terbabit dan siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Lebuhraya Bukit Aman mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

     
     
  • Aletra L8 dilancar – produk pertama jenama Indonesia, MPV EV asas daripada Geely Jiaji L/Livan Maple 80V L

    Aletra L8 dilancar – produk pertama jenama Indonesia, MPV EV asas daripada Geely Jiaji L/Livan Maple 80V L

    Aletra, satu jenama kenderaan Indonesia baru melancarkan model pertama mereka, Aletra L8 semasa Gaikindo Jakarta Auto Week. MPV EV ini dijual dalam dua versi, iaitu L8 pada harga 435 juta rupiah (RM122k) dan L8s berharga 478 juta rupiah (RM134k).

    Aletra ini adalah satu jenama di bawah kelolaan PT Sinar Armada Globalindo (PT SAG), yang bekerjasama dengan Livan Automotive, iaitu syarikat gabungan Shanghai Maple milik Geely dan Lifan Technology.

    Disebabkan itu, L8 ini sebenarnya adalah Livan Maple 80V L (Geely Jiaji versi EV) yang diberikan beberapa perubahan untuk pasaran Indonesia termasuk compressor pendingin hawa yang dipertingkat, rim 18 inci rekaan baru serta muka yang diubah sedikit. Ia dibuat di kilang PT Handal Indonesia Motor di Cikarang, yang juga mengeluarkan kenderaan lain seperti Chery, Neta dan Jetour.

    Menyediakan tujuh tempat duduk dalam susunan 2-2-3, Aletra mencatat ukuran panjang 4,812 mm (-14 mm berbanding Jiaji L), lebar 1,909 mm, tinggi 1,699 mm tall dan jarak roda 2,807 mm. Ruang simpanannya bagaimanapun adalah kecil sedikit berbanding Jiaji L, iaitu 459 liter, berkemungkinan kerana kedudukan baterinya. Suspensi terdiri daripada tetapan MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang.

    Varian asas L8 mendapat bateri LFP 50.4 kWh yang mampu memberi jarak gerak 431 km (CLTC), sementara L8s diberikan dengan bateri short blade 64.74 kWh dengan jarak gerak 540 km (CLTC). Motor 163 PS/240 Nm yang sama digunakan untuk kedua-dua varian ini, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 10.7 saat dan laju maksimum 160 km/j.

    Antara kelengkapan yang disediakan adalah bumbung panoramik, pengelap cermin automatik, kamera 360 darjah, pemerhati titik buta, panel instrumen digital TFT-LCD tujuh inci, pengecas telefon tanpa wayar, lampu suasana, tempat duduk hadapan larasan kuasa elektrik serta skrin sesentuh 12.4 inci. Untuk aspek keselamatan, ia dilengkapi empat beg udara dan pengawal stabiliti – ADAS tidak disebut.

    Aletra didatangkan dengan jaminan selama enam tahun/150,000 km untuk kenderaan, lapan tahun/200,000 km (L8), 500,000 km (L8s) untuk bateri dan lapan tahun/150,000 unit untuk penggeraknya. Turut diberi adalah penyelenggaraan percuma selama enam tahun/100,000 km.

     
     
  • Royal Enfield Scram 440 didedah – enjin bertambah besar, transmisi enam kelajuan, lancar tahun hadapan

    Royal Enfield Scram 440 didedah – enjin bertambah besar, transmisi enam kelajuan, lancar tahun hadapan

    Semasa festival motosikal Motoverse yang diadakan di Goa India, Royal Enfield mengadakan pra tonton istimewa untuk Scram 440, yang akan diperkenalkan secara rasmi kepada pasaran Januari tahun hadapan.

    Seperti yang boleh dilihat pada namanya, Scram 440 ini adalah satu versi naik taraf dariapda Scram 411 yang baru sahaja berusia beberapa tahun dalam pasaran dan peningkatan utama dibuat pada bahagian enjin. Kapasiti unit satu silinder suntikan bahan api itu ditingkatkan menjadi 443 cc, dan kini mampu menghasilkan 25.4 hp pada 6,250 rpm dan tork 34 Nm pada 4,000 rpm.

    Menurut Royal Enfield, walaupun peningkatan kuasanya tidak begitu ketara, cuma 1.1 hp dan 2 Nm tork, ia rasa lebih memuaskan, apatah lagi bila dipadankan bersama transmisi baru enam kelajuan menggantikan unit lima kelajuan sebelum ini.

    Secara kasarnya model ini masih nampak sama dengan Scram 411 tetapi Royal Enfield turut mempertingkat kelengkapannya dengan lampu hadapan LED serta brek ABS dual-channel. Turut ditambah baik adalah bahagian brek, untuk menjadi lebih mencengkam dan klac, supaya lebih mudah ditarik.

    Setakat yang diberitahu, Scram 440 ini akan tiba dalam dua varian, iaitu Trail dan Force, dengan perbezaan pada kelengkapan serta rim. Trail akan datang dengan padanan rim spoked 19 di hadapan dan 17 di belakang, sementara Force pula menggunakan rim aluminium 17 inci tanpa tiub.

    Perincian lanjut Scram 440 akan dikemas kini apabila ia diperkenalkan kepada pasaran secara rasmi nanti.

     
     
  • 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuhraya belum nyatakan persetujuan untuk laksana MLFF – KKR

    13 daripada 33 syarikat konsesi lebuhraya belum nyatakan persetujuan untuk laksana MLFF – KKR

    Sebanyak 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuhraya belum menyatakan persetujuan mengenai pelaksanaan sistem pembayaran tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong atau Multi Lane Fast Flow (MLFF), ujar Timbalan Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Ahmad Maslan.

    Setakat ini, beliau berkata, rundingan masih lagi dijalankan dengan semua syarikat konsesi mengenai konsep plaza tol tanpa palang itu, laporan Berita Harian

    “Mengenai MLFF tempoh rundingan berdasarkan perjanjian adalah sehingga 16 Disember 2024 yang mana pelaksanaan ini akan menyaksikan berlakunya konsesi atas konsesi. Kita ada 33 syarikat konsesi (lebuhraya) dan yang ini nak dikonsesiakan pula kaedah MLFF. Masalahnya tak semua konsesi bersetuju yang mana 20 (syarikat) konsesi dalam rundingan dan 13 lagi belum setuju.

    13 daripada 33 syarikat konsesi lebuhraya belum nyatakan persetujuan untuk laksana MLFF – KKR

    “Jadi kita tunggu sehingga 16 Disember depan, kalau tak dapat (persetujuan) semua 33 (syarikat konsesi), kita akan buat cadangan lain,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Dalam pada itu Ahmad menegaskan pelaksanaan MLFF juga perlukan kepada pindaan akta tertentu dilakukan antara lain untuk mengekang tindakan pihak yang mengelak daripada bayaran tol.

    Beliau berkata, palang tol adalah bentuk kawalan yang mana jika ada kenderaan yang tidak melakukan bayaran, maka ia dapat dilihat dengan jelas.

    “Yang tak bayar tol ni 1.01%, sama ada mereka langgar (palang tol) yang mana sikit sangat atau ‘tailgating’ (ikut rapat). Kalau dah ada sistem tol yang tak ada rumah macam sekarang, mereka yang tak bayar tol akan bertambah. Jadi kena pinda akta untuk lihat siapa nak bayar bagi mereka yang lari daripada bayar tol,” katanya.

     
     
  • Thierry Neuville rangkul gelaran juara dunia pemandu WRC pertama untuk Hyundai di Rally Japan 2024

    Thierry Neuville rangkul gelaran juara dunia pemandu WRC pertama untuk Hyundai di Rally Japan 2024

    Thierry Neuville (BEL) Martijn Wydaeghe (BEL) Of team HYUNDAI SHELL MOBIS WORLD RALLY TEAM celebrate on the podium after winning the FIA World Rally Drivers and Co-Drivers titles at the final round the FIA World rally Championship season during the World Rally Championship in Toyota City, Japan on 24.11.2024 // Jaanus Ree / Red Bull Content Pool // SI202411240304 // Usage for editorial use only //

    Pelumba rali dari Belgium, Thierry Neuville sah dinobatkan sebagai juara dunia untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) musim ini selepas berakhirnya pusingan akhir di Rally Japan 2024 hujung minggu lalu. Kejayaan berkenaan bukan hanya yang pertama untuk Neuville, malah ia turut mencatatkan sejarah sebagai pemandu pertama dari pasukan Hyundai yang merangkul gelaran juara dunia buat pertama kali dalam WRC.

    Walau bagaimanapun kejayaan Neuville ini bukan dicapai dengan mudah. Persaingan untuk merebut gelaran berkenaan masih terbuka antara Neuville dan rakan sepasukannya iaitu Ott Tänak sehingga ke pusingan terakhir musim ini.

    Neuville bersama juruarahnya Martijn Wydaghe hanya memerlukan 5 mata untuk mengesahkan kejuaraannya namun jentera Hyundai i20 N Rally1 yang dipandu mengalami masalah pengecas turbo pada hari Jumaat menyebabkan ia jatuh ke kedudukan ke-15. Tambah sukar, Ott Tänak kelihatan begitu selesa dan berjaya menamatkan cabaran pada hari tersebut sebagai pendahulu perlumbaan.

    Thierry Neuville rangkul gelaran juara dunia pemandu WRC pertama untuk Hyundai di Rally Japan 2024

    Thierry Neuville competing at FIA World Rally Championship FORUM8 Rally Japan on 23.11.2024. // @World / Red Bull Content Pool // SI202411230363 // Usage for editorial use only //

    Dengan kerosakan yang telah diperbaiki, Neuville bangkit dan berjaya menamatkan cabaran pada hari Sabtu di kedudukan ke-7, sementara Tänak masih selesa berada di kedudukan pertama. Namun segala-galanya berubah pada hari terakhir rali iaitu pada hari Ahad, di mana Tänak mengalami kemalangan dan tidak dapat meneruskan perlumbaan pada SS ke-17, sekaligus mengesahkan gelaran juara dunia untuk Neuville.

    Kemalangan yang dialami oleh Ott Tänak berkenaan membolehkan pemandu pasukan Toyota Gazoo Racing World Rally Team, Elfyn Evans untuk memenangi Rally Japan 2024, diikuti oleh rakan sepasukan Sebastien Ogier di tempat kedua dan Adrian Formaux dari pasukan M-Sport Ford sekali lagi naik ke podium dengan menamatkan perlumbaan di tempat ketiga.

    Keputusan ini juga telah menyebabkan kedudukan pungutan mata kejohanan Tänak jatuh ke tempat ke-3 kerana dipintas oleh Elfyn Evans. Tambah malang, oleh kerana hanya Neuville dari Hyundai yang menematkan perlumbaan dan menduduki tempat ke-6, keputusan ini turut membolehkan Toyota sekali lagi merangkul gelaran juara dunia untuk kategori pengeluar bagi tahun ke-4 berturut-turut sejak 2021.

    “Secara jujurnya saya rasa hebat, kami telah berusaha keras sejak sekian lama untuk ini,” kata Neuville. “Saya tak tau nak cakap apa, tapi saya mahu berterima kasih kepada semua orang yang menjadi sebahagian daripadanya, yang berjuang untuk kami dan juga semua ahli pasukan. Banyak kali kami hampir berjaya; kami sentiasa memberikan sepenuhnya apa yang kami ada, tetapi tahun ini kami telah menerima hadiahnya,” tambahnya.

    Sebelum bergelar juara dunia buat kali pertama, Neuville telah lima kali bergelar naib juara dunia WRC; sekali ketika bersama M-Sport Ford pada 2013, kemudian empat kali lagi selepas bersama Hyundai sejak 2014 iaitu pada 2016, 2017, 2018 dan 2019.

     
     
  • Lorong Kecemasan antara Senai Utara-Sedenak di Lebuhraya PLUS ditutup berfasa mulai Julai 2025

    Lorong Kecemasan antara Senai Utara-Sedenak di Lebuhraya PLUS ditutup berfasa mulai Julai 2025

    Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh telah memaklumkan penutupan lorong kecemasan antara Senai Utara dan Sedenak akan dilakukan secara berfasa bagi memberi laluan kepada projek pembinaan lorong tambahan di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), bermula Julai tahun depan, laporan Harian Metro.

    Katanya, penutupan lorong terbabit akan dilakukan mengikut peringkat sehingga pembinaan lorong tambahan di laluan berkenaan siap sepenuhnya pada 2027. Walau bagaimanapun, empat lorong di laluan utama lebuh raya sedia ada (dua lorong arah utara dan dua lorong selatan) termasuk lorong kecemasan antara Senai Utara dan Sedenak, tidak akan ditutup sehingga Jun 2025.

    “Ini kerana kerja-kerja awalan yang sedang dilaksanakan seperti kerja tanah, geo-teknikal selain pengalihan utiliti dan dilakukan di luar kawasan dan tidak mengganggu pengguna lebuh raya. Lori dan jentera yang digunakan juga tidak melalui laluan lebuh raya itu sebaliknya melalui jalan alternatif lain seperti jalan ladang untuk ke tapak kerja bagi mengurangkan impak kesesakan.

    Lorong Kecemasan antara Senai Utara-Sedenak di Lebuhraya PLUS ditutup berfasa mulai Julai 2025

    “Namun, mulai Julai 2025, penutupan lorong kecemasan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut zon kerja bagi tujuan yang dinyatakan di atas sehingga penyiapan projek sepenuhnya pada Jun 2027,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di semalam.

    Beliau berkata berkata demikian bagi menjawab soalan Wong Bor Yang (DAP-Senai) mengenai langkah untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas sepanjang tempoh pelaksanaan kerja projek pelebaran Lebuhraya PLUS.

    Jelas beliau lagi, pelan pelaksanaan termasuk bagi mengurangkan kesesakan ketika kerja pelebaran laluan dilakukan sudah dipersetujui pihak kontraktor, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), PLUS dan kerajaan negeri menerusi beberapa siri perbincangan.

    “Antara tindakan sudah dikenal pasti adalah kerja pembinaan dilaksanakan mengikut zon kerja secara berselang yang mana panjang setiap zon kerja adalah antara tiga hingga empat kilometer. Juga dicadangkan supaya laluan Smartlane di kawasan tertentu dibenarkan untuk digunakan oleh pengguna dalam tempoh yang tertentu.

    Lorong Kecemasan antara Senai Utara-Sedenak di Lebuhraya PLUS ditutup berfasa mulai Julai 2025

    “Lorong tambahan baharu yang telah disiapkan juga akan dibuka secara berperingkat bagi kegunaan trafik ketika diperlukan, seperti pada waktu puncak dan semasa berlaku sebarang kecemasan. Kawasan hentian kecemasan sementara juga akan disediakan di lokasi yang bersesuaian bagi memindahkan kenderaan rosak atau kemalangan dalam tempoh yang singkat,” katanya.

    Fasa 1 projek pembinaan lorong tambahan Lebuhraya Plus terdiri daripada dua pakej iaitu Pakej A (Sedenak-Kulai) dan Pakej B (Kulai-Senai Utara) merangkumi jarak 22 kilometer dengan peruntukan RM525 juta dijangka siap pada Januari 2028.

    Dalam Belanjawan 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan projek pelebaran Lebuhraya PLUS daripada empat kepada enam lorong dilanjutkan dari Sedenak ke Simpang Renggam, Johor yang melibatkan kos peruntukan sebanyak RM931 juta.

    Pada masa ini, laluan enam hingga lapan lorong di Lebuhraya PLUS dari Kuala Lumpur ke selatan hanya berakhir di Melaka. Manakala laluan selepas itu hanya menampilkan laluan empat lorong (dua lorong sehala) sehingga ke Tol Skudai yang bukan sahaja menyebabkan kesesakan pada waktu puncak, musim cuti dan musim perayaan, malah ia juga telah menyebabkan banyak kemalangan maut berlaku.

     
     
  • Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

    Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

    Menjelang pengenalan rasmi EV Proton eMas 7 pada Disember nanti, minggu lalu sekali lagi sesi pra-tonton SUV berkenaan dilakukan oleh Proton (tempahannya juga sudah mula dibuka hujung Oktober lalu). Memang, sudah banyak maklumat mengenai SUV elektrik ini yang sudah kita ketahui (selain harga, tentunya), tetapi kunjungan terbaru ke Pusat Kecemerlangan Proton (COE) di Shah Alam turut melibatkan sesi pandu uji ringkas dan singkat di dalam litar ujiannya.

    Itu yang ingin kami kongsikan kali ini: sedikit pandangan tentang pengalaman pemanduan tersebut. Tetapi sebelum itu, kita tinjau semula penawaran yang bakal diberikan untuk Proton eMas 7 ini untuk pasaran tempatan.

    Bagaimanapun, gambar luaran eMas 7 tanpa pelekat samaran masih belum boleh ditunjuk. Maka disebabkan itu, kali ini hanya gambar kabin dengan perincian lengkap bagi versi produksinya yang akan ditunjukkan terlebih dahulu — bagi kedua-dua varian yang akan ditawarkan nanti.

    Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

    Proton eMas 7 akan ditawarkan dalam dua varian untuk pasaran tempatan, iaitu Prime dan yang paling lengkap, Premium. Dari segi saiz, SUV EV Proton ini berada dalam segmen C dengan ukuran seperti berikut: 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,750 mm.

    Dari aspek ini, ia boleh menyaingi Honda CR-V yang hadir dengan ukuran seperti berikut: 4,706 mm panjang (+91 mm), 1,942 mm lebar (+41 mm), 1,684 mm (+14 mm) tinggi dengan jarak roda 2,700 mm (-50 mm). Untuk EV pula, eMas 7 selalu ingin dibandingkan dengan BYD Atto 3 (bahkan ketika sesi pandu uji ringkas ini berlangsung, Atto 3 turut dihadirkan): panjang Atto 3 ialah 4,455 mm (-160 mm), 1,875 mm lebar (-26 mm), 1,615 mm tinggi (-55 mm) dengan jarak roda 2,720 mm (-30 mm).

    Kedua-dua varian tersebut juga berkongsi unit janaan kuasa yang sama iaitu motor elektrik tunggal “12-dalam-1” yang memacu roda hadapan dengan janaan sebanyak 218 PS (160kW) dan 320 Nm tork puncak. Konfigurasi tersebut cukup untuk membolehkan eMas 7 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat, menjadikan ia model produksi Proton paling pantas setakat ini. Kelajuan maksimum yang boleh dicapai adalah 175 km/j.

    Berkenaan bateri, kedua-dua tersebut menggunakan bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan rekaan “bilah pendek” Aegis yang dibangunkan oleh Geely sendiri. Yang membezakan keduanya adalah kapasiti bateri yang berbeza — varian Prime dilengkapi bateri berkapasiti 49.52 kWj manakala varian Premium pula dengan kapasiti 60.22 kWj.

    Untuk jarak perjalanan yang boleh dicapai Protom eMas 7 Prime boleh bergerak sejauh 345 km untuk satu cas penuh bateri, manakala eMas 7 Premium dengan kapasiti bateri lebih besar boleh bergerak sejauh 410 km untuk satu cas penuh baterinya. Angka ini diperolehi menerusi kitaran ujian WLTP yang lebih tepat berbanding NEDC.

    Proton eMas 7 juga datang sistem pengecas pantas DC 80 kW untuk Prime dan 100 kW untuk Premium, membolehkan pengecasan dari 30% hingga 80% dicapai dalam masa hanya 20 minit. Pengecas AC juga boleh digunakan dengan kadar maksimum 11 kW, membolehkan kadar cas 30% hingga 80% dicapai dalam masa 4.9 jam untuk Prime dan 6.1 jam untuk Premium. Dalam kiraan mudah, dengan setiap pengecasan DC selama 10 minit, pengguna boleh mendapat 135 km jarak perjalanan. Jika anda berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan antara kedua-dua varian ini, sila rujuk di sini.

    Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

    Lagi tentang bateri yang digunakan. Menurut Proton, hayatnya mampu bertahan sehingga 921 kali pengecasan (bersamaan sekitar jarak 400,000 km perjalanan), dan dalam keadaan itu pun ia akan masih memberikan tahap kesihatan bateri pada kadar 90.5%. Bateri berkenaan merupakan unit dengan high density energy pada kadar 192 Wh/kg, dan dengan saiz 580 mm panjang serta ketebalan 18.2 mm — yang disepadukan dalam rangka kenderaan di bahagian lantai supaya tidak mengorbankan ruang kabin atau but.

    SUV ini juga menyediakan ruang yang luas dan banyak. Bagi ruang but di belakang, dengan kerusi dinaikkan, yang tersedia ialah 461 liter termasuk 51 liter lagi di bahagian bawah lantainya. Di bawah konsol tengan juga ada satu bukaan besar yang memberikan kapasiti tambahan 10.8 liter. Di bawah kerusi penumpang belakang pula ada laci tersorok dengan kapasiti 14 liter. Dan, jika penyandar kerusi belakang direbahkan habis, sebanyak 1,877 liter kapasiti ruang akan tersedia untuk dimanfaatkan. Penyandar kerusi belakang juga ada dua tahap larasan yang boleh dipilih untuk keselesaan: 30-35 darjah.

    Jadi, bagaimana dengan tanggapan pertama setelah memandu uji Proton eMas 7 dalam litar ujian Proton? Pertama sekali, ketika memasuki kabin dan menyelaraskan tempat duduk untuk memandu, kami perasan yang ruang di dalamnya cukup luas. Ini terutamanya untuk penumpang di belakang: ruang kaki yang tersedia dengan kerusi depan dalam kedudukan memandu adalah mengkagumkan.

    Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

    Rekaan papan pemuka segar dan moden (ada juga lampu ambient), konsol tengah, skrin sentuh 2.5K HD yang besar (15.4-inci) di tengah dan skrin kluster panel instrumen untuk maklumat pemanduan yang juga puas dipandang (10.2-inci) — yang memanfaatkan cip Dragon Eagle One 7NM (RAM 16GB, storan 128GB) serta sistem operasi Flyme Auto yang dibangunkan oleh Meizu (syarikat teknologi dan telefon milik Geely). Sistem bunyi pula menggunakan Flyme Sound dengan varian paling tinggi menerima 16-pembesar suara, kuasa 1,000 watt dan kesan bunyi keliling Wanos.

    SUV ini tidaklah memberikan rasa kedudukan yang tinggi seperti CR-V misalnya, namun tetap memberikan pandangan yang luas di hadapan. Seawal menekan pedal kuasa untuk menggerakkan kenderaan, perhatian kami tertarik terhadap betapa tangkas dan bertenaganya sistem janaan melonjakkan pacuan SUV ini. Memang penyaluran tork yang segera dan terasa langsung begini adalah satu kelebihan untuk mana-mana EV, namun kesan tujahan dari pegun yang diberikan oleh Proton eMas 7 ada kelainan yang dapat dirasakan. Apatah lagi, di sesi yang bersamaan, kami juga berkesempatan untuk merasakan pemanduan BYD Atto 3 yang dibawakan sebagai perbandingan.

    Perlu juga dinyatakan terlebih dahulu yang sebelum memulakan pemanduan, mod pemanduan eMas 7 telah ditetapkan kepada Sport. Kepekaan pedal kuasa serta tahap cengkaman brek regenratif yang ada semuanya boleh ditetapkan secara berasingan, dengan maklum balasnya yang juga sendiri. Tidak sukar untuk menambah kelajuan dalam pemanduan eMas 7 ini. Sekejap sahaja kuasa boleh dirasakan sampai terus kepada roda depan. Tentang kestabilan, ketika melalui laluan condong di litar Proton tersebut, eMas 7 dengan yakin dan tegap memegang selekoh dalam kelajuan dari 110 km/j dan makin meningkat.

    Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

    Ini menunjukkan satu hal lagi — tetapan suspensi yang diberikan untuk SUV elektrik ini juga cukup tegap dan stabil, tidak seperti unit kembarnya, Geely Galaxy E5 yang pernah ditunjuk sebelum ini. Dalam kelajuan tinggi pun eMas 7 dirasakan begitu “compose” dan tidak teroleng sebarangan — membuat kami merasa seperti sentiasa berada dalam kawalan. Bagi kami, prestasi pemanduan dan penyaluran kuasa eMas 7 sedikit berada diluar jangkaan awal. Ia bahkan dirasakan lebih dekat dengan prestasi pemanduan smart #1 yang digunaan sebagai kenderaan pengangkut penumpang ketika itu.

    Namun, ada dua perkara yang kami fikir agak mengganggu dan tidak disukai. Pertama, walaupun saluran kuasa pemanduannya meyakinkan, tetapi untuk mengendalikan SUV terbabit melalui rekaan stereng yang bujur aneh itu agak menjengkelkan. Bahagian atasnya ada sudut yang hampir rata, manakala bahagian bawah stereng pula rata. Dengan dia jejari sahaja di kiri dan kanan stereng, sangat sukar untuk mengetahui di bahagian stereng mana yang sedang kita pegang — kerana itu mempengaruhi langsung arah tuju belokan tayar — terutama ketika dalam situasi memulas habis stereng berkenaan. Jika bahagian atasnya bulat seperti biasa, itu kami rasakan lebih baik.

    Perkara kedua yang tidak menarik ialah bunyi “ais krim Mat Kool” yang boleh didengar samar-samar ketika SUV ini meluncur di bawah 30 km/j. Bunyi ini dihalakan ke luar kenderaan, sebagai menandakan kehadirannya (kerana EV sangat senyap) dan memaklumkan orang di persekitaran, misalnya pejalan kaki. Ini memang peraturan untuk EV di China dan Eropah bahkan, tetapi jenis bunyi yang dihasilkan itu mungkin lebih baik diberikan nada atau melodi lain yang lebih jelas dan “keras”.

    Proton eMas 7 2025 — tanggapan awal pemanduan

    Untuk duduk di belakang, ini adalah satu kelegaan yang sangat dinikmati. Tidak hanya ruang kakinya luas, penyandarnya juga ada dua tahapan sudut yang meningkatkan lagi keselesaan untuk penumpang. Ini ciri yang akan sangat dihargai jika SUV ini digunakan untuk kegunaan keluarga, dan jika ia digunakan untuk perjalanan yang lama.

    Bagi kami, yang akan menentukan penerimaan utama terhadap Proton eMas 7 ini ialah tanda harganya. Dengan adanya begitu banyak banyak pilihan EV sekarang (merentas segmen yang ada), hanya harga sahaja yang akan membuatkan khalayak mempertimbangkannya untuk dibeli dan digunakan. Ketika ini, anggarannya ialah sekitar RM120,000, satu julat harga yang hampir sama dengan BYD Atto 3.

    Bagi ciri keselamatan ADAS Tahap 2, Proton eMas 7 turut dilengkapi dengan fungsi bantuan pemanduan lengkap seperti Intelligent Cruise Control (ICC); Adaptive Cruise Control (ACC); Collision Mitigation Braking System (CMBS) yang merangkumi AEB, Forward Collision Warning (FCW) dan Dynamic Brake Support (DBS); Lane Keeping Assist (LKA) yang terdiri daripada Lane Departure Warning (LDW), Lane Departure Prevention (LDP) dan Emergency Lane Keeping Assist (ELKA); Rear Side Radar Assist System yang termasuk Rear Collision Warning (RCW), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Rear Cross Traffic Braking (RCTB), Lane Change Assist (LCA), Blind Spot Detection (BSD) dan Door Open Warning (DOW); serta Traffic Sign Identification (TSI).

    Pilihan warna badan untuk Proton eMas 7 ada lima semuanya, terdiri daripada Platinum Silver, Turquoise Green, Slate Grey, Quartz Rose dan Lithium White. Untuk ruang kabin, hanya satu warna ditawarkan, dikenali sebagai Indigo Blue.

    Memandangkan ia sebuah EV, anda fikir Proton eMas 7 akan berjaya menawan pasaran pengguna umum di Malayisa atau sebaliknya?

    Kabin Proton eMas 7 Premium

    Studio:

    Kawasan terbuka:

    Kabin Proton eMas 7 Prime

     
     
  • Sepang 1000KM 2024 – Hirev Dream Chaser menang, tewaskan pasukan rasmi Proton, Toyota dan Honda!

    Sepang 1000KM 2024 – Hirev Dream Chaser menang, tewaskan pasukan rasmi Proton, Toyota dan Honda!

    Pasukan Hirev Dream Chaser membuat kejutan di perlumbaan Sepang 1000KM 2024 yang berakhir malam semalam, di mana pasukan persendirian berkenaan berjaya menumpaskan tiga pasukan rasmi pengeluar yang berlumba tahun ini iaitu pasukan Proton R3, Honda Malaysia Racing Team (HMRT) dan juga Toyota Gazoo Racing Malaysia (TGRM).

    Jentera Suzuki Swift Sport ZC32S MTC pasukan tersebut yang dipandu oleh Hyden Haikal, Rahul Raj Meyer dan Daim Hishamudin berjaya melengkapkan 181 lap dengan berada di hadapan dan mencatatkan masa 8 jam 14 minit dan 25.9 saat.

    Perlumbaan ini bermula dengan pasukan HMRT mendominasi sesi kelayakan di mana Honda City Sedan MTC HMRT bernombor #27 yang dipandu pasangan Putera Adam dan Avila Bahar berada di petak pertama, diikuti Honda City hatchback MTC HMRT bernombor #26 yang dipandu Aaron Lim, Farriz Fauzy dan Akash Nandy berada di petak kedua.

    Manakala pelumba ‘otai’ Lai Wee Seng dari pasukan R Engineering dengan jentera Honda CR-Z MTC berada di tempat ketiga, diikuti Suzuki Swift MTC bernombor #1 dari pasukan Hirev Dream Chaser yang dipandu oleh Hayden Haikal memulakan perlumbaan di petak keempat.

    Namun sebaik sahaja perlumbaan bermula pada pukul 12 tengah hari, kedudukan mula berubah seawal selekoh pertama di mana Hayden Haikal berjaya meluru kedepan untuk berada di tempat kedua dan City Hatchback #26 HMRT jatuh ke tempat ketiga. Honda City sedan #27 yang memimpin babak awal perlumbaan walaubagaimanapun terpaksa pulang ke pit pada lap ke-11, membolehkan Swift Hirev Dream Chaser berada di depan.

    Ketika ini juga Honda CR-Z R Engineering bernombor #339 bertarung hebat dengan Toyota Vios MTC pasukan Toyota Gazoo Racing Malaysia (TGRM) bernombor #37 dipandu pasangan Naquib Azlan dan Mitchell Cheah dan juga Toyota Yaris MTC pasukan Wing Hin Motorsport bernombor #39 yang dipandu oleh Amer Harris dan Nabil Azlan pagi merebut kedudukan ketiga.

    Walaubagaimanapun, kedudukan Swift Sports Hirev Dream Chaser jatuh selepas ia keluar dari ke pit pada lap ke-27 dan perlumbaan dipimpin kembali oleh pasukan HMRT menerusi City Hatchback #26. Pada pertengahan perlumbaan, kedudukan Swift berkenaan jatuh lagi ke tempat ketiga selepas bertarung sengit dengan Toyota Vios #37 TGRM.

    Tetapi nasib malang menimpa Vios pasukan TGRM, ia terpaksa masuk ke pit pada lap ke-112 kerana masalah teknikal. Masalah tersebut menyebabkan Vios #37 berkenaan tersadai lama di dalam pit dan hanya berjaya keluar pada babak-babak akhir perlumbaan.

    Ini membolehkan Swift Hirev Dream Chaser naik kembali ke tempat kedua, sementara Toyota Yaris MTC Wing Hin Motorsport #38 dipandu oleh Boy Wong dan Ng Khai Ee secara perlahan-lahan mula berada di kelompok hadapan dan berjaya berada di tempat ketiga pada lap ke-138.

    Sepang 1000KM 2024 – Hirev Dream Chaser menang, tewaskan pasukan rasmi Proton, Toyota dan Honda!

    Masuk ke babak suku akhir menyaksikan pertarungan sengit antara Hi-Rev dan HMRT untuk merebut kedudukan pertama. Namun malang untuk City hatchback yang mengalami masalah teknikal dan terpaksa masuk ke pit lap 148. Masalah tersebut tidak berjaya diselesaikan menyebabkan cabaran City Hatchback berkenaan dalam S1K tahun ini terpaksa di hentikan, membolehkan Swift kembali menjadi pendahulu perlumbaan, diikuti oleh Honda Fit RS GK5 MTC Tedco Racing #96 yang dipandu Foo Yung Chieh, Freddie Ang dan Goh Lee Heng.

    Di kelompok kedua, City Sedan yang bermasalah pada awal perlumbaan secara perlahan-lahan mula mengejar kereta di hadapan, akhirnya tiba di belakang Yaris Wing Hin Motorsport #38 pada lap ke-156 dan tak lama selepas itu berjaya memintas pada selekoh T4 untuk berada di tempat ketiga.

    Namun satu lagi harapan HMRT untuk mendapatkan kedudukan podium ini turut lebur selepas City sedan #27 tiba-tiba berhenti di lap ke-171 selepas melepasi selekoh T4, membolehkan Yaris MTC Wing Hin Motorsport #38 kembali ke tempat ketiga. Tuah terus menyebelahi Yaris tersebut kerana berjaya naik ke kedudukan kedua ketika perlumbaan berbaki satu lagi lap, Honda Fit RS Tedco Racing pula mengalami masalah dan terpaksa masuk ke pit.

    Perlumbaan berakhir dengan Swift ZC32S MTC #1 Hi-Rev Dream Chaser terus berada di hadapan, meninggalkan Yaris MTC #38 dengan jarak 2 minit 38.6 saat di belakang. Manakala Honda Fit RS GK5 Tedco Racing sempat menghabiskan perlumbaan di tempat ketiga bagi melengkapkan podium Sepang 1000 KM 2024. Tempat keempat kelas MTC adalah milik satu lagi jentera Hi-Rev Dream Chaser iaitu Honda City Hatchback MTC #100 yang dipandu oleh Fitra Eri, Aaron Hakim Haikal dan Lee Wai Chong.

    Agak malang bagi pasukan Proton R3, selepas lima tahun berehat bukan sesuatu yang mudah untuk mereka bangkit semula. Proton S70 bernombor #81 pasukan itu yang dipandu oleh Syafiq Ali terlibat dalam insiden pada awal babak iaitu baru lap ke-8. Kereta berkenaan berpusing selepas bahagian belakangnya bersentuh dengan kereta di belakang dan melanggar dinding penghadang, menyebabkan ia tidak boleh meneruskan perlumbaan.

    Sementara sebuah lagi Proton S70 yang dipandu oleh pasangan Alister Yoong dan Ariff Azmi terpaksa bergelut pada kelompok belakang dengan memulakan perlumbaan di tempat ke-sembilan dan kemudian menghadapi pula masalah teknikal dan terpaksa diperbaiki di dalam hentian pit dalam masa yang agak lama. Namun dengan prestasi konsisten ditunjukkan pada akhir perlumbaan S70 #82 tersebut berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-5 dalam kelas MTC.

     
     
  • Honda Prelude Concept akan dipamer di KLIMS 2024 – penampilan pertamanya di Asia selain Jepun

    Honda Prelude Concept akan dipamer di KLIMS 2024 – penampilan pertamanya di Asia selain Jepun

    Honda Malaysia baru sahaja mengumumkan bahawa ia akan mempamerkan Honda Prelude Concept di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang bakal berlangsung bermula 5 hingga 11 Disember ini di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    Model konsep berkenaan membuat kemunculan globalnya ketika berlangsung Japan Mobility Show 2023, dan kemudian turut dibawa ke Eropah menerusi Goodwood Festival of Speed 2024 Julai lalu. Kemunculannya di KLIMS 2024 nanti bukan sahaja menjadi penampilan pertama Prelude Concept ini di Asia Tenggara, malah ia adalah yang pertama di Asia selain Jepun.

    Honda sebelum ini telahpun mengesahkan bahawa model produksi Prelude generasi baharu ini kelak akan dihasilkan sebagai model global dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan sebelah kanan (RHD) dan bakal dijual di seluruh dunia.

    Walaupun tidak dinyatakan oleh Honda, bentuk asas Prelude ini agak seiras dengan Honda Civic generasi ke-11, membayangkan ia dibina menggunakan platform yang sama. Namun Honda ada mengesahkan bahawa Prelude ini akan ditawarkan hanya sebagai model hibrid sahaja.

    Jadi boleh diagak Prelude ini mungkin akan menerima unit rangkaian kuasa yang sama seperti Civic Hybrid e:HEV yang menggandingkan enjin petrol 2.0 liter NA yang kebanyankkan masanya bertugas sebagai ‘generator’ bateri, sementara roda hadapannya dipacu secara primari oleh motor elektrik.

    Apa pun sekiranya anda mahu lihat Honda Prelude Concept ini depan mata, di mana ia mungkin tidak akan muncul lagi dalam mana-mana acara di Malaysia selepas ini, jangan lupa untuk datang ke MITEC bulan depan!

    GALERI: Honda Prelude Concept di Japan Mobility Show 2023

     
     
  • Dongfeng Box dilancarkan di Malaysia – EV dengan jarak gerak sehingga 430 km, harga dari RM100,700

    Dongfeng Box dilancarkan di Malaysia – EV dengan jarak gerak sehingga 430 km, harga dari RM100,700

    Central Auto Distributors (CADB), sebuah syarikat di bawah Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melancarkan Dongfeng Box untuk pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam dua varian iaitu E2 pada harga RM100,700 dan RM113,700 untuk E3.

    Empat warna ditawarkan untuk Dongfeng Box ini, iaitu putih, ungu, hijau dan biru, sementara jika pengguna mahukan E3 dengan bumbung berwarna putih, mereka perlu menambah RM2,000 lagi. Setiap pembelian Dongfeng Box datang dengan jaminan kenderaan lima tahun atau 150,000 km, dan lapan tahun atau 150,000 km untuk bateri voltan tingginya. Setakat ini sudah ada 16 pengedar rasmi Dongfeng di Malaysia dan dua pusat pengalaman menyeluruh di Lembah Kelang.

    Bagi tempoh awal ini, CADB akan memberikan insentif kepada pembeli, sehingga 31 Disember 2024 dengan memberikan unit pengecas mudah alih percuma (bernilai RM1,088), ruang simpanan hadapan percuma (bernilai RM1,250) dan pilihan salah satu antara kredit mengecas selama satu tahun (bernilai RM3,000), pengecas rumah (bernilai RM3,288) atau pakej penyelenggaraan (bernilai RM3,000) secara percuma.

    Dongfeng Box dilancarkan di Malaysia – EV dengan jarak gerak sehingga 430 km, harga dari RM100,700

    Kedua-dua varian Box ini dipacu oleh motor elektrik di bahagian depan yang menghasilkan 95 PS (70 kW) dan tork 160 Nm, membolehkan ia mencapai laju maksimum sehingga 140 km/j. Saiz bateri yang digunakan bagaimanapun adalah berbeza, dengan E2 mendapat unit 31.45 kWh, mampu memberikan jarak gerak sehingga 330 km (CLTC).

    Pada Box E3 pula, ia diberikan bateri 42.3 kWh, yang boleh menyediakan jarak gerak sehingga 430 km. Untuk pengecasan Dongfeng menyatakan Box E2 boleh menerima sumber AC sehingga 3.3 kW, manakala Box E3 pula sehingga 6.6 kW. Bagi kedua-duanya, tahap bateri boleh naik dari 30-80% dalam masa 30 minit.

    Dari aspek penampilan, Box mempunyai ciri dan rekaan kompak hatchback yang sinonim untuk kegunaan urban, dengan jalur lampu depan LED (ada mirip rekaan EV smart), garis bumbung rata hingga ke belakang untuk memberikan ruang kabin yang luas serta pilihan warna yang menyerlah. Rekaan rim 17 inci antara E2 dan E3 juga adalah berbeza.

    Di dalam, banyak juga kelengkapan yang mengisi ruangnya, seperti konsol tengah apungan, pengecas tanpa wayar Qi, ruang simpanan dalam perehat lengan serta talam simpanan unik di ruang glove box. Ia juga hadir dengan kluster instrumen lima-inci dan skrin sentuh infotainmen bersaiz 12.8-inci dengan sistem sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah seperti pendingin hawa automatik, cermin pandang belakang tanpa bingkai, kamera 360 darjah, lampu suasana 32 warna serta enam pembesar suara. Pada aspek keselamatan, hanya Box E3 dilengkapi Adaptive Driver Assistance Systems (ADAS) yang termasuk Automatic Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Traffic Sign Recognition dan Park Assist, tetapi beg udara cuma ada dua (untuk E2 dan E3).

    GALERI: Dongfeng Box E2

    GALERI: Dongfeng Box E3

    GALERI: Pilihan warna Dongfeng Box


     
     
  • Honda RS150R pasaran Malaysia dapat warna baharu

    Honda RS150R pasaran Malaysia dapat warna baharu

    Tahun ini sekali lagi Honda RS150R diberikan warna baru, yang datang dalam tiga pilihan iaitu White Trico, Matte Blue dan Silver. Harga cadangan terkini yang didedahkan oleh Boon Siew Honda (BSH) untuk kapcai ini adalah RM8,379 tidak termasuk insurans – naik RM80 berbanding harga pada November 2023.

    Seperti yang boleh dilihat, dua warna baru RS150R ini adalah lebih kosong dan tidak mempunyai pelekat bergrafik seperti sebelum ini, sementara warna White Trico itu pula membawa penampilan Tricolor yang sudah sinonim dengan jenama itu, melibatkan gabungan warna putih, biru dan merah.

    Bahagian lain motosikal ini tidak berubah, masih sama seperti model facelift yang dilancarkan pada Januari 2020, termasuk enjin yang terdiri daripada unit satu silinder DOHC 149.2 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm.

    RS150R datang dengan rim 17 inci yang dibalut dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, dan ia disambungkan kepada badan motosikal melalui fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Enjin ini hanya boleh dihidupkan menggunakan pemula elektrik dan ia dipadankan bersama transmisi enam gear serta klac yang perlu ditarik dengan tuil di tangan. Panel meter yang memaparkan informasi penting termasuk kedudukan gear menggunakan jenis LCD digital.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang, tangki bahan api 4.5 liter serta lampu utama LED. Setiap motosikal datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025