Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Dongfeng Box dilancarkan di Malaysia – EV dengan jarak gerak sehingga 430 km, harga dari RM100,700

    Dongfeng Box dilancarkan di Malaysia – EV dengan jarak gerak sehingga 430 km, harga dari RM100,700

    Central Auto Distributors (CADB), sebuah syarikat di bawah Persatuan Pengimpot Dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melancarkan Dongfeng Box untuk pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam dua varian iaitu E2 pada harga RM100,700 dan RM113,700 untuk E3.

    Empat warna ditawarkan untuk Dongfeng Box ini, iaitu putih, ungu, hijau dan biru, sementara jika pengguna mahukan E3 dengan bumbung berwarna putih, mereka perlu menambah RM2,000 lagi. Setiap pembelian Dongfeng Box datang dengan jaminan kenderaan lima tahun atau 150,000 km, dan lapan tahun atau 150,000 km untuk bateri voltan tingginya. Setakat ini sudah ada 16 pengedar rasmi Dongfeng di Malaysia dan dua pusat pengalaman menyeluruh di Lembah Kelang.

    Bagi tempoh awal ini, CADB akan memberikan insentif kepada pembeli, sehingga 31 Disember 2024 dengan memberikan unit pengecas mudah alih percuma (bernilai RM1,088), ruang simpanan hadapan percuma (bernilai RM1,250) dan pilihan salah satu antara kredit mengecas selama satu tahun (bernilai RM3,000), pengecas rumah (bernilai RM3,288) atau pakej penyelenggaraan (bernilai RM3,000) secara percuma.

    Dongfeng Box dilancarkan di Malaysia – EV dengan jarak gerak sehingga 430 km, harga dari RM100,700

    Kedua-dua varian Box ini dipacu oleh motor elektrik di bahagian depan yang menghasilkan 95 PS (70 kW) dan tork 160 Nm, membolehkan ia mencapai laju maksimum sehingga 140 km/j. Saiz bateri yang digunakan bagaimanapun adalah berbeza, dengan E2 mendapat unit 31.45 kWh, mampu memberikan jarak gerak sehingga 330 km (CLTC).

    Pada Box E3 pula, ia diberikan bateri 42.3 kWh, yang boleh menyediakan jarak gerak sehingga 430 km. Untuk pengecasan Dongfeng menyatakan Box E2 boleh menerima sumber AC sehingga 3.3 kW, manakala Box E3 pula sehingga 6.6 kW. Bagi kedua-duanya, tahap bateri boleh naik dari 30-80% dalam masa 30 minit.

    Dari aspek penampilan, Box mempunyai ciri dan rekaan kompak hatchback yang sinonim untuk kegunaan urban, dengan jalur lampu depan LED (ada mirip rekaan EV smart), garis bumbung rata hingga ke belakang untuk memberikan ruang kabin yang luas serta pilihan warna yang menyerlah. Rekaan rim 17 inci antara E2 dan E3 juga adalah berbeza.

    Di dalam, banyak juga kelengkapan yang mengisi ruangnya, seperti konsol tengah apungan, pengecas tanpa wayar Qi, ruang simpanan dalam perehat lengan serta talam simpanan unik di ruang glove box. Ia juga hadir dengan kluster instrumen lima-inci dan skrin sentuh infotainmen bersaiz 12.8-inci dengan sistem sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah seperti pendingin hawa automatik, cermin pandang belakang tanpa bingkai, kamera 360 darjah, lampu suasana 32 warna serta enam pembesar suara. Pada aspek keselamatan, hanya Box E3 dilengkapi Adaptive Driver Assistance Systems (ADAS) yang termasuk Automatic Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Traffic Sign Recognition dan Park Assist, tetapi beg udara cuma ada dua (untuk E2 dan E3).

    GALERI: Dongfeng Box E2

    GALERI: Dongfeng Box E3

    GALERI: Pilihan warna Dongfeng Box


     
     
  • Honda RS150R pasaran Malaysia dapat warna baharu

    Honda RS150R pasaran Malaysia dapat warna baharu

    Tahun ini sekali lagi Honda RS150R diberikan warna baru, yang datang dalam tiga pilihan iaitu White Trico, Matte Blue dan Silver. Harga cadangan terkini yang didedahkan oleh Boon Siew Honda (BSH) untuk kapcai ini adalah RM8,379 tidak termasuk insurans – naik RM80 berbanding harga pada November 2023.

    Seperti yang boleh dilihat, dua warna baru RS150R ini adalah lebih kosong dan tidak mempunyai pelekat bergrafik seperti sebelum ini, sementara warna White Trico itu pula membawa penampilan Tricolor yang sudah sinonim dengan jenama itu, melibatkan gabungan warna putih, biru dan merah.

    Bahagian lain motosikal ini tidak berubah, masih sama seperti model facelift yang dilancarkan pada Januari 2020, termasuk enjin yang terdiri daripada unit satu silinder DOHC 149.2 cc dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm.

    RS150R datang dengan rim 17 inci yang dibalut dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang, dan ia disambungkan kepada badan motosikal melalui fork teleskopik di hadapan dan monoshock dengan pelarasan pra beban di belakang.

    Enjin ini hanya boleh dihidupkan menggunakan pemula elektrik dan ia dipadankan bersama transmisi enam gear serta klac yang perlu ditarik dengan tuil di tangan. Panel meter yang memaparkan informasi penting termasuk kedudukan gear menggunakan jenis LCD digital.

    Kelengkapan lain yang terdapat pada motosikal ini adalah termasuk brek cakera hadapan dan belakang, tangki bahan api 4.5 liter serta lampu utama LED. Setiap motosikal datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • Nissan dilapor akan henti atau pindahkan 1,000 pekerja di Thailand, kecilkan operasi di Asia Tenggara

    Nissan dilapor akan henti atau pindahkan 1,000 pekerja di Thailand, kecilkan operasi di Asia Tenggara

    Nissan dilaporkan bakal mengecilkan operasi mereka di Asia Tenggara, dan ini akan menyebabkan 1,000 pekerjanya di Thailand akan dihentikan atau dipindahkan, lapor Reuters.

    Menurut dua sumber yang memberitahu agensi berita berkenaan, kedua-dua kilang yang memasang kenderaan Nissan di Thailand akan terlibat dengan langkah ini di mana operasi Kilang Thailand No.1 Nissan akan dihentikan sementara, di mana operasinya akan disatukan bersama Kilang No.2 pada September tahun depan.

    Perkara ini diberitahu oleh sumber yang enggan dikenali kerana tidak diberi kuasa untuk menyebut perkara berkenaan, namun jurucakap Nissan enggan memberikan sebarang komen berkenaan langkah untuk mengurangkan pekerja tersebut apabila ditanya oleh Reuters.

    Walau bagaimanapun jurucakap Nissan berkenaan mengesahkan bahawa sebahagian operasi kedua-dua kilang tersebut akan disatukan bagi menaik taraf peralatan kilang, dan tiada kilang yang bakal ditutup. “Kilang No.1 akan terus beroperasi sebagai tapak produksi utama kami di Thailand,” katanya.

    Nissan dilapor akan henti atau pindahkan 1,000 pekerja di Thailand, kecilkan operasi di Asia Tenggara

    Dua kilang Nissan di Thailand ini terletak di wilayah Samut Prakan. Kilang No.1 mempunyai kapasiti produksi untuk menghasilkan 220,000 unit kenderaan setahun, manakala Kilang No.2 pula mampu menghasilkan 150,000 unit kenderaan setahun, menjadikan Thailand sebagai hab produksi Nissan terbesar di Asia Tenggara.

    Kilang-kilang tersebut bukan hanya memasang model yang dijual pada pasaran tempatan, malah turut memproduksi model yang dieksport keluar seperti Nissan Kicks untuk pasaran Asia Tenggara dan Nissan Terra untuk pasaran Timur Tengah dan negara-negara Afrika.

    Jualan Nissan di Thailand dilaporkan jatuh 30% kepada hanya sekitar 14,000 unit selepas berakhirnya tahun kewangan terakhir pada Mac lalu.

    Laporan awal bulan ini menyebut bahawa Nissan telah mengumumkan untuk menghentikan 9,000 pekerjanya di seluruh dunia selepas mencatatkan jualan yang jauh lebih rendah dari apa yang dijangka untuk separa pertama tahun ini. Di Amerika Syarikat, sekitar 6% pekerja tempatan akan berhenti dari Nissan pada penghujung tahun ini dengan menerima pakej bersara awal, lapor Reuters.

     
     
  • Isuzu perkenal enjin MaxForce DDi 2.2L Turbodiesel dan transmisi 8AT untuk D-Max dan MU-X di Thailand

    Isuzu perkenal enjin MaxForce DDi 2.2L Turbodiesel dan transmisi 8AT untuk D-Max dan MU-X di Thailand

    Seperti yang diumumkan tempoh hari, Isuzu kini secara rasmi telah mendedahkan enjin turbodiesel baharunya untuk digunakan pada trak pikap D-Max dan SUV ladder frame MU-X yang digelar sebagai MaxForce DDi 2.2L. Enjin ini membuat kemunculan sulung globalnya menerusi model kemasikini D-Max dan MU-X 2024 pasaran Thailand.

    Enjin MaxForce DDi 2.2 liter ini merupakan varian dari enjin turbodiesel 1.9 liter DDi BluePower RZ4E sedia ada, dan ia dikenali dengan kod enjin RZ4F-TC. Menurut laporan Headlightmag, selain dari meningkatkan kapasitinya dari 1,898 cc to 2,164 cc menerusi pemadanan liner silinder, omboh (83mmx100 mm), rod penghubung dan aci engkol baharu, enjin MaxForce DDi 2.2L ini turut menerima kepala silinder baharu.

    Omboh baharu berkenaan bukan sahaja lebih besar, malah ia turut disalut dengan bahan yang menjadikan daya geserannya jauh lebih rendah serta direka bagi menghasilkan pusaran lebih tinggi untuk melaras aliran udara yang masuk ke kebuk pembakaran, seterusnya memberikan pembakaran yang lebih berkesan.

    Isuzu perkenal enjin MaxForce DDi 2.2L Turbodiesel dan transmisi 8AT untuk D-Max dan MU-X di Thailand

    Selain itu, enjin 2.2L ini juga menerima penyuntik bahan api dengan tekanan lebih tinggi iaitu 250 MPa berbanding 180 MPa pada versi 1.9L. Pengecas turbo dengan geometri bervariasi (E-VGS) juga dikemaskini menampilkan aliran masuk dan bilah turbin lebih besar, bersama injap wastegate yang dikawal oleh kotak komputer enjin berbanding enjin 1.9L yang masih menggunakan tekanan spring konvensional.

    Akhir sekali enjin baharu ini turut diperkemas dengan sistem pelinciran lebih baik yang bukan sahaja meningkatkan pretasi, malah turut memberikan ketahanan lebih tinggi. Hasilnya enjin RZ4F-TC ini dapat bernafas dengan 163 PS pada takat 3,600 rpm dan mencapai tork maksima 400 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,600 rpm.

    Jadi ia bukan sahaja menghasilkan kuasa 13 PS/50 Nm lebih besar berbanding versi 1.9L (150 PS/350 Nm), malah tork maksimanya juga dapat dicapai 200 rpm lebih awal, dan Isuzu mendakwa bahawa penggunaan bahan apinya juga adalah 10% lebih baik. Enjin ini juga menerima penarafan Euro 5 serta boleh beroperasi menggunakan bahan bakar Biodiesel B20 di Thailand.

    Isuzu perkenal enjin MaxForce DDi 2.2L Turbodiesel dan transmisi 8AT untuk D-Max dan MU-X di Thailand

    Walau bagaimanapun enjin MaxForce DDi 2.2L ini bukanlah direka untuk menggantikan enjin turbodiesel 3.0L sedia ada. Enjin 4JJ3-TCX berkuasa 190 PS pada takat 3,600 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,600 rpm tersebut masih disediakan untuk varian tertinggi MU-X 2024 dan ia merupakan masih merupakan satu-satunya pilihan enjin untuk D-Max V-Cross di Thailand.

    Namun hanya enjin baharu ini sahaja yang dipadankan dengan kotak gear 8AT lapan-kelajuan baharu, manakala pilihan enjin 1.9L dan 3.0L masih diberikan kotak gear 6AT sedia ada. Selain dari menawarkan nisbah gear yang lebih banyak, kotak gear baharu ini juga diberikan fungsi REV Tronic dalam mod pacuan roda belakang.

     
     
  • Hyundai Ioniq 9 diperkenal – SUV elektrik tiga baris tempat duduk, binaan elektrikal 800V, bateri 110 kWh

    Hyundai Ioniq 9 diperkenal – SUV elektrik tiga baris tempat duduk, binaan elektrikal 800V, bateri 110 kWh

    Barisan kenderaan elektrik keluaran Hyundai kini disertai sebuah model baru apabila pengeluar itu memperkenalkan Ioniq 9, yang dibina atas platform E-GMP dan merupakan sebuah SUV tiga baris tempat duduk.

    Melihat kepada saiznya, Ioniq 9 mencatat ukuran panjang 5,060 mm, lebar 1,980 mm dan tinggi 1,790 mm, dengan jarak roda 3,130 mm. Di dalam, ia boleh menempatkan enam atau tujuh penumpang, dengan tempat duduk baris ketiga menyediakan ruang kepala 1,899 mm dan ruang kaki 2,050 mm apabila kedua-dua baris tempat duduk belakang digabungkan.

    Menggerakkan SUV elektrik ini adalah motor tunggal dengan pacuan roda belakang (Long Range RWD) atau dua motor pacuan semua roda (Long-Range AWD dan Performance) – kedua-duanya menggunakan bateri lithium ion NCM 110.3 kWh.

    Melalui binaan elektrikal 800 volt, Ioniq 9 boleh menerima pengecasan DC sehingga 350 kW, yang dapat menaikkan tahap bateri 10-80% dalam masa cuma 24 minit dan bagi varian Long-Range RWD, bateri penuh boleh memberikan jarak perjalanan sehingga 620 km mengikut standard WLTP.

    Hyundai Ioniq 9 diperkenal – SUV elektrik tiga baris tempat duduk, binaan elektrikal 800V, bateri 110 kWh

    Berkenaan kuasa, varian permulaan Long-Range RWD yang menggunakan satu motor di belakang mampu menghasilkan kuasa 160 kW (218 PS) dan tork 350 Nm, manakala varian Long-Range AWD pula menerima tambahan motor hadapan 70 kW (95 PS)/255 Nm.

    Varian paling tinggi iaitu Performance pula mendapat sepasang motor 218 PS/350 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 5.2 saat, berbanding 6.7 saat oleh Long-Range AWD dan 9.4 saat oleh Long-Range RWD. Untuk pecutan 80-120 km/j pula, Long-Range RWD mencatat 6.8 saat, Long-Range AWD 4.8 saat dan Performance 3.4 saat. Laju maksimum untuk semua varian adalah 200 km/j.

    Suspensi yang digunakan pada Ioniq 9 terdiri daripada tetapan MacPherson di hadapan dan multi-link di belakang, dengan penyerap boleh rata sendiri dan hydro-bushing untuk mengurangkan gegaran semasa memandu. Menurut Hyundai, Ioniq 9 juga datang dengan mod treler, yang membahagikan tork 50:50 antara roda hadapan dan belakang, bagi mendapatkan prestasi menunda yang paling optima, sehingga 2,500 kg.

    Turut disediakan adalah Chassis Domain Control Unit, yang mengendalikan pembahagian tork serta kawalan stabiliti angin lintang. Terrain Traction Control System boleh digunakan untuk jalan kasar, manakala Auto Terrain Mode menggunakan khidmat AI untuk mengenali permukaan jalan yang dilalui dan memilih mod pemanduan yang paling sesuai.

    Hyundai Ioniq 9 diperkenal – SUV elektrik tiga baris tempat duduk, binaan elektrikal 800V, bateri 110 kWh

    Di bahagian dalam, Ioniq 9 boleh dipilih dengan enam atau tujuh tempat duduk, menampilkan Relaxation Seats yang boleh dibaring rata dan mempunyai perehat kaki, untuk baris pertama dan kedua. Menjadikan tempat duduk baris kedua lebih istimewa, ia boleh dipusing untuk menghadap ke belakang.

    Ioniq 9 untuk pasaran tertentu akan didatangkan dengan cermin sisi digital, memaparkan pandangan sisi belakang pada skrin OLED tujuh inci. Pandangannya boleh menjadi lebih luas untuk fungsi mengundur serta melihat garis jalan.

    Sistem infotainmen Ioniq 9 terdiri daripada skrin 12 inci yang bersambung secara melengkung dengan panel instrumen 12 inci di hadapan pemandu. Lapan pembesar suara disediakan secara standard, tetapi pembeli juga boleh menaik taraf kepada sistem audio premium Bose 14 pembesar suara dengan fungsi e-Active Sound Design (e-ASD).

    Di dalam kabin Ioniq 9 terdapat konsol tengah ‘Universal Island 2.0’, yang boleh dilungsur ke hadapan dan belakang sehingga 190 mm. Bahagian atasnya menyediakan ruang 5.6 liter, sementara di bawah tersedia 12.6 liter lagi ruang. Dengan semua tempat duduk tegak, ruang barangan yang tersedia di belakang adalah 620 liter, sementara apabila tempat duduk baris ketiga dilipat, ia menjadi 1,323 liter. Ruang barangan hadapan mempunyai kapasiti 88 liter pada varian RWD dan 52 liter pada AWD.

    Hyundai Ioniq 9 diperkenal – SUV elektrik tiga baris tempat duduk, binaan elektrikal 800V, bateri 110 kWh

    Membantu memudahkan pengguna pada Ioniq 9 ini adalah EV Route Planner, serta petunjuk tahap bateri kenderaan pada roda stereng. Selain daripada itu, SUV ini juga dilengkapi dengan servis Features on Demand (FoD), yang membenarkan pengguna membeli fungsi digital melalui kedai dalam talian, seperti pancahayaan lampu dinamik apabila membuka pintu atau menutup pintu dan kandungan daripada Amazon Music dan SoundCloud.

    Pada setiap baris tempat duduk Ioniq 9 ini terdapat soket USB-C 100 watt, dan menjadikannya berbeza berbanding kenderaan biasa, ia mengambil kuasa terus daripada bateri voltan tinggi kenderaan, dan bukannya daripada bateri 12 volt biasa. Turut disediakan adalah fungsi V2L.

    Menurut Hyundai, SUV elektrik tiga baris tempat duduk ini akan mula dijual di Korea dan Amerika Syarikat separuh tahun pertama 2025, disusuli oleh Eropah dan pasaran lain selepas itu.

     
     
  • MG HS 2024 – harga sudah diumum; RM129,900 hingga RM145,900, 1.5L Turbo, 7DCT, lawan Proton X70

    MG HS 2024 – harga sudah diumum; RM129,900 hingga RM145,900, 1.5L Turbo, 7DCT, lawan Proton X70

    Selepas ditunjukkan pada Ogos lalu, hari ini SAIC Motor Malaysia secara rasmi telah mengumumkan harga untuk SUV segmen-C janaan enjin petrol penuh, MG HS. Seperti yang disebut tempoh hari, MG HS ditawarkan dalam dua varian untuk pasaran Malaysia bermula dengan varian Standard dijual pada harga RM129,900, dan juga varian tertinggi Lux dijual pada harga RM145,900.

    Harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. Namun sempena sambutan ke-100 tahun jenama MG, SAIC Motor Malaysia turut menawarkan rebat eksklusif sebanyak RM5,000 untuk kedua-dua varian. Jadi untuk tempoh masa promosi ini, MG HS Standard akan dijual pada harga RM125,900, manakala MG HS Lux pula dijual pada harga RM140,900.

    Kedua-dua varian MG HS pasaran Malaysia ini digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu menggandingkan enjin 1.5 liter turbo berkuasa 162 PS pada takat 5,600 rpm dan tork maksima 250 Nm bermula 1,700 rpm hingga 4,400 rpm, bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan yang memacu hanya roda hadapan.

    MG HS 2024 – harga sudah diumum; RM129,900 hingga RM145,900, 1.5L Turbo, 7DCT, lawan Proton X70

    Sama seperti Thailand dan Indonesia, kita di Malaysia masih menerima MG HS dalam versi generasi pertama, bukan model generasi baharu yang didedahkan di Goodwood Festival of Speed bulan lalu. Dari segi saiz ia dihasilkan dengan dimensi 4,574 mm panjang, 1,876 mm lebar, 1,664 mm tinggi dengan jarak roda sejauh 2,720 mm.

    Pada sebelah luar MG HS Standard menerima kelengkapan seperti lampu hadapan LED automatik bersama lampu nyalaan siang, lampu belakang LED, cermin sisi Kawalan elektrik, rel bumbung, spoiler belakang dan juga rim aloi 17-inci.

    Manakala MG HS Lux ditambah dengan bumbung suria panaromik, pintu tailgate belakang bantuan kuasa, pengelap cermin hadapan dengan penderia hujan dan set roda ditingkat taraf dengan rim aloi 18-inci kemasan Diamond Cut. Selain itu MG HS Lux ini turut boleh dikenali menerusi angkup brek hadapan dan belakang yang serlahkan dengan kemasan merah.

    MG HS 2024 – harga sudah diumum; RM129,900 hingga RM145,900, 1.5L Turbo, 7DCT, lawan Proton X70

    Beralih ke dalam kabin, MG HS Standard diberikan perincian termasuk upholsteri kulit hitam, tempat duduk hadapan Kawalan elektrik (6-hala pemandu, 4-hala penumpang), paparan instrumen analog dengan skrin pelbagai-info 7-inci, skrin infotainmen 10.1-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, dihubungkan kepada empat pembesar suara.

    Model asas ini juga diberikan sistem pendingin hawa zon tunggal dengan penapis udara PM 2.5 dan liang penghembus kabin belakang, dan juga empat port USB.

    Untuk MG HS Lux pula bahagian dalamannya dipertingkat dengan paparan instrumen digital dengan skrin 12.3-inci, tempat duduk Sport, mod pemanduan Super Sport, pedal penukar gear, enam-pembesar suara, lampu suasana 64-warna dan penghawa dingin dua zon.

    Bagi sistem keselamatan, kedua-dua varian ini dibekalkan standard dengan enam-beg udara, kawalan kestabilan elektronik, kawalan brek ketika selekoh, Active Rollover Protection, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun dan juga kamera undur.

    Varian lebih tinggi MG HS Lux pula menerima kamera 360-darjah dan juga tambahan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) MG Pilot, menampilkan fungsi termasuk Amaran Pelanggaran Hadapan, cruise control adaptif, bantuan kesesakan trafik, Amaran dan Pengelak Keluar Lorong dan Bantuan Tukar Lorong, Pengesan Titik Buta, Amaran Pelangganra Belakang, Amaran Lintasan Trafik Belakang dan Amaran Bukaan Pintu.

    Empat warna badan ditawarkan untuk pasaran Malaysia ini iaitu Dynamic Red, Arctic White, Black Pearl dan Camden Grey. SAIC Motor Malaysia turut memberikan perlindungan waranti pengeluar selama lima-tahun tanpa had perbatuan untuk kenderaan, bersama waranti berasingan untuk unit rangkaian kuasa (enjin dan transmisi) selama tujuh-tahun tanpa had perbatuan.

    MG HS Standard

    MG HS Lux

     
     
  • Lotus batal peralihan sepenuhnya kepada EV menjelang 2028, bakal hasilkan model-model hibrid

    Lotus batal peralihan sepenuhnya kepada EV menjelang 2028, bakal hasilkan model-model hibrid

    Ketika memperkenalkan Emira pada 2021, Lotus mengesahkan bahawa model berkenaan akan menjadi model terakhirnya yang menggunakan enjin pembakaran dalaman. Selepas itu jenama kereta sport British berkenaan memperkenalkan pelbagai model-model EV termasuk Eletre dan Emiya serta beberapa model lagi dirancang akan diperkenalkan, sehinggalah 2028 ia akan menjadi jenama EV sepenuhnhya selepas Emira dihentikan pengeluarannya.

    Namun dengan perkembangan terbaharu yang memperlihatkan penerimaan EV yang lebih rendah dari jangkaan, Lotus menjadi satu lagi jenama di bawah Geely selain Volvo untuk membatalkan sasaran bagi beralih menjadi pengeluar EV sepenuhnya.

    Menurut CEO Lotus Feng Qingfeng ketika berlangsungnya Guangzhou Motor Show 2024, Lotus bakal menghasilkan teknologi “super hibrid” yang akan menggandingkan enjin pembakaran dalaman yang disuap pengecas turbo dan teknologi pengecas pantas yang bakal memberikan jarak gerak keseluruhan lebih dari 1,000 km.

    “Di Lotus, kami sentiasa memilih teknologi kuasa terbaik yang tersedia, sama ada ia dijana petrol sepenuhnya, elektrik sepenuhnya, hibird atau [EV] penambah jarak (range extended),” kata Feng dalam wawancara bersama Wall Street Journal dan dipetik oleh Autocar.

    Lotus batal peralihan sepenuhnya kepada EV menjelang 2028, bakal hasilkan model-model hibrid

    Selain dari EV, kini semakin ramai pengguna di China sedang beralih menggunakan teknologi hibrid sama ada dalam versi plug-in (PHEV) atau dalam versi EV Range Extended (EREV) di mana ia dibekalkan dengan enjin pembakaran dalaman yang berfungsi sepenuhnya untuk mengecas bateri. Malah dalam segmen sport mewah seperti Lotus, masih ramai lagi pelanggan yang masih mahukan enjin pembakaran dalaman berbanding EV.

    “Enjin kereta mewah sudahpun sedia sangat berkuasa, dan pengalaman pemanduan adalah agak sama, dengan enjin lapan-silinder dan 12-silinder memberikan prestasi yang baik,” kata Feng lagi.

    Beliau menyatakan Lotus tidak berminat untuk menggunakan unit rangkaian kuasa PHEV kerana ia masih perlu di cas menggunakan pengecas EV dan ia tidak dapat memberikan pemanduan elektrik sepenuhnya seperti EV sebenar ketika dipandu.

    Oleh itu Feng menyatakan bahawa Lotus bakal menggunakan teknologi EREV dengan asas sistem elektrikal 900V. Sistem ini membolehkan sistem “flash charge” yang membolehkan bateri dicas lebih pantas ketika tidak bergerak berbanding kaedah menukar bateri.

     
     
  • Garis jalan glow-in-the-dark terlalu mahal, kerajaan mungkin tidak akan teruskan – Ahmad Maslan

    Garis jalan glow-in-the-dark terlalu mahal, kerajaan mungkin tidak akan teruskan – Ahmad Maslan

    Selepas mencuba garis jalan glow-in-the-dark di beberapa kawasan, kerajaan membuat keputusan mungkin tidak akan meneruskan penggunaannya. Menurut timbalan menteri kerja raya, Ahmad Maslan, kos yang tinggi adalah faktor utama keputusan menimbang balik projek ini dibuat – lapor FMT.

    Bukan setakat itu, beliau juga memberitahu bahawa melalui percubaan yang dibuat sebelum ini, ia juga tidak dapat memuaskan hati para pakar di Kementerian Kerja Raya.

    Glow-in-the-dark telah kita laksanakan percubaannya tetapi ia tidak memuaskan hati kumpulan pakar di KKR. Jadi, berkemungkinan kita tidak akan meneruskannya tambahan pula kosnya yang agak mahal. Namun demikian adalah penting supaya garisan putih diteruskan,” katanya.

    Garis jalan glow-in-the-dark terlalu mahal, kerajaan mungkin tidak akan teruskan – Ahmad Maslan

    Garis jalan glow-in-the-dark telah digunakan kali pertama November lalu di Hulu Langat, melibatkan laluan sepanjang 245 meter antara Jalan Sungai Lalang dan Jalan Sungai Tekali. Ia adalah sebagai alternatif kepada road stud atau “mata kucing.”

    Selain beberapa tempat lain di Selangor, garis jalan glow-in-the-dark ini juga dicuba di negeri lain seperti Johor ( Jalan Bukit Kucing di Gelang Patah, Jalan Paloh J16 Batu Pahat), Kedah (Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang menghala ke Durian Burung, Padang Terap) dan Negeri Sembilan (jalan lama Bukit Putus, Kuala Pilah, Jalan Bukit Miku, Rembau).

    Kos tinggi garis jalan glow-in-the-dark pernah diberitahu sebelum ini oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang menyatakan kosnya mencecah hampir 20 kali ganda berbanding kaedah konvensional yang digunakan ketika ini.

     
     
  • Keputusan penggunaan sistem MLFF dijangka dimuktamadkan pada 16 Dis ini – Ahmad Maslan

    Keputusan penggunaan sistem MLFF dijangka dimuktamadkan pada 16 Dis ini – Ahmad Maslan

    Kerajaan dijangka bakal memberikan kata putus mengenai penggunaan sistem pembayaran sistem Aliran Bebas Pelbagai-Lorong atau Multi-Lane Fast Flow (MLFF) pada 16 Disember ini.

    Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, cadangan pelaksanaan MLFF itu kini masih dalam pertimbangan teliti Kementerian Kerja Raya (KKR) selain perlu mendapatkan persetujuan syarikat konsesi lebuhraya yang terlibat, laporan Bernama.

    “Masalahnya sekarang ialah ‘konsesi atas konsesi’… kerana satu konsesi baharu nak buat MLFF ke atas 33 konsesi lama yang memiliki lebuh raya di 33 kawasan dengan separuh daripadanya antara 2,500 hingga 1,500 km (lebuhraya) dimiliki PLUS.

    “PLUS tidak bersetuju dengan ‘konsesi atas konsesi’ ini kerana PLUS mempunyai keupayaan sendiri untuk melaksanakan MLFF. … dan kita akan sediakan Kertas Kabinet,” katanya ketika mengulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat semalam.

    Keputusan penggunaan sistem MLFF dijangka dimuktamadkan pada 16 Dis ini – Ahmad Maslan

    Pada Disember 2023, sejumlah 32 syarikat konsesi lebuhraya memprotes langkah kerajaan yang memberikan kontrak bagi MLFF ini kepada syarikat swasta tunggal. Syarikat konsesi berkenaan mendakwa bahawa perjanjian pelantikan dengan KJS-SEP Synergy, sebuah syarikat yang berkait dengan YTL Corporation, telah diberikan tanpa berunding terlebih dahulu dengan konsesi berkenaan, yang akan menanggung kos pelaksanaannya kelak.

    Manakala pada Februari lalu pula, Berjaya Group memaklumkan telah meminta sokongan daripada syarikat konsesi lebuhraya untuk melengkapkan bidaan bagi pemasangan sistem MLFF berkenaan.

    MLFF merupakan satu cara untuk mengurangkan kesesakan di plaza tol. Ia adalah sistem kutipan tol yang tidak memerlukan kenderaan untuk lalu dengan perlahan atau berhenti di plaza tol. Ia telah mula diperkatakan sejak tahun 2009. Pada Mac 2023, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan pelaksanaan Proof of Concept bagi MLFF dengan memilih Lebuhraya Sungai Besi (Besraya) sebagai lokasi pertama akan menggunakan gabungan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan Automatic Number Plate Recognition (ANPR).

     
     
  • Audi Q5 Sportback kini RM370k, RM145k lebih murah

    Audi Q5 Sportback kini RM370k, RM145k lebih murah

    Pengedar Audi untuk pasaran tempatan, PHS Automotive Malaysia, telah mengumumkan bahawa Audi Q5 Sportback kini ditawarkan dengan harga atas jalan RM370,223.60, tanpa insurans iaitu RM145,000 lebih rendah berbanding sebelum ini.

    Anda juga boleh menambah sehingga RM11,000 untuk Pakej Audi Assurance, di mana ia memberikan anda tambahan tiga-tahun untuk waranti pengeluar, secara keseluruhannya menjadi lima-tahun/150,000 km, tiga-tahun/45,000 km untuk penyelenggara percuma dan lima-tahun bagi bantuan tepi jalan.

    Dilancarkan di Malaysia pada tahun 2021, Audi Q5 Sportback untuk pasaran kita hanya diberikan varian tunggal S Line 2.0 TFSI quattro. Ia dipadankan dengan enjin 2.0 liter empat-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa 249 PS dan tork 370 Nm dan digandingkan bersama klac-berkembar S tronic tujuh-kelajuan. SUV coupe pacuan semua-roda ini mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam 6.1 saat dan mencapai kelajuan tertinggi cecah 240 km/j.

    Klik untuk besarkan

    Ia ditampilkan dengan lampu utama LED dengan pencuci, rim aloi lima-jejari gaya-berlian 20-inci, kulit Nappa, pencahayaan ambien, 19 pembesar suara Bang & Olufsen, panel instrumen digital 12.3-inci dan skrin sesentuh 10.1-inci dengan Apple CarPlay/Android Auto.

    Selain itu, ia juga dilengkapi pendingin hawa automatik tri-zone, kawalan kelajuan adaptif, peredam adaptif, dan tailgate bukaan bebas tangan. Untuk keselamatan, ia diberikan enam beg udara, pra penderia Audi asas dan belakang, amaran ketibaan lorong, bantuan menukar lorong, kamera 360-darjah dan bantuan parking dengan bantuan parkir tambahan.

     
     
  • Rapid KL tambah kekerapan tren dan laluan bas terpilih 22-24 Nov untuk ke program Madani di KLCC

    Rapid KL tambah kekerapan tren dan laluan bas terpilih 22-24 Nov untuk ke program Madani di KLCC

    Prasarana Malaysia Berhad telah mengumumkan pertambahan kekerapan tren dan laluan bas Rapid KL terpilih bermula hari ini sehingga 24 Nov 2024 bagi kemudahahan para pengunjung menghadiri program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

    “Inisiatif ini adalah komitmen Prasarana dalam menyokong usaha kerajaaan menerusi program-program yang memberi manfaat besar dan penyampaian maklumat berkaitan hala tuju kerajaan secara terus kepada rakyat,” kata Prasarana.

    Membuka tirainya mulai hari ini, lokasi program 2TM boleh diakses menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Rapid KL, iaitu menerusi Stesen LRT KLCC (Laluan Kelana Jaya), Stesen MRT Persiaran KLCC (Laluan Putrajaya) dan Stesen Raja Chulan (Monorel Kuala Lumpur).

    Rapid KL tambah kekerapan tren dan laluan bas terpilih 22-24 Nov untuk ke program Madani di KLCC

    Kekerapan tren bagi LRT Laluan Kelana Jaya dan MRT Laluan Putrajaya akan ditingkatkan kepada setiap tiga dan lima minit bermula 10 pagi hingga 3 petang pada Sabtu. Bagi perkhidmatan bas pula, Rapid KL akan menambah bilangan bas bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan Laluan 300 (Pandan Indah-Lebuh Ampang), Laluan 303 (Taman Mulia Jaya-Lebuh Ampang) dan Laluan 402 (Titiwangsa-KLCC).

    “Pengunjung juga disaran menggunakan kemudahan Park N Ride di stesen-stesen rel terpilih dengan kad Touch ‘N Go yang sama bagi mendapatkan kadar rata bayaran parkir.

    “Rapid KL turut menambah bilangan anggota Polis Bantuan dan pegawai operasi di stesen-stesen rel terpilih dan hab bas KLCC bagi memberi khidmat layanan terbaik selain menjaga keselamatan penumpang,” menurut Prasarana lagi.

     
     
  • Tesla Model 3 Highland facelift kini terima Acceleration Boost di pasaran tertentu – 0-100 km/j dalam 3.8 saat

    Tesla Model 3 Highland facelift kini terima Acceleration Boost di pasaran tertentu – 0-100 km/j dalam 3.8 saat

    Pemilik Tesla Model 3 Highland facelift varian Long Range AWD di Australia dan China kini boleh mendapatkan Acceleration Boost, yang boleh menjadikan pecutan kenderaan mereka lebih pantas, dengan catatan 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat, berbanding 4.4 saat dalam keadaan biasa.

    Untuk pengguna di Australia, sistem ini dijual pada harga AUD3,000, manakala di China, ia dijual pada harga RMB14,100. Jika ditukar kepada Ringgit Malaysia, kedua-duanya menjadi sekitar RM8,700.

    Acceleration Boost adalah satu naik taraf perisian Tesla yang boleh dimuat turun dalam talian, dan ia mula-mula sekali ditawarkan pada Model 3 AWD pada tahun 2019, diikuti oleh Model Y AWD pada tahun 2020. Buat masa ini di Malaysia, ia masih belum tersedia, termasuk untuk Model Y.

    GALERI: Tesla Model 3 Highland Dual Motor 2023 Malaysia

     
     
  • Perodua Sales dan Petronas tandatangan MoU; Gentari bakal sediakan pengecas EV Perodua

    Perodua Sales dan Petronas tandatangan MoU; Gentari bakal sediakan pengecas EV Perodua

    Perodua Sales Sdn Bhd (Perodua Sales) dan juga Petronas bersama anak syarikatnya Gentari Sdn Bhd (Gentari) baru-baru ini telahpun menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) bersama bagi meningkatkan pengalaman pelanggan melalui integrasi pelbagai perkhidmatan merentas dua jenama tersebut.

    Bagi MoU pertama yang ditandangani, ia membabitkan kerjasama antara Perodua Sales dan Petronas Lubricants Marketing Sdn Bhd (PLMMSB), Mesra Retail & Cafe Sdn Bhd (MESRA), dan Setel Ventures Sdn Bhd (Setel), di mana Perodua akan menyediakan akses perkhidmatan baharu di pusat servis buat para pelanggannya.

    Ini termasuk integrasi ciri pembayaran digital menerusi aplikasi Setel ke dalam aplikasi UFirst Perodua, menubuhkan fasiliti MESRA dipremis Perodua untuk kemudahan tambahan, serta pembukaan pusat servis Perodua di stesen-stesen Petronas terpilih.

    PLMMSB sudah 20 tahun berkerjasama dengan Perodua dengan menjadi pembekal eksklusif minyak pelincir kenderaan kepada Perodua Sales sejak tahun 2004. “Kerjasama ini terbukti memberi manfaat kepada kedua-dua pihak. Kami akan terus mengembangkan kerjasama ini untuk memberi manfaat kepada pelanggan-pelanggan setia kami,” kata Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua Sales dan Petronas tandatangan MoU; Gentari bakal sediakan pengecas EV Perodua

    “Secara keseluruhan, MoU ini akan melancarkan lagi kerjasama antara kedua-dua syarikat nasional untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada para pelanggan kami,” tambah Zainal.

    “Selama lebih dua dekad, Petronas dan Perodua telah menjalinkan kerjasama erat yang membawa kualiti dan kebolehpercayaan kepada jutaan pemandu di seluruh negara. Kerjasama yang diperluaskan ini akan memperkukuhkan lagi komitmen bersama kami untuk meningkatkan pengalaman pelanggan di setiap peringkat, daripada pelincir berkualiti tinggi kepada kemudahan digital dan keperluan harian.” katan Pengarah Urusan dan CEO Petronas Dagangan, Azrul Osman Rani pula.

    Kerjasama antara kedua-dua pihak ini akan diteruskan lagi selari dengan peralihan negara ke arah mobiliti hijau, di mana Perodua Sales dan PLMMSB menerusi Gentari akan bekerjasama untuk menyediakan kemudahan pengecasan di pusat-pusat servis Perodua sebagai persediaan kepada pengenalan kenderaan elektrik (EV) Perodua akan datang dan menyokong pelanggannya dalam peralihan kepada EV.

    Perodua Sales dan Petronas tandatangan MoU; Gentari bakal sediakan pengecas EV Perodua

    Untuk itu, persetujuan dicapai menerusi MoU kedua yang ditandatangani antara Perodua Sales dan Gentari melalui Gentari Green Mobility Sdn Bhd. Buat masa sekarang Perodua masih belum menjual sebarang model elektrik penuh, namun Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerusi menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah mengesahkan bahawa Perodua kini sedang membangunkan EV yang akan dijual pada harga bawah RM100k, dan ia akan diperkenalkan pada hujung 2025.

    “Kami menyambut baik visi Perodua untuk memperkenalkan EV mampu milik menjelang 2025. Gentari begitu teruja untuk bekerjasama dengan Perodua dalam usaha kami untuk memacu penggunaan mobiliti hijau di Malaysia. Dengan meningkatkan aksesibiliti dan kemudahan pengecasan, Gentari mensasarkan untuk meningkatkan pengalaman pemandu EV Perodua masa hadapan, seterusnya meningkatkan kepuasan pelanggan dan membina kesetiaan mereka,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari dan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility, Shah Yang Razalli.

    “Inisiatif utama dalam kerjasama ini termasuklah pemasangan kemudahan pengecasan EV di pusat servis Perodua, terutamanya di stesen-stesen Petronas, menawarkan langganan pengecasan EV, penyelesaian pengecasan di rumah serta integrasi lancar dengan platform Gentari Go,” tambahnya.

     
     
  • JPJ Negeri Sembilan catat keuntungan cecah RM4.58 juta menerusi bidaan siri nombor pendaftaran NEE

    JPJ Negeri Sembilan catat keuntungan cecah RM4.58 juta menerusi bidaan siri nombor pendaftaran NEE

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mencatatkan keuntungan mencecah RM4.58 juta menerusi bidaan bagi siri nombor pendaftaran NEE, menurut laporan The Star.

    Pengarah JPJ negeri, Hanif Yusabra Yusuf mendedahkan, NEE 9 menerima bidaan tertinggi iaitu mencecah RM266,666, diikuti dengan NEE 8 (RM188,123), NEE 3 (RM158,999), NEE 7 (RM148,888) dan NEE 6 (RM141,600).

    Bagi sudut populariti pula, NEE 554 menerima bidaan tertinggi iaitu sebanyak 19, diikuti dengan 16 bagi NEE 288, dan masing-masing dengan 15 bidaan untuk NEE 244, NEE 26 dan NEE 98. Siri NEE ini menerima 4,661 bidaan secara keseluruhan, yang dibuka dari 15 hingga 19 November 2024, dengan 1,936 bidaan daripadanya berjaya.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Ford akan kurangkan 4,000 pekerja di Eropah pada 2027 kerana jualan EV lembab dan persaingan sengit

    Ford akan kurangkan 4,000 pekerja di Eropah pada 2027 kerana jualan EV lembab dan persaingan sengit

    Dalam keadaan yang mencabar, Ford mengumumkan bakal mengurangkan sehingga 4,000 tenaga kerjanya di Eropah menjelang akhir 2027. Menurut Ford pengurangan tenaga kerja ini kebanyakkannya akan dibuat di Jerman dan United Kingdom, manakala pasaran lain di benua berkenaan tidak akan terjejas teruk.

    Langkah ini adalah sebahagian dari rancangan penstrukturan semula Ford bagi “menghasilkan struktur dengan kos yang lebih kompetitf serta memastikan kemampanan dalam jangka masa panjang dan pertumbuhan perniagaannya di Eropah.” Ia juga menyatakan bahawa perniagaan kenderaan penumpangnya di Eropah telah mengalami kerugian besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan peralihan industri kepada kenderaan elektrik serta persaingan baharu turut telah mengganggu pertumbuhannya.

    Lebih teruk, iklim ekonomi yang lemah dan juga permintaan kereta elektrik yang jauh lebih rendah dari jangkaan turut dikatakan menjadi faktor mengapa langkah ini diambil. Menurut Ford, ia akan melaras semula program produksi model EV Explorer dan juga Capri (kedua-duanya diasaskan dari platform MEB Volkswagen), yang akan menyebabkan kilang di Cologne akan beroperasi dalam masa lebih pendek pada suku pertama 2025.

    Ford akan kurangkan 4,000 pekerja di Eropah pada 2027 kerana jualan EV lembab dan persaingan sengit

    “Ford telah berada di Eropah selama lebih 100 tahun. Kami berbangga dengan portfolio produk baharu kami untuk Eropah dan komited untuk membina perniagaan yang berkembang maju di Eropah untuk generasi akan datang. Adalah penting untuk mengambil tindakan yang sukar tetapi tegas bagi memastikan daya saing masa depan Ford di Eropah,” kata Dave Johnston, naib presiden Eropah Ford untuk transformasi dan perkongsian.

    Ford dilihat menyusun semula barisan modelnya dalam beberapa tahun ini bagi mengutamakan model-model SUV dan EV. Susulan itu ia telah menamatkan pengeluaran beberapa model ikonik seperti sedan Mondeo dan hatchback Fiesta, dan kemudian menghasilkan crossover kompak Puma dan juga menghidupkan semula nama Capri tetapi dihasilkan sebagai SUV EV, bukan lagi sebagai sport coupe.

    Namun strategi berkenaan tidak berhasil untuk meningkatkan jualan Ford. Berdasarkan data Persatuan Pengeluar Automobil Eropah (ACEA), jualan Ford jatuh 15.3% dari Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh sama pada 2023.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025