Mercedes-Benz Concept EQG diperkenal – G-Class elektrik dengan empat motor, kotak gear dua kelajuan

Mercedes-Benz Concept EQG diperkenal – G-Class elektrik dengan empat motor, kotak gear dua kelajuan

Satu lagi model yang diperkenalkan oleh Mercedes-Benz waktu acara IAA Mobility 2021 (atau Munich Motor Show) adalah Concept EQG. Kewujudan model ini telah diberitahu sejak tiga tahun lepas lagi, dan sekarang ia muncul sebagai sebuah model konsep yang kelihatan sudah begitu hampir kepada produksi.

Daripada aspek rekaan, Concept EQG menggunakan bentuk berpetak biasa G-Class, tetapi dengan pelbagai sentuhan unik untuk menunjukkan ia adalah sebuah projek EQ. Pertama sekali, gril hadapan ditukar dengan panel hitam yang mempunyai lampu di sekelilingnya dan bintik-bintik biru di bahagian tengahnya (dipanggil sebagai squircle).

Di bawah gril itu ada satu bukaan udara nipis, sementara turun lagi ke bawah, bukaan udara pada bampar diisi dengan panel jeriji squircle. Lampu utama nampak seperti biasa, tetapi masih mempunyai kemasan khas untuk memadankannya dengan gril.

Pencahayaan adalah satu bahagian penting dalam rekaan Concept EQG, dan anda akan menemui lingkaran menyala pada cermin sisi, dan pemijak kaki juga dipasang dengan jalur lampu tahan lasak. Di belakang, kotak yang biasanya menempatkan tayar simpanan ditukar dengan kotak barangan biasa, dan ia juga diletakkan dengan lampu di sekeliling.

Mercedes-Benz memberitahu, kotak ini boleh digunakan untuk meletakkan kabel pengecas, tetapi kami yakin anda juga boleh menempatkan kit membaiki tayar di dalamnya. Memandangkan tiada enjin biasa pada kenderaan ini, di bawah bonetnya mungkin ada lebih lagi ruang simpanan kosong. Rim bersaiz 22 inci.

Mercedes-Benz juga cukup berbangga dengan rak bumbung Concept EQG ini, yang mempunyai bentuk rata, warna hitam dan bentuk G besar di atasnya. Walaupun ini adalah sebuah model elektrik, mereka mahu menunjukkan ia sentiasa bersedia untuk tugas lasak. Gambar bahagian dalam masih belum ada.

Mercedes-Benz Concept EQG diperkenal – G-Class elektrik dengan empat motor, kotak gear dua kelajuan

Pengeluar dari Jerman ini memberitahu lagi, Concept EQG menggunakan struktur ladder-frame sama seperti G-Class biasa, tetapi tetapan suspensi yang terdiri daripada jenis independent di gandar hadapan dan rigid di gandar belakang dilaras semula untuk membenarkan integrasi sistem pacuan elektrik.

Sistem ini terdiri daripada empat motor elektrik yang diletakkan dekat dengan roda dan dikawal secara individu. Bukan setakat itu, kenderaan ini juga mempunyai kotak gear dua kelajuan, dan gear lebih rendah boleh digunakan apabila memasuki jalan mencabar, seperti kenderaan 4×4 biasa lain.

Sistem pacuan elektrik Concept EQG juga dikatakan bagus untuk kenderaan offroad seperti G-Class, di mana baterinya disepadukan pada rangka ladder frame, seterusnya menghasilkan titik graviti lebih rendah. Tork serta-merta juga membantu kuasa menarik dan kawalan. Berat tambahan bateri dan motor elektrik, serta jarak geraknya masih belum diberitahu.

Mercedes-Benz Concept EQG diperkenal – G-Class elektrik dengan empat motor, kotak gear dua kelajuan

Sebelum model produksi didedahkan, Mercedes-Benz akan menguji G-Class elektrik prototaip ini di litar ujian gunung Schöckl, Graz, Austria berketinggian 1,445 meter yang turut menyediakan kawasan mendaki dengan kecondongan sehingga 60 darjah.

“Mercedes-Benz akan bersedia untuk pergi ke elektrik sepenuhnya menjelang akhir dekad ini, di mana sahaja pasaran yang membenarkannya,” kata ahli lembaga pengurusan Daimler AG dan COO Mercedes-Benz Cars, Markus Schäfer.

“Dengan langkah stretegik dari ‘elektrik dahulu’ ke ‘elektrik sahaja’, termasuk pengeluaran lestari dan kitar hidup bateri CO2-neutral, kami mempercepatkan lagi transformasi ke arah emisi sifar dan masa hadapan yang dipacu perisian. Kami mahu mengajak pelanggan kami bertukar kepada kenderaan elektrik dengan produk yang meyakinkan,” tambah beliau.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required