Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Suzuki V-Strom 160 diperkenal – enjin satu silinder 162 cc 14.8 hp, suspensi Kayaba, ABS dual-channel

    Suzuki V-Strom 160 diperkenal – enjin satu silinder 162 cc 14.8 hp, suspensi Kayaba, ABS dual-channel

    Ahli keluarga model V-Strom bertambah lagi apabila Suzuki memperkenalkan V-Strom 160 di Colombia. Ia kini menyertai barisan model touring V-Strom lain seperti V-Strom 250SX, V-Strom 800 dan V-Strom 1050 yang berada dalam pasaran sekarang.

    Kemunculan V-Strom 160 ini bagaimanapun membawa naik sekali nama Haojue DL160 dari China yang nampak mirip dari segenap bahagian termasuk enjin. Untuk mencari beza antara dua model ini tidak mudah, ataupun memang tiada selain warna.

    Datang dengan spesifikasi ringkas, V-Strom 160 dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan udara 162 cc, bersama transmisi lima kelajuan, mampu menghasilkan 14.8 hp pada 8,000 rpm dan tork 14 Nm pada 6,500 rpm.

    Model ini ditunjukkan lebih kepada penggunaan atas jalan biasa dengan tugas seperti touring dan harian, bersesuaian dengan kelengkapan seperti rim aluminium 17 inci, suspensi Kayaba dengan hanya pelarasan pra beban di belakang serta tetapan brek cakera hadapan dan belakang, dengan sistem ABS dual-channel.

    Walaubagaimanapun, dengan jarak dari tanah 160 mm dan berat keseluruhan 148 kg, ia mungkin boleh dibawa meneroka jalan offroad ringan. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 13 liter, meter digital serta soket pengecas USB.

     
     
  • Kadar parkir di Pulau Pinang naik 50% mulai Mac 2025 untuk bantu selenggara dan naik taraf sistem PSP

    Kadar parkir di Pulau Pinang naik 50% mulai Mac 2025 untuk bantu selenggara dan naik taraf sistem PSP

    Kadar parkir di Pulau Pinang akan mengalami peningkatan untuk pengguna Penang Smart Parking (PSP) mulai Mac 2025. Dengan semakan harga baharu itu, kadar parkir akan dinaikkan dari RM0.40 kepada RM0.60 untuk 30 minit, RM0.80 kepada RM1.20 untuk satu jam, dan RM6 kepada RM9 untuk sepanjang hari.

    Seperti dilaporkan The Star, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk A. Rajendran berkata, pelarasan kadar itu perlu bagi menampung penyelenggaraan penderia tempat letak kereta dan melaksanakan naik taraf bagi menambah baik sistem PSP.

    “Peningkatan ini bukan untuk menjana keuntungan. Matlamat utama kami adalah untuk memastikan sistem tempat letak kereta beroperasi dengan cekap dan terus memberi manfaat kepada semua pengguna. Ia juga membantu mengawal tempoh tempat letak kereta untuk memastikan akses adil untuk semua orang,” katanya.

    “Kenaikan terakhir adalah pada 2014, apabila kadar 30 minit dinaikkan daripada 30 sen kepada 40 sen. Sebelum itu, kadar tidak berubah sejak 1990-an,” kata Rajendran kepada FMT.

    Mengenai perkara berkaitan, pengguna PSP akan mendapat manfaat daripada pengurangan kadar parkir tahunan, yang akan diturunkan daripada RM1,800 kepada RM1,200 antara Mac dan Disember tahun depan. Bagaimanapun, caj bulanan kekal tidak berubah pada RM150.

     
     
  • Proton X70 dapat aplikasi TV digital MYTV Mana-Mana

    Proton X70 dapat aplikasi TV digital MYTV Mana-Mana

    Hasil daripada kerjasama antara Proton dengan MYTV dan ACO Tech, anda kini boleh menonton tv digital dalam Proton X70, menggunakan aplikasi MYTV Mana-Mana .

    Menteri komunikasi, Fahmi Fadzil sewaktu pelancaran aplikasi tersebut semalam berkata, jumlah tontonan MYTV kini berada di sekitar 7.5 juta orang – lapor Bernama.

    “Saya dimaklumkan bahawa MYTV dan persatuan Radio Komersial Malaysia (CRM) merancang untuk bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) untuk meneroka kemungkinan memasukkan aplikasi ini kepada sistem infotainmen kenderaan lain termasuk EV,” kata beliau.

    Fahmi turut memberitahu bahawa MYTV telah membuat usaha untuk memperkenalkan servis TV digital di dalam koc kelas perniagaan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan ia juga boleh dipasang pada sistem hiburan untuk penumpang dalam kapal terbang.

    Tertubuh sejak 2014, MYTV menyediakan servis tv digital percuma di Malaysia dengan lebih 30 rangkaian tv dan radio, serta pelbagai lagi filem, rancangan bersiri dan dokumentari.

     
     
  • GALERI: Perodua Aruz dengan warna Elegant Black – diskaun RM4k hingga 31 Dis, dari bawah RM70k

    GALERI: Perodua Aruz dengan warna Elegant Black – diskaun RM4k hingga 31 Dis, dari bawah RM70k

    Pada Oktober lalu, Perodua telah memperkenalkan warna baharu Elegant Black untuk SUV/MPV tujuh-tempat duduknya, Aruz, yang kini ditawarkan untuk kesemua variannya. Ia menyertai pilihan warna sedia ada iaitu Ivory White, Glittering Silver, Granite Grey, Electric Blue dan Garnet Red.

    Berbanding sebelum ini, warna hitam hanya diberikan untuk varian X dan AV sahaja, manakala warna Passion Red mula diperkenalkan pada Aruz 2021 bagi menggantikan rona Amazon Green. Kemudian, Passion Red ini pula digantikan dengan Elegant Black untuk Aruz edisi terkini.

    Walau menerima warna baharu, namun tiada perubahan spesifikasi untuk Aruz, ia masih kekal dipacu enjin 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 102 PS pada 6,000 rpm dan 133 Nm tork pada 4,200 rpm dengan sistem Eco Idle, digandingkan bersama transmisi automatik empat-kelajuan bagi memacu roda belakang. Manakala penjimatan bahan apinya sekitar 15.6 km/l (6.4 liter bagi setiap 100 km).

    GALERI: Perodua Aruz dengan warna Elegant Black – diskaun RM4k hingga 31 Dis, dari bawah RM70k

    Untuk kelengkapan lain, kedua-dua varian Aruz iaitu X dan AV dipadankan dengan roda aloi 17-inci, lampu utama LED, lampu belakang LED, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, pengimbas tol binaan-dalam, pendingin hawa manual dengan kawalan digital dan corong belakang, sistem infotainmen skrin sesentuh tujuh-inci, enam-pembesar suara, enam beg udara, ABS, EBD, bantuan brek, VSC, kawalan cengkaman, bantuan mula mendaki, kamera undur serta filem penapis cermin keselamatan dan solar.

    Manakala untuk varian tertinggi AV ia ditambah fungsi automatik untuk lampu utama, rel bumbung, hubungan telefon pintar SmartLink, upholsteri kulit (varian X hanya fabrik), perakam video digital (dashcam) serta sistem Advance Safety Assist 2.0 (ASA 2.0) yang merangkumi fungsi Amaran Pra-pelanggaran, Brek Pra-Pelanggaran, Amaran Pergerakan Hadapan dan Kawalan Salah Operasi Pedal. Aruz juga menerima penarafan lima-bintang oleh ASEAN NCAP.

    Menerusi kemaskini terakhir yang dibuat pada Mei 2021, Aruz juga kini diberikan pemijak sisi dan fungsi auto-lock sebagai perincian standard.

    GALERI: Perodua Aruz dengan warna Elegant Black – diskaun RM4k hingga 31 Dis, dari bawah RM70k

    Untuk Aruz Elegant Black ini, ia turut diberikan penawaran aksesori Perodua GearUp dengan Pakej Rugged berharga RM1,292 sebagai pilihan, yang cirinya kelihatan pada bahagian bampar hadapan dan belakang. Kemudian ia ditambah pula dengan door visor, juga dari GearUp, dengan harga RM180. Di dalamnya, juga kelihatan GearUp coil mat yang berharga RM220.

    Aruz bermula dengan harga atas jalan RM72,900 tanpa insurans untuk varian X, meningkat ke RM77,900 untuk AV yang menerima ciri tambahan termasuk ASA, lampu utama auto, lampu kabus, rel bumbung, dashcam dan tempat duduk balutan kulit.

    Walau bagaimana pun, untuk promosi akhir tahun ini, Perodua menawarkan diskaun berjumlah RM4,000 untuk Aruz, sekaligus menjadikan harga permulaan bagi SUV/MPV ini di bawah RM70,000. Tawaran ini sedang berlangsung sehingga 31 Disember 2024. Setiap pembelian Perodua Aruz ini akan dilindungi waranti selama lima-tahun atau 150,000 km yang mana tiba terlebih dahulu

    GALERI: Perodua Aruz dalam Elegant Black, dengan pakej GearUp Rugged

     
     
  • SOP baiki jalan berlubang dalam 24 jam perlu dipatuhi agensi dan PBT setiap negeri – Ahmad Maslan

    SOP baiki jalan berlubang dalam 24 jam perlu dipatuhi agensi dan PBT setiap negeri – Ahmad Maslan

    Semua agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) membaiki jalan berlubang bagi Jalan Persekutuan iaitu dalam tempoh 24 jam, menurut Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan, laporan Bernama.

    “Harapan kita supaya rakyat tidak mendapat kemudaratan sebagaimana berlaku di Johor, ada orang menyaman satu konsesi bandaran kerana kecederaan di kepala, badan, tangan dan kaki apabila motosikalnya terlanggar lubang. Konsesi itu diarah oleh mahkamah untuk membayar. Itu menjadi ingatan kepada kita untuk menjaga jalan di seluruh negeri dengan cepat, cermat dan tepat,” katanya.

    Pada April lepas, media melaporkan seorang penunggang motosikal yang cedera akibat kemalangan ketika melalui jalan berlubang di Pasir Gudang, Johor tiga tahun lepas memperoleh ganti rugi RM721,000 daripada sebuah syarikat penyelenggaraan jalan.

    Ia selepas Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 28 Feb memerintahkan syarikat yang dilantik kerajaan negeri itu membayar kos berkenaan kepada Razali @ Mohd Leey Subeh, 49. Berikutan keputusan hakim, syarikat penyelenggaraan itu dilaporkan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru.

     
     
  • 11 stesen monorel dinaiktaraf termasuk ada Pintu Platform Automatik, melibatkan kos RM16.81 juta

    11 stesen monorel dinaiktaraf termasuk ada Pintu Platform Automatik, melibatkan kos RM16.81 juta

    Rapid Rail Sdn Bhd sebagai pengendali perkhidmatan Monorel Kuala Lumpur mengumumkan bahawa Pintu Platform Automatik (PAGS) di Stesen KL Sentral dan Stesen Tun Sambanthan kini beroperasi sepenuhnya. Manakala PAGS di empat stesen Monorel antara Maharajalela hingga Bukit Bintang dijangka beroperasi menjelang akhir bulan ini, manakala lima lagi stesen akan siap sepenuhnya pada penghujung Disember 2024.

    “Usaha ini adalah sebahagian daripada projek penambahbaikan menyeluruh yang dilaksanakan oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) yang meliputi pemasangan lif, naik taraf sistem kamera litar tertutup (CCTV), dan penambahbaikan tandas di kesemua 11 stesen Monorel.

    “Pemasangan PAGS adalah langkah penting bagi meningkatkan keselamatan pengguna di platform, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan. Kemudahan ini juga diharap dapat memberikan keselesaan dan keyakinan kepada semua pengguna, termasuk dari kalangan Orang Kurang Upaya (OKU). PAGS direka agar beroperasi selari dengan pergerakan pintu tren, dengan tambahan tiga pintu kecemasan serta skrin tetap di hujung platform untuk memperkukuh aspek keselamatan,” kata syarikat itu.

    11 stesen monorel dinaiktaraf termasuk ada Pintu Platform Automatik, melibatkan kos RM16.81 juta

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke pula berkata Kerajaan memperuntukkan RM16.81 juta untuk kerja-kerja menaik taraf kesemua 11 stesen monorel secara berperingkat. Ia termasuk melibatkan RM6.81 juta bagi melengkapkan semua stesen dengan fungsi PAGS selain RM10 juta untuk membaik pulih kemudahan lif dan eskalator, laporan Bernama.

    Beliau berkata, ia sebahagian daripada usaha berterusan untuk meningkatkan keselesaan dan keselamatan pengguna di platform sekali gus menarik lebih ramai pengguna.

    “Sebelum ini pada 2016 PAGS sudah dipasang, cuma projek itu tergendala kerana masalah teknikal dan isu signal sehingga pintu tidak boleh ditutup secara automatik. Ini memberi masalah kepada pengguna di platform termasuk isu keselamatan dengan 10 kes terjatuh ke trek monorel direkodkan sejak 2017.

    “Jadi kita teruskan naik taraf projek ini pada awal tahun, hasilnya PAGS sudah berfungsi di Stesen KL Sentral dan Tun Sambanthan, empat lagi iaitu Stesen Mahajaralela, Imbi, Hang Tuah dan Bukit Bintang siap minggu ini manakala selebihnya sebelum akhir tahun,” katanya.

    Manakala bagi pembaikan serta penyelenggaraan lif dan eskalator di semua 11 stesen monorel pula dijangka siap sepenuhnya menjelang April tahun hadapan.

     
     
  • Proton S70 pasukan R3 yang berlumba di Sepang 1000KM akan dipamerkan di KLIMS 2024 bulan depan

    Proton S70 pasukan R3 yang berlumba di Sepang 1000KM akan dipamerkan di KLIMS 2024 bulan depan

    Proton mengumumkan bahawa jentera lumba S70 pasukan R3 yang berlumba di perlumbaan endurance Sepang 1000KM hujung minggu lalu bakal dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang akan berlangsung bermula 5 hingga 11 Disember ini, di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    Menurut Proton, unit yang dipamerkan adalah jentera bernombor #82 dipandu pasangan Alister Yoong dan Ariff Azmi, yang berjaya menghabiskan perlumbaan tersebut di tempat ke-5 dalam kelas MTC. Ia akan dibawa ke MITEC tanpa diperbaiki, dan akan menampilkan ‘battle scars’ pada badan yang ‘diterima’ dalam perlumbaan tempoh hari.

    Pasukan Proton R3 tidak bernasib baik diperlumbaan S1k 2024 kerana selepas lima tahun berehat bukan sesuatu yang mudah untuk mereka bangkit semula. Proton S70 bernombor #81 pasukan itu yang dipandu oleh Syafiq Ali terlibat dalam insiden pada awal babak iaitu baru lap ke-8. Kereta berkenaan berpusing selepas bahagian belakangnya bersentuh dengan kereta di belakang dan melanggar dinding penghadang, menyebabkan ia tidak boleh meneruskan perlumbaan.

    Proton S70 pasukan R3 yang berlumba di Sepang 1000KM akan dipamerkan di KLIMS 2024 bulan depan

    Jentera #82 yang akan dipamerkan di KLIMS ini terpaksa bergelut pada kelompok belakang dengan memulakan perlumbaan di tempat ke-sembilan dan kemudian menghadapi pula masalah teknikal dan terpaksa diperbaiki di dalam hentian pit dalam masa 40 minit. Namun dengan prestasi konsisten ditunjukkan pada akhir perlumbaan S70 #82 tersebut berjaya menamatkan perlumbaan pada kedudukan ke-5 dalam kelas MTC.

    “Pasukan Proton R3, bersama pemandunya dan Proton S70 R3, telah memperkukuh warisan perlumbaan Proton dengan mempersembahkan prestasi yang cemerlang di perlumbaan S1K 2024. Walaupun kami mensasarkan kemenangan keseluruhan, pasukan menyedari cabaran besar yang menanti, iaitu persaingan dengan kereta baru, berhadapan dengan pasukan-pasukan yang telah berlumba selama tiga tahun dan jauh lebih maju dalam pembangunan kenderaan.”

    Proton S70 pasukan R3 yang berlumba di Sepang 1000KM akan dipamerkan di KLIMS 2024 bulan depan

    “Akhirnya, kami tiada sebarang rungutan, walaupun kemalangan awal dalam perlumbaan menyebabkan kereta 81 terpaksa berhenti, sementara masalah teknikal pada kereta 82 menyebabkan ia kehilangan masa di pit dan tersingkir dari persaingan keseluruhan.

    “Jadi, walaupun kami mengharapkan keputusan akhir yang lebih baik, banyak data berguna telah dikumpulkan sepanjang hujung minggu, dan kedudukan kelima dalam kelas MTC telah menetapkan asas bagi R3 untuk memulakan persiapan bagi musim perlumbaan 2025,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar.

     
     
  • Pelaburan Hyundai di Kulim babitkan perkongsian strategik dengan Inokom, bina kilang pek bateri EV

    Pelaburan Hyundai di Kulim babitkan perkongsian strategik dengan Inokom, bina kilang pek bateri EV

    Semalam Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan bahawa Hyundai Motor bakal membina kilang pertamanya di Malaysia pada tahun depan menerusi pelaburan bernilai RM2.16 bilion. Menerusi laporan Bernama hari ini, Zafrul mendededahkan beberapa perincian lebih lanjut berkenaan pelaburan tersebut.

    Menurut menteri berkenaan, pelaburan ini turut akan membabitkan usaha bagi mempertingkatkan kapasiti pemasangan kilang milik Inokom Corporation di Kulim yang buat masa sekarang memasang model-model pemasangan tempatan (CKD) Hyundai seperti SUV Santa Fe.

    Selain itu Bernama juga melaporkan bahawa Zafrul menyebut pelaburan ini juga akan membabitkan operasi pemasangan tempatan untuk enam model baharu Hyundai termasuk model hibrid (HEV), dan juga sebuah kilang khas untuk memasang pek bateri EV juga akan diwujudkan di Kulim.

    Zafrul menjelaskan bahawa ini merupakan pelaburan terbesar yang pernah dibuat oleh Hyundai di Malaysia dan ia akan dilaksanakan dalam masa enam tahun (2025-2030), seterusnya memberikan peluang pekerjaan bergaji besar pada rakyat tempatan.

    Beliau mengumumkan perkara ini kepada media Malaysia yang mengikuti program lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Korea Selatan semalam dan mengadakan pertemuan tertutup bersama konglomerat Korea Selatan yang terdiri daripada syarikat Hyundai Motor dan OCI Holdings.

     
     
  • Chery Omoda E5 dapat penarafan lima bintang dalam ujian Euro NCAP dan ANCAP, ikut jejak Omoda 5 ICE

    Chery Omoda E5 dapat penarafan lima bintang dalam ujian Euro NCAP dan ANCAP, ikut jejak Omoda 5 ICE

    Chery Omoda E5 mendapat markah penuh lima bintang dalam kedua-dua ujian Euro NCAP dan juga Australasian New Car Assessment Programme (ANCAP).

    SUV elektrik ini mengikuti jejak langkah kembarnya yang menggunakan enjin ICE, Omoda 5 yang juga mendapat penarafan lima bintang pada tahun 2022, selepas melalui beberapa lagi tambahan ujian seperti offset hadapan perlanggaran tiang tepi untuk menilai prestasi keselamatan keseluruhannya dan juga integriti bateri voltan tingginya.

    Dalam ujian perlanggaran Euro NCAP, SUV Chery ini mencatat markah 87% dalam Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP), 87% dalam Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) dan 88% dalam Bantuan Keselamatan (SA). Dalam ujian ANCAP pula, ia mencatat AOP 87%, COP 88% dan SA 83%.

    “Dengan pengumuman penarafan lima bintang untuk Omoda E5 ini, pelanggan boleh berasa tenang dan yakin untuk memandu sebuah EV yang bergaya, dilengkapi teknologi terkini dan ciri keselamatan berkelas tinggi,” kata timbalan presiden Chery Malaysia, Michael Chew.

    Omoda E5 dilancarkan untuk pasaran Malaysia Mac lalu, dengan tetapan motor elektrik hadapan 204 PS (150 kW) dan 340 Nm, yang boleh membawa ia memecut 0-100 km/j dalam mada 7.2 saat dan laju maksimum 172 km/j. Bateri lithium iron phosphate (LFP) 61 kWh padanya diambil daripada BYD, dan mampu memberi jarak gerak 430 km (WLTP).

    Untuk pengecasan, E5 datang dengan pengecas AC three-phase berkadar maksimum 9.9 kW, serta pengecas pantas DC sehingga 80 kW (30-80% dalam masa 28 minit. Harga jualannya adalah RM146,800 tidak termasuk insurans dan program pemasangan tempatan untuknya di Kulim baru sahaja bermula awal bulan ini.

     
     
  • MOT teliti cadangan supaya warga emas 65 tahun ke atas jalani penilaian kompetensi bagi baharui lesen

    MOT teliti cadangan supaya warga emas 65 tahun ke atas jalani penilaian kompetensi bagi baharui lesen

    Cadangan supaya warga emas berusia 65 tahun ke atas perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) akan diteliti, ujar Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Beliau berkata, pihaknya menyambut baik cadangan tersebut, namun ia memerlukan penelitian lanjut sebelum sebarang ketetapan dibuat mengenainya, laporan Bernama.

    “Itu kita kena kaji dulu laporan (cadangan) tersebut. Kita tidak terburu-buru untuk meletakkan apa-apa syarat tambahan. Sudah tentu ada implikasinya dan kita kena lihat kelebihan dan kekurangannya apabila apa-apa syarat tambahan (baharu) diletakkan,” katanya.

    Loke berkata demikian bagi mengulas isu kerelevanan pemandu berusia 65 tahun melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum memperbaharui lesen mereka.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan sebarang usaha memperkenalkan syarat tambahan baharu perlu dilaksanakan secara berhati-hati supaya tidak memberikan implikasi yang negatif.

    Sebelum ini media melaporkan peningkatan kes kemalangan jalan raya melibatkan pemandu warga emas di negara ini boleh dikurangkan jika syarat tambahan bagi pembaharuan lesen memandu untuk golongan tersebut diperkenalkan.

    Antara syarat yang boleh diusulkan ialah warga emas berusia 65 tahun ke atas yang masih ingin memandu, perlu melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan, berikutan tiada had umur maksimum untuk golongan itu memandu di jalan raya.

     
     
  • Bermaz peroleh hak pengedaran Deepal di Malaysia – SUV EV S05 dan S07 dijangka tiba tengah tahun depan

    Bermaz peroleh hak pengedaran Deepal di Malaysia – SUV EV S05 dan S07 dijangka tiba tengah tahun depan

    Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Maybank Investment Bank, Bermaz Auto (BAuto) dikatakan bakal menambah Deepal dalam portfolio kenderaan di bawah pengurusannya, yang kini termasuk Mazda, Kia dan Xpeng. Deepal dimiliki oleh Changan Automobile, yang juga mempunyai Changan Auto dan Avatr di bawahnya.

    Menurut Maybank lagi, model pertama Deepal dijangka dilancarkan di Malaysia pada pertengahan tahun 2025, dengan berkemungkinan besar diimport dari Thailand. Kilang Deepal di Rayong akan bula beroperasi pada Mac tahun hadapan.

    Ada dua model yang dilihat berpotensi masuk ke Malaysia, iaitu S05 dan S07. S05 baru sahaja dilancarkan di China Oktober lalu dan ia melihatkan saiz lebih besar berbanding BYD Atto 3. Di sana, model elektrik penuh (EV) itu dijual pada harga antara 119,900 ke 145,900 yuan (RM74k-RM90k) dan dilengkapi bateri lithium iron phosphate (LFP) 56.12-kWh, mampu memberi jarak gerak sehingga 510 km (CLTC).

    Bermaz peroleh hak pengedaran Deepal di Malaysia – SUV EV S05 dan S07 dijangka tiba tengah tahun depan

    Tenaga daripada bateri ini menghidupkan motor elektrik belakang yang berkuasa 238 PS (235 hp atau 175 kW) dan tork 320 Nm, membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat. Ia boleh dicas menggunakan sumber DC, dan bateri akan naik 30-80% dalam masa 15 minit.

    S05 ini juga datang dalam versi Range-Extended Electric Vehicle (REEV) yang menggunakan bateri LFP lebih kecil, iaitu 27.28 kWh (30-80% SoC dalam 20 minit), motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 320 Nm, dengan catatan 0-100 km/j 7.9 saat. Ia digabungkan bersama enjin 1.5 liter 98 PS (97 hp atau 72 kW).

    Jika menggunakan kuasa elektrik sahaja, S05 REEV boleh bergerak sehingga 200 km (CLTC)/150 km (WLTC), sementara apabila kedua-dua penggerak digabungkan, ia boleh mencecah 1,234 km.

    Bermaz peroleh hak pengedaran Deepal di Malaysia – SUV EV S05 dan S07 dijangka tiba tengah tahun depan

    Melihat kepada S07 pula, ia dilancarkan di China Julai lalu, dengan bukan sahaja dalam versi EV, tetapi juga range-extended. Kesemuanya ada empat varian, dengan harga antara 149,900 ke 176,900 yuan (RM92k-RM109k). Saiznya hampir seperti Tesla Model Y.

    Sama seperti S05, S07 REEV juga mempunyai enjin 1.5 liter dan pacuan roda belakang. Perbezaannya adalah pada kapasiti bateri LFP serta kuasa motor elektriknya. Varian permulaan dengan bateri 19.99 kWh mampu menghasilkan kuasa 238 PS (235 hp atau 175 kW) dan 320 Nm, manakala jarak geraknya pula adalah 125 km (CLTC) apabila menggunakan elektrik sahaja dan 1,045 km (CLTC) apabila menggunakan gabungan enjin dan motor.

    Varian paling atas mendapat bateri 39.05 kWh, memberikan jarak gerak EV yang lebih tinggi, iaitu 285 km (CLTC) dan 1,200 km (CLTC) dengan sistem hibridnya. Kuasa keseluruhan adalah 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm, dan ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6-7.8 saat. Semua varian boleh dicas 30-80% dalam masa 15 minit.

    Untuk S07 versi elektrik penuh, dua varian yang ditawarkan di China menggunakan bateri LFP 68.82 kWh, memberikan jarak gerak 520 km (CLTC) dan boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.6 saat, hasil daripada motor elektrik berkuasa 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm.

    Thailand sudah menerima S07 ini, dengan dua varian EV ditawarkan. S07 biasa dijual pada harga 1.399 juta baht (RM180k), dengan perincian seperti bateri nickel manganese cobalt (NMC) 66.8 kWh, jarak gerak 485 km (NEDC) dan motor elektrik 258 PS (255 hp atau 190 kW) dan 320 Nm. S07 L pula berharga 1.499 juta baht (RM193k), datang dengan bateri NMC 79.97-kWh, jarak gerak 560 km (NEDC) serta motor elektrik 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan 320 Nm.

     
     
  • Penutupan lorong sementara dan lencongan trafik di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu; 26 Nov, 4 Dis

    Penutupan lorong sementara dan lencongan trafik di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu; 26 Nov, 4 Dis

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan terdapat pelaksanaan penutupan lorong sementara dan lencongan trafik di Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu pada 26 November dan 4 Disember ini iaitu dari jam 10 malam sehingga 5 pagi.

    “Ia adalah bagi memudahkan pembinaan persimpangan bertingkat pada kedua-dua tarikh yang dinyatakan,” kata PLUS menerusi perkongsiannya di laman Facebook rasminya.

    Justeru, pengguna lebuhraya tersebut dinasihati agar lebih berhati-hati memandu ketika melalui lokasi yang dinyatakan dan mematuhi papan tanda serta arahan petugas.

     
     
  • Kerajaan tidak berhasrat benarkan kenderaan milik bukan warganegara nikmati subsidi petrol RON95

    Kerajaan tidak berhasrat benarkan kenderaan milik bukan warganegara nikmati subsidi petrol RON95

    Kementerian Ekonomi berkata Kerajaan tidak berhasrat untuk membenarkan kenderaan milik bukan warga negara untuk mendapat subsidi RON95. Di mana langkah ini adalah selaras dengan matlamat untuk mengukuhkan lagi kedudukan fiskal negara seperti yang dinyatakan didalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

    “Pelaksanaan (penyasaran) subsidi RON95 pada 2025 dijangka memberi penjimatan sebanyak RM3.6 bilion kepada perbelanjaan kerajaan atau pengurangan sebanyak 21.9% kepada keseluruhan perbelanjaan subsidi jika hanya diberikan kepada golongan B85 dan warganegara Malaysia.

    “Langkah memastikan penyasaran subsidi RON95 tidak membabitkan bukan warganegara pula akan memberi manfaat penjimatan sebanyak RM0.3 bilion (2.0%) kepada kerajaan,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.

    Kenyataan itu bagi menjawab soalan yang dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai perancangan kementerian berkenaan untuk membenarkan kenderaan Brunei Darussalam menggunakan RON95 di Malaysia.

    Kerajaan tidak berhasrat benarkan kenderaan milik bukan warganegara nikmati subsidi petrol RON95

    Kerajaan akan melaksanakan penyasaran RON 95 pada pertengahan 2025 yang akan memberi kesan kepada 85% rakyat Malaysia dengan mereka yang layak mendapat subsidi ditentukan berdasarkan petunjuk perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) isi rumah yang dilancarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada awal November.

    Tidak seperti sistem B40/M40/T20 sebelum ini, PAKW dibuat khusus dan bukannya pendekatan yang sama untuk keseluruhan. Sistem sebelumnya adalah berdasarkan pendapatan isi rumah kasar, atau berapa banyak yang dibuat oleh ahli isi rumah secara kolektif. Walau bagaimanapun, setiap isi rumah mempunyai kos sara hidup yang berbeza, walaupun mereka mempunyai pendapatan kasar yang sama.

    PAKW merujuk kepada amaun perbelanjaan yang diperlukan oleh isi rumah untuk menjalani kehidupan wajar yang dapat memenuhi keperluan dan kehendak serta berpeluang menyertai aktiviti sosial dalam masyarakat. PAKW akan memberi gambaran yang lebih jelas mengenai kemampuan isi rumah dalam menjalani kehidupan wajar.

    Penggunaan PAKW menyokong peralihan konsep daripada pendapatan kasar kepada pendapatan boleh guna bersih, iaitu pendapatan bersih selepas ditolak pindahan semasa yang dibayar dan PAKW yang meliputi kos makanan dan bukan makanan seperti pakaian, tempat tinggal, utiliti, pengangkutan, pendidikan, kesihatan, komunikasi dan keperluan diri berdasarkan HIES mengikut lokasi dan jumlah isi rumah.

     
     
  • Polis peroleh RM9.1 juta hasil diskaun saman trafik sepanjang Program Dua Tahun Kerajaan Madani

    Polis peroleh RM9.1 juta hasil diskaun saman trafik sepanjang Program Dua Tahun Kerajaan Madani

    Sebanyak RM9,139,750 bayaran saman trafik telah dilunaskan hasil 60% diskaun yang ditawarkan sepanjang Program Dua Tahun Kerajaan Madani, sempena meraikan ulang tahun kedua kerajaan Madani.

    Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Comm Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, sepanjang tiga hari penganjuran acara berkenaan, sebanyak 103,590 saman telah diselesaikan.

    “Tiga kesalahan utama ialah memandu laju, mengabaikan isyarat lalu lintas dan halangan lalu lintas. Kami mendapat sambutan hebat daripada orang ramai, yang mengunjungi kaunter kami untuk menjelaskan saman mereka semasa program itu,” katanya.

    Tambahnya, JSPT juga dalam usaha untuk mengalakkan pembayaran saman di seluruh negara secara cashless melalui portal dan aplikasi MyBayar PDRM di samping meningkatkan lagi jumlah pengguna berdaftar.

    “Justeru, kami berasa terharu dengan kehadiran 32,500 pengunjung yang mengunjungi kaunter kami untuk menjelaskan saman mereka. Keutamaan kami bukanlah jumlah terkumpul, tetapi jumlah saman tertunggak yang telah diselesaikan,” katanya lagi.

     
     
  • Aston Martin Vanquish dilancarkan di Malaysia – 5.2L turbo berkembar V12, 835 PS/1,000 Nm; dari RM5 juta

    Aston Martin Vanquish dilancarkan di Malaysia – 5.2L turbo berkembar V12, 835 PS/1,000 Nm; dari RM5 juta

    Aston Martin Malaysia telah pun membawakan model generasi terkini Vanquish untuk pasaran tempatan. Pastinya kehadiran supercar yang merupakan kelahiran generasi ketiga bagi Vanquish bakal menarik perhatian para pencintanya. Sebagai model perdana yang paling berkuasa dalam keluarganya, Vanquish membawakan era baharu bagi inovasi dan terjemahan penggayaannya.

    Melewati sejarahnya, generasi pertamanya V12 Vanquish dilahirkan pada 2001 sebagai pengganti kepada Virage yang terhasil pada 1993. Kemudian, generasi kedua Vanquish pula ditampilkan pada tahun 2012 yang kemudiannya digantikan oleh DBS Superleggera pada 2018. Sebelum tahun 2024 melabuhkan tirainya, generasi ketiga Vanquish dihasilkan bagi menggantikan DBS Superleggera.

    Untuk pasaran Malaysia, Vanquish terkini ditawarkan dengan harga bermula RM5 juta yang telah dicukaikan sepenuhnya tetapi ia sebelum ditambah dengan pilihan dan penyesuaian atau customisation mengikut kehendak pelanggan.

    Aston Martin Vanquish dilancarkan di Malaysia – 5.2L turbo berkembar V12, 835 PS/1,000 Nm; dari RM5 juta

    Seperti DBS Superleggera, Vanquish 2024 turut dikuasakan oleh unit 5.2 liter turbo berkembar V12, namun enjinnya ini menerima banyak sentuhan baharu dan boleh dikatakan ia ibarat enjin serba baharu. Antara pembaharuan yang dibuat untuk ‘jantung’ enjin V12 ini ialah kepala silinder yang direkabentuk semula dengan cam profile, port kemasukan dan ekzos baharu.

    Manakala palam pencucuhnya pula telah diubah kedudukan dan penyuntik bahan apinya pula dengan 10% kadar alir yang lebih tinggi. Begitu juga dengan penyejuk minyak (oil cooler) yang lebih besar bagi meningkatkan penolakan haba sebanyak 50%.

    Sementara itu, turbo telah mengurangkan inersia iaitu sifat jirim yang cenderung mengekalkan gerakannya, sebanyak 15% untuk meningkatkan prestasi dan tindak balas pendikit, dengan fungsi ‘Boost Reserve’ baharu yang berfungsi meningkatkan tekanan rangsangan untuk memberikan tindak balas segera apabila diperlukan. Menurut Aston Martin, tindak balas tersebut dilakukan dalam separa pendikit dengan mengimbangi throttle flap dan juga intelligent wastegate di dalam turbo.

    Dengan olahan dan naiktaraf yang diberikan, penjana kuasa yang lebih padu ini mampu menghamburkan output semaksima 835 PS (824 hp atau 614 kw) pada 6,500 rpm dan juga puncak tork pada 1,000 Nm pada 2,500 hingga 5,000 rpm. Semua pacuan ini disalurkan ke gandar belakang menerusi kotak gear automatik ZF lapan-kelajuan dan electronic locking differential menjadi lebih responsif dengan sistem kawalan kestabilan.

    Supercar dikatakan mampu memecut dari 0-100 km/j dalam 3.2 saat dan kelajuan tertinggi mampu dicapai pada 345 km/j, paling padu dalam barisan jentera produksi jenama ikonik ini.

    Vanquish baharu ini juga diberikan struktur aluminium yang lebih tegar, selain diberikan peningkatan keutuhannya sebanyak lebih 75% berbanding DBS 770 Ultimate. Ia juga menerima pendakap silang enjin baharu di bahagian bawah hadapan dan hasilnya lebih tegar, di samping meningkatkan keutuhan pada pemegang peredam dan menambah baik respons stereng dengan tatapan semula EPS.

    Melengkapi ketegarannya, bahagian casis juga dipertingkatkan pada sisi pendakap antara shock tower dan menambah alas yang lebih tebal untuk kestabilan dan keseimbangan pengendalian yang lebih baik. Vanquish juga diberikan dua palang wishbone untuk hadapan dan multilink di belakang, dilengkapi dengan palang anti olengan yang lebih tebal dan peredam adaptif Bilstein DTX yang pertama kali digunakan pada DB12.

    Untuk sistem breknya pula, ia diberikan cekera seramik karbon berukuran 410 mm di hadapan dan 360 mm di belakang. Manakala ABS pula disepadukan dengan Integrated Brake Slip Control (IBC), Integrated Traction Control (ITC), Integrated Vehicle Control (IVC) dan Integrated Vehicle Dynamics Estimation (IVE) . Manakala Corner Braking 2.0 baharu pula memberikan kestabilan ketika membrek, terutamanya ketika jentera sedang melayan selekoh.

    Untuk mod pemanduannya, Vanquish baharu ini diberikan lima pilihan iaitu Wet, Sport, Sports Plus, Track dan Individual. Bagi aspek keselamatan dan bantuan pemandu, ia dilengkapi Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang merangkumi Amaran Pelanggaran Hadapan, Kawalan Kelajuan Adaptif dengan fungsu Stop & Go, Amaran Ketibaan Lorong, Bantuan Kekal Lorong, Lampu Tinggi Automatik, Pengesan Isyarat Trafik, Pemantauan Titik Buta, Bantuan Membuka Pintu, Bantuan Trafik Lintasan Belakang, Pengesan Pemandu Mengantuk dan Kamera 3D pandangan sekeliling 360-darjah.

    Selain itu, ia juga dilengkapi Brek Parkir Electronik, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), ABS, EBD, Bantuan Brek Kecemasan, Kawalan Cengkaman, Bantuan Brek Hidraulik (HBA), Kawalan Tork Positif (PTC) dan Penvektoran Tork Dinamik (DTV).

    Aston Martin Vanquish dilancarkan di Malaysia – 5.2L turbo berkembar V12, 835 PS/1,000 Nm; dari RM5 juta

    Vanquish baharu ini berukuran 1,290 mm tinggi, 2,120 mm lebar, 4,850 mm panjang dengan jarak roda 2,885 mm dan jarak kelegaan tanah (ground clearance) cecah 120 mm. Supercar ini seberat 1,774 kg, memiliki ruang but berkapasiti 248 liter dan tangki bahan api berkapasiti 82 liter.

    Bagi rekaan luarannya, ia hadir dengan lampu utama matrix bersama fungsi lampu tinggi automatik, dan gril hadapannya diberikan sentuhan Satin Chrome Vaned. Melengkapkan lagi gayanya dengan bumbung kaca panoramik, dan roda aloi tempaan 21-inci yang dibaluti tayar Pirelli P ZERO (dengan teknologi noise cancellation) bersaiz 275/35/ZR21 di hadapan dan 325/30/ZR21 di belakang serta brek kaliper hitam.

    Manakala di belakang pula, floating black ‘shield’ disambungkan dengan sepasang tujuh palang LED cukup menarik perhatian, di samping ditampilkan diffuser yang besar serta dua ekzos besar (dengan sistem ekzos titanium 10.5kg sebagai pilihan).

    Aston Martin Vanquish dilancarkan di Malaysia – 5.2L turbo berkembar V12, 835 PS/1,000 Nm; dari RM5 juta

    Di dalamnya, pendekatan rekaannya memang berbeza dari kokpit Ferrari. Selain banyak diinspirasikan dari DB12 dan Vantage, Vanquish baharu ini diberikan dua skrin dengan butang kawalan yang lebih banyak, serta sentuhan yang lebih unik termasuk jaluran krom lebar sepenuhnya di atas corong pendingin hawa.

    Kemasan dalamannya diberikan kulit Semi Aniline dan Alcantara, manakala tempat duduk sport bersama larasan 16-cara, headlining hitam Alcantara, kemasan pintu Bright Brushed Metal serta roda stereng sport balutan kulit. Untuk audio pula, ia diberikan sistem dual-amp Bowers & Wilkins dengan 15-pembesar suara.

    Aston Martin memaklumkan Vanquish baharu ini ini hanya dikeluarkan secara terhad iaitu kurang 1,000 unit setahun dan untuk pasaran Malaysia, kumpulan pertamanya akan tiba pada suku pertama 2025. Dengan harga bermula RM5 juta (tersama pelbagai cukai) sebelum ditambah dengan pilihan dan penyesuaian, ia juga didatangkan dengan waranti tiga-tahun dan pilihan perlindungan tambahan sehingga 20 tahun.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025