Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • ACE 2024 menyaksikan sebanyak 581 buah kereta bernilai RM84.6 juta berjaya dijual dalam dua hari!

    ACE 2024 menyaksikan sebanyak 581 buah kereta bernilai RM84.6 juta berjaya dijual dalam dua hari!

    Acara paultan.org Auto Car Expo (ACE) 2024 dengan tajaan bersama Carro dan Time Energy’s Emit Solar yang berlangsung pada 26-27 Oktober lalu mencatatkan kejayaan besar dalam penjualan kereta selama dua hari yang berlangsung di Setia City Convention Centre (SCCC).

    Dalam tempoh dua hari tersebut, sebanyak 581 buah kereta dengan nilai RM84.6 juta berjaya dijual di ACE 2024. Sekaligus mencatatkan satu rekod untuk pameran jualan kereta yang dianjurkan oleh paultan.org, mengatasi rekod tertinggi sebelumnya iaitu 561 kereta yang dijual bernilai RM80.5 juta, semasa penganjuran sulungnya pada tahun 2021.

    Kami memulakan acara sebegini menerusi penganjuran PACE 2018 dan ternyata ia menunjukkan keberkesanannya. Pelbagai jenama pengeluar kenderaan mengambil kesempatan untuk melancarkan model baharunya menerusi acara ACE, PACE dan EVx anjuran kami.

    Menerusi ACE 2024m Proton mula membuka tempahan bagi eMas 7 dan mengambil kesempatan dalam kemeriahan ramai dengan mempertontonkan ruang dalaman SUV EV ini buat pertama kalinya. Begitu juga dengan MG yang turut mengambil kesempatan mempertontonkan model seksinya, Cyberster yang berjaya menarik perhatian umum. Malahan kedua-dua EV tersebut rurut menerima jumlah tempahan yang memberangsangkan menerusi ACE 2024.

    Selain menyaksikan banyak deretan model baharu di Malaysia, pengunjung juga berpeluang memandu uji mana-mana model kenderaan yang disediakan, dengan tawaran jualan yang menarik dan ganjaran yang mengujakan…semuanya di bawah satu bumbung.

    Untuk pengetahuan anda, semua promosi dan pemasaran untuk ACE 2024 hanya dilakukan di paultan.org dan media sosial kami. Ini bermakna pengunjung yang hadir adalah pengikut laman web ini. Malah, kami sendiri ada terdengar daripada rakan pempamer dan staf jualan bahawa kebanyakan dari anda yang datang ke SCCC mengetahui secara lebih mendalam model kereta yang dicari.

    Ternyata minggu itu sangat bermakna buat kami di paultan.org dan Driven, dan kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih tidak terhingga buat semua pengunjung ACE 2024 yang memberikan sokongan padu, juga buat rakan pempamer kami iaitu BYD, Perodua, Proton, Pro-Net (Proton eMas) Toyota, Ford, Mitsubishi, MG, Volkswagen, Auto Bavaria (BMW, MINI, BMW Motorrad), Hap Seng Star (Mercedes-Benz), Sime Darby Swedish Auto and Sisma Auto (Volvo), EON (smart and Audi), Cycle & Carriage (Peugeot dan Leapmotor) dan Trapo.

    Turut dihargai ialah rakan penaja bersama kami iaitu Carro dan Time Energy’s Emit Solar, serta penaja
    goodie bag iaitu V-Kool, DodoMat, Blueair, DK Schweizer, Kuzig Glanz Detailing dan The Carage. Kita jumpa lagi tahun hadapan!

     
     
  • Omoda C9 oleh Jaecoo dilancar di Malaysia pada 6 Dis

    Omoda C9 oleh Jaecoo dilancar di Malaysia pada 6 Dis

    Selepas beberapa teaser dikeluarkan, Jaecoo Malaysia telah mengumumkan bahawa Omoda C9 akan dilancarkan pada 6 Disember 2024. Ini bermakna SUV premium lima-tempat duduk ini akan ‘terlepas’ dari kemeriahan pembukaan acara Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) yang berlangsung pada minggu yang sama.

    Merupakan model kedua di bawah jenama ini yang dilancarkan di Malaysia selepas Jaecoo J7, C9 merupakan model Omoda pertama yang dipasarkan secara berasingan daripada jenama utama Chery. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, SUV ini akan dipasang secara tempatan di kilang Jaecoo di Shah Alam, dengan penghantaran varian AWD bakal bermula pada Januari 2025.

    Manakala versi 2Wd pula akan mengambil sedikit masa yang lama, hanya akan tiba di tangan pelanggan pada Mei atau Jun hadapan. Harga jangkaanya akan bermula dari RM185,000 untuk model 2WD, dan meningkat hingga RM195,000 untuk versi pacuan semua-roda.

    Omoda C9 oleh Jaecoo dilancar di Malaysia pada 6 Dis

    Dikenali sebagai Exeed RX di China, C9 ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo dan empat-silinder suntikan-terus petrol, sama seperti Cherry Tiggo 8 Pro, dengan hamburan 261 PS dan tork 400 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

    Diposisikan sebagai kenderaan premium, C9 akan dilengkapi dengan peredam adaptif sebagai ciri standard yang jarang sekali diperoleh untuk kenderaan di bawah RM200,000. Ia juga akan dilengkapi dengan roda aloi pelbagai-jejari dua-tona 20-inci yang dibaluti tayar Michelin e-Primacy 245/50, dengan tayar ganti yang bersaiz penuh. SUV ini mempunyai jarak kelegaan tanah mencecah 165 mm yang sederhana tetapi mampu mengharung kedalaman air maksimum 450 mm.

    C9 ini berukuran 4,775 mm panjang, 1,920 mm lebar dan 1,671 mm tinggi, menjadikan ia 53 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar dan 34 mm lebih (sesuai dengan rekaan ala coupe) berbanding model segmen-D Tiggo 8 Pro, sementara jarak rodanya mencecah 2,800 mm iaitu 90 mm lebih panjang.

    Omoda C9 oleh Jaecoo dilancar di Malaysia pada 6 Dis

    Sama seperti EV Omoda E5, SUV ini menampilkan gril rekaan matriks berlian dengan lampu nyalaan siang bentuk sigma. Selain ciri kawalan adaptif pintar dan lampu depan LED, ia juga dilengkapi dengan cermin depan akustik yang mengurangkan tahap kebisingan di dalam kenderaan.

    Garis bahunya juga kelihatan panjang terbentang dari lampu hadapan ke lampu belakang yang lebar sepenuhnya, diserlahlan dengan fender hadapan krom. Pemegang pintu jenis ‘pop-out’ dan tiang-D yang digelapkan, memberikan rupa ala ‘bumbung terapung’. Manakala bahagian hujung belakangnya pula ditampilkan dengan reflektor menegak dan empat corong paip ekzos.

    Imej classy turut terbentang di bahagian dalamnya, di mana C9 menempatkan papan pemuka yang luas dengan lubang udara lebar penuh dan panel paparan skrin lebar bersama skrin berkembar 12.3-inci. Banyak kemasan kulit sentuhan lembut menghiasi bahagian pemuka, panel pintu dan tempat duduk, menampilkan paten jahitan quilted di beberapa bahagian.

    Omoda C9 oleh Jaecoo dilancar di Malaysia pada 6 Dis

    Pandangan mata juga tertumpu pada konsol tengah, yang menampilkan pendingin hawa kemasan perak yang bergaya dan tombol pemilih mod pemanduan (jauh berbeza daripada J7, yang menurunkan fungsi kawalan suhu ke skrin sentuh) yang terletak di dalam kemasan kepingan segi empat tepat. Ia juga menampilkan pemegang telefon pintar dengan satunya digabungkan dengan pengecas tanpa wayar Qi 50-watt dan satu lagi ruang storan bertutup.

    Ciri kelengkapan lain yang turut diberikan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawalan suhu tiga-zon (termasuk kawalan belakang), sistem pewangi udara, bumbung kaca panoramik, paparan utama, tempat duduk larasan kuasan dengan fungsi memori dan ventilasi, kamera papan pemuka, tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan, sistem kamera 360-darjah dengan fungsi ketelusan dan sistem bunyi Sony dengan 14-pembesar suara.

    Model AWD pula menerima ciri tambahan termasuk kolum stereng larasan kuasa dan larasan tempat duduk pemandu, serta tujuh mod pemanduan off-road berbanding hanya tiga untuk versi 2WD. Kesemua model menerima lapan beg udara dan set lengkap bantuan pemandu termasuk brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan funsgi stop and go , bantuan pemusatan lorong, bantuan menukar lorong, amaran titik buta, pemantauan perhatian pemandu dan amaran membuka pintu.

     
     
  • Peugeot 3008 ditawarkan dengan rebat hingga RM40k

    Peugeot 3008 ditawarkan dengan rebat hingga RM40k

    Menjelang hujung tahun ini, memang banyak promosi yang dibuat oleh pengeluar kereta, tapi ada yang lebih menonjol berbanding yang lain. Bagaimana dengan potongan RM40,000 untuk sebuah Peugeot? Cukup menarik untuk anda?

    Ini adalah untuk SUV 3008, yang kini ditawarkan dengan rebat RM40k bagi model keluaran tahun 2023, dan ditawarkan sehinga 15 Disember 2024. Dengan itu, harganya menjadi RM129k. Turut ditawarkan adalah model keluaran tahun 2024, bagi SUV segmen C tersebut, yang diberikan dengan potongan RM20k (menjadi RM149k), sehingga 31 Disember ini.

    Model 3008 ini dipacu oleh enjin empat silinder 1.6THP turbo, yang dipadankan bersama transmisi automatik enam kelajuan Aisin, mampu menghasilkan kuasa 167 PS dan tork 240 Nm. Melalui sistem Advanced Grip Control, pemandu disediakan dengan empat mod cengkaman, termasuk Snow, Mud dan Sand.

    SUV lima tempat duduk ini mempunyai rekaan dalaman yang canggih, dengan terdapat panel instrumen i-Cockpit 12.3 inci dan skrin infotainmen 10 inci di tengah, yang boleh disambung dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disediakan adalah pengecas telefon tanpa wayar serta ruang barangan belakang 591 liter.

    Setiap pembelian 3008 didatangkan dengan jaminan tujuh tahun atau 200,000 km (naik berbanding lima tahun/150,000 km sebelum ini), dan ini adalah peluang terakhir untuk pelanggan turut menikmati servis percuma selama lima tahun, yang diberikan sekali sejak September lalu.

    Tertarik dengan 3008 ini tetapi masih takut dengan nilai jualan balik dan kos penyelenggaraannya? Mungkin anda boleh pertimbangkan semula kerana diskaun tinggi yang diberi ini boleh menutup kembali kejatuhan nilai harga jualan baliknya, dan anda juga boleh berjimat untuk bayaran awal. Kemudiannya, jaminan serta pakej servis percuma yang diberi boleh menghilangkan terus kerisauan anda berkenaan kos penyelenggaraan kereta Eropah.

     
     
  • Geely kini di Thailand, Indonesia & Australia – apa jadi rancangan guna Proton untuk pasaran RHD & ASEAN?

    Geely kini di Thailand, Indonesia & Australia – apa jadi rancangan guna Proton untuk pasaran RHD & ASEAN?

    Menerusi SUV EV Geely Galaxy E5 (atau dikenali sebagai EX5 untuk pasaran luar China), kembar Proton eMas 7 yang dihasilkan terus dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD) dan pemanduan sebelah kanan (RHD), Geely kini nampaknya secara agresif mula meneroka pasaran-pasaran baharu.

    Ia termasuk mengesahkan kehadirannya dipasaran Australia, dan terbaharu New Zealand dengan perjanjian yang telah dimuktamadkan bersama Giltrap Group baru-baru ini, di mana EX5 dijangka akan dilancarkan pada pasaran tersebut pada separa pertama 2025. Manakala untuk pasaran Thailand, SUV itu juga telah dilancarkan di Thailand Motor Expo 2024 yang sedang berlangsung sekarang.

    Dengan langkah yang dibuat oleh Geely ini nampaknya ia agak kontra dengan apa yang disebut ketika peringkat awal kerjasamanya dengan Proton pada 2017 dahulu. Ini kerana ketika itu Pengerusi Zhejiang Geely Holding, Li Shufu berkata daripada segi posisi jenama, Proton disasarkan untuk ASEAN, sedangkan Geely tiada perancangan untuk menembusi pasaran ini menerusi jenama mereka sendiri – ia akan kekal di pasaran Asia lain seperti di China.

    Geely kini di Thailand, Indonesia & Australia – apa jadi rancangan guna Proton untuk pasaran RHD & ASEAN?

    Malah Geely sebelum ini menyatakan bahawa ia turut mahu menggunakan Proton untuk menjadi hab model-model RHD dan masuk ke pasaran-pasaran tersebut, serta mahu menyokong Proton untuk menjadi jenama automotif nombor tiga paling besar di rantau ASEAN.

    Namun apa yang sebaliknya berlaku, Geely kini mula masuk ke dua pasaran terbesar di ASEAN iaitu Thailand dan Indonesia, yang sudah tentu akan menyebabkan sasaran asal Proton berkenaan sukar untuk dicapai. Langkah Geely untuk masuk ke pasaran Australia juga agak menghairankan kerana Proton sudah sedia ada mempunyai warisan sejarahnya di sana dengan model-model popular seperti Proton Jumbuck dan Satria GTi sebelum ini.

    Malah ada juga khabar yang sedang bertiup kencang bahawa Geely turut merancang untuk masuk ke pasaran Afrika Selatan, iaitu pasaran eksport yang telah diteroka semula oleh Proton buat masa sekarang.

    Geely kini di Thailand, Indonesia & Australia – apa jadi rancangan guna Proton untuk pasaran RHD & ASEAN?

    Satu perkara yang boleh dibanggakan adalah talaan ride and handling untuk Geely EX5 untuk pasaran global sebenarnya menggunakan talaan sama yang dibuat oleh Proton terhadap model eMas 7. Namun nampak macam mustahil untuk perkara ini akan disebut oleh Geely bagi menjual EX5 pada pasaran-pasaran berkenaan.

    Mungkin langkah ini diambil oleh Geely kerana pertumbuhan Proton dilihat lebih lambat dari yang dijangka. Namun dari sudut lain, Geely mungkin mahu mengetengahkan jenamanya sendiri. Ini kerana ketika peringkat awal kerjasama Geely-Proton, reputasi jenama-jenama China pada pasaran global masih lagi rendah.

    Tetapi sejak kebelakangan ini beberapa jenama China seperti Chery dan BYD sudahpun menonjol dipersada dunia, manakala Geely masih lagi kurang dikenali di luar China walaupun sudah menjadi pemilik banyak jenama-jenama terkenal seperti Volvo dan Lotus. Jadi dengan langkah lebih agresif masuk ke pasaran-pasaran RHD, usaha Geely untuk memperkenalkan jenamanya secara lebih meluas mungkin akan berjaya.

    Geely kini di Thailand, Indonesia & Australia – apa jadi rancangan guna Proton untuk pasaran RHD & ASEAN?

    Walau bagaimanapun, Proton dilihat masih tidak berputus asa untuk meneroka pasaran-pasaran eksport bagi membolehkan ia menjual lebih banyak kenderaan selain hanya bergantung sepenuhnya pada pasaran tempatan. Buat masa sekarang Proton sedang membina model-model rekaannya sendiri bagi menggantikan model-model tempatan seperti Saga, Persona dan Iriz.

    Peringkat awalan pembinaan model-model berkenaan dibuat di fasiliti R&D baharunya yang terletak di Teluk Hang Zhou, berhampiran dengan Ibu Pejabat Geely bagi memudahkan ia berkongsi sumber dan pengetahuan dengan Geely. Agak menarik untuk dilihat selepas ini sama ada model-model asli rekaan Proton berkenaan akan dijual di pasaran luar dengan jenama Proton, atau ia mungkin di’rebadge’ oleh Geely untuk dijual dalam pasaran seperti Thailand dan Indonesia.

    Apa pula pendapat anda? Adakah Proton masih boleh bangkit semula untuk kembali ke pasaran-pasaran utama seperti UK dan Eropah, atau ia terus akan hanya akan bergantung pada pasaran tempatan untuk tempoh lebih lama? Kongsikannya bersama kami pada ruang komen di bawah atau pada laman-laman sosial kami.

     
     
  • Benda Napoleon Bob 500 tiba di Malaysia – RM27,888

    Benda Napoleon Bob 500 tiba di Malaysia – RM27,888

    Pernah dipamerkan sewaktu Malaysia Autoshow 2024 Mei lalu, Benda Napoleon Bob 500 kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada harga RM27,888 tidak termasuk insurans. Dua warna ditawarkan, iaitu hitam dan kelabu, dan ia datang dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.

    Membawa bentuk sebuah bobber, Napoleon Bob 500 cuma datang dengan satu tempat duduk sahaja dan rimnya menggunakan saiz 16 inci dan dibalut tayar 150/80 di hadapan dan 180/65 di belakang. Menjadikan penampilannya lebih unik, fork hadapan dipasang dengan pelindung sehingga ke atas dan ekzosnya keluar dua muncung di bahagian kanan.

    Menggerakkan Napoleon Bob 500 adalah enjin v-twin penyejukan cecair 475.6 cc dengan sistem suntikan bahan api, mampu menghasilkan kuasa 47 hp pada 8,800 rpm, tork 42 Nm pada 6,700 rpm dan ia disampaikan kepada roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dengan klac slipper dan sistem tali sawat.

    Walaupun datang dengan penampilan klasik, Napoleon Bob 500 diberikan dengan kelengkapan moden seperti panel instrumen digital, lampu LED serta suis berlampu. Selain itu, pada bahagian keselamatan, ia juga dilengkapi dengan brek ABS dual-channel dan sistem kawalan cengkaman.

    Berat keseluruhan Napoleon Bob 500 adalah 215 kg dan kelengkapan lainnya adalah termasuk tangki bahan api 16 liter, fork USD di hadapan, penyerap belakang dengan pelarasan pra beban dan brek cakera hadapan dan belakang.

     
     
  • Deepal E07 dilancar di Thailand – EV jarak gerak sehingga 640 km, bahagian belakang seperti pikap

    Deepal E07 dilancar di Thailand – EV jarak gerak sehingga 640 km, bahagian belakang seperti pikap

    Jika anda sukar untuk memilih antara trak pikap dan SUV, kereta yang kami tunjukkan ini mungkin adalah penyelesaiannya. Ia adalah Deepal E07, yang baru sahaja dilancarkan di Thailand International Motor Expo, dan sebenarnya adalah sama dengan Changan Nevo E07 yang mula dijual di China Oktober lalu.

    Sekali pandang, E07 ini nampak seperti sebuah SUV yang dipanjangkan dan mempunyai bumbung yang menjunam di belakang seperti coupe. Tapi istimewanya, pintu ruang barangan belakangnya dibuka ke bawah seperti trak pikap, manakala penutup atasnya pula boleh dilungsur secara elektrik.

    Lain daripada itu, ciri rekaan yang boleh dilihat pada E07 adalah seperti lampu DRL berbentuk C di hadapan, lampu utama nipis, jalur LED di tengah, tambahan kemasan plastik hitam di keliling lengkuk roda, rim 21 inci dan rel di atas bumbung.

    Deepal E07 dilancar di Thailand – EV jarak gerak sehingga 640 km, bahagian belakang seperti pikap

    Berkenaan dimensi, ia mencatat ukuran panjang 5,045 mm, lebar 1,996 mm, tinggi 1,680 mm tall jarak roda 3,120 mm. Ini menjadikannya ia agak besar, tetapi panjangnya masih lagi kurang berbanding trak pikap sebenar seperti Toyota Hilux, Mitsubishi Triton dan Isuzu D-Max. Menurut Deepal, ia boleh membawa barang di belakang sehingga 300 kg.

    Sementara bahagian luar nampak menonjol, bahagian dalam yang mempunyai lima tempat duduk pula menggunakan rekaan yang lebih ringkas dengan di tengah papan pemuka terletak skrin infotainmen 15.6 inci. Malahan, tiada panel instrumen yang dapat dilihat pada kenderaan ini, dan ia diganti dengan panel head-up display.

    Kelengkapan lain yang terdapat padanya adalah termasuk roda stereng larasan elektrik, tempat duduk hadapan zero-gravity dengan liang udara, tempat duduk belakang boleh lipat 60:40, lampu suasana 256 warna, kawalan pendingin hawa dua zon, sistem audio 18 pembesar suara dan pad pengecas 50W.

    Untuk keselamatan, ia dilengkapi beg udara depan, tepi dan bidai, bersama pelbagai sistem pasif lain manakala sistem bantuan pemandu pula terdiri daripada pemerhati keliling kenderaan, bantuan parkir automatik, Adaptive Cruise Control dengan Traffic Jam Assist, Lane Centring, Forward Collission Warning dengan Automatic Emergency Braking, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Front and Rear Cross Traffic Alert dan Lane Change Assist.

    E07 adalah kenderaan elektrik (EV) yang akan ditawarkan dalam dua varian. Pilihan pertama dipanggil sebagai Plus, yang mendapat motor elektrik di belakang berkuasa 342 PS (338 hp atau 252 kW) dan 365 Nm, boleh membuat pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat dan laju maksimum 201 km/j.

    Atas padanya adalah Performance AWD, yang ditambah dengan motor elektrik hadapan 256 PS (252 hp atau 188 kW) dan 280 Nm, manakala motor di belakangnya masih sama seperti Plus. Dengan kuasa keseluruhan 598 PS (590 hp atau 440 kW) dan 645 Nm, varian ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.96 saat dan mencapai laju maksimum 210 km/j. Ia juga mendapat suspensi udara dengan kawalan serapan automatik – double wishbone di hadapan dan multi-link di belakang.

    Deepal E07 dilancar di Thailand – EV jarak gerak sehingga 640 km, bahagian belakang seperti pikap

    Kedua-dua varian E07 ini menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) yang sama, dengan kapasiti 89.98 kWH, mampu memberikan jarak gerak sehingga 640 km untuk Plus dan 590 km pada Performance AWD. Pengecasan AC boleh dilakukan pada kadar maksimum 6.6 kW manakala DC pula sehingga 240 kW (30-80% dalam masa cuma 15 minit).

    Melihat kepada harga, E07 dilancarkan dengan harga pengenalan 1.599 juta baht (RM207k) untuk Plus, manakala Performance AWD dijual pada 1.999 juta baht (RM259k). Apabila tempoh promosi habis, harganya akan dinaikkan 100,000 baht (RM13k).

    Ada tiga warna ditawarkan untuk varian Plus iaitu Obsidian Black, Quartz White dan Hematite Grey, dan semuanya dipadankan bersama kemasan dalam warna hitam. Varian Performance AWD mendapat pilihan warna sama seperti Plus, tetapi warna Hematite Grey padanya adalah jenis matte dan satu lagi tambahan warna yang disediakan adalah Jade Green – semuanya datang dengan kemasan dalam warna oren.

     
     
  • Geely EX5 dilancar di Thailand — kembar Proton eMas 7, varian Pro dan Max, jarak 495 km, dari RM111k

    Geely EX5 dilancar di Thailand — kembar Proton eMas 7, varian Pro dan Max, jarak 495 km, dari RM111k

    Kembar Proton eMas 7, Geely EX5 (Geely Galaxy E5 di China) telah masuk pasaran antarabangsa pertamanya di Thailand. Dilancarkan ketuka Thai Moto Expo yang sedang berlangsung, EX5 diimport sepenuhnya dari China, sama seperti kembarnya di Malaysia yang akan dilancarkan tak lama lagi.

    Dua varian ditawarkan di Thailand — Pro dengan harga 859,000 baht (RM111,100) dan Max dengan harga 949,000 baht (RM122,700). Harga promosi ini bagaimanapun hanya terhad untuk 1,084 unit terawal, sempena meraikan ulang tahun ke-40 pengedarnya, Thonburi Group. Selepas itu harga SUV elektrik ini masing-masing akan menjadi 899,000 baht (RM116,200) dan 989,000 baht (RM127,900).

    Tidak seperti di Malaysia, dua varian di sana hadir dengan spesifikasi mekanikal yang sama — janaan 218 PS (160 kW) dan 320 Nm, dan bahkan bateri Aegis bilah pendek 60.22 kWh lithium iron phosphate (LFP) juga sama. Malaysia akan menerima varian dengan kapasiti bateri 49.52 kWh.

    Geely EX5 dilancar di Thailand — kembar Proton eMas 7, varian Pro dan Max, jarak 495 km, dari RM111k

    Dengan kelengkapan yang lebih banyak, varian Max lebih perlahan dalam pecutan 0-100 km/j (7.1 saat berbanding 6.9 saat), dengan jarak perjalanan lebih pendek juga (490 km berbanding 495 km, kitaran NEDC). Dengan kitaran WLTP, Proton eMas 7 mampu mencapai jarak 410 km. EX5 hadir dengan laju maksimum 175 km/j.

    Dengan pek bateri yang sama, kedua-dua varian menyokong pengecasan pantas DC 100 kW, menjadikan pengecasan 30%-80% hanya memerlukan 20 minit. Model ini juga menerima pengecas AC sehingg 11 kW, yang memerlukan masa 6.1 jam pengecasan. Fungsi vehicle-to-load (V2L) juga ada dengan kapasiti sehingga 3.3 kW.

    Kelengkapan standard yang ada termasuklah lampu LED penuh termasuk di belakang, penutup gril aktif, rim aloi 18-inci dengan tayar Giti, landasan bumbung, sistem tanpa kunci, kawalan pendingin dua zon, kerusi depan larasan kuasa dengan liang dan fungsi urut, paparan instrumen digital 10.2-inci, skrin sentuh infotainmen 15.4-inci, pengecas tanpa wayar Qi 50 watt, sistem bunyi Flyme Audio dengan 16-pembesar suara (dengan speaker perehat kepala) dan enam beg udara. EX5 turut dilengkapi Apple CarPlay.

    Geely EX5 dilancar di Thailand — kembar Proton eMas 7, varian Pro dan Max, jarak 495 km, dari RM111k

    Max menerima penambahan bumbung panoramik, head-up display, kerusi depan “zero gravity”, lampu ambient 256-warna serta pintu ruang belakang berkuasa. Ia juga hadir dengan ciri bantuan pemandu yang terdiri daripada ciri seperti AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, amaran perlanggaran belakang dan amaran bukaan pintu. Bagi eMas 7, semua ini merupakan ciri standard.

    Lima warna badan ditawarkan, iaitu Dawn White, Morning Mist Grey, Midnight Black, Streamer Silver dan Aqua Marine, dengan pilihan warna kabin putih, sedangkan untuk eMas 7 hanya ada Indigo Blue.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JXP dan TDB sedia untuk dibida

    Bagi yang memerlukan untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Terengganu ini bersedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXP bakal dibuka bidaan mulai esok, 30 November. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 4 Disember. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 5 Disember 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Terengganu, TDB, bakal dibuka bidaan mulai 1 Disember 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 5 Disember, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya,6 Disember 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Bermaz Changan jual EV Deepal di Malaysia – S05 dan S07 sah akan dilancarkan, mungkin pertengahan 2025

    Bermaz Changan jual EV Deepal di Malaysia – S05 dan S07 sah akan dilancarkan, mungkin pertengahan 2025

    Deepal S07 di Bangkok International Motor Show 2024

    Bermaz Changan, anak syarikat baharu yang dimiliki sebanyak 85% oleh Bermaz Auto (BAuto), telah pun diberikan hak pengedaran rasmi untuk menjual kenderaan elektrik (EV) jenama Deepal bagi pasaran Malaysia. Syarikat ini juga akan bertanggungjawab dalam jualan alat ganti dan memberikan perkhidmatan selepas jualan bagi jenama tersebut.

    Seperti yang dinyatakan dalam pemfailan baru-baru ini dengan Bursa Malaysia, hak pengedaran telah diberikan oleh Mobitech, anak syarikat milik penuh Changan Automobile, yang dinaungi Deepal, Changan Auto, Avatr dan Kaicene.

    Susulan perkhabaran ini, SUV S05 dan S07 disahkan sebagai model pertama yang akan ditawarkan di Malaysia, menurut Shen Xing Hua, presiden Changan Auto Asia Tenggara. Ia dijangka akan dilancarkan di sini pada pertengahan 2025, berkemungkinan sebagai model yang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand.

    Changan Automobile kini sedang membina kemudahan pengeluaran luar negara pertamanya yang terletak di Rayong, Thailand dengan pelaburan kira-kira 8.8 bilion baht (lebih kurang RM1.1 bilion), yang dijangka beroperasi pada awal 2025. Fasa pertama projek ini termasuk mengecat, pemasangan kenderaan, pemasangan enjin dan pemasangan bateri akan disiapkan, dengan kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 100,000 kenderaan.

    Bermaz Changan jual EV Deepal di Malaysia – S05 dan S07 sah akan dilancarkan, mungkin pertengahan 2025

    Deepal S05

    Untuk fasa dua, pembuat kereta China itu merancang untuk melabur sehingga 20 bilion baht (RM2.6 bilion) bagi mewujudkan kemudahan pengeluaran kenderaan tenaga (NEV) baharu dengan kapasiti pengeluaran tahunan sehingga 200,000 kenderaan yang memenuhi pasaran di rantau ASEAN serta untuk versi pemanduan sebelah kanan bagi pasaran global. Pada masa ini, rangkaian model Deepal yang dijual di Thailand termasuk L07, S07 dan E07. Ia disertai oleh Avatr 11 serta Changan Lumin.

    Untuk pengetahuan anda, Changan mempunyai usaha sama di China dengan Mazda, yang merupakan satu lagi jenama dalam portfolio BAuto selain Kia dan Xpeng. Satu produk yang akan dikeluarkan ialah Mazda EZ-6, yang merupakan pengganti kepada Mazda 6 di sana yang menggunakan platform hibrid elektrik EPA yang sama seperti Deepal L07 (dahulu dikenali sebagai SL03). Dengan EZ-6 disahkan sebagai model global, adakah ia juga akan muncul di sini pada masa hadapan? Kita perlu tunggu dan lihat.

    “BAuto (menerusi Bermaz Changan) sangat gembira ditauliahkan sebagai pengedar Deepal untuk Malaysia. EV jenama Deepal mempunyai reka bentuk kenderaan yang dilengkapi dengan teknologi digital termaju dengan ciri-ciri inovatif dan prestasi yang kukuh. Deepal menyasarkan untuk menjadi jenama kenderaan elektrik bertaraf dunia dan memberikan pengalaman mobiliti hijau yang lebih menarik. Ini adalah sejajar dengan inisiatif kemampanan Kumpulan BAuto untuk mengurangkan jejak karbon melalui pengenalan kenderaan yang lebih mesra alam dan cekap tenaga ke pasaran,” kata Datuk Francis Lee Kok Chuan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BAuto.

    “Changan Automobile merancang untuk melabur secara meluas dalam penyelidikan termaju dan teknologi baharu yang inovatif. Sebahagian daripada komitmen ini telah menghasilkan pembentukan organisasi R&D global. mengeluarkan kereta yang memuaskan hati pelanggan kami adalah pendorong bagi Changan Automobile. Changan Automobile sentiasa berusaha untuk memenuhi keperluan pelanggannya yang sentiasa berubah,” ulas Shen pula.

     
     
  • Stellantis terpaksa tutup sementara kilang Fiat di Turin kerana permintaan model EV Fiat 500e yang rendah

    Stellantis terpaksa tutup sementara kilang Fiat di Turin kerana permintaan model EV Fiat 500e yang rendah

    Stellantis terpaksa menutup sementara operasi kilang Mirafiori di Turin, Itali yang memasang model EV Fiat 500e kerana permintaan yang kurang terhadap model berkenaan, lapor Reuters.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Stellantis mengesahkan bahawa kilang tersebut akan ditutup bermula 2 hingga 17 Disember, kemudian bersambung dengan cuti sambutan Krismas pada 18 Disember dan akan dibuka semula pada 5 Januari 2025.

    “Alasannya ialah ketidaktentuan berterusan dalam jualan kereta elektrik di beberapa pasaran Eropah, yang menyumbang 97% daripada produksi di Mirafiori, dan kereta mewah di beberapa negara bukan Eropah seperti China dan Amerika Syarikat”, kata Stellantis dalam kenyataan tersebut.

    Selain dari Fiat 500e, kilang berkenaan turut memasang model sports mewah dari jenama Maserati. Menurut Reuters lagi, kilang tersebut sebenarnya sudah beberapa ditutup tahun ini kerana sebab yang sama iaitu permintaan rendah terhadap model-model EV di Eropah.

     
     
  • KTM Komuter Lembah Klang tawar perjalanan percuma ke Stesen KL pada 30 Nov dan 1 Dis

    KTM Komuter Lembah Klang tawar perjalanan percuma ke Stesen KL pada 30 Nov dan 1 Dis

    KTM Berhad telah mengumumkan penawaran tiket perjalanan sehala secara percuma bagi perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang pada 30 November dan 1 Disember ini. Ia adalah sempena dengan acara Railway to See Malaysia Fun Run 2024 & Celebrate Lokal dengan Tempatan Fest yang berlangsung di Stesen Kuala Lumpur selama dua hari tersebut.

    “Jom naik KTM Komuter secara percuma ke acara Railway to See Malaysia Fun Run 2024 & Celebrate Lokal dengan Tempatan Fest. Syarat-syarat tiket perjalanan sehala percuma ini ialah ia ditawarkan untuk dua hari sahaja iaitu pada 30 November dan 1 Disember dan layak bagi tambang dewasa sahaja. Ia juga adalah bagi perjalanan sehala dari mana-mana stesen KTM Komuter Lembah Klang ke Stesen Kuala Lumpur sahaja,” kata KTMB.

    Syarikat rel ini turut memaklumkan penawaran tambang percuma ini boleh dinikmati dengan semua medium pembelian tiket KTM Komuter iaitu KTM Wallet, kad Komuter Link, tiket QR, Touch ‘n Go, kad debit dan kad kredit.

    Bagi peserta larian Railway to See Malaysia Fun Run 2024 yang berlangsung esok di ibu pejabat KTMB, anda disarankan untuk menaiki KTM Komuter, LRT dan MRT untuk ke lokasi acara.

     
     
  • Polis menawarkan 50% diskaun saman trafik terpilih pada 29-30 Nov 2024 di IWK Eco Park, Pantai Dalam

    Polis menawarkan 50% diskaun saman trafik terpilih pada 29-30 Nov 2024 di IWK Eco Park, Pantai Dalam

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih pada hari ini dan esok (30 November 2024). Ia adalah bersempena dengan penganjuran Karnival Komunikasi yang berlangsung di IWK Eco Park, Pantai Dalam, KL.

    Di mana kaunter pembayaran saman trafik bersama penawaran diskaun ini dibuka di lokasi penganjuran karnival dari jam 9 pagi hingga 4 petang.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di sekitar KL atau berhampirannya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Toyota Supra A90 Final Edition diperkenal – versi produksi paling agresif untuk ucapan selamat tinggal

    Toyota Supra A90 Final Edition diperkenal – versi produksi paling agresif untuk ucapan selamat tinggal

    Ini sesuatu yang mengejutkan yang diumum oleh Toyota hari ini – selepas berada sekitar enam tahun dalam pasaran, model sport tertinggi Toyota iaitu Supra diumum bakal dihentikan produksinya tidak lama lagi. Untuk itu, Toyota telah memperkenalkan model tingkat taraf terakhir untuk Supra dalam varian enjin 3.0 liter, dan juga model edisi terhad ‘selamat tinggal’ yang digelar sebagai A90 Final Edition, dihasilkan sebagai Supra produksi paling agresif untuk versi generasi terakhir ini.

    Bagi model tingkat taraf biasa 2025, Toyota menyatakan bahawa ia telah ditala semula bagi memberikan pemanduan yang seronok bukan hanya dalam bandar, malah untuk pemanduan lebih agresif di jalan berliku dan litar lumba.

    Bahagian luarannya disegarkan menerusi pemadanan spoiler ducktail gentian karbon pada but belakang, bersama penambahan kit aero lain termasuk flap pada ruang roda hadapan. Secara keseluruhan, Toyota mendakwa kelengkapan-kelengkapan ini mampu untuk memaksimakan keseimbangan aerodinamik serta downforce antara bahagian hadapan dan belakang, seterusnya memberikan cengkaman jalan dan juga prestasi pengendalian lebih baik.

    Toyota Supra A90 Final Edition diperkenal – versi produksi paling agresif untuk ucapan selamat tinggal

    Model ini masih dijana oleh enjin B58 petrol 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo berkembar menjana 387 PS dan tork maksima 500 Nm, dengan pilihan sama ada kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan bagi memacu roda belakang. Namun menerusi model tingkat taraf ini unit differential aktif pada gandar belakang telah ditala bagi mengurang understeer ketika mengambil selekoh.

    Selain itu, pengendalian model kemaskini terakhir ini ditambahbaik menerusi talaan semula yang dibuat pada suspensi dan casis. Supra 2025 ini menerima set penyerap hentak adaptif bersama sudut camber yang ditala semula, dan dipadankan dengan penstabil hadapan yang lebih keras. Kesemua ini membolehkan Supra 2025 tersebut mendapat cengkaman dan kestabilan lebih baik

    Pendakap penstabil hadapan dan belakang juga kini dibina semula menggunakan aluminium yang diperkuat. Cagak-cagak getah seperti untuk lengan kawalan hadapan, subframe belakang juga kini menggunakan material lebih keras. Tidak cukup dengan itu, struktur pendakap bawah lantai belakang juga telah diperkuat bagi meningkatkan ketegaran badan. Perubahan-perubahan ini memberikan rasa terus kepada pemandu untuk merasai keadaan sebenar jalan raya bagi memberikan pengendalian lebih jitu.

    Unit stereng kuasa bantuan elektrik (EPS) pada Supra 2025 ini juga telah dioptimakan bagi memberikan “sensasi stereng lebih terus dan prestasi kawalan lebih baik”, dakwa Toyota. Sistem brek juga dipertingkat dengan cakera hadapan Brembo berdiameter 374 mm yang lebih besar dari sebelum ini.

    Manakala sebelah dalam, model 2025 ini menerima tempat duduk yang dibalut dengan kulit asli dan Alcantara, bersama dengan sulaman logo GR. Ia juga diberikan tali pinggang keledar merah, sementara model dengan transmisi manual akan diberikan gaiter tuil gear dengan cecincin dan juga serlahan jahitan benang berwarna merah.

    Beralih kepada Toyota Supra A90 Final Edition pula, ia bukan hanya tampil dengan rupa luaran dan dalaman yang lebih agresif, malah turut menerima talaan prestasi yang lebih serius. Pada bahagian luaran, Supra A90 Final Edition ini menerima kit aerodinamik oleh pasukan sama yang menghasilkan kereta lumba GR Supra GT4 iaitu Toyota Gazoo Racing Eropah, dengan pembangunan melibatkan penggunaan terowong ujian angin.

    Toyota Supra A90 Final Edition diperkenal – versi produksi paling agresif untuk ucapan selamat tinggal

    Oleh itu model istimewa ini menerima kit aerodinamik dari bahan gentian karbon yang terdiri dari spoiler bawah dan canard pada bampar hadapan, dan juga spoiler GT belakang dengan kaki jenis ‘tengkuk angsa’ diispirasikan dari GR Supra GT4, yang didakwa dapat memberikan downforce serta cengkaman dan pengendalian lebih baik.

    Ia juga diberikan liang udara gentian karbon pada bonet hadapan dengan salur udara sebelah dalam yang boleh dibuka, di mana ia akan memberikan kuasa penyejukan lebih baik apabila dibuka.

    Enjin B58 petrol 3.0 liter enam-silinder sebaris dengan pengecas turbo berkembar pada Supra A90 Final Edition ini juga menerima pengubahsuaian yang lebih ektensif bagi meningkatkan bukan sahaja kuasa, malah ketahanannya ketika ‘dibelasah’ di dalam litar.

    Toyota Supra A90 Final Edition diperkenal – versi produksi paling agresif untuk ucapan selamat tinggal

    Untuk itu, ia menerima pemangkin ekzos tekanan belakang lebih rendah dengan peredam bunyi titanium Akrapovič, sementara talaan kotak komputer dibuat semula bagi menghasilkan kuasa lebih besar iaitu 435 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Toyota telah menambah plat penyekat di dalam takung minyak pelincir enjin berkenaan bagi mengelakkan terjadinya pembahagian minyak pelincir yang tidak sekata ketika mengambil selekoh dengan daya-G tinggi. Selain itu sistem penyejukkan juga ditambah baik dengan kipas lebih baik serta penambahan unit sub-radiator.

    Model istimewa ini hanya ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan. Manakala pada gandar belakang, perumah unit diffential aktif turut diberikan sirip penyejukkan udara lebih besar.

    Dengan kuasa yang lebih buas, Supra A90 ini menerima set suspensi boleh laras dari KW, iaitu jenama suspensi yang sama digunakan pada GR Supra GT4. Penyerap hentak KW tersebut menawarkan 16 tahap larasan rebound dan 12 tahap larasan tekanan yang boleh dibuat bergantung pada keadaan pemanduan serta rentak pemandu.

    Ia juga diberikan penstabil hadapan dan belakang yang lebih keras, set bushing getah lebih keras untuk lengan bawah hadapan, penghubung jenis pillow ball untuk lengan kawalan hadapan dan juga cagak aluminium tegar yang sama seperti jentera GT4 sebenar pada subframe belakang bagi memberikan pemanduan yang lebih jitu kepada pemandu.

    Bukan itu sahaja, talaan casis pada Supra A90 Final Edition ini turut melibatkan pengukuhan yang dibuat pada pendakap cowl hadapan, penambahan pendakap bawah lantai hadapan, struktur bawah lantai belakang dan juga penambahan bar silang pada pada bahagian belakang tempat duduk dalam kabin.

    Toyota Supra A90 Final Edition diperkenal – versi produksi paling agresif untuk ucapan selamat tinggal

    Tingkat taraf serius turut diberikan pada bahagian brek dimana Supra Final Edition ini menerima cakera jenis terapung dan ditebuk untuk bahagian hadapan dan belakang. Diameter cakera hadapan juga lebih besar iaitu 395 mm dan ia diberikan pad brek dengan kadar pekali geseran lebih tinggi dari Brembo. Malah hos-hos brek juga digantikan dengan hos jenis logam tahan karat yang boleh mengurangkan kehilangan tekanan semasa penghantaran dan juga mengelakkan hos yang mengembang.

    Bagi menghantar kuasa ke permukaan jalan, Supra Final Edition menerima tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 dengan ukuran 10% lebih lebar dari Supra biasa, serta dipadankan pada set rim aloi ringan berdiameter 19-inci di hadapan dan 20-inci di belakang yang dilarik dengan logo TGR.

    Imej sebuah kereta lumba sebenar pada dalam kabin bukan hanya disumbang oleh pemadanan bar silang di belakang. GR Supra A90 Final Edition ini turut datang standard dengan tempat duduk bucket penuh gentian karbon Recaro Podium CF. Tempat duduk berkenaan dibalut dengan upholsteri Alcantara dengan bahagian penumpang diberikan kemasan hitam.

    Bukan hanya tempat duduk, malah kemasan sekeliling pemandu termasuk perapi konsol tengah bahagian pad lutut, perehat tangan dan pemegang pintu turut dibalut dengan Alcantara merah. Balutan Alcantara hitam pula diberikan pada roda stereng dengan serlahan benang dan penanda pukul 12 berwarna merah.

    Model edisi terhad ini juga diberikan tali pinggang keselamatan berwarna merah serta scuff plate yang diperbuat dari material gentian karbon.

    Toyota menyatakan bahawa model tingkat taraf GR Supra 3.0 liter 2025 akan mula dijual bermula musim bunga 2025, dan ia akan diperkenalkan secara berperingkat di pasaran global termasuk Jepun, Eropah dan Australia. Sementara GR Supra A90 Final Edition pula hanya akan dihasilkan sebanyak 300 unit dan akan dijual di Jepun dan Eropah sahaja. Penawaran model edisi terhad ini di Eropah akan bermula musim bunga 2025, manakala di Jepun akan diumumkan kemudian.

    Toyota GR Supra A90 ini membuat kemunculan sulungnya pada Januari 2019. Ia dibangunkan dengan platform dan enjin yang sama dengan BMW Z4 G29, dan diproduksi di kilang yang sama iaitu fasiliti Magna Steyr di Graz, Austria. Ada laporan sebelum ini turut menyebut bahawa produksi BMW Z4 di kilang berkenaan turut akan dihentikan bermula bulan Mac tahun hadapan.

    GALERI: Toyota GR Supra 2025

    GALERI: Toyota GR Supra A90 Final Edition 2025

     
     
  • Laluan di KM28.4 Jitra-Hutan Kampung arah selatan di Lebuhraya PLUS ditutup akibat dilanda banjir

    Laluan di KM28.4 Jitra-Hutan Kampung arah selatan di Lebuhraya PLUS  ditutup akibat dilanda banjir

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan semua lorong di KM28.4 antara laluan Jitra ke Hutan Kampung arah selatan di Lebuhraya Utara-Selatan ditutup akibat lokasi berkenaan sedang dilanda banjir kilat. Justeru, sepanjang penutupan laluan berkenaan, trafik terpaksa dilencongkan keluar ke Persimpangan Jitra.

    “Semua kenderaan dilencongkan keluar ke Persimpangan Jitra utara. Trafik perlahan. Rancang perjalanan anda menggunakan Google Maps dan Waze jika berada di lokasi yang terlibat,” kata PLUS menerusi laman Facebook rasminya.

    PLUS mula mengemaskini keadaan di laluan berkenaan pada jam 3.42 petang tadi di mana insiden banjir berlaku di KM 28.2 hingga KM 28.6 arah selatan dari Jitra ke Hutan Kampung menyebabkan lorong kiri terpaksa ditutup. Dan pada jam 4.44 petang pula, PLUS mengumumkan kesemua lorong arah selatan di laluan berkenaan ditutup sepenuhnya.

    Justeru, semua pengguna Lebuhraya PLUS diminta rujuk PLUSTrafik@X dan Aplikasi PLUS https://x.com/plustrafik untuk maklumat trafik terkini. Sila rancang perjalanan anda menggunakan Google Maps dan Waze jika berada di lokasi yang terlibat, kata PLUS lagi.

     
     
  • Honda Activa e:, QC1 dilancar di India – motosikal EV jarak gerak sehingga 102 km, bateri boleh keluar

    Honda Activa e:, QC1 dilancar di India – motosikal EV jarak gerak sehingga 102 km, bateri boleh keluar

    Honda kini menyertai pasaran motosikal elektrik di India dengan memperkenalkan dua model iaitu Activa e: dan QC1. Harga untuk dua model ini bagaimanapun hanya akan didedahkan secara rasmi pada bulan Januari tahun hadapan.

    Untuk Activa e:, ia menggunakan konsep rekaan seperti model Activa enjin pembakaran dalaman biasa yang cukup popular di negara itu, tetapi dijadikan lebih moden dan dipacu oleh permanent magnet synchronous motor (PMSM) yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 6 kW (8 hp) dan tork 22 Nm.

    Membekalkan tenaga adalah bateri lithium ion yang disediakan dalam dua pek masing-masing berkapasiti 1.5 kWh dan boleh dibawa keluar. Dengan cas penuh, ia boleh membawa kepada perjalanan sejauh 102 km, manakala laju maksimum pula dihadkan pada 80 km/j.

    Dua mod tunggangan disediakan pada Activa e:, iaitu Econ dan Sport, dan ia juga datang dengan bantuan mengundur yang boleh menjadikan pergerakan motosikal ke belakang lebih ringan. Panel meter menggunakan unit digital TFT, dan boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk fungsi navigasi, panggilan dan muzik melalui aplikasi Honda RoadSync Duo.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada Activa e: adalah seperti kunci pintar, soket pengecas USB-C, rim 12 inci hadapan dan belakang, brek cakera hadapan, semua lampu jenis LED, fork teleskopik dan satu penyerap hentak di belakang.

    Honda Activa e:, QC1 dilancar di India – motosikal EV jarak gerak sehingga 102 km, bateri boleh keluar

    Satu lagi model, iaitu QC1 datang dengan bentuk yang hampir sama tetapi spesifikasi lebih ringkas. Baterinya tidak boleh dibawa keluar (lithium-ion 1.5 kWh), jarak gerak lebih rendah (80 km), laju maksimum cuma 50 km/j dan kuasa motor elektrik 1.8 kW (2.4 hp).

    Melalui pengecas rumah 330W yang disediakan, bateri QC1 memerlukan masa enam jam 50 minit untuk penuh dari kosong. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk brek hadapan dan belakang jenis dram, rim 12 inci di hadapan dan 10 inci di belakang, meter LCD lima inci dan pengecas USB-C.

    GALERI: Honda Activa e:

    GALERI: Honda QC1

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025