Proton serius naikkan kualiti produk, turunkan harga

Proton serius naikkan kualiti produk, turunkan harga

Ketika majlis pelancaran Proton Saga 2019 malam tadi, CEO Proton, Dr Li Chunrong turut berkongsi banyak perkara lain tentang perancangan akan datang serta pencapaian yang telah dicapai oleh Proton bagi tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Antaranya, kenderaan yang bakal dilancarkan dalam tahun-tahun mendatang – kita sudah tahu tentang SUV X50, begitu juga dengan pengganti Preve.

Dan, untuk kembali merampas kedudukan No. 1 di Malaysia, ada dua perkara yang digariskan untuk dijadikan sasaran syarikat itu; pertama, peningkatan kualiti dan kedua, pengurangan kos. Dan kedua-dua hal ini memang sudah dapat dilihat dilakukan terhadap pengenalan empat model sedia ada Proton yang diberi kemaskini sepanjang 2019; Bermula dengan Persona dan Iriz, diikuti dengan Exora dan yang terbaru, Saga.

Bagi aspek pengurangan kos, Li menyatakan; “Saya tahu, banyak pembekal yang kurang gembira dengan hal ini. Tetapi ia sangat penting untuk dilakukan sekarang. Nanti mereka akan dapat melibat, disebabkan sumbangan dan tolak ansur terhadap perkara ini, kita dapat menawarkan barisan produk yang lebih kompetitif kepada pelanggan di Malaysia. Namun, ini tidak cukup. Banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk meraih semula kepercayaan pelanggan.”

Berkaitan kualiti pula, Li berkongsi carta audit produk global yang dibandingkan dengan dua lagi jenama global naungan syarikat itu, Geely dan Volvo, untuk membuktikan kesungguhan mereka meningkatkan kualiti produk yang dihasilkan. Sebelum Geely menjadi rakan strategik, Proton mencatatkan demerit kualiti pada tahap 6,388 mata. Untuk makluman, lebih rendah angka ini maka lebih baik kualitinya.

Proton serius naikkan kualiti produk, turunkan harga

Namun, setakat Jun 2019, mata berkenaan telah jatuh ke angka 1,329; ini melibatkan penurunan sebanyak 5,059 mata. Tanda aras Geely bagi tahun 2019 pula ialah untuk mencapai tahap 1,100 mata. Sebagai perbandingan, pencapaian Volvo bagi audit yang sama setakat ini sudah berada pada tahap 850 mata.

“Strategi berikutnya adalah penambahbaikan kualiti. Hal ini sangat sukar dan mencabar. Dengan bantuan Geely, Proton menunjukkan peningkatan yang sangat baik. 22 bulan lalu, markah demerit kami ialah 6,388. Kami habiskan masa 20 bulan setelah itu dan berjaya mencapai angka 1,329 hari ini,” sambung Li. Bagaimanapun, beliau juga sedar, berbanding Geely, Proton masih mempunyai banyak ruang untuk menambahbaik aspek berkenaan.

Jika anda merupakan pemilik kenderaan Proton di “era” baru syarikat itu ketika ini, adakah anda dapat rasakan semua perubahan dan peningkatan ini? Jika melihat kepada barisan produk Proton yang ditawarkan kini, anda fikir terdapat banyak kelainan dari segi kualiti dan tanda harga?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required