Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Chery Omoda 5 ‘Pink Witch Edition’ dipamer sempena promosi filem Wicked di TGV Pavilion Bukit Jalil

    Chery Omoda 5 ‘Pink Witch Edition’ dipamer sempena promosi filem Wicked di TGV Pavilion Bukit Jalil

    Chery Malaysia menerusi jenama Omoda telah mengumumkan kerjasamanya bersama Universal Pictures bagi mempromosikan filem terbaharu Wicked, yang kini sedang ditayangkan di pawagam. Kerjasama ini menyaksikan dua buah model Omoda iaitu Omoda 5 dan versi EVnya iaitu Omoda E5 masing-masing dibalut dengan pelekat badan berwarna merah jambu dan juga hijau, mewakili dua watak utama dalam filem tersebut, Glinda dan Elphaba.

    Omoda 5 berwarna merah jambu yang digelar sebagai ‘Pink Witch Edition’ berkenaan kini sedang dipamerkan di pawagam TGV Bukit Jalil bermula hari ini sehingga 11 Disember nanti. Manakala Omoda E5 ‘Green Witch Edition’ pula belum ditunjuk dan diumum di mana ia akan dipamerkan kelak. Menurut Omoda, penampilan kedua-dua SUV ini akan “membina jambatan bagi mendekatkan lagi antara jenama dan pelanggannya”.

    Chery Omoda 5 ‘Pink Witch Edition’ dipamer sempena promosi filem Wicked di TGV Pavilion Bukit Jalil

    Wicked merupakan filem yang diadaptasi dari persembahan pentas muzikal blockbuster dengan tajuk sama. Ia dibintangi oleh Cynthia Erivo yang memegang watak Elphana dan juga Ariana Grande sebagai Glinda. Pelakon kelahiran negara yang baru memenangi anugerah Oscar baru-baru ini, Tan Sri Dato’ Seri Michelle Yeoh turut membintangi filem tersebut bersama pelakon lain termasuk Jeff Goldblum, Jonathan Bailey dan Peter Dinklage.

    Omoda 5 telah pun berada dalam pasaran tempatan selepas dilancarkan Julai tahun lalu, ditawarkan dalam dua varian. Varian asas C dijual pada harga RM99,800, manakala varian tertinggi H pula dijual pada harga RM118,800. Namun kedua-duanya menampilkan unit rangkaian kuasa sama iaitu padanan enjin 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 156 PS dan tork maksima 230 Nm, bersama kotak gear CVT automatik bagi memacu roda hadapan.

     
     
  • Deepal S05 SUV EV bakal tiba di Malaysia melalui Bermaz — jana 238 PS, jarak 510 km, ada varian REEV

    Deepal S05 SUV EV bakal tiba di Malaysia melalui Bermaz — jana 238 PS, jarak 510 km, ada varian REEV

    Bermaz bakal memperkenalkan jenama EV China kedua di bawah selenggaraannya, iaitu Deepal yang merupakan jenama EV premium di bawah Changan. Khabarnya akan ada dua model EV SUV yang akan dibawa masuk pertengahan tahun depan, dan ini satu daripadanya — Deepal S05.

    Diperkenalkan di China Oktober lalu, S05 merupakan SUV segmen C yang hampir sama saiz dengan EV Proton eMas 7, dengan ukuran 4,620 mm panjang (+5 mm), 1,900 mm lebar (-1 mm) dan 1,600 mm tinggi (-70 mm) dengan jarak roda 2,880 mm (+130 mm). Deepal bagaimanapun turut akan ditawarkan dengan pilihan range extender (satu bentuk hibrid) dan bukan hanya sebagai EV.

    Bagi varian EV, Deepal S05 menggunakan konfigurasi sebuah motor elektrik di belakang dengan janaan 238 PS (175 kW) dan 320 Nm tork, yang membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat dan mencapai laju maksimum 180 km/j.

    Deepal S05 SUV EV bakal tiba di Malaysia melalui Bermaz — jana 238 PS, jarak 510 km, ada varian REEV

    Untuk bateri, ia menggunakan unit lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti 56.12 kWh, yang memberikan jarak perjalanan sejauh 510 km mengikut kitaran CLTC. Deepal memaklumkan yang EV ini mempunyai tiga kapasiti pengecasan 3C — maksudnya ia boleh menerima pengecasan dengan tiga kali kapasiti bateri melalui pengecas pantas DC, atau sekitar 170 kW: pengecasan 30%-80% boleh dicapai dalam 15 minit.

    Jika inginkan jarak perjalanan yang lebih jauh, varian range extender lengkap dengan enjin 1.5 liter petrol dengan janaan 98 PS yang digandingkan dengan motor elektrik yang menjana 218 PS (160 kW) — keupayaan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.9 saat.

    Varian ini juga dilengkapi dengan bateri berkapasiti lebih kecil iaitu 22.28 kWh dengan jarak perjalanan 200 km (155 km dengan kitaran WLTP). Bersama dengan tangki petrol 45 liternya, varian ini mampu memberikan jarak 1,234 km keseluruhannya. Kapasiti bateri yang lebih kecil juga membolehkan varian ini memerlukan masa yang lebih pendek untuk pengecasan — 30%-80% dalam masa hanya 20 minit.

    Deepal S05 SUV EV bakal tiba di Malaysia melalui Bermaz — jana 238 PS, jarak 510 km, ada varian REEV

    SUV ini menerapkan rekaan dengan garisan dan permukaan yang licin, lari dari imej model awal Deepal sebelum ini. Ia juga lengkap dengan teknologi Xpixel oleh Huawei yang menyediakan lampu dengan resolusi 1.3 megapiksel, menyamai teknologi Digital Light oleh Mercedes-Benz. Selain itu ada dua pembesar suara di luar untuk mod karaoke di luar, sementara bahagian atas cermin depan terletak kamera 4K untuk mengambil gambar dan video.

    Di belakang pula ada lampu berkelebaran penuh. Di dalam, ruang kabin terlihat minimal, menyamai model EV China umumnya, dengan adanya sebuah skrin sentuh infotainmen bersaiz 15-6-inci — yang menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 8155 — dan menempatkan konsol tengah terapung berserta pengecas tanpa wayar Qi 50 watt.

    Lain-lain kelengkapan termasuklah head-up display dengan augmented reality serta fungsi kawalan suara dengan teknologi AI yang boleh juga dimanfaatkan dari luar enderaan. Deepal S05 juga memberikan ruang kaki bahagian belakang yang luas dengan 954 mm, ruang barangan besar 429 liter dan untuk model EV sepenuhnya, but depan dengan kapasiti 192 liter.

    Deepal S05 SUV EV bakal tiba di Malaysia melalui Bermaz — jana 238 PS, jarak 510 km, ada varian REEV

    Bagi bantuan pemanduan, Deepal turut dilengkapi dengan fungsi pemanduan semi-autonomous Tahap 2 yang terdiri daripada ciri seperti kawalan melayar adaptif dan bantuan ke tengah lorong serta bantuan parkir dari jauh.

    Mungkin ada yang tertanya-tanya mengapa Bermaz akan membawa masuk Deepal sedangkan ia akan jadi pesaing rapat bagi model Xpeng. Mungkin ini boleh menjelaskannya: Changan merupakan rakan kerjasama Mazda,dan pengeluar Jepun itu telah mengeluarkan sedan Deepal 07 sebagai Mazda EZ-6 sebagai EV pengganti kepada Mazda 6.

    Model tersebut juga adalah untuk pasaran global, yang bermaksud ia mungkin akan tiba juga di Malaysia. S05 juga menjadi asas kepada versi produksi bagi kereta konsep Mazda Arata, yang ditunjuk di Auto China Beijing awal tahun ini.

     
     
  • Mercedes-Benz Malaysia jalin kerjasama dengan hotel, kelab golf dan CPO untuk sediakan pengecas EV

    Mercedes-Benz Malaysia jalin kerjasama dengan hotel, kelab golf dan CPO untuk sediakan pengecas EV

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengumumkan kerjasama dengan beberapa hotel, kelab golf serta pengedali pusat mengecas (CPO) untuk mengembangkan rangkaian pengecas EV kepada pelanggan mereka di dalam negara.

    Antara tempat yang dimaksudkan adalah Shangri-La Rasa Sayang dan Marriott Hotel di Pulau Pinang, The RuMa Hotel & Residences dan Saujana Golf & Country Club di Kuala Lumpur serta Anantara Desaru Coast Resort & Villas di Johor. Syarikat CPO yang terlibat adalah EV Connection (JomCharge), ChargeEV, dan Gentari.

    Menurut MBM, pelanggan boleh menunjukkan aplikasi atau kad Mercedes-Benz mereka sewaktu mendaftar masuk ke tempat yang diberitahu tadi, dan akan menerima layanan serta manfaat khas yang disediakan.

    “Strategi jangka masa panjang kami bukan sahaja untuk menjadikan pemilikan EV lebih mudah diakses, tetapi juga untuk memperbaiki setiap bahagian yang dihadap sepanjang perjalanan pelanggan melalui penyelesaian khas dan kerjasama bermakna yang menunjukkan komitmen kami ke arah kelestarian dan inovasi,” kata CEO dan Presiden MBM, Amanda Zhang.

    Mercedes-Benz kini mempunyai jumlah pilihan model BEV paling banyak di Malaysia dengan termasuk EQA, EQB, EQC, EQE (sedan, SUV dan AMG sedan) serta EQS (sedan, SUV dan AMG sedan).

     
     
  • 31 jalan di Terengganu ditutup akibat dilanda banjir

    31 jalan di Terengganu ditutup akibat dilanda banjir

    Bukan setakat Kelantan, kini Terengganu, Perlis, Kedah, Johor dan Perak juga dilaporkan sedang berhadapan dengan bencana banjir akibat Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda negara kita. Setakat jam 11 pagi tadi, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 37,189 orang membabitkan 11,385 keluarga di negeri-negeri tersebut.

    Di Terengganu, dilaporkan sebanyak 31 jalan termasuk dua jalan utama ditutup kepada semua kenderaan selepas dinaiki air berikutan hujan lebat sejak pagi semalam. Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Dr Hasli Ibrahim, memaklumkan, penutupan jalan membabitkan tujuh di Besut, Hulu Terengganu (sembilan), Setiu (enam), Kemaman (lima) dan Dungun (empat), laporan Berita Harian.

    Menurut beliau, dua jalan utama yang ditutup adalah Jalan Seberang Jertih ke Bukit Yong sempadan Terengganu-Kelantan di Kampung Nangka, Besut yang dinaiki air sedalam kira-kira 0.8 meter (m) sejauh 600 m dan Jalan Air Putih-Chukai di Kampung Tasik Biru, Kemaman yang ditenggelami air sedalam 0.35 m sejauh 100 m.

    “Selain itu, 13 lagi jalan turut ditutup secara berperingkat sejak semalam kepada kenderaan ringan. Antara jalan yang ditutup adalah empat di Besut, Hulu Terengganu (satu), Setiu (lima), masing-masing satu di daerah Kemaman dan Marang,” katanya.

    31 jalan di Terengganu ditutup akibat dilanda banjir

    Mengenai kejadian tanah runtuh, Hasli berkata, hanya satu laluan ditutup iaitu di Kilometer 187 hingga 189, Kenyir ke Aring selepas berlaku mendapan tanah.

    Dalam keadaan cuaca tidak menentu begini, elok rancang perjalanan anda dan peka terhadap laporan perubahan cuaca dari semasa ke semasa. Untuk pemilik kenderaan, jangan lupa mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan anda rosak akibat banjir.

    Jika tiada keperluan, tangguhkan dahulu perjalanan anda dan tunggu sehingga hujan reda dan keadaan bertambah baik sebelum memulakan perjalanan. Elak dari meredah air banjir yang kita tidak tahu kedalamannya dan dibimbangi kenderaan akan hanyut dibawa arus yang pastinya mendatangkan risiko buat anda. Jika kediaman atau kawasan anda dinaiki air, bertindak pantas mengalihkan kenderaan anda ke kawasan yang lebih selamat.

     
     
  • BMW Group Malaysia lancar pusat pengedaran alat ganti serantau yang diperluaskan di Senai, Johor

    BMW Group Malaysia lancar pusat pengedaran alat ganti serantau yang diperluaskan di Senai, Johor

    BMW Group Malaysia telah pun melancarkan pusat pengedaran alat ganti serantau di Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru yang kini diperluaskan selepas dibuka secara rasmi pada tahun 2017. Ia adalah sempena dengan ulang tahun ke-20 Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group di Malaysia.

    Mula ditubuhkan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah pada 2004, Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group telah berpindah ke fasiliti canggihnya di lokasi terkini pada 2016. Sebagai salah satu fasiliti BMW terbesar seumpamanya di rantau Asia Pasifik, Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group ini pada asalnya merupakan gudang berkeluasan 45,000 meter persegi. Kini, fasiliti tersebut meliputi 65,000 meter persegi, seterusnya memperkukuhkan komitmen BMW Group terhadap kecemerlangan operasi di rantau dan pelaburan negara ini.

    Perluasan terbaharu Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau BMW Group membawakan beberapa penambahbaikan yang ketara, termasuk Kawasan Penyimpanan Bateri Voltan Tinggi (HV) yang dibina khusus serta sistem rak lorong sangat sempit (VNA) yang moden. Konfigurasi dua tingkat fasiliti ini menyediakan peluang untuk perluasan pada masa hadapan, manakala penggunaan bumbung panel solar menyokong inisiatif kemampanan BMW Group dengan lebih meluas.

    Ia juga menguruskan stok dengan hampir 52,000 alat ganti, yang mana sekitar 30 daripadanya merupakan Bateri Voltan Tinggi, serta mengekalkan kadar pengambilan dan pembungkusan tepat waktu melebihi 99% serta kadar 99.5% bagi barangan yang dihantar dalam kondisi sempurna. Setiap minggu, 15 unit kontena 40-kaki dihantar menerusi pengangkutan laut BMW Group dan 33,000 meter padu menerusi penghantaran udara. Di peringkat domestik, fasiliti ini menguruskan 42 trak untuk penghantaran keluar ke Malaysia, Singapura, dan Thailand setiap minggu.

    Menurut syarikat ini, sejak pusat pengedaran alat ganti tersebut ditubuhkan, ia telah menyaksikan pertumbuhan yang berterusan dalam perolehan tahunannya. Meningkatkan keupayaan perniagaan daripada EUR 141 juta (RM661 juta) pada 2017 kepada lebih EUR 277 juta (RM1.29 bilion) pada 2023, peningkatan hampir 97% dalam pertumbuhan dan hampir dua kali ganda daripada ketika fasiliti tersebut mula beroperasi.

    “Dalam meraikan 20 tahun Pusat Pengedaran Alat Ganti Serantau di Malaysia, kami mengimbas kembali akan kepentingan fasiliti ini bukan sahaja daripada segi kejayaan BMW Group sebagai pengeluar automotif premium terkemuka di Malaysia tetapi juga dalam mengukuhkan status Malaysia sebagai hab logistik strategik kami di rantau Asia Pasifik,” kata Benjamin Nagel selaku Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.

     
     
  • Honda Motocompacto akan di bawa ke KLIMS 2024 – pengunjung boleh cuba skuter elektrik boleh lipat

    Honda Motocompacto akan di bawa ke KLIMS 2024 – pengunjung boleh cuba skuter elektrik boleh lipat

    Selain dari model konsep Honda Prelude yang akan dipamerkan buat pertama kali di Asia selain Jepun, Honda Malaysia turut mengumumkan bahawa ia akan membawa skuter elektrik boleh lipat Honda Motocompacto ke Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 yang bakal berlangsung bermula 5 hingga 11 Disember di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

    Motocompacto ini merupakan versi moden untuk skuter boleh lipat Honda Motocompo yang diperkenalkan pada era 80’an, popular kerana skuter berkenaan ditawarkan sebagai opsyen untuk hatchback kompak Honda City – ia boleh diletak pada kompartmen istimewa pada but belakang membolehkan skuter tersebut digunakan sebagai pengangkutan lebih mudah pada kawasan lebih sesak.

    Bagi Motocampacto yang lebih moden ini, ia digerakkan dengan kuasa elektrik membolehkan rekaannya dibuat lebih ‘kurus’. Bahagian seperti pemegang, tempat duduk, roda dan tongkatnya semua boleh dilipat masuk ke dalam panel plastik petak yang boleh dianggap sebagai badan utamanya, sekaligus memudahkan ia untuk disimpan. Dalam keadaan dilipat, saiz Motocompacto cuma 3.7 inci lebar, 21.1 inci tinggi dan 29.2 inci panjang.

    Tetapi di sebalik panel plastik berkenaan sebenarnya menyembunyikan bentuk skuter konvensional. Ia digerakkan oleh motor elektrik bersama bateri yang didakwa memberikan jarak gerak sehingga 19 km dengan kelajuan maksima yang boleh dicatakan pada 24 km/j.

    Pengecasnya juga terdapat di dalam dan bateri boleh dipenuhkan dalam masa 3.5 jam. Dengan berat keseluruhan 18.7kg, Motocompacto didakwa boleh memecut dari 0-24 km/j dalam masa tujuh saat. Ia dibekalkan dengan brek dram hanya pada roda belakang, dan diberikan lampu hadapan LED, serta skrin digital kecil pada hendal yang memberikan bacaan kelajuan, tahap bateri serta beberapa lampu amaran penting lain.

    Motocompacto ini dijual di Amerika Syarikat pada harga sekitar 995 USD (RM4,420). Ia tidak dijual di Malaysia, namun jika anda mahu merasai pengalaman menunggan skuter ini, jangan lupa datang ke reruai Honda ketika berlangsungnya KLIMS 2024 nanti!

     
     
  • Menteri pengangkutan terbuka dengan idea e-hailing motosikal – alu-alukan sebarang operator untuk POC

    Menteri pengangkutan terbuka dengan idea e-hailing motosikal – alu-alukan sebarang operator untuk POC

    Menteri pengangkutan, Anthony Loke semalam sewaktu pembentangan di Dewan Parlimen menyatakan bahawa beliau mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang berminat untuk mengadakan e-hailing motosikal untuk melakukan proof of concept (POC) terlebih dahulu – lapor New Straits Times.

    “Kalau ada bukti POC ini berjaya, saya terbuka untuk pandangan ini dan kita harap ia dapat membolehkan atau meringankan lagi beban untuk (pengangkutan) first mile dan last mile.

    “Jadi, saya terbuka kalau ada permohonan, saya akan bincang dengan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan dan APAD untuk memberikan satu kelulusan secara prinsip untuk POC dulu,” kata beliau.

    Menteri pengangkutan terbuka dengan idea e-hailing motosikal – alu-alukan sebarang operator untuk POC

    Anthony turut berkongsi pandangan bahawa budaya rakyat Malaysia tidak gemar menggunakan e-hailing motosikal, namun tidak menolak bahawa pandangan beliau itu adalah salah. Disebabkan itu, beliau terbuka untuk menerima sebarang cadangan daripada mana-mana pengendali.

    E-hailing motosikal ini sebenarnya sudah pernah dibuat di Malaysia sebagai satu projek rintis bermula pada tahun 2019 dan diikuti oleh pelancaran GrabBike dan Dego Ride pada bulan Januari 2020. Pada waktu itu ia hanya terbuka untuk kawasan sekitar KLCC, Bukit Bintang, Pudu dan Chow Kit.

    Pelaksanaan e-hailing motosikal ini bagaimanapun mendapat tentangan daripada banyak pihak dan akhirnya pada tahun 2021 kelulusan untuknya ditarik balik oleh kerajaan.

     
     
  • Pelaksanaan sistem MLFF bukan suatu proses yang mudah, ada konsesi yang tak setuju – Menteri KKR

    Pelaksanaan sistem MLFF bukan suatu proses yang mudah, ada konsesi yang tak setuju – Menteri KKR

    Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengakui bukan mudah untuk melaksanakan sistem pembayaran tol Aliran Pantas Pelbagai Lorong atau Multi Lane Fast Flow (MLFF) kerana terdapat isu yang dibangkitkan oleh syarikat konsesi lebuhraya sehingga ada yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan sistem tersebut.

    Walau bagaimana pun, katanya, tidak timbul pelaksanaan MLFF dipolitikkan atau dipolemikkan sebaliknya beliau mengakui prosesnya agak sukar. Justeru, pihaknya perlu mendengar segala pandangan termasuk keluh kesah syarikat konsesi bagi mencari penyelesaian tuntas, laporan Berita Harian.

    “Di negara kita agak kompleks berbanding negara lain.. Mengapa? Ini kerana 33 lebuh raya yang kita ada kebanyakan, majoritinya dibangunkan pemaju dan mereka ini mendapat dana kewangan dari swasta. Mereka sendiri membayar sebab itu mereka diberi kuasa mengutip tol supaya dapat memulangkan balik pelaburan mereka.

    Pelaksanaan sistem MLFF bukan suatu proses yang mudah, ada konsesi yang tak setuju – Menteri KKR

    “Mereka ini masing-masing ada perjanjian untuk mengutip tol dan sebagainya. Konsep MLFF ini perlu menggabungkan mereka agar bersetuju untuk berada dalam satu lagi konsesi yang mengutip tol bagi pihak mereka. Di sini tidak ada persetujuan pandangan mereka. Kita kena dengar (permasalahan syarikat konsesi lebuhraya) kerana mereka ada komitmen masing-masing dan mereka sudah tandatangani perjanjian masing-masing. Mereka ini diberi kuasa untuk mengutip tol,” katanya.

    Tambahnya, apabila ada syarikat konsesi yang tidak bersetuju, bagaimana pihak kerajaan hendak meletakkan mereka ini dalam satu kumpulan (konsesi baharu) untuk diselaraskan dengan satu syarikat tol seperti yang dilaksanakan di negara lain. Oleh sebab itu, proses tersebut menjadi agak rumit kerana pendekatan praktikal menjadikannya ia agak sukar diselesaikan.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengakui Malaysia agak lewat melaksanakan MLFF jika dibandingkan dengan negara lain. Katanya, di negara lain, pelaksanaan sistem berkenaan cepat kerana majoriti pegangan ekuiti lebuhraya adalah dimiliki kerajaan sekali gus kerajaan lebih mudah mengarahkan syarikat konsesi berkenaan melaksanakan MLFF.

    Pelaksanaan sistem MLFF bukan suatu proses yang mudah, ada konsesi yang tak setuju – Menteri KKR

    “Tetapi di negara kita, take off (pelaksanaan) kita agak lewat, lambat kerana pada mulanya kita difahamkan… mana-mana pihak tidak berapa yakin dan berminat. Selepas itu, ada sebuah syarikat dalam dua tahun lebih (yang lalu) kemukakan cadangan di mana kerajaan ada tandatangan. Akhirnya dikemukakan Proof of Concept (POC) untuk dipertimbangkan.

    “Oleh kerana perjanjian itu sampai bulan 12 ini, kita di peringkat kerajaan, kita biarkan dulu sehingga apabila kontrak ini tamat, perlulah kita nak lihat bagaimana kita nak perhalusi apa pun idea-idea yang lebih baik, apa idea-idea atau pun kaedah yang kerajaan atau Kementerian Kerja Raya (KKR) hendak melaksanakan MLFF ini tanpa ada masalah. Kita tak nak pengguna jalan raya akhirnya berdepan masalah,” katanya.

    Baru-baru ini, Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, terdapat 13 daripada 33 syarikat konsesi lebuh raya belum menyatakan persetujuan mengenai pelaksanaan MLFF. Katamya, buat masa ini, rundingan masih lagi berlangsung dengan semua syarikat konsesi dan keputusan mengenai penggunaan MLFF dijangka dimuktamadkan pada 16 Disember ini.

     
     
  • Bentley Bentayga Umbra di Malaysia – model edisi terhad 10 unit di seluruh dunia, harga RM3.68 juta

    Bentley Bentayga Umbra di Malaysia – model edisi terhad 10 unit di seluruh dunia, harga RM3.68 juta

    Model yang anda lihat dalam gambar ini adalah Bentley Bentayga Umbra, sebuah model istimewa yang mendapat sentuhan daripada cabang ubah suai khas Bentley, iaitu Mulliner dengan hanya ada 10 unit sahaja untuk satu dunia. Unit yang kini berada di Bentley Kuala Lumpur ini adalah satu daripada enam yang berada di Asia Pasifik dan dijual pada harga RM3,677,500 termasuk cukai (tanpa insurans).

    Menurut Bentley, umbra membawa maksud bahagian gelap pada bayang-bayang, di mana semua cahaya terhalang. Namun begitu, Bentayga Umbra ini tidak menggunakan cat hitam keterlaluan seperti Vantablack dan bentuk badannya masih boleh terlihat seperti kereta biasa.

    Badan Bentayga Umbra yang berwarna Hallmark (kelabu) ini dipasang dengan kemasan Blackline Specification (standard pada versi S), yang bermakna semua bahagian krom ditukar kepada hitam berkilat kecuali logo Flying B di depan dan belakangnya. Satu perincian yang mungkin boleh terlepas pandang, bamparnya dicat hitam Beluga di bahagian tengah dan bertukar kepada kelabu di bahagian tepi.

    Bentley Bentayga Umbra di Malaysia – model edisi terhad 10 unit di seluruh dunia, harga RM3.68 juta

    Memberi kontras kepada warna gelap ini adalah garis-garis kuning Cyber Yellow yang dibuat pada bahagian rim, kit badan gentian karbon, sayap belakang serta pelindung cermin sisi. Untuk rim itu, ia datang dengan lencana yang boleh nampak rata sepanjang masa.

    Bahagian dalam Bentayga Umbra ini juga digunakan oleh Mulliner untuk menunjukkan kemampuan mereka. Balutan kulit di merata bahagian kereta ini menggunakan gabungan Porpoise dan Beluga, sementara konsep pertukaran warna pada bampar hadapan juga digunakan pada kawasan tertentu di dalam, tetapi melibatkan pertukaran corak. Turut digunakan adalah kemasan gentian karbon.

    Sama seperti luar, warna kuning Cyber Yellow digunakan sebagai penyeri pada bahagian seperti lencana di tempat duduk, panel pintu dan alas kaki. Sebagai tanda ini adalah model keluaran terhad, plet tertulis ‘Umbra, a Mulliner exclusive’ diletakkan di tepi pintu.

    Di sebalik badannya tiada perubahan yang dibuat, dan menggunakan asas daripada varian sport Bentayga S. SUV ini mempunyai pengendalian yang lebih baik hasil daripada suspensi udara 15% lebih keras, serta sistem kawalan anti-roll elektronik 48V Bentley Dynamic Ride. Turut dilaras adalah sistem kawalan stabiliti serta pembahagian tork breknya.

    Di bawah hud model ini terdapat enjin V8 4.0 liter biturbo yang mampu menghasilkan 550 PS dan 770 Nm tork dari 2,000 ke 4,500 rpm, untuk dihantar kepada keempat-empat tayar melalui transmisi automatik lapan kelajuan. Pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa 4.5 saat dan sistem ekzos sport diberikan secara standard.

     
     
  • BMW & Electronic Arts bina kereta sebenar BMW M3 GTR dari permainan Need For Speed: Most Wanted

    BMW & Electronic Arts bina kereta sebenar BMW M3 GTR dari permainan Need For Speed: Most Wanted

    Ketika permainan video Need For Speed: Most Wanted keluar dalam pasaran, penulis ketika itu masih lagi bergelar pelajar. Most Wanted masih lagi berkisar perlumbaan jalanan dan ubahsuai kenderaan seperti Need For Speed Underground dan Underground 2 sebelum itu, namun debaran adrenalin untuk permainan video ini ditambah lagi dengan aksi lari dari pihak polis.

    Sedar tak sedar, sudah hampir 20 tahun sebenarnya selepas permainan ini diperkenalkan. Dan bagi meraikan ulangtahun ke-30 francais permainan Need For Speed ini yang sebenarnya sudah bermula sejak 1994, penerbit permainan tersebut iaitu Electronic Arts bersama BMW telah menghasilkan kereta BMW M3 GT-R yang muncul dalam Need For Speed: Most Wanted.

    Dan lebih istimewa, bagi menghasilkan kereta tersebut BMW menggunakan kereta lumba sebenar bernombor #42 BMW M3 GT-R pasukan BMW Motorsport yang berlumba dalam ALMS GT Series 2021 yang dipandu oleh Jörg Müller dan J.J. Lehto. Tidak sukar untuk mengubah kereta lumba ini menjadi watak dalam permainan video berkenaan, kerana kereta lumba tersebut sememangnya adalah inspirasi sebenar untuk M3 GTR dalam Need For Speed: Most Wanted.

    BMW & Electronic Arts bina kereta sebenar BMW M3 GTR dari permainan Need For Speed: Most Wanted

    Dengan kit badan lebar, sayap GT gergasi belakang dan set roda yang sama, bahagian luaran BMW M3 GTR ini hanya perlu balutan grafik badan perak biru yang sama seperti jentera imaginasi dalam permainan video tersebut, dan kerja-kerja ini dibuat oleh BMW Classic Group.

    Anda boleh melihat sendiri depan mata di mana kereta ini akan dipamerkan di BMW Welt, Munich, Jerman bermula hari ini, 27 November 2024 sehingga 6 Januari tahun hadapan.

    Berbanding BMW M3 biasa yang dijana oleh enjin 3.2 liter enam-silinder sebaris, jentera lumba M3 GTR ini dijana oleh enjin P60B40 4.0 liter V8 NA bagi membolehkan ia bertanding dengan jentera seperti Porsche dan Chevrolet dalam siri perlumbaan American GT dan Le Mans.

    Namun bagi memenuhi syarat homologasi yang ditetapkan, BMW turut menghasilkan sebanyak 10-unit M3 dengan enjin P60B40 tersebut dalam versi produksi jalan raya digelar sebagai M3 GTR Strassenversion (atau Street Version). Ini menjadikan M3 GTR Strassenversion berkenaan sebagai model paling rare pernah dihasilkan oleh BMW. Manakala kereta lumba sebenar berkenaan tidak lagi berlumba selepas 2002 kerana syarat homologasi produksi jalan raya dinaikkan dari 10 unit kepada 100 unit.

    Selain dari Need for Speed Most Wanted, BMW M3 GTR ini turut pernah ditampilkan dalam beberapa siri Need for Speed yang lain. Terbaharu ia turut disediakan dalam Need for Speed Unbound (diperkenal buat pertama kali pada 2022) menerusi kemaskini atas talian terbaharu Volume 9: Lockdown yang sudah boleh dibuat bermula hari ini.

     
     
  • Kelantan sedang dilanda banjir besar, melibatkan 9,868 penduduk – sila berwaspada, rancang perjalanan anda

    Kelantan sedang dilanda banjir besar, melibatkan 9,868 penduduk – sila berwaspada, rancang perjalanan anda

    Banjir besar sedang melanda sembilan daerah di Kelantan menyebabkan 9,868 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 3 petang hari ini, menurut laporan Berita Harian. Pasir Mas mencatatkan jumlah pemindahan tertinggi iaitu 2,290 orang, diikuti Pasir Puteh (1,605), Kota Bharu (1,570), Kuala Krai (1,347), Tanah Merah (815), Tumpat (691), Bachok (600), Jeli (544) dan Machang (406).

    Video dan gambar yang dikongsi di media sosial menunjukkan paras air meningkat kepada tanda berbahaya di banyak kawasan di negeri ini. Rantau Panjang dikatakan hampir “lumpuh” kerana jalan masuk utamanya ditenggelami air, dengan hanya kenderaan berat yang boleh melalui kawasan itu.

    Dilaporkan, antara jalan yang ditutup untuk semua kenderaan ialah Jalan Bukit Panau-Bendang Nyior di Tanah Merah, kebanyakan jalan-jalan utama di Pasir Mas, dan di Machang pula melibatkan Jalan Pulai Chondong-Kemubu, Jalan Machang-Pangkal Petai-Wakaf Bata-Kg. Cina dan Sg. Mati-Kerawang.

    Kelantan sedang dilanda banjir besar, melibatkan 9,868 penduduk – sila berwaspada, rancang perjalanan anda

    Dalam keadaan cuaca tidak menentu begini, elok rancang perjalanan anda dan peka terhadap laporan perubahan cuaca dari semasa ke semasa. Untuk pemilik kenderaan, jangan lupa mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan anda rosak akibat banjir.

    Jika tiada keperluan, tangguhkan dahulu perjalanan anda dan tunggu sehingga hujan reda dan keadaan bertambah baik sebelum memulakan perjalanan. Elak dari meredah air banjir yang kita tidak tahu kedalamannya dan dibimbangi kenderaan akan hanyut dibawa arus yang pastinya mendatangkan risiko buat anda. Jika kediaman atau kawasan anda dinaiki air, bertindak pantas mengalihkan kenderaan anda ke kawasan yang lebih selamat.

     
     
  • Harga minyak 28 Nov-4 Dis – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 28 Nov-4 Dis – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel untuk tempoh 28 November hingga 4 Disember 2024, iaitu sama seperti minggu sebelum ini.

    Ini bermakna petrol RON 97 masih berharga RM3.19 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Menerusi perbentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan pertama Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penyasaran subsidi bagi petrol RON95 akan diumumkan pada pertengahan tahun hadapan. Buat masa ini, tiada lagi tarikh ditetapkan, dan bagaimana ia akan dilaksanakan, namun Anwar memberitahu penyasaran subsidi ini hanya akan melibatkan golongan ‘mahakaya’ dan tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.

     
     
  • NGO kini kurang tampal jalan kerana syarikat konsesi lebih pantas, selesaikan dalam 24 jam – Ahmad Maslan

    NGO kini kurang tampal jalan kerana syarikat konsesi lebih pantas, selesaikan dalam 24 jam – Ahmad Maslan

    Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan menyatakan bahawa kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menampal jalan rosak dilihat semakin berkurangan, kerana syarikat konsesi yang dipertanggungjawabkan untuk membuat kerja tersebut kini lebih pantas dengan menjalankannya dalam tempoh 24 jam.

    Dalam laporan Berita Harian, Ahmad mengakui bahawa pihaknya sukar untuk menghalang kegiatan NGO untuk menampal jalan rosak di negara ini.

    “Bagaimanapun, harapan kami penampalan itu dibuat oleh mereka yang pakar penampalan jalan ini.

    “Tidak semua orang pakar untuk tampal jalan berlubang. Kita bagi konsesi yang berkaitan untuk menampal supaya lubang itu ditampal dengan baik,” katanya selepas merasmikan Hari Keselamatan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di Petaling Jaya semalam.

     
     
  • Nissan dalam krisis kewangan, mungkin hanya boleh bertahan 12-14 bulan; pelabur yang stabil diperlukan

    Nissan dalam krisis kewangan, mungkin hanya boleh bertahan 12-14 bulan; pelabur yang stabil diperlukan

    Pelbagai berita berkenaan Nissan kita dengar kebelakangan ini. Jenama automotif Jepun itu dilaporkan mahu mengurangkan sehingga 9,000 pekerjanya di seluruh dunia bagi membolehkan ia bertahan dalam situasi krisis kewangan yang dihadapi sekarang. Dan berita terbaharu yang dilaporkan oleh Financial Times menggambarkan bahawa Nissan mungkin hanya boleh bertahan sekitar setahun sebelum ia sekali lagi berhadapan dengan kemuflisan.

    “Kami hanya ada masa sekitar 12 atau 14 bulan untuk bertahan,” kata seorang pegawai kanan yang rapat dengan Nissan. Satu lagi sumber pula mengatakan Nissan memerlukan “pemegang saham jangka masa panjang dan stabil seperti bank atau kumpulan insuran” bagi menggantikan beberapa pegangan saham Renault, dan ia kini sedang memuktamadkan kerjasama pembangunan kenderaan elektrik (EV) baharu bersama Honda yang telah ditandatangani Mac lalu.

    Nissan juga dilaporkan telah membuat perbincangan untuk kerjasama lanjut dengan Honda berkenaan EV dan juga kenderaan yang ditakrif perisian (SDV) bagi menghadapi persaingan yang lebih sengit dengan jenama-jenama automotif China, dan juga untuk menghadapi situasi yang tidak menentu selepas Donald Trump dilantik semula menjadi presiden Amerika Syarikat.

    Nissan turut tidak menolak sekiranya Honda mahu membeli sebahagian pegangan sahamnya, dengan memberikan “semua pilihan” bagi menyelesaikan masalah kejatuhan jualan di China dan Amerika Syarikat. Juga sumber Financial Times yang rapat dengan Renault memberitahu bahawa sekutu dalam Pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi tersebut itu turut sanggup menjual sahamnya dalam Nissan kepada Honda bagi menstrukturkan kembali pakatan berkenaan.

    Nissan dalam krisis kewangan, mungkin hanya boleh bertahan 12-14 bulan; pelabur yang stabil diperlukan

    Walau bagaimanapun kedua-dua pihak Nissan dan Honda menjelaskan bahawa kemungkinan untuk penggabungan modal tersebut adalah kecil selepas kerjasama SDV diumumkan pada Ogos lalu. Manakala salah satu sumber Financial Times menyebut Honda hanya akan membeli saham Nissan sebagai “langkah terakhir”.

    Kedua-dua syarikat itu juga enggan mengulas apabila dihubungi oleh Financial Times, namun Nissan ada menjelaskan: “Perkongsian dengan Honda secara strategik sangat penting, dan kami berharap dapat mempercepatkan realisasi hasil aktiviti kami melalui kemajuan biasa di peringkat pengurusan kedua-dua syarikat. ”

    Nissan dilaporkan rugi sebanyak 9 bilion yen (RM262 million) di mana ia perlu mengurangkan kos produksi globalnya sebanyak 20%, termasuk perlu membuang sejumlah 9,000 pekerja. Syarikat itu juga mengakui ia tidak menjangkakan permintaan terhadap model-model hibrid yang semakin meningkat di Amerika Syarikat, dan ia kini sedang merancang pelancaran-pelancaran model penting untuk beberapa bulan dan tahun akan datang.

    “Ini merupakan sesuatu yang sukar. Dan akhirnya, kami perlukan Jepun dan Amerika Syarikat untuk menjana wang tunai, kata pegawai kanan yang menjadi sumber Financial Times itu lagi. Renault telah mengurangkan pegangan sahamnya dalam Nissan tahun lalu ketika konflik perbalahan mengenai pegangan saham dan hak mengundi yang tidak sama rata – syarikat itu memegang 43% dalam Nissan manakala Nissan hanya memiliki 15% saham dalam Renault dan tidak mempunyai hak mengundi.

    Nissan dalam krisis kewangan, mungkin hanya boleh bertahan 12-14 bulan; pelabur yang stabil diperlukan

    Penstrukturan semula modal mengurangkan pegangan Renault dalam Nissan kepada hanya di bawah 36%, dan ia terus berkurangan; Nissan juga mendapat hak mengundi untuk kepentingannya dalam Renault. Nissan juga memegang 34% kepentingan dalam Mitsubishi – yang turut terlibat dalam perkongsian dengan Honda – tetapi merancang untuk melepaskan sehingga 10% sebagai sebahagian daripada langkah pemulihan kecemasannya.

    Renault tidak terlibat secara terus dalam rundingan bersama Nissan dan Honda, tetapi sumber memberitahu ia mungkin terbuka untuk menyertainya bagi menghadapi persaingan sengit dari jenama-jenama China. Renault menafikan sebarang perbincangan dalam kenyataan yang dikeluarkan, namun, ia cuma menyebut bahawa pihaknya hanya akan memberikan sokongan sekiranya ada “potensi menang-menang antara Nissan dan Honda.”

    Sumber itu juga menyatakan bahawa hasil perkongsian Nissan-Honda akan membuktikan bagaimana syarikat yang lebih kecil dapat mewujudkan teknologi dan perkongsian serantau yang boleh bertahan dalam pergolakan industri, berbanding penggabungan besar-besaran seperti Stellantis.

    Nissan dalam krisis kewangan, mungkin hanya boleh bertahan 12-14 bulan; pelabur yang stabil diperlukan

    “Adakah lebih besar benar-benar lebih baik? Atau adakah model perkongsian lebih baik?” soal pegawai kanan itu, sambil menambah bahawa mengejar skala akan membawa kepada ketidakcekapan selepas masa-masa tertentu.

    Perkongsian antara keempat-empat syarikat adalah lebih masuk akal, kata sumber itu. Walaupun Honda dan Nissan kedua-duanya memberi tumpuan kepada pasaran utama China, AS dan Jepun, penyertaan Renault akan membawa wakil Eropah ke dalam kerjasama itu, manakala kedua-dua Renault dan Honda tertarik dengan kekuatan Mitsubishi di Asia Tenggara dan teknologi hibrid plug-in milik jenama itu.

    Untuk Mitsubishi, ia menjelaskan “kami sedang meneroka semua kemungkinan dan tidak sabar-sabar untuk bekerjasama dalam bidang di mana kami boleh memanfaatkan kekuatan kami,” tetapi menambah bahawa tiada apa yang telah dimuktamadkan setakat ini.

     
     
  • Suzuki V-Strom 160 diperkenal – enjin satu silinder 162 cc 14.8 hp, suspensi Kayaba, ABS dual-channel

    Suzuki V-Strom 160 diperkenal – enjin satu silinder 162 cc 14.8 hp, suspensi Kayaba, ABS dual-channel

    Ahli keluarga model V-Strom bertambah lagi apabila Suzuki memperkenalkan V-Strom 160 di Colombia. Ia kini menyertai barisan model touring V-Strom lain seperti V-Strom 250SX, V-Strom 800 dan V-Strom 1050 yang berada dalam pasaran sekarang.

    Kemunculan V-Strom 160 ini bagaimanapun membawa naik sekali nama Haojue DL160 dari China yang nampak mirip dari segenap bahagian termasuk enjin. Untuk mencari beza antara dua model ini tidak mudah, ataupun memang tiada selain warna.

    Datang dengan spesifikasi ringkas, V-Strom 160 dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan udara 162 cc, bersama transmisi lima kelajuan, mampu menghasilkan 14.8 hp pada 8,000 rpm dan tork 14 Nm pada 6,500 rpm.

    Model ini ditunjukkan lebih kepada penggunaan atas jalan biasa dengan tugas seperti touring dan harian, bersesuaian dengan kelengkapan seperti rim aluminium 17 inci, suspensi Kayaba dengan hanya pelarasan pra beban di belakang serta tetapan brek cakera hadapan dan belakang, dengan sistem ABS dual-channel.

    Walaubagaimanapun, dengan jarak dari tanah 160 mm dan berat keseluruhan 148 kg, ia mungkin boleh dibawa meneroka jalan offroad ringan. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 13 liter, meter digital serta soket pengecas USB.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025