Nissan GT-R50 Italdesign versi produksi didedahkan

Nissan GT-R50 Italdesign versi produksi didedahkan

Nissan GT-R50 iaitu sebuah R35 yang mendapat sentuhan istimewa firma rekaan Itali, Italdesign sepatutnya dipertontonkan kepada umum sewaktu Geneva Motor Show Mac lalu, tapi disebabkan pandemik Covid-19 ia telah dibatalkan. Sekarang, gambar versi produksi bagi model yang dijual pada harga 990,000 euro (RM4.7 juta) ini telah didedah dan proses pengeluaran juga sudah bermula.

Model ini akan dikeluarkan terhad sebanyak 50 unit sahaja, dan ia menggunakan casis serta enjin VR38DETT 3.8 liter V6 turbo berkembar sama seperti R35 Nismo 2018. Walaubagaimanapun, beberapa bahagian telah dipertingkat untuk menjadikan kuasanya 720 PS dan tork maksima 780 Nm.

Antara bahagian yang menyumbang kepada peningkatan kuasa ini adalah pengecas turbo spesifikasi GT3 bersama intercooler yang lebih besar, crankshaft, piston, connecting rod dan bearing yang lebih tahan lasak, profil camshaft yang lebih agresif, serta sistem kemasukan udara dan ekzos yang dirombak semula.

Nissan GT-R50 Italdesign versi produksi didedahkan

Kuasa yang lebih besar ini akan dibantu oleh sistem suspensi dengan penyerap boleh laras Bilstein DampTronic I, bersama sistem brek enam piston di depan dan empat piston di belakang berwarna merah dari Brembo. Bagi memastikan kereta ini sentiasa melekat pada permukaan aspal, rim-rim rekaan istimewa 21-inci pada kereta ini dibalut dengan tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35R21 di hadapan dan 285/30R21 di belakang.

Untuk bahagian luaran pula, boleh dikatakan keseluruhan komponen badan telah menerima rekaan semula oleh Italdesign. Bahagian bukaan udara hadapan adalah rekaan baru sementara lampu hadapan LED lebih nipis dipanjangkan. Dari sisi, anda boleh lihat bayangan badan yang lebih agresif dari GT-R standard kerana ia telah direndahkan sebanyak 54 mm.

Perubahan lebih ekstrem dapat dilihat pada bahagian belakang. Bahagian cermin belakang diberikan tingkap berbentuk-V yang lebih kecil, manakala panel sekelilingnya pula direka seakan untuk mengalirkan udara terus kebahagian but serta turut direka lebih rendah.

Nissan GT-R50 Italdesign versi produksi didedahkan

Lampu belakang dengan rekaan dua-bulat signatur GT-R bersama emblem masih lagi kekal, tetapi ia kelihatan seperti terapung kerana bahagian lain yang telah direndahkan. Versi istimewa ini juga dibekalkan dengan spoiler belakang boleh laras di mana sayap belakang tersebut boleh dinaikkan atau disorokkan, dikawal secara elektrohidraulik.

Kabin Nissan GT-R50 ini turut berbeza dari R35 biasa, menampilkan papan pemuka yang direka semula serta menampilkan banyak komponen dibuat daripada gentian karbon, serta balutan Alcantara dan kulit untuk tempat duduk. Secara keseluruhan, kabin jentera ini menerapkan rekaan seperti kereta lumba sebenar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required