TAS2020: Liberty Walk Nissan Skyline R34 Super Silhouette – jelmaan semula R30 Masahiro Hasemi

TAS2020: Liberty Walk Nissan Skyline R34 Super Silhouette – jelmaan semula R30 Masahiro Hasemi

Setiap tahun Liberty Walk akan hadir ke Tokyo Auto Salon (TAS) dengan sama ada Supercar dan kereta sport terkini Jepun yang diberikan kit badan super lebar serta suspensi ultra rendah, atau kereta-kereta klasik JDM dari era 70’an yang diberi penampilan Kyusha-kai dan Bosozoku – apa yang akan dilakukan, semuanya hampir boleh di agak.

Tetapi dalam TAS tahun ini, Liberty Walk nampaknya hadir dengan idea yang sangat segar dan tak terfikir lagi oleh mana-mana badan penala atau bengkel custom – mereka datang dengan sebuah Nissan Skyline R34 yang diberi imej seakan jentera lumba ikonik Nissan Skyline R30 Super Silhouette Group 5 yang dipandu lagenda Nissan, Masahiro Hasemi ketika era Japan GP 80’an dahulu!

Sebelum bercerita berkenaan R34 Liberty Walk ini, saya rasa elok kita bercerita sedikit berkenaan Skyline R30 asal. Jentera tersebut dihasilkan oleh Hasemi Motorsport, diasaskan dari model produksi Skyline generasi keenam (bukan GT-R dan dikira sejak Prince Skyline ALSI). Di bina untuk perlumbaan Japan Grand Prix, bermaksud ia perlu berlandaskan undang-undang FIA Group 5 yang membenarkan ia menerima ubahsuai yang sangat besar.

TAS2020: Liberty Walk Nissan Skyline R34 Super Silhouette – jelmaan semula R30 Masahiro Hasemi

Kereta tersebut diberikan kelengkapan aerodinamik Super Silhouette yang sangat ekstrem terdiri spoiler hadapan dan belakang yang sangat besar, dan juga bahagian sisi badan yang sangat lebar – kereta-kereta dari perlumbaan Super Silhouette inilah yang menjadi inspirasi kepada geng-geng Bosozoku di Jepun. R31 tersebut juga menerima livery ikonik Tomica dengan warna merah di atas dan hitam di bawah badan.

Super Silhouette asli tersebut dijana oleh enjin LZ20B 2.0 liter empat sebaris turbo yang mampu menghasilkan lebih 570 PS dan tork setinggi 540 Nm. Masahiro Hasemi memandu kereta berkenaan pada Japan GP untuk musim 1982 dengan dua kemenangan dan juga musim 1983 dengan lima kemenangan.

Okeh, sekarang kita mulakan pula dengan R34 Liberty Walk ini. Ia diasaskan dari Skyline R34 BUKAN DARI VERSI GT-R sebenar. Kenapa Liberty Walk menggunakan asas ini? Sekejap lagi anda akan tahu, dan baca artikel ini dengan penuh kesabaran.

Seperti jentera Super Silhouette sebenar, R34 ini diberikan overfender berkotak pada semua ruang roda. Spoiler ‘penyodok’ di hadapan dan spoiler gergasi di belakang turut diberikan. Bagi menjadikan ia lebih mirip, Liberty Walk juga meniru bahagian bonet penutup enjin dengan liang yang sama, lengkap dengan sepasang sirip menegak pada kedua-dua hujung sisi.

Berbanding R30 Super Silhouette asli yang diberikan rim turbin rekaan SSR, R34 Liberty Walk ini hadir dengan rim perlumbaan Advan Racing GT 18-inci, dibalut dengan tayar perlumbaan sebenar Yokohama Advan. Seperti kereta-kereta Liberty Walk lain, sebahagian sebelah atas tayar tersebut wajib tenggelam di dalam fender.

Kabin R34 ini pula dihasilkan dengan formula mudah – ia ditogelkan, kemudian diberikan set roll cage penuh bersama sepasang tempat duduk bucket pelumbaan Bride bagi memberikan rupa seakan kereta lumba sebenar.

Cukup terkejut dengan rupa R34 ini? Tunggu dulu, ada satu lagi kejutan yang diberikan oleh Liberty Walk pada kereta ini iaitu enjin – ia tidak dijana oleh enjin RB26, RB25 mahupun pun RB20, sebaliknya LBWK memilih enjin ‘purba’ enam silinder Nissan dari siri-L yang terdapat dalam perut kereta-kereta klasik Nissan seperti Cedric, Gloria dan Fairlady pada era 70’an!

Atau secara spesifik, enjin tersebut adalah dari versi L28 iaitu varian 2.8 liter yang boleh dijumpai pada model seperti Nissan Laurel dan 280ZX. Ini lah sebab mengapa model GT-R tidak dipilih; enjin RB26 dan sistem pacuan semua roda tidak diperlukan dalam ubahsuai ini.

Enjin tersebut juga tidak dibiar standard. LB Performance melakukan ubasuai yang biasa dilakukan terhadap enjin L-series 2.8 liter ini, antaranya kapasitinya ditingkatkan hingga 3.1 liter, kepala enjin diubahsuai dengan penggunaan komponen seperti aci sesondol berdurasi lebih tinggi, serta dipadankan dengan karburator perlumbaan jenis side draf.

Ok, sekarang kita teka pula untuk TAS tahun depan, adakah penala lain atau LBWK sendiri akan membina pula sebuah Nissan Silvia S15 berdasarkan Super Silhouette Racer Nissan Gazelle S110/Silvia S12 pula?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required