Perodua secara rasminya telah pun melancarkan model Aruz 2021 awal bulan ini. Ia diberikan beberapa peningkatan dan pembaharuan termasuklah warna baharu, namun harganya masih dikekalkan. Dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun ini, Aruz X ditawarkan pada harga atas jalan RM68,526 tanpa insurans, sementara varian AV pula berharga RM73,226.

Warna baharu yang diperkenalkan pula ialah Passion Red, eksklusif untuk varian AV sahaja. Empat warna lain yang telah diperkenalkan terlebih dahulu termasuklah Granite Grey, Electric Blue, Glittering Silver dan Ivory White. Manakala warna Amazon Green yang dianggap sebagai ‘hero color’ sebelum ini telah pun dihentikan pada akhir tahun lalu.

Manakala kit baharu yang diberikan adalah untuk bahagian luaran, dan ada yang tidak kelihatan. Ciri baharu yang jelas ialah pemijak sisi, yang didatangkan secara standard untuk semua varian. Kemasan hitam digabungkan dengan lapisan badan Aruz, manakala lencana model ini dipaparkan di seksyen belakang.

Ciri baharu yang tidak kelihayan ialah pengunci pintu automatik, yang turut boleh berfungsi di atas kelajuan 20/kj. Mengenai pengunci pintu automatik ini, sistem tersebut turut mempunyai fungsi pembuka kunci automatik sekiranya berlaku kemalangan, dan ia didatangkan untuk kedua-dua varian X dan AV. Anda boleh lihat bagaimana ia berfungsi menerusi video di atas.

Enjin kekal sama menggunakan unit 2NR-VE 1.5 liter NA empat-silinder yang menghasilkan 102 PS pada 6,000 rpm dan 133 Nm tork pada 4,200 rpm. Enjin Dual VVT-i ini menghantar kuasanya melalui transmisi automatik empat-kelajuan dan memberikan bacaan penggunaan minyak 15.6 km/l (6.4 l/100 km) dengan sistem Eco Idle.

Pada Mac lalu, Perodua telah melancarkan SUV Ativa, di mana cirinya lebih berteknologi tinggi berbanding Aruz, namun saiznya sedikit kecil berbanding MPV tujuh-tempat duduk itu. Walau pun harganya tidak jauh beza, namun kedua-duanya pasti memiliki kelebihan yang tersendiri yang tidak perlu dibandingkan antara satu sama lain.

Jika anda tida memerlukan ruang, Ativa antara pilihan terbaik. Tetapi jika anda memerlukan ruang atau tempat duduk tambahan, mahu pun ruang kargo yang lebih luas apabila tempat duduk belakangnya dibaringkan, bolehlah memilih Aruz. Terpulanglah mengikut keperluan dan kehendak anda sendiri.