Ford Ranger MS-RT 2024 muncul di Eropah – enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

Ford Ranger MS-RT 2024 muncul di Eropah – enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

Badan penala rasmi kenderaan komersil Ford Eropah yang dikendalikan oleh Pasukan Rali Dunia Ford iaitu M-Sport Road Technology (MS-RT) telah pun memperkenalkan trak pikap Ford Ranger MS RT 2024. Menurut Ford, model talaan istimewa ini bukan sahaja menampilkan rupa lebih garang “dengan penggayaan maskulin diispirasikan dari sukan permotoran”, malah turut menerima peningkatan prestasi bagi menjadikan ia “sebuah trak jalan raya terhebat”.

Model istimewa ini dijana oleh enjin turbodiesel Ecoblue 3.0 liter V6 yang dikongsi dengan model Ranger Wildtrak dan Platinum pasaran Eropah, menghasilkan kuasa 240 PS dan tork maksima 600 Nm. Jadi model ini dibekalkan kuasa lebih rendah tetapi dengan tork lebih tinggi berbanding Ranger Raptor pasaran Eropah yang dijana enjin petrol turbo 3.0 liter V6, diberi talaan kuasa kuasa 288 PS dan tork maksima 491 Nm. Bagi yang belum mengetahui, Ranger Raptor V6 pasaran Eropah sememangnya menerima kuasa lebih rendah kerana kekangan undang-undang emisi di sana.

Enjin Ecoblue V6 berkenaan digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan dan juga sistem pacuan empat roda sepenuh masa e4WD baharu yang turut dikongsi bersama varian-varian Ranger yang lain. Tiada angka prestasi diumumkan, dan Ford hanya menyatakan Ranger MS RT ini masih mengekalkan kebolehan mengangkat beban seberat satu tan bersama kapasiti menunda 3,500 kg.

Ford Ranger MS-RT 2024 muncul di Eropah – enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

Untuk bahagian luaran, Ranger MS RT ini menerima rekaan yang didakwa diinspirasikan dari “jentera perlumbaan Ranger yang berlumba di Asia” – tidak dinyatakan dengan jelas perlumbaan yang mana, tetapi berkemungkinan jentera pasukan Ford Thailand yang berlumba dalam Super Pickup Thailand Super Series.

Tiada unsur off-road diberikan pada bahagian muka, tetapi ia direka lebih mirip seperti jentera litar di mana Ranger MS RT ini menampilkan gril hadapan sarang lebah, bampar hadapan lebih labuh yang direka bersama splitter pada liang ambilan udara setiap sisi.

Badan Ranger MS RT ini juga lebih lebar dari Ranger biasa menerusi keempat-empat fender yang sememangnya 82 mm lebih lebar dari Ranger biasa, bukan seperti trak pikap lain yang biasanya hanya ditambah dengan overfender. Ia juga nampak lebih rendah menerusi set skirt sisi yang tebal dan juga bampar belakang yang menerima kemasan diffuser pada bahagian bawah.

Manakala pada pintu tailgate bed belakang pula ditambah dengan ducktail spoiler bagi melengkapkan rupanya. Ford menyatakan rekaan kit pengayaan ini dioptimakan menerusi simulasi komputer bagi memberikan keseimbangan aerodinamik keseluruhan serta kestabilan kelajuan tinggi yang lebih baik.

Logo-logo MS RT dilekat pada gril hadapan dan pintu bed belakang, dan kemasan Agate Black diberikan pada penutup cermin sisi serta pembuka pintu. MS RT turut menawarkan opsyen Decal Pack yang akan memberikan pelekat grafik badan yang diinspirasikan dari kereta rali.

Bagi disesuaikan dengan kit badan yang lebih lebar dan labuh tersebut, Ranger MS RT menerima rim rekaan istimewa berdiameter 21-inci yang dibalut dengan tayar berprofil rendah bersaiz 175/45R21 – didakwa sebagai set roda paling besar pernah ditawarkan pada Ranger. Rim kemasan Diamond Cut tersebut juga membolehkan jarak trek roda Ranger MS RT ini 40 mm lebih lebar untuk setiap sisi, seterusnya memberikan cengkaman roda lebih baik serta kestabilan lebih tinggi.

Ford Ranger MS-RT 2024 muncul di Eropah – enjin turbodiesel V6 3.0L, 240 PS/600Nm, kit badan lebar

Ranger MS RT ini juga diberikan talaan suspensi unik di mana ia menampilkan penyerap hentak hadapan yang lebih keras, talaan semula dibuat pada suspensi belakang, serta badan yang kini 40 mm lebih rendah berbanding Ranger standard.

Ford menyatakan dengan talaan baharu ini, ia bukan sahaja memberikan rupa yang lebih agresif, pengendalian yang lebih tepat dan kestabilan ketika mengambil selekoh lebih baik, malah tahap keseimbangan antara keselesaan dan prestasi juga ditahap yang ideal. Walau bagaimanapun pilihan untuk tingkat taraf suspensi ini dijangka hanya ditawarkan bermula September 2024.

Pada bahagian dalaman pula Ranger MS RT ini menerima tempat duduk hadapan yang direka semula, didakwa menampilkan sokongan sisi yang lebih baik dan perehat belakang badan yang lebih selesa. Ia dibalut dengan dengan kulit sintetik mesra alam digandingkan bersama sued, menampilkan jahitan benang biru serta logo MS-RT.

Manakala pemandu pula menerima roda stereng MS RT bersama penunjuk kedudukan pukul 12 berwarna biru, dan masih diberikan fungsi pemanas. Sistem infotainmen Ford SYNC 4A dengan skrin sesentuh 12-inci dan sistem pendingin hawa automatik dua-zon merupakan antara perincian standard yang diberikan pada Ranger MS RT ini.

Bagi sistem keselamatan pula, trak pikap ini diberikan penderia parkir hadapan dan belakang, kamera undur, cruise control adaptif pintar dan juga pengehad kelajuan pintar.

“Jika Ranger Raptor merupakan trak pikap off-road terhebat, Ranger MS RT pula adalah trak jalan raya terhebat. Ia berlainan dari apa yang selalu kita tengok dalam segmen ini di Eropah, tetapi ia menampilkan dinamik pemanduan lebih seperti kereta dan kapasiti menunda dan mengangkut yang tidak berubah, kami percaya ia akan menawarkan pilihan baharu yang menarik pelanggan pikap,” kata Hans Schep, pengurus besar Ford Pro Eropah.

Lima warna badan ditawarkan ketika pelancaran model ini iaitu Conquer Grey, Frozen White, Metallic Moondust Silver, Metallic Carbonised Grey dan Metallic Agate Black. Namun bermula April nanti, satu lagi warna akan ditawarkan untuk Ranger ini iaitu MS RT Blue.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required