Toyota Hilux Hybrid 48V diperkenal – enjin diesel 2.8L turbo dapat tambahan kuasa motor 16 PS dan 65 Nm

Toyota Hilux Hybrid 48V diperkenal – enjin diesel 2.8L turbo dapat tambahan kuasa motor 16 PS dan 65 Nm

Toyota Hilux 2024 telah pun didedahkan, dan ia mendapat penggerak mild-hybrid yang terdiri daripada enjin diesel turbo 2.8 liter serta sistem hibrid ringkas 48 volt yang memberi tambahan 16 PS dan 65 Nm dengan starter generator yang mendapat kuasa daripada bateri lithium ion 48 volt. Enjin diesel itu sahaja mampu menghasilkan 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,800 rpm.

Menurut Toyota, bateri 48 volt itu mempunyai berat cuma 7.6 kg dan dicas semula melalui penjanaan semula kuasa semasa membrek, selain turut menyumbang kepada daya henti. Motor hibrid ringkas padanya direka untuk bertahan dengan kegunaan lasak, sesuai bagi kenderaan komersial dan dua tensioner tali sawat baru serta bahan yang lebih tahan digunakan untuk memperbaiki pemanduan dan mengurangkan bunyi – kata Toyota.

Selain daripada itu, Toyota juga mendakwa bahawa penambahan sistem hibrid ringkas pada Hilux ini menjadikan maklum balas pendikit lebih baik manakala penggunaan bahan api menjadi lebih cekap sehingga 5% berbanding model biasa yang menggunakan enjin diesel tanpa bantuan elektrik.

Toyota Hilux Hybrid 48V diperkenal – enjin diesel 2.8L turbo dapat tambahan kuasa motor 16 PS dan 65 Nm

Motor elektrik ini juga dapat membantu semasa pemanduan offroad, dengan memberikan pecutan yang lebih lancar manakala penjanaan semula kuasa brek menjadikan pemanduan turun bukit selamat, kata Toyota. Kadar rpm waktu melahu juga dapat diturunkan dari 720 rpm ke 600 rpm. Binaan kalis air yang dibuat pada bateri 48V dan converter DC-DC pada Hilux Hybrid ini membenarkan ia meredah air sehingga kedalaman 700 mm.

Masih sama seperti versi yang lain, Hilux Hybrid ini dibina atas kerangka body-on-frame, dan kemampuan mengangkat barangnya kekal 1,000 kg dan daya tarik adalah 3,500 kg. Kelegaan dari tanah bagi model hibrid double cab adalah 310 mm.

Sistem keselamatan yang datang dengan Hilux Hybrid terdiri daripada pakej Toyota Safety Sense, yang termasuk Pre-Collision System dengan kemampuan mengesan pejalan kaki di waktu malam, mengesan penunggang basikal di waktu siang serta mengesan kenderaan atau pejalan kaki yang datang dari simpang, seterusnya mengeluarkan bunyi amaran atau brek jika perlu.

Kemudiannya, Lane Departure Alert kini dapat mengesan bahagian tepi jalan, sebagai tambahan kepada garis jalan sahaja, manakala Adaptive Cruise Control dengan bantuan tanda jalan dapat membantu pemandu melaras kelajuan mengikut had dan memperlahankan kenderaan apabila menghampiri selekoh.

Untuk kelengkapan dalam kabin, Hilux Hybrid mendapat sistem Toyota Smart Connect yang menyediakan navigasi berasaskan cloud dengan kawalan suara untuk multimedia, pendingin hawa serta membuka/menutup kunci menggunakan aplikasi telefon. Skrin infotainmen lapan incinya boleh disambungkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Menurut Toyota, Hilux Hybrid ini akan mula memasuki pusat pameran di Eropah pertengahan tahun hadapan, manakala Australia pula separuh tahun pertama 2024 dan dijangka mendapat varian 4×4 SR5 dan Rouge Double Cab.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required