Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Toyota Corolla Cross Hybrid facelift kini sudah boleh ditempah di Malaysia – anggaran bermula RM140k

    Toyota Corolla Cross Hybrid facelift kini sudah boleh ditempah di Malaysia – anggaran bermula RM140k

    Toyota Corolla Cross HEV Premium facelift pasaran Thailand

    UMW Toyota Motor (UMWT) kini sudah mula mengambil tempahan untuk Toyota Corolla Cross facelift, dengan harga anggaran bermula RM140,000. Laman web rasmi Toyota Malaysia mengesahkan bahawa Corolla Cross facelift pasaran tempatan akan ditawarkan dalam dua varian iaitu Corolla Cross Hybrid Electric dan Corolla Cross HEV GR Sport.

    Ini bermakna untuk varian GR Sport ia turut akan menerima unit rangkaian kuasa hibrid elektrik, berbanding model sedia ada di Malaysia yang ditawarkan hanya dalam versi petrol penuh. Manakala bagi penyegaran rupa, model pasaran Malaysia ini adalah sama seperti versi facelift yang sudahpun dilancarkan di Thailand Februari lalu.

    Model kemaskini ini menerima rombakan rekaan pada bahagian muka dengan diberikan lampu hadapan LED-penuh baharu bersama gril atas yang lebih nipis. Manakala gril pada bahagian bampar kini direka tanpa bingkai dan menampilkan elemen sarang lebah.

    Toyota Corolla Cross HEV Premium facelift pasaran Thailand

    Tiada lagi imej bahagian kabin didedahkan, namun apa yang telah disahkan adalah pedal kaki untuk brek parkir akan digantikan dengan brek parkir elektronik yang lebih moden, serta memberikan fungsi brake hold automatik. Skrin sembilan-inci sebelum ini juga akan digantikan dengan skrin 10-inci yang lebih besar dan diberikan fungsi Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar.

    Perincian lain yang telah disahkan oleh UMWT untuk Corolla Cross facelift ini termasuk monitor pandangan 3D panaromik serta sistem telemetik kenderaan yang telah ditingkat taraf dengan fungsi penghidup enjin jarak jauh.

    Lima warna ditawarkan untuk Corolla Cross Hybrid Electric iaitu Celestite Grey Metallic, Red Mica Metallic, Silver Metallic, Platinum White Pearl dan warna baharu Dark Turquoise. Manakala bagi Corolla Cross HEV GR Sport pula, ia diberikan tiga warna duo tona iaitu Platinum White Pearl, Red Mica Metallic dan Dark Turquoise – semuanya digandingkan dengan bumbung hitam.

    Toyota Corolla Cross HEV GR Sport facelift pasaran Thailand

    Manakala pada bahagian dalaman, model GR Sport ini datang dengan upholsteri kulit hitam dan serlahan jahitan benang merah serta logo GR yang cop pada perehat kepala tempat duduk hadapan. Varian GR Sport ini bukan hadir dengan hanya gaya lebih garang, malah ia turut menawarkan set suspensi lebih keras dan juga set pendakap-pendakap casis bagi memberikan prestasi pengendalian yang lebih sporty.

    Tiada perincian unit rangkaian kuasa dinyatakan oleh Toyota Malaysia, namun dijangkakan ia terus dijana oleh sistem sama pada model sedia ada. Corolla Cross HEV digerakkan oleh enjin 1.8 liter Dual VVT-i NA empat silinder yang digandingkan dengan motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS untuk memacu roda hadapan.

    Namun UMWT ada mengesahkan bahawa kedua-dua varian ini akan menerima pelindungan waranti lima tahun tahun tanpa had perbatuan, dan juga waranti selama lapan-tahun tanpa had perbatuan untuk bateri hibrid, inverter dan juga unit kawalan komputer (ECU) pengurusan tenaga. Pembeli turut ditawarkan dengan perlindungan tambahan selama dua-tahun untuk sistem elektrifikasi tersebut dengan tambahan bayaran.


    GALERI: Toyota Corolla Cross HEV Premium facelift di BIMS 2024

    GALERI: Toyota Corolla Cross HEV GR Sport facelift di BIMS 2024

     
     
  • Honda Passport 2026 – SUV Honda terpaling off-road

    Honda Passport 2026 – SUV Honda terpaling off-road

    Sekarang ini makin banyak kenderaan yang membawa konsep lasak, dan begitu juga dengan Honda Passport generasi keempat 2026 ini. Ia akan mula dijual di Amerika Syarikat awal tahun depan, dengan ditawarkan dalam varian RTL, TrailSport dan TrailSport Elite, dan harga bermula sekitar USD40,000 (RM180k).

    Paling menonjol adalah Passport TrailSport. Menyertai Pilot TrailSport dan Ridgeline Trailsport, varian baru bagi Passport ini diangkat sebagai SUV Honda paling berkemampuan untuk offroad, datang dengan pacuan semua roda, suspensi yang ditala untuk bertahan dengan pemanduan offroad serta penampilan yang lebih gagah.

    Anda boleh melihat ia mempunyai fender lebih lebar, skid plate besi, cangkuk penarik kegunaan berat berwarna oren dan tayar all-terrain khas, sementara untuk suspensi ia dipasang dengan arm besi yang lebih kuat serta knuckle cast-iron.

    Penyerap jenis MacPherson di hadapan SUV ini telah ditala semula manakala suspensi multi-link belakang pula adalah serba baru. Honda menggembar-gemburkan kenderaan ini mempunyai jarak dari tanah yang lebih tinggi, sementara overhang hadapan pula lebih pendek untuk memberikan sudut condong hadapan lebih baik.

    Menggerakkan Passport 2026 adalah enjin V6 3.5 liter berkemampuan 285 hp dan tork 355 Nm, dihantar kepada semua tayar melalui transmisi automatik 10 kelajuan baru serta sistem i-VTM4 dengan torque vectoring. Di sebalik rim 18 inci dengan tayar 31 incinya, anda boleh melihat cakera brek hadapan bersaiz 350 mm, manakala keupayaan menariknya adalah 2,200 kg.

    Pada bahagian dalam, Passport baru ini mendapat ruang kaki yang lebih luas, ruang kargo lebih besar serta tambahan teknologi dalam keadaan standard, termasuk panel meter digital 10.2 inci serta skrin sesentuh 12.3 inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto di tengah. Turut disediakan adalah tempat duduk Body Stabilizing di hadapan, yang diberitahu dapat mengurangkan rasa penat sewaktu perjalanan panjang. Pakej Honda Sensing datang secara terus bersama lapan beg udara.

    Honda Passport 2026 – SUV Honda terpaling off-road

    TrailSport Elite juga mendapat sistem TrailWatch baru, yang menggunakan empat kamera di luar untuk menawarkan pandangan hadapan, belakang, tepi dan 360 darjah bersama grafik kedudukan tayar untuk membantu pemandu melihat keadaan jalan yang mencabar. Apabila memandu dalam mod Trail di bawah 24 km/j, kamera hadapan akan aktif secara sendiri.

    Untuk mereka yang suka dengan aksesori, Honda menawarkan pelbagai tambahan barang termasuk rim, scuff plate hadapan, plet stainless-steel, platform barangan atas bumbung, sistem simpanan barangan MOLLE serta rak barangan yang boleh ditukar kepada meja.

     
     
  • Mercedes-Benz StarFest – lebih 100 EV EQ untuk jualan di Naza World Automall, pelbagai tawaran khas

    Mercedes-Benz StarFest – lebih 100 EV EQ untuk jualan di Naza World Automall, pelbagai tawaran khas

    Jika mencari kenderaan elektrik premium, anda patut berkunjung ke Mercedes-Benz StarFest yang akan berlangsung hujung minggu ini, 15 ke 17 November di Naza Automall, Petaling Jaya, Selangor.

    Ada lebih 100 kenderaan elektrik bateri Mercedes-Benz EQ untuk dipilih di acara ini, dan pakej pembiayaan yang disediakan menawarkan bayaran semula serendah RM2,588 sebulan melalui Young Star Agility+. Pembeli EQ yang memilih pelan ini juga akan ditawarkan dengan kredit mengecas RM1,200 serta kredit Touch ‘n Go sehingga RM888.

    Turut ditawarkan adalah insurans kenderaan komprehensif sehingga RM4,500, serta Guaranteed Future Value untuk membantu berhadapan dengan penurunan harga. Memberi lebih fleksibiliti, pada akhir perjanjian pelanggan akan diberikan pilihan sama ada untuk melangsaikan bayaran, menyambung atau mengembalikan kenderaan.

    Tawaran yang diberikan tidak terhenti di situ. Jika membeli sekurang-kurangnya dua biji tayar, anda akan menerima baucar untuk pulangan tunai sehingga RM150 daripada Michelin. Jika berminat dengan pengecas kenderaan di rumah, MB Wallbox Showcase juga akan berada di lokasi acara, dan anda boleh membelinya di sana.

    Antara kereta yang tersedia untuk jualan adalah seperti EQA 250, EQB 350 4Matic, EQC 400 4Matic, EQE 350+ AMG Line, EQE 500 4Matic SUV AMG Line, EQS 500 4Matic Electric Art Line, EQS 580 4Matic SUV, EQS 450 serta model AMG seperti Mercedes-AMG EQE 53 4Matic+ dan Mercedes-AMG EQS 53 4Matic+.

    Ketahui selanjutnya berkenaan Mercedes-Benz StarFest di sini. Anda juga boleh menonton video di bawah, di mana Hafriz Shah membawa anda melihat keadaan di sana.

     
     
  • Lotus Cars Malaysia buka Lotus Store di P. Pinang

    Lotus Cars Malaysia buka Lotus Store di P. Pinang

    Lotus Car Malaysia selaku pengimport dan pengedar kenderaan jenama Lotus di Malaysia telah mengumumkan pembukaan cawangan jualannya di sini melalui pengenalan Lotus Store Pulau Pinang. Kemudahan baru yang terletak di No. 2A-01-02, Jalan Penang kini bersama dengan ruang pameran di Pavilion Damansara Height dan Glenmarie Kuala Lumpur untuk membawakan kehadiran jenama tersebut di negara ini.

    Pengunjung boleh melihat dari dekat model seperti Emira dan Eletre di lokasi berkenaan. Sama seperti cawangan lain, premis di Pulau Pinang ini mempunyai ruang konfigurator, yang membawakan persekitaran yang intim dan menyeluruh bagi pelanggan untuk membuat pilihan kustom terhadap kenderaan Lotus mereka.

    Ini merangkumi pilihan luaran kenderaan termasuk kemasan, warna badan, rim dan tayar, warna angkup brek dan spesifikasi brek. Kelengkapan ruang dalaman juga boleh dipilih, seperti material, tema, tali keledar, stereng dan kemasan gentian karbon serta pilihan pakej kelengkapan.

    Lotus Cars Malaysia buka Lotus Store di P. Pinang

    Barisan lengkap model Lotus kini ada ditawarkan di Malaysia, bermula dengan SUV prestasi elektrik Eletre dan Emeya hyper-GT elektrik dan varian paling asas, S dan R, serta model sport Emira dalam versi Emira First Edition, First Edition V6, Emira Turbo dan Emira Turbo SE.

    Pulau Pinang merupakan lokasi penting dan strategik untuk Lotus Cars Malaysia, dan kami sangat berbesar hati memperkenalkan kemudahan sepenuhnya ini pada 2024,” ujar Pengarah Eksekutif Lotus Car Malaysia, Mohamed Reza Abdul Mutalib.

    Lotus Store Penang dibuka dari Isnin hingga Sabtu dari jam 10 pagi hingga 7 malam, dan dari 10.30 pagi hingga 4.30 petang pada Ahad dan cuti umum.

     
     
  • 168 kes kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan direkodkan sepanjang Jan-Sept 2024

    168 kes kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan direkodkan sepanjang Jan-Sept 2024

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman memaklumkan, sejumlah 168 kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan perdagangan direkodkan bagi tempoh Januari hingga September 2024.

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Haji Hassan Basri, daripada jumlah itu, sebanyak 97 kes melibatkan kemalangan maut, 32 kes parah, manakala 16 kes melibatkan kenderaan perkhidmatan.

    “JSPT memandang serius berlakukan kes kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sehingga melibatkan kematian kepada pengguna jalan raya yang lain. Kami akan mempertingkatkan lagi penguatkuasaan terhadap semua kenderaan perdagangan yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya di seluruh negara.

    “JSPT tidak akan berkompromi dan bertindak tegas di dalam penguatkuasaan ini bagi menjamin keselamatan semua pengguna jalan raya. Semua tindakan penguatkuasaan akan diambil di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715),” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Tambahnya lagi, melalui pelaksanaan Op Perdagangan yang dilaksanakan di seluruh negara dari Januari hingga September 2024, JSPT telah mengeluarkan sejumlah 38,367 saman melibatkan kenderaan perdagangan menerusi 4,822 operasi, dan sebanyak 177 kenderaan telah disita.

    168 kes kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan direkodkan sepanjang Jan-Sept 2024

    Kesalahan utama yang direkodkan ialah membawa muatan merbahaya, tiada segitiga, tiada bunga tayar, lampu signal dan brek tidak berfungsi serta membawa muatan tidak kemas.

    “Lori kecil, treler dan lori kontena merupakan penyumbang tertinggi bagi kes kemalangan yang melibatkan kenderaan perdagangan sepanjang tempoh yang dinyatakan. Bagi mengelak dan mengurangkan kemalangan ini berlaku, jabatan ini menyeru pengusaha-pengusaha dan majikan kenderaan perdagangan melaksanakan tapisan terperinci di peringkat dalaman yang merangkumi beberapa perkara.

    “Ini termasuk tahap kesihatan pemandu daripada kesiapsiagaan dan kemahiran pemanduan, penyelenggaraan berkala dipatuhi dan dilaksanakan tanpa gagal serta pemeriksaan kenderaan dipatuhi sepenuhnya dan layak dipandu di jalan raya,” katanya lagi.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menggesa semua pengguna agar mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta amalkan pemanduan secara berhemah demi keselamatan diri dan orang ramai.

     
     
  • Carro AutoFair 2024 — diskaun sehingga RM10k bagi kereta terpakai berkualiti; jaminan dan servis 2-tahun

    Carro AutoFair 2024 — diskaun sehingga RM10k bagi kereta terpakai berkualiti; jaminan dan servis 2-tahun

    Ingin mencari sebuah kereta terpakai dengan harga yang berpatutan untuk tahun baru? Carro AutoFair 2024 adalah acara yang tepat untuk anda. Jualan kenderaan terpakai ini akan berlangsung dari 6 hingga 8 Disember di Carro Retail Centre Puchong South. Anda berpeluang memanfaatkan pelbagai tawaran menarik serta turut berpeluang untuk memenangi hadiah bernilai lebih RM800,000!

    Turut ditawarkan ialah diskaun bernilai sehingga RM10,000 untuk kereta Carro Certified, ditambah dengan lanjutan setahun bagi jaminan enjin dan kotak gear Carro, menjadikan tempoh pelindungan keseluruhan selama dua tahun tanpa anda perlu risau tentang apa pun. Anda juga akan menikmati dua tahun servis percuma.

    Dan bukan itu saja. Sebagai tambahan, ada juga hadiah eksklusif sempena acara tersebut untuk mereka yang membuat tempahan kereta, termasuk potongan 10% untuk pembaharuan insurans dan diskaun 40% untuk cat semula kenderaan di bawah Carro Care. Selain itu, setiap tempahan akan membolehkan anda memenangi hadiah bertuah ketika serahan nanti, dengan hadiah berupa TV pintar 4K, rebat tunai RM500, pengimbas MaxTag, kredit Touch ‘n Go eWallet, kad petrol, dash cam dan banyak lagi.

    Tidak ketinggalan, anda juga akan layak untuk menyertai cabutan bertuah dengan tawaran hadiah berupa perjalanan ke Osaka (6H/5M), Turkey (9H/7M) atau Bali (4H/3M) ketika serahan kenderaan nanti.

    Jadi tandakan kalendar pada tarik 6-8 Disember nanti untuk berkunjung ke Carro AutoFair 2024 di Carro Retail Centre Puchong South dan alami sendiri segala tawaran yang diberikan. Layari laman web rasmi Carro untuk melihat inventori kenderaan yang ada.

     
     
  • Dongfeng Nissan N7 didedah – sedan EV dibangunkan sepenuhnya di China, mula dijual tahun hadapan

    Dongfeng Nissan N7 didedah – sedan EV dibangunkan sepenuhnya di China, mula dijual tahun hadapan

    Syarikat kerjasama antara Dongfeng Motor Group dan Nissan Motors iaitu Dongfeng Nissan telah mendedahkan model sedan EV yang digelar sebagai Dongfeng Nissan N7 ketika berlangsungnya Auto Guangzhou 2024. Model ini bakal dijual pada pasaran China bermula separa pertama 2025.

    N7 merupakan versi produksi untuk model konsep Nissan Epoch yang telah didedahkan pada Beijing Motor Show April lalu. Ia juga adalah model pertama dari syarikat berkenaan yang menggunakan platform modular yang direka khas untuk dijadikan asas model-model elektrifikasi, serta dibangunkan dan diproduksi sepenuhnya di China.

    Dongfeng Nissan menyifatkan N7 ini sebagai sedan sederhana-besar dengan kabin yang luas. Ia menampilkan dimensi panjang 4,930 mm, lebar 1,895 mm, tinggi 1,487 mm dan jarak roda sejauh 2,915 mm.

    Dongfeng Nissan N7 didedah – sedan EV dibangunkan sepenuhnya di China, mula dijual tahun hadapan

    N7 masih menerima rekaan gril signatur V-Motion Nissan, dengan jalur lampu LED merentangi sepenuhnya pada bahagian muka. Lampu utama direka dengan bentuk-L terbalik bersama logo Nissan bernyala diletakkan pada bahagian tengah. Ambilan udara hanya dibuat pada gril kecil bahagian bawah.

    Walaupun ia sebuah sedan, N7 menampilkan bahagian belakang dengan gaya fastback. Ia turut menampilkan rekaan sisi ringkas bersama pembuka pintu yang tenggelam didakwa dapat memberikan lebih keberkesanan aerodinamik. Semua pintu juga direka tanpa bingkai tingkap, manakala rekaan belakang juga dihasilkan ringkas.

    Tiada sebarang gambar bahagian dalaman didedahkan. Namun Nissan mengesahkan bahawa N7 menerima sistem infotainmen yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 8295P untuk operasi dan pengalaman terhubung yang lancar.

    Dongfeng Nissan N7 didedah – sedan EV dibangunkan sepenuhnya di China, mula dijual tahun hadapan

    Dongfeng Nissan turut bekerjasama dengan Momenta, iaitu syarikat peneraju teknologi pemanduan autonomi di China bagi membekalkan N7 ini dengan sistem bantuan pemanduan termaju yang digelar sebagai ‘Navigate on Autopilot’.

    Buat masa sekarang juga Dongfeng Nissan belum meniyarkan sebarang spesifikasi teknikal seperti unit rangkaian kuasa, bateri, jarak gerak dan sebagainya. Pengenalan Dongfeng Nissan N7 ini merupakan sebahagian dari The Arc, iaitu rancangan jangka masa sederhana Nissan yang disasarkan bagi mempercepatkan pembangunan dan eksport kenderaan tenaga baharu dari China.

     
     
  • Polis buru warga asing yang liat bayar saman trafik

    Polis buru warga asing yang liat bayar saman trafik

    Polis Diraja Malaysia bakal memburu warga asing yang liat untuk membayar saman trafik menerusi operasi saman tertunggak warganegara asing (OSTWA) bagi memburu pesalah trafik yang masih degil melangsaikan saman mereka, lapor Utusan Malaysia.

    Menurut Pengarah Operasi Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri operasi ini bakal dilakukan menerusi pemeriksaan sekatan jalan raya yang dilaksanakan secara berterusan, namun sebelum itu JSPT akan mengemaskini data pesalah trafik warga asing melalui kaedah semak silang dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengenal pasti pemilik saman tertunggak.

    Tambahnya, pengemaskinian data itu adalah tindakan semasa pihaknya dalam mengumpul maklumat pesalah trafik yang disenarai hitam bagi saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) (K) 257 dan kes dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

    “Operasi pemutihan saman tertunggak ini akan dilakukan menerusi pemeriksaan sekatan jalan raya yang dilaksanakan secara berterusan,” katanya dan menambah JSPT juga dalam perancangan melaksanakan penguatkuasaan saman di sempadan negara Malaysia-Singapura melalui sistem penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan dan PDRM.

    Menurutnya lagi, menerusi pelaksanaan VEP ini, mana-mana kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dan melanggar undang- undang perlu membayar saman sebelum meninggalkan negara ini.

     
     
  • Penutupan lorong dan pengaktifan lencongan trafik di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang pada 16 Nov 2024

    Penutupan lorong dan pengaktifan lencongan trafik di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang pada 16 Nov 2024

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan penutupan lorong U16 dan lencongan laluan kenderaan bakal diaktifkan di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang (Arah Timur) pada 16 November 2024 mulai 12 tengah malam sehingga 6 petang.

    Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja pembaikan konkrit di lokasi terbabit. Sila rujukinfo grafik di atas untuk mengetahui tentang laluan yang terlibat.

    Dalam masa yang sama, pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit. Jangan lupa untuk gandakan fokus pemanduan dan lebih berhati-hati.

     
     
  • Lapan lokasi terdedah terhadap bencana banjir dikenalpasti di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2

    Lapan lokasi terdedah terhadap bencana banjir dikenalpasti di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur 2

    Musim Monsun Timur Laut (MTL) sedang melanda negara kita dengan kekerapan hujan lebat dan ribut petir di kebanyakan tempat di seluruh negara. Malah banyak lokasi di seluruh negara terutamanya yang sering dilanda banjir diberi peringatan agar lebih berwaspada dan sentiasa bersiap siaga dalam berhadapan dengan bencana alam ini.

    Ini termasuklah di Lebuhraya Pantai Timur (LPT2) yang sebelum ini juga pernah dilanda banjir. Pengurus Wilayah LPT2, Mohamad Pazli Kassim memaklumkan pihaknya telah mengenalpasti lapan lokasi di lebuhraya berkenaan yang terdedah dengan bencana banjir. Lokasi terbabit bermula dari Plaza Tol Jabor hingga Kuala Terengganu (Gemuruh), laporan Berita Harian.

    “Ia membabitkan tiga lokasi dalam kawasan lebuh raya sejauh 184 km iaitu di Persimpangan Bertingkat Bukit Besi dan KM 373 di kedua-dua arah. Lma lagi lokasi yang dikenalpasti berisiko dinaiki air adalah di laluan keluar selepas Plaza Tol Cukai dan Plaza Tol Bukit Besi serta tiga lokasi bersebelahan had sempadan lebuh raya.

    “Justeru, pengurusan LPT2 menubuhkan Pasukan Tindakan Awal (PTA) sebagai persediaan menghadapi musim MTL. Pasukan ini akan menjalankan pemantauan 24 jam di sepanjang lebuh raya berkenaan termasuk di kawasan yang berpotensi dinaiki air serta di kawasan cerun dan saliran,” katanya.

    Dalam keadaan cuaca tidak menentu begini, elok rancang perjalan anda dan peka terhadap laporan perubahan cuaca dari semasa ke semasa. Untuk kenderaan, jangan lupa untuk mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan anda rosak akibat banjir.

     
     
  • KLIMS 2024 – dari 5-11 Disember, tawar Yaris dan Axia untuk cabutan bertuah; pelancaran, kereta konsep, dll

    KLIMS 2024 – dari 5-11 Disember, tawar Yaris dan Axia untuk cabutan bertuah; pelancaran, kereta konsep, dll

    Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 bakal berlangsung bermula 5 hingga 11 Disember ini, tak sampai sebulan dari sekarang. Acara permotoron ulung ini akan diadakan Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), dan menerusi sesi penerangan kepada media hari ini oleh penganjurnya iaitu Persatuan Automotif Malaysia (MAA), ada pelbagai maklumat yang akan kami kongsikan kepada anda.

    Berdasarkan edisi-edisi sebelum ini, KLIMS tidak dapat dianjurkan secara tahunan di mana dua acara terakhir yang diadakan adalah pada 2013 dan 2018. Jadi setelah enam tahun menyepi, edisi tahun ini bakal menampilkan pelbagai keistimewaan kepada pengunjung.

    KLIMS turut mengikut trend acara permotoran antarabangsa yang mula menukar perkataan ‘motor’ kepada ‘mobiliti’, dan tema untuk edisi 2024 ini adalah ‘Melangkaui Mobiliti’ atau ‘Beyond Mobility’. Tema berkenaan dikatakan adalah untuk menekankan kemampanan, elektrifikasi dan pemanduan autonomi.

    Lebih 70 pempamer akan menyertai KLIMS 2024 ini dan ia akan diadakan pada ruang hampir 30,000 meter persegi, menggunakan dua tingkat ruang pameran di MITEC. MAA mensasarkan acara ini akan menarik minat seramai 250,000 pengunjung, bakal melepasi angka pengunjung yang menghadiri KLIMS 2018.

    “KLIMS 2024 berfungsi sebagai platform penting bagi industri automotif untuk memperlihatkan kemajuan terbaharunya, memberikan pandangan tentang arah aliran transformatif seperti EV dan penyelesaian mobiliti mesra alam. Dengan komitmen berterusan kerajaan Malaysia terhadap penyelesaian mobiliti yang mampan dan inovatif, termasuk insentif untuk penggunaan EV dan dasar yang menyokong teknologi hijau, kami melihat trajektori yang menarik untuk sektor automotif kita,” kata presiden MAA Mohd Shamsor Bin Mohd Zain.

    “Ketika kita memasuki era baharu ini, KLIMS 2024 akan menyerlahkan inovasi merentas industri, menggalakkan pihak berkepentingan, daripada pengilang kepada pengguna, untuk menerima teknologi yang memacu tanggungjawab dan kecekapan alam sekitar. Kami sangat teruja untuk meraikan KLIMS edisi ke-10 ini, yang menggariskan potensi Malaysia sebagai peneraju serantau dalam masa depan mobiliti,” tambahnya.

    Antara pengeluar yang sudah mengesahkan penyertaan mereka dalam KLIMS 2024 adalah termasuk Perodua, Proton, Toyota, Honda, Mitsubishi, Nissan, Mazda, Kia, GWM, MG, Xpeng dan Aion. Juga tidak ketinggalan adalah jenama-jenama motosikal seperti Modenas dan Kawasaki.

    Terdapat juga pelancaran model-model baharu yang akan dibuat oleh pelbagai jenama termasuk Perodua, Nissan, Toyota, GWM, Kia, MG dan Mazda. Menurut Shamsor, senarai ini hanya 90-95% muktamad di mana terdapat satu atau dua jenama lagi akan mengesahkan penyertaan mereka.

    Sama seperti sebelum ini, pengunjung-pengunjung dengan tiket yang sah bakal berpeluang untuk menyertai cabutan bertuah yang akan diadakan, dengan dua buah kereta sebagai hadiah utama iaitu Toyota Yaris 1.5G Limited dan Perodua Axia X.

    Selain itu terdapat juga hadiah-hadiah lain termasuk pandu uji EV smart #1 selama 10-hari yang disediakan oleh Avis, skuter bagasi yang boleh ditunggang, skuter elektrik dan hadiah misteri dari Ferrari, dashcam dari 70mai, kad Touch n Go edisi istimewa KLIMS 2024 dan pelbagai lagi. Secara keseluruhan nilai hadiah untuk semua cabutan bertuah ini mencecah RM250k.

    Jika anda tidak bertuah, ada juga hadiah yang bakal diberikan untuk bakat dan kebolehan anda menerusi pelbagai pertandingan yag akan diadakan sepanjang KLIMS 2024. Antaranya adalah pertandingan simulator dan pertandingan fotografi media sosial.

    Juga terdapat pelbagai acara menarik lain diadakan termasuk seminar dan ‘pocket talks’, dan juga perhimpunan kelab-kelab kereta. Malah terdapat juga empat kereta lumba F1 Ferrari yang akan dipamerkan, bermula dari era Micheal Schumacher sehingga era terkini yang dipandu oleh Charles Leclerc. Khas untuk peminat-peminat kereta dengan skala lebih kecil, pameran koleksi model skala die-cast juga turut bakal ditampilkan pada KLIMS kali ini.

    KLIMS 2024 – dari 5-11 Disember, tawar Yaris dan Axia untuk cabutan bertuah; pelancaran, kereta konsep, dll

    Tiket dijual pada harga RM20 untuk hari bekerja dan RM25 untuk hari Jumaat, Sabtu dan Ahad (termasuk 11 Disember yang merupakan cuti umum bagi Selangor). Remaja berumur 13-17 dan pelajar kolej/universiti (dengan kad pelajar yang sah) diberikan harga tiket istimewa hanya RM10, manakala kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah pula adalah percuma. Ia dibuka bermula 10 pagi hingga 8 malam pada hari bekerja dan 10 pagi hingga 10 malam pada hujung minggu dan 11 Disember.

    Berita baik untuk pengunjung yang datang menaiki tren, anda akan menikmati bas percuma ke MITEC sekiranya turun di stesen Sunway Putra Mall dan Pasar Seni. Bas-bas ini akan disediakan dalam kekerapan setiap 30-minit, bergantung kepada keadaan trafik.

    Manakala bagi mereka yang lebih suka datang dengan memandu kenderaan sendiri, anda boleh meletakkan kereta di tempat parkir terbuka Matrade atau di Stadium Hoki Nasional, dan kemudian akan ada van yang bakal membawa anda terus ke MITEC.

    KLIMS 2024 – dari 5-11 Disember, tawar Yaris dan Axia untuk cabutan bertuah; pelancaran, kereta konsep, dll

    Malah, syarikat kereta sewa AVIS turut akan menyediakan 20-kereta yang bakal menawarkan khidmat percuma untuk membawa anda ke MITEC bukan sahaja dari dua lokasi berkenaan, malah turut akan disediakan dari tempat parkir terbuka The Met, Publika, KL Sentral dan PWTC. Anda juga boleh menggunakan perkhidmatan e-Hailing MyRide yang turut akan memberikan kod promo istimewa untuk ke KLIMS 2024.

    Sekali lagi, KLIMS 2024 akan berlangsung di MITEC dari 5-11 Disember, yang akan mempamerkan bukan sahaja pelbagai model terkini, malah pelbagai kereta konsep yang tidak akan anda jumpai di atas jalan raya. Dan dalam masa yang sama anda turut berpeluang untuk membawa pulang Toyota Yaris 1.5G Limited atau Perodua Axia. Tiket boleh dibeli secara dalam talian di laman web rasmi KLIMS 2024 – jumpa anda di sana!

     
     
  • ASEAN NCAP lancar protokol baharu penilaian ujian pelanggaran, panduan keselamatan awam untuk EV

    ASEAN NCAP lancar protokol baharu penilaian ujian pelanggaran, panduan keselamatan awam untuk EV

    Dengan semakin banyak kenderaan yang menggunakan sistem elektrifikasi bervoltan tinggi termasuk kenderaan elektrik bateri (BEV) dan juga plug-in hybrid (PHEV), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) hari ini telah menlancarkan tiga dokumen penting berkaitan keselamatan kenderaan sedemikian, dan ia termasuk Protokol Penilaian Kenderaan Elektrik Bervoltan Tinggi untuk Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

    Majlis pelancaran berkenaan diadakan di Makmal Ujian Pelanggaran PC3 MIROS yang terletak di Ayer Molek, Melaka dan ia disempurnakan oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.

    Protokol Penilaian Kenderaan Elektrik Bervoltan Tinggi berkenaan akan memperkenalkan penilaian keselamatan untuk Kenderaan Elektrik Voltan Tinggi (HVEV) di bawah protokol ASEAN NCAP 2026-2030 baharu yang bakal digunakan kelak. Protokol ini merangkumi ujian komprehensif untuk keselamatan pengasingan elektrik, sistem voltan tinggi, dan prosedur kecemasan, dengan penekanan pada aspek keselamatan pengasingan elektrik bagi meminimumkan risiko kejutan elektrik semasa penilaian dijalankan.

    Dokumen seterusnya adalah Garis Panduan Keselamatan Makmal Ujian Pelanggaran Kenderaan Elektrik, di mana ia adalah panduan komprehensif bagi Makmal MIROS PC3 untuk mematuhi spesifikasi dan keperluan ASEAN NCAP dalam menjalankan ujian perlanggaran EV. Panduan ini bertujuan memastikan keselamatan pegawai, juruteknik, dan pemerhati serta meminimumkan risiko kecederaan sepanjang proses ujian perlanggaran.

    ASEAN NCAP lancar protokol baharu penilaian ujian pelanggaran, panduan keselamatan awam untuk EV

    Dalam majlis pelancaran tiga dokumen tersebut hari ini, MIROS turut telah memulakan ujian pertama pelanggaran EVnya untuk ASEAN NCAP di makmal PC3 berkenaan. Walau bagaimanapun untuk ujian awalan ini, tambahan penilaian yang dikenakan untuk EV hanyalah untuk melihat sama ada kenderaan tersebut mengalami kebocoran voltan tinggi atau tidak selepas berlakunya kemalangan.

    Untuk memastikan sama ada terjadi kebocoran voltan atau tidak selepas berlaku impak adalah sangat penting kerana sekiranya kebocoran tersebut berlaku, ia akan menyebabkan insiden lain termasuk kebakaran dan juga mungkin membahayakan penumpang dan orang ramai sekitar kenderaan berkenaan.

    Sekiranya kenderaan yang diuji disahkan tidak berlaku kebocoran voltan, ia akan diberikan penarafan “Selamat” dalam laporan ujian tersebut. Tetapi buat buat masa sekarang menggunakan protokol sedia ada, penarafan tersebut masih belum mempengaruhi pemberian bintang dalam keputusan keseluruhan.

    Manakala untuk pengguna jalan raya awam, MIROS turut melancarkan dokumen “Panduan Keselamatan untuk Pengguna Jalan Raya dan Orang Ramai Berkenaan Insiden Kenderaan Elektrik” atau MyEVIM. Dokumen MyEVIM ini merupakan panduan yang memberikan penerangan tentang langkah-langkah pengurusan insiden EV secara selamat untuk orang ramai, termasuk sekiranya berlaku kebocoran voltan sekiranya berlaku kemalangan membabitkan EV.

    ASEAN NCAP lancar protokol baharu penilaian ujian pelanggaran, panduan keselamatan awam untuk EV

    Panduan ini bertujuan membantu pengguna jalan raya dan orang awam memahami risiko yang mungkin dihadapi serta menyediakan amalan terbaik bagi pengurusan dan tindakan selamat semasa menggunakan EV atau ketika berhadapan dengan insiden melibatkan EV.

    MyEVIM terpakai untuk semua jenis EV, termasuk kereta, motosikal, bas, dan trak, kecuali kenderaan mikromobiliti seperti yang ditakrifkan dalam Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020. Panduan ini juga menjadi rujukan asas bagi pembuat dasar dalam menyediakan kerangka pembangunan piawaian teknikal masa depan, termasuk penilaian risiko dan spesifikasi teknikal.

    MIROS menyatakan bahawa pelancaran dokumen-dokumen ini serta pelaksanaan ujian perlanggaran adalah selaras dengan
    Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030, yang berhasrat mengurangkan kematian akibat kemalangan jalan raya sekurang-kurangnya 50% menjelang 2030. Inisiatif ini turut menyokong penggunaan kenderaan yang lebih selamat dengan penyesuaian teknologi kenderaan generasi baharu, termasuk keselamatan EV dan pengurusan pasca kemalangan, tambah agensi itu lagi.

     
     
  • JPJ keluarkan 37,708 saman terhadap penunggang motosikal dalam Ops Khas Motosikal sejak 1 Nov

    JPJ keluarkan 37,708 saman terhadap penunggang motosikal dalam Ops Khas Motosikal sejak 1 Nov

    Sebanyak 37,708 saman atas pelbagai kesalahan kepada penunggang motosikal dalam tempoh 13 hari pelaksanaan Ops Khas Motosikal yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mulai 1 November lalu.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli, dalam 13 hari pertama operasi berkenaan, pihaknya telah memeriksa sejumlah 136,067 motosikal di seluruh negara, laporan Berita Harian.

    Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan, sebanyak 1,014 motosikal telah disita yang membabitkan pelbagai kesalahan seperti tiada insurans dan cukai jalan, pengubahsuaian sangat ekstrem oleh pemilik motosikal.

    JPJ keluarkan 37,708 saman terhadap penunggang motosikal dalam Ops Khas Motosikal sejak 1 Nov

    “Operasi akan diteruskan selama dua bulan sehingga Disember ini yang mana operasi akan diadakan secara berterusan untuk tempoh dua bulan di seluruh negara. Penguatkuasaan secara berterusan penting untuk mendidik dan memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

    “Jadi kita ingin ingatkan kepada semua pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan kerana tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang menyalahi undang-undang,” katanya.

    Operasi yang berlangsung hingga 31 Disember 2024 di seluruh negara dilaksanakan bagi memastikan penunggang dan pemilik motosikal mematuhi undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah – Kaedah di bawahnya.

    JPJ keluarkan 37,708 saman terhadap penunggang motosikal dalam Ops Khas Motosikal sejak 1 Nov

    Menurut JPJ, ia juga adalah susulan daripada statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan yang telah direkodkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya melibatkan motosikal adalah sebanyak 1,908 atau 70%.

    “Bagi mensasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh suku ke-3 dan ke-4 tahun 2024, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa,” kata JPJ dalam kenyataan itu.

    JPJ turut menyenaraikan lapan kesalahan utama yang bakal diambil berat dalam operasi kali ini bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian iaitu tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor (LKM)/tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah), ubahsuai kenderaan (ekstrem), tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan-kesalahan teknikal lain.

     
     
  • Jualan kenderaan bagi Oktober 2024 naik 20% — MAA

    Jualan kenderaan bagi Oktober 2024 naik 20% — MAA

    Merujuk kepada data Persatuan Automotif Malaysia (MAA), bulan Oktober 2024 menyaksikan sebanyak 69,859 unit kenderaan diserahkan kepada pelanggan. Angka ini lebih rendah sebanyak 8.3% berbanding angka yang dicapai pada Oktober 2023, tetapi ia juga 20% lebih banyak berbanding September 2024 yang mencatatkan 58,032 unit.

    MAA menyifatkan peningkatan ini berikutan promosi hujung tahun yang sudah mula ditawarkan oleh pelbagai jenama, serta tempoh hari bekerja yang lebih panjang bagi Oktober. Bagi November, angka ini dijangka tumbuh lebih positif. Jualan tahunan setakat ini (YTD) pula mencecah 664,002 unit (+2.4% berbanding pada Oktober 2023), atau sedang berada sedikit di bawah sasaran TIV 2024 MAA yang meletakkan angka 765,000 unit.

    Dari sudut pengeluaran, 71,196 unit telah dihasilkan sepanjang Oktober 2024 (kurang 4% berbanding Oktober 2023 yang mencatatkan 74,191 unit), namun angka YTD adalah lebih berkembang dengan 664,246 unit (lebih 4% bagi tempoh Januari-Oktober 2023 dengan 640,633 unit).

     
     
  • Honda Scoopy generasi baru diperkenal di Indonesia

    Honda Scoopy generasi baru diperkenal di Indonesia

    Honda Scoopy, yang sudah berada di pasaran Indonesia sejak tahun 2010 kini diperkenalkan dengan model generasi baru, yang dipertingkat untuk menjadikannya lebih moden dan mesra pengguna. Ia ditawarkan pada harga bermula 22.5 juta rupiah (RM6,360) dalam pilihan lapan warna.

    Meskipun identiti asalnya dikekalkan, dengan rekaan yang berbentuk bulat serta menggelembung, kesemua panel badan adalah baru, termasuk lampu hadapan yang kini merupakan unit LED dengan terdapat tulisan Scoopy di dalamnya. Rim pula menggunakan rekaan lima cabang baru, dalam saiz 12 inci di hadapan dan belakang.

    Kemudiannya untuk kemudahan pengguna, Scoopy baru ini menerima poket barangan yang lebih luas di bahagian bawah pemegang (4 liter), cangkuk penggantung barang serta soket pengecas USB-C. Khusus untuk versi yang menggunakan kunci pintar, Scoopy baru ini akan didatangkan dengan panel meter LCD lengkap dengan pelbagai informasi.

    Enjin bagaimanapun masih lagi sama, iaitu unit satu silinder SOHC 109.5 cc PGM-Fi air cooled, bersama padanan transmisi automatik CVT, mampu menghasilkan 9.0 PS pada 7,500 rpm dan tork 9.2 Nm pada 6,000 rpm. Tangki bahan api berkapasiti 4.2 liter.

    Kelengkapan lain Scoopy 2025 adalah termasuk brek cakera di hadapan dan dram di belakang, fork teleskopik di hadapan, satu penyerap hentak di belakang serta berat keseluruhan 94 kg.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025