Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jaecoo J7 kini dengan penyelenggaraan percuma lima tahun, termasuk upah dan alat ganti – sehingga 31 Dis

    Jaecoo J7 kini dengan penyelenggaraan percuma lima tahun, termasuk upah dan alat ganti – sehingga 31 Dis

    Jaecoo J7 kini datang dengan penyelenggaraan percuma selama lima tahun, termasuk alat ganti dan upah. Promosi ini dibuat untuk kenderaan yang didaftarkan sebelum 31 Disember 2024. Semasa pelancaran, SUV ini diperkenalkan dengan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km, manakala pembeli awal pula diberikan dengan waranti enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer.

    Model ini juga adalah produk pertama Jaecoo yang tiba di Malaysia, dan ia berkongsi platform sama dengan Chery Tiggo 7 dengan menampilkan saiz dengan dimensi panjang 4,500 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,689 mm dan jarak roda 2,672 mm.

    Dua varian diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, bermula dengan versi 2WD pada harga RM138,800 dan versi AWD berharga RM148,800. Namun, kedua-duanya menggunakan enjin sama, iaitu unit 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh kelajuan yang dibekalkan oleh Getrag.

    Jaecoo J7 AWD juga datang dengan kebolehan meredah offroad sebenar dengan adanya sistem seperti Intelligent 4WD dengan tujuh mod permukaan pemanduan serta gandar belakang yang mampu menampung beban sehingga 3,000 Nm. Model pacuan hadapan pula hanya diberikan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sports.

    Senarai kelengkapan bagi dua varian Jaecoo J7 ini adalah sama, termasuk lampu hadapan LED automatik, spoiler bumbung belakang, rel bumbung dan rim aloi 19-inci Aurora Design di luar, sementara di dalam pula terdapat skrin infotainmen 14.8-inci menegak, skrin instrumen digital LCD 10.25-inci, sambungan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta tempat duduk balutan kulit sintetik dengan fungsi larasan kuasa, memori dan liang udara untuk yang di hadapan.

    Jaecoo J7 AWD

    Pelancaran Jaecoo J7 pasaran Malaysia

     
     
  • Ops Khas Motosikal – 19,362 motosikal diperiksa, 3,855 saman dikeluarkan JPJ Selangor dalam 12 hari

    Ops Khas Motosikal – 19,362 motosikal diperiksa, 3,855 saman dikeluarkan JPJ Selangor dalam 12 hari

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengeluarkan 3,855 sama kepada penunggang motosikal dalam masa 12 hari pertama sejak pelancaran Ops Khas Motosikal pada 1 November lalu – lapor New Straits Times.

    Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, 325 anggota ditugaskan untuk operasi tersebut di kawasan hotspot seluruh negeri, dan setakat ini 19,362 penunggang motosikal telah diperiksa.

    Daripada 3,855 notis saman yang dikeluarkan, 1,644 adalah disebabkan oleh kesalahan teknikal seperti modifikasi yang menyalahi undang-undang, tiada cermin sisi dan lampu tidak berfungsi. Sejumlah 983 saman lagi dikeluarkan kerana tidak mempunyai cukai jalan sah, manakala 737 dikeluarkan kerana tidak mempunyai lesen sah.

    Ops Khas Motosikal – 19,362 motosikal diperiksa, 3,855 saman dikeluarkan JPJ Selangor dalam 12 hari

    “302 notis sama juga dikeluarkan kerana kesalahan nombor plet, manakala 34 lagi dikeluarkan untuk tujuh kesalahan trafik utama,” kata Azrin.

    Tujuh kesalahan tersebut adalah memotong barisan, memotong di garisan berkembar, melanggar lampu merah di lampu isyarat, melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau helmet dan menyalahgunakan lorong kecemasan.

    Operasi yang dijalankan oleh jabatan itu malam Selasa lalu menyaksikan 631 motosikal diperiksa dan 259 saman dikeluarkan. Daripada situ, 19 motosikal diberikan arahan untuk diperiksa semula manakala lima disita. Menurut Azrin, JPJ Selangor akan mengadakan tujuh ke lapan sekatan jalan setiap hari di semua daerah dalam negeri.

     
     
  • Malaysia berpotensi jadi hab pembuatan EV di ASEAN hasil pengalaman 4 dekad dalam produksi automotif

    Malaysia berpotensi jadi hab pembuatan EV di ASEAN hasil pengalaman 4 dekad dalam produksi automotif

    Memandangkan Malaysia mempunyai sejarah selama 40 tahun dalam pengeluaran automotif sejak 1983 dan kluster perindustrian semikonduktor yang kukuh, tidak mustahil negara ini mampu menjadi hab serantau pembuatan kenderaan elektrik (EV) di ASEAN suatu hari nanti.

    Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong berkata, Malaysia juga berhasrat untuk memupuk integrasi lebih baik antara industri automotif dan semikonduktor dengan matlamat menjadi hab terkemuka bagi mereka bentuk cip khususnya untuk sektor automotif, laporan Bernama.

    “Malaysia adalah lokasi yang sangat menarik, kita adalah pengeksport produk semikonduktor keenam terbesar di dunia. Walaupun kita mungkin tidak mempunyai jenama keluaran tempatan, Malaysia memainkan peranan penting terutamanya di dalam proses ‘backend’,” katanya.

    Malaysia berpotensi jadi hab pembuatan EV di ASEAN hasil pengalaman 4 dekad dalam produksi automotif

    Beliau turut berkongsikan pengalamannya ketika melawat Detroit, Amerika Syarikat (AS) tahun lalu, Setiausaha Perdagangan AS, Gina M. Raimondo memberitahu ketika dalam satu pertemuan bahawa apabila Malaysia melaksanakan sekatan pergerakan penuh semasa pandemik COVID-19, kilang automotif di Detroit terpaksa ditutup.

    “Ini kerana cip yang mereka harapkan datang dari Malaysia dan beberapa syarikat semikonduktor di Malaysia memberikan sumbangan ketara dalam cip automotif global. Justeru, apabila bercakap mengenai industri automotif terutamanya elektrifikasi mobiliti, adalah penting untuk kita tidak bekerja secara ‘silo’ (bersendirian).

    “Saya mahu melihat industri ini memupuk penciptaan produk baharu, reka bentuk litar bersepadu dan cip automotif yang dikeluarkan oleh Malaysia. Ini akan membolehkan Malaysia bukan sahaja mengeksport alat ganti automotif tetapi juga cip automotif,” tambahnya.

    Malaysia berpotensi jadi hab pembuatan EV di ASEAN hasil pengalaman 4 dekad dalam produksi automotif

    Kerajaan Malaysia menetapkan sasaran untuk EV membentuk 20% daripada jumlah keseluruhan kenderaan (TIV) menjelang 2030, 50% menjelang 2040 dan 80% menjelang 2050.

    “Walaupun ia kelihatan bercita-cita yang tinggi memandangkan kita bermula dari asas, Tinjauan EV Global tahunan Agensi Tenaga Antarabangsa menekankan beberapa arah trend utama…EV hanya membentuk 2% daripada TIV secara global pada 2018.

    “Menjelang 2022, ia telah meningkat kepada 14% daripada TIV di seluruh dunia…menjelang 2023, ia mencapai 18%. Oleh itu, mencapai 20% daripada TIV menjelang 2030 bukanlah sasaran yang sukar dicapai, bagaimanapun ia memerlukan usaha bersepadu. Ia memerlukan kita berfikir di luar kotak (berfikir di luar kebiasaan),” katanya.

     
     
  • Peralihan EV penting untuk kurangkan beban subsidi bahan api petrol kerajaan – Liew Chin Tong

    Peralihan EV penting untuk kurangkan beban subsidi bahan api petrol kerajaan – Liew Chin Tong

    Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Liew Chin Tong menyatakan bahawa penggunaan kenderaan elektrik (EV) perlu dilihat sebagai langkah penting dalam usaha peralihan hijau Malaysia selain mengurangkan kebergantungan negara terhadap bahan api petrol.

    Menurutnya dalam laporan Bernama, Malaysia juga perlu menumpukan penggunaan petrol yang melangkaui paras semasa, sekali gus menekankan matlamat besar elektrifikasi sektor automotif untuk mengurangkan penggunaan bahan api itu dan membolehkan kemunculan semula Malaysia sebagai pengeksport bersih petroleum.

    “Wujud keperluan mendesak untuk memastikan EV dapat memenuhi jalan raya Malaysia bagi menangani pelbagai cabaran yang kita hadapi seperti mengurangkan beban fiskal membabitkan subsidi petrol dan meletakkan semula Malaysia sebagai pengeksport bersih petroleum dan pembangunan negara yang mesra iklim.

    “Bagi mencapai keterjaminan tenaga, kita juga perlu membolehkan Malaysia menjadi pengeksport bersih petroleum. Pada 2022 misalnya, Malaysia mengimport petroleum mentah bernilai US$12.2 bilion,” katanya pada majlis line-off pemasangan tempatan (CKD) EV Chery Omoda E5 di kilang Inokom, Kulim Kedah Jumaat lalu.

    Liew turut mendedahkan bahawa pada 2022 dan 2023, jumlah subsidi bahan api negara (RON95, diesel dan gas asli cecair) berjumlah kira-kira RM50 bilion atau kira-kira satu perlapan daripada belanjawan negara. Tambahnya setakat 30 Sept, 2024, terdapat sejumlah 32,543 kenderaan elektrik bateri (BEV) berdaftar di jalan raya Malaysia dengan 98 peratus daripadanya diimport secara unit pasang siap (CBU).

    Beliau turut menyatakan penggunaan EV di Malaysia berbanding negara jiran dengan BEV hanya mewakili 1.2 peratus daripada jumlah jualan kenderaan pada 2023 berbanding 12 peratus kenderaan itu di Thailand, Vietnam (15 peratus) dan Singapura (18 peratus). Pada 2023, Malaysia menjual sejumlah 799,731 unit kereta dengan hanya 1.2 peratus merupakan BEV (10,159 unit) manakala Indonesia mencatat 1.2 peratus jualan EV pada 2023.

    “Angka 1.2 peratus pada 2023 dan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) sebanyak 2.6 peratus bagi separuh pertama 2024 menunjukkan Malaysia agak ketinggalan daripada sasaran 20 peratus bagi 2030.

    “Jika kita dapat bertindak secara bersama, Malaysia boleh menyaksikan pertumbuhan EV yang luar biasa di jalan raya kita dalam tempoh lima tahun seterusnya, mencapai sasaran EV menyumbang 20 peratus daripada TIV pada 2030,” katanya.

     
     
  • Subsidi petrol RON95: Kerajaan kaji mekanisme guna MyKad dan e-dompet dalam projek rintis sejak 2022

    Subsidi petrol RON95: Kerajaan kaji mekanisme guna MyKad dan e-dompet dalam projek rintis sejak 2022

    Kerajaan berkata ia sedang meneliti secara terperinci berhubung penggunaan MyKad (kad pengenalan, atau IC) serta e-dompet sebagai mekanisme untuk melaksanakan subsidi bersasar apabila program rasionalisasi untuk petrol RON 95 dilaksana mulai pertengahan tahun depan.

    Untuk mengetahui kesesuaian menggunakan mekanisme ini sebagai kaedah pengeluaran, kerajaan berkata projek perintis selama 20 bulan dijalankan pada dua tahun lalu untuk mencuba penggunaan MyKad dan e-dompet, laporan Malay Mail. Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, ia dilakukan untuk melihat kebolehlaksanaan tersebut.

    “Satu projek perintis telah dijalankan antara tahun 2022 dan 2023, menggunakan kad pengenalan dan e-dompet di stesen minyak terpilih. Jadi ia telah pun diuji. Dari segi pengesahan kelayakan pada peringkat back end, hab pangkalan data pusat (PADU) telah beroperasi dan digunakan dalam beberapa kes penggunaan,” katanya di Dewan Rakyat.

    Subsidi petrol RON95: Kerajaan kaji mekanisme guna MyKad dan e-dompet dalam projek rintis sejak 2022

    Rafizi berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Krau Kamal Ashaari, yang bertanya sama ada kerajaan telah menguji pelaksanaan dan tidak menggunakan pendekatan “umum dahulu, selidik kemudian”. “‘Umumkan dahulu, selidik kemudian’ hanya datang daripada pembangkang,” jawab Rafizi lagi.

    Kemungkinan menggunakan mekanisme harga dua peringkat juga dibangkitkan semula, apabila Rafizi menjawab soalan Ahli Parlimen Pulai Suhaizan Kayat, yang meminta butiran mengenai mekanisme penggunaan kad pengenalan untuk mengesahkan kelayakan untuk subsidi RON 95.

    “Secara amnya, bahagian pertama, penentuan kelayakan, dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi, manakala bahagian kedua, melaksanakan mekanisme harga dua peringkat untuk pembelian RON 95 di stesen minyak, dikendalikan oleh Kementerian Kewangan,” jelas Rafizi.

    Subsidi petrol RON95: Kerajaan kaji mekanisme guna MyKad dan e-dompet dalam projek rintis sejak 2022

    Tambahnya, kedua-dua kementerian terbabit kini sedang mengkaji dan memperhalusi mekanisme terperinci untuk melaksanakan subsidi itu. “Kriteria dan mekanisme akhir akan dibentangkan kepada Kabinet, selaras dengan garis masa pelaksanaan yang disasarkan pada pertengahan 2025,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan mengakui cabaran dalam melaksanakan projek itu. “Ini termasuk isu infrastruktur, khususnya, akses internet yang perlahan di kawasan luar bandar dan cip kad pengenalan yang rosak, risiko pengesahan identiti dan potensi penyalahgunaan kad pengenalan,” jelasnya.

    Jelasnya lagi, tiada kaedah yang sempurna untuk melaksanakan sistem subsidi bahan api tetapi kerajaan akan memilih yang terbaik yang tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang secara drastik. “Paling penting, kerajaan akan menekankan usaha mengawal harga barang dan inflasi,” katanya.

     
     
  • Subsidi petrol RON95: isi rumah pendapatan rendah mungkin tercicir kerana isu pemilikan kenderaan

    Subsidi petrol RON95: isi rumah pendapatan rendah mungkin tercicir kerana isu pemilikan kenderaan

    Sistem levi yang dicadangkan untuk pelaksanaan mekanisme subsidi minyak bersasar petrol RON 95 mungkin boleh menyebabkan keciciran kepada isi rumah berpendapatan rendah, daripada menerima bantuan itu – lapor The Star. Memetik kenyataan menteri ekonomi, Rafizi Ramli, beliau memberitahu bahawa sekitar 40% daripada isi rumah berpendapatan rendah tidak mempunyai kenderaan yang didaftarkan atas nama mereka dalam pangkalan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    “Kerana satu keluarga mungkin dia menggunakan kenderaan atas nama orang lain. Kita juga telah lalui perkara ini semasa pelaksanaan penyasaran diesel contohnya. Data awal ini menunjukkan ada ketidak padanan yang besar akibat amalan yang berlainan di bawah, kerana sama ada orang sambung bayar ataupun guna nama orang lain,” kata Rafizi di parlimen.

    Tambah beliau lagi, sementara terdapat usul untuk kerajaan melaksanakan levi petrol pada kenderaan semasa pemandu memperbaharui cukai jalan, sistem levi ini menjadi satu daripada tiga cadangan yang sedang dipertimbangkan, dan setakat ini kerajaan merasakan sistem harga dua peringkat adalah cara yang terbaik.

    Subsidi petrol RON95: isi rumah pendapatan rendah mungkin tercicir kerana isu pemilikan kenderaan

    Cadangan ketiga adalah dengan terus memberikan wang tunai kepada individu yang layak, tetapi terdapat kebimbangan ini akan membawa kepada peningkatan harga barang dan inflasi, kata Rafizi.

    “Pakar ekonomi berkata bahawa cara bayaran tunai adalah lebih baik kerana ia tidak melibatkan pengendali stesen minyak. Tetapi kerajaan melihat terdapat potensi peningkatan harga barangan kerana apabila harga minyak naik, peniaga akan menjadikannya sebagai alasan untuk menaikkan harga,” kata Rafizi.

    Beliau juga memberitahu bahawa tiada cara yang sempurna untuk melaksanakan sistem subsidi bahan api ini dan kerajaan akan memilih cara terbaik yang tidak akan menyebabkan peningkatan mendadak harga barangan

     
     
  • Mexico mahu penjelasan segera dari Elon Musk sama ada jadi atau tidak Tesla buka kilang di negara tersebut

    Mexico mahu penjelasan segera dari Elon Musk sama ada jadi atau tidak Tesla buka kilang di negara tersebut

    Menteri Ekonomi Mexico, Marcelo Ebrard mahukan penjelasan segera dari Elon Musk sama ada syarikat pembuat kereta elektrik milik hartawan Amerika Syarikat tersebut, Tesla mahu atau tidak untuk membina kilang di negara berkenaan.

    Ini adalah berikutan calon pilihan Musk iaitu Donald Trump yang sekali lagi terpilih menjadi Presiden Amerika Syarikat minggu lalu yang menyatakan bahawa salah satu dasar yang akan dilaksana adalah untuk mengenakan tarif sebanyak 200% atau lebih untuk kereta-kereta yang diimport dari Mexico.

    “Saya akan adakan pertemuan dengan (Musk) secepat mungkin supaya dia boleh beritahu saya apa sebenarnya yang dia fikirkan dan lihat apa yang kita boleh buat supaya projek ini boleh bergerak ke hadapan,” kata Ebrard dalam radio tempatan, Radio Formula dan dipetik oleh laporan Reuters.

    Tahun lalu Elon Musk mengumumkan bahawa Tesla pasti akan membina kilang di Mexico, tetapi bila kilang itu akan dibina bakal bergantung kepada keadaan ekonomi dan kadar faedah. Musk juga pernah menyatakan bahawa peringkat awal pembinaan kilang tersebut akan bermula tahun lalu, namun ia tidak menjadi kenyataan.

    Kilang yang dirancang untuk dibangunkan di utara Mexico itu pada asalnya disasarkan untuk pemasangan model mampu milik Tesla Model 2 yang dirancang untuk dijual pada harga USD25,000 (RM111k). Namun idea untuk menghasilkan model tersebut telah dibatalkan oleh Elon Musk sendiri kerana mahu menumpukan kepada model kecil tanpa pemandu, Robotaxi.

    Dengan kemenangan Donald Trump minggu lalu, kewujudan kilang di Mexico tersebut dilihat semakin malap. Ketika penggal pertamanya sebagai Presdien, Trump sentiasa memberikan tekanan kepada syarikat-syarikat AS untuk memaksimakan operasi pembuatan mereka menerusi kilang-kilang tempatan berbanding kilang-kilang di luar negara.

     
     
  • Kecurian kereta meningkat di Malaysia – 10,849 kenderaan dicuri dari Jan-Sept 2024; sasar pikap, SUV

    Kecurian kereta meningkat di Malaysia – 10,849 kenderaan dicuri dari Jan-Sept 2024; sasar pikap, SUV

    Insiden kecurian kenderaan semakin meningkat di Malaysia, dengan sindiket menyasarkan trak pikap, 4×4 dan SUV khususnya, laporan The Star. Di mana saban tahun ia melibatkan peningkatan kecurian kenderaan, mencecah jumlah tertinggi pada tahun lepas iaitu 14,592 unit berbanding 14,433 pada 2022 dan 13,426 pada 2021.

    Daripada jumlah itu, motosikal melibatkan jumlah terbesar bagi kenderaan yang dicuri iaitu mencecah 10,589 unit, manakala kereta pula berjumlah 3,225 kereta unit (termasuk pikap, SUV dan MPV, ia sebenarnya turun sedikit berbanding pada tahun 2022 sebanyak 3,264 unit) dan 778 lori. Sehingga September tahun ini, jumlah kenderaan yang dicuri mencecah 10,849 unit termasuk 7,700 motosikal, 2,535 kereta dan 614 lori.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberitahu akhbar berkenaan dalam satu temu bual bahawa kenderaan curi itu dijual di luar negara, termasuk ke negara jiran dengan sindiket terbabit menerima bayaran yang lumayan.

    Kenderaan curi mendapat permintaan tinggi kerana berharga satu pertiga daripada harga yang ditawarkan di pasaran kenderaan terpakai. Faktor lain termasuk keperluan mendesak untuk alat ganti. “Siasatan kami mendapati sindiket curi kenderaan menyasarkan kenderaan 4×4 dan SUV berikutan permintaan yang tinggi, kerana kenderaan sedemikian boleh mendapat harga yang tinggi di pasaran gelap.

    Kecurian kereta meningkat di Malaysia – 10,849 kenderaan dicuri dari Jan-Sept 2024; sasar pikap, SUV

    “Sindiket curi kenderaan tempatan akan dibayar antara RM20,000 dan RM30,000 setiap kenderaan mewah oleh sindiket antarabangsa, bergantung kepada jenis dan keadaan kenderaan itu,” kata Mohd Shuhaily.

    Beliau menambah kini penjenayah mula beralih kepada mencuri kenderaan kerana keuntungan yang tinggi dan masa yang diperlukan tidak begitu lama untuk mencurinya, dengan anggaran sekitar lima minit sahaja yang diperlukan. Sindiket sering menyasarkan kenderaan yang diletakkan di jalan, di kawasan parkir terbuka atau awam atau di hadapan rumah yang tidak berpagar, walaupun terdapat beberapa kes kecurian kenderaan mewah di kawasan kejiranan berpagar. Pencuri sering memerhati dan mengikuti pergerakan kenderaan yang disasarkan antara 24 hingga 72 jam sebelum mencurinya.

    Kaedah untuk mencuri pula sering berubah dari semasa ke semasa mengikut kesesuaian peningkatan kecanggihan sistem keselamatan kenderaan dan kini terdapat pelbagai peranti elektronik untuk membuka kunci kereta dengan kemasukan tanpa kunci, serta jammer mudah alih berkuasa tinggi untuk melumpuhkan pengesanan GPS. “Penjualan peranti dan peralatan tersebut secara dalam talian merupakan faktor penyumbang utama kepada kekerapan kecurian di Malaysia. Di mana peranti ini mudah diakses dan dibeli melalui aplikasi dalam talian,” kata Mohd Shuhaily.

    Kecurian kereta meningkat di Malaysia – 10,849 kenderaan dicuri dari Jan-Sept 2024; sasar pikap, SUV

    Beliau menambah bahawa keupayaan untuk melumpuhkan sistem kemasukan tanpa kunci telah menjadi faktor utama mempercepatkan kecurian kenderaan. “Sindiket telah menemui cara untuk menggodam sistem kemasukan tanpa kunci atau memintas sistem keselamatan tanpa menggunakan kunci asal,” kata Mohd Shuhaily.

    Selain itu, pencuri juga mengambil kesempatan daripada kecuaian pemilik dan kekurangan sistem keselamatan kenderaan, serta sistem penggera yang mudah diakses dan terdedah kepada gangguan. “Tingkah laku cuai lain ialah meletakkan kenderaan di kawasan terpencil atau tempat gelap, tidak memasang kunci tambahan, atau lebih teruk, membiarkan kenderaan tidak berkunci,” tambahnya lagi.

    Ketika ditanya, apa yang berlaku selepas kenderaan dicuri, beliau menjawab, bergantung ke mana ia (kenderaan itu) dibawa. Di mana, modus operandi pasaran domestik selalunya melibatkan pengubahan nombor enjin dan casis kenderaan sebelum menjualnya.

    Kecurian kereta meningkat di Malaysia – 10,849 kenderaan dicuri dari Jan-Sept 2024; sasar pikap, SUV

    “Sindiket juga akan membaraikan kenderaan curi dan menjual alat ganti. Untuk pasaran antarabangsa, sindiket akan menyeludup kenderaan keluar dari negara atas permintaan,” kata Mohd Shuhaily sambil menambah kenderaan curi diseludup merentasi sempadan menggunakan nombor pendaftaran dan dokumen palsu yang serupa dengan model kenderaan curi itu.

    Daripada 53,300 kenderaan yang dicuri sejak tahun 2021, hanya 13,704 unit sahaja yang telah ditemui oleh CID, khususnya Bahagian Risikan, Operasi dan Rekod (D4). “Kami turut menahan 17,199 individu di seluruh negara berhubung kes curi kenderaan. Kesemua mereka yang telah ditahan mempunyai rekod jenayah, termasuk curi kereta dan motosikal serta kesalahan dadah,” kata Mohd Shuhaily.

    Antara langkah yang diambil polis ialah bekerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan di Thailand untuk mematahkan jenayah terancang rentas negara di sepanjang sempadan. “Menjalankan operasi bersama untuk memantau laluan atau laluan haram juga penting. Kami juga meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan hotspot dan meningkatkan penahanan dan pendakwaan terhadap pencuri kenderaan,” kata Mohd Shuhaily sambil menambah pihak berkuasa juga telah menjalankan kempen untuk menyebarkan kesedaran keselamatan kenderaan.

     
     
  • 10 kereta terlaris di Malaysia 2024 sehingga Oktober – 5 Perodua, 2 Proton, 2 Toyota dan 1 Honda

    10 kereta terlaris di Malaysia 2024 sehingga Oktober – 5 Perodua, 2 Proton, 2 Toyota dan 1 Honda

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudahpun menyiarkan data pendaftaran kenderaan baharu untuk bulan Oktober 2024. Menerusi data berkenaan dapat dilihat Perodua Bezza masih lagi model terlaris di Malaysia dengan terjual sebanyak 9,772 unit sepanjang bulan lalu.

    Ini menjadikan sebanyak 81,946 unit Perodua Bezza terjual untuk 10-bulan pertama tahun ini. Dengan purata hampir 8,200 unit terjual setiap bulan, tidak mustahil Bezza akan merekodkan jualan mencecah 100,000 unit apabila berakhir tahun ini.

    Model kedua terlaris di Malaysia masih lagi dengan logo Perodua, iaitu hatchback segmen-A Perodua Axia. Ia terjual sebanyak 8,318 unit sepanjang Oktober, menjadikan jualan tahunannya kini berjumlah 73,158 unit. Ia diikuti satu lagi model Perodua iaitu Myvi, terjual 6,965 unit bulan lalu, dan jualan tahunannya sehingga Oktober kini adalah 59,736 unit.

    10 kereta terlaris di Malaysia 2024 sehingga Oktober – 5 Perodua, 2 Proton, 2 Toyota dan 1 Honda

    Tempat keempat barulah tiba giliran Proton, di mana model paling mampu milik jenama itu iaitu Saga terjual sebanyak 5,691 unit pada Oktober, dan jualan tahunannya kini sudah mencecah 58,455, hanya sedikit ketinggalan berbanding Myvi. Manakala di tempat kelima, ia kembali menjadi milik Perodua, di mana Alza masih menjadi MPV paling laris di Malaysia tahun ini dengan jualan yang kini mencecah 35,814 unit, di mana pada Oktober sahaja ia terjual sebanyak 4,261 unit.

    Dan tempat keenam masih lagi milik Perodua menerusi SUV segmen-A Ativa, terjual sebanyak 2,959 pada Oktober dan jualan tahunannya kini sudah mencecah 30,355 unit. Kereta bukan nasional paling laris di Malaysia pula kini adalah Toyota Vios, dimana sejumlah 2,775 unit telah berjaya dijual sepanjang Oktober, menjadikan jualan tahunannya kini berjumlah 22,905 unit untuk berada di tempat ketujuh terlaris secara keseluruhan.

    Di belakang Vios adalah seteru utamanya iaitu Honda City, model ini dijual sebanyak 2,320 pada Oktober, dan jualan tahunannya kini mencecah 22,757 unit. Apa yang perlu anda tahu, JPJ sebenarnya menggabungkan jualan City sedan dan hatchback, berbeza dengan Vios dan Yaris yang diasingkan.

    Jadi kita boleh tengok di sini, Vios bukan sahaja sedan yang lebih laris dari City, malah jualannya juga lebih tinggi berbanding Proton S70 walaupun sedan segmen-C Proton itu dijual dalam julat harga yang sama tetapi menerima kelengkapan yang lebih banyak.

    Tempat kesembilan di huni oleh trak pikap Toyota iaitu Hilux. Dijual sebanyak 2,208 unit sepanjang bulan lalu dan jualan tahunannya mencecah 19,917 unit, Hilux mengukuhkan kedudukannya sebagai trak pikap paling laris di Malaysia. Manakala tempat ke-10 pula merupakan milik model Proton X50, dimana SUV segmen-C ini terjual sebanyak 2,035 unit sepanjang Oktober 2024, dan jualan tahunannya untuk 10-bulan pertama tahun ini telah mencapai 18,513 unit.

     
     
  • Tanah mendap di NKVE, KM18.6 hala Selatan, antara Kota Damansara dan Damansara, lorong kiri ditutup

    Tanah mendap di NKVE, KM18.6 hala Selatan, antara Kota Damansara dan Damansara, lorong kiri ditutup

    Pengguna lebuh raya NKVE sila ambil perhatian. Disebabkan hujan berterusan pagi ini, satu lubang benam akibat tanah mendap berlaku di lorong kecemasan KM18.6 (Arah Selatan) Lebuhraya NKVE antara laluan Kota Damansara ke Damansara.

    Menurut PLUS Malaysia, lubang ini diketahui pada jam 11.30 pagi ini dan buat masa ini lorong kecemasan serta sebahagian lorong sebelah kiri ditutup buat sementara waktu. Pengguna lebuh raya disarankan untuk mematuhi arahan pengawal atau papan tanda trafik di lokasi, serta mengambil langkah berjaga-jaga apabila melalui kawasan tersebut.

    Untuk maklumat terkini berkenaan NKVE anda boleh menggunakan aplikasi PLUS, atau menghubungi 1800-88-0000.

     
     
  • Nissan Kicks e-Power – spesifikasi pasaran Malaysia didedah, pacuan elektrik 100%, enjin jadi generator

    Nissan Kicks e-Power – spesifikasi pasaran Malaysia didedah, pacuan elektrik 100%, enjin jadi generator

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) mendedahkan spesifikasi awal untuk Nissan Kicks e-Power pasaran Malaysia, sebelum ia dilancarkan secara rasmi Disember ini. Kita akan mendapat Kicks generasi pertama, versi facelift, sama seperti Thailand, dan ia juga akan diimport (CBU) dari sana.

    SUV segmen B ini datang dengan teknologi e-Power generasi kedua, iaitu satu sistem hibrid yang menggunakan motor elektrik sepenuhnya untuk menggerakkan kenderaan, sementara enjin ICE bertindak sebagai generator. Ini membuatkan ia menyerlah dalam pasaran, memandangkan sistem hibrid Jepun lain biasanya bertukar antara pemanduan elektrik penuh, gabungan atau ICE sahaja, bergantung kepada keadaan.

    Bagi Kicks, enjin petrol tiga silinder 1.2 liter NA e-Power yang digunakan bertindak sepenuhnya sebagai generator untuk bateri 2.1 kWh, tanpa sebarang sambungan kepada roda. Memandangkan enjin itu hanya digunakan untuk menjana tenaga kepada bateri dan beroperasi dalam keadaan tetap, Nissan berkata ia dapat mencapai kecekapan suhu bertaraf tinggi, untuk memberikan kecekapan penggunaan bahan api yang lebih baik sambil mengurangkan emisi.

    Nissan Kicks e-Power – spesifikasi pasaran Malaysia didedah, pacuan elektrik 100%, enjin jadi generator

    Bateri itu menggerakkan motor elektrik berkuasa 129 PS/280 Nm, yang terletak di hadapan dan dapat memecut kenderaan 0-100 km/j dalam masa 9.5 saat. Menurut ETCM, penggunaan bahan api bercampur dikatakan berada pada tahap 21.7 km/l, dan dengan itu, jarak gerak dengan tangki bahan api penuh 41 liter boleh mencecah 900 km.

    Terdapat juga sistem ‘e-Pedal Step’, serta mod EV yang tidak melibatkan enjin ICE langsung. Memandangkan bateri pada Kicks ini lebih kecil berbanding EV biasa, mod EV boleh membawa kenderaan bergerak 2.5 km pada kelajuan 40 km/j. Itu berguna apabila kenderaan merangkak dalam kesesakan atau berpusing mencari parkir.

    Kita akan mendapat Kicks e-Power dalam tiga varian, bermula dengan VL yang diberitahu akan datang dengan lampu hadapan LED penuh, cermin sisi boleh lipat sendiri, rim 17 inci (tiada tayar simpanan), tempat duduk ‘zero gravity’ (larasan manual), brek parkir elektronik dengan Auto Hold, pendingin hawa automatik serta cruise control.

    Varian pertengahan pula datang dengan panel meter digital 7.0 inci serta skrin sesentuh 8.0 inci untuk sistem infotainmen, dengan sambungan Apple CarPlay/Android Auto dan enam pembesar suara. Dari aspek keselamatan, ia menerima tujuh beg udara, amaran pelanggaran hadapan dan Automatic Emergency Braking (AEB).

    Kemudiannya, VLT juga mendapat tambahan tempat duduk balutan kulit dua tona, pemerhati keliling kenderaan 360 darjah, cermin pandang belakang pintar (skrin LCD dengan kamera), Active Cruise Control, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert. Anda juga boleh mendapatkan varian VLT ini dalam warna dua tona (varian terakhir).

    Berkenaan warna, pilihan yang diberi adalah Black Star, Brilliant White Pearl, Brilliant Silver, Red Pearl dan Sunrise Orange. Pembeli VLT boleh memilih bumbung hitam untuk badan berwarna oren, putih dan merah. Terdapat juga warna Dark Metal Grey untuk VLT dua tona.

    Sekarang ini, tinggal harga sahaja belum lagi didedahkan dan kita perlu menunggu pelancarannya minggu hadapan. Apa pendapat anda dengan spesifikasi dan penampilan Nissan Kicks ini? Bolehkah ia bersaing dengan Honda HR-V e:HEV RS atau Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid?

    GALERI: Nissan Kicks e-Power VL spesifikasi Malaysia

    GALERI: Nissan Kicks e-Power VLT dua tona spesifikasi Malaysia

     
     
  • Maruti Suzuki Dzire 2025 – sedan murah terima penarafan 5 bintang dalam ujian Global NCAP

    Maruti Suzuki Dzire 2025 – sedan murah terima penarafan 5 bintang dalam ujian Global NCAP

    Maruti Suzuki baru sahaja mendedahkan model generasi baharu untuk sedan sub-empat meter iaitu Maruti Suzuki Dzire 2025 di India minggu ini. Serentak dengan itu, model tersebut telahpun dihantar secara sukarela untuk diuji oleh Program Penilaian Kereta Baharu Global (Global NCAP), dan telah menerima penarafan lima bintang.

    Dalam ujian berkenaan, Maruti Suzuki Dzire 2025 menerima lima bintang untuk perlindungan penumpang dewasa dan empat bintang untuk keselamatan penumpang kanak-kanak. Ini menjadikan Dzire generasi baharu ini sebagai model pertama Maruti Suzuki yang menerima penarafan lima bintang dari Global NCAP.

    “Penilaian lima bintang Dzire baharu menetapkan penanda aras keselamatan yang ketara untuk Maruti Suzuki berbanding versi sebelumnya model ini dan lain-lain daripada Maruti yang telah kami uji. Global NCAP sangat mengalu-alukan keputusan ujian sukarela yang penting ini. Kami optimis Maruti akan berusaha untuk mencapai tahap prestasi keselamatan yang tinggi ini di seluruh rangkaian model mereka. Jika mereka melakukannya, ia akan merubah standard keselamatan kenderaan untuk pengguna India,” kata presiden eksekutif Yayasan Towards Zero, David Ward.

    Maruti Suzuki Dzire 2025 – sedan murah terima penarafan 5 bintang dalam ujian Global NCAP

    Walau bagaimanapun, protokol ujian pelanggaran Global NCAP ini hanya membuat ujian perlindungan impak hadapan, impak sisi dan tiang sisi serta hanya mewajibkan sistem Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan perlindungan pejalan kaki. Maruti Suzuki Dzire 2025 ini dilengkapi dengan enam-beg udara, ESC dan perlindungan pejalan kaki secara standard untuk semua varian. Model ini langsung tidak diberikan fungsi-fungsi bantuan pemanduan seperti brek kecemasan automatik, pemantau titik buta dan sebagainya.

    Tidak seperti model generasi sebelumnya di mana Dzire merupakan versi sedan untuk Suzuki Swift, Dzire generasi baharu ini tidak dibangunkan bersama Swift dan ia sememangnya terus dalam versi sedan. Ia menampilkan dimensi panjang 3,995mm, lebar 1,735mm, tinggi 1,525mm dan juga jarak roda sejauh 2,450mm. Jadi ia adalah 155 mm lebih pendek dengan jarak roda 5 mm lebih dekat berbanding Perodua Bezza di Malaysia.

    Namun ia masih lagi berkongsi enjin yang sama dengan Swift generasi baharu iaitu enjin Z12E 1.2 liter tiga-silinder NA menghasilkan kuasa 82 PS dan tork maksima 108 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear lima kelajuan sama ada manual sepenunhya atau dalam versi AMT. Ia dijual pada harga bermula 679,000 (RM36k) sehingga 1,014,000 (RM53k).

     
     
  • VinFast terima RM4.4b dari Emirates Driving Company – latihan pemandu, keselamatan jalan raya, EV

    VinFast terima RM4.4b dari Emirates Driving Company – latihan pemandu, keselamatan jalan raya, EV

    VinFast telah menandatangani perjanjian sefahaman (MoU) dengan kumpulan pelabur yang diketuai oleh
    Emirates Driving Company (EDC), menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Emirates Driving Company (EDC) merupakan penyedia pendidikan di Abu Chabi, dan VinFast dilaporkan bagak menerima sekurang-kurangnya US$1 bilion (RM4.4 bilion) dari kumpulan terbabit menerusi perjanjian tidak-terikat, menurut laporan Bloomberg. Sementara itu, Reuters pula melaporkan bahawa tidak ada jangka masa yang jelas untuk pembiayaan daripada kumpulan terbabit.

    Selain akses kepada pembiayaan di bawah perjanjian itu, VinFast berpeluang mendapat manfaat daripada kepakaran EDC dalam latihan pemandu dan keselamatan jalan raya, serta sokongan pembangunan ekosistem kenderaan elektrik (EV) yang komprehensif, kata VinFast. Ia susulan pelancaran model VinFast di pasaran Timur Tengah akhir Oktober lalu.

    VinFast menyasarkan untuk “meningkatkan pengeluaran EV global, memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pengangkutan mesra alam sekitar, serta meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya,” dan untuk mengesahkan komitmen EDC dalam menangani cabaran alam sekitar dan iklim di Timur Tengah, kata kenyataan itu lagi.

    “EDC kini berhasrat untuk menjadi peneraju dalam sektor mobiliti secara keseluruhan dan memainkan peranan penting dalam industri ini, meletakkannya di barisan hadapan mobiliti pintar, dan elektrifikasi serta autonomi kenderaan. Kami mengiktiraf potensi besar pengangkutan elektrik di seluruh dunia, dan kami amat optimistik tentang prospek VinFast di Timur Tengah,” kata ketua eksekutif EDC Khaled Al Shemeili.

     
     
  • Honda Amaze 2025 – teaser disiar; sedan segmen-A dengan muka seperti HR-V, belakang seperti City

    Honda Amaze 2025 – teaser disiar; sedan segmen-A dengan muka seperti HR-V, belakang seperti City

    Honda bakal mendedahkan model generasi ketiga Honda Amaze pada bulan depan, di mana sedan dengan saiz seperti Perodua Bezza berkenaan akan membuat kemunculan sulung globalnya di India pada 4 Disember nanti. Sebelum didedahkan, beberapa teaser sudah pun disiarkan, dan terbaharu Honda menunjukkan lakaran sedan segmen-A generasi baharu itu.

    Dari lakaran ini dapat dilihat Amaze 2025 ini menampilkan muka yang dipengaruhi dari rekaan Honda HR-V, dengan lampu hadapan berbentuk trapezoid bersama gril besar berbentuk heksagon. Namun pada bampar Amaze hadir dengan identiti tersendiri dengan gril bawah serta liang udara sisi yang memberikan illusi huruf-X pada mukanya.

    Manakala pada bahagian belakang, rekaan lampu penutup but dan juga bampar nampaknya memang dipengaruhi sepenuhnya oleh rekaan ‘abangnya’ yang lebih besar iaitu sedan segmen-B Honda City. Dalam lakaran ini juga menunjukkan Amaze menerima set rim pelbagai jejari sama seperti model-model terkini keluaran Honda.

    Honda Amaze 2025 – teaser disiar; sedan segmen-A dengan muka seperti HR-V, belakang seperti City

    Amaze nampak begitu sporty dalam lakaran ini kerana ia menampilkan rupa yang lebar dan rendah. Namun bagi model produksi sebenar kelak, boleh dijangka ia masih akan tampil dengan rekaan yang ‘kurus dan tinggi’ seperti sedan segmen-A lain bagi membolehkan ruang dalamannya terasa luas walaupun saiz sebenarnya kecil.

    Teaser kali ini turut disertakan dengan lakaran dalam kabin, di mana Amaze dilihat akan menerima papan pemuka dengan rekaan sama seperti pada SUV segmen-A Honda Elevate, atau dikenali sebagai WR-V di Jepun (langsung tidak sama dengan WR-V di ASEAN termasuk Malaysia). Ini juga mungkin petunjuk bahawa Amaze 2025 mungkin diasaskan dari platform sama seperti Elevate.

    Papan pemuka tersebut menampilkan rekaan mendatar dengan diberikan liang penghembus segi-empat, kawalan penghawa dingin digital, skrin infotainmen berdiri sendiri dan juga hadir dengan tema warna hitam-beige.

    Buat masa sekarang Honda Amaze generasi sedia ada dijual di India pada harga sekitar RM50k hingga RM65k. Ia ditawarkan sama ada dengan enjin petrol i-VTEC 1.2 liter NA atau enjin diesel i-DTEC 1.5 liter dengan pilihan kotak gear manual atau CVT. Dijangka model generasi baharu ini mungkin akan menampilkan pilihan unit rangkaian kuasa yang sama.

     
     
  • Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai WCE Banting ke Gelang Patah sedang diperhalusi – Menteri KKR

    Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai WCE Banting ke Gelang Patah sedang diperhalusi – Menteri KKR

    Mengenai perkembangan projek pembinaan Lebuh Raya Pesisiran Pantai (WCE) dari Banting, Selangor ke Gelang Patah, Johor, Menteri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata, kementeriannya masih memperhalusi perkara tersebut.

    Katanya, pihaknya juga sudah berhubung dengan beberapa kementerian lain termasuk Kementerian Ekonomi berkenaan pembinaan itu, laporan Berita Harian.

    “Cadangan pembinaan WCE dari Banting ke Gelang Patah ini diumumkan dalam Belanjawan 2025 pada 18 Oktober lalu. Jadi, buat masa sekarang kita masih memperhalusi proses, kelulusan, seterusnya kerja dan bagaimana hendak laksanakan seperti jajaran dan kerja-kerja yang sepatutnya,” katanya.

    Dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengumumkan Projek Lebuh Raya WCE Banting-Gelang Patah, yang akan mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam Swasta (PPP) akan diberi keutamaan tahun depan.

    Dengan adanya laluan penghubung antara Lebuhraya WCE dari Banting ke Gelang Patah yang merentasi daerah Pontian, ia dikatakan mampu memberi manfaat dan limpahan ekonomi kepada penduduk di jajaran berkenaan, termasuk pelebaran dan penambahbaikan jalan raya di sepanjang kawasan berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025