Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BYD Sealion 7 dibuka tempahan di Malaysia — SUV EV lawan Tesla Model Y dengan 530 PS, bateri 91.3 kWh

    BYD Sealion 7 dibuka tempahan di Malaysia — SUV EV lawan Tesla Model Y dengan 530 PS, bateri 91.3 kWh

    BYD Malaysia telah mula membuka tempahan untuk model Sealion 7. Ini disahkan menerusi satu hantaran melalui media sosial yang juga telah menunjukkan kereta berkenaan sepenuhnya selepas beberapa iklan teaser sebelum ini.

    Dengan ukuran dimensi 4,830 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,620 mm tinggi dengan jarak roda 2,930 mm, SUV elektrik ini adalah pesaing langsung kepada Tesla Model Y dan mungkin juga akan ditawarkan dengan tanda harga yang hampir sama, sepertimana Seal diposisikan berhadapan dengan Model 3. Boleh dijangkakan Sealion akan diberikan tanda harga yang lebih tinggi berbanding model sedan berkenaan, yang ketika ini dijual dengan harga RM163,800 dan RM199,800.

    Sealion 7 sebenarnya lebih mirip dengan Song L — sebuah lagi SUV elektrik gaya coupe dengan badan panjang dan bumbung rendah — berbanding Sealion 6 DM-i plug-in hybrid yang lebih konvensional. Rekaannya pula meminjam lebih banyak daripada Seal, misalnya lampu utama bentuk C, bukaan udara besar, lampu belakang lebar penuh dan diffuser besar di belakang.

    BYD Sealion 7 dibuka tempahan di Malaysia — SUV EV lawan Tesla Model Y dengan 530 PS, bateri 91.3 kWh

    Ruang dalaman juga lebih menarik berbanding model BYD sebelum ini. Ada papan pemuka dua lapisan yang meletak dengan kemas kluster instrumen digital 10.25-inci dan juga panel penumpang dengan pencahayaan. Skrin besar 15.6-inci boleh pusing kekal ada, menampilkan ciri antaranya seperti augmented reality head-up display 50-inci, balutan kulit Nappa, bumbung kaca panoramik, kerusi berliang dengan pemanas di depan dan belakang serta sistem bunyi Dynaudio 12-pembesar suara.

    Sealion 7 ditawarkan dengan dua pilihan janaan kuasa. Model asas dengan motor tunggal menjana sebanyak 313 PS (230 kW) dan 380 Nm yang dikuasai oleh bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) 82.56 kWh, dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat.

    Bagi model AWD pula, ia menerima tambahan motor di depan dengan janaan 218 PS (160 kW) dan 310 Nm, menjadikan output keseluruhan sistemnya ialah 530 PS (390 kW) dan 690 Nm, dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 2.2 saat lebih cepat pada 4.5 saat. Versi ini menggunakan bateri 91.3 kWh, dan disokong dengan pengecasan pantas DC sehingga 230 kW berserta dengan senibina elektrikal 800-volt.

    Adakah penawaran Sealion 7 ini cukup menarik untuk pasaran Malaysia?

     
     
  • Suzuki DR-Z4S dan DR-Z4SM diperkenal – enjin satu silinder 398 cc, lima kelajuan, TC, ABS boleh tutup

    Suzuki DR-Z4S dan DR-Z4SM diperkenal – enjin satu silinder 398 cc, lima kelajuan, TC, ABS boleh tutup

    Model dual purpose daripada Suzuki, yang sudah wujud sejak tahun 2000 dan mempunyai ramai peminat, iaitu DRZ 400 akhirnya diberikan peningkatan menyeluruh dengan pengenalan model tahun 2025 yang ditawarkan dalam dua versi iaitu DR-Z4S untuk kegunaan lasak atau enduro dan DR-Z4SM yang lebih kepada penggunaan atas jalan biasa atau juga boleh dipanggil sebagai supermoto.

    Hampir keseluruhan bahagian motosikal ini adalah baru berbanding model sebelumnya yang sudah lama tidak diberi peningkatan, termasuk kerangka, yang dibuat daripada tiub besi, manakala bahagian penyokong tempat duduk dan lengan ayun menggunakan aluminium.

    Menurut Suzuki, DR-Z4 2025 mendapat enjin baru, yang merupakan unit satu silinder empat strok DOHC penyejukan cecair berkapasiti 398 cc dengan sistem suntikan bahan api dan injap intake titanium, mampu menghasilkan 38 PS dan tork 37 Nm. Transmisi bagaimanapun masih lagi lima kelajuan, tetapi dengan klac slipper yang dipanggil oleh Suzuki sebagai Suzuki Clutch Assist System (SCAS). Enjin ini juga mematuhi tahap emisi Euro 5+

    Kini menggunakan pendikit ride-by-wire RBW), DR-Z4 2025 dapat menyediakan ciri elektronik seperti mod tunggangan (A,B dan C) dan kawalan cengkaman (1, 2, Gravel dan boleh ditutup terus). Untuk sistem ABS, ia mendapat tetapan dual-channel, yang bukan setakat boleh ditutup untuk roda belakang sahaja, tetapi juga untuk kedua-dua roda (DR-Z4S sahaja).

    Informasi penting motosikal dipaparkan melalui panel instrumen LCD ringkas, namun serba lengkap dengan penunjuk kedudukan gear, mod tunggagan dan tahap minyak. Di bawahnya terdapat butang khas untuk kawalan sistem ABS.

    Beza utama antara DR-Z4S dan DR-Z4SM adalah di bahagian rim, dengan DR-Z4S mendapat unit spoked 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, sementara DR-Z4SM pula menggunakan unit 17 inci di kedua-dua bahagian – juga jenis spoked. Untuk brek, tetapan cakera tunggal 270 mm di hadapan dan 240 mm di belakang masih sama, tetapi ABS pada DR-Z4SM hanya boleh ditutup untuk roda belakang (ABS hadapan kekal aktif).

    Suzuki DR-Z4S dan DR-Z4SM diperkenal – enjin satu silinder 398 cc, lima kelajuan, TC, ABS boleh tutup

    Pada kedua-dua versi DR-Z4 2025 ini, suspensi yang digunakan adalah daripada Kayaba, terdiri daripada fork USD di hadapan, dan monoshock di belakang, dan kedua-duanya boleh dilaras untuk mampatan dan lantunan. Bezanya adalah pada jarak gerak, iaitu 280 mm di hadapan dan 296 mm di belakang untuk DR-Z4S, dan 260 mm/277 mm untuk DR-Z4SM.

    Dengan tetapan ini, kedudukan DR-Z4S juga menjadi lebih tinggi, dengan mencatat jarak kelegaan dari tanah 300 mm dan tinggi tempat duduk 920 mm, manakala DR-Z4SM mencatat 260 mm/890 mm. Tangki bahan api kedua-duanya adalah 8.7 liter DR-Z4S adalah lebih ringan dengan catatan berat keseluruhan (dengan minyak) 151 kg, manakala DR-Z4SM 154 kg.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada DR-Z4 2025 adalah termasuk semua lampu jenis LED, pemula enjin elektronik (tiada penendang kaki), pelindung bawah enjin serta pemegang aluminium. Harga untuk DR-Z4 ini masih belum didedahkan dan menarik untuk kita lihat nanti bagaimana kedudukannya berbanding model lain yang ditawarkan oleh Suzuki.

    GALERI: Suzuki DR-Z4S 2025

    GALERI: Suzuki DR-Z4SM 2025

     
     
  • Pengguna EV tidak akan kembali kepada kereta petrol; ia seperti dari kereta kembali ke kuda – wakil Geely

    Pengguna EV tidak akan kembali kepada kereta petrol; ia seperti dari kereta kembali ke kuda – wakil Geely

    Ketua komunikasi global Geely Holding Group, Ashley Sutcliffe menyatakan bahawa kenderaan elektrik (EV) kini mempunyai momentum diperingkat global kerana pengguna-pengguna yang sudah beralih menggunakan EV tidak akan kembali semula untuk memiliki kereta petrol.

    Sutcliffe menegaskan bahawa faktor ini yang berpotensi untuk mengubah pasaran, dan China kini berada di barisan hadapan dalam peralihan berkenaan.

    “Seperti membeli kereta tetapi kembali (menggunakan) kuda, sudah tentu tidak selesa. Saya dengan selesa memandu sejauh 3,000 kilometer di jalan raya, dan bil elektrik sebanyak 415 yuan (kira-kira RM255). Sekiranya menggunakan kereta berkuasa petrol, kosnya membabitkan sekurang-kurangnya 1,500 yuan.

    Pengguna EV tidak akan kembali kepada kereta petrol; ia seperti dari kereta kembali ke kuda – wakil Geely

    “Harga petrol di sini sekali ganda lebih mahal daripada harga di Malaysia, menjadikannya sangat mahal untuk digunakan di sini,” katanya kepada sekumpulan wartawan Malaysia yang berkunjung ke Ibu Pejabat Geely di Hangzhou anjuran Persatuan Persahabatan Malaysia-China baru-baru ini, lapor Bernama.

    Sutcliffe menyatakan bahawa EV menyumbang 53% kepada jualan kereta bulanan China dalam beberapa bulan kebelakangan ini, atau sekitar dua juta unit sebulan. Beliau menambah ini menunjukkan penerimaan yang meluas untuk EV pada pasaran China. Dan lonjakan ini turut didorang infrstruktur pengecas EV yang semakin meluas dan harga yang berpatutan.

    Beliau turut menyatakan bahawa harga untuk EV semakin murah di China dimana sebelum ini ia dijual pada harga sekitar 500,000 yuan hingga 600,000, tetapi ia kini sudah mula ditawarkan pada harga serendah 30,000 yuan, membolehkan ia diakses pasaran lebih luas.

    “Jadi, apabila anda mempunyai kapasiti untuk berkembang bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, harga akan susut namun penggunaan akan meningkat, katanya dan menambah walaupun pasaran EV Malaysia masih di peringkat awal ketika ini, namun ia mempunyai potensi yang cerah.

    Pengguna EV tidak akan kembali kepada kereta petrol; ia seperti dari kereta kembali ke kuda – wakil Geely

    Dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Malaysia menyasarkan EV akan membentuk 80% daripada jumlah industri negara pada 2040, dengan rancangan mewujudkan 10,000 stesen pengecas pada 2025, dan meningkatkan bilangan EV kepada 500,000 menjelang 2030.

    Oleh itu Sutcliffe yakin bahawa sumber tenaga boleh baharu di Malaysia seperti solar, angin dan hidro akan memudahkan pembangunan infrastruktur EV tersebut. “Saya percaya Malaysia akan menjadi peneraju tenaga baharu pada masa hadapan,” katanya.

    Menurutnya lagi inisiatif dari kerajaan dalam memulakan pembangunan infrastruktur juga adalah penting. “Apabila kerajaan memberikan dorongan pertama, pembangunan itu akan terus bergerak,” ujarnya lagi.

     
     
  • Honda dedah enjin V3 75 darjah dengan supercharger elektrik – akan diguna pada model kapasiti lebih tinggi

    Honda dedah enjin V3 75 darjah dengan supercharger elektrik – akan diguna pada model kapasiti lebih tinggi

    Selain memperkenalkan beberapa model elektrik yang lebih fokus kepada penggunaan urban, Honda juga menunjukkan satu lagi langkah mereka ke arah dunia elektrifikasi – menambah supercharger jenis turbin (centrifugal) elektrik kepada enjin pembakaran dalaman.

    Spesifikasi terperinci untuk enjin yang dikatakan oleh Honda sebagai yang pertama di dunia ini masih belum didedah, tetapi mereka memberitahu ia akan digunakan pada model yang mempunyai enjin berkapasiti lebih besar – berkemungkinan atas 500 cc.

    Apa yang mahu ditunjukkan oleh Honda pada tempoh awal ini adalah bagaimana tetapan enjin ini boleh dimasukkan sebagai satu pakej pada sebuah motosikal. Anda boleh melihat enjin V3 75 darjah itu melibatkan dua silinder menghadap ke hadapan, dan satu lagi menghadap ke belakang.

    Kemudian, supercharger itu terlindung di dalam rangka, di atas dua silinder hadapan. Menarik untuk kita lihat nanti, bagaimana pula Honda akan meletakkan tangki bahan api, yang biasanya tenggelam sedikit di bahagian yang menempatkan supercharger tersebut.

    Menurut Honda, dengan penggunaan supercharger jenis elektrik ini, mereka boleh mengawal mampatan udara yang masuk untuk disesuaikan dengan tahap rpm, sekaligus tork dengan respons yang pantas dapat disampaikan termasuk pada kadar rpm rendah. Selain daripada itu, ia juga lebih kompak dan tidak memerlukan intercooler.

     
     
  • Honda Civic, Civic Type-R, CR-V dipanggil semula sebab masalah stereng — 36,000 unit terlibat

    Honda Civic, Civic Type-R, CR-V dipanggil semula sebab masalah stereng — 36,000 unit terlibat

    Ini perkembangan yang baru masuk: Honda Malaysia (HMSB) telah umumkan panggilan semula melibatkan 36,000 unit model terbaru Civic, CR-V dan Civic Type-R berkaitan masalah dengan sistem stereng kuasa elektrik (EPS). Model-model yang terkesan ialah dari tahun 2022 hingga 2024 bagi Civic, tahun 2024 bagi CR-V dan 2023 hingga 2024 bagi Civic Type R.

    Panggilan semula ini adalah untuk kotak gear EPS berkenaan, yang mana ada bahagian di dalam yang mungkin boleh mengembang dan mengurangkan ketebalan filem grease, menyebabkan “bunyi stereng yang luar biasa atau kendalian stereng tidak lancar”.

    HMSB memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku, dengan menambah model-model sama yang ketika ini sedang dikeluarkan bagaimanapun tidak terkesan dengan masalah yang sama.

    Semua pemilik yang terkesan akan dimaklumkan melalui surat makluman yang mengandungi perincian panggilan semula tersebut digesa untuk menghubungi pengedar sah Honda terdekat dengan segera dan adakan temujanji untuk kereta mereka diperiksa, dan jika perlu, untuk diperbaiki. Semua kos pemeriksaan, baik pulih dan/atau penggantian akan ditanggung oleh HSMB.

    Alat ganti akan tersedia secara berperingkat bermula Disember 2024.

     
     
  • Toyota Corolla Altis Hybrid 2024 di Thai – bateri lithium-ion baru, rekaan semula GR Sport, dari RM130k

    Toyota Corolla Altis Hybrid 2024 di Thai – bateri lithium-ion baru, rekaan semula GR Sport, dari RM130k

    Walau tidak banyak perubahan sejak 2019, Toyota Corolla Altis sedan (atau dikenali sebagai Corolla di Malaysia) telah pun diberikan peningkatan berbanding model biasa kerana terlahirnya versi Hybrid, atau dipanggil HEV, yang turut menerima perubahan mekanikal.

    Secara spesifiknya, bateri nickel-metal hydride yang pernah digunakan oleh Toyota sejak model Prius telah pun digantikan dengan pek lithium-ion. Kapasitinya juga telah ditambah sedikit dari 3.6 Ah kepada 4 Ah, menghasilkan penambahbaikan yang lebih menjimatkan bagi penggunaan bahan api iaitu sekitar 23.8 km per liter, berbanding 23.3 km per liter sebelum ini.

    Toyota Corolla Altis Hybrid 2024 di Thai – bateri lithium-ion baru, rekaan semula GR Sport, dari RM130k

    Selain daripada itu, penjana kuasa hibridnya tidak banyak berubah, mengekalkan unit 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran-Atkinson Dual VVT-i empat-silinder dengan 98 PS dan 142 Nm, motor elektrik 72 PS/163 Nm dan juga eCVT, sekaligus menghasilkan keseluruhan kuasa cecah 122 PS.

    Model HEV ini juga diberikan rekaan GR Sport dengan gril bawah yang lebar sepenuhnya bersama kemasan segi empat tepat, yang diinspirasikan dari GR Yaris facelift. Selain itu, lampu belakang LED dan kemasan hitam di bahagian bumbung, lid spoiler pada but belakang dan roda aloi pelbagai-jejari 17-inci turut diberikan.

    Toyota Corolla Altis Hybrid 2024 di Thai – bateri lithium-ion baru, rekaan semula GR Sport, dari RM130k

    Di dalamnya, kini diberikan tali pinggang keledar merah, roda stereng dengan lencana GR, kemasan pintu Smoked Silver dan ditambah dengan larasan lumbar untuk tempat duduk hadapan bersama larasan kuasa lapan-cara. Material kulit tiruan dan suede upholstery dengan jahitan merah dan perehat kepala bersulam GR antara ciri unik bagi GR Sport. Model ini juga diberikan stereng kuasa elektrik yang ditala semula dengan gegelung, damper dan palang anti-olengan spesifik-GR.

    Kedua-dua varian HEV iaitu GR Sport dan HEV Premium, turut menerima lencana baharu HEV yang mengantikan lambang “Hybrid” lama Toyota. Bagi GR Sport ini, semua model turut menerima pilihan warna baharu Cement Grey. Harga yang ditetapkan mengalami sedikit peningkatan, dengan HEV Premium kini 1,009,000 baht (RM130,200) dan HEV GR Sport pula 1,129,000 baht (RM145,700).

     
     
  • MyKad, e-Wallet dipertimbang untuk subsidi RON 95

    MyKad, e-Wallet dipertimbang untuk subsidi RON 95

    Seperti yang dinyatakan dalam pembentangan Belanjawan 2025, subsidi bersasar bagi petrol RON 95 akan mula dilaksanakan pada pertengahan tahun depan. Ada dua perkara penting yang perlu ditentukan sebelum itu: siapa yang tidak akan menerimanya dan bagaimana ia diagihkan.

    Dua tahap harga di pam atau pilihan yang ditentukan oleh jenis kenderaan adalah antara kaedah yang diperhalusi sebelum ini. Selain itu, kerajaan juga sedang mempertimbangkan penggunaan MyKad serta e-Wallet sebagai cara untuk mengagihkan subsidi bersasar tersebut.

    Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan yang memaklumkan bahawa itu menjadi antara penyelesaian yang boleh menentukan siapa yang sewajarnya menerima bantuan subsidi dan siapa yang tidak, lapor The Star.

    MyKad, e-Wallet dipertimbang untuk subsidi RON 95

    Beliau juga menekankan yang penyelarasan semula subsidi RON95 adalah perlu, tetapi tidak akan memberi kesan kepada 85% rakyat Malaysia. Menurutnya, berdasarkan data semasa, dijangkakan lebih 40% penggunaan petrol adalah oleh warga asing, sektor komersial dan penyeludupan.

    “Dengan tahap subsidi petrol RON 95 adalah sekitar RM20 bilion setahun, jika ketirisan kepada warga asing, sektor komersial dan golongan kaya boleh diselesaikan, negara akan dapat jimat sehingga RM8 bilion setahun,” jelasnya.

    Beliau menambah, kerajaan masih dalam usaha untuk menetapkan kriteria bagi kelompok T15, yang tidak akan menikmati subsidi bahan api sebaik sahaja program penyelarasan semula itu bermula. Beliau memaklumkan yang kerajaan tidak hanya akan bergantung kepada data Jabatan Statistik berkaitan kajiselidik pendapatan isi rumah untuk menentukan kelayakan. “Kami akan mempertimbangkan pandangan semua pihak,” jelasnya.

     
     
  • Proton jual 12,799 unit kenderaan pada Okt 2024, naik 13.6%, tapi jualan YTD turun 3.1% berbanding 2023

    Proton jual 12,799 unit kenderaan pada Okt 2024, naik 13.6%, tapi jualan YTD turun 3.1% berbanding 2023

    Proton telah mengumumkan bahawa ia telah berjaya menjual sebanyak 12,799 unit (domestik+eksport) kenderaan sepanjang Oktober 2024, atau naik 13.6% berbanding bulan sebelumnya. Kenaikan ini dipacu oleh kenaikan jumlah volum industri (TIV) yang dijangka mencapai 70,668 unit, berbanding hanya 56,067 unit pada September.

    Dengan angka jualan berkenaan, jumlah jualan kumulatif tahunan (YTD) sehingga Oktober sudahpun mencapai 125,557 unit. Namun jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lalu di mana rekod jualan mencecah 129,604 unit, jualan YTD berkenaan sebenarnya jatuh sebanyak 3.1%.

    Walau bagaimanapun kedudukan Proton sebagai jenama kedua paling laris di Malaysia masih lagi utuh dengan ramalan bahagian pasaran sebanyak 18.1% untuk Oktober dan angka YTD sebanyak 18.9% untuk keseluruhan 2024. Dengan baki dua bulan lagi untuk dihabiskan tahun ini, Proton juga masih mensasarkan bahawa ia bakal mencatatkan pertumbuhan jualan untuk tahun keenam berturut-turut.

    Seperti biasa, model paling mampu milik jenama tersebut iaitu Saga masih menjadi model paling larisnya dengan terjual sebanyak 6,112 unit sepanjang bulan Oktober 2024, kekal sebagai model kedua paling laris dalam saingan sedan segmen-A dalam negara. Jualan YTD Saga untuk 2024 pula telah mencecah 60,178 unit, menjadikannya model ketiga paling laris di Malaysia secara keseluruhan. Proton mensasarkan Saga akan terjual sebanyak 72,000 unit tahun ini, bagi mengekalkan rekod jualan tahunan melebihi 70,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut.

    Selain itu, Proton mempunyai tiga model yang menerajui segmen masing-masing iaitu X50, X90 dan S70. X50 terjual sebanyak 2,122 unit sepanjang Oktober, dan kini mencecah 19,122 unit untuk jualan tahunan, membolehkan ia terus selesa sebagai SUV segmen-B paling laris secara keseluruhan. Manakala Proton X90 pula telah mencatatkan jualan sebanyak 245 unit bulan lalu, dan jualan tahunannya telah mencapai 2,969 unit.

    Dan, model sedan segmen-C Proton sekali lagi menjadi model paling laris dalam kelasnya pada Oktober dengan jualan sebanyak 1,432 unit, dan jualan tahunannya telah mencecah 16,200 unit. Proton turut berharap dengan penampilan jentera lumba Proton S70 yang dibina oleh sayap perlumbaan rasminya iaitu R3 untuk perlumbaan Sepang 1000KM pada bulan ini bakal meningkatkan lagi momentum jualan model berkenaan.

    Proton jual 12,799 unit kenderaan pada Okt 2024, naik 13.6%, tapi jualan YTD turun 3.1% berbanding 2023

    Proton juga berpuashati dengan jualan untuk tiga lagi modelnya sepanjang Oktober iaitu Persona dengan jualan sebanyak 1,520 unit (ketiga dalam sedan segmen-B), X70 sebanyak 989 unit (ketiga dalam SUV segmen-C) dan Iriz sebanyak 379 (keempat dalam hatchback segmen-B).

    “Suku terakhir 2024 akan menjadi tempoh yang mencabar bagi pemain automotif. Kemasukan jenama dan produk baharu bersama-sama dengan kesungguhan untuk mencapai sasaran jualan sebelum mengakhiri tahun akan membuka pelbagai tawaran untuk pembeli kereta baharu. Dalam jangka pendek, ini akan menyebabkan TIV melebihi 800,000 unit untuk tahun kedua berturut-turut, tetapi ini merupakan strategi perniagaan yang kurang mamapan bagi jangka panjang kerana akan menjejaskan nilai baki kenderaan. Oleh itu, Proton kekal fokus untuk memastikan kami mengekalkan nilai kereta pelanggan kami dengan meningkatkan kualiti produk dan menyampaikan pengalaman jualan dan servis perkhidmatan selepas jualan yang unggul melalui 157 cawangan 3S/4S kami di seluruh negara.

    “Menjelang tahun baharu, syarikat akan membina asas untuk memainkan peranan utama dalam pasaran EV. Proton e.MAS telah pun dipratonton kepada beribu-ribu bakal pembeli dan akan mengadakan pelancaran besarnya pada bulan Disember, dengan 36 pengedar mewakili jenama itu. Pada masa yang sama, kerja-kerja menawarkan lebih nilai kepada pemilik Proton semasa diteruskan melalui kemas kini pengaturcaraan OTA yang meningkatkan pengalaman pengguna dalam semua model pintar kami,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

     
     
  • SmartLane hanya untuk kereta dan motosikal sahaja

    SmartLane hanya untuk kereta dan motosikal sahaja

    Semakin ramai pengguna jalan raya yang sudah menyedari fungsi laluan SmartLane, di mana lorong kecemasan diaktifkan di beberapa laluan lebuhraya terpilih dalam tempoh yang ditetapkan, dan ternyata ia terbukti efiesien.

    Bertujuan untuk membantu melancarkan aliran trafik dengan mengoptimumkan semua lorong yang tersedia dan meningkatkan kapasiti di laluan kritikal di lebuh raya, sistem itu tidak dinafikan telah membantu mengurangkan kesesakan semasa musim perayaan dan waktu puncak.

    Walau bagaimana pun, laluan SmartLane adalah untuk kenderaan ringan sahaja iaitu kenderaan Kelas 1 (kenderaan persendirian seperti kereta, SUV dan MPV) dan motosikal. Itulah yang disebutkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) menerusi perkongsiannya di laman Facebook rasminya tempoh hari.

    Ini bermakna, kenderaan yang lebih besar dan berat termasuk trak, lori dan bas tidak dibenar menggunakan laluan SmartLane ini. Harap peringatan yang dikeluarkan oleh KKR ini tidak diambil ringan oleh semua pengguna jalan raya. Sila patuhi peraturan lalu lintas yang ditetapkan dan terus amalkan pemanduan berhemah.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JXN dan RAX sedia untuk dibida

    Bagi yang memerlukan untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Perlis ini bersedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXN bakal dibuka bidaan mulai 7 November. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 11 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 12 November 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Perlis, RAX, bakal dibuka bidaan mulai 9 November 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 13 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 14 November 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • KTM 990 Duke R diperkenal – kuasa bertambah 7 hp, suspensi, brek dan meter TFT turut dipertingkat

    KTM 990 Duke R diperkenal – kuasa bertambah 7 hp, suspensi, brek dan meter TFT turut dipertingkat

    Selepas hampir satu tahun 990 Duke dilancarkan kepada pasaran, KTM kini memperkenalkan pula versi prestasi bagi model naked itu, 990 Duke R. Pelbagai bahagian dinaik taraf, bagi menjadikannya lebih agresif dan lebih fokus ke arah prestasi.

    Bermula pada penampilannya, 990 Duke R ini mendapat panel badan plastik yang lebih banyak menggunakan warna putih, sementara kerangkanya termasuk yang di belakang dicat warna oren. Kemudiannya, dalam keadaan standard ia datang dengan tetapan satu tempat duduk, namun boleh ditukar kepada panel kusyen di belakang untuk membawa penumpang.

    Pada bahagian enjin, unit dua silinder selari 947 cc LC8c yang digunakan kini mampu menghasilkan 7 PS lebih tinggi berbanding 990 Duke biasa, menjadi 130 PS, sementara tork masih kekal 103 Nm pada 10,500 rpm. Tiga mod tunggangan standard seperti 990 Duke sebelum ini masih ada, tetapi ditambah dengan satu lagi mod Custom yang boleh diubah. Mod Performance dan Track masih ditawarkan sebagai pilihan tambahan.

    Selari dengan peningkatan kuasa ini, KTM juga telah mempertingkat bahagian suspensi dengan fork boleh laras sepenuhnya WP Apex di hadapan dipertingkat kepada unit 48 mm (43 mm pada 990 Duke) yang 34% lebih keras, dengan jarak gerak 143 mm. Monoshock WP Apex (dengan pelarasan lantunan dan pra beban) dan sistem linkage di belakang juga dipertingkat (jarak gerak berkurang 10 mm, menjadi 140 mm).

    Melalui perubahan yang dibuat pada bahagian suspensi ini, selain memberi kesan cengkaman dan kawalan, ia juga menjadikan kedudukan motosikal lebih tinggi – tinggi tempat duduk (840 mm) dan jarak dari tanah bertambah 15 mm. Ia juga membenarkan motosikal condong dengan tambahan tiga darjah lagi.

    Bahagian brek tidak dilupakan. Angkup empat piston biasa pada 990 Duke kini ditambah baik dengan angkup monoblock Brembo Stylema, bersama pam atas Brembo MCS serta cakera yang lebih besar, iaitu bersaiz 320 mm (tetapan berkembar). Belakang menggunakan tetapan cakera dengan angkup satu piston.

    KTM 990 Duke R diperkenal – kuasa bertambah 7 hp, suspensi, brek dan meter TFT turut dipertingkat

    Meskipun ini adalah versi prestasi bagi sebuah model sedia ada, KTM masih tidak berpuas hati dengan peningkatan yang diberi dan turut mengubah bahagian meter. Skrin TFT lima inci pada 990 Duke kini dinaik taraf dengan unit 8.8 inci, yang diletakkan secara mendatar dan mempunyai pelbagai sistem paparan dan sambungan. Akhir sekali, rim 17 inci pada 990 Duke R didatangkan secara standard dengan tayar Michelin Power Cup 2 bersaiz 120/17 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Secara keseluruhannya, berat 990 Duke R ini tidak berubah, masih lagi 190 kg, dan kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 14.8 liter, lampu LED, sistem anti-wheelie lima tahap, kawalan cengkaman, ABS dengan mod Sport dan Supermoto+ serta launch control.

     
     
  • Mercedes-Benz M’sia Luxury Like No Other – saksikan GLC350e dan GLC43 Coupé, G63 FL, GLE63, SL63

    Mercedes-Benz M’sia Luxury Like No Other – saksikan GLC350e dan GLC43 Coupé, G63 FL, GLE63, SL63

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) sedang menganjurkan acara Luxury Like No Other, yang turut diserikan pelancaran bukan satu tetapi enam model baharunya, yang kebanyakannya dari barisan Mercedes-AMG. Tentunya ada sudah membaca liputan meluas kami mengenai pelancaran GLC350e dan GLC43 Coupé, G63 facelift, GLE63S (dalam bentuk biasan dan coupe) dan SL63, tapi kini tiba masanya untuk anda melihat sendiri kesemua model yang disebut itu di hadapan mata.

    Acara Luxury Like No Other dibarisi model-model prestasi dan plug-in hybrid, dianjurkan mulai hari ini sehingga 10 November 2024 bertempat di bilik pameran Cycle & Carriage Bintang Autohaus di Mutiara Damansara. Anda juga berpeluang untuk memandu uji mana-mana model AMG seperti SL43, C63S E Performance dan CLA45S.

    Kita imbas serba sedikit model yang terlibat dengan pelancaran pagi tadi. GLC350e Coupé plug-in hybrid, ditawarkan pada harga RM425,888. Sebagai alternatif kepada model biasa GLC350e, versi PHEV ini dikuasai enjin 2.0 liter M254 turbo 204 PS/320 Nm dan motor elektrik 129 PS/440 Nm. Jumlah keseluruhan kuasa yang terhasil mencecah 313 PS dan tork 550 Nm, serta diberikan bateri berkapsiti 31.2 kWh, dengan jarak gerak elektrik sepenuhnya mampu mencecah 131 km mengikut kitaran WLTP.

    Disertai dengan model terhangat Mercedes-AMG GLC43 4Matic+ Coupé, ditawarkan pada harga RM498,888 dan digandingkan dengan enjin 2.0 liuter M1391 empat-silinder yang diadaptasi dari A45S, menghasilkan 421 PS dan 500 Nm. Turut diberikan unit hibrid ringkas 48-voltan dengan disepadukan bersama starter-generator dipacu tali sawat (BSG) 14 PS/150 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.8 saat.

    Turut diperkenalkan ialah G53 W465 facelift dambaan ramai, menggantikan model W464 sedia ada; yang paling mahal dilancarkan pada hari ini iaitu berharga RM1,948,888. Model ini masih lagi kekal digerakkan oleh enjin M177 4.0 liter V8 disuap pengecas turbo berkembar yang menghasilkan 585 PS dan tork maksima 850 Nm. Namun bagi model facelift ini ia sudah ditambah dengan sistem hibrid elektrik ringkas 48-volt, yang menampilkan unit motor BSG yang memberikan tujahan tambahan 20 PS/200 Nm apabila diperlukan.

    Enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear automatik AMG Speedshift TCT 9G sembilan-kelajuan, bersama sistem pacuan empat-roda kekal yang menampilkan tiga unit locking differential. Padanan ini membolehkan pecutan dari 0-100 km/j dibuat dalam masa 4.4 saat, atau 0.1 saat lebih pantas dari versi sebelumnya.

    Selain itu, GLE63S 4Matic+ dan GLE63S 4Matic+ Coupé facelift turut dilancarkan, ditetapkan pada harga masing-masing RM1,191,888 dan RM1,229,888. Ini merupakan kali pertama GLE V167/C167 ditawarkan di Malaysia, dipadankan dengan versi M177 bersama 612 PS/850 Nm dengan BSG 22 PS/250 Nm. Membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam hanya 3.9 saat dan mampu mencapai kelajuan maksima hingga 280 km/j.

    Satu lagi model prestasi yang menggiurkan, SL63 4Matic+ turut dilancarkan. Menyertai SL43 yang dilancarkan pada tahun lalu dan ia ditawarkan pada harga RM1,898,888. Ia diberikan enjin M177 V8 4.0 liter turbo berkembar yang menjana 585 PS dan tork maksima 800 Nm. Serta digandingkan dengan kotak gear automatik AMG Speedshift MCT 9G sembilan-kelajuan, bersama sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic+ yang membolehkan tork diagihkan pada semua roda atau pemandu boleh memilih agar ia menjadi sebuah jentera pacuan roda belakang sebenar.

    Apa kata jom lihat sendiri model-model PHEV dan prestasi ini menerusi acara Luxury Like No Other yang sedang berlangsung di bilik pameran Cycle & Carriage Bintang Autohaus di Mutiara Damansara dari jam 10 pagi hingga 7 malam. Layari laman web rasmi MBM untuk tempahan slot kehadiran anda.

     
     
  • Suzuki eVitara didedah – SUV EV 2WD & 4WD, dibuat di India, mungkin akan di’rebadge’ sebagai Toyota?

    Suzuki eVitara didedah – SUV EV 2WD & 4WD, dibuat di India, mungkin akan di’rebadge’ sebagai Toyota?

    Suzuki telahpun mendedahkan model elektrik pertamanya, iaitu SUV eVitara. Ini merupakan versi produksi untuk model konsep Maruti Suzuki eVX yang membuat kemunculannya pada Januari 2023.

    Model produksi sebenar eVitara ini menampilkan dimensi panjang 4,275 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,635 mm dan jarak roda sejauh 2,700 mm. Jarak lebar trek roda pula adalah 1,540 mm untuk hadapan dan 1,545 mm untuk belakang, manakala jarak kelegaan tanahhya pula adalah 180 mm.

    Dua kapasiti bateri ditawarkan untuk eVitara ini iaitu 49 kWj dan 61 kWj. Bagi versi bateri 49 kWj, ia hanya dipadankan dalam versi motor tunggal pacuan hadapan yang berkuasa 144 PS dan tork maksima 189 Nm. Manakala versi bateri 61 kWj, ia diberikan motor pada gandar hadapan yang lebih berkuasa iaitu 174 PS/189 Nm, serta pilihan pacuan semua roda menerusi tambahan satu lagi motor berkuasa 65 PS pada gandar belakang membolehkan ia menerima kuasa keseluruhan 184 PS/300 Nm.

    Suzuki eVitara didedah – SUV EV 2WD & 4WD, dibuat di India, mungkin akan di’rebadge’ sebagai Toyota?

    Menurut Suzuki, unit rangkaian kuasa 4WD elektrik pada model ini dikawal oleh sistem Allgrip-e yang didakwa memberikan “kawalan tepat dengan kadar responsif yang cemerlang.” Ia juga diberikan ‘Trail Mode’ yang akan mengelakkan tayar yang tidak mempunyai cengkaman berpusing dengan cara memberikan brek, dan akan mewujudkan kesan seakan menggunakan locking differential, dakwa Suzuki lagi.

    Suzuki masih belum mengumumkan jarak gerak dan juga spesifikasi pengecas untuk eVitara ini, namun ia disasarkan untuk mencapai jarak gerak sejauh 400 km untuk sekali cas dan menerima pengecas DC 150 kW, lapor Autocar.

    eVitara menggunakan platform yang direka khas untuk model-model EV, yang menampilkan struktur ringan serta perlindungan untuk komponen bervoltan tinggi, manakala lantai utamanya juga adalah penutup kepada pek bateri utama bagi memaksimakan kapasiti bateri.

    Suzuki eVitara didedah – SUV EV 2WD & 4WD, dibuat di India, mungkin akan di’rebadge’ sebagai Toyota?

    Model asas dengan bateri 49 kWj mencatatkan berat bermula 1,702 kg, manakala versi dua motor dengan bateri 61 kWj adalah yang paling berat dengan 1,899 kg.

    Menurut presiden Suzuki Motor Corporation Toshihiro Suzuki, pengenalan eVitara ini “mewakili pencapaian penting dalam mencapai neutraliti karbon”, dan penampilan sulung kenderaan elektrik bateri pertama jenama itu akan diikuti dengan pelbagai model BEV yang lain. Namun Suzuki masih akan menawarkan model-model lain yang digerakkan oleh unit rangakaian kuasa hibrid dan CNG yang disesuaikan dengan kawasan tertentu.

    Suzuki eVitara ini akan diproduksi oleh kilang Suzuki Gujarat, India dan bakal dipasarkan secara global termasuk Eropah dan Jepun bermula musim panas hemisfera utara 2025. Sebelum ini Suzuki telahpun menandatangani perjanjian dengan Toyota untuk membekalkan SUV EV kompak dengan sistem 4WD yang diproduksi di kilangnya di India, jadi mungkin eVitara ini turut akan di rebadge sebagai Toyota?

     
     
  • Pandu melulu jadi kesalahan tertinggi sepanjang Ops Deepavali; 6,013 kemalangan termasuk 60 maut – JSPT

    Pandu melulu jadi kesalahan tertinggi sepanjang Ops Deepavali; 6,013 kemalangan termasuk 60 maut – JSPT

    Sebanyak 6,013 kes kemalangan dengan 60 kematian direkodkan sepanjang operasi yang dilaksanakan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) sempena perayaan Deepavali selama empat hari yang bermula 31 Oktober lalu sehingga semalam.

    Menurut Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memandu secara melulu dan merbahaya adalah kesalahan tertinggi yang menyebabkan kemalangan maut sepanjang tempoh yang direkodkan, laporan Harian Metro.

    “Sepanjang operasi berkenaan, JSPT melaksanakan 388 operasi di seluruh negara dan berjaya menahan 97 individu atas pelbagai kesalahan serta menyita 647 kenderaan. Daripada jumlah itu, 91 tangkapan membabitkan kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987, kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (3 tangkapan), Kanun Keseksaan (2 tangkapan) dan lain-lain (1 tangkapan),” katanya.

    Menerusi pelaksanaan Operasi Samseng Jalanan sepanjang perayaan Deepavali, beliau berkata, sebanyak 119 tangkapan direkodkan bagi kesalahan memandu secara melulu dan berbahaya mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Diikuti 45 tangkapan bagi kesalahan nombor pendaftaran palsu atau fancy, lumba haram (2) dan lain-lain (4).

    Pandu melulu jadi kesalahan tertinggi sepanjang Ops Deepavali; 6,013 kemalangan termasuk 60 maut – JSPT

    Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah kemalangan membabitkan motosikal menunjukkan penurunan 10.01% dengan sebanyak 2,461 kes direkodkan dari 12 Ogos sehingga 12 September lalu, berbanding 2,735 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

    “Begitu juga kemalangan maut yang menyaksikan penurunan 113 kes atau 26.03% iaitu 321 kes tahun ini berbanding 434 kes dalam tempoh sama tahun lalu. Jumlah kematian membabitkan penunggang dan pembonceng pula menurun kepada 324 kematian berbanding 436 kematian tahun lalu,” katanya.

    Kata beliau, pelaksanaan operasi dan tangkapan adalah usaha berterusan JSPT dalam menangani isu peningkatan kes kematian akibat kemalangan terutama penunggang dan pembonceng motosikal. Dalam masa yang sama, beliau menyeru pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya dalam mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

     
     
  • Toyota GR86 Rally Legacy Concept – enjin 1.6L turbo, AWD, 6MT dari GR Corolla; bayangan Celica GT-Four?

    Toyota GR86 Rally Legacy Concept – enjin 1.6L turbo, AWD, 6MT dari GR Corolla; bayangan Celica GT-Four?

    Akhir-akhir ini ada pelbagai khabar angin bertiup berkenaan Toyota yang sangat berminat untuk menghidupkan semula model ikoniknya dalam Kejohanan Rali Dunia (WRC) iaitu Celica GT-Four. Dan ini mungkin menjadi penyebab mengapa Toyota bakal hadir dengan sebuah model konsep yang digelar Toyota GR86 Rally Legacy Concept pada acara SEMA tahun ini.

    Toyota Amerika Syarikat telah memberikan tugas untuk membina jentera konsep ini kepada Evasive Motorsport yang berpangkalan di California. Dan seperti namanya, asas kepada kereta konsep ini adalah sebuah Toyota GR86 2024, yang digandingkan dengan unit rangkaian kuasa termasuk enjin, transmisi dan juga sistem pacuan semua roda dari hatchback rali jalan raya GR Corolla!

    Proses untuk memasukkan enjin 1.6 liter tiga-silinder sebaris G16E-GTS dari GR Corolla bagi menggantikkan enjin FA24D 2.4 liter empat-silinder boxer pada perut GR86 ini bukan satu perkara yang mudah. Pertama sekali, enjin G16E-GTS direka sebagai sebuah enjin untuk memacu roda hadapan secara primari dengan kedudukan melintang dalam ruang enjin. Manakala GR86 secara asalnya merupakan model pacuan roda belakang dengan enjin yang diletak secara menegak ke belakang.

    Toyota GR86 Rally Legacy Concept – enjin 1.6L turbo, AWD, 6MT dari GR Corolla; bayangan Celica GT-Four?

    Malah ruang enjin GR86 berkenaan juga direka khas untuk memuatkan enjin boxer yang ‘leper’ di mana kesemua ombohnya dalam keadaan baring, berbanding enjin G16E-GTS yang lebih tinggi dengan kesemua omboh dalam keadaan ‘berdiri’. Untuk itu, satu subframe khas bersama cagak-cagak enjin telah dibina bagi memastikan enjin GR Corolla berkenaan dapat ‘duduk’ dengan selesa dalam ruang enjin GR86 ini.

    Enjin tersebut kini berfungsi dengan kotak komputer perlumbaan di mana aspek seperti penghantaran bahan api, pemasa percikan, kawalan boost turbo dapat dilaras dengan sesuai, selain semua bacaan dari penderia dapat dipantau sepenuhnya. Unit intercooler juga telah ditukar dengan unit lebih berprestasi tinggi, serta diberikan tambahan penyejuk minyak bagi memastikan minyak pelincir dapat berfungsi pada suhu optimum walaupun kereta sedang ‘dilanyak’.

    Toyota menyatakan bahawa enjin berkenaan masih menghasilkan kuasa seperti GR Corolla standard iaitu 300 hp dan tork maksima 370 Nm, namun masih ada banyak ruang untuk menghasilkan kuasa lebih besar dengan membuat talaan semula.

    Toyota GR86 Rally Legacy Concept – enjin 1.6L turbo, AWD, 6MT dari GR Corolla; bayangan Celica GT-Four?

    Bukan hanya enjin, malah kotak gear manual enam-kelajuan, sistem pacuan semua roda GR-Four termasuk gandar hadapan dan belakang dari GR Corolla turut telah disesuaikan sekali pada pada GR86 ini. Hab roda dari GR Corolla juga masih digunakan, jadi suspensi asal GR86 ini turut perlu dirombak sepenuhnya menggunakan penyerap hentak boleh laras serta lengan-lengan yang direka semula sepenuhnya. Malah larasan semula pada rak stereng turut dibuat bagi memastikan ia boleh berfungsi secara optimum.

    Toyota GR86 2024 merupakan model yang kini berada dalam bilik-bilik pameran Toyota dengan rupa paling hampir dengan Celica GT-Four terutamanya untuk model dalam generasi ST185 dan ST205, iaitu sebuah coupe dua-pintu. Jadi dengan hanya mengenakan grafik perlumbaan putih-merah-hijau seperti livery Castrol yang pernah digunakan oleh Celica GT-Four ST205 WRC, GR86 ini sudah seolah-olah sebuah Celica generasi baharu.

    Tidak cukup dengan itu, GR86 turut diberikan spoiler ‘tiang-gol’ dengan tulisan GR-Four seperti spoiler Celica GT-Four, mud-flap berwarna merah, set pod lampu sorot hadapan, set rim Speedline 2013C yang ikonik, membuatkan GR86 Rally Legacy Concept benar-benar seperti Celica GT-Four WRC yang dihidupkan semula.

    Imej sebuah kereta rali juga diberikan pada sebelah dalam dimana semua perapi dan karpet asal telah dibuang, diberikan rollcage, tempat duduk dan tali pinggang perlumbaan, serta set linkage tuil penukar gear yang lebih tinggi diberikan. Namun ada beberapa perincian kereta rali tidak diberikan pada kereta ini antara set brek tangan hidraulik dan komputer trip rali.

    “GR86 Rally Legacy Concept adalah bukti semangat berterusan Toyota untuk perlumbaan rali, kata Michael Tripp, naib presiden pemasaran kumpulan di Toyota Motor North America (TMNA). “Kami membina kereta ini untuk peminat GR dan rali Toyota – ia adalah kereta fantasi yang menjadi kenyataan, cara kami meraikan pencapaian masa lalu kami dan kemungkinan Kejohanan Rali Dunia akan kembali ke Amerika Syarikat,” tambahnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025