Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 5-9 November 2024 di Balai Polis Tun H.S Lee, KL

    Polis beri 50% diskaun saman trafik terpilih pada 5-9 November 2024 di Balai Polis Tun H.S Lee, KL

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih pada 5 hingga 9 November 2024. Di mana kaunter pembayaran saman trafik bersama penawaran diskaun ini akan dibuka dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang bertempat di Balai Polis Trafik Tun H.S Lee, Kuala Lumpur. Semua transaksi pembayaran saman adalah secara tanpa tunai (cashless).

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di sekitar Kuala Lumpur, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Lebih 12,000 kenderaan diperiksa pada hari pertama Ops Khas Motosikal 2024, termasuk 6,756 motosikal

    Lebih 12,000 kenderaan diperiksa pada hari pertama Ops Khas Motosikal 2024, termasuk 6,756 motosikal

    Sebanyak 12,296 kenderaan telah diperiksa di seluruh negara oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada hari pertama pelaksanaan Operasi Khas Motosikal 2024 yang bermula pada 1 November lalu, laporan The Star.

    Daripada jumlah itu, 6,756 daripadanya adalah motosikal, dengan 5,540 kenderaan adalah kenderaan lain, kata Pengarah Penguatkuasa Kanan JPJ Muhammad Kifli Ma Hassan. Hari pertama operasi itu turut menyaksikan tindakan diambil terhadap 1,405 kenderaan termasuk 1,003 motosikal dengan 15 kenderaan lain turut disita.

    “Operasi khas ini dijalankan kerana statistik menunjukkan jumlah kemalangan dan kematian akibat kemalangan jalan raya semakin meningkat, dengan 70% daripada kes ini melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal,” kata Muhammad Kifli.

    Pemeriksaan setakat ini mendapati lebih 50% pengguna jalan raya berumur antara 18 dan 30 tahun, manakala kesalahan biasa termasuk tidak mempunyai lesen, cukai jalan atau insurans, serta pengubahsuaian berlebihan motosikal, kata pengarah penguatkuasa kanan JPJ itu lagi.

    Lebih 12,000 kenderaan diperiksa pada hari pertama Ops Khas Motosikal 2024, termasuk 6,756 motosikal

    Pelaksanaan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 itu susulan kenaikan trend dalam statistik kemalangan jalan raya maut bulanan yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), khususnya membabitkan penunggang motosikal, iaitu meningkat sebanyak 1,908, atau 80%, kata JPJ pada minggu lepas. Operasi itu dijadualkan berlangsung selama dua bulan iaitu dari 1 November hingga 31 Disember 2024.

    JPJ turut menyenaraikan lapan kesalahan utama yang bakal diambil berat dalam operasi kali ini bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian iaitu tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor (LKM)/tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah), ubahsuai kenderaan (ekstrem), tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan-kesalahan teknikal lain.

     
     
  • Remaja maut kena renjatan elektrik ketika cas telefon dalam bas – MOT tubuh pasukan khas untuk siasat

    Remaja maut kena renjatan elektrik ketika cas telefon dalam bas – MOT tubuh pasukan khas untuk siasat

    Kementerian Pengangkutan (MOT) telah menubuhkan pasukan petugas khas (special taskforce) bagi menjalankan siasatan terhadap insiden seorang remaja lelaki berusia 18 maut akibat terkena renjatan elektrik ketika mengecas telefon bimbit dalam bas ekspres yang berlaku di Pulau Pinang pada 1 Nov lalu. Malah MOT turut mengarahkan operasi bas berkenaan digantung serta merta, laporan Bernama.

    Menteri MOT Anthony Loke berkata, pasukan petugas khas itu terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang ditugaskan untuk menyiasat punca insiden berkenaan.

    Dalam catatan di laman Facebook rasminya, Loke berkata, “Kementerian Pengangkutan memandang serius insiden renjatan elektrik yang mengorbankan seorang remaja semalam semasa mengecas telefon dalam bas ekspress yang dinaikinya. Pasukan Khas yang ditubuhkan untuk menyiasat punca insiden tersebut adalah bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan keselamatan penumpang sentiasa terjamin.”

    Pada Jumaat lalu, dilaporkan remaja lelaki terbabit maut akibat renjatan elektrik sewaktu mengecas telefon bimbitnya menggunakan soket kuasa di dalam bas di Penang Sentral.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Anuar Abd Rahman berkata, mangsa ditemui meninggal dunia pada jam 6.10 petang, dengan pemeriksaan awal mendapati kesan melecur di jari kirinya. Bedah siasat mengesahkan remaja itu meninggal dunia akibat renjatan elektrik. Di mana hujung kabel yang digunakan mangsa turut cair dan telefon terbabit juga berada dalam keadaan panas.

     
     
  • KTMB laksana bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua transaksi pembelian tiket mulai 1 Jan 2025

    KTMB laksana bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua transaksi pembelian tiket mulai 1 Jan 2025

    Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melaksanakan bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua transaksi pembelian tiket bermula 1 Januari depan di sektor Lembah Klang, Utara dan Selatan serta Pantai Timur.

    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin, berkata inisiatif itu bertujuan membentuk masyarakat lebih cekap dan berdaya saing. Di mana ia selaras dengan aspirasi kerajaan ke arah digitalisasi yang mengutamakan aspek keterangkuman, keselamatan dan ketelusan, laporan Bernama.

    “Langkah itu juga bertujuan menyokong usaha kepimpinan negara untuk memangkin transformasi Malaysia kepada sebuah ekonomi digital berdaya saing, termasuk transformasi kepada masyarakat tanpa tunai atau ‘cashless society’.

    “KTMB kini dalam fasa peralihan hingga akhir tahun ini, untuk memberi pendedahan dan kesedaran kepada kepada orang ramai khususnya warga emas, orang kurang upaya (OKU) sebelum dilaksanakan sepenuhnya tahun depan. Sepanjang tempoh peralihan, semua kaunter tiket masih menerima transaksi tunai, namun apabila inisiatif ini dilaksanakan kelak, semua transaksi akan dilakukan secara tanpa tunai,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

    KTMB laksana bayaran tanpa tunai sepenuhnya bagi semua transaksi pembelian tiket mulai 1 Jan 2025

    Beliau turut berkata, pelbagai medium dan hebahan dilaksanakan bagi menguar-uarkan kempen ini. Antaranya, pemakluman notis dan video melalui media sosial rasmi KTMB, edaran bahan-bahan promosi di stesen dan pengumuman di dalam tren.

    “KTMB turut menjalin kerjasama dengan bank tempatan untuk membuka reruai pendaftaran pembukaan akaun di stesen terpilih bagi mereka yang belum memiliki kad debit. Selain itu, kakitangan barisan hadapan di stesen juga akan membantu pelanggan, khususnya untuk mendaftar Aplikasi KTMB Mobile (KITS), membuat pembelian tiket melalui KITS atau mesin kios tiket dan mendaftar atau menggunakan kad Komuter Link,” katanya.

    Bagi menggalakkan orang ramai menyokong kempen tanpa tunai, sebanyak 500 mata ‘railpoints’ percuma untuk 1,000 pendaftaran KITS terawal akan diberi manakala KTM Komuter bakal mengedarkan 1,000 kad Komuter Linsecara percuma dalam menguar-uarkan inisiatif peralihan mod pembayaran.

     
     
  • JPJ eBid: Siri QLF dan KFX dibuka untuk bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Sarawak dan Kedah yang sedia untuk dibida menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sarawak, QLF sudah pun dibuka bidaan sejak semalam, 3 November 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 7 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 8 November 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Kedah, KFX, pula dibuka bidaan mulai hari ini, 4 November 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 8 November, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 9 November 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS terlibat dengan kempen panggil balik terkini – JPJ


    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia telah mengumumkan aktiviti panggilan semula (product recalled) yang melibatkan 3,722 kenderaan model keluaran Perodua iaitu Alza dan Aruz serta motosikal Honda CB350RS. Kesemuanya melibatkan model keluaran tahun 2024.

    Bagi Alza, sebanyak 2,518 unit bagi ketiga-tiga varian iaitu Alza X, Alza H dan Alza AV yang terlibat dengan siri panggilan semula ini. Manakala bagi Aruz pula, ia melibatkan 1,139 unit untuk varian X dan AV. Untuk kedua-dua model keluaran Alza ini, iadisebabkan ketinggian sasaran lampu utama yang tidak memenuhi pera turan spesifikasi yang ditetapkan oleh JPJ.

    Manakala bagi Honda CB350RS pula, sebanyak 65 unit motosikal yang terlibat yang disebabkan permasalahan pada sensor kelajuan roda yang menyebabkan sistem ABS, traction control dan meter had laju tidak tepat.

    Perodua Alza, Aruz dan motosikal Honda CB350RS terlibat dengan kempen panggil balik terkini – JPJ

    “Setiap pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. dan Boon Siew Honda Sdn. Bhd. bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing (atau pemilik kenderaan turut dibenarkan secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara).

    “Untuk makluman, mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak Perodua Manufacturing Sdn. Bhd. dan Boon Siew Honda Sdn. Bhd,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan petang ini.

    Untuk pemilik kenderaan yang terlibat, anda boleh menghubungi Perodua menerusi talian 1-800-88-6600, layari laman web atau aplikasi uFirst. Manakala bagi motosikal keluaran Boon Siew Honda, sila hubungi 1-800-88-3993 (BSH Customer Care Line) atau layari PAUTAN INI.

     
     
  • CFMoto 675 SR-R dilancarkan di Malaysia – RM37,888

    CFMoto 675 SR-R dilancarkan di Malaysia – RM37,888

    Model sports kelas pertengahan baru CFMoto yang didedahkan kepada dunia Julai lalu, iaitu 675 SR-R kini sudah tiba di Malaysia, dengan dijual pada harga RM37,888 tidak termasuk insurans. Dua warna disediakan sebagai pilihan iaitu Nebula White dan Nebula Black.

    CFMoto 675 SR-R dipacu oleh enjin tiga silinder DOHC 675 cc, yang mampu menghasilkan sehingga 94 hp pada 11,000 rpm dan tork 70 Nm pada 8,250 rpm. Ia dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, lengkap dengan klac jenis slipper dan juga quickshifter yang hanya boleh digunakan untuk menaikkan gear.

    Sesuai dengan karekter sports yang dibawa, CFMoto memberikan suspensi boleh laras daripada Kayaba pada 675 SR-R ini, dengan fork di hadapan terdiri daripada unit USD 41 mm dan belakang menggunakan monoshock – kedua-duanya mempunyai pelarasan pra beban dan mampatan.

    Melekap pada rim aluminium 17 inci model ini adalah brek cakera yang terdiri daripada tetapan berkembar dengan angkup empat piston J.Juan di hadapan dan angkup satu piston di belakang (300 mm/240 mm). Sistem ABS dual-channel diberikan secara standard bersama kawalan cengkaman (dua tahap).

    Segala informasi penting motosikal dipaparkan pada meter TFT berwarna lima inci (sambungan kepada telefon pintar ditawarkan sebagai pilihan tambahan) dengan fungsi lap timer, dan kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk pengecas USB-A dan USB-C, semua lampu jenis LED dan tangki bahan api 15 liter. Tinggi tempat duduk adalah 810 mm manakala berat keseluruhannya adalah 195 kg.

     
     
  • JPJ beri peringatan bahawa Ops Khas Motosikal akan berlangsung dua bulan, bermula 1 November ini

    JPJ beri peringatan bahawa Ops Khas Motosikal akan berlangsung dua bulan, bermula 1 November ini

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa ia bakal melaksanakan Operasi Khas Motosikal Tahun 2024 selama dua bulan bermula 1 November hingga 31 Disember 2024 di seluruh negara. Operasi ini dibuat bagi memastikan penunggang dan pemilik motosikal agar mematuhi undang-undang di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dan Kaedah – Kaedah di bawahnya.

    Menurut jabatan itu lagi, Pelaksanaan Ops Khas Motosikal ini adalah susulan daripada statistik yang membimbangkan dengan peningkatan trend kadar kemalangan dengan kematian secara bulanan yang telah direkodkan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) terutamanya melibatkan motosikal adalah sebanyak 1,908 atau 70%.

    “Bagi mensasarkan pengurangan jumlah kematian dan kecederaan akibat kemalangan jalan raya bagi tempoh suku ke-3 dan ke-4 tahun 2024, strategi penguatkuasaan secara berfokus ini adalah untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap penunggang dan pemilik motosikal yang gagal mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuatkuasa,” kata JPJ dalam kenyataan itu.

    JPJ turut menyenaraikan lapan kesalahan utama yang bakal diambil berat dalam operasi kali ini bagi meminimumkan kadar kemalangan dan kematian iaitu tiada lesen memandu, tiada lesen kenderaan motor (LKM)/tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, melanggar isyarat lalu lintas (lampu merah), ubahsuai kenderaan (ekstrem), tidak memakai topi keledar, lumba haram dan kesalahan-kesalahan teknikal lain.

     
     
  • Geely dedah sistem EM-i PHEV untuk Galaxy Starship 7 – 2.67 l/100km, juga untuk Proton eMas 7 PHEV?

    Geely dedah sistem EM-i PHEV untuk Galaxy Starship 7 – 2.67 l/100km, juga untuk Proton eMas 7 PHEV?

    Bulan lalu Geely telahpun mendedahkan imej dan beberapa perincian awalan untuk model Galaxy Starship 7, iaitu versi plug-in hybrid bagi Geely Galaxy E5, kembar kepada Proton eMas 7 di Malaysia. Terbaharu, jenama automotif China berkenaan telah mendedahkan pula beberapa perincian berkenaan unit rangkaian kuasa SUV tersebut sebelum dilancarkan di China 4 November ini.

    Geely Galaxy Starship 7 akan menerima unit rangkaian kuasa generasi kedua NordThor 2.0 yang akan diperkenalkan sebagai EM-i. Geely mendakwa sistem EM-i ini adalah evolusi dari sistem EM-P yang digunakan pada model-model Lynk & Co, menampilkan tahap ekonomi bahan api lebih baik dan jarak gerak lebih jauh dari unit rangkaian kuasa Super Dual Mode (DM-i) generasi kelima BYD.

    Sama seperti konfigurasi pada unit rangkaian kuasa EM-P, EM-i turut menggunakan enjin 1.5 liter empat silinder turbo, tetapi perubahan telah dibuat bagi membolehkan putaran udara yang terjadi dalam kebuk pembakaran ditingkatkan, seterusnya membolehkan ia mencapai rekod kecekapan haba 46.5%, lebih baik dari enjin DM-i BYD yang mencatatkan 46.06%.

    Geely dedah sistem EM-i PHEV untuk Galaxy Starship 7 – 2.67 l/100km, juga untuk Proton eMas 7 PHEV?

    Unit rangkaian kuasa ini juga menerima sistem pengurusan haba baharu yang boleh mempercepatkan proses pemanasan enjin sehingga 40%, membolehkan kadar keberkesanan bahan api menjadi 3% lebih baik. Menurut Geely ia juga telah membangunkan enjin generasi seterusnya dengan kadar keberkesanan haba yang lebih tinggi mencapai 48.15%, yang telahpun menerima pensijilan dari pihak berkuasa.

    Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi hibrid terdedikasi (E-DHT) bagi membentuk teknologi motor 11-dalam-1 Geely dalam sistem PHEV berkenaan yang juga terdapat motor elektrik P1 dan P3. Bagi motor elektrik P3, ia merupakan motor utama yang akan memacu kenderaan dengan kuasa 218 PS, menerima tenaga dari bateri litium logam fosfat (LFP) Aegis “bilah pendek”.

    Unit rangkaian kuasa ini juga merupakan yang pertama dalam dunia menggunakan modul transformer silikon karbida dengan keberkesanan mencapai 99%. Gandingan kesemua ini membolehkan model yang menggunakan unit rangkaian kuasa EM-i ini mencapai pengunaan bahan api serendah 2.67 liter untuk 100 km berdasarkan kitaran CLTC, lebih rendah dari 2.9 liter yang dicatatkan pada unit rangkaian kuasa DM-i BYD.

    Geely dedah sistem EM-i PHEV untuk Galaxy Starship 7 – 2.67 l/100km, juga untuk Proton eMas 7 PHEV?

    Malah dalam satu ujian yang dibuat oleh pihak media, sebuah model prototaip berasaskan Galaxy L6 berjaya bergerak sejauh 2,390.5 km dengan hanya satu tangki bahan api dan satu cas penuh bateri, dengan penggunaan bahan api dicatatkan pada 2.62 liter untuk setiap 100 km.

    Bagi Galaxy Starship 7, Geely mengesahkan bahawa penggunaan bahan apinya adalah pada kadar 3.75 liter setiap 100 km. Manakala ujian media yang dibuat ia dapat mencapai penggunaan bahan api purata 3.2 liter setiap 100 km dalam pemanduan sejauh 196 km, membabitkan 75% laluan lebuhraya dan 25% pemanduan dalam kawasan bandar.

    Sama seperti Galaxy E5, Galaxy Starship 7 ini juga dijangka akan dihasilkan dalam versi Proton untuk dijual di Malaysia kerana Proton dikesan sudahpun memfailkan tanda dagangan eMas 7 PHEV. Malah dalam perancangan yang diumumkan Proton pada Mei lalu, model PHEV pertamanya dijangka akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

     
     
  • BYD Sealion — pembayang ditunjuk, tiba di M’sia tak lama lagi; EV Sealion 7 jadi model pertama?

    BYD Sealion — pembayang ditunjuk, tiba di M’sia tak lama lagi; EV Sealion 7 jadi model pertama?

    BYD Malaysia sepertinya akan ada satu lagi pengenalan model baru dalam rentang baki tahun ini. Melalui hantaran di Facebook rasminya, sebuah imej teaser terbaru dikongsikan, sekaligus memberi petunjuk kepada sebuah “SUV prestasi dengan gaya premium” yang akan tiba. Subjek dalam poster bagaimanapun bukanlah kenderaan, sebaliknya seekor singa laut — itu menjadi pembayang yang agak jelas bahawa model dengan lencana Sealion yang dimaksudkan.

    Persoalannya, model Sealion yang mana? Memandangkan BYD Malaysia pernah memberi bayangan akan memperkenalkan model plug-in hybrid untuk pasaran tempatan, petunjuk ini mungkin menghala kepada Sealion 6: model ini, yang turut diubah nama sebagai Seal U, turut dijual di Thailand.

    Bagaimanapun, kenderaan hibrdi tidak akan menikmati pengecualian cukai seperti yang diberikan kepada model elektrik. Untuk itu, ada juga kemungkinan yang model yang bakal diperkenalkan itu ialah sebuah kereta elektrik, Sealion 7 misalnya.

    BYD Sealion — pembayang ditunjuk, tiba di M’sia tak lama lagi; EV Sealion 7 jadi model pertama?

    Dengan ukuran 4,830 mm panjang, 1,925 mm lebar, 1,620 mm tinggi dengan jarak roda 2,930 mm — dan turut dikenali sebagai Sea Lion 7 di pasaran domestiknya — merupakan pesaing kepada Tesla Model Y. Output motornya di pasaran lain ialah antara 228 hp (150 kW) hingga 308 hp (230 kW) dan 523 hp (390 kW) — dua yang terakhir ini masing-masing seperti yang dilihat pada Seal Premium Extended Range dan Performance AWD.

    Di Eropah, di mana Sealion 7 baru dilancarkan, dua kapasiti bateri diumumkan — jenis lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti yang paling besar ialah 91.3 kWh (82.5 kWh boleh diguna) yang memberikan jarak 550 km (WLTP). Untuk pengecasan, ia dilengkapi dengan kadar hingga 230 kW DC, membolehkan tahap dari 30%-80% diperoleh dalam tempoh 25 minit.

    Jadi, model Sealion yang mana agaknya akan dibawa masuk ke Malaysia terlebih dahulu?

     
     
  • Ducati Panigale V4 2025 tiba di Malaysia – RM182,900

    Ducati Panigale V4 2025 tiba di Malaysia – RM182,900

    Didedahkan kepada dunia Julai lalu, Ducati Panigale V4 2025 kini sudah tiba di Malaysia dengan dijual pada harga RM182,900 tidak termasuk insurans. Walaupun hanya versi biasa yang didedahkan semasa acara yang diadakan bersama pelancaran Ducati Sungai Buloh ini, kami dapati wakil jualan juga sudah mula menerima tempahan bagi V4S pada harga RM230,900.

    Hampir segenap bahagian Panigale V4 yang memasuki generasi ketujuh ini ditambah baik, termasuk panel badan, lengan ayun, sistem elektronik serta casis yang merupakan unit serba baru. Untuk enjin, ia masih lagi adalah unit empat silinder V Stradale 1,103 cc, tetapi kini satu kilogram lebih ringan dan mendapat peningkatan di bahagian penyejukan serta camshaft baru.

    Kuasa yang mampu dihasilkan adalah 216 hp pada 13,500 rpm dan tork 120.9 Nm pada 11,250 rpm tetapi ia boleh ditingkatkan menjadi 224 hp apabila menggunakan ekzos jenis lumba atau 229 hp apabila dipasang dengan set ekzos lumba lengkap.

    Pada bahagian elektronik, Panigale V4 2025 ini ditambah lagi dengan Ducati Vehicle Observer, yang merupakan algoritma untuk menetapkan sasaran gelinciran dan wheelie dengan lebih tepat, dan dihantar kepada sistem kawalan cengkaman dan wheelie. Selain daripada itu, 70 lagi sensor virtual dapat mengumpul informasi pada waktu operasi sebenar dan ia dipaparkan pada skrin TFT-LCD 6.9 inci.

    Jumlah informasi yang dapat dikumpul adalah sangat banyak, dengan termasuk kuasa dan tork waktu sebenar, meter g-force, sudut codong, tekanan angin tayar dan sudah tentu, pencatat masa dalam litar yang menggunakan GPS.

    Pergi ke bahagian brek, angkup Brembo Stylema yang digunakan pada Panigale V4 sebelum ini dinaik taraf kepada angkup Brembo Hypure, yang 60 gram lebih ringan dan mempunyai sistem penyejukan serta pegangan lebih baik.

    Ducati Panigale V4 2025 tiba di Malaysia – RM182,900

    Untuk roda belakang, bahagian yang menjadi perhatian adalah lengan ayun, di mana Panigale V4 ini tidak lagi menggunakan bentuk single arm, dan diganti dengan unit simetri yang dikatakan 37% lebih tegap sambil 2.7 kg lebih ringan.

    Sistem suspensi aktif Ducati Electronic Suspension (DES) 3.0 yang digunakan pada Panigale V4 2025 ini dipertingkat dengna kelengkapan serta perisian baru, memberikan telemetri boleh tukar yang lebih tepat serta pengurusan peralihan berat yang lebih baik. Ia malah boleh mengesan sekiranya dibawa atas jalan biasa, dan kemudian melakukan pelarasan sendiri untuk tunggangan yang lebih selesa.

     
     
  • Mercedes-Benz CLA generasi baru akan guna enjin 2.0L turbo Horse Powertrain kerjasama Geely-Renault

    Mercedes-Benz CLA generasi baru akan guna enjin 2.0L turbo Horse Powertrain kerjasama Geely-Renault

    Apabila diperkenalkan untuk pasaran nanti, Mercedes-Benz CLA generasi baru akan mendapat enjin pembakaran dalaman dan juga penggerak elektrik penuh. Bagi enjin biasanya, Car News China melaporkan, Mercedes-Benz akan menggunakan unit 2.0L turbo yang dibangunkan oleh Horse Powertrain, iaitu satu kerjasama antara Geely dengan Renault.

    Enjin ini dikatakan mampu menghasilkan kuasa sehingga 250 hp, tork 360 Nm dan akan dikeluarkan di China. Enjin sedia ada Mercedes-Benz yang hampir prestasinya dengan enjin baru ini adalah unit petrol empat silinder turbo M260 seperti yang digunakan pada A250 sedan pasaran Malaysia, mampu menghasilkan 224 hp pada 5,500 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 rpm ke 4,000 rpm.

    CLA generasi baru ini sudah dipertontonkan kepada awam semasa festival fesyen dan fotografi Festival d’Hyères di Perancis, namun masih ditutup dengan pelekat samaran. Ia dibina atas platform MMA, yang boleh menerima penggerak elektrik penuh ataupun enjin pembakaran dalaman.

    Mercedes-Benz CLA generasi baru akan guna enjin 2.0L turbo Horse Powertrain kerjasama Geely-Renault

    Car News China juga melaporkan bahawa model baru ini akan menampilkan sama ada enjin hibrid ringkas ataupun elektrik penuh, tanpa pilihan plug-in hybrid. Ini bermakna, enjin 2.0L turbo daripada Horse Powertrain itu akan mempunyai pembantu elektrik sebagai pelengkap.

    CLA generasi baru ini dijangka mendapat spesifikasi seperti Concept CLA, dengan binaan 800 volt yang boleh menerima pengecasan pantas sehingga 250 kW, dan jarak gerak sehingga 400 km selepas dicas selama 15 minit. Cas penuh boleh membawa ia bergerak sehingga 750 km, dengan kadar penggunaan tenaga 12 kWh bagi setiap 100 km.

    Bagi versi elektrik penuh, Concept CLA didedah mempunyai motor elektrik belakang 175 kW (238 PS) bersama transmisi dua kelajuan, dikatakan mempunyai kecekapan tenaga sehingga 93%. Car News China menambah, CLA baru versi produksi akan mendapat bateri 89.6 kWh.

     
     
  • Promo November 2024 Honda Malaysia – diskaun RM80k untuk Civic Type R, RM12k untuk Civic, dll

    Bulan demi bulan, Honda Malaysia (HM) nampaknya terus menawarkan potongan-potongan harga menarik bagi model-model yang dijual di bilik pameran. Untuk bulan November 2024, HM melancarkan kempen yang digelar ‘Unlock Massive Deals’ dan ia menggabungkan dua jenis rebat yang menawarkan potongan sehingga RM80,000.

    Bagi yang terlepas diskaun sebanyak RM80,000 untuk Civic Type R FL5 bulan lalu, anda masih berpeluang untuk mendapatkannya bulan ini kerana ia masih ditawarkan menerusi kempen baharu ini dengan jumlah potongan harga yang sama. Ini membolehkan anda mendapatkan model produksi pacuan hadapan terpantas di Litar Nurburgring berkenaan pada harga RM320k.

    Begitu juga untuk Civic biasa di mana HM masih menawarkan potongan harga yang sama seperti bulan lalu untuk kempen bulan ini. Dalam tempoh promo ini harga jualan untuk Honda Civic akan bermula dari bawah RM120k di mana Civic varian E dan V diberikan diskaun sehingga RM12,000, manakala varian RS petrol dan hibrid e:HEV diskaun yang diberikan adalah RM10,000.

    Honda City juga diberikan diskaun bermula RM3,000 (untuk varian s) sehingga RM8,000 (untuk E, V dan RS Petrol). Manakala varian hibrid RS e:HEV pula diberikan diskaun sebanyak RM5,000.

    Promo November 2024 Honda Malaysia – diskaun RM80k untuk Civic Type R, RM12k untuk Civic, dll

    Model-model SUV Honda juga tidak ketinggalan diberikan diskaun untuk promo Oktober ini. Bagi WR-V, pembeli varian asas S akan menerima diskaun RM5,000, manakala varian E, V dan RS pula diberikan diskaun RM8,000. Untuk HR-V pula, varian asas 1.5L NA S dan Turbo E dan RS hybrid semuanya diberikan diskaun sebanyak RM3,000, sementara varian V diberikan diskaun sehingga RM7,000.

    City Hatchback dan CR-V yang sebelum ini tidak disenarai dalam promo Jiwa Madani bermula pertengahan Ogos lalu, kini turut diberikan diskaun dalam kempen Oktober ini. Bagi City Hatchback yang kini turut hadir dengan warna Phoenix Orange Pearl baharu, ia diberikan diskaun sebanyak RM3,000 untuk semua varian kecuali untuk V dan RS Petrol diberikan diskaun lebih banyak iaitu RM6,000. Manakala CR-V pula diberikan diskaun sebanyak RM4,000 untuk varian 1.5L S dan RM6,000 untuk 1.5L E dan RM3,000 untuk RS Hybrid.

    Promosi ‘Unlock Massive Deals’ ini akan berlangsung selama sebulan iaitu untuk kereta yang didaftarkan bermula hari ini sehingga 3o November 2024.

     
     
  • Riddara RD6 kini di Thailand – trak pikap EV dengan ‘kepala’ Proton X90, bermula RM117, hingga 421 PS

    Riddara RD6 kini di Thailand – trak pikap EV dengan ‘kepala’ Proton X90, bermula RM117, hingga 421 PS

    Selepas Zeekr, Geely kini melancarkan satu lagi jenamanya di Thailand iaitu Riddara, bermula dengan trak pikap Riddara RD6. Di China, jenama ini dikenali sebagai Radar dan menghasilkan model-model “kenderaan gaya hidup elektrik”, namun untuk pasaran global nama tersebut terpaksa ditukar kepada Riddara kerana permohonan Geely untuk mendapatkan tanda dagang gagal disebabkan nama “Radar” telah digunakan oleh syarikat tayar dari Singapura, Omni United yang telah memegang hak untuk jenama Radar Tires.

    Tempahan untuk Riddara RD6 ini sudahpun dibuka pada bulan lalu, dan ia kini merupakan trak pikap EV pertama di Thailand yang sememangnya menjadi ‘lubuk’ untuk model-model trak pikap. Ia ditawarkan dengan harga bermula 899,000 baht (RM117,000) untuk model asas motor tunggal pacuan roda belakang bersama bateri paling kecil 63 kWj, diikuti model RWD dengan bateri 73 kWj berharga 999,000 baht (RM130,000).

    Manakala model dua motor pacuan semua roda pula dijual pada harga bermula 1,149,000 baht (RM149,600) untuk versi dengan bateri 73 kWj, dan varian tertinggi AWD dengan bateri 86 kWj pula dijual pada harga 1,299,000 baht (RM169,000).

    RD6 diasaskan dari Multiplex Attached Platform (MAP), iaitu salah satu varian platform yang dihasilkan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA), yang menampilkan konfigurasi suspensi topang McPherson di hadapan dan multilink di belakang.

    Riddara RD6 kini di Thailand – trak pikap EV dengan ‘kepala’ Proton X90, bermula RM117, hingga 421 PS

    Apa yang menarik, trak pikap ini menggunakan ‘kepala’ SUV Geely Haoyue/Okavango/Proton X90, berkongsi komponen seperti kedua-dua fender hadapan, penutup bonet dan juga lampu hadapan. Model yang dijual pada pasaran Thailand ini menampilkan gril dengan skrip ‘Riddara’ bersaiz besar, pilihan bumbung hitam, dan juga rim aloi 18-inci dua-tona dengan rekaan elemen berbentuk-segitiga.

    Ia juga telah menerima papan pemuka, konsol tengah dan panel pintu baharu yang berbeza dengan model awalan Radar RD6 yang dijual di China, menampilkan komponen-komponen yang turut dikongsi dengan SUV Geely Haoyue. Ia juga diberikan paparan instrument digital 10.25-inci dan skrin infotainmen berdiri sendiri. Manakala pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi diberikan untuk semua model kecuali varian asas.

    Unit rangkaian kuasa RD6 ini juga masih dikongsi bersama model-model dari platform SEA yang lain seperti smart #1, Volvo EX30 dan Zeekr X. Oleh itu model pacuan belakang menerima motor elektrik tunggal berkuasa 272 PS dan tork maksima 385 Nm, sementara model pacuan semua roda menerima satu lagi motor pada gandar hadapan bagi menghasilkan kuasa keseluruhan 428 PS dan tork 590 Nm.

    Ini membolehkan model pacuan belakang memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat, manakala model AWD dapat membuat pecutan sama hanya dalam masa 4.5 saat. Bagi model-model dengan bateri 63 dan 73 kWj, ia menerima bateri dari jenis litium logam fosfat (LFP), manakala bateri 86 kWj pula adalah dari jenis nikel mangan kobalt (NMC).

    Riddara RD6 kini di Thailand – trak pikap EV dengan ‘kepala’ Proton X90, bermula RM117, hingga 421 PS

    Oleh itu varian asas pacuan roda belakang boleh bergerak sejauh 373 km untuk sekali cas, manakala versi 2WD dengan bateri 73 kWj pula mampu mencapai perjalanan 461 km. Seterusnya model AWD dengan bateri 74 kWj pula boleh bergerak sejauh 424 km, manakala varian AWD 86 kWj boleh bergerak sejauh 455 km. Semua bacaan ini dalah dalam kitaran NEDC.

    Untuk mengecas pula, model-model yang menerima bateri LFP 63 kWj boleh menampung pengecas DC pantas sehingga 90 kW, membolehkan cas dari 30% hingga 80% dipenuhkan dalam masa 32 minit. Manakala model yang menerima bateri LFP 73 kWj pula boleh menerima sehingg 110 kWj, dan cas yang sama boleh dipenuhkan dalam masa 30 minit.

    Bagi model yang dibekalkan dengan bateri NMC 86 kWj, ia hanya boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 100 kW, di mana cas 30% hingga 80% dapat dipenuhkan dalam masa 32 minit. Kesemua varian turut boleh menerima pengecas AC 6.6 kW, di mana bateri 63 kWj boleh dipenuhkan dari 20% hingga 100% dalam masa 7.8 jam, 73 kWj dalam masa 9.3 jam dan 86 kWj dalam masa 11 jam.

    Kesemua varian RD6 ini menampilkan bed belakang dengan kapasiti 1,200 liter serta boleh membawa beban 1,030 kg – setanding dengan trak-trak pikap 1 tan dengan enjin pembakaran dalaman yang lain. Model pacuan roda belakang boleh meredah air pada kedalaman 500 mm dengan kapasiti menunda 2,500 kg.

    Riddara RD6 kini di Thailand – trak pikap EV dengan ‘kepala’ Proton X90, bermula RM117, hingga 421 PS

    Manakala model AWD pula boleh meredah lebih dalam iaitu 815 mm serta kapasiti menunda 3,000 kg dan ditambah dengan mod pemanduan Snow, Mud, Cross-Country dan Water Wading. Model paling berkuasa ini turut menerima ruang but hadapan dengan kapasiti 70 liter.

    Antara kelengkapan standard yang diberikan termasuk lampu hadapan dan belakang LED penuh, rim aloi 17-inci, sistem pendingin hawa dua-zon, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, upholsteri kulit sintetik, skrin sesentuh 12.3-inci, fungsi Apple CarPlay dan Carbitlink, empat pembesar suara dan kamera undur.

    Bagi varian 73 kWj pula ia ditambah dengan perincian seperti rim aloi 18-inci, sistem kemasukan tanpa kunci, tempat duduk penumpamg hadapan larasan kuasa, skrin sesentuh 14.6-inci, lampu pada bed, aplikasi kawalan jarak jauh, enam pembesar suara dan kamera 360-darjah dengan mod “telus”. Ia juga diberikan fungsi vehicle-to-load (V2L) 22 kW, termasuk 15 kW menerusi port pengecas, 6 kW meneruis port 230-volt pada bed belakang dan 2.2 kW menerusi dua lagi soket 230-volt pada but hadapan dan kabin.

    Model spesifikasi AWD pula menerima gril hadapan yang bernyala, pemijak sisi, liang pada tempat duduk hadapan dan belakang, tempat duduk yang boelh dibaringkan dengan sat sentuhan dan lapan pembesar suara. Manakala model AWD dengan bateri 86 kWj pula boleh dikenali dengan penambahan rel bumbung aluminium dan tangga yang boleh ditarik pada pintu tailgate belakang.

    Model asas hanya menerima empat beg udara, sementara varian lain pula dibekalkan dengan enam beg udara. Juga kecuali model asas, varian lain diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan stop & go, bantuan kekal tengah lorong, amaran pergerakan hadapn, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dengan brek automatik, amaran pelanggaran belakang dan juga amaran buka pintu.

    Dengan pelancaran Riddara RD6 dalam versi pemanduan sebelah kanan di Thailand ini telah membuka kemungkinan bahawa ia akan turut bakal ditawarkan pada pasaran ASEAN yang lain. Ada yang berharap agat model ini dilancarkan di Malaysia?

     
     
  • Mazda CX-60 ditemui di Malaysia – SUV lebih besar daripada CX-5, RWD, bakal dilancar tidak lama lagi?

    Mazda CX-60 ditemui di Malaysia – SUV lebih besar daripada CX-5, RWD, bakal dilancar tidak lama lagi?

    Sudah dijangka akan dilancarkan di negara kita, Mazda CX-60 kini ditemui di atas jalan raya oleh pembaca kami yang menghantarkan gambar. Model ini diperkenalkan kepada dunia pertama kali pada tahun 2022, dan merupakan SUV pertama yang menggunakan platform Skyactiv Multi-Solution Scalable Architecture dengan enjin di hadapan dan pacuan roda belakang.

    Setakat ini tidak diketahui apa enjin yang berada pada model di dalam gambar. Walaupun begitu, jika kita lihat negara jiran seperti Filipina, mereka mendapat pilihan sama ada enjin enam silinder turbo petrol atau diesel. Kedua-duanya dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan dan pacuan semua roda.

    Kedua-dua enjin ini mempunyai kapasiti 3.3 liter, dengan unit petrol mampu menghasilkan 284 PS (280 hp atau 209 kW) dan tork 450 Nm, manakala unit diesel pula berkemampuan 254 PS (251 hp atau 187 kW) dan tork 550 Nm. Di antara enjin ini dan transmisinya, terdapat motor elektrik 16 PS (16 hp atau 12 kW) dan tork 153 Nm, yang melengkapi sistem hibrid ringkas M Hybrid Boost 48 volt dengan bateri lithium ion 0.33 kWh.

    Mazda CX-60 ditemui di Malaysia – SUV lebih besar daripada CX-5, RWD, bakal dilancar tidak lama lagi?

    Di Singapura, SUV ini cuma datang dengan enjin petrol empat silinder 2.5L NA yang berkuasa 191 PS (189 hp atau 141 kW) dan tork 261 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan untuk memacu roda belakang. Tiada sistem hibrid bagi varian ini.

    Indonesia baru sahaja menerima CX-60 ini Julai lalu, dengan ditawarkan dalam dua varian, tetapi enjin tetap sama, iaitu unit petrol enam silinder 3.3 liter turbo sama seperti Filipina. CX-60 juga hadir dalam versi plug-in hybrid dengan 327 PS (323 hp atau 241 kW) dan tork 500 Nm, tetapi ia tidak ditawarkan di negara Asia yang disebutkan tadi.

    Bagi yang mahu mengetahui kedudukan CX-60 di dalam pilihan model Mazda, ia mencatat ukuran 4,740 mm panjang, 1,890 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,870 mm. Ini menjadikannya 190 mm lebih panjang, 50 mm lebih lebar dan 5 mm lebih tinggi berbanding CX-5, tetapi lebih pendek berbanding CX-8 yang mencatat 4,900 mm panjang.

    GALERI: Mazda CX-60 di Indonesia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025