Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Aprilia RS457 dilancarkan di Malaysia – enjin dua silinder 457 cc 47 hp, berat 175 kg, dari RM33,900

    Aprilia RS457 dilancarkan di Malaysia – enjin dua silinder 457 cc 47 hp, berat 175 kg, dari RM33,900

    Model sport Aprilia RS457 yang didedahkan kepada dunia hujung tahun lepas kini sudah tiba di Malaysia dengan dilancarkan untuk jualan pada harga bermula RM33,900 untuk warna Prismatic Dark dan Opalescent Light, dan RM35,900 untuk warna Racing Stripes.

    Dibangunkan sebagai sebuah projek serba baru, RS457 ini menggunakan enjin dua silinder selari DOHC 457 cc bersama padanan transmisi enam gear, mampu menghasilkan kuasa sehingga 47 hp pada 9,400 rpm dan tork 43.5 Nm pada 6,700 rpm.

    Dengan berat keseluruhan motosikal 175 kg (lengkap dengan minyak), Aprilia mendakwa RS 457 memberikan nisbah kuasa kepada berat yang tidak boleh disaingi dalam kelasnya. Antara pesaing model sport ini adalah KTM RC390, Kawasaki Ninja 400/ZX-4R dan CFMoto 450SR.

    Aprilia RS457 dilancarkan di Malaysia – enjin dua silinder 457 cc 47 hp, berat 175 kg, dari RM33,900

    Bahagian suspensi RS 457 menggunakan kelengkapan yang terdiri daripada fork USD dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 120 mm di hadapan, serta monoshock dengan hanya pelarasan pra beban, dengan jarak gerak 130 mm di belakang.

    Melaksanakan tugas membrek adalah angkup Bybre empat piston serta cakera 320 mm di hadapan, dan angkup Bybre satu piston bersama cakera 220 mm di belakang. Sistem ABS diberikan secara standard, dan penunggang boleh memilih dua mod, iaitu dual-channel atau single-channel.

    Memudahkan pengguna, motosikal ini datang dengan pilihan tiga mod tunggangan serta tiga tahap kawalan cengkaman (juga boleh ditutup terus). Quickshifter pula hanya datang sebagai aksesori pilihan tambahan, manakala tangki bahan api berkapasiti 13 liter.

    Informasi penting motosikal dipaparkan pada skrin TFT lima inci berwarna di hadapan penunggang, tetapi sistem sambungan Aprilia MIA kepada telefon untuk memaparkan navigasi, notifikasi serta kawalan muzik dijual secara berasingan.

     
     
  • Lebuhraya WISE mampu kurangkan 40% kesesakan di Lebuhraya PLUS bagi laluan Gopeng-Kuala Kangsar

    Lebuhraya WISE mampu kurangkan 40% kesesakan di Lebuhraya PLUS bagi laluan Gopeng-Kuala Kangsar

    Pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) bakal direalisasikan tidak lama lagi selepas perjanjian konsesi projek tersebut telah dimeterai. Ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) bagi laluan Gopeng ke Kuala Kangsar di Perak sehingga 40%, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Katanya lagi, projek menelan belanja kira-kira RM6.2 bilion itu dijangka siap pada 2028, laporan Bernama. Majlis Penyerahan Dokumen Perjanjian Konsesi Projek Lebuhraya WISE telah berlangsung pagi tadi dan ia turut melibatkan syarikat East Coast Road Sdn Bhd (ECRSB) yang mencadangkan projek itu.

    “Mengucap dulu sebelum lalu Terowong Menora…Itu antara yang dikongsi oleh netizen, setiap kali laluan lebuhraya PLUS Utara Selatan di Terowong Menora menjadi topik perbualan. Walau saya datang dari Sarawak, tapi saya sendiri banyak membaca kes kemalangan dan juga kesesakan yang kerap berlaku di lokasi ini, yang antara lain disebabkan pergerakan kenderaan yang perlahan disebabkan topografi berbukit di kawasan Gopeng-Kuala Kangsar.

    “Memahami kesusahan dan pentingnya keselamatan rakyat, pelaksanaan Projek Lebuhraya Bertol West Ipoh Span Expressway (WISE) sebagai laluan alternatif tentunya diharapkan dapat mewujudkan penyelesaian kepada kesesakan dan kemalangan di laluan ini,” katanya menerusi perkongsian di Facebook rasminya.

    Lebuhraya WISE mampu kurangkan 40% kesesakan di Lebuhraya PLUS bagi laluan Gopeng-Kuala Kangsar

    Beliau turut berkata, projek Lebuhraya WISE melibatkan lebuh raya bertol dari Kuala Kangsar ke Gopeng melalui Siputeh dan Batu Gajah dengan anggaran 60.88 km secara penswastaan. Di mana kadar tol yang ditetapkan bagi lebuhraya itu adalah sebanyak 23 sen per km bagi tempoh konsesi selama 55 tahun termasuk empat tahun tempoh pembinaan.

    “Kaedah penetapan kadar tol ini adalah unik kerana pertama kali dilaksanakan dalam negara dan ia pastinya memberikan manfaat kepada bakal pengguna lebuh raya kerana tiada kenaikan terhadap perbelanjaan rakyat untuk tempoh yang lama. Lebuhraya WISE melibatkan enam persimpangan iaitu dua di Kuala Kangsar, satu di Jerlun, satu di Siputeh dan dua lagi di Gopeng,” katanya.

    Selain itu, Nanta berkata Aras Perkhidmatan (LOS) bagi Lebuhraya PLUS di Seksyen Gopeng-Kuala Kangsar adalah pada tahap LOS D dan dijangka mencapai kapasiti penuh (LOS F) menjelang 2030.

    Beliau berkata Kementerian Kerja Raya (KKR) menjangkakan sekiranya Projek WISE tidak dilaksanakan, kerajaan perlu menanggung kos pelebaran Lebuhraya PLUS apabila bilangan trafik mencapai kapasiti maksimum dan seterusnya akan memberi implikasi kewangan yang tinggi kepada kerajaan.

     
     
  • Harga minyak 31 Okt-6 Nov – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 31 Okt-6 Nov – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 31 Oktober hingga 6 November 2024, harga ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel dikekalkan seperti minggu sebelum ini.

    Bermakna petrol RON 97 dikekalkan pada harga RM3.19 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM2.95 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Menerusi perbentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri merangkap menteri kewangan pertama Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengesahkan penyasaran subsidi bagi petrol RON95 akan diumumkan pada pertengahan tahun hadapan. Buat masa ini, tiada lagi tarikh ditetapkan, dan bagaimana ia akan dilaksanakan, namun Anwar memberitahu penyasaran subsidi ini hanya akan melibatkan golongan ‘mahakaya’ dan tidak akan menjejaskan 85% rakyat Malaysia.

     
     
  • Saman tertunggak RM32k dikutip dari van pelancong berdaftar Thai dalam operasi 4 hari – JPJ Perlis

    Saman tertunggak RM32k dikutip dari van pelancong berdaftar Thai dalam operasi 4 hari – JPJ Perlis

    Pemilik kenderaan yang berdaftar di Thailand mesti menjelaskan saman tertunggak mereka sebelum meninggalkan Malaysia melalui pusat pemeriksaan sempadan di Perlis, laporan New Straits Times.

    Ia susulan respons mengenai saman yang tidak dibayar oleh kenderaan berdaftar asing, terutama van pelancong yang berdaftar di Thailand, yang tidak dibenarkan beroperasi di jalan raya di Malaysia, kata Pengarah JPJ negeri Perlis Fatimah Mohamed Ali Piah.

    Dalam operasi yang dilaksanakan selama empat hari baru-baru ini, JPJ Perlis berjaya mengutip RM31,600 saman yang belum dibayar daripada kenderaan berdaftar Thailand. “Kami mendapati banyak kenderaan asing tidak menjelaskan kompaun mereka sebelum meninggalkan negara ini. Di Perlis, pemandu asing mesti menjelaskan saman tertunggak mereka sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

    Jelasnya lagi, beberapa kesalahan yang dikesan termasuk kegagalan untuk mendapatkan Permit Peredaran Antarabangsa (ICP) untuk van pelancong berdaftar Thailand dan pelbagai kesalahan teknikal, seperti penggunaan tingkap berwarna dan beberapa kesalahan lain dilakukan sejak beberapa tahun lalu.

    Sebanyak 16 van berdaftar Thailand telah ditahan dalam operasi empat hari itu dengan saman tertunggak berjumlah RM31,600 telah dikutip daripada pemandu dan pemilik kenderaan tersebut.

     
     
  • Hyundai Ioniq 9 — imej teaser, SUV tiga-tempat duduk

    Hyundai Ioniq 9 — imej teaser, SUV tiga-tempat duduk

    Selain Hyundai Ioniq 5 dan Ioniq 6, model SUV elektrik Hyundai dengan tiga barisan tempat duduk juga sudah agak lama dijangkakan, sejak ditunjukkan konsep Seven pada 2021. Kini, model berkenaan disahkan akan menggunakan nama Ioniq 9 — ia akan mula diproduksi tahun ini juga, dan akan diperkenalkan pada November.

    Imej teaser tentang rekaannya sudah mula ditunjuk dan agak mirip dengan kereta konsep yang dipamerkan dulu. Perincian seperti DRL Parametric Pixel (di sini hadir dengan rekaan perumah lampu depan yang lebih besar), tiang D yang lebih tebal serta bahagian belakang yang agak tegak. Lipatan tajam di belakang yang mengambil ilham dari hanbok juga dikekalkan.

    Pendekatan rekaan Aerosthetic yang ada selebihnya terpapar pada SUV ini mengambil inspirasi daripada bot, dengan satu garis lengkung untuk bumbung dan jarak roda yang panjang menggambarkan ruang dalaman yang selesa untuk kabinnya. Rekaan lain, seperti turbin, digunakan untuk rim aloinya, dengan rekaan pemegang pintu yang tersembunyi dan lampu belakang menegak berbentuk T.

    Ioniq 9 kemungkinan akan menampilkan rekaan pintu konvensional, begitu juga dengan rekaan dalaman yang juga tidak terlalu asing — misalnya seperti yang ditampilkan oleh rekaan suicide door pada Seven dengan kabin ala lounge. Menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP) dengan Ioniq 5 dan 6, kereta ini dijangkan menggunakan spesifikasi mekanikal yang sama dengan kembarnya, Kia EV9, yang hadir dengar varian tertinggi GT-Line dengan pacuan semua roda dan menjana 385 PS (283 kW), 700 Nm dengan jarak perjalanan 505 km melalui bateri 99.8 kWh.

     
     
  • Suzuki, Toyota dan Daihatsu akan bangunkan SUV EV kompak 4WD bersama, diproduksi kilang Suzuki India

    Suzuki, Toyota dan Daihatsu akan bangunkan SUV EV kompak 4WD bersama, diproduksi kilang Suzuki India

    Suzuki Motor Corporation dan Toyota Motor Corporation sudahpun bekerjasama sejak 2016, menyaksikan kedua-dua jenama tersebut menghasilkan model-model rebadge yang ditukar antara satu sama lain. Menerusi perjanjian baharu yang ditandatangani, kerjasama ini akan diperkukuhkan lagi di mana Suzuki bakal memproduksi SUV EV baharu yang bakal dibekalkan kepada Toyota.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, SUV berkenaan akan dihasilkan hanya dalam versi EV tanpa varian yang dijana oleh enjin petrol atau hibrid. Model tersebut juga bakal menawarkan karekter pemanduan sebuah EV yang tajam dan lincah, dalam masa yang sama menampilkan jarak gerak yang cukup dan kabin yang selesa.

    Tambah kenyataaan ini lagi SUV EV tersebut turut akan dibekalkan dengan sistem 4WD yang menawarkan kemampuan meredah laluan off-road yang baik serta memberikan prestasi pemanduan yang lebih berkuasa. Ia disahkan akan diproduksi di kilang Suzuki Motor Gujarat di India pada suku kedua 2025, tetapi pembangunannya bukan hanya melibatkan Suzuki dan Toyota, malah turut akan disertai oleh Daihatsu.

    Ini merupakan kerjasama pertama melibatkan kenderaan elektrik sepenuhnya antara Suzuki dan Toyota, dan ia disahkan akan menjadi model global untuk dipasarkan di seluruh dunia. Toyota menyatakan bahawa model ini akan memenuhi permintaan terhadap model-model SUV EV yang kini dilihat sedang berkembang.

    “Suzuki akan membekalkan BEV pertama kami kepada Toyota di peringkat global. Saya bersyukur kerana kerjasama antara kedua-dua syarikat telah diperkukuhkan lagi dengan cara ini. Sambil terus menjadi pesaing, kami akan memperdalam kerjasama kami ke arah menyelesaikan isu sosial, termasuk merealisasikan masyarakat karbon-neutral melalui pendekatan pelbagai-hala,” kata presiden Suzuki Toshihiro Suzuki.

    “Dengan memanfaatkan unit dan platform BEV yang kami bangunkan bersama, kami akan mengorak langkah baharu dalam kerjasama kami dalam bidang kenderaan elektrik. Ini akan membolehkan kami menyampaikan pelbagai pilihan yang menyumbang kepada masyarakat neutral karbon kepada pelanggan di seluruh dunia. Kami ingin belajar daripada kekuatan masing-masing, bersaing, dan usaha bersama selanjutnya berdasarkan pendekatan pelbagai hala,” kata Presiden Toyota Koji Sato.

     
     
  • Triumph Trident 660 2025 dilancarkan di Malaysia – pelbagai tambahan kelengkapan, harga RM46,900

    Triumph Trident 660 2025 dilancarkan di Malaysia – pelbagai tambahan kelengkapan, harga RM46,900

    Baru sahaja didedahkan kepada dunia beberapa minggu lalu, Triumph Trident 660 2025 kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM46,900 tidak termasuk insurans. Keseluruhannya ada tiga warna baru yang ditawarkan dan kumpulan pertama motosikal untuk pelanggan dijangka tiba pada pertengahan bulan November.

    Peningkatan yang dibuat pada Trident baru ini kebanyakannya adalah pada bahagian kelengkapan dan ciri. Sebagai permulaan, ia kini ditawarkan secara standard dengan Cornering ABS, Traction Control, Triumph Shift Assist (quickshifter naik dan turun gear) serta cruise control.

    Kemudiannya pada bahagian suspensi, fork USD 41 mm sebelum ini dinaik taraf dengan unit SFF-BL (big piston), sementara di belakang masih menggunakan monoshock Showa dengan pelarasan pra beban yang sama. Ia memegang rim 17 inci yang dibalut dengan tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

    Jika sebelum ini Trident 660 cuma mempunyai dua mod iaitu Road dan Rain, sekarang ia ditambah dengan satu lagi mod Sport yang lebih sesuai untuk tunggangan bersemangat. Untuk skrin TFT berwarna penuhnya pula, fungsi sambungan kepada telefon pintar untuk menunjukkan navigasi serta kawalan muzik kini diberikan secara standard. Turut dipertingkat adalah jenis bahan dan kemasan, termasuk top yoke dan pedal brek.

    Bahagian lain pada motosikal ini tidak diubah, termasuk enjin tiga silindernya, yang berkapasiti 660 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 81 hp pada 10,250 rpm dan tork 64 Nm pada 6,250 rpm. Brek menggunakan unit cakera berkembar 310 mm dengan angkup dua piston di hadapan dan cakera tunggal 255 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Trident 660 hadir dengan tangki bahan api 14 liter dan tinggi tempat duduknya masih 805 mm. Dengan segala tambahan kelengkapan baru ini, berat keseluruhannya cuma naik satu kilogram menjadi 190 kg. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Jaecoo pertonton Omoda C9 kepada awam di 1 Utama – SUV lima tempat duduk enjin 2.0L turbo, dari RM185k

    Jaecoo pertonton Omoda C9 kepada awam di 1 Utama – SUV lima tempat duduk enjin 2.0L turbo, dari RM185k

    Kami sekarang berada di majlis pra tonton Omoda C9, yang sedang berlangsung di 1 Utama sehingga Ahad, 3 November ini. Jika ada yang tertanya kenapa nama Chery tidak disebut, biar kami terangkan terlebih dahulu. Kedua-dua Omoda dan Jaecoo sebenarnya adalah jenama di bawah Chery yang lebih premium, dan akan dijual di bawah nama sendiri.

    Ini bagaimanapun tidak termasuk dengan Chery Omoda 5, kerana ia telah dilancarkan lebih awal daripada jenama Jaecoo di negara kita. Jadi, sekarang akan ada Chery dan Omoda/Jaecoo di bawah satu bumbung untuk pasaran Malaysia.

    Bagi Jaecoo, mereka memanggil Omoda C9 ini sebagai sebuah ‘SUV coupe off-road premium’ dan terletak dalam segmen D. Ukuran dimensinya adalah 4,775 mm panjang, 1,920 mm lebar, 1,671mm tinggi dengan jarak antara roda 2,800 mm. Ketinggian dari permukaan tanahnya pula ialah 165 mm, dengan kemampuan meredah air setinggi 450 mm.

    Sebagai perbandingan, meskipun ia adalah sebuah SUV lima tempat duduk, saiznya adalah lebih besar berbanding Chery Tiggo 8 Pro tujuh tempat duduk, tetapi duduk lebih rendah. Ruang but barangan di belakang mempunyai kapasiti antara 660 liter ke 1,783 liter.

    Sama seperti EV Omoda E5, SUV ini menampilkan gril rekaan matriks berlian dengan lampu nyalaan siang bentuk sigma. Selain ciri kawalan adaptif pintar dan lampu depan LED, ia juga dilengkapi dengan cermin depan akustik yang mengurangkan tahap kebisingan di dalam kenderaan.

    Di bawah hudnya terdapat enjin petrol empat-silinder sebaris 2.0 TGDI (turbo) berkuasa 261 PS hp dan 400 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan untuk memacu sama ada dua roda hadapan sahaja (2WD) atau semua roda (AWD).

    Jaecoo pertonton Omoda C9 kepada awam di 1 Utama – SUV lima tempat duduk enjin 2.0L turbo, dari RM185k

    Untuk enjin, Omoda C9 dipacu oleh unit 2.0 TGDI petrol empat-silinder sebaris (sama dengan model Chery Tiggo 8 Pro) yang menjana sebanyak 261 PS hp dan 400 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan. Ditawarkan dalam dua versi, Omoda C9 pacuan dua roda (2WD) menyediakan tiga-mod pemanduan, manakala versi pacuan semua roda (AWD) menawarkan tujuh-mod pemanduan bagi kegunaan dalam bandar dan juga off-road. Kapasiti ruang but barangan di belakang mempunyai kapasiti dari 660 liter hingga 1,783 liter.

    Sementara tetapan suspensi McPherson di depan dan multi-link di belakang kedengaran seperti biasa, Omoda C9 ini mendapat penyerap adaptif. Menghubungkannya kepada jalan adalah rim 20 inci yang dibalut tayar Michelin e-Primacy bersaiz 245/50. Omoda C9 pacuan dua roda (2WD) menyediakan tiga-mod pemanduan, manakala versi pacuan semua roda (AWD) ada tujuh-mod.

    Senarai kelengkapan Omoda C9 ini adalah panjang, termasuk skrin HD tunggal 24.6-inci, pengecas tanpa wayar Qi 50W, ruang pendingin untuk barangan di bahagian konsol tengah, stereng dengan paddle shifter, kawalan pendingin tiga-zon dengan sistem haruman (yang menggunakan cartridge dengan tiga wangian berbeza yang boleh ditentukan melalui skrin sentuh) dan kawalan kualiti udara serta ruang dalam dengan sentuhan mewah.

    Papan pemuka serta kerusi balutan kulit premium menyerlahkan lagi perincian mewah ruang kabinnya. Untuk pemandu, kerusinya adalah larasan elektrik lapan-arah dengan enam fungsi memori. Selain itu, model ini turut mempunyai corong pendingin di bahagian tiang untuk penumpang belakang. Penyandar kerusi belakang juga menggunakan larasan kuasa elektrik.

    Bagi aspek keselamatan, Omoda C9 antara lain dilengkapi Sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) 2.5 dengan Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Pembukaan Pintu (DOW), Amaran Keluar Lorong (LDW), Pencegahan Keluar Lorong (LDP), Bantuan Pertukaran Lorong (LCA) dan Bantuan Mengekalkan Lorong Kecemasan (ELKA). Untuk ketenangan fikiran tambahan, bahagian badan C9 diperbuat daripada 85% keluli kekuatan tinggi dan dilengkapi dengan tujuh-beg udara.

    Selain warna hitam dan putih, Omoda C9 juga akan ditawarkan dalam pilihan warna kelabu matte dengan harga tambahan RM3,000 – pertama kali bagi model pemasangan tempatan (CKD). Tempahan awal untuk model paling premium (setakat ini) daripada kumpulan Chery ini sudah dibuka dengan harga anggaran RM185k bagi versi 2WD dan RM195k bagi AWD. Jika mahu, anda boleh melihat sendiri kenderaan ini depan mata di 1 Utama.

     
     
  • Pasukan Proton R3 untuk Sepang 1000KM – jentera & pemandu didedah, gandingan dua generasi berbeza

    Pasukan Proton R3 untuk Sepang 1000KM – jentera & pemandu didedah, gandingan dua generasi berbeza

    Semalam sayap perlumbaan rasmi Proton iaitu Proton R3 telahpun mendedahkan bukan sahaja jentera, malah barisan pemandunya yang bakal bertarung pada perlumbaan ketahanan Sepang 1000KM, selepas sekitar lima tahun ‘berehat’. Pendedahan tersebut dibuat dalam satu sidang media yang dibuat di Pusat Kecemerlangan Proton (CoE) Subang Jaya.

    Proton R3 akan turun ke S1K dengan dua buah S70 spesifikasi tertinggi dalam perlumbaan ini iaitu kelas MTC, di mana setiap kereta akan dipandu oleh dua orang pemandu secara bergilir-gilir. Dengan ramai pelumba-pelumba muda generasi baharu yang mula mewarnai S1K, Proton R3 nampaknya menyusun strategi dengan menurunkan dua pasangan berlainan generasi.

    Kereta lumba Proton S70 R3 akan menggunakan nombor perlumbaan #81 dan #82 untuk S1K tahun ini, oleh itu ia menampilkan empat pelumba secara keseluruhan di mana tiga daripadanya adalah muka baharu dalam R3, dan seorang lagi adalah pelumba yang sudah lama bersama pasukan tersebut.

    Pasukan Proton R3 untuk Sepang 1000KM – jentera & pemandu didedah, gandingan dua generasi berbeza

    Pelumba yang diiktiraf sebagai pelumba paling berjaya dalam S1K dengan menjuarai perlumbaan ini sebanyak tiga kali -kesemuanya dengan pasukan Proton R3- iaitu Syafiq Ali kembali menyertai skuad berkenaan. Syafiq akan bergandingan dengan seorang lagi pelumba berpengalaman menyertai perlumbaan endurance tempatan dan antarabangsa iaitu Fahrizal Hasan.

    Manakala kereta kedua akan mewakili generasi baharu dengan menggandingkan Ariff Azmi yang baru berusia 18 tahun, bersama Alister Yoong yang berumur 21 tahun. Ariff merupakan pelumba Go-Kart yang pernah bergelar juara untuk perlumbaan Rotax Asia, dan mula beralih ke perlumbaan Touring Car selepas layak menyertai program pembangunan pelumba muda Toyota Gazoo Racing Malaysia sekaligus menjadi juara perlumbaan Vios Challenge Malaysia musim ke-6 dalam kategori Rookie.

    Alister, seperti yang ramai kenal merupakan anak kepada satu-satunya pelumba F1 negara iaitu Alex Yoong. Alister aktif berlumba di luar negara menerusi perlumbaan-perlumbaan single seater dan juga prototype, dan akhir-akhir ini dia dilihat mula membabitkan diri dalam perlumbaan Touring Car tempatan, khususnya siri one make Vios Challenge Malaysia.

    Pasukan Proton R3 untuk Sepang 1000KM – jentera & pemandu didedah, gandingan dua generasi berbeza

    Untuk jentera, ini merupakan kereta lumba pertama Proton R3 yang dibina berasaskan kerangka rekaan Geely. Menurut ketua mekanik Proton R3, asas badan S70 yang lebih lebar dan lebih panjang membolehkan pasukannya membina kereta lumba yang lebih laju berbanding juara S1K 2018, dan 2019 iaitu Proton Iriz. Haji Osman turut menyatakan dengan rekaan aerodinamik lebih baik dan juga pekali geseran lebih rendah, S70 R3 ini turut menampilkan kelajuan laluan lurus yang lebih stabil.

    Kereta lumba Proton S70 ini tidak langsung menggunakan kit badan yang sama dengan versi produksinya. Ia diberikan spoiler bawah bampar hadapan ikonik R3, bersama spoiler belakang yang juga dihasilkan secara custom oleh pasukan tersebut. Tiada skirt sisi dipadankan, manakala diffuser asal bampar belakang dilakukan sedikit pengubahsuaian dengan menebuk lubang dan menyediakan ruang untuk tip ekzos.

    Dua lubang berbentuk bulat pada ruang nombor pendaftaran but belakang kereta lumba ini merupakan lubang untuk pengisian bahan api, bagi membolehkan pengisian lebih pantas dibuat pada tangki bahan api perlumbaan ATL yang terletak dalam kabin. Manakala tip logam yang dilihat berada pada lubang pengisian petrol asal kereta ini pula merupakan injap untuk sistem jek pneumatik bina dalam bagi membolehkan badan kereta diangkat dengan pantas ketika melakukan pitstop.

    Pasukan Proton R3 untuk Sepang 1000KM – jentera & pemandu didedah, gandingan dua generasi berbeza

    Kereta lumba ini tidak dijana oleh enjin asal 1.5 liter tiga-silinder turbo seperti S70 yang dijual di bilik pameran. Sebaliknya ia digerakkan oleh enjin Campro 1.6 liter NA yang diambil dari kereta-kereta lumba R3 sebelum ini, menghasilkan sekitar 200 hp pada roda hadapan yang disalurkan menerusi kotak gear manual dog-box. Enjin ini dipilih bagi mematuhi undang-undang yang ditetapkan dalam kelas MTC, dan perinciannya boleh anda baca pada PAUTAN INI.

    Untuk suspensi, ia masih memnggunakan tetapan topang McPherson di hadapan dan torsion beam di belakang, namun dipadankan dengan penyerap hentak dan spring perlumbaan dari Ohlins. Seperti yang anda boleh lihat, suspensi tersebut pada sebelah hadapan bukan hanya dilaras dengan sudut camber negatif, malah menampilkan sudut caster positif yang begitu agresif.

    Juga seperti kereta-kereta lumba R3 sebelumnya, S70 ini turut menerima set brek perlumbaan dari Alcon pada sebelah hadapan dan belakang. Ia tersorok disebalik rim aloi 15-inci keluaran tempatan iaitu Raxer RP10X dari edisi TDxMCClubz (kolobrasi bersama Tengku Djan) yang dibalut dengan tayar rasmi dengan saiz yang sama perlu digunakan untuk semua kereta lumba MTC iaitu Hankook Ventus TD 195/55R15.

    Manakala pada bahagian dalaman, kereta lumba ini nampaknya telah diberikan papan pemuka custom rekaan R3 sendiri, berbanding masih kosong ketika sesi shakedown pertama yang dibuat awal bulan ini. Ia juga diberikan set rollcage yang diluluskan oleh FIA, tempat duduk perlumbaan Recaro RMS yang diperbuat dari material gentian karbon, set pemadan api, suis-suis kawalan perlumbaan, paparan instrumen perlumbaan Motec, set pedal box perlumbaan AP Racing dan pelbagai lagi.

    Ketika didedahkan semalam, badan kereta lumba ini masih lagi kosong tanpa sebarang grafik. Menurut Proton R3 kereta lumba ini akan mengenakan livery perlumbaan yang sama seperti versi konsep yang didedahkan ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2024 Mei lalu. Livery tersebut akan menggunakan grafik badan Proton R3 yang menampilkan warna utama perak, kuning dan hitam, hampir sama seperti grafik yang digunakan oleh kereta lumba S1K Proton Preve pada tahun 2012.

    GALERI: Kereta lumba Saga dan Iriz Proton R3 untuk perlumbaan Sepang 1000KM sebelum ini

    GALERI: Kereta lumba konsep Proton S70 R3

     
     
  • BAS.MY Melaka dilancar – 19 laluan terutama tempat tumpuan pelancong, 51 unit termasuk 4 bas elektrik

    BAS.MY Melaka dilancar – 19 laluan terutama tempat tumpuan pelancong, 51 unit termasuk 4 bas elektrik

    Bagi usaha merangka satu sistem bas berhenti-henti (SBST) yang bertujuan untuk menambah baik perkhidmatan bas dari aspek kemampanandan kebolehharapan (reliability), jenama BAS.MY Melaka telah pun dilancarkan untuk kegunaan di sekitar Melaka. Perkhidmatan ini bertujuan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam yang lebih efisien agar dapat meningkatkan mobiliti, produktiviti dan taraf hidup rakyat negara ini.

    Program ini bakal melibatkan 51 buah bas berwarna merah jambu termasuk bas mini, mini low floor dan bas janaan elektrik (EV) dengan 19 laluan meliputi empat kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan Majlis Perbandaran Jasin.

    Ini termasuk dengan kawasan tumpuan pelancong bersempena dengan Tahun Melawat Melaka 2024 selain menyokong dasar pembangunan teknologi hijau negeri Melaka. Manakala laluan yang paling popular iaitu M100 dari Melaka Sentral ke Pusat Bandaraya Melaka akan menggunakan bas elektrik yang mesra alam.

    Selain mesra orang kurang upaya (OKU), bas-bas yang digunakan juga ditambah dengan ciri ciri keselamatan seperti CCTV bagi memantau keselamatan penumpang di dalam dan di luar bas. Ia juga dilengkapi paparan LED bagi memaparkan nombor dan destinasi bas.

    “BAS.MY Melaka menawarkan sistem pembayaran tanpa tunai menggunakan kad debit/kredit,prabayar atau pembayaran e-wallet. Pengguna BAS.MY Melaka berwarganegara Malaysia turut ditawarkan kemudahan Pas Perjalanan Tanpa Had melalui langganan pas bernilai RM50 untuk perjalanan selama 30 hari, selain tambang percuma kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU), warga emas dan pelajar sekolah melalui Kad Konsesi BAS.MY”, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

    Beliau turut berkata, kerajaan Persekutuan akan melaburkan sebanyak RM83.76 juta bagi tempoh lima tahun bagi memastikan perkhidmatan BAS.MY Melaka dapat mencapai kejayaan. Di mana jumlah itu, sebanyak RM16.75 juta setahun akan dibelanjakan dalam tempoh tersebut, laporan UtusanTV.

    “Kita boleh lihat dalam jangka masa beberapa tahun ini, terdapat banyak perubahan khususnya di dalam sektor pengangkutan awam darat di Melaka. Ia terjadi dengan keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan pengangkutan awam di Melaka sentiasa menjadi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.

    “Saya berharap Kerajaan Negeri boleh meneruskan usaha baik ini dan turut melabur untuk melengkapkan ekosistem perkhidmatan BAS.MY Melaka,” katanya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri DFF dan MEA bakal dibuka untuk bidaan

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Kelantan, DFF, bakal dibuka bidaan mulai 8 November ini. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 12 November ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 13 November 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Melaka pula, MEA, bidaannya pula bakal dibuka mulai 14 November dan akan berakhir jam 10 malam pada 18 November. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 19 November 2024.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • Asas Proton S70 yang baik hasilkan kereta lumba lebih laju – ketua mekanik Proton R3, Haji Osman Jailani

    Asas Proton S70 yang baik hasilkan kereta lumba lebih laju – ketua mekanik Proton R3, Haji Osman Jailani

    Kereta lumba Proton S70 R3 telah pun didedahkan hari ini, dan seperti yang telah kami laporkan ia menggunakan enjin Campro 1.6 liter NA dari model-model terdahulu, bukan enjin 1.5 liter turbo asal. Dengan tidak menggunakan enjin dan kotak gear asal, jadi apa yang boleh dikaitkan kereta lumba ini dengan model produksi jalan raya biasa?

    Menurut ketua mekanik pasukan Proton R3 Haji Osman Jailani, asas kerangka Proton S70 ini sahaja sudah lebih baik dari kereta-kereta lumba terdahulu, membolehkan pasukannya menghasilkan kereta lumba baharu yang lebih laju. Beliau menjelaskan bahawa dengan badan yang lebih lebar dan juga lebih panjang, menjadikan Proton S70 ini menjadi kereta lumba dengan pengendalian terbaik pernah dihasilkan Proton R3, lebih baik dari Saga dan Iriz sebelum ini.

    Haji Osman turut menambah, kereta lumba Proton S70 turut menampilkan kelajuan tinggi lebih baik pada laluan lurus kerana asas badan kereta itu sendiri yang lebih aerodinamik serta direka dengan pekali geseran lebih rendah.

    Asas Proton S70 yang baik hasilkan kereta lumba lebih laju – ketua mekanik Proton R3, Haji Osman Jailani

    Menurutnya lagi, pembangunan kereta lumba ini turut mendapat sokongan teknikal dari pasukan R&D Proton yang menghasilkan model jalan raya S70 ini dan juga dari R&D Geely sendiri, khususnya dalam aspek perkongsian data untuk kerja-kerja seperti memadankan enjin Campro 1.6 ke dalam perut jentera lumba S70 R3 tersebut.

    Walaupun kereta lumba ini dilihat sarat dengan kelengkapan seperti set rollcage yang berselirat mengikut spesifikasi FIA, set brek dan suspensi dengan komponen-komponen lebih besar, Haji Osman memberitahu bahawa berat kereta lumba ini sekarang hampir kepada had minima yang dibenarkan dalam undang-undang MTC iaitu 1,000 kg, berbanding model jalan raya biasa dengan berat melebihi 1,300 kg.

    Asas Proton S70 yang baik hasilkan kereta lumba lebih laju – ketua mekanik Proton R3, Haji Osman Jailani

    Namun beliau menjelaskan masih ada ruang untuk diringankan badan kereta ini pada masa hadapan. Haji Osman tidak memperincikan bahagian mana lagi yang boleh dibuat, namun pada pemerhatian kami, kereta lumba ini masih menggunakan cermin kaca pada kedua-dua tingkap pintu belakang dan cermin utama belakang, berbeza dengan kereta lumba Toyota Vios NGC102 MTC pasukan Wing Hin Motorsport yang telah pun menggunakan material polycarbonate pada bahagian-bahagian tersebut.

    Proton telah mengesahkan bahawa enjin 1.6 liter Campro tersebut kerana ia adalah pilihan paling sesuai untuk undang-undang kategori MTC dalam perlumbaan Sepang 1000KM (S1K). Namun Haji Osman turut ada menyatakan bahawa pasukannya turut berminat untuk membina sebuah lagi kereta lumba Proton S70 menggunakan enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo yang sama dengan model produksi sekiranya pihak Litar Antarabangsa Sepang merombak undang-undang kategori Stock Production 2 (SP2) untuk membenarkan enjin berkenaan digunakan bagi perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) tahun depan.

    GALERI: Proton S70 Flagship X

     
     
  • Stesen pengecas EV dijangka diganda kepada 4,000 buah menjelang tahun depan, 10,000 pada akhir 2025

    Stesen pengecas EV dijangka diganda kepada 4,000 buah menjelang tahun depan, 10,000 pada akhir 2025

    Selepas perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenderaan elektrik (EV) akan digunakan sebagai kereta rasmi pemimpin ASEAN sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 semalam, timbalan perdana menteri, Fadillah Yusof pula membuat kenyataan bahawa jumlah stesen pengecas EV dalam negara dijangka digandakan kepada 4,000 buah, sebagai sokongan.

    Dalam laporan The Star, Fadillah dipetik berkata bahawa jumlah 2,000 stesen yang ada sekarang – kebanyakannya terletak dalam kawasan bandar – sudah mencukupi untuk membekalkan elektrik kepada kenderaan rasmi perjumpaan ASEAN itu, yang juga diadakan di dalam kawasan bandar.

    Tambah beliau, fokus kepada sektor tenaga ini, termasuk EV adalah salah satu pendekatan untuk mencapai kelestarian. “Rancangannya sekarang adalah untuk mempromosi lebih EV, dan salah satu langkahnya adalah dengan meningkatkan jumlah stesen pengecas. Sasaran kami adalah untuk mempunyai 10,000 stesen di seluruh negara menjelang 2030, bersama dengan penyediaan insentif untuk pemilikan EV.”

    Stesen pengecas EV dijangka diganda kepada 4,000 buah menjelang tahun depan, 10,000 pada akhir 2025

    “Ini memberi manfaat kepada alam sekitar memandangkan ia mengurangkan pembebasan karbon daripada sektor pengangkutan, dan EV adalah salah satu langkah yang diberi fokus oleh kerajaan,” kata beliau sambil menambah bahawa percepatan pemasangan stesen pengecas memerlukan penyertaan daripada bukan sahaja Tenaga Nasional Berhad (TNB), tetapi juga sektor swasta.

    Data yang dinyatakan oleh Fadillah nampak sedikit berbeza berbanding yang dikeluarkan oleh menteri pelaburan, perdagangan dan industri (MITI), Tengku Zafrul Aziz, yang baru sahaja minggu lepas menyatakan bahawa Malaysia sudah mempunyai 3,171 stesen pengecas (813 DC, 2,358 AC) setakat 30 September. Disebabkan itu, sasaran 4,000 stesen menjelang 2025 memang dapat dicapai.

    Sasaran yang lebih tinggi adalah untuk mempunyai 10,000 pengecas, terdiri daripada 1,500 DC dan 8,500 AC, menjelang akhir tahun 2025. Ini diutarakan pada tahun 2021 di bawah Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon (LCMB) 2021-2030 dan juga adalah lima tahun lebih awal berbanding sasaran yang dibuat oleh Fadillah seperti di atas.

     
     
  • Proton R3 rancang hasilkan kereta lumba S70 dengan enjin asal 1.5 liter tiga-silinder turbo tahun hadapan

    Proton R3 rancang hasilkan kereta lumba S70 dengan enjin asal 1.5 liter tiga-silinder turbo tahun hadapan

    Kereta lumba Proton S70 R3 yang bakal digunakan untuk perlumbaan Sepang 1000KM (S1K) bulan depan telah pun didedahkan kepada media hari ini, dan ia disahkan menggunakan enjin 1.6 liter Campro NA kerana ia sesuai dengan undang-undang kategori MTC, iaitu kelas tertinggi dalam perlumbaan berkenaan. Namun ini bukan bermakna Proton R3 tidak berminat untuk membina kereta lumba menggunakan enjin baharu 1.5 liter turbo yang dipadankan pada model produksi sebenar S70 yang dijual di bilik pameran.

    Ketika ditanya adakah Proton R3 turut akan bertanding dalam perlumbaan lain seperti Malaysia Championship Series (MCS) yang pernah disertai sebelum ini, CEO Proton Global Service (syarikat yang mengendalikan jenama R3 sekarang) Lee Yeet Chuan menyatakan mereka perlu melihat dahulu keputusan yang dihasilkan pada perlumbaan S1K tahun ini.

    Namun menurut ketua mekanik pasukan Proton R3 Haji Osman Jailani, pasukannya memang berhasrat untuk menghasilkan satu lagi kereta lumba Proton S70 untuk MCS selain dari kategori MTC. Haji Osman menolak kemungkinan bahawa mereka akan bertanding dalam kategori Touring Production seperti Honda Civic FC 1.5 liter VTEC Turbo yang dibina oleh pasukan Honda Malaysia Racing Team sebelum ini.

    Sebaliknya Haji Osman menjelaskan bahawa tahun hadapan pihak penganjur MCS iaitu Litar Antarabangsa Sepang Petronas sendiri akan membuat rombakan terhadap kategori Stock Production 2 (SP2), dan ini yang akan mereka berikan perhatian. Kategori SP2 memerlukan kereta lumba yang bertanding berada dalam hampir sepenuhnya dalam keadaan standard kilang dan menggunakan enjin asal, dengan hanya beberapa ubahsuai prestasi dibenarkan dibuat pada suspensi, brek dan juga enjin.

    Proton R3 rancang hasilkan kereta lumba S70 dengan enjin asal 1.5 liter tiga-silinder turbo tahun hadapan

    Cuma buat masa sekarang kategori SP2 ini hanya membenarkan model-model dengan enjin 1.5 liter NA dan 1.6 liter NA untuk bertanding, dan Balance of Performance (BoP) akan dibuat seperti berat minima yang berbeza bagi memastikan semua jentera tersebut dibekalkan tahap prestasi yang sama di atas litar. ‘Rombakan’ yang Haji Osman sebut ini mungkin akan membenarkan model produksi dengan enjin 1.5 liter turbo turut boleh bertanding dengan beberapa syarat yang ditetapkan.

    Jadi Haji Osman menegaskan sekiranya jentera lumba Proton S70 SP2 berkenaan dihasilkan kelak, ia tidak akan sama dengan jentera Proton S70 MTC yang didedahkan hari ini, kerana ia perlu mengekalkan enjin 1.5 liter tiga-silinder asal yang sama seperti model standard.

    Selepas ini juga Proton turut bercadang untuk menghasilkan model produksi jalan raya sebenar Proton S70 R3 dengan prestasi lebih baik. Mungkin kereta lumba baharu berkenaan akan lebih mirip dengan Proton S70 R3 yang akan dijual di bilik pameran kelak?

     
     
  • Proton sahkan kereta lumba S70 R3 guna enjin 1.6 liter Campro, bukan 1.5L 3-silinder turbo dan ini sebabnya

    Proton sahkan kereta lumba S70 R3 guna enjin 1.6 liter Campro, bukan 1.5L 3-silinder turbo dan ini sebabnya

    Hari ini sayap perlumbaan rasmi Proton iaitu Proton R3 secara rasmi mengumumkan barisan pelumba mereka bagi menyertai Perlumbaan Sepang 1000km (S1K) 2024 bulan hadapan. Dalam majlis tersebut juga buat pertama kali kereta lumba baharu pasukan tersebut yang baru sahaja siap iaitu Proton S70 R3 didedahkan kepada media.

    Tanpa selindung, Proton memberitahu bahawa Proton S70 R3 ini sememangnya menggunakan enjin NA 1.6 liter empat silinder S4PH atau dikenali sebagai Campro 1.6 dari model-model lama mereka, bukan menggunakan enjin turbo GEP3 1.5 liter tiga-silinder asal pada S70 yang dijual di bilik pameran.

    Menurut Proton, enjin Campro tersebut dipilih adalah kerana undang-undang perlumbaan S1K itu sendiri. Proton S70 R3 ini akan bertanding dalam kategori MTC, yang menetapkan kereta yang bertanding perlu menggunakan enjin dengan sesaran maksima 1,600 cc, tanpa bantuan turbo.

    Proton sahkan kereta lumba S70 R3 guna enjin 1.6 liter Campro, bukan 1.5L 3-silinder turbo dan ini sebabnya

    Jadi untuk ‘membuang’ turbo pada enjin 1.5 liter tersebut adalah tidak efisien kerana enjin berkenaan sememangnya hanya dibangunkan dalam variasi dengan induksi paksaan, tanpa versi naturally aspirated (NA). Berbeza dengan enjin Campro pada Preve sebelum ini yang sememangnya ada dalam versi turbo dan NA.

    Tambahan pula, undang-undang MTC berkenaan turut membenarkan penggunaan enjin dari pengeluar yang sama, membolehkan enjin Campro ini lulus untuk digunakan kereta lumba Proton S70 R3 S1K tersebut. Bonus untuk Proton R3, enjin Campro berkenaan sememangnya sudah digunakan pada kereta-kereta lumbanya sebelum ini termasuk Satria Neo, Preve, Suprima S, Iriz dan Saga, dan telah merangkul lima gelaran juara S1K.

    Ini bermakna kos untuk membangunkan enjin baharu dapat dijimatkan, manakala segala data dari enjin yang telah ‘matang’ tersebut masih boleh digunakan pada jentera baharu ini. Malah kereta lumba ini juga dapat disiapkan dengan cepat kerana pasukan tersebut sudah mempunyai enjin yang terbukti dapat mendominasi perlumbaan S1K.

    Proton sahkan kereta lumba S70 R3 guna enjin 1.6 liter Campro, bukan 1.5L 3-silinder turbo dan ini sebabnya

    Bukan hanya Proton R3 menggunakan pendekatan seperti ini. Kereta lumba GR Yaris Rally1 yang digunakan oleh pasukan Toyota Gazoo Racing dalam Kejuaraan Rali Dunia (WRC) juga sebenarnya tidak menggunakan enjin 1.6 liter tiga silinder dari model produksi GR Yaris, sebaliknya menggunakan enjin 1.6 liter empat-silinder turbo yang diambil dari jentera Yaris WRC sebelum itu. Alasan sama yang digunakan Toyota dalam memilih enjin tersebut – ia terbukti telah matang, jimat kos pembangunan dan ia tidak bertentangan dengan undang-undang perlumbaan.

    Spesikasi teknikal untuk enjin Campro tersebut tidak didedahkan. Namun versi terakhir yang dipadankan pada Saga dan juga Iriz yang memenangi S1K untuk tahun 2018 dan 2019, enjin Campro S4PH berkenaan mampu menghasilkan lebih dari 200 hp pada roda hadapan, dan ia digandingkan dengan kotak gear manual perlumbaan jenis dog box.

    Walau bagaimanapun, pasukan Proton R3 mendedahkan bahawa mereka merancang untuk membangunkan satu lagi kereta lumba S70 yang menggunakan enjin 1.5 liter turbo asal, dan perinciannya kami dedah menerusi satu lagi artikel pada PAUTAN INI.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025