Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ catat kutipan lebih RM28 juta menerusi aplikasi MyJPJ pada Julai 2024; tambahbaik hujung 2025

    JPJ catat kutipan lebih RM28 juta menerusi aplikasi MyJPJ pada Julai 2024; tambahbaik hujung 2025

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) merekodkan kutipan lebih RM28 juta menerusi aplikasi digital MyJPJ pada Julai 2024 iaitu sebulan selepas transaksi dalam talian diperkenalkan pada Jun lalu.

    Di mana jumlah bayaran yang diperoleh selepas kaedah pembayaran Payment Gateway (FPX) diperkenalkan itu adalah sembilan kali ganda daripada kutipan hasil menerusi portal MySikap iaitu lebih RM3 juta dalam tempoh sama, kata Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli.

    “Kita mendapat reaksi positif daripada pengguna aplikasi MyJPJ apabila mereka memilih melakukan transaksi secara dalam talian, ini adalah kejayaan baharu kepada JPJ. Ini juga membuktikan rakyat sudah nampak kemudahan yang disediakan JPJ dalam memudahkan urusan mereka secara digital dan mengurangkan bilangan orang ke kaunter atau pejabat POS untuk memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM),” katanya seperti dilaporkan Bernama.

    Bagi menambah baik aplikasi yang lebih setahun diperkenalkan itu, Aedy Fadly berkata kerajaan menerusi JPJ akan memperkenalkan MyJPJ versi dua yang dijangka dapat disediakan kepada pengguna pada hujung tahun hadapan.

    “Ketika ini perancangan untuk tender baharu bagi MyJPJ versi kedua sudah siap tetapi perlu disemak oleh Jabatan Digital Negara (Kementerian Digital). Versi kedua ini nanti dapat menyelesaikan banyak isu (aduan) berkaitan oleh pengguna aplikasi MyJPJ,” katanya.

     
     
  • Lotus Emeya dilancar di Malaysia – RM555k-RM777k, EV GT 4 pintu sehingga 918PS, 0-100 km/j 2.78 saat!

    Lotus Emeya dilancar di Malaysia – RM555k-RM777k, EV GT 4 pintu sehingga 918PS, 0-100 km/j 2.78 saat!

    Lotus Cars Malaysia hari ini secara rasmi telah melancarkan model Hyper-GT terbaharunya iaitu Emeya ke pasaran tempatan. Model ini telah membuat kemunculan sulungnya di Amerika Syarikat pada September 2023, dan sesi pratonton untuk pelanggan yang berminat telah pun bermula bulan lalu.

    Ketiga-tiga varian Emeya ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia. Ia bermula dengan varian asas Lotus Emeya dijual pada harga bermula RM555,000, diikuti Emeya S dengan harga RM643,000, manakala varian paling pantas dan berkuasa Emeya R boleh dibeli pada harga bermula RM777,000. Harga yang disebut ini adalah harga atas jalan tanpa insuran untuk Semenanjung Malaysia.

    Sama seperti Hyper-SUV EV Lotus Eletre, Emeya yang merupakan Grand Tourer-empat pintu ini juga diasaskan dari platform Electric Premium Architecture (EPA) yang dibangunkan Lotus menampilkan asas sistem elektrikal 800-volt. Jadi dalam dunia sebenar, Emeya adalah jawapan Lotus terhadap Porsche Taycan dan Audi e-Tron GT.

    Bagi model asas Emeya, ia menerima tetapan dua motor elektrik yang masing-masing diletakkan pada gandar hadapan dan belakang bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda, serta kuasa keseluruhan 612 PS dan tork maksima 710 Nm. Konfigurasi yang sama dikongsi bersama Emeya S, dan ia juga sebenarnya sama seperti unit rangkaan kuasa pada Eletre dan Eletre S.

    Untuk Emeya dan Emeya S, gandingan ini cukup membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.15 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Manakala untuk Emeya R, kuasa yang dihasilkan dari kedua-dua motor adalah 918 PS dan tork maksima 985 Nm, membolehkan pecutan sama dicapai dalam masa hanya 2.78 saat dan kelajuan maksima pula adalah 256 km/j.

    Ketiga-tiga varian ini menerima sistem Lotus ICC bagi memastikan agihan tork yang tepat diberikan pada setiap roda. Manakala untuk Emeya R, motor elektrik yang diberikan bukan hanya lebih berkuasa, malah unit rangkaian kuasa tersebut juga turut diberikan transmisi dua kelajuan.

    Kesemua varian menerima bateri 102 kWh, yang membolehkan Emeya dan Emeya S bergerak sejauh 610 km mengikut kitaran WLTP dengan satu cas penuh, manakala Emeya R yang lebih berkuasa pula hanya boleh bergerak sejauh 485 km. Unit rangkaian kuasa ini berfungsi menerusi asas seni bina elektrikal 800-volt. Ini membolehkan pengecas pantas DC 350 kW, memenuhkan bateri dari 10-80% dalam masa 18 minit, sementara jika menggunakan pengecas AC 22 kW pula cas dari 0% boleh dipenuhkan dalam masa 5.8 jam.

    Untuk brek, varian asas Emeya diberikan cakera berdiameter 370 mm bersama angkup empat omboh di hadapan dan cakera 367 mm di belakang. Manakala untuk Emeya S dan Emeya R, ia diberikan brek lebih besar dengan cakera 412 mm dan angkup enam omboh di hadapan bersama cakera 397 mm di belakang. Lotus turut menawarkan tingkat taraf sistem brek seramik karbon dengan angkup 10-omboh untuk Emeya.

    Model asas Emeya turut boleh dikenali menerusi pemadanan set rim aloi 20-inci dengan bersama tayar Pirelli P-Zero bersaiz 255/45R20 di hadapan dan 285/40R20 di belakang, manakala Emeya S dan Emeya R menerima set rim aloi forged 21-inci dengan tayar 265/40R21 di hadapan dan 305/35R21 di belakang.

    Untuk suspensi, kesemua varian Emeya menerima suspensi udara tiga-kebuk dengan penyerap hentak adaptif yang sangat aktif bagi bertindak balas dan terhadap permukaan jalan dengan pantas. Ia juga menyediakan lima mod pemanduan iaitu Range, Tour, Sport, Individual dan Track bagi melaras talaan suspensi seperti ketinggian dan kekerasan serta mengambil. kira sekali respon pendikit.

    Manakala bagi varian Emeya R, ia diberikan Handling Pack secara standard yang merangkumi pemadanan sistem anti-oleng aktif dan juga stereng pada gandar belakang.

    Emeya menerima sistem aerodinamik aktif untuk semua varian dengan menampilkan perincian seperti gril hadapan aktif yang dapat memberikan kesan aerodinamik lebih baik ketika ditutup dan menyejukkan bateri serta sistem brek apabila dibuka, dan juga dam angin aktif yang digabungkan dengan diffuser belakang aktif yang memberikan downforce lebih baik pada kelajuan tinggi, serta melancarkan pergerakan udara di bawah kenderaan untuk pengendalian dan pemanduan yang lebih stabil.

    Emeya R pula datang standard dengan Carbon Pack yang menrangkumi komponen gentian karbon seperti splitter hadapan, bumbung, penutup cermin sisi, Gurney Flap pada spoiler aktif belakang serta diffuser pada bahagian bawah bampar belakang.

    Jika tidak cukup dengan perincian-perincian ini, Lotus turut menawarkan Expanded Pack sebagai opsyen yang menampilkan perincian karbon lain seperti kemasan pada bampar hadapai dan belakang, panel bonet, skrit sisi.

    Kabin Emeya ini masih berkongsi banyak perincian yang diambil dari SUV Eletre. Ia diberikan papan pemuka yang direka elemen melintang dan berlapis yang kelihatan bersambung dengan panel pintu, dan juga konsol tengah “terapung”, bersama skrin sesentuh OLED 15.1-inci diletakkan di tengah-tengah papan pemuka.

    Sistem infotainmen tersebut menggunakan Lotus Hyper OS yang memberikan kuasa pemprosesas dari unit Qualcomm 8155 system-on-chip. Manakala di hadapan pemandu dan penumpang hadapan masing-masing turut diberikan skrin nipis bersaiz 12.6-inci. Skrin untuk pemandu berfungsi sebagai paparan instrumen yang turut disokong dengan paparan head-up dengan teknologi AR.

    Lotus Emeya dilancar di Malaysia – RM555k-RM777k, EV GT 4 pintu sehingga 918PS, 0-100 km/j 2.78 saat!

    Kesemua varian Emeya ini menerima sistem audio KEF 1,380-watt yang menampilkan 15-pembesar suara bersama sistem bunyi keliling 3D Dolby Atmos. Namun Lotus turut menawarkan tingkat taraf dengan opsyen sistem audio KEF berkuasa 2,160-watt dengan 23 pembesar suara.

    Sebagai sebuah model empat pintu, Emeya juga merupakan sebuah kereta yang praktikal untuk digunakan setiap hari, dan ia menawarkan ruang but belakang sebesar 509 liter. Pembeli boleh memilih untuk memadankan pek Comfort Seat bagi memberikan fungsi pengurut pada empat duduk hadapan dengan lima mod.

    Ada juga pilihan opsyen Executive Pack yang memberikan kerusi pengurut pada tempat duduk belakang dan juga skrin untuk kabin belakang bersaiz sembilan-inci yang boleh dilipat sepenuhnya lika tidak digunakan. Tetapi dengan pilihan ini ruang but belakang akan mengecil dengan kapasiti 426 liter.

    Emeya turut menggunakan sistem pembatalan bunyi bersepadu atau Road Noise Cancellation (RNC) bagi mengelakkan pemandu terganggu dengan bunyi dari luar. Sistem ini Menggunakan penderia getaran pada bahagian badan kenderaan bagi mengesan pergerakkan pada tayar dan suspensi dan dengan bantuan algoritma khas bagi membatalkan bunyi-bunyi yang tidak di ingini tersebut.

    Untuk keselamatan, kesemua varian Emeya menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang dikuasakan oleh cip pemproses Nvidia Drive Orin berkembar. Ia memberikan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantaun titik buta, amaran lintasan trafik hadapan dan belakang, amaran pelanggaran belakang dan kamera 360-darjah. Sistem bantuan parkir pula ditawarkan sebagai opsyen.

    Lotus Cars Malaysia menawarkan pelindungan waranti pengeluar selama lima tahun atau 150,000km, manakala waranti untuk bateri EV ini pula diberikan selama lapan tahun atau 200,000km.

    GALERI: Lotus Emeya S pasaran Malaysia

    GALERI: Lotus Emeya R pasaran Malaysia

     
     
  • Rapid KL sediakan perkhidmatan 24 jam untuk rel dan laluan bas terpilih pada 30-31 Ogos sempena Merdeka

    Rapid KL sediakan perkhidmatan 24 jam untuk rel dan laluan bas terpilih pada 30-31 Ogos sempena Merdeka

    Rapid KL, selaku pengendali perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang telah mengumumkan semua perkhidmatan rel merangkumi LRT, MRT dan Monorel, serta BRT Laluan Sunway dan laluan bas terpilih akan beroperasi selama 24 jam pada malam 30 Ogos 2024, bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-67.

    Perkhidmatan yang dipertingkatkan ini dijalankan buat pertama kalinya sebagai inisiatif Prasarana dalam menyokong usaha kerajaan untuk menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan. Sehubungan itu, semua servis rel akan beroperasi bermula dari jam 6.00 pagi pada 30 Ogos sehingga 11.30 malam pada 31 Ogos 2024.

    Menurut Rapid KL, sebanyak 60 bas perantara percuma akan disediakan dari Stesen MRT Putrajaya Sentral ke Dataran Putrajaya bermula jam 6 petang pada 30 Ogos hingga jam 3 petang pada 31 Ogos bagi memudahkan warga kota yang ingin meraikan Sambutan Hari Kebangsaan 2024 yang bakal berlangsung di Putrajaya.

    Selain itu, sebanyak sembilan buah bas akan disediakan dari MRT Putrajaya Sentral ke lokasi-lokasi menarik di sekitar Putrajaya seperti Taman Botani, Marina Putrajaya, Alamanda dan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 31 Ogos 2024.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, “Pihak Prasarana amat berbangga kerana dapat menyediakan perkhidmatan ini buat rakyat Malaysia dan kami berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik.

    “Lebih 4,000 kakitangan barisan hadapan Rapid KL akan bertugas secara syif bagi memastikan kelancaran operasi 24 jam dan memberikan pengalaman perjalanan yang baik sempena Merdeka 2024. Kami berharap semua rakyat Malaysia dapat hadir bersama-sama memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan yang ke-67 sebagai tanda cinta kepada negara.”

    Justeru, Prasarana menjemput warga kota untuk menggunakan perkhidmatan rel dan bas Rapid KL bagi mengelakkan kesesakan. Lebih 10,000 petak parkir tersedia di beberapa stesen rel terpilih. Selain itu, Prasarana dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya dan Polis Diraja Malaysia akan memastikan kelancaran laluan bas khas ini tidak terganggu dan anggota Polis Bantuan Prasarana akan ditugaskan untuk membantu penganjur bagi kelancaran lalulintas.

    “Pengguna jalan raya sekitar Putrajaya juga dinasihati agar mematuhi arahan pihak berkuasa dengan tidak menghalang laluan bas sepanjang sambutan berlangsung. Pengguna juga disarankan untuk menggunakan kad Touch ’n Go dan memastikan baki kad Touch ‘n Go anda mencukupi,” kata Prasarana.

     
     
  • GAC GS3 Emzoom dapat 5-bintang dari ASEAN NCAP

    GAC GS3 Emzoom dapat 5-bintang dari ASEAN NCAP

    GAC GS3 Emzoom telah menerima penarafan lima-bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) dengan memperoleh 88.39 mata. SUV segmen-B ini dilancarkan di Malaysia pada April lalu, pada mulanya diimport sepenuhnya (CBU) dan kini telah dikeluarkan secara pemasangan tempatan (CKD).

    Di bawah protokol penilaian 2021-2025, GS3 Emzoom memperoleh 29.28 dari 32 mata untuk kategori perlindungan penumpang dewasa, sementara bagi kategori perlindungan penumpang kanak-kanak (COP) pula mendapat 41.91 daripada 51 mata. SUV ini juga mendapat 18.75 daripada 21.00 mata bagi kategori bantuan keselamatan, sementara untuk kategori keselamatan penunggang motosikal (MS) pula, menerima 14 daripada 16.00 mata.

    Selepas mengambil kira ujian terakhir, markah akhir AOP adalah 30.6 kata, diikuti dengan 16.43 mata untuk COP, 17.86 mata untuk bantuan keselamatan dan 17.50 mata bagi MS. Menjadikan markah keseluruhan 88.39 mata membolehkan GS3 Emzoom diberi penarafan lima-bintang.

    Secara standard, GS3 Emzoom dilengkapi enam beg udaram ABS, ESP, sistem pengingatan tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan, brek kecemasan autonomous (AEB), pemantauan titik buta, amaran pelanggaran hadapan, amaran ketibaan lorong, bantuan kekal lorong, bantuan kelajuan adaptif, kawalan had kelajuan pintar dan pengesan isyarat trafik.

     
     
  • MG HS bakal dilancarkan di M’sia — pesaing terbaru Proton X70, Honda CR-V, Mazda CX-5; 1.5T, 7DCT

    MG HS bakal dilancarkan di M’sia — pesaing terbaru Proton X70, Honda CR-V, Mazda CX-5; 1.5T, 7DCT

    Selain MG5 GT, ada satu lagi model MG yang dijangka bakal dilancarkan di Malaysia, iaitu MG HS. Ini merupakan sebuah SUV segmen C yang akan bersaing dengan Proton X70, Honda CR-V dan Mazda CX-5.

    MG HS yang dimuat kongsikan perinciannya oleh pengedar tempatan itu adalah dalam versi facelift dari model generasi pertama yang sudah berada dalam pasaran sejak 2020 itu kini turut dijual di Indonesia dan Thailand. HS generasi kedua pula telah dipertontonkan pertama kali ketika Goodwood Festival of Speed Julai lalu, namun versi ini mungkin tidak akan tiba di sini dalam masa terdekat.

    Dari segi dimensi, MG HS berukuran 4,574 mm panjang, 1,876 mm lebar, 1,664 mm dengan jarak roda 2,720 mm. Di Indonesia, SUV berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menjana sebanyak 162 PS (160 hp atau 119 kW) pada 5,600 rpm dan 250 Nm tork dari 1,700 hingga 4,400 rpm. Ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan.

    Di Thailand, selain enjin sama, ada juga pilihan untuk versi plug-in hybrid (PHEV) yang menerima tambahan motor elektrik dengan output 122 PS (121 hp atau 90 kW) dan 230 Nm, menjadikan output keseluruhannya ialah 284 PS (280 hp atau 209 kW) dan 480 Nm. Versi ini juga disertakan dengan bateri 16.6 kWh untuk jarak elektrik sepenuhnya sejauh 67 km (NEDC) serta kotak gear EDU II 10-kelajuan (enam untuk enjin, empat untuk motor elektrik).

    Varian paling lengkap model ini di negara jiran turut dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu ADAS, yang antaranya terdiri daripada lampu tinggi automatik, amaran perlanggaran depan, brek kecemasan autonomous, kawalan melayar adaptif dengan bantuan kesesakan, amaran penukaran lorong, penghindar penukaran lorong, bantuan mengekalkan lorong, peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Sama seperti MG5 GT, spesifikasi untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui, dan perlu tunggu hingga pelancaran rasminya nanti. Sekadar perbandingan, MG HS di Indonesia dijual dengan harga antara 460.8 juta dan 550.8 juta rupiah (sekitar RM130k dan RM156k), sementara di Thailand antara 939,000 dan 1.159 juta baht (RM119k dan RM147k) bagi versi petrol; serta dari 1.299 juta hingga 1.379 juta baht (RM165k hingga RM175k) untuk varian PHEV.

     
     
  • MG5 GT bakal dilancar di Malaysia – sedan segmen-C, mungkin dengan enjin 1.5L NA dan transmisi CVT?

    MG5 GT bakal dilancar di Malaysia – sedan segmen-C, mungkin dengan enjin 1.5L NA dan transmisi CVT?

    Jenama China asyik bawa EV dan SUV ke Malaysia? Ok, ini ada sesuatu yang berbeza – MG Malaysia bakal membawa beberapa lagi model ke pasaran tempatan, dan salah satunya adalah sedan segmen-C yang dijana oleh petrol sepenuhnya iaitu MG5 GT. Ini didedahkan sendiri oleh salah satu pengedar jenama tersebut menerusi hantaran di Facebook.

    MG merupakan jenama automotif Britain, namun kini ia sudah dimiliki oleh SAIC Motor dari China. Buat masa sekarang jenama berkenaan telah pun menjual dua buah model EV di Malaysia iaitu MG4 dan ZS.

    Untuk MG5 ini, ia dihasilkan dengan dimensi 4,675 mm panjang, 1,842 mm lebar, 1,473 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,680 mm – cukup membolehkan ia bertanding dengan sedan segmen-C lain seperti Honda Civic, Toyota Corolla dan Mazda 3.

    Tiada lagi sebarang perincian berkenaan spesifikasi sedan ini. Model ini sebenarnya sudahpun dilancarkan di Indonesia dan Thailand, di mana kedua-dua pasaran ini menerima unit rangkaian kuasa yang menggandingkan enjin 1.5 liter NA berkuasa 114 PS/150 Nm dan juga kotak gear CVT automatik.

    MG5 GT bakal dilancar di Malaysia – sedan segmen-C, mungkin dengan enjin 1.5L NA dan transmisi CVT?

    Namun di Australia MG5 yang digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang lebih bertenaga iaitu enjin 1.5 liter empat-silinder turbo berkuasa 162 PS dan tork maksima 250 Nm, digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Berdasarkan gambar yang dimuat naik oleh pengedar tersebut, ada beberapa perincian yang boleh kita lihat mungkin ditawarkan pada pasaran Malaysia. Antaranya rim aloi 17-inci, skrin infotainmen bersaiz 10-inci, lampu hadapan LED dan juga paparan instrumen digital sepenuhnya.

    Walau bagaimanapun unit yang dipamerkan oleh penegdar ini mungkin masih dalam versi pra-produksi yang mungkin berbeza dengan spesifikasi akhir sebenar nanti.

    GALERI: MG5 GT pasaran Indonesia di GIIAS 2024

     
     
  • Proton sudah jual lebih 230,000 unit SUV sejak 2018

    Proton sudah jual lebih 230,000 unit SUV sejak 2018

    Ketika melancarkan Proton X70 pada Disember 2018, ia bukan sahaja era di mana Proton mula menjual model-model yang diasaskan dari Geely, malah ia juga merupakan detik permulaan di mana jenama automotif nasional berkenaan mula masuk ke segmen SUV. Dan ketika melancarkan X70 facelift 2025 hari ini, CEO Proton Dr. Li Chunrong mengumumkan bahawa syarikatnya kini merupakan jenama SUV no.1 di Malaysia dengan jumlah jualan kenderaan dalam segmen itu sudah pun melebihi 230,000 unit.

    Selain dari SUV segmen-C X70, sehingga kini Proton telahpun mempunyai dua lagi model SUV segmen-B Proton X50 dan SUV segmen-D Proton X90 yang kini dijual di jaringan pengedarnya. Dan dari ketiga-tiga model tersebut, X50 merupakan model paling laris dengan angka jualan yang sudah pun mencecah 120,000 unit sejak ia dilancarkan pada Oktober 2020.

    Versi tingkat taraf X50 RC juga baru sahaja dilancarkan pada Jun lalu, dan menurut Proton tempahannya kini sudahpun mencacah 13,000 unit. Untuk bulan Julai sahaja sebanyak 2,585 unit X50 telah berjaya diserahkan kepada pembeli. Ini menjadikan jumlah jualan kumulatif dari Januari hingga Julai tahun ini telah pun mencapai 12,789 unit, dan kekal sebagai SUV paling laris di Malaysia dengan pegangan pasaran sebanyak 10.3%

     
     
  • Proton X70 facelift 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

    Proton X70 <em>facelift</em> 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

    Selepas didedahkan dan tempahannya dibuka awal bulan ini, hari ini Proton X70 facelift 2025 dilancarkan secara rasmi. Model ini ditawarkan dalam empat varian berbeza bermula Standard dijual pada harga RM98,800, Executive berharga RM110,800, Premium berharga RM123,800 dan Premium X berharga RM126,800. Kesemua angka yang dinyatakan ada harga atas jalan tanpa insuran.

    Oleh itu tiada sebarang peningkatan harga pada model tingkat taraf ini, sementara Proton mendakwa bahawa kesemua penambahbaikkan yang diberikan pada X70 facelift ini sebenarnya bernilai RM13,700. Malah Proton turut menawarkan pakej istimewa untuk 3,000 pelanggan pertama model ini yang memberikan rebat tunai sebanyak RM7,000 dan juga sokongan trade-in bernilai RM2,800.

    Ya, pilihan variannya kini kurang satu berbanding model MC2 sebelumnya yang ditawarkan dalam lima varian. Ini kerana susunan kelengkapan tersebut telah dirombak untuk versi facelift terbaharu ini di mana Proton X70 tidak lagi menawarkan pilihan enjin 1.8 liter T-GDI dan juga sistem pacuan semua roda dalam mana-mana pilihan varian.

    Jadi kesemua varian Proton X70 facelift ini dijana oleh enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (T-GDi) yang menghasilkan kuasa 177 PS dan tork maksima 255 Nm. Kuasa disalurkan hanya pada roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan 7DCT yang telah dikemaskini.

    Walaupun angka kuasa masih nampak sama, Proton menyatakan bahawa unit rangkaian kuasa pada X70 facelift ini telah dikemaskini dan dapat memberikan penggunaan bahan api 7.3 liter setiap 100 km, atau 4% lebih rendah dari model MC 2022. Ia dapat dicapai menerusi penambahbaikkan dibuat pada keberkesanan pembakaran, pengurusan haba dan pengurangan geseran, secara tidak langsung turut memberikan kadar NVH yang lebih rendah.

    Facelift kali ini juga memberikan rombakan pada bahagian rupa luaran paling besar berbanding versi pertama yang dimula diperkenalkan pada 2018. Bampar hadapan, fender sisi, lampu utama, gril dan juga penutup bonet semuanya baharu dengan hampir kesemua rekaan yang disalin dari Geely Boyue facelift yang didedahkan pada 2022.

    Ia dimulakan dengan pemadanan lampu hadapan dengan rekaan lebih nipis dan bersegi dari sebelum ini, serta menggunakan teknologi LED sepenuhnya dengan rekaan tiga kluster berbeza di dalam perumah — dengan 47 unit lampu LED digunakan, lengkap dengan lampu nyalaan siang.

    Perubahan lampu tersebut turut diselarikan bersama fender hadapan berbeza bagi disesuaikan dengan bentuk baru berkenaan. Bonet hadapan pula menampilkan rekaan yang lebih berotot, manakala bampar hadapan datang dengan kemasan liang udara yang nampak lebih lebar. Untuk gril, Proton menghasilkan gril lebih unik berbanding Boyue dengan rekaan pin krom diinspirasikan dari corak kain songket seperti pada gril sedan S70 dan SUV segmen-D X90.

    Bukan hanya gril, Proton turut menghasilkan rekaan bampar belakang X70 facelift ini yang berbeza dari Boyue, menampilkan reflektor melintang seperti diinspirasikan dari rekaan pada Perdana V6 dan Perdana ‘Accord’ sebelum ini, bersama liang udara tambahan pada setiap sisi. Secara keseluruhan, rekaan semula pada bampar belakang tersebut memberikan rupa seakan ia lebih labuh dari sebelum ini.

    Ada dua rekaan rim baru untuk Proton X70 2025: bagi varian Premium dan Premium X, rim yang diberikan bersaiz 19-inci, manakala untuk Executive bersaiz 18-inci, dengan kedua-dua saiz ini datang dengan rekaan yang berbeza. Varian paling asas iaitu Standard masih dibekalkan dengan rim 17-inci lama.

    Beralih pada sebelah kabin, Proton X70 facelift ini masih diberikan rekaan asas yang masih sama seperti sebelum ini, tetapi diberikan beberapa kemasan dan tema warna berbeza bagi menyegarkan penampilannya, bersama pelbagai tingkat taraf kelengkapan yang lebih baik.

    Benda pertama yang jelas dilihat berbeza adalah roda stereng yang kini menggunakan unit rata di bawah sama seperti pada model-model terkini Proton seperti S70 dan X90. Pemandu juga menerima kluster paparan instrumen kombinasi digital LCD dengan rupa yang telah dikemaskini.

    Proton X70 <em>facelift</em> 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

    Skrin untuk sistem infotaimen juga kini lebih besar dengan saiz 12.3-inci dan ia berbentuk segi empat sebenar berbanding bentuk seperti ‘mangkuk’ sebelum ini. Dengan perubahan skrin tersebut, perapi tengah papan pemuka tersebut juga berubah.

    Dan sekali lagi Proton menampilkan rekaan unik yang tidak sama seperti Boyue, dan ia menampilkan kemasan hitam berkilat bersama lampu suasana 72-warna bina-dalam dengan grafik seakan rekaan gril songket di hadapan pada kemasan perapi tersebut, yang boleh menyala mengikut ritma lagu yang dimainkan sistem audio.

    Liang penghembus penghawa dingin pula kini sudah berwarna hitam berbanding warna Perak sebelum ini. Ia disesuaikan dengan upholsteri kulit Nappa dalam kemasan Stone Grey bagi menggantikan warna perang, dan hanya untuk varian Premium dan Premium X ia menampilkan corak jahitan silang menyilang pada panel pintu.

    Tombol gear masih kelihatan sama seperti sebelum ini, tetapi corak penukaran gearnya telah berubah serta datang dengan butang ‘P’ berasingan.

    Kembali pada skrin yang digunakan, ia kini beroperasi dengan pemproses quad-core, RAM 4GB dan kapasiti simpanan 32 GB. Dan akhirnya, Proton sudah mula menawarkan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto pada modelnya menerusi skrin baharu X70 ini, namun pelanggan perlu menunggu untuk memuat turut aplikasi berkenaan kelak secara over-the-air (OTA) selepas ia diumumkan nanti.

    Kesemua varian X70 2025 ini menerima sistem audio dengan enam-pembesar suara, dan juga tweeter baharu pada tiang-A, tetapi ia tidak lagi menerima pembesar suara jenama Kenwood dan tiada lagi varian yang dibekalkan dengan sub-woofer.

    Selain itu, X70 2025 juga dilengkapi dengan slot USB sebelum ini di bahagian sisi konsol tengah diganti dengan jenis USB-C untuk sebelah penumpang, sebelah pemandu masih kekal menggunakan USB-A, sementara di belakang ia berikan slot USB-A dan juga USB-C. Slot USB untuk dashcam pula telah dipindahkan dari bahagian pelapik bumbung ke bahagian sisi kamera ADAS untuk menjadikannya lebih mudah dicapai.

    Bagi aspek keselamatan pula, antara ciri yang ada ialah kunci automatik ketika pengguna menjauhi kenderaan, pintu tailgate bukaan tanpa sentuh automatik (tiada lagi penderia bukaan kaki) kamera 360-darjah yang jelas serta diberikan sistem pemantau tekanan tayar (TPMS), dan juga sistem-sistem keselamatan pasif yang ada sama seperti sebelum ini.

    Untuk sistem keselamatan aktif pula, sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) bagi Proton X70 2025 ini diberikan 13 fungsi bagi membolehkan ia kini mencapai pemanduan autonomi Tahap 2, berbanding hanya Tahap 1 pada model sebelum ini.

    Fungsi-fungsi berkenaan termasuk brek kecemasan automatik (AEB) dan amaran perlanggaran depan; ACC dengan Stop/Go+ Intelligent Cruise Control; amaran penukaran lorong, penghindar penukaran lorong dan kawalan ke tengah lorong; bantuan menukar lorong dan amaran ketika membuka pintu; kawalan lampu tinggi pintar; maklumat papan tanda trafik; amaran perlanggaran belakang; dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Walau bagaimanapun, fungsi ADAS ini hanya ditawarkan untuk varian Premium dan Premium X. Manakala untuk perbezaan perincian mengikut varian pula adalah seperti berikut:

      Proton X70 2025 Standard

    • Enjin 1.5L TGDI
    • Transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan
    • Penghidup enjin jarak jauh
    • Enam beg udara SRS
    • Lampu LED dengan DRL
    • Rim 17-inci
    • Kerusi balutan fabrik
    • IHU 12.3-inci
    • Kamera undur
    • Walkaway Auto Lock
    • Proton X70 2025 Executive

      Proton X70 <em>facelift</em> 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

      Tambahan dari Standard 2WD

    • Rim 18-inci
    • Pintu ruang barangan kuasa elektrik
    • Kerusi balutan kulit
    • Kerusi pemandu larasan kuasa elektrik
    • Kerusi depan berliang
    • Kamera 360-darjah
    • Proton X70 2025 Premium

      Proton X70 <em>facelift</em> 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

      Tambahan dari Executive 2WD

    • Sistem bantuan pemandu ADAS
    • Sistem tinjauan tekanan tayar
    • Rim 19-inci
    • Kerusi balutan kulit Nappa
    • Kerusi penumpang depan berkuasa elektrik
    • Lampu ambient
    • Filem penapis haba dari Ionix
    • Proton X70 2025 Premium X

      Proton X70 <em>facelift</em> 2025 dilancar – RM99k-RM127k, ADAS Tahap 2, Android Auto dan Apple CarPlay

      Tambahan dari Premium 2WD

    • Bumbung panoramik

    Untuk pilihan warna badan, varian Premium dan Premium X ditawarkan dengan semua lima warna badan berbeza iaitu Snow White, Armor Silver, Jet Grey, Ruby Red dan warna baru Marine Blue. Varian Executive hanya diberikan warna Snow White, Armor Silver dan Jet Grey. Manakala varian Standard cuma hadir dalam warna Snow White dan Armor Silver.

    Setiap pembeliannya akan dilindungi waranti selama lima-tahun tanpa had perbatuan, serta diberikan pakej data internet sebanyak 1GB sebulan selama lima-tahun, serta enam kali kos buruh percuma untuk servis penyelenggaraan.

    GALERI: Proton X70 2025 Premium X

    GALERI: Proton X70 2025 Premium

    GALERI: Proton X70 2025 Executive

     
     
  • smart Johor Bahru 2 dibuka – kendalian AG Autoworld (EV), rangkaian pengedaran kini cecah 11 cawangan

    smart Johor Bahru 2 dibuka – kendalian AG Autoworld (EV), rangkaian pengedaran kini cecah 11 cawangan

    smart Malaysia telah mengumumkan pembukaan wakil pengedaran kedua di Johor Bahru, yang dikendalikan oleh AG Autoworld (EV) yang ditubuhkan sejak 1999.

    Secara rasminya dikenali sebagai smart Johor Bahru 2, wakil pengedaran baharu ini terletak di 17&18, Jalan Tebrau, Kampung Wadi Hanna, 80250 Johor Bahru, Johor. Berkeluasan 230 kaki persegi, fasiliti ini mampu menempatkan sehingga tiga unit kenderaan, bersama ruang penyerahan, unit sokongan selepas jualan dan juga sudut pameran cenderahati smartIdea.

    Dengan pembukaan smart Johor Bahru 2, smart Malaysia kini mempunyai 13 pengedar bertauliah dan 14 cawangan secara keseluruhan, dengan 11 daripadanya beroperasi di Semenanjung.

     
     
  • Beberapa stesen LRT, MRT dan Monorel dilanjutkan waktu operasi hingga 12.30 pagi pada 17 Ogos 2024

    Beberapa stesen LRT, MRT dan Monorel dilanjutkan waktu operasi hingga 12.30 pagi pada 17 Ogos 2024

    Rapid KL telah memaklumkan bahawa beberapa stesen LRT, MRT dan Monorel akan dilanjutkan waktu operasinya hingga jam 12.30 pagi pada 17 Ogos (setepatnya pada 18 Ogos) ini. Ia adalah sempena dengan perlawanan bola sepak Piala Sultan Selangor yang akan berlangsung di Stadium Merdeka pada tarikh berkenaan.

    Stesen yang terbabit ialah Stesen Monorel Maharajalela, Stesen MRT Merdeka, Stesen LRT Hang Tuah, Stesen MRT Titiwangsa, Stesen LRT Pasar Seni dan Stesen LRT KL Sentral.

    “Stesen-stesen sambungan juga turut dilanjutkan waktu operasi bagi membawa penumpang ke destinasi akhir. Anda disarankan menggunakan kad TnG dan pastikan baki kad anda mencukupi untuk kelancaran perjalanan,” kata Rapid KL.

    Beberapa stesen LRT, MRT dan Monorel dilanjutkan waktu operasi hingga 12.30 pagi pada 17 Ogos 2024

    Rapid KL turut berkongsikan tip untuk ke Stadium Merdeka bagi pengguna perkhidmatannya. Bagi yang menaiki monorel, boleh turun di Stesen Monorel Maharajalela dan keluar dari pintu B, kemudian berjalan kaki sejauh 100 meter menuju ke Gate 8 stadium terbabit. Bagi yang menaiki monorel dan turun di stesen Hang Tuah, boleh keluar ke pintu A dan berjalan kaki sejauh 700 meter untuk ke Gate 3 dan 4 di stadium.

    Bagi yang menaiki MRT pula, boleh turun di stesen Merdeka dan keluar dari pintu B, kemudian berjalan kaki sejauh 500 meter untuk ke Gate 3 dan 4 di stadium. Manakala yang menaiki LRT, boleh turun di stesen Hang Tuah dan berjalan kaki sejauh 720 meter juga untuk ke gate yang sama di stadium.

    Turut dimaklumkan bahawa laluan akses di Stesen Monorel Maharajalela terus ke perkarangan stadium dan Masjid Al-Sultan Abdullah akan dibuka untuk kemudahan pengguna.

     
     
  • JPJ sedang perinci sistem dan selaras proses peralihan lesen B1/B2 untuk tukar ke B penuh

    JPJ sedang perinci sistem dan selaras proses peralihan lesen B1/B2 untuk tukar ke B penuh

    Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli mengesahkan pihaknya sedang memperincikan sistem dan penyelarasan proses bagi program peralihan khas yang perlu dijalani pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2, sebelum dapat tukar ke B penuh.

    Jelasnya, perkara tersebut sedang diteliti sebelum diumumkan dalam masa terdekat. Di mana menerusi program peralihan khas ini, pemegang lesen B1/B2 sedia ada tidak akan diberikan penukaran lesen B penuh secara automatik sebaliknya perlu menjalani latihan selama dua jam sahaja sebelum menduduki ujian amali di institut memandu.

    “Kerajaan sudah menetapkan syarat untuk menyertai program ini iaitu individu terbabit telah memegang LMM kelas B1 atau B2 melebihi tempoh 10 tahun, tiada saman dan tidak mempunyai senarai hitam (kesalahan JPJ). Masih ada ujian amali iaitu mereka perlu menunggang motosikal lebih 500cc dan penilaian serta kelulusan daripada pegawai JPJ bagi menentukan mereka (penunggang) ini layak atau tidak (mendapatkan lesen kelas B),” katanya menerusi laporan eksklusif Bernama.

    Tambahnya lagi, calon yang menyertai program itu akan dikenakan yuran sebanyak RM160, berbanding proses bagi mendapatkan LMM kelas B sebelum ini membabitkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar dengan bayaran RM900.

    JPJ sedang perinci sistem dan selaras proses peralihan lesen B1/B2 untuk tukar ke B penuh

    Pada 2 Ogos lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan program peralihan khas yang membabitkan pemegang lesen kelas B1 dan B2 untuk beralih dan mendapatkan LMM kelas B bermula 1 Oktober ini.

    Selain daripada pelaksanaan program khas peralihan, Loke turut memaklumkan bahawa lesen kelas B1 (motosikal kurang 499cc) juga akan digabungkan dengan kelas B. Di mana penggabungan ini ditetapkan setelah mengambil kira permintaan mendapatkan LMM kelas B1 adalah terlalu rendah pada setiap tahun kerana orang ramai akan terus memilih mendapatkan kelas B sahaja.

    “Mulai 1 Oktober 2024, tiada lagi program mendapatkan LMM kelas B1 di IM akan dibuka kepada orang ramai. Dengan mendapatkan LMM Motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal, dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah sahaja bagi kelas B1. Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal di kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas di atas bagi mendapatkan kelas B,” katanya.

     
     
  • Harga minyak 15-21 Ogos – Diesel turun 5 sen seliter

    Harga minyak 15-21 Ogos – Diesel turun 5 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan bahawa bagi minggu bertarikh 15 hingga 21 Ogos 2024, harga runcit bagi diesel diturunkan sebanyak 5 sen seliter kepada RM3.25 seliter. Ini merupakan penurunan harga kali kedua bagi diesel sejak 10 Jun lalu ketika rasionalisasi subsidi bahan api diumumkan. MOF berkata, penurunan harga itu seiring dengan penurunan harga pasaran minyak di peringkat global. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Manakala untuk tempoh yang sama, petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pertengahan Julai lalu, Kementerian Ekonomi berkata, buat masa ini, kerajaan masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat termasuk petrol RON95.

    “Kerajaan juga sedang meneliti keperluan pelaksanaan rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95. Walau bagaimanapun, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel sehingga penyasaran subsidi diesel menjadi stabil, sekaligus mencapai objektif yang ditetapkan.
    Kerajaan pada masa ini masih meneliti dan menilai semula subsidi dan bantuan yang diberikan kepada rakyat, termasuk petrol RON95,” katanya.

     
     
  • Prasarana akan tambah 300 van Demand Responsive Transit (DRT) untuk kesalinghubungan ‘first-last mile’

    Prasarana akan tambah 300 van Demand Responsive Transit (DRT) untuk kesalinghubungan ‘first-last mile’

    Sebanyak 300 baharu bagi perkhidmatan ‘Demand Responsive Transit’ (DRT) di bawah operasi Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan ditambah bagi menampung peningkatan permintaan di kalangan penumpang.

    Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah, perkhidmatan van itu beroperasi dalam radius dua kilometer dari stesen Transit Aliran Ringan (LRT) terpilih dengan pengambilan penumpang di lokasi yang ditempah melalui aplikasi, laporan Berita Harian.

    “Van baharu itu dijangka akan diterima bermula bulan Disember 2024 dengan penambahan 30 van dan selebihnya akan diterima secara berfasa sehingga bulan Jun 2025. Penambahan jumlah van adalah untuk menampung peningkatan permintaan bagi perkhidmatan Rapid DRT yang diperkenalkan, di mana daripada jumlah itu, sebanyak 10 van akan dilengkapi dengan ciri-ciri yang mesra Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya.

    Tambah Azharuddin, perkhidmatan Rapid DRT yang mengenakan kadar tambang RM1 bagi setiap perjalanan, adalah bagi menyokong perkhidmatan sedia ada Rapid Bus dan juga menjadi tonggak kesalinghubungan ‘first-last mile’ bagi perkhidmatan rel Rapid KL di Lembah Klang.

    “Komitmen daripada pihak kerajaan dan Prasarana akan memberi kemudahan kepada pengguna pengangkutan awam dengan menggunakan inisiatif berlandaskan teknologi dan inovasi. Sejak diperkenalkan pada bulan Mei 2023, hanya satu laluan sahaja yang menggunakan van ini, namun perkhidmatan Rapid DRT di Lembah Klang kini telah dikembangkan kepada sembilan laluan dengan 18 van,” katanya.

    Beliau berkata, perkhidmatan ini telah mencatatkan purata kenaikan penumpang sebanyak 32% dengan jumlah penggunaan keseluruhan seramai 126,656 orang setakat 31 Julai 2024.

    “Dari segi pembayaran pula, buat masa ini hanya menggunakan Touch n Go atau My50 dan kami sedang dalam proses untuk menyediakan sistem pembayaran terbuka yang boleh digunakan di mana-mana perkhidmatan seperti rel, bas, atau DRT. Dari segi kos, penggunaan DRT adalah dua peratus lebih rendah daripada bas dan ini merupakan penambahbaikan kerana kami ingin mengurangkan kos kepada kerajaan,” katanya.

    Dalam pada itu, Azharuddin berkata, jumlah keseluruhan penumpang yang direkodkan pada Julai lalu adalah sekitar 1.2 juta orang yang terdiri daripada 950,000 menggunakan perkhidmatan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dan 200,000 ke 250,000 orang menggunakan perkhidmatan bas.

    Jelasnya lagi, “Dengan adanya penambahan 300 van, kami menjangkakan (berlaku) penambahan penumpang. Malahan perkhidmatan ini juga akan dikembangkan untuk mencapai kawasan yang kini tiada perkhidmatan rel atau bas, dan Kuala Kubu Baharu di Selangor akan menjadi salah satu lokasi untuk menerima perkhidmatan DRT menjelang tahun depan. Setiap perjalanan perkhidmatan van DRT akan berharga RM1, dan ini juga terpakai kepada pas bulanan perjalanan tanpa had RM50,” tambahnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025