Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Projek LRT3 capai 98% kemajuan setakat ini, dijadual bakal beroperasi mulai 30 September ini -MOT

    Projek LRT3 capai 98% kemajuan setakat ini, dijadual bakal beroperasi mulai 30 September ini -MOT

    Kementerian Pengangkutan (MOT) mengesahkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) atau LRT Laluan Shah Alam yang menghubungkan Shah Alam dengan kawasan sekitarnya dijadualkan bakal beroperasi mulai 30 September 2025. Buat setakat ini, kemajuan keseluruhan projek itu sudah mencapai 98.16%, kata MOT seperti yang dilaporkan Bernama.

    Menurut MOT lagi, projek tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada Prasarana Malaysia Bhd selaku pengendali perkhidmatan rel berkenaan oleh kontraktor utama pada 31 Julai ini. Ia adalah bagi melaksanakan ujian pengoperasian tren tanpa penumpang yang akan dilakukan dalam dua peringkat untuk memastikan perkhidmatan rel ini selamat kepada pengguna.

    “Dua ujian ini yang merangkumi pematuhan, ketahanan serta keselamatan sistem kereta api dan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan ‘Trial Run’ (TR) yang akan dijalankan serentak dengan ujian ‘Fault Free Run’ (FFR) oleh pihak kontraktor utama Setia Utama LRT3 Sdn Bhd.

    “Anggaran tempoh pengujian adalah selama 75 hari. Keputusan ujian FFR ini akan dinilai oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan aspek-aspek keselamatan, pematuhan standard dan jaminan sistem kereta api yang tertentu,” kata MOT.

    Projek LRT3 capai 98% kemajuan setakat ini, dijadual bakal beroperasi mulai 30 September ini -MOT

    Kenyataan yang dikeluarkan ini adalah bagi menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai status terkini projek LRT3, tempoh pelaksanaan ‘trial run’ tanpa penumpang serta sasaran pembukaan operasi sepenuhnya menjelang suku ketiga 2025.

    Menurut kementerian, ujian TR/FFR dijangka bermula pada pertengahan April 2025 dan selesai pada akhir Jun 2025. Selepas itu, ujian operasi atau “Trial Operation” (TO) akan dijalankan oleh Rapid Rail Sdn Bhd sebagai pengendali berlesen kereta api dengan bantuan teknikal daripada kontraktor utama sebaik ujian TR dan FFR selesai serta mendapat kelulusan Apad.

    “Anggaran tempoh pengujian ini adalah selama 60 hari. Ujian TO ini dijangka bermula pada Julai 2025 dan selesai pada akhir Ogos 2025,” katanya.

    Perkhidmatan LRT Laluan Shah Alam ini sepanjang 37.8 km ini menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya ke Johan Setia di Klang. Ia melibatkan 26 stesen termasuk Stadium Shah Alam, Pasar Besar Klang, Seri Andalas dan Johan Setia. Apabila beroperasi kelak, LRT3 mempunyai kapasiti untuk mengangkut seramai 300,000 penumpang sehari, dan kapasiti ini mungkin akan dapat dicapai dengan cepat memandangkan laluan berkenaan melalui kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi.

     
     
  • Jumlah jualan kenderaan Jan 2025 di M’sia turun 40%

    Jumlah jualan kenderaan Jan 2025 di M’sia turun 40%

    Data jumlah jualan bagi bulan Januari 2025 di Malaysia yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan 48,875 buah kenderaan berjaya diserahkan kepada pelanggan. Ini bersamaan dengan penurunan sebanyak 40.2%, atau 32,860 unit berbanding bulan Disember 2024 yang mencatat 81,735 unit.

    Menurut MAA, penurunan besar ini antaraya berpunca daripada tempoh hari bekerja yang pendek, iaitu 19 hari (termasuk cuti Tahun Baru Cina), dan jumlah jualan pada bulan sebelumnya banyak dirangsang oleh promosi jualan akhir tahun.

    Jumlah jualan bagi bulan Januari 2025 ini juga adalah 27% (atau 18,048 unit) lebih rendah berbanding bulan sama pada tahun 2024. Ini boleh dianggap sebagai satu permulaan yang perlahan demi mencapai sasaran TIV yang ditetapkan pada 780,000 unit.

    Bagi bulan Februari 2024, MAA menjangkakan jumlah jualan yang lebih baik, meskipun jumlah hari adalah lebih sedikit. Persatuan itu menjangkakan ada peningkatan jualan bagi persediaan Hari Raya Aidilfitri, ditambah dengan promosi daripada syarikat yang menutup kalendar kewangan pada 31 Mac.

     
     
  • Kerajaan dijangka laksana subsidi RON95 bersasar tengah tahun ini, jamin harga barang tak naik – menteri

    Kerajaan dijangka laksana subsidi RON95 bersasar tengah tahun ini, jamin harga barang tak naik – menteri

    Dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen hari ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali mendedahkan bahawa kerajaan dijangka melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini, lapor Sinar Harian.

    Menurut beliau, penyasaran berkenaan akan dilaksanakan dengan “satu mekanisme terbaik bakal dikenal pasti bagi memastikan manfaatnya sampai kepada kumpulan sasar,” dan buat masa sekarang kerajaan berada dalam fasa akhir merangka sistem penyasaran yang adil dan berkesan bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif ditetapkan.

    Armizan turut menyatakan kerajaan juga memberi jaminan bahawa penyasaran subsidi ini tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara tidak terkawal.

    “Mekanisme yang digunakan ketika kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel sebelum ini sedang ditambah baik. KPDN kini dalam usaha memperkemaskan sistem bagi memastikan kenderaan komersial yang layak menerima kuota petrol bersubsidi.

    “Pada masa ini, kumpulan sasar yang akan menggunakan kad fleet bersubsidi sedang dikenal pasti menerusi perbincangan antara KPDN, Kementerian Kewangan serta Kementerian Pengangkutan, khususnya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.

    Jawapan ini diberikan sebagai menjawab pertanyaan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta KPDN menjelaskan sama ada pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini akan menyebabkan peningkatan harga barang dan kos sara hidup rakyat.

    Kerajaan dijangka laksana subsidi RON95 bersasar tengah tahun ini, jamin harga barang tak naik – menteri

    Menurutnya lagi antara usaha kerajaan untuk membendung manipulasi harga barang selepas penyasaran ini dilaksanakan, KPDN akan mempertingkatkan penguatkuasaan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2018.

    “Melalui peraturan ini, kerajaan akan melaksanakan Ops Kesan bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah akibat penyasaran subsidi,” katanya.

    Selain itu, kerajaan juga terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat, antaranya Skim Harga Maksimum Musim Perayaan, Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) di seluruh negara serta Budi MySubsidi Diesel bagi memastikan syarikat pengangkutan awam dan barangan terus menerima diesel bersubsidi menerusi kad fleet.

    “KPDN turut memperluaskan Program Pengedaran Barang Perlu ke kawasan pedalaman dan memperkenalkan inisiatif KITA GEMPUR bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara.

    “Kementerian berharap usaha ini dapat dipikul secara bersama menerusi kerjasama erat antara kerajaan, pihak industri dan rakyat,” katanya.

     
     
  • Sime Motors lancar EV Next — pengedar EV terpakai pertama dan terbesar di M’sia, disokong Drivecare

    Sime Motors lancar EV Next — pengedar EV terpakai pertama dan terbesar di M’sia, disokong Drivecare

    Sime Motors kini melancarkan EV Next, sebuah pengedar kenderaan EV terpakai yang pertama di Malaysia. Dengan bilik pameran yang terletak di Glenmarie, Chan Sow Lin dan TREC, EV Next hadir dengan matlamat untuk mempermudah pemilikan EV kepada yang berminat. Rangkaiannya akan diperluaskan pula ke Pulau Pinang, Tebrau dan Johor Bahru.

    “Permintaan terhadap kereta elektrik semakin tumbuh di Malaysia, mencerminkan popularnya mobiliti hijau dan mampan ini. Kami berbangga dapat memperkenalkan pengedar EV terpakai yang pertama di Malaysia, yang diwujudkan untuk memenuhi keperluan kepelbagaian gaya hidup. Kesungguhan kami untuk memacu perkembangan ke arah masa depan lebih hijau memastikan kami menyediakan produk dan penyelesaian terbaik kepada pelanggan di mana juga,” ujar Pengarah Urusan Sime Motors, Andrew Basham.

    Sime Motors lancar EV Next — pengedar EV terpakai pertama dan terbesar di M’sia, disokong Drivecare

    EV Next yang merupakan lanjutan daripada Auto Selection menawarkan pilihan yang luas bagi EV daripada pelbagai jenama seperti BMW, BYD, Hyundai, MINI, Jaguar, Porsche, Volvo dan banyak lagi yang boleh diteroka di sini. Semua kenderaannya diperiksa secara penyeluruh dan disahkan bagi memastikan semua piawaian dipenuhi sebelum dijual. Dengan EV, pemeriksaan yang dilakukan termasuklah menentukan tahap kesihatan bateri dan motor elektriknya.

    EV terpakai yang dijual juga wajib mempunyai sejarah yang bersih — tidak pernah terlibat dalam kemalangan teruk, atau tidak pernah ada kerosakan akibat banjir dan terbakar. Sebagai pusat sehenti untuk pembeli EV, EV Next turut menerima trade-in kenderaan dan disokong oleh Drivecare oleh Sime Motors sendiri, yang memberikan servis lepas jualan untuk pelbagai model daripada pelbagai jenama.

    Sime Motors lancar EV Next — pengedar EV terpakai pertama dan terbesar di M’sia, disokong Drivecare

    “Disokong oleh kepakaran sedia ada kami dalam industri automotif, EV Next ialah pusat sehenti bagi semua EV terpakai, dari jualan kenderaan hingga trade-in dan sokongan lepas jualan. Kami melihat ada permintan terhadap EV terpakai yang berada dalam keadaan baik dalam pasaran, dan yakin dapat memberikan produk berkualiti tinggi kepada pelanggan,” jelas Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Motor, Jeffrey Gan.

    “Perkhidmatan menyeluruh kami akan memastikan pemelikan EV oleh pelanggan menjadi satu pengalaman yang menyenangkan. Untuk itu, kami ingin membina keyakinan, kepercayaan dan keboleh-bergantungan di setiap peringkat pemilikan EV,” tambahnya.

     
     
  • Voge DS900X 2025 tiba di Malaysia – enjin dua silinder 895 cc 95 hp, siap beg barangan, quickshifter, RM50k

    Voge DS900X 2025 tiba di Malaysia – enjin dua silinder 895 cc 95 hp, siap beg barangan, quickshifter, RM50k

    Kehadiran Voge, iaitu satu jenama di bawah Loncin diperkuatkan lagi di Malaysia dengan pelancaran model adventure baru DS900X. Ia ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu Aviator Blue, Lime Green dan Matt Black, pada harga RM49,998 tidak termasuk insurans.

    Memacu motosikal ini adalah enjin dua silinder 895 cc, yang sebenarnya adalah sama seperti BMW F900 GS/XR/R, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac slipper, mampu menghasilkan kuasa 95 hp pada 8,250 rpm dan tork 95 Nm pada 6,000 rpm.

    Bagi memudahkan pengendalian, DS900X menyediakan empat mod tunggangan iaitu Rain, Road, Sport dan Enduro, serta kelengkapan lain seperti quickshifter, sistem kunci pintar, cruise control dan pemerhati tekanan angin tayar (TPMS). Tidak cukup dengan itu, ia juga datang dengan perakam video hadapan.

    Voge DS900X 2025 tiba di Malaysia – enjin dua silinder 895 cc 95 hp, siap beg barangan, quickshifter, RM50k

    Sebagai sebuah motosikal yang dibuat untuk tunggangan lasak, DS900X datang dengan rim spoked tanpa tiub 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut tayar masing-masing bersaiz 90/90 dan 150/70. Ia kemudiannya dipegang oleh suspensi yang terdiri daripada fork USD di hadapan dan monoshock di belakang.

    Tugas membrek dilaksana unit cakera berkembar 305 mm berkembar dengan angkup Brembo di hadapan dan cakera 265 mm dengan angkup tunggal di belakang, manakala informasi penting dipaparkan pada skrin TFT tujuh inci berwarna penuh.

    Pada harga di bawah RM50k itu, DS900X juga datang terus dengan pelbagai aksesori termasuk beg barangan (45 liter di belakang dan 35 liter setiap satu di tepi), pelindung tangan, besi pelindung enjin, pemanas tangan, pemanas tempat duduk, penghadang angin hadapan boleh laras, lampu kabus serta soket pengecas USB-C, USB-A dan 12V.

    Secara keseluruhannya, Voge DS900X mencatat berat 222 kg dan dilengkapi dengan tangki abhan 17 liter. Tinggi tempat duduknya dalam keadaan standard adalah 835 mm dan menyediakan urang kelegaan dari tanah 190 mm. Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan dua tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Caj Kesesakan dijangka kurangkan sesak di KL sebanyak 20% – Menteri Wilayah Persekutuan

    Caj Kesesakan dijangka kurangkan sesak di KL sebanyak 20% – Menteri Wilayah Persekutuan

    Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengesahkan bahawa kerajaan sedang mengkaji keberkesanan caj kesesakan dalam mengurangkan masalah lalu lintas di ibu negara. Dan ketika menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, menteri tersebut menyatakan bahawa Pelaksanaan Caj Kesesakan dijangka dapat mengurangkan sekitar 20 peratus kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur.

    Menurutnya dalam laporan Bernama, untuk memastikan kejayaan inisiatif yang masih di peringkat kajian itu, kadar Caj Kesesakan hendaklah pada suatu nilai yang akan menyurutkan pengguna daripada melalui jalan tertentu. “Tetapi kerajaan juga tidak mahu caj berkenaan menambah beban pengguna jika diletakkan terlampau tinggi,” tambahnya.

    Sekali lagi Dr Zaliha menegaskan kajian Prasarana Malaysia Berhad pada 2020 menunjukkan kerugian yang ditanggung negara akibat kesesakan jalan raya ialah RM20 bilion. Kajian pelaksanaan Caj Kesesakan itu dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

    “Kajian itu merangkumi pelbagai aspek, termasuk mekanisme pelaksanaan, unjuran penurunan jumlah trafik, serta kadar peningkatan penggunaan pengangkutan awam sekiranya caj berkenaan diperkenalkan,” katanya. Dalam masa sama, beliau berkata Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha memantapkan jaringan pengangkutan awam di Kuala Lumpur berjalan serentak dengan kajian Caj Kesesakan ini.

     
     
  • Proton Saga MC3 dijumpai diuji bersama Myvi di Cameron Highland; muka dan lampu belakang lain

    Proton Saga MC3 dijumpai diuji bersama Myvi di Cameron Highland; muka dan lampu belakang lain

    Nampaknya tahun ini merupakan tahun yang sangat sibuk bagi pasukan R&D Proton – baru sahaja tadi kami menerima gambar-gambar X50 facelift yang ditemui sedang di uji, dan ini satu lagi pasukan lain dilihat sedang menguji model mampu milik Proton yang turut menerima kemaskini besar iaitu Saga MC3.

    Set foto ini dimuatnaik oleh Amirul Syafiq di FB Group paultan.org Automotive/Car Discussion, dan menyatakan bahawa Saga ini dijumpai sedang diuji di kawasan peranginan Cameron Highland, Pahang. Dan apa yang menarik, pasukan jurutera Proton ini turut membawa sekali sebuah Perodua Myvi untuk diuji bersama!

    Unit prototaip kali ini juga dilihat berbeza dari unit ujian yang dijumpai sebelum ini. Selain dari kamera sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dipadankan pada cermin hadapan dan juga diberikan gril pin krom seperti S70, unit ujian kali ini turut dilihat mengenakan unit lampu hadapan baharu.

    Lampu tersebut masih lagi merupakan unit reflektor halogen, namun ia nampaknya menerima perubahan rekaan yang ketara – bukan sahaja bahagian yang hampir dengan gril kini menampilkan lensa berwarna oren untuk lampu isyarat membelok, malah penutup bonet juga menunjukkan perubahan yang nampak lebih ‘bulat’, menandakan perubahan turut dibuat pada kluster lampu utama tersebut.

    Manakala di belakang, jika sebelum ini unit-unit prototaip ujian yang dijumpai menampilkan lampu belakang yang sama seperti model sedia ada, unit prototaip terbaharu ini nampaknya diberikan lampu berbeza. Berdasarkan pencahayaan, nampak lampu berkenaan telah ditingkat taraf dengan lampu LED. Rekaannya juga berbeza kerana nampak seperti diberikan kluster yang lebih nipis.

    Berbalik pada Myvi yang turut dibawa oleh pasukan penguji Proton ini, mungkin hatchback segmen-B dari Rawang berkenaan berfungsi sebagai kayu ukur untuk beberapa aspek, misalnya aspek bunyi, getaran dan kekasaran (NVH), dan juga sistem ADAS yang dibekalkan.

    Dan tidak mustahil Saga MC3 ini turut menerima unit rangkaian kuasa termasuk enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely, dimana aspek pemanduan, prestasi, penggunaan bahan api dan sebagainya diuji dan dibandingkan dengan Perodua Myvi berkenaan.

    Dengan perubahan yang dilihat agak besar pada unit prototaip ini, tidak mustahil ini merupakan Saga yang dibangunkan dengan platform AMA seperti yang disebut oleh Proton sebelum ini. Tiada perincian sebenar diumumkan oleh Proton berkenaan platform tersebut, namun difahamkan ia adalah platform rekaan Proton yang diasaskan dari platform-platform tempatan sedia ada dan diberikan penambahbaikkan lebih moden.

     
     
  • Honda CB1300 Super Four, Super Bol D’or Final Edition – penutup kepada legasi lebih tiga dekad

    Honda CB1300 Super Four, Super Bol D’or Final Edition – penutup kepada legasi lebih tiga dekad

    Selepas lebih tiga dekad konsep Project Big-1 dipertengahkan, bermula dengan CB1000 Super Four pada tahun 1992, Honda mengumumkan pengakhirannya dengan pengenalan CB1300 Super Four dan Super Bol D’or Final Edition yang ditawarkan dalam versi Standard dan juga SP.

    Sebagai model terakhir bagi siri CB1300, empat pilihan yang disediakan tidak menggunakan penampilan yang menyerlah atau keterlaluan, sebaliknya kembali lebih ke asal, seperti model tahun 90-an. Model Standard datang hanya dalam warna Graphite Black, sementara model SP disediakan dalam warna Pearl Sunbeam White.

    Di bahagian atas tangki minyak diletakkan pelekat tertulis “Final Edition”, dan bagi menjadikan tema warnanya sama seperti model asal, Honda menggunakan rantai berwarna emas, serta lengan ayun, triple clamp serta steering stem berwarna perak.

    Bahagian mekanikal tidak diubah dengan model keluaran istimewa ini masih menggunakan enjin empat silinder DOHC 1,284 cc bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan 113 PS pada 7,750 rpm dan tork 112 Nm pada 6,250 rpm. Tiga mod tunggangan disediakan, dan model ini juga datang dengan cruise control.

    Model SP dijadikan sebagai pilihan lebih berprestasi dengan suspensinya dipertingkat kepada unit Ohlins yang boleh dilaras di hadapan dan belakang, sementara brek hadapannya pula menggunakan unit Brembo dengan angkup empat piston. Model standard cuma menggunakan suspensi Showa dan brek Nissin.

    Perincian lain CB1300 Super Four antaranya adalah seperti tangki bahan api 21 liter, rim 17 inci dan berat yang boleh mencecah 266 kg bagi Super Four dan 272 kg bagi Super Bol D’or. Di Jepun, model edisi istimewa ini dijual pada harga antara 1.7 juta yen (RM51,376), iaitu untuk CB1300 Super Four Final Edition, hingga 2.2 juta yen (RM65,428) untuk CB1300 Super Bol D’or Final Edition.

     
     
  • Proton X50 facelift 2025 sekali lagi dilihat diuji – rupa seperti Binyue L, pakai enjin empat silinder turbo?

    Proton X50 facelift 2025 sekali lagi dilihat diuji – rupa seperti Binyue L, pakai enjin empat silinder turbo?

    Kami sekali lagi menerima set gambar unit ujian prototaip Proton X50 facelift, kali ini dikirim oleh pembaca paultan.org Yong Owen dan juga Lee Sherman. Gambar kali ini bukan hanya menunjukkan bahagian belakang SUV segmen-B tersebut, malah kami turut mendapat gambaranlebih jelas memaparkan perubahan muka model kemaskini ini.

    Jika anda boleh lihat, kedudukan perumah nombor pendaftaran belakang versi facelift ini adalah lebih rendah, dan menerusi sedikit bahagian reflektor yang diletakkan melintang pada bampar, mengesahkan bahawa X50 facelift ini akan menggunakan penampilan luaran yang disadur dari Geely Binyue L yang diperkenalkan di China tahun lalu, yang turut menampilkan lampu belakang yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.

    Begitu juga pada bahagian muka, perincian pada bampar mengesahkan bahawa Proton X50 facelift ini turut akan menggunakan model lebih terkini Binyue L. Model tersebut menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis bersama rekaan bampar yang diberikan gril sepenuhnya memenuhi apron. Unit prototaip ujian ini juga dilihat sudah diberikan gril Proton dengan rekaan pin krom yang diilhamkan dari kain songket, dan nampaknya ia turut menampilkan elemen busur panah baharu.

    Namun Proton nampaknya turut ada membuat sedikit ‘campur dan padan’ dari ‘bakul komponen’ Geely, kerana spoiler belakang yang lebih besar dipadankan pada X50 facelift ini nampaknya diambil dari Binyue Cool yang muncul di China pada 2022.

    Sekiranya Proton ‘menyalin’ sepenuhnya Binyue L untuk menghasilkan X50 facelift ini, ia mungkin turut akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama, menampilkan enjin baharu 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus. Enjin ini menjana 180 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm, atau 3 PS/35 Nm lebih berkuasa berbanding enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo pada X50 sedia ada.

    Geely Binyue L 2024 (atas) dan Geely Binyue Cool 2022 (bawah)

    Binyue L juga menerima perubahan pada sebelah dalam menampilkan rekaan corong udara penghawa dingin, panel suis kawalan, konsol tengah dan juga tombol gear yang berbeza. Model tersebut juga diberikan sistem Flyme Auto yang telah pun turut diberikan pada model EV Proton eMas 7.

    Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong bulan lalu, model facelift bagi X50 ini akan dilancarkan pada tahun ini. Jadi berdasarkan peringkat pembangunan yang dilihat pada model yang diuji ini, boleh dijangkakan pelancarannya mungkin akan dibuat pada separa kedua tahun ini.

     
     
  • Volvo EC40 di Malaysia — C40 Recharge dengan 554 km jarak WLTP; warna baru Cloud Blue, RM289k

    Volvo EC40 di Malaysia — C40 Recharge dengan 554 km jarak WLTP; warna baru Cloud Blue, RM289k

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah umumkan ketibaan model Volvo EC40, nama baru bagi model C40 Recharge EV yang membuat penampilan global pada Februari tahun lalu. Kini, EC40 datang dengan sedikit lebih jarak, iaitu 554 km WLTP, berbanding 550 km bagi C40 2024. EC40 dijual dengan harga RM288,888 — harga yang sama seperti sebelum ini.

    Ia masih menggunakan bateri dengan kapasiti 82 kWh seperti C40 Recharge 2024, dan EC40 ini menyokong pengecasan pantas yang sama, 200 kW DC, yang membolehkan pengecasan 10%-80% dalam masa 28 saat. Pacuan kuasa EC40 juga hadir dengan dua motor elektrik dengan janaan yang sama: 300 kW atau 408 PS.

    Tidak diumumkan untuk Malaysia, tetapi pasaran lain ada pek perisian Performance yang melonjakkan output puncak sebanyak 34 PS kepada 442 PS, serta pementaan pedal yang disemak semula untuk memperbaiki respon. Di Malaysia, EC40 datang dengan Digital Service percuma selama lima tahun, terdiri daripada Google Assist, Google Maps, Google Play Store serta fungsi jarak jauh melalui aplikasi mudah alih Volvo Cars.

    Nama baru EC40 diumumkan bersekali dengan EX40, dengan jelas menunjukkan bahawa ia adalah model yang lebih besar daripada EV EX30, yang dijual dengan dengan harga RM189k di Malaysia. Kemaskini nama-nama model ini adalah bagi model-model “Recharge” sebelum ini, sementara bagi model PHEV ia akan disertakan dengan nama T6 atau T8 untuk membezakan janaan outputnya. Volvo mengekalkan nama XC40, yang akan digunakan untuk varian dengan enjin pembakaran dalaman.

    Volvo EC40 didatangkan dengan Volvo Service Plan (VSP) lima-tahun. Sehingga 31 Mac ini, model tersebut akan ditawarkan dengan baucar wallbox percuma bernilai RM5,000. Lima pilihan warna tersedia di Malaysia — tambahan terbaru Cloud Blue, dan disertai oleh Crystal White, Onyx Black, Sage Green dan Silver Dawn.

     
     
  • Pembonceng motosikal mati kemalangan terjatuh dari DASH — wajar larang motosikal masuk lebuhraya?

    Pembonceng motosikal mati kemalangan terjatuh dari DASH — wajar larang motosikal masuk lebuhraya?

    Berlaku satu lagi satu kemalangan maut yang melibatkan sebuah motosikal di atas Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) kelmarin, seperti dilaporkan Malaysia Gazette. Seorang wanita yang membonceng sebuah motosikal yang ditunggang suaminya dilaporkan mati kerana terjatuh dari lebuhraya bertingkat itu ketika terlibat dalam satu kemalangan. Kemalangan pertama melibatkan motosikal di DASH berlaku pada Oktober 2022.

    Pada 2023, satu kemalangan maut juga pernah berlaku di KM22.2 di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) ketika seorang penunggang cuba mengelak motosikal lain yang sedang melawan arah lalulintas, dan kemudian merempuh penghadang jalan, mengakibatkannya terjatuh melepasi penghadang tersebut.

    Pernah sebelum ini pada 2015, kerajaan mempertimbangkan untuk melarang motosikal daripada memasuki Lebuuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh) dan Lebuhraya MEX, atas permintaan pengendali lebuhraya terlibat.

    Berkaitan larangan yang sama juga, pada 2016, Timbalan Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Aziz Kaprawi mengumumkan hasrat kemeteriannya untuk melarang motosikal daripada menggunakan lorong paling laju.

    Bagi kes penunggang atau pembonceng yang jatuh dari lebuhraya bertingkat seperti di DASH ini, adakah wajar cadangan larangan untuk motosikal seperti dinyatakan di atas dipertimbangkan semula?

     
     
  • Tiada lanjutan pengecualian cukai jalan selepas 2025

    Tiada lanjutan pengecualian cukai jalan selepas 2025

    Kerajaan tidak merancang untuk melanjutkan pengecualian cukai jalan bagi kenderaan bateri-elektrik di Malaysia selepas tarikh akhir 31 Disember 2025, jelas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu jawapan bertulis di parlimen kepada ahli parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse.

    Jun tahun lalu, kerajaan telah mengumumkan struktur cukai jalan yang disemak semula, berdasarkan output kuasa kenderaan dalam kilowatt (kW) dan dikelompokkan mengikut julat tertentu.

    Meneliti angka berkenaan daripada EV paling murah di Malaysia ketika ini, Neta V dengan harga atas jalan RM100,000 tanpa insurans, model kompak dengan output 70 kW itu (95 PS/160 Nm) akan dikenakan cukai jalan RM40. Bagi Proton eMas 7 dengan 160 kW pula (218 PS/160 Nm), yang sama dengan MINI Cooper SE dengan 218 PS dan 330 Nm, kadar yang dikenakan ialah RM180.

    EV paling laris di Malaysia, BYD Atto 3 dengan kurang daripada 150 kW (204 PS/310 Nm) kuasa akan dikenakan cukai jalan RM160. Model mewah seperti Lotus Eletre R dengan 675 kW (918 PS/985 Nm) pula akan dikenakan kadar RM4,890.

    Tiada lanjutan pengecualian cukai jalan selepas 2025

    Pada Januari lalu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) memaklumkan bahawa pengecualian cukai bagi EV CBU yang ada ketika ini perlu dilanjutkan hingga 2030 bagi membolehkan sasaran penggunaan EV negara mencapai tahap 15% daripada jumlah jualan menjelang 2030.

    “EV masih berada pada tahap awal penerimaan. Ada keperluan untuk kerajaan menggalakkan dan menyokong pertumbuhan EV, terutamanya melalui insentif. Jadi, kerajaan perlu mempertimbangkan lanjutan insentif cukai ketika ini, terutama untuk EV CBU. Jangkaan kami adalah sekurang-kurangnya hingga 2030, bagi mencapai tahap 15% jualan EV selari dengan matlamat yang disasarkan oleh kerajan,” jelas Presiden MAA, Mohd Shamsor Mohd Zain Januari lalu.

    Pengecualian cukai jalan bagi EV tentunya berbeza dengan pengecualian duti import dan duti eksais yang untuk EV CBU ketika ini, yang akan berakhir pada tarikh yang sama pada 31 Disember 2025, sementara bagi EV pemasangan tempatan, pengecualiannya akan berlangsung hingga 31 Disember 2027.

     
     
  • EV Perodua akan diuji Jun, dilancar pada Disember ini

    EV Perodua akan diuji Jun, dilancar pada Disember ini

    Bayangan digital model produksi EV pertama Perodua oleh Theophilus Chin berdasarkan model konsep eMO-II

    CEO kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson mendedahkan bahawa model EV pertama keluaran Perodua akan dilancarkan pada Disember tahun ini, manakala ujian model tersebut akan bermula Jun ini, lapor New Straits Times.

    “Ruang EV adalah tempat di mana kami melihat potensi yang kuat. Permintaan semakin meningkat, dan kami meletakkan diri kami dengan sewajarnya,” kata Jeffri. Model produksi sebenar EV Perodua berkenaan akan dibina berdasarkan model konsep eMO-II yang telah membuat kemunculan di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024 Disember lalu, dan menurut Jefri lagi ia menerima maklum balas positif dari orang ramai.

    EV yang akan dilancarkan oleh Perodua ini dijangka akan dijual pada harga RM80,000, tidak termasuk bateri. Ini kerana bateri akan ditawarkan dengan cara sewaan – selain dapat mengurangkan harga jualan kereta tersebut, dengan cara ini juga pemilik tidak perlu risau tentang kerosakan bateri dan juga nilai jualan balik.

    Dengan harga jangkaan yang diumumkan, model ini dijangka akan menjadi model EV paling murah di Malaysia, walaupun selepas had harga lantai EV yang diimport sepenuhnya (CBU) yang ditetapkan pada RM100k sedia ada ditarik semula oleh kerajaan.

    Dijangkakan Perodua akan mendapatkan bekalan bateri LFP dari pengeluar bateri EV terkemuka dari China iaitu CATL, yang bakal memberikan jarak gerak sekitar 400km untuk satu cas penuh.

    Ini juga merupakan model pertama Perodua yang disadur atau menerima bantuan teknikal dari Daihatsu, kerana jenama kereta kompak berkenaan dan juga syarikat induknya iaitu Toyota belum ada teknologi EV untuk segmen mampu milik. Sebaliknya pembangunan model tersebut dibuat oleh Perodua dengan dibantu rakan kerjasama tempatan dan luar negara yang lain.

    GALERI: Model konsep Perodua eMO-II di KLIMS 2024

     
     
  • MOT gantung 247 lesen pengendali kenderaan berat tahun lalu, jauh lebih banyak dari tahun sebelumnya

    MOT gantung 247 lesen pengendali kenderaan berat tahun lalu, jauh lebih banyak dari tahun sebelumnya

    Sebagai salah satu tindakan tegas yang diambil dalam usaha mengurangkan kemalangan maut melibatkan kenderaan berat terutamanya lori, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mendedahkan bahawa kementeriannya (MOT) telah menggantung lebih banyak lesen pengendali kenderaan berat pada 2024 berbanding tahun-tahun sebelumnya.

    Beliau menjawab soalan tersebut yang dikemukakan oleh Datuk Shamshulkahar bin Mohd Deli (Jempol) di Dewan Rakyat hari ini, dan mendedahkan sejumlah 247 lesen pengendali telah digantung pada tahun lalu berbanding 101 pada 2023 dan 94 (2022) manakala hanya lapan lesen pengendali digantung antara 2019 dan 2021.

    Loke turut menyatakan bahawa sebanyak 23 Permit Kenderaan telah digantung menerusi Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada tahun 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya.

    “Tempoh penggantungan boleh sampai 90 hari untuk ketidakpatuhan yang serius. Selain itu, MOT melalui APAD juga telah membatalkan tujuh Lesen Pengendali antara 2022 sehingga 2024 berbanding tiada pembatalan antara 2019 dan 2021.

    “Apabila lesen pengendali sesebuah syarikat digantung atau dibatalkan, semua kenderaan yang berdaftar di bawah syarikat tersebut tidak boleh beroperasi,” katanya dalam laporan Astro Awani.

    Beliau turut memberitahu antara syarikat yang Lesen Pengendalinya telah digantung termasuk sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia dan mempunyai lebih daripada 1,000 kenderaan, dan menambah seperti yang telah dilaporkan oleh media, syarikat tersebut terpaksa membuat pengumuman di Bursa Malaysia berkenaan tindakan penggantungan oleh APAD kerana terdapat implikasi serius ke atas operasinya.

     
     
  • Harga minyak 27 Feb-5 Mac – Masih tiada perubahan

    Harga minyak 27 Feb-5 Mac – Masih tiada perubahan

    Untuk tempoh 27 Februari hingga 5 Mac 2025, Kementerian Kewangan memutuskan untuk terus mengekalkan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di Malaysia iaitu petrol RON97 dan RON95 serta diesel. Ini merupakan minggu ke-empat berturut-turut tiada perubahan harga dilakukan.

    Ini bermakna petrol RON 97 masih berharga RM3.43 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM3.18 seliter. Begitu juga harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025