Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri DFJ dan SMR bakal dibuka bidaan

    Jika anda sedang mencari nombor pendaftaran bagi kenderaan, ini ada siri terkini dari Kelantan dan Sabah yang dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan, DFJ dibuka bidaan mulai 9 Mac 2025. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 13 Mac. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 14 Mac 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sabah, SMR, akan dibuka bidaan bermula 15 Mac 2025. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 19 Mac, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 20 Mac 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran kenderaan yang diingini.

     
     
  • JPJ gesa orang ramai usah terperdaya dengan SMS palsu berhubung pembatalan lesen memandu

    JPJ gesa orang ramai usah terperdaya dengan SMS palsu berhubung pembatalan lesen memandu

    Beberapa hari kebelakangan ini, kecoh di laman media sosial berhubung dengan penyebaran Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang mengandungi pautan berkaitan lesen memandu, yang didakwa ‘dihantar’ oleh Jabatan Pengangkutan Awam (JPJ). Dalam SMS tersebut, menyatakan bahawa lesen memandu penerima akan dinyahaktifkan atau dibatalkan dan bagi mengelakkan ia berlaku, penerima dikehendaki klik pada pautan (link) yang tertera.

    Ini semua kerja scammer! Jangan mudah terperdaya dan percaya. Andai anda klik pada pautan tersebut, dikhuatiri data dalam telefon pintar anda termasuk maklumat pembankan dan sebagainya ‘akan dicuri’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang menyebarkan SMS tersebut secara rawak.

    Perkara ini turut disahkan sendiri oleh JPJ yang telah menerima aduan daripada orang awam berhubung SMS berkenaan. “Pihak JPJ ingin menjelaskan bahawa Jabatan ini tidak pernah menghantar mana- mana pautan berkaitan urusan lesen memandu melalui SMS kepada orang awam. Jabatan ini juga telah mengenalpasti bahawa SMS yang dihantar menggunakan nama MyJPJ adalah mengandungi pautan pishing untuk tujuan memperdaya orang awam.

    “Justeru, orang ramai adalah dinasihatkan untuk sentiasa berhati-hati dengan mana-mana platform yang menawarkan perkhidmatan JPJ yang tidak sah bagi mengelakkan sebarang penipuan dan kerugian, sebaliknya orang ramai perlu merujuk atau menghubungi pihak JPJ terlebih dahulu untuk maklumat lanjut,” kata JPJ menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Menurut JPJ, pihaknya sentiasa berusaha dan komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan orang awam terutamanya para pelanggan JPJ sentiasa terpelihara. Sebarang aduan rasmi boleh disalurkan kepada pihak JPJ menerusi Portal Aduan Rasmi JPJ menerusi pautan https://jpj.spab.gov.my/.

     
     
  • Xpeng G6, X9 bakal di CKD di Indonesia pada 2H 2025

    Xpeng G6, X9 bakal di CKD di Indonesia pada 2H 2025

    Xpeng mendedahkan yang syarikat itu merancang untuk memulakan pemasangan tempatan (CKD) bagi model G6 dan X9 di Indonesia pada separuh kedua 2025. Pengeluar kenderaan China itu mula menembusi pasaran Indonesia bulan ini, dengan menawarkan kedua-dua EV berkenaan melalui Erajaya Active Lifestyle (ERAL).

    Menurut Kompas, Xpeng tidak akan mendirikan kilangnya sendiri di Indonesia, sebaliknya akan bekerjasama dengan PT Handal Indonesia Motor (HIM) yang mengendalikan sebuah kemudahan di Purwakarta, Jawa Barat.

    “Dengan melakukan pengeluaran tempatan dan menyepadukan rantaian bekalan, Xpeng ingin mewujudkan sebuah komuniti yang berkongsi minat yang sama dalam pasaran global melalui teknologi, kapasiti pengeluaran dan kerjasama ekosistem. Ini akan membolehkan syarikat untuk menyediakan penyelesaian yang lebih cekap kepada pengguna di Indonesia dan pasaran utama lain,” jelaas Xpeng dalam satu kenyataan rasmi.

    Xpeng G6, X9 bakal di CKD di Indonesia pada 2H 2025

    Thailand sudahpun menerima model G6 dan X9: MPV X9 juga akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat. Ketika pelancaran G6 pada Ogos tahun lalu, dilaporkan bahawa Bermaz Xpeng sedang meneroka kemungkinan projek CKD di sini, tetapi masih belum ada sebarang perkembangan.

    Xpeng memaklumkan, projek CKD syarikat itu di Indonesia akan memberi tumpuan kepada G6 dan X9 bagi pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD), walaupun tidak dinyatakan pasaran eksport yang mana. “Sebagai pasaran baru terbesar bagi kenderaan di Asia Tenggara dengan tahap sejuta unit serta pasaran berpotensi tingggi, Xpeng menysasarkan untuk menjadikan Indonesia dan pasaran di rantau APAC (Asia Pasifik) lain sebahagian daripada pertumbuhan dan kejayaan globalnya,” jelas syarikat itu.

     
     
  • SPYSHOT: Proton X50 facelift 2025 – ada varian spoiler kecil dan besar; bakal dilancar separa kedua tahun ini?

    SPYSHOT: Proton X50 facelift 2025 – ada varian spoiler kecil dan besar; bakal dilancar separa kedua tahun ini?

    Nampaknya semakin kerap Proton menguji model kemaskini untuk SUV segmen-B X50. Ini satu lagi set gambar yang diambil oleh pengguna twitter/X Cairel Zikry yang menjumpai unit prototaip di sebuah stesen minyak Petronas di Petaling Jaya. Sekali imbas, unit kali ini nampak sama sahaja dengan unit-unit yang dijumpai sebelumnya. Namun apa yang kami perasan, unit ini dipadankan dengan spoiler belakang yang lebih kecil.

    Berdasarkan gambar-gambar X50 facelift yang sedang diuji ini, Proton nampaknya menggunakan menggunakan penampilan luaran yang disadur dari Geely Binyue L yang diperkenalkan di China tahun lalu. Ia meliputi bahagian muka menampilkan lampu hadapan yang lebih nipis bersama rekaan bampar yang diberikan gril sepenuhnya memenuhi apron. Unit prototaip ujian ini juga dilihat sudah diberikan gril Proton dengan rekaan pin krom yang diilhamkan dari kain songket, dan nampaknya ia turut menampilkan elemen busur panah baharu.

    Manakala di belakang, kedudukan perumah nombor pendaftaran versi facelift ini adalah lebih rendah, dan menerusi sedikit bahagian reflektor yang diletakkan melintang pada bampar, mengesahkan bahawa X50 facelift ini menggunakan bampar belakang yang sama seperti Geely Binyue L, yang turut menampilkan lampu belakang yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate.

    Unit dengan spoiler belakang lebih kecil, dengan bentuk sama seperti Binyue L ini mungkin dari varian lebih rendah. Manakala unit yang dipadankan dengan spoiler lebih besar yang kelihatan sama seperti Binyue Cool pula mungkin dari varian lebih sporty dan mahal.

    Sekiranya Proton ‘menyalin’ sepenuhnya Binyue L untuk menghasilkan X50 facelift ini, ia mungkin turut akan menggunakan unit rangkaian kuasa yang sama, menampilkan enjin baharu 1.5 liter empat-silinder turbo dengan sistem suntikan bahan api terus. Enjin ini menjana 180 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 290 Nm bermula 2,000 hingga 3,500 rpm, atau 3 PS/35 Nm lebih berkuasa berbanding enjin 1.5 liter tiga-silinder turbo pada X50 sedia ada.

    SPYSHOT: Proton X50 facelift 2025 – ada varian spoiler kecil dan besar; bakal dilancar separa kedua tahun ini?

    Binyue L juga menerima perubahan pada sebelah dalam menampilkan rekaan corong udara penghawa dingin, panel suis kawalan, konsol tengah dan juga tombol gear yang berbeza. Model tersebut juga diberikan sistem Flyme Auto yang telah pun turut diberikan pada model EV Proton eMas 7.

    Berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh CEO Proton Dr. Li Chunrong bulan lalu, model facelift bagi X50 ini akan dilancarkan pada tahun ini. Jadi berdasarkan peringkat pembangunan yang dilihat pada model yang diuji ini, boleh dijangkakan pelancarannya mungkin akan dibuat pada separa kedua tahun ini.

     
     
  • Xpeng X9 di Malaysia — pendaftaran minat kini dibuka; lawan Toyota Alphard, Vellfire, Zeekr 009, Denza D9

    Xpeng X9 di Malaysia — pendaftaran minat kini dibuka; lawan Toyota Alphard, Vellfire, Zeekr 009, Denza D9

    Pengenalan rasmi Xpeng X9 untuk pasaran Malaysia kini semakin hampir. Kini, pendaftaran minat (ROI) telah dibuka di laman web utama jenama itu. MPV elektrik mewah yang futuristik ini sudah dipertontonkan pada Januari lalu, dan bakal menjadi pesaing bagi model Denza D9 dan Zeekr 009 — dan tentunya pemain lama dengan enjin petrol, Toyota Alphard dan Vellfire.

    Lebih menarik, borang ROI yang diumumkan itu turut menyediakan pilihan bagi membuat tempahan, memberi gambaran pelancarannya yang sudah semakin hampir. Boleh dijangkakan X9 yang akan dijual di sini adalah sama dengan penawaran di Thailand — spesifikasi di sana sudah didedahkan sebelum pelancarannya, dengan hanya satu varian Luxury ditawarkan.

    Xpeng X9 menggunakan platform Smart Electric Platform Architecture 2.0 (SEPA 2.0) yang sama dengan SUV EV G6 yang diperkenalkan di Malaysia pada Ogos tahun lalu, dan mempunyai ukuran 5,293 mm panjang, 1,988 mm lebar, 1,785 mm tinggi dengan jarak roda 3,160 mm.

    Xpeng X9 di Malaysia — pendaftaran minat kini dibuka; lawan Toyota Alphard, Vellfire, Zeekr 009, Denza D9

    Kuasa datang dari motor tunggal di depan yang menghasilkan sebanyak 320 PS (235 kW) dan 450 Nm tork, membolehkan MPV tujuh-tempat duduk yang besar ini mencapai 100 km/j dalam masa 7.7 saat dan laju maksimum 200 km/j. Ia menggunakan bateri nickel manganese cobalt (NMC) 101.5 kWh, menyediakan jarak WLTP sejauh 590 km. Di Hong Kong, varian dengan kapasiti bateri lebih kecil, lithium iron phosphate (LFP) 84.5 kWh dengan jarak 480 km turut ditawarkan.

    Xpeng menyatakan yang X9 menyokong “pengecasan pantas 3C”. Ini bermakna, kuasa pengecasan pantas DC-nya adalah sekitar tiga kali ganda angka kapasiti bateri — sekitar 300 kW bagi pek bateri 101.5 kWh. Pengecasan 10%-80% boleh dicapai dalam 20 minit. Suspensi pula terdiri daripada jenis double wishbone di depan dan multilink di belakang, dengan gelung udara dua-kebuk serta larasan ketinggian 90 mm dan bahkan mempunyai stereng roda belakang.

    Di dalam, X9 menerima sistem infotainment dengan skrin sesentuh 17.3-inci, bersama paparan kluster instrumen digital 10.25-inci. Untuk penumpang belakang pula, diberikan paparan 21.4-inci yang dipasang di bahagian siling serta tempat duduk gaya-pesawat untuk barisan kedua yang turut diberikan ciri pemanas, pengaliran udara dan urut. Ia juga diberikan bentangan 2-2-3 untuk tujuh-tempat duduknya.

    Seperti biasa, harga ketika ini masih belum diketahui. Namun, boleh dijangkakan tanda harganya tidak akan berada jauh daripada pesaing — seperti Denza D9 (RM259,000) bagi model paling asas dan RM309,000 bagi model pacuan semua roda, manakala model Zeekr 009 pacuan semua roda pula dijual RM349,800 (tujuh-tempat duduk) dan RM359,800 (enam-tempat duduk).

     
     
  • Proton Saga MC3 2025 dijumpai lagi – badan sama, tapi pakai platfrom AMA, enjin dan kotak gear lain?

    Proton Saga MC3 2025 dijumpai lagi – badan sama, tapi pakai platfrom AMA, enjin dan kotak gear lain?

    Hari ini sekali lagi kami menerima imej unit prototaip Proton Saga MC3 2025 yang diuji di atas jalan raya awam. Kali ini dua unit Saga berkenaan ditemui di Tanjung Malim, berkemungkinan dalam perjalan untuk balik ke kilang Proton yang terletak di daerah Muallim, Perak berkenaan.

    Untuk imej kali ini, bahagian belakang dan sisi pesaing Perodua Bezza berkenaan nampak lebih jelas. Kebanyakkan panel badan Saga ini termasuk pintu dan kerangka badan masih lagi nampak sama seperti Saga MC2 sedia ada, namun lampu belakang model kemaskini ini menampilkan rekaan yang berbeza.

    Lampu tersebut bukan sahaja menampilkan nyalaan LED, malah klusternya turut direka berlainan dan nampak lebih nipis dari lampu model sedia ada. Perubahan besar pada bahagian lampu berkenaan menandakan ada lebih banyak perubahan besar lain dibuat pada model ini, dan kemungkinan ia menerima platform berbeza iaitu platform AMA yang disebut oleh Proton sebelum ini.

    Proton Saga MC3 2025 dijumpai lagi – badan sama, tapi pakai platfrom AMA, enjin dan kotak gear lain?

    Tiada perincian sebenar diumumkan oleh Proton berkenaan platform tersebut, namun difahamkan ia adalah platform rekaan Proton yang diasaskan dari platform-platform tempatan sedia ada dan diberikan penambahbaikkan lebih moden.

    Menerusi gambar-gambar lain yang kami terima sebelum ini juga menunjukkan Saga baharu ini menerima sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) berdasarkan kamera yang dipadankan pada cermin hadapan. Ia juga diberikan gril pin krom seperti S70 serta unit lampu hadapan baharu.

    Lampu tersebut masih lagi merupakan unit reflektor halogen, namun ia nampaknya menerima perubahan rekaan yang ketara – bukan sahaja bahagian yang hampir dengan gril kini menampilkan lensa berwarna oren untuk lampu isyarat membelok, malah penutup bonet juga menunjukkan perubahan yang nampak lebih ‘bulat’, menandakan perubahan turut dibuat pada kluster lampu utama tersebut.

    Malah ketika dilihat diuji di Cameron Highland baru-baru ini, Saga berkenaan turut diuji bersama sebuah Perodua Myvi. Jadi tidak mustahil Saga MC3 ini turut menerima unit rangkaian kuasa termasuk enjin dan kotak gear baharu yang dibekalkan oleh Geely, dimana aspek pemanduan, prestasi, penggunaan bahan api dan sebagainya diuji dan dibandingkan dengan Perodua Myvi berkenaan.

    Sekiranya Saga yang sedang diuji ini sememangnya Saga generasi baharu yang menggunakan platform dan unit rangkaian kuasa berlainana, sudah tentu ia agak mengecewakan kerana ia masih menggunakan badan yang nampak sama seperti model generasi sedia ada.

     
     
  • GAC Emkoo dilihat ‘berkeliaran’ di Malaysia – satu lagi pencabar Proton X70, Honda CR-V akan dilancar?

    GAC Emkoo dilihat ‘berkeliaran’ di Malaysia – satu lagi pencabar Proton X70, Honda CR-V akan dilancar?

    Selepas dipertontonkan kepada umum pada Januari tahun lalu, sehingga kini tiada sebarang khabar bila GAC Emkoo akan dilancarkan secara rasmi ke pasaran tempatan. Namun baru-baru ini seorang pengguna Twitter/X iaitu rinmansor telah terserempak dengan SUV segmen-C tersebut di stesen Petronas Mutiara Damansara.

    GAC diedar oleh Warisan Tan Chong Automotif (WTCA) bagi pasaran Malaysia, yang turut membawa divisi kenderaan elektrik (EV) jenama China tersebut iaitu Aion. Emkoo dipertonton bersama model lain ketika itu iaitu GAC GS3 Emzoom dan Aion Y Plus, di mana masing-masing sudahpun dilancarkan ke pasaran tempatan pada April dan Mei 2024.

    GAC Emkoo ini menampilkan dimensi 4,680 mm panjang, 1,901 mm lebar dan 1,670 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,750 mm. Jika dibandingkan dengan pesaingnya iaitu Proton X70, Emkoo adalah 161 mm lebih panjang dan 70 mm lebih lebar, dengan jarak antara roda yang juga 70 mm lebih panjang. Ia juga hanya 11 mm lebih pendek berbanding Honda CR-V, tetapi 35 mm lebih lebar dan 49 mm lebih panjang jarak antara rodanya berbanding pencabarnya dari Jepun itu.

    Di China, Emkoo ditawarkan dengan pilihan enjin petrol turbo 1.5 liter dan 2.0 liter, serta 2.0 liter hibrid. Malaysia mungkin akan menerima enjin dengan kapasiti paling kecil berkenaan, menghasilkan 177 PS pada 5,500 rpm dan 270 Nm tork dari 1,400 hingga 4,500 rpm, dengan penggunaan bahan api didakwa mampu capai 6.8 liter per 100 km (WLTP).

    Enjin tersebut mungkin digandingkan dengan transmisi DCT tujuh kelajuan. Unit yang ditunjuk tahun lalu di Malaysia ialah versi CBU dan tidak menggambarkan unit sebenar yang akan dijual di sini kelak.

    Antara perincian yang diberikan pada unit berkenaan termasuk paparan instrumen dengan skrin 7-inci, skrin infotainmen 10.1-inci. Bagi pasaran China, Emkoo turut hadir dengan pilihan paparan instrumen 10.25-inci, skrin infotainmen 14.6-inci dan juga sistem bunyi Yamaha dengan 12-pembesar suara.

    GALERI: Pratonton GAC Emkoo di Malaysia

     
     
  • KTMB sediakan tren tambahan ETS mulai 28 Mac-6 April sempena Aidilfitri – Pdg Besar, Butterworth, KL

    KTMB sediakan tren tambahan ETS mulai 28 Mac-6 April sempena Aidilfitri – Pdg Besar, Butterworth, KL

    Sempena sambutan Aidilfitri tahun ini, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan empat perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bermula 28 Mac hingga 6 April 2025 bagi memenuhi permintaan tinggi penumpang. Jualan tiket bagi tren tambahan ETS ini juga sudah dibuka sejak jam 10 pagi tadi.

    Menurut KTMB, langkah itu diambil susulan tiket perkhidmatan tren ETS sedia ada sudah habis dijual, laporan Berita Harian. Jelasnya, perkhidmatan tambahan itu membabitkan dua perjalanan bagi laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral dan dua perjalanan lagi untuk laluan KL Sentral – Butterworth – KL Sentral.

    “Tiket bagi perkhidmatan tren tambahan ini akan mula dijual hari ini bermula jam 10 pagi. Sepanjang tempoh operasi, ia akan menawarkan 1,260 tempat duduk sehari, termasuk pilihan kelas perniagaan. Secara keseluruhan, sebanyak 12,600 tempat duduk disediakan bagi memenuhi permintaan pengguna,” katanya.

    KTMB sediakan tren tambahan ETS mulai 28 Mac-6 April sempena Aidilfitri – Pdg Besar, Butterworth, KL

    Bagi jadual perjalanan tren tambahan untuk sektor Padang Besar ke KL Sentral, ia melibatkan tren EP9283 (11.05 pagi hingga 4.30 petang) dan tren EP9286 (5 petang hingga 10.20 malam). Manakala sektor Butterworth ke KL Sentral pula, tren EP9185 akan bergerak dari Butterworth pada jam 11.20 pagi hingga 3.25 petang manakala tren EP9186 akan bertolak dari KL Sentral pada 4.45 petang hingga 8.50 malam.

    Dalam masa yang sama, KTMB turut menggalakkan penumpang merancang perjalanan serta membeli tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan dan mengelak kehabisan tiket pada saat akhir.

    “Pengguna juga dinasihatkan tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi di pintu masuk. Tiket boleh didapati secara tanpa tunai menerusi aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau di mesin kios KTMB,” katanya.

    Sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk maklumat terkini.

     
     
  • 118 juta kenderaan Kelas 1 direkodkan di lebuhraya untuk 4 musim perayaan besar tahun lalu – Nanta

    118 juta kenderaan Kelas 1 direkodkan di lebuhraya untuk 4 musim perayaan besar tahun lalu – Nanta

    Tidak hairanlah apabila lebuhraya utama di negara ini seringkali mengalami kesesakan teruk sepanjang musim perayaan besar saban tahun. Menurut Menteri Kerja Raya (KKR) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pada tahun lalu sahaja, sebanyak 118 juta kenderaan Kelas 1 (yang mempunyai dua gandar dan tiga atau empat roda, tidak termasuk teksi dan bas) direkodkan berada di lebuhraya pada musim perayaan besar seperti Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.

    Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi menjawab soalan dari Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan yang ingin mengetahui jumlah kenderaan persendirian yang menggunakan lebuhraya sepanjang musim perayaan. Nanta berkata pada Tahun Baharu Cina 2025 sahaja menyaksikan sejumlah 27 juta kenderaan dalam tempoh 27 Januari hingga 1 Februari.

    “Berbanding pada tahun 2023, sebanyak 109 juta kenderaan direkodkan menggunakan lebuhraya sepanjang empat perayaan utama, dengan pergerakan kenderaan meningkat sehari sebelum dan sehari selepas setiap perayaan,” katanya.

    118 juta kenderaan Kelas 1 direkodkan di lebuhraya untuk 4 musim perayaan besar tahun lalu – Nanta

    Bermula tahun ini, kerajaan menawarkan diskaun tol sebanyak 50% bagi menggantikan inisiatif bebas tol sebelum ini dan ia dilaksanakan pada empat musim perayaan utama bermula Tahun Baharu Cina yang lalu.

    Menurut Nanta, langkah itu akan mengurangkan pampasan yang ditanggung kerajaan kepada syarikat konsesi lebuhraya dari segi perbelanjaan awam, memandangkan kos diskaun tol itu ditanggung oleh kerajaan menggunakan dana awam, bukan syarikat konsesi lebuhraya.

    “Dalam setahun, lapan hari diperuntukkan untuk perjalanan bebas tol. Kini, bilangan hari yang sama akan mendapat diskaun 50%. Jika ia percuma, kami terpaksa membelanjakan RM160 juta, dan dengan mengurangkan separuh, bayaran kepada syarikat konsesi berjumlah RM80 juta,” katanya.

     
     
  • Subsidi bersasar RON95 libatkan penetapan harga pam untuk kira harga pasaran seperti diesel – MoF

    Subsidi bersasar RON95 libatkan penetapan harga pam untuk kira harga pasaran seperti diesel – MoF

    Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengesahkan subsidi bersasar petrol RON95 yang bakal dilaksanakan tidak lama lagi akan melibatkan penetapan harga pam yang mengambil kira harga pasaran, sama seperti pelaksanaan ke atas diesel ketika ini, laporan Harian Metro.

    Menurut beliau, bagaimana pun, penerima subsidi RON95 yang meliputi 85% pengguna warganegara akan terus menikmati bahan api bersubsidi itu. Dalam masa yang sama, bagi meredakan kebimbangan rakyat, kerajaan akan memastikan kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 yang menyeluruh dan berkesan sepertimana tindakan yang diambil terhadap diesel.

    “Ini termasuklah memastikan kumpulan rakyat yang layak akan terus mendapat insentif atau bantuan sewajarnya di samping menggunakan mekanisme yang mudah dan holistik untuk penyebaran maklumat atau penerangan penyasaran subsuidi yang berkesan.

    Subsidi bersasar RON95 libatkan penetapan harga pam untuk kira harga pasaran seperti diesel – MoF

    “Selain itu, ia mengelakkan berlakunya cubaan pencatutan dan kenaikan mendadak harga dalam kalangan pengusaha (stesen minyak) yang tidak bertanggungjawab,” katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) 2025 di Dewan Rakyat semalam.

    Jelas beliau lagi, penggunaan MyKad sebagai rujukan utama dalam penyasaran subsidi RON95 dibuat selepas melihat kebolehlaksanaan teknologinya yang terbukti berkesan menerusi pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu bantuan bagi pembelian barangan keperluan asas terpilih yang diperkenal sejak 2024.

    “Tahap penggunaan (MyKad untuk SARA) di Kelantan dan Perlis mencecah 99%. Bermula 15 Januari 2025, kerajaan sudah menyalur SARA menerusi MyKad secara bulanan kepada 700,000 penerima miskin dan miskin tegar.

    “Pada Januari 2025, penyaluran SARA menerusi MyKad diperluaskan juga ke Sabah dan Sarawak berbanding hanya negeri semenanjung pada 2024. Pada April tahun ini, SARA akan diperluaskan kepada 5.4 juta penerima termasuk isi rumah B40,” katanya.

    Subsidi bersasar RON95 libatkan penetapan harga pam untuk kira harga pasaran seperti diesel – MoF

    Pada minggu lalu, Kementerian Kewangan memaklumkan kerajaan akan menggunakan MyKad sebagai rujukan utama bagi menentukan status kewarganegaraan, sementara kriteria lain seperti pemilikan kenderaan sama ada yang bermotosikal atau berkereta termasuk lokaliti penerima subsidi masih dalam penelitian pihak kerajaan.

    Amir Hamzah turut berkata, penyasaran subsidi RON95 perlu dilaksana berikutan perbezaan harga yang besar, sekali gus menyebabkan ketirisan dalam subsidi petrol yang digunakan golongan tidak sepatutnya.

    “Berdasarkan data semasa, dianggarkan penggunaan petrol oleh bukan warganegara, sektor komersial termasuk aktiviti penyeludupan sudah melebihi 20% daripada jumlah penggunaan. Memandangkan perbelanjaan susbidi RON95 tahun lalu hampir berjumlah RM20 bilion, jika ketirisan dalam kalangan bukan warganegara, perniagaan dan golongan kaya ini ditangani, ia bakal menjimatkan lebih RM8 bilion setahun,” katanya.

     
     
  • Puspakom lanjut operasi setiap Sabtu bulan ini – 8,15, dan 22 Mac; 29 cawangan terlibat di seluruh negara

    Puspakom lanjut operasi setiap Sabtu bulan ini – 8,15, dan 22 Mac; 29 cawangan terlibat di seluruh negara

    Jika anda tidak berkesempatan menghantar kenderaan untuk diperiksa pada hari bekerja, jangan risau kerana Puspakom akan melanjutkan operasinya pada setiap Sabtu sepanjang bulan ini, yang melibatkan tiga tarikh.

    Operasi yang dilanjutkan melibatkan tarik 8, 15 dan 22 Mac namun untuk cawangan yang terpilih sahaja di seluruh negara, yang akan dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang, seperti mana yang pernah dilaksanakan sebelum ini (beroperasi pada hari Sabtu).

    Kali ini, ia melibatkan 29 cawangan di seluruh negara. Kesemua pelanggan perlu membuat temujanji secara dalam talian menerusi MyPuspakom sebelum berkunjung ke cawangan pilihan. Tiada kunjungan secara walk-in dibenarkan. Di bawah ini senarai cawangan yang terlibat.

    Lembah Klang

    • Wangsa Maju
    • Cheras
    • Taman Bukit Maluri
    • Glenmarie
    • Bangi
    • Batu Caves
    • Pandan Mewah
    • Shah Alam
    • Padang Jawa
    • Sungai Besar
    • Banting

    Utara

    • Sungai Petani
    • Alor Setar
    • Teluk Kumbar (Pulau Pinang)
    • Batu Maung
    • Mak Mandin(Pulau Pinang)
    • Taiping
    • Gopeng (Perak)

    Selatan

    • Alor Gajah (Melaka)
    • Seremban
    • Johor Bahru
    • Muar
    • Kluang
    • Senai
    • Pasir Gudang

    Pantai Timur

    • Kota Bahru
    • Kuantan

    Malaysia Timur

    • Kota Kinabalu
    • Kota Samarahan
    • Sebagai makluman, cawangan Kluang di Johor akan ditutup pada 8 Mac ini.

     
     
  • MBPP naikkan caj parkir awam P.Pinang sehingga 50%

    MBPP naikkan caj parkir awam P.Pinang sehingga 50%

    Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mula menaikkan caj parkir awam sehingga 50% di negeri terbabi berkuatkuasa hari ini, laporan FMT.

    Di bawah kadar baharu itu, bayaran parkir dinaikkan daripada RM0.40 kepada RM0.60 setiap setengah jam dan daripada 80 sen kepada RM1.20 sejam. Kadar parkir harian juga telah dinaikkan daripada RM6 kepada RM9, tetapi pas parkir bulanan kekal pada RM150. Oleh itu, pemandu kenderaan telah digesa untuk menambah nilai baki dalam aplikasi Penang Smart Parking mereka.

    Menurut Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran, keputusan untuk menaikkan kadar parkir itu bertujuan mengurangkan kesesakan tempat letak kereta di kawasan permintaan tinggi. Di mana dengan kenaikan kadar itu diharapkan dapat mengelakkan pemandu daripada memonopoli tempat letak kenderaan awam yang terhad dengan meletak kenderaan untuk tempoh yang lama.

    MBPP naikkan caj parkir awam P.Pinang sehingga 50%

    “Ada pemandu yang meletakkan kenderaan mereka selama 10 hingga 12 jam berturut-turut, menyukarkan orang lain untuk mencari tempat letak kereta,” katanya sambil menambah bahawa pemandu yang terpaksa mencari tempat letak kereta akan menyebabkan kesesakan lagi.

    Beliau turut berkata, MBPP juga sedang mempertimbangkan pengenalan sistem tempat letak kereta masa terhad di lokasi yang sentiasa sibuk seperti Lebuh Chulia dan Lebuh Pasar.

    Tambahnya, MBPP juga bekerjasama dengan pemaju untuk memastikan kemudahan tempat letak kereta persendirian di bangunan komersil menggunakan struktur bayaran yang sama dengan majlis itu. Malah MBPP telah memulakan proses tender terbuka untuk membangunkan kemudahan tempat letak kereta bertingkat di sepanjang Weld Quay bagi menyediakan lebih banyak tempat parkir kereta.

     
     
  • VCM umum Volvo XC90 facelift turut akan dilancarkan di Malaysia bersama model EV EX90 tak lama lagi

    VCM umum Volvo XC90 facelift turut akan dilancarkan di Malaysia bersama model EV EX90 tak lama lagi

    Selain dari SUV EV tiga baris tempat duduk EX90 yang telah disahkan akan dilancarkan di Malaysia tahun ini, Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini turut mengumumkan bahawa model kemaskini bagi kembar SUV berkenaan yang masih menggunakan enjin pembakaran dalaman iaitu XC90 facelift 2025 turut bakal dilancarkan ke pasaran tempatan.

    Tarikh sebenar untuk pelancaran kedua-dua SUV flagship Volvo ini masih belum muktamadkan, tetapi VCM menyatakan ia bakal diumumkan di laman web rasminya kelak.

    “Tidak kira sama ada anda mahukan teknologi keselamatan terbaik dalam kenderaan elektrik sepenuhnya, atau ingin menaik taraf kepada versi terkini SUV ikonik kami yang telah meraih pelbagai anugerah, pilihlah model flagship ‘90’ yang sesuai dengan kehidupan dan gaya hidup anda,” kata Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Chris Wailes.

    VCM umum Volvo XC90 facelift turut akan dilancarkan di Malaysia bersama model EV EX90 tak lama lagi

    Volvo XC90 facelift 2025 telah diperkenalkan pada peringkat global pada September tahun lalu, membolehkan SUV yang sudah berada sekitar 10-tahun dalam pasaran tersebut terus relevan untuk bersaing. Perubahan ketara diberikan pada bahagian hadapan di mana fender sisi, penutup bonet, lampu utama gril dan bampar kssemuanya menerima komponen baharu. Ia menerima inspirasi rekaan dari model EV penuh Volvo seperti EX90 dan EX30, menampilkan lampu hadapan dengan bentuk ‘Tukul-Thor’ yang lebih jelas.

    Lampu berkenaan direka ‘tertusuk’ terus pada gril hadapan yang tiada lagi unsur klasik Volvo seperti rekaan jail bar atau egg crate sebelum ini, sebaliknya diberikan elemen garisan silang-menyilang yang dipisahkan menerusi palang dan logo ‘Iron Mark’ jenama automotif Sweden itu.

    Manakala untuk bampar, rekaannya menampilkan sepasang liang udara yang direka menegak, membolehkan liang ambilan udara tengah dihasilkan lebih lebar. Bonet dan juga fender hadapan juga direka semula bagi disesuaikan dengan muka baharu ini.

    VCM umum Volvo XC90 facelift turut akan dilancarkan di Malaysia bersama model EV EX90 tak lama lagi

    Walau bagaimanapun, rupa bahagian sisi dan belakang masih lagi nampak sama seperti versi facelift sebelumnya. Penyegaran yang dibuat adalah menerusi rekaan baharu pada set rim dan juga lampu belakang yang nampak lebih gelap.

    Bagi memberikan aura seperti model baharu sepenuhnya, Volvo turut memberikan papan pemuka baharu pada SUV ini. Namun ia dilihat masih menampilkan susunan yang sama seperti model sebelum itu seperti skrin dan liang pendingin hawa yang direka menegak bersama suis kawalan ringkas di bawahnya.

    Untuk pasaran Malaysia, XC90 facelift ini dijangka akan mengekalkan pilihan unit rangkaian kuasa yang sama menerusi varian hibrid ringkas B5 AWD, dan versi paling berkuasa plug-in hybrid T8 AWD.

    Versi asas B5 menerima enjin 2.0 liter empat-silinder turbo berkuasa 250 PS dan tork maksima 360 Nm dan juga sistem hibrid ringkas 48-volt, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.7 saat.

    VCM umum Volvo XC90 facelift turut akan dilancarkan di Malaysia bersama model EV EX90 tak lama lagi

    New Volvo XC90 Interiors

    Manakala untuk T8 AWD, enjin turbo tersebut ditambah dengan supercharger bagi menghasilkan kuasa 310 PS dan tork maksima 400 Nm. Kuasa berkenaan disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik lapan kelajuan. Tidak cukup dengan itu, gandar belakang pula dipadankan dengan motor elektrik berkuasa 145 PS/309 Nm, yang bukan sahaja memberikan kebolehan pacuan semua roda, malah menjadikan kuasa keseluruhan SUV ini berjumlah 455 PS.

    Walau bagaimanapun, kuasa tersebut sebenarnya berkurangan dari versi sebelumnya yang dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 462 PS/709 Nm. Oleh itu pecutan 0-100 km/j juga sedikit lambat dengan catatan 5.4 saat berbanding 5.3 saat sebelum ini.

    Untuk motor elektrik pada gandar belakang, ia dibekalkan kuasa menerusi bateri berkapasiti 18.8 kWj, membolehkan ia bergerak dengan hanya kuasa elektrik dalam jarak antara 63 hingga 71 km. Ia juga boleh dicas semula seperti model EV sebenar – dengan pengecas AC 6.4 kW, cas penuh mengambil masa sehingga tiga jam.

    VCM umum Volvo XC90 facelift turut akan dilancarkan di Malaysia bersama model EV EX90 tak lama lagi

    Sekiranya anda berminat dengan Volvo EX90 pula, pendaftaran minat secara atas talian sudah pun dibuka pada PAUTAN INI. Model ini didedahkan pada peringkat global pada November 2022, namun produksinya hanya bermula pada pertengahan 2024 – ini mungkin sebab mengapa pengenalannya di Malaysia sepatutnya pada dibuat pada suku ke-empat tahun lalu ditunda ke tahun ini. Ia juga sebenarnya sudahpun dilancarkan di Thailand tahun lalu, ditawarkan dalam tiga varian.

    Varian asas di Thailand dikenali sebagai Twin Motor Plus yang menawarkan tujuh-tempat duduk, serta konfigurasi dua motor elektrik bagi memberikan kebolehan pacuan semua roda. Secara keseluruhan kedua-dua motor berkenaan menghasilkan 408 PS (300 kW) dan tork 770 Nm, membolehkan SUV besar ini memecut dari 0-100 km/j hanya dalam masa 5.9 saat.

    Varian pertengahan pula dikenali sebagai Twin Motor Performance Ultra dalam versi tujuh-tempat duduk, manakala yang paling mahal pula adalah Twin Motor Performance Ultra dengan konfigurasi enam-tempat duduk yang lebih mewah. Kedua-dua varian ‘Performance Ultra’ ini menerima kuasa keserluruhan 517 PS (380 kW) dan 910 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat. Sama seperti model-model Volvo yang lain, kelajuan maksima EX90 hanya dihadkan kepada 180 km/j sahaja.

    Kesemua varian tersebut juga dibekalkan dengan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 111 kWj (107 kWj yang boleh digunakan). Ini membolehkan model asas Twin Motor Plus bergerak sejauh 600 km manakala varian lebih berkuasa Twin Motor Performance Ultra pula bergerak sejauh 590 km – angka-angka ini adalah berdasarkan ujian WLTP.

    Manakala untuk mengecas, sistem AC EX90 ini boleh menerima sehingga 11 kW bagi membolehkan bateri dipenuhkan dalam masa 10 jam. Sistem pengecas pantas DC pula membolehkan ia menerima sehingga 250 kW, di mana cas dari 10-80% dapat dipenuhkan dalam masa 30 minit.

     
     
  • Honda Koraidon bakal diperkenal 7 Mac ini – motosikal konsep Pokemon dengan teknologi imbang sendiri

    Honda Koraidon bakal diperkenal 7 Mac ini – motosikal konsep Pokemon dengan teknologi imbang sendiri

    Dalam masa beberapa hari lagi, Honda akan memperkenalkan sebuah motosikal konsep yang dibuat dengan kerjasama The Pokemon Company, melibatkan salah satu karekter dalam permainan Pokemon Scarlet, iaitu Koraidon.

    Menurut Honda, motosikal konsep ini akan dibuat mengikut saiz sebenar Koraidon dan boleh berubah bentuk dengan antaranya menyerupai sebuah motosikal yang boleh ditunggang dan juga berdiri di atas kaki sendiri. Walaubagaimanapun, apabila dipamerkan di Honda Welcome Plaza Aoyama bermula 7 Mac ini, ia hanya akan terletak statik.

    Melalui projek ini, Honda akan menerapkan teknologi motosikal imbang sendiri mereka yang pernah ditunjukkan melalui beberapa model konsep, dan memastikan Honda Koraidon ini boleh bergerak dan ditunggang. Menjadikannya lebih dinamik, beberapa anggota Koraidon itu sendiri akan dibuat boleh bergerak, seperti kepala dan tangannya.

     
     
  • Chery Tiggo 4 Pro atau Tiggo Cross dilihat sedang diuji di Malaysia — bakal lawan Ativa, WR-V

    Chery Tiggo 4 Pro atau Tiggo Cross dilihat sedang diuji di Malaysia — bakal lawan Ativa, WR-V

    April tahun lalu, Chery Malaysia mengesahkan bahawa Chery Tiggo 4 Pro atau Tiggo Cross bakal memasuki pasaran tempatan pada separuh pertama tahun ini. Kini, tiga unit model berkenaan telah dilihat sedang diuji di lebuhraya Malaysia, menggunakan trade plate dan pelekat samaran pelbagai corak.

    Walaupun begitu, DRL menegaknya serta lampu belakang dengan kelebaran penuh boleh dilihat dengan jelas, begitu juga dengan rekaan lampu depan dan gril besar di depan. Ketiga-tiga unit berkenaan menggunakan rim yang berbeza.

    Unit dengan rim asas kelihatan seperti mengenakan ekzos yang lebih kecil. Untuk pasaran Malaysia, adakah kita akan menerima varian yang sama seperti di Indonesia, iaitu 116 PS/138 Nm 1.5 NA + CVT dan unit 1.5 turbo 147 PS/210 Nm + DCT enam-kelajuan (seperti di Afrika Selatan)?

    Jika betul, pasaran tempatan akan menerima satu lagi pesaing dengan julat harga kompetitif kepada Perodua Ativa dan juga varian 1.5 turbo untuk mengatasi spesifikasi WR-V. Pendekatan ini juga pernah digunakan oleh Chery untuk model Omoda 5 yang berdepan dengan Proton X50.

    Semua ini akan disahkan ketika model berkenaan dilancarkan kelak, yang pastinya menjadi model yang diposisikan di bawah Omoda 5 dari segi harga dan saiz, dan menjadi model peringkat kemasukan terbaru untuk Chery — dengan harga lima digit sebagai permulaan?

    Di Indonesia, Chery Tiggo 4 Pro/Chery Tiggo Cross dijual dengan harga dari 239.5-269.5 juta Rupiah (RM65k-73k), manakala di Afrika Selatan ZAR400k-450k (RM96k-108k). Di sini, Ativa dijual dengan harga antara RM63k-73k sementara WR-V antara RM90k-108k.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025