Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • Delhi larang kenderaan berusia lebih 15 tahun beli bahan api sebagai usaha memperbaiki kualiti udara

    Delhi larang kenderaan berusia lebih 15 tahun beli bahan api sebagai usaha memperbaiki kualiti udara

    Parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi kembali berkuasa di ibu negara India, Delhi dan salah satu peraturan baru yang dibuat adalah kenderaan berusia lebih 15 tahun tidak dibenarkan membeli bahan api dalam ibu kota tersebut bermula 1 April 2025.

    Menteri alam sekitar negara itu, Manjinder Singh Sirsa berkata, satu pasukan akan ditubuhkan untuk mengenal pasti kenderaan yang melebihi usia tersebut dan ‘gajet’ akan digunakan untuk membuat perbezaan. “Kami akan memasang gajet di pam petrol, yang akan mengenal pasti kenderaan berusia lebih 15 tahun, dan bahan api tidak akan dijual kepada mereka,” kata beliau dalam laporan NDTV.

    Sementara peraturan baru ini kedengaran drastik, pelaksanaan adalah lebih penting. Sebenarnya, Delhi dan National Capital Region (NCR) mempunyai polisi di mana kenderaan diesel berusia lebih 10 tahun dan kenderaan petrol lebih 15 tahun tidak dibenarkan berada di atas jalan. Jika ditemui atas jalan bermula 1 Januari 2022, kenderaan yang termasuk dalam kategori itu boleh disita dan dihantar ke tempat lupus.

    Delhi larang kenderaan berusia lebih 15 tahun beli bahan api sebagai usaha memperbaiki kualiti udara

    Delhi, yang menempatkan lebih 33 juta penduduk terkenal sebagai antara bandar yang paling tercemar di dunia. Kerajaan Aam Aadmi Party (AAP) sebelum ini menuding jari kepada pembakaran terbuka dan beberapa faktor lain di negeri seperti Haryana dan Uttar Pradesh, tetapi Sirsa melihat kepada Delhi sendiri.

    “Sasaran kami cuma satu. Siapa yang menyebabkan pencemaran, dia lah yang akan memberi penyelesaian. Apabila kita kurangkan pencemaran dalam negeri kita, kemudian kita boleh beritahu kepada negeri lain. Faktor-faktor dalam Delhi menyumbang kepada 50% pencemaran dalam negara,” kata beliau.

     
     
  • Nissan umum produksi GT-R R35 akan ditamatkan, tempahan sudah ditutup – model pengganti belum ada

    Nissan umum produksi GT-R R35 akan ditamatkan, tempahan sudah ditutup – model pengganti belum ada

    Yang dijangka berlaku, akhirnya berlaku – menerusi laman web rasminya, Nissan Jepun mengumumkan bahawa ia kini telah menghentikan pengambilan tempahan untuk kereta sport terulung jenama itu iaitu GT-R R35.

    “Kami telah menerima banyak tempahan untuk Nissan GT-R, dan kami perlu berhenti dari menerima tempahan sekarang untuk kuantiti produksi yang telah dirancang. Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tulus kepada ramai pelanggan kami atas sokongan mereka selama bertahun-tahun sejak pelancaran model tersebut pada tahun 2007,” tulis Nissan Jepun dalam kenyataan yang disiarkan pada laman sesawang rasmi mereka.

    Nissan GT-R generasi R35 ini membuat kemunculan sulungnya pada Oktober 2007, iaitu ketika berlangsungnya Tokyo Motor Show tahun berkenaan. Sejak itu ia telah diproduksi dalam pelbagai facelift, kemaskini kelengkapan dan mekanikal, pelbagai edisi khas dan terus berada dalam bilik pameran selama 18-tahun.

    Nissan umum produksi GT-R R35 akan ditamatkan, tempahan sudah ditutup – model pengganti belum ada

    Walaupun Nissan telah mendedahkan model konsep yang mungkin merupakan bayangan kepada GT-R generasi R36 yang digelar sebagai Hyper Force Concept EV pada Oktober 2023, sehingga kini masih belum apa-apa yang pasti berkenaan model pengganti GT-R berkenaan.

    Menerusi temubual penulis bersama ‘Godfather of Modern Nissan GT-R’ Hiroshi Tamura tahun lalu, model generasi baharu Nissan GT-R mungkin hanya akan membuat kemunculan pada 2028 atau 2029. Menurutnya lagi, buat masa sekarang Nissan masih belum melakukan apa-apa pembangunan terhadap model tersebut, dan ia masih diperingkat mencari solusi yang paling sesuai untuk menentukan unit rangkaian kuasa yang akan digunakan.

    Nissan juga kini dilihat dalam krisis kewangan dan mungkin akan muflis dalam masa setahun sekiranya tidak dapat mencari pelabur yang stabil. Mungkin faktor ini akan melambatkan lagi pengenalan model sport lagenda generasi baharu berkenaan?

     
     
  • Proton eMas 7 capai 1,000 unit penghantaran di M’sia – wakili 25% perkongsian pasaran bagi EV tempatan

    Proton eMas 7 capai 1,000 unit penghantaran di M’sia – wakili 25% perkongsian pasaran bagi EV tempatan

    Pro-Net, selaku cabang pengurusan bagi kenderaan tenaga baharu (NEV) Proton, mengumumkan bahawa sebanyak 1,000 unit bagi eMas 7 telah dihantar kepada para pelanggannya. Jumlah tersebut berjaya dicapai dalam lebih kurang dua bulan selepas kenderaan elektrik (EV) pertama Proton ini mula dijual sejak Disember lalu.

    “Kejayaan eMas 7 adalah mencerminkan komitmen kami untuk menyediakan EV yang menarik yang sejajar dengan keperluan pengguna Malaysia. Matlamat kami bukan hanya untuk menjual kereta tetapi untuk memupuk ekosistem lengkap yang memastikan peralihan yang lancar dan yakin kepada mobiliti elektrik,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net.

    Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan, syarikat ini berkata, pihaknya telah menerima lebih 4,500 tempahan bagi eMas 7. Bahkan pihaknya juga yakin angka itu akan meningkat kepada 6,000 tempahan tidak lama lagi dengan lanjutan pakej pelancaran khas yang memberikan harga eksklusif untuk 6,000 pelanggan pertama (sebelum ini 3,000).

    Dengan promosi yang ditawarkan itu, varian asas Prime dijual pada harga RM105,800 (berbanding RM109,800), manakala Premium spesifikasi tertinggi berharga RM119,800 (berbanding RM123,800). Kedua-duanya adalah harga atas jalan dan tidak termasuk insurans.

    eMas 7 telah dicatatkan sebagai EV terlaris di Malaysia pada Januari tahun ini, dengan 421 unit didaftarkan mengikut rekod daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Syarikat itu juga menyatakan bahawa eMas 7 kini menguasai 25% bahagian pasaran EV tempatan.

     
     
  • Proton rancang pasang model SUV dan NEV di Mesir – pertembungan X50 & Geely Coolray di rantau MENA?

    Proton rancang pasang model SUV dan NEV di Mesir – pertembungan X50 & Geely Coolray di rantau MENA?

    Dalam ucapan ketika pelancaran Proton Saga CKD Mesir yang dipasang di kilang Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF), CEO Proton Dr Li Chunrong mengesahkan bahawa syarikatnya kini turut akan meneroka peluang untuk melancarkan produk lain, termasuk SUV dan kenderaan tenaga baharu (NEV) di Mesir apabila peluang diberikan oleh keadaan pasaran.

    Dalam kenyataan yang sama, Proton turut menyatakan bahawa kewujudan kilang ini juga menandakan komitmen Mesir terhadap pembangunan industri dengan menggunakan kemudahan komponen sumber tempatan dan rancangan untuk pengembangan masa depan, termasuk pengeluaran EV, sejajar dengan Wawasan 2030 Mesir.

    Malah dalam laporan Al-Masry Al-Youm pula, kilang ESAF ini turut akan memasang satu lagi model sedan baharu Proton pada 2026 serta model SUV pada 2027.

    Dengan perkembangan ini nampaknya Proton bukan hanya akan masuk ke pasaran mampu milik untuk rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) walaupun Geely turut telah membuka kilang di Mesir pada Januari lalu. Kilang yang terletak di di Bandar 6 Oktober berkenaan dilaporkan memasang model sedan Geely Emgrand (asas untuk Proton S70) dan juga SUV Geely Coolray (asas untuk Proton X50).

    Proton rancang pasang model SUV dan NEV di Mesir – pertembungan X50 & Geely Coolray di rantau MENA?

    Kilang tersebut dibuka dengan kerjasama Auto Mobility (Geely Mesir), dan ia merupakan fasiliti industri pertama dibuka oleh Geely di kawasan Mesir, Afrika dan Timur Tengah. Kilang tersebut menampilkan dua barisan produksi yang mampu menghasilkan 10,000 unit kenderaan setahun untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan, serta boleh mengeksport 30,000 unit kenderaan untuk dipasarkan ke rantau MENA.

    Ketika Geely ‘rancak’ mengumumkan pembukaan-pembukaan pasaran baharu yang meliputi pasaran pemanduan sebelah kanan dan juga Asia Tenggara yang sepatutnya menjadi pasaran yang diwakili oleh Proton, pengarah perhubungan awam Geely Holding Group Ash Sutcliffe menjelaskan kepada paultan.org bahawa Geely dan Proton tidak akan bersaing sesama sendiri dalam pasaran yang sama.

    “Geely akan memasuki dan mewujudkan rangkaian pengedar dalam pasaran yang Proton masih belum ada, bermula dengan produk NEV untuk membina reputasi jenama, yang akan menjadi pelengkap kepada produk sedia ada Proton,” katanya.

    Jadi dengan perkembangan terbaharu yang diumumkan oleh Proton ini, mungkin akan menyaksikan buat kali pertama model-model Proton seperti X50 dan S70 akan bersaing terus dengan kembarnya dari Geely iaitu Binyue dan Emgrand? Atau Proton akan membawa model dalam segmen yang tidak ditawarkan oleh Geely di Mesir seperti Proton X70?

    Manakala bagi model-model NEV, buat masa sekarang Proton telah pun menjual model seperti X90 yang menggunakan sistem hibrid ringkas 48V, serta baru sahaja melancarkan model EV pertamanya iaitu eMas7. Dengan pembukaan kilang EV terbaharunya di Tanjong Malim yang bakal beroperasi tahun ini, Proton turut akan menawarkan model-model dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) pada masa akan datang.

    Jadi model-model ini juga dilihat berpotensi untuk dipasang di Mesir kelak, dan ia mungkin sudahpun di dalam perancangan Proton untuk menghasilkan sebanyak 330,000 unit kereta setahun menjelang 2030.

     
     
  • 41,005 saman melibatkan warga asing dari 2022-Nov 2024 masih tertunggak, Singapura juarai carta – JSPT

    41,005 saman melibatkan warga asing dari 2022-Nov 2024 masih tertunggak, Singapura juarai carta – JSPT

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri mendedahkan sebanyak 41,005 daripada 49,598 saman yang dikeluarkan kepada pemandu warga asing dari tahun 2022 hingga November tahun lalu masih belum dijelaskan. Ia melibatkan tunggakan saman berjumlah lebih RM4.5 juta membabitkan kenderaan asing khususnya dari Singapura, laporan Harian Metro.

    Jelas beliau, pemandu dari Singapura menjadi juara carta saman yang masih tertunggak ini dengan sejumlah 28,642 daripada 33,033 saman yang dikeluarkan dalam tempoh tersebut. Ia diikuti dengan pemandu Thailand sebanyak 7,725 saman dengan 6,589 belum dibayar.

    Manakala Brunei berada di kedudukan ketiga negara dikenakan saman iaitu 5,917 dengan 3,721 saman belum dijelaskan dan Indonesia pula sebanyak 772 saman dan 585 belum dijelaskan.

    “Lain-lain negara 2,151 saman dengan 1,468 belum dijelaskan lagi di mana daripada 49,598 saman dikeluarkan hanya 8,593 sahaja dijelaskan dalam tempoh tiga tahun itu. Pandu laju merekodkan kesalahan tertinggi dilakukan warga asing iaitu 33,226 saman, abai isyarat lalu lintas (4,576), halangan lalu lintas (3,514), potong Q (2,022) dan lain–lain kesalahan (8,370),” katanya.

    41,005 saman melibatkan warga asing dari 2022-Nov 2024 masih tertunggak, Singapura juarai carta – JSPT

    Menurut Mohd Yusri lagi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui JSPT melaksanakan operasi khas membabitkan kenderaan warga asing yang ingkar serta culas dalam menjelaskan saman.

    “Sebanyak 14 Operasi Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) dilaksanakan bermula pada 2014 sehingga 2024 di negeri bersempadan dengan negara luar seperti Singapura, Brunei, Thailand dan Indonesia. Antara negeri terbabit dalam pelaksanaan operasi ini adalah Johor (enam operasi), zon utara membabitkan negeri Perlis, Kedah dan Perak (empat operasi), Kelantan (dua operasi), Sarawak (satu operasi) dan Sabah (satu operasi).

    “Semua operasi OSTWA dilaksana menggunakan punca kuasa undang-undang yang termaktub di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Polis 1967, Kanun Prosedur Jenayah dan juga arahan Pengarah JSPT,” katanya sambil menambah setiap lokasi sekatan jalan raya dilengkapi kemudahan kaunter bayaran saman yang mana memudahkan OKS menjelaskan tunggakan saman mereka.

    Tambah beliau, bagi yang masih ingkar, tindakan mengikut undang-undang seperti dinyatakan akan diambil dengan membawa pesalah trafik ke mahkamah sehingga proses selesai.

    “PDRM melalui JSPT membangunkan portal dan aplikasi MyBayar PDRM pada 2021. Portal dan ia dapat diakses secara 24 jam tidak hanya kepada warganegara Malaysia sahaja malahan boleh diakses warganegara asing, sekali gus menafikan alasan kepada mereka yang mempunyai saman tertunggak untuk tidak melunaskan tunggakan saman mereka,” katanya.

    Katanya, portal serta aplikasi ini boleh diakses melalui laman sesawang https://mybayar.rmp.gov.my atau dimuat turun secara percuma di Google Playstore, Apple AppStore dan Huawei AppGallery. Selain menyediakan perkhidmatan transaksi atas talian tanpa caj tambahan, pengguna berdaftar boleh semak status dan butiran saman dikeluarkan.

    Laporan sebelum ini pernah menyebut, JSPT akan mengemaskini data pesalah trafik warga asing melalui kaedah semak silang dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi mengenal pasti pemilik saman tertunggak. Mohd Yusri juga berkata, JSPT juga dalam perancangan melaksanakan penguatkuasaan saman di sempadan negara Malaysia-Singapura melalui sistem penguatkuasaan Permit Masuk Kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan dan PDRM.

    Menurutnya lagi, menerusi pelaksanaan VEP ini, mana-mana kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dan melanggar undang- undang perlu membayar saman sebelum meninggalkan negara ini.

     
     
  • JPJ eBid: Siri KV-F dan BSG sedia untuk dibida

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Kedah, KV-F, dibuka bidaan mulai hari ini, 3 Mac 2025. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 7 Mac ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 8 Mac 2025. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor pula, BSG, bidaannya pula bakal dibuka mulai 18 Mac dan akan berakhir jam 10 malam pada 22 Mac. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 23 Mac 2025.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • Proton Saga CKD Mesir sudah dilancarkan – model-model SUV dan NEV turut dirancang selepas ini

    Proton Saga CKD Mesir sudah dilancarkan – model-model SUV dan NEV turut dirancang selepas ini

    Selepas tiga bulan kilang rakan kerjasama Proton di Mesir iaitu Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF) dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim, kini model pertama yang keluar dari fasiliti tersebut, Proton Saga telah pun dilancarkan ke pasaran negara itu.

    Di Mesir, Proton diwakili oleh pengedarnya iaitu Kumpulan Ezz Elarab di mana pelancarannya ini juga turut mengeratkan kerjasama kedua-dua pihak yang telah bekerjasama selama 20-tahun. Pelancaran Saga CKD Mesir ini dihadiri oleh pengerusi ESAF Hisham Ezz Elarab, CEO Proton Dr Li Chunrong serta wakil-wakil dari kedua-dua syarikat, dan juga Duta Besar Malaysia ke Mesir YAB Dato’ Tarid Sufian.

    Menurut laporan-laporan media tempatan, Proton Saga CKD Mesir ini dijual pada harga bermula EGP629,900 (RM56k), atau EGP120,000 lebih murah dari versi yang diimport sepenuhnya dari Shah Alam. Ia ditawarkan hanya dalam satu varian, dengan diberikan kelengkapan termasuk skrin infotainmen tujuh-inci, empat pembesar suara, dua beg udara, kamera parkir dan lain-lain.

    Kelengkapan mekanikal masih sama seperti Saga di Malaysia dengan pemadanan enjin 1.3 liter empat-silinder Campro VVT berkuasa 95 PS/120 Nm bersama kotak gear automatik empat-kelajuan. Apa yang berbeza, model CKD Mesir ini ditawarkan dalam warna Marine Blue yang tidak ada dijual di Malaysia.

    “Kedudukan strategik Mesir di antara wilayah Timur Tengah dan Afrika serta populasinya yang ramai dan pemulihan pasaran yang menjanjikan, memberikan peluang pertumbuhan yang luar biasa bagi Proton,” kata Dr. Li. Beliau turut menambah bahawa Proton akan turut menerokai peluang untuk melancarkan produk lain, termasuk SUV dan NEV apabila peluang diberikan oleh keadaan pasaran.

    Dalam laporan Egypt Telegraph, ESAF mensasarkan untuk menghasilkan 5,000 unit Saga pada 2025, manakala Al-Masry Al-Youm pula melaporkan kilang ini turut akan memasang satu lagi model sedan baharu pada 2026 serta model SUV pada 2027.

    “Pada tahun 2024, jumlah jualan eksport Proton telah mengalami penambahan sebanyak 31.1%, dan Mesir memainkan peranan penting untuk mencapai keputusan ini. Kesannya, Proton telah mengukuhkan komitmen kami untuk menjadikan eksport sebagai tonggak utama strategi masa depan syarikat dan kami berharap untuk mencapai kejayaan yang lebih besar dengan rakan kongsi kami di Mesir,” kata Dr. Li lagi.

    Menurut kenyataan terbaharu yang dikeluarkan oleh Proton ini, kilang baharu yang terletak di Taman Perindustrian Al Oula di Giza ini telah dibina dengan pelaburan sebanyak USD50 juta dan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 40,000 kenderaan sekiranya ia beroperasi dalam dua syif.

    Tambah kenyataan itu lagi, kewujudan kilang ini juga menandakan komitmen Mesir terhadap pembangunan industri dengan menggunakan kemudahan komponen sumber tempatan dan rancangan untuk pengembangan masa depan, termasuk pengeluaran EV, sejajar dengan Wawasan 2030 Mesir.

    “Hari ini, kami memperkenalkan produk pertama yang merupakan hasil daripada strategi yang disokong oleh dua rakan kongsi. Dengan permulaan pengeluaran besar-besaran pada Q1 2025, ini menandakan permulaan era baharu dalam pembuatan tempatan,” berkata Eng. Amr Abu Al-Saud, Ketua Pegawai Eksekutif Ezz Elarab Elsewedy Investment (ESI).

    En. Bassem Ashmawy, Pengurus Besar Proton Egypt, pula berkata, “Selama 20 tahun, kerjasama antara Proton dan Ezz Elarab Automotive telah berjaya menjual lebih 18,000 kenderaan di pasaran Mesir. Kejayaan ini telah membuktikan kecekapan dan kebolehpercayaan model Proton untuk menjadikannya pilihan utama pembeli. Kami kekal komited untuk memberikan tahap keselamatan, keselesaan dan teknologi moden yang tertinggi dalam kenderaan kami, dan kami tidak sabar untuk melihat Proton Saga baharu di jalan raya Mesir kerana ia meneruskan legasi kejayaan Proton di negara ini.”

     
     
  • Honda Malaysia akan lancar tiga lagi EV menjelang 2027, selepas e:N1 tahun ini – EV ‘0 Series’ bakal tiba?

    Honda Malaysia akan lancar tiga lagi EV menjelang 2027, selepas e:N1 tahun ini – EV ‘0 Series’ bakal tiba?

    Honda Malaysia (HM) mengumumkan, selepas e:N1 diperkenalkan untuk pasaran Malaysia, mereka akan melancarkan tiga lagi model elektrik (EV), menjelang tahun 2027. Bagi e:N1, ia akan menjadi satu daripada tiga model yang akan dilancarkan tahun ini, termasuk Civic facelift (baru dilancarkan) dan berkemungkinan, HR-V versi dipertingkat.

    Buat masa ini, HM tidak menyatakan nama tiga model EV tersebut, tetapi jika melihat kepada barisan EV Honda sedia ada ada sekarang, selain e:N1 (juga dipasarkan dengan nama e:NS1, e:NP1 dan e:Ny1) mereka juga menawarkan Prologue (Amerika Utara) dan N-Van e (Jepun). Satu lagi adalah ZDX, yang menggunakan jenama Acura di Amerika Utara.

    Jangkaan kami, tiga EV itu belum diperkenalkan pun lagi kepada dunia dan terdiri daripada barisan ‘0 Series’ yang pernah diumumkan Mei tahun lalu. Pada masa itu, Honda memberitahu, mereka akan mengeluarkan tujuh model ‘0 Series’ menjelang tahun 2030 secara global, dengan yang pertama pada tahun 2026.

    Honda Malaysia akan lancar tiga lagi EV menjelang 2027, selepas e:N1 tahun ini – EV ‘0 Series’ bakal tiba?

    Tujuh model EV ‘0 Series’ itu termasuk yang mempunyai bentuk sedan, SUV saiz sederhana, SUV permulaan, SUV besar tiga baris tempat duduk, SUV kompak dan satu lagi sedan yang kecil. Anda rasa mana satu yang akan masuk ke pasaran kita?

    HM juga tidak memberitahu sama ada EV baru mereka ini akan dipasang dalam negara (CKD), dan ini dianggap sebagai satu perkara penting kerana insentif untuk EV import penuh (CBU) akan berakhir tahun ini, dan belum ada berita tentang sambungannya. Bermula tahun 2026, hanya EV CKD sahaja yang akan menikmati pengecualian cukai, tetapi itu pun setakat ini cuma diketahui akan berlangsung sehingga 2027.

     
     
  • Honda akan ada tiga model baru untuk 2025; Civic facelift dah lancar, EV e:N1 sah, satu lagi HR-V facelift?

    Honda akan ada tiga model baru untuk 2025; Civic facelift dah lancar, EV e:N1 sah, satu lagi HR-V facelift?

    Ketika majlis bersama media petang ini, CEO dan pengarah urusan Honda Malaysia Hironobu Yoshimura mengumumkan bahawa syarikatnya akan mempunyai tiga model baharu dalam bilik pameran tahun ini.

    Salah satu model tersebut adalah Honda Civic facelift yang telah dilancarkan pada bulan lalu. Manakala model kedua adalah Honda e:N1, di mana model elektrik penuh pertama yang akan dijual oleh Honda di Malaysia itu telahpun dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2024 tahun lalu.

    Model ketiga masih belum diumumkan, namun berdasarkan beberapa faktor, sudah hampir pasti model berkenaan adalah SUV segmen-B Honda HR-V facelift.

    Model berkenaan telah didedahkan di Jepun pada Mac tahun lalu, dan ia sudahpun sampai ke pasaran Asia Tenggara apabila dilancarkan di Thailand pada September 2024. Di Malaysia, versi pre-facelift HR-V ini telahpun berada tiga tahun dalam pasaran, jadi ini merupakan masa yang tepat untuk melancarkan versi facelift di sini.

     
     
  • Denza D9 – 800 unit terjual selepas seminggu dilancar

    Denza D9 – 800 unit terjual selepas seminggu dilancar

    Selepas dilancarkan pada 20 Februari lalu, dalam masa seminggu, MPV elektrik Denza D9 telah terjual sebanyak 800 unit. Satu perkembangan yang cukup memberangsangkan.

    Bagi 800 pemilik pertamanya, akan mendapat wallbox 22 kW secara percuma, selain turut menerima penyelenggaran percuma selama enam tahun/120,000 km, bantal leher eksklusif Denza dan juga beg Denza.

    Untuk pasaran Malaysia, Denza D9 ditawarkan dengan dua varian iaitu Advanced yang merupakan versi pacuan roda-hadapan (FWD) dengan harga RM259,000 dan Premium yang dilengkapi sistem pacuan semua-roda (AWD) pula berharga RM309,000. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans.

    Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2022, MPV elektrik ini berukuran 5,250 mm panjang, 1,950 mm lebar dan 1,920 mm tinggi, dengan jarak roda cecah 3,110 mm, dan Denza D9 ini dikatakan mampu memberikan persaingan buat Toyota Alphard/Vellfire dan Zeekr 009. Anda boleh membaca perincian lanjut mengenai MPV EV ini menerusi artikel pelancarannnya.

    Denza D9 Advanced FWD

    Denza D9 Premium AWD

     
     
  • Leapmotor C10 raikan Hari Wanita Sedunia dengan pandu uji ringkas bersama kumpulan wartawan wanita

    Leapmotor C10 raikan Hari Wanita Sedunia dengan pandu uji ringkas bersama kumpulan wartawan wanita

    Hari Wanita Sedunia biasanya disambut pada 8 Mac saban tahun, walau bagaimana pun memandangkan tarikh berkenaan jatuh pada bulan Ramadan, jadi tak salah kalau hendak meraikannya lebih awal. Seperti mana yang dilakukan oleh Stellantis Malaysia yang mengajak sekumpulan wartawan wanita untuk memandu uji ringkas SUV elektrik Leapmotor C10 baru-baru ini.

    Stellantis Malaysia telah melancarkan Leapmotor C10 ke pasaran tempatan pada 16 Oktober tahun lalu. Hanya satu varian sahaja yang ditawarkan iaitu Design dengan harga jualannya RM159,000 — atas jalan belum termasuk insurans. Biar pun ia diletakkan di bawah kategori SUV segmen-D seperti mana Proton X90 dan Chery Tiggo Pro 8, namun dalam kalangan SUV EV, C10 ini menjadi pesaing kepada BYD Atto 3 dan juga Proton eMas 7.

    Hampir 20 wartawan wanita dari pelbagai penerbitan dan portal diundang untuk sesi istimewa ini. Dan buat pertama kali dalam sejarah kerjaya saya sebagai wartawan pemotoran hampir 14 tahun ini (12 tahun bersama paultan.org), saya menyertai sesi pandu uji dengan kesemuanya disertai wartawan wanita. Selalunya, sama ada hanya 2-3 orang saja wartawan wanita atau pun sering kali saya satu-satunya wanita tunggal dalam seisi pandu uji untuk media permotoran.

    Leapmotor C10 raikan Hari Wanita Sedunia dengan pandu uji ringkas bersama kumpulan wartawan wanita

    Sebelum memulakan sesi pandu uji dari Bukit Kiara, KL menuju ke Putrajaya, kami diberikan taklimat ringkas oleh Delinda Ye selaku Pengurus Jenama bagi Leapmotor mewakili Stellantis Malaysia. Seusai sesi taklimat, kami memulakan perjalanan menuju ke Putrajaya dengan pemanduan yang sungguh santai.

    Mengapa saya katakan ‘sungguh santai’? Ini kerana konvoi kami juga memandu dalam kelajuan sekitar kurang 90 km/j (atau sering dalam 60-70 km/j) walau pun memandu di Lebuhraya MEX. Memang kaki terasa hendak menekan pedal pendikit apatah lagi Leapmotor C10 ini dilengkapi dengan tetapan motor elektrik tunggal yang dijanakan bateri jenis lithium iron phosphate (LFP) 69.9 kWh. Ia mampu memberikan kuasa sekitar 218 PS (160 kW) dan 320 Nm. Ini membolehkan SUV berkenaan memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.5 saat untuk mencapai kelajuan maksimum hingga 170 km/j. Apatah lagi talaan bagi EV C10 ini dilakukan di fasiliti Maserati di Itali.

    Disebabkan kekangan waktu dan keadaan untuk melenjan serta menikmati pengendalian C10 ini, saya tidak dapat mengulasnya secara terperinci. Apa yang boleh saya katakan, C10 ini memberikan keselesaan yang cukup optimum apatah lagi ia dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit buatan Oeko-Tex Standard 100 yang kalis cecair, bebas toksik, mudah dibersihkan dan mesra bayi. Bukan setakat selesa, malah kabin C10 ini juga luas tau. Sesuai untuk kegunaan seisi keluarga.

    Leapmotor C10 raikan Hari Wanita Sedunia dengan pandu uji ringkas bersama kumpulan wartawan wanita

    Kalau anda bawak C10 untuk healing di tepi sungai atau laut ke, dah tak perlu nak pasang khemah, sebab anda boleh tidur di dalam kabin dengan selesa. Tempat duduknya boleh dibaringkan secara rata, dan kusyennya memang cukup empuk. Penyandar belakang juga boleh direbahkan menggunakan satu langkah sahaja, dan boleh menyediakan ruang seluas 1.8 meter x 1.2 meter.

    Untuk ruang kargo, C10 memiliki kapasiti seluas 435 liter dengan tempat duduk berada dalam keadaan normal. Jika tempat duduknya dengan nisbah 60:40 direbahkan, kapasitinya akan menjadi 1,410 liter. Ruang di bahagian hadapan kereta ini turut memberikan 32 liter kapasiti tambahan.

    EV C10 ini juga dilengkapi dengan Nap Mode, di mana jika anda memilih mod ini, enjin masih dihidupkan secara minimal dan pendingin hawa juga masih berfungsi. Anda tak perlu risau dengan keracunan karbon monoksida dalam kereta seperti mana yang sering berlaku dalam kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman. Dengan Nap Mode ini, anda juga boleh memasang audio yang disajikan muzik alam yang mendamaikan mengikut pilihan anda, dan anda juga boleh melaraskan ketatapan waktu untuk anda bangun dari tidur. Katanya ada alarm clock!

    Mengikut Leapmotor, C10 boleh memberikan jarak gerak hingga 420 km mengikut kitaran WLTP bagi satu pengecasan penuh. Ia boleh mencapai tahap SoC 30%-80% dalam masa 30 minit dengan pengecasan pantas DC yang berkadaran maksimum 84 kW. Bagi pengecasan biasa AC, kadar maksimum pengecasan adalah 6.6 kW dan memerlukan masa 6.1 jam untuk mencapai SoC yang sama. Fungsi V2L juga ada, dengan kapasiti 3.3 kW. Dan dengan adanya V2L ini, anda boleh mengecas atau menyalurkan kuasa elektrik kepada peranti atau perkakasan ringkas seperti TV, lampu, komputer, dan telefon bimbit. Jadi, kalau membawa C10 untuk berkhemah, anda tak perlu risau untuk mendapatkan bekalan elektrik jika diperlukan.

    Berkenaan dengan rekaan yang dipertaruhkan, gaya minimalis menjadi pilihan namun pada pandangan mata saya secara peribadi, saya menggemarinya biarpun sekadar ringkas. Imej luarannya masih kelihatan elegan dan bergaya serta penuh karekteristik. Tidak hairanlah ia menerima beberapa pengiktirafan termasuk French Design Award 2024 dan US MUSE Design Award 2024.

    Bahagian hadapannya diberikan Active Grille Shutter dengan lampu hadapan tirus yang menampak imej sofistikated. Untuk profil sisi, ia menampilkan pemegang pintu tersembunyi dan rim 20-inci yang dibaluti tayar Dunlop e.Sport Maxx bersaiz 245/45. Melewati bahagian belakangnya, ia juga diberikan jaluran pencahayaan yang diapit lampu LED pada kedua-dua belah sisi, dengan butang kecil untuk membuka pintu tailgate secara automatik. C10 ini juga diberikan bumbung panoramik kaca automatik dan kunci NFC untuk pengoperasian kenderaan.

    Bercakap mengenai kunci NFC ini, ia memang kelihatan canggih dan ‘n trend’, cuma secara peribadinya, saya kurang senang dengan penggunaannya. Anda perlu menyentuh kunci NFC tersebut pada pemegang pintu, dan apabila anda menarik pemegang pintu tersembunyi itu dan memasuki ruang kabin, enjin akan dihidupkan secara automatik tanpa perlu menekan butang penghidup enjin.

    Dan mengikut pengalaman saya tika itu, kunci NFC tersebut perlu diletakkan di atas alas pengecas Qi tanpa wayar untuk memastikan ia dikesan oleh sistem komputer pengoperasian enjin. Jika ia dialihkan dan anda memasukkan gear ‘P’, dan kemudian mahu menukar ke gear ‘D’ atau ‘R’, sistem pengoperasiannya tidak dapat mengesannya dan enjin seakan tidak berfungsi (tetapi pendingin hawa masih berfungsi). Dan tertera arahan pada skrin paparan di hadapan pemandu untuk memastikan kunci NFC tersebut perlu diletakkan kembali pada alas pengecas Qi tanpa wayar untuk mengoperasikan kenderaan.

    Untuk ciri di dalam kabin, selain tempat duduk yang cukup selesa, C10 ini juga hadir dengan rekaan yang serba ringkas dan tanpa ciri futuristik yang sarat. Ia dilengkapi stereng dua-jejari, sistem penapis udara RM2.5, tuil gear di belakang stereng, kawalan suhu dua-zon, empat slot USB (satu Type A, satu Type C; masing-masing di depan dan belakang) dan dua paparan digital, satu untuk panel instrumen bersaiz 10.25-inci dan sebuah lagi paparan di tengah bersaiz 14.6-inci.

    Perisian operasinya memanfaatkan cip Qualcomm Snapdragon 8155 yang didakwa memberikan prestasi yang lancar yang boleh sentiasa di dipertingkat melalui kemaskini over-the-air (OTA). Sistem infotainmen pula menampilkan sistem audio 840 watt dengan 12-pembesar suara yang dibangunkan sendiri, begitu juga dengan ciri tunjuk arah, Wi-Fi dan Bluetooth. Bagaimanapun, tiada sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto. Oh! sistem bunyi C10 memang best, anda boleh berkaraoke dengan penumpang. Cuma perlu terus fokus pada pemanduan, jangan sampai tersesat jalan atau pun membahayakan keselamatan diri, penumpang dan pengguna jalan raya yang lain.

    Bagi aspek keselamatan dan kelengkapan bantuan pemanduan, C10 dilengkapi dengan tujuh-beg udara, penderia parkir belakang dan kamera 360-darjah. Ia juga menampilkan ciri ADAS Tahap 2 dengan 12-penderia berketapatan tinggi dan menawarkan 17 fungsi berkaitan, termasuk kawalan melayar adaptif, bantuan kelajuan pintar, bantuan kesesakan lalu lintas, amaran perlanggaran depan, AEB, amaran penukaran lorong dan bantuan mengekalkan lorong.

    Untuk pasaran tempatan, C10 ini menawarkan empat pilihan warna iaitu Midnight Aurora, Pearly White, Tundra Grey dan Glazed Green (warna utama). Leapmotor C10 didatangkan dengan jaminan enam-tahun atau 150,000 km (yang mana dahulu) serta jaminan bateri selama lapan-tahun atau 160,000 km (yang mana dahulu). Tempoh selang servis bagi SUV ini adalah sebanyak satu tahun sekali, atau 20,000 km (yang mana dahulu).

     
     
  • BYD Malaysia tunjuk “kelainan” Atto 3 untuk 2025

    BYD Malaysia tunjuk “kelainan” Atto 3 untuk 2025

    BYD Cars Malaysia telah membuat satu hantaran teaser di Facebook, dengan ayat: “An electrifying new take is on the way for our best seller SUV. Stay tuned.” Itu mungkin merujuk kepada Atto 3 — tetapi gambar belakang yang ditunjuk ini bukan versi facelift, sebaliknya dari model semasa. Tambahan pula, gambar rasmi model facelift baru sahaja ditunjukkan minggu lalu. Adakah ini dimaksudkan untuk model terkini tersebut?

    Jadi, pembaharuan apa yang dimaksudkan ini? Ada kemungkinan Atto 3 Edisi Khas, atau yang didatangkan dengan kemaskini lagi? Ketika ini, varian tunggal Atto 3 Extended Range (pra-facelift) di Malaysia datang dengan harga RM149,800 dan janaan motor tunggal di depan dengan 204 PS/310 Nm, dan bateri 60.48 kWh Blade LFP yang memberikan jarak WLTP 420 km. Sebelum ini, pernah juga ditawarkan versi bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak WLTP 345 km.

     
     
  • Daihatsu mula operasi di kilang baru di Indonesia — KAP kini kilang terbesar Daihatsu di luar Jepun

    Daihatsu mula operasi di kilang baru di Indonesia — KAP kini kilang terbesar Daihatsu di luar Jepun

    PT Astra Daihatsu Motor (ADM), sebuah anak syarikat Daihatsu Motor di Indonesia, mengumumkan telah memulakan operasi skala penuh syarikat itu di Kilang Pemasangan Karawang 2 (KAP 2) yang terletak di Jawa Barat. Kilang tersebut, yang mula dibangunkan pada Februari 2023 dengan pelaburan 2.9 triliun rupiah, bertujuan untuk menampung operasi di Kilang Pemasangan Sunter 1 yang lama, yang telah beroperasi selama 27 tahun.

    KAP 2 terbaru ini juga melengkapi Kilang Pemasangan Karawang (KAP) pertama yang telah beroperasi sejak 2013, dengan keseluruhannya mencecah 2.3 juta kenderaan sudah diserahkan kepada pelanggan di Indonesia dan seluruh dunia. Kapasiti pengeluaran ini juga disokong oleh lebih daripada 1,700 pembekal, termasuk 700 MSME, serta kadar lokalisasi yang lebih 80% bagi semua kenderaan yang dikeluarkan.

    Daihatsu mula operasi di kilang baru di Indonesia — KAP kini kilang terbesar Daihatsu di luar Jepun

    Dengan operasi di kemudahan baru ini, kilang Karawang kini menjadi kilang terbesar Daihatsu Group yang berada di luar Jepun, dengan pengeluaran tahunan sebanyak 360,000 unit (KAP 2 menyumbang 140,000 unit). Model yang dikeluarkan dari sana (setakat Februari 2025) termasuk Daihatsu Ayla, Toyota Agya dan Toyota Wigo. Dengan kesemua enam kilang pengeluaran ADM, kapasiti keseluruhan pengeluaran ialah 530,000 unit setahun.

    Kilang KAP 2 mempunyai kemudahan kimpalan badan, mengecat dan pemasangan yang menggunakan proses model serta tenaga boleh diperbaharui — dengan adanya 5,100 panel solar di bahagian bumbung bangunan kilang, mengurangkan emisi CO2 sebanyak 30% setahun dengan janaan kuasa sebanyak 3,000 kW.

     
     
  • Jaecoo J7 PHEV dilancarkan di Malaysia – RM159k, 347 PS/525 Nm, 1,200 km satu tangki petrol, 88 km EV

    Jaecoo J7 PHEV dilancarkan di Malaysia – RM159k, 347 PS/525 Nm, 1,200 km satu tangki petrol, 88 km EV

    Selepas model petrol penuh Jaecoo J7 dilancarkan pada Julai tahun lalu, kini versi dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) bagi SUV segmen-C itu pula dilancarkan pada pasaran Malaysia hari ini. Sama seperti J7 biasa, Jaecoo J7 PHEV ini turut terus dilancarkan dalam versi pemasangan tempatan, namun ia hanya ditawarkan dalam satu varian iaitu pacuan roda hadapan (2WD), tanpa pilihan varian AWD.

    Ia dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM158,800. Jaecoo Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km untuk setiap pembelian J7 PHEV ini, dan ia merangkumi bantuan tepi jalan. Manakala untuk bateri hibrid, waranti yang diberikan adalah lapan tahun atau 160,000 km, di mana Jaecoo akan menukar bateri baharu sekiranya tahap kesihatan bateri berkenaan berada di bawah 70%.

    Malah untuk pembeli-pembeli terawal iaitu yang meletakkan tempahan sebelum 2 Mac 2025, Jaecoo J7 ini juga ditawarkan dengan waranti enjin dan juga bateri hibrid selama 10-tahun atau sejuta kilometer,

    Jaecoo J7 PHEV dilancarkan di Malaysia – RM159k, 347 PS/525 Nm, 1,200 km satu tangki petrol, 88 km EV

    Berbanding model petrol penuh yang dibekalkan dengan enjin 1.6 liter empat silinder turbo yang menghasilkan 197 PS dan tork maksima 290 Nm, model dengan bantuan elektrikfikasi ini menampilkan unit rangkaian kuasa yang digelar sebagai Super Hybrid System (SHS), menggandingkan enjin petrol 1.5 Turbo GDi kitaran Deep Miller yang menghasilkan kuasa 143 PS dan tork maksima 215 Nm, transmisi khusus hibrid (DHT) satu kelajuan, dan motor elektrik berkuasa 204 PS dan 310 Nm pada gandar roda hadapan.

    Secara keseluruhan unit rangkaian kuasa ini menghasilkan 347 PS dan tork maksima 525 Nm. Dengan kuasa tork gergasi, SUV seberat 1,795 kg ini boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat.

    Motor elektrik berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri Blade litium logam fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh BYD berkapasiti 18.3 kWj, dengan kemampuan menerima pengecas AC 6.6 kW (0-100% dalam masa 4 jam) dan juga pengecas pantas DC sehingga 40 kW (30%-80% dalam masa 20 minit).

    Jaecoo J7 PHEV dilancarkan di Malaysia – RM159k, 347 PS/525 Nm, 1,200 km satu tangki petrol, 88 km EV

    Ini membolehkan SUV ini bergerak dengan hanya kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 88 km dalam kitaran ujian WLTP, serta membekalkan kuasa untuk kegunaan lain menggunakan sistem V2L dengan menyediakan kapasiti sehingga 3.3 kW.

    SUV ini dibekalkan dengan tangki petrol berkapasiti 60 liter, manakala penggunaan bahan apinya pula boleh mencapai serendah 5.99 l/100 km. Jadi dengan bekalan satu tangki petrol penuh dan juga satu cas bateri penuh, Jaecoo mendakwa J7 PHEV ini mampu untuk bergerak sejauh 1,200 km dalam kitaran ujian WLTP.

    Sekali imbas, Jaecoo J7 dan J7 PHEV menampilkan rekaan luaran yang sama. Namun jika diperhatikan dengan betul, model PHEV ini dibezakan dengan rekaan cermin sisi berbeza, diberikan grafik dengan motif bendera perlumbaan pada pintu, set rim aloi 19-inci rekaan Aero, serta tidak menampilkan tip ekzos di bawah bampar belakang.

    Jaecoo J7 PHEV dilancarkan di Malaysia – RM159k, 347 PS/525 Nm, 1,200 km satu tangki petrol, 88 km EV

    Antara perincian standard yang diberikan untuk J7 PHEV pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan dan belakang LED penuh, lampu kabis hadapan dan belakang.

    J7 petrol dan J7 PHEV menampilkan dimensi yang sama iaitu 4,500 mm panjang, 1,865 mm lebar, 1,670 mm tinggi dengan jarak roda 2,672 mm. Namun kadar Kedalaman air yang mampu diredah pula adalah sedikit rendah iaitu hanya 450 mm, berbanding 600 mm pada model petrol penuh.

    Walaupun menempatkan bateri bersaiz besar di bawah lantai, J7 PHEV ini masih menampilkan ruang but dengan kapasiti agak besar iaitu 500 liter. Sekiranya anda mahukan ruang lebih besar untuk mengangkat barang, tempat duduk belakang boleh direbahkan bagi memberikan ruang keseluruhan 1,265 liter.

    Pada bahagian dalaman juga model petrol dan PHEV ini menampilkan rekaan yang hampir sama jika dilihat sekali imbas. Namun apa yang membezakan model PHEV ini adalah ia tidak mempunyai tombol gear dan juga suis putar untuk memilih mod pemanduan pada konsol tengah.

    Bahagian tersebut diganti dengan pemegang cawan yang disusun secara melintang bersama sebaris suis-suis fizikal untuk pemilihan mod EV dan HEV. Manakala untuk memilih gear, ia boleh dibuat menerusi tuil kecil yang diletak kolum stereng. Panel pintu model PHEV ini juga nampak lebih ringkas kerana tidak diberikan hendal pemegang, serta tidak diberikan suis-suis fizikal.

    Skrin utama untuk infotainmen masih kekal bersaiz 14.8-inci yang diletak secara menegak dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, manakala paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci pula menerima paparan berbeza bagi memberikan informasi berkenaan sistem hibrid SUV ini.

    Perincian dalaman lain yang turut disertakan pada model ini termasuk empat slot USB, pengecas telefon tanpa wayar Qi, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, kamera 360 darjah dengan fungsi telus cahaya, sistem penghawa dingin dua zon, serta ada juga perakam video digital (DVR).

    Ia juga datang dengan tempat duduk hadapan kawalan elektrik dengan fungsi memori, pemanas dan liang aliran udara, suis pelaras pada bahagian bahu tempat duduk penumpang hadapan, upholsteri kulit sintetik, bumbung kaca panaromik dan pintu tailgate belakang bantuan kuasa dengan fungsi bukaan tanpa sentuhan.

    Bagi aspek keselamatan, Jaecoo J7 PHEV pasaran Malaysia ini dilengkapi dengan lapan beg udara, sistem peninjau tekanan tayar dan juga brek parkir elektronik dengan Auto Hold. Ia turut diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) yang terdiri daripada 20 fungsi berbeza termasuk Adaptive Cruise Control, Integrated Cruise Assist, AEB, Intelligent Evasion System, Emergency Lane Keeping Assist dan Rear Cross Traffic Braking.

    Untuk permulaan Jaecoo J7 PHEV yang dihasilkan di kilang Chery Malaysia di Shah Alam ini ditawarkan dalam tiga warna iaitu Carbon Crystal Black (Hitam Kristal Karbon), Moonlight Silver (Perak Cahaya Bulan) dan juga warna istimewa yang hanya akan ditawarkan sebanyak 100 unit di Malaysia iaitu Khaki White (Putih Khaki). Selepas itu SUV ini turut akan ditawarkan warna Olive Grey (Kelabu Zaitun).

    GALERI: Gambar rasmi Jaecoo J7 PHEV pasaran Malaysia

     
     
  • JPJ eBid: Siri SJK dan QRV bakal dibuka bidaan

    Bagi yang memerlukan untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah dan Sarawak ini akan dibuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Sabah, SJK bakal dibuka bidaan bermula esok, 1 Mac. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 5 Mac. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 6 Mac 2025. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QRV, bakal dibuka bidaan mulai 3 Mac. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 7 Mac, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 8 Mac 2025.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025