Search in Bahasa Malaysia:

Honda HR-V Facelift 2025 - Apa yang baru selepas tiga tahun?



Artikel Terkini

  • RM318 juta diguna bagi selenggara jalan di Sabah, RM1.909 bilion di Semenanjung tahun lalu – menteri

    RM318 juta diguna bagi selenggara jalan di Sabah, RM1.909 bilion di Semenanjung tahun lalu – menteri

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mendedahkan bahawa sejumlah RM1.909 bilion telah digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di 11 negeri di Semenanjung Malaysia sepanjang tahun lalu, lapor The Star.

    Perbelanjaan tersebut adalah termasuk kos penyelenggaraan rutin, penyelenggaraan turapan berkala dan bukan turapan, penyelenggaraan jambatan, penyelenggaraan lampu jalan dan lampu isyarat serta peruntukan penyelenggaraan kecil bagi setiap jurutera daerah meliputi jalan raya sepanjang 13,596.85 km.

    Nanta menjawab soalan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Jeffrey Kitingan di Dewan Rakyat mengenai jumlah yang diperuntukkan untuk penyelenggaraan jalan di Semenanjung Malaysia dan Sabah. Beliau turut mendedahkan bahawa RM317.973 juta dibelanjakan di Sabah, dengan jumlah itu digunakan untuk menampung aspek penyelenggaraan yang sama seperti di Semenanjung Malaysia.

    Beliau juga menyatakan bahawa 79.45% daripada peruntukan tahun lepas adalah untuk jalan Semenanjung Malaysia, dengan purata 7.22% bagi setiap negeri. Baki peruntukan dibahagikan antara Sabah (13.23%), Sarawak (6.378%) dan Labuan (0.95%).

    “Bagi menangani dan mengurangkan tunggakan penyelenggaraan, kementerian sentiasa berusaha mendapatkan peruntukan tambahan daripada kementerian kewangan bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya di Sabah,” kata Nanta.

     
     
  • Jualan xEV pada 2024 di Malaysia naik 30.4% — Zafrul

    Jualan xEV pada 2024 di Malaysia naik 30.4% — Zafrul

    Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan, jualan kenderaan elektrik (xEV) di Malaysia catat pertambahan 30.4% lebih banyak di Malaysia pada 2024 berbanding 2023, lapor The Star.

    Katanya, sejumlah 46,239 unit EV terjual — terdiri daripada hibrid, plug-in hibrid (PHEV) dan kenderaan bateri-elektrik (EV) — dan menyumbang sehingga 5% daripada pendaftaran keseluruhan kenderaan penumpang tahun lalu.

    “Berdasarkan corak pada tahun 2023-2024, kerajaan menjangkakan jumlah xEV keseluruhan yang akan berada di atas jalan raya adalah sekitar 400,000 (penumpang dan perdagangan) menjelang 2030,” ujarnya semalam dalam satu jawapan bertulis di parlimen kepada pertanyaa daripada ahli parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkaitan perancangan mempromosi EV.

    Jualan xEV pada 2024 di Malaysia naik 30.4% — Zafrul

    Malaysia menyasarkan kenderaan xEV penumpang dan perdagangan akan menyumbang sebanyak 20% daripada jualan tahunan pada 2030, 50% menjelang 2040 dan 80% menjelang 2050, jelas Zafrul.

    Dalam satu jawapan lain kepada ahli parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse, beliau menyatakan sebanyak 119,000 xEV telah didaftarkan di Malaysia setakat 31 Disember 2024, dan ketika ini terdapat 3,611 unit pengecas EV awam tersedia di negara ini, termasuk 1,095 unit DC dan 2,516 AC (meningkat daripada 956 DC + 3,398 AC = 3,354 pengecas pada November 2024).

    “Kerajaan juga mengekalkan sasaran untuk menyediakan 10,000 kemudahan pengecasan EV menjelang 2025, merangkumi 8,500 pengecas AC dan 1,500 DC,” ujar Zafrul, dengan menambah bahawa EV CBU ketika ini bebas daripada cukai import dan duti eksais hingga penghujung 2025, dan hingga akhir 2027 bagi model EV CKD. Permulaan subsidi bersasar bagi RON 95 pertengahan tahun ini juga dijangka akan meningkatkan, tambahnya.

     
     
  • Gracshaw lancar helmet keluaran terhad Demon Slayer – empat rekaan, hanya 3,000 unit, saiz M-XXXL, RM490

    Gracshaw lancar helmet keluaran terhad Demon Slayer – empat rekaan, hanya 3,000 unit, saiz M-XXXL, RM490

    Pengeluar helmet tempatan, Gracshaw melancarkan siri baru kerjasama dengan anime terkenal Demon Slayer: Kimetsu no Yaiba, yang ditawarkan dalam empat rekaan dan dijual pada harga RM490 sebuah. Untuk keseluruhan empat rekaan ini, hanya 3,000 unit dibuat untuk jualan.

    Setiap satu rekaan helmet edisi terhad ini membawa konsep yang bersesuaian dengan karekter dalam anime tersebut, bermula dengan Tanjiro yang menggunakan warna hijau, Nezuko berwarna merah jambu, Kyojuro berwarna merah putih dan Tengen berwarna biru gelap.

    Menggunakan model Gennex sebagai asas, helmet terbaru daripada Gracshaw ini menampilkan ciri seperti lubang udara di bahagian hadapan dan atas, cangkuk tali jenis D-ring, spoiler belakang serta dua lapisan visor. Dalam keadaan standard, ia datang dengan visor lutsinar.

    Helmet yang mendapat pengiktirafan keselamatan daripada SIRIM ini ditawarkan dalam saiz bermula dari M ke XXXL, dan setiap pembelian akan diberikan dengan beg helmet kain khas, set pelekat dan manual pengguna, yang semuanya menggunakan konsep Demon Slayer.

     
     
  • Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT dilancarkan di Malaysia – RM92k, RM8k lebih murah berbanding Single Cab

    Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT dilancarkan di Malaysia – RM92k, RM8k lebih murah berbanding Single Cab

    Selepas tempahannya dibuka Januari lalu, Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Low Ride sekarang secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Disasarkan untuk pemilik perniagaan, model Low Ride ini disediakan sebagai alternatif kepada Single Cab yang sudah dijual sejak D-Max facelift dilancarkan pada Mei 2024.

    Melalui model Low Ride ini, anda akan mendapat enjin turbodiesel RZ4E-TC 1.9 liter empat-silinder berkuasa 150 PS dan tork 350 Nm, dipadankan bersama kotak gear enam-kelajuan manual bagi menghantar kuasa sepenuhnya kepada gandar belakang. Model Single Cab juga menggunakan enjin dan transmisi yang sama, tetapi ditambah dengan sistem pacuan empat roda Terrain Command serta pengunci differential belakang.

    Selain enjin, model Low Ride ini juga berbeza dengan Single Cab pada dimensi, terutamanya di bahagian belakang. Disebabkan itu, jenis serta saiz barang yang kerap dibawa boleh mempengaruhi pembelian model ini. Menurut Isuzu Malaysia, ruang barangan belakang Low Ride terletak hanya 78 sentimeter dari tanah, memudahkan pengguna memasuk atau menurunkan barang, dan 5% lebih rendah berbanding model biasa.

    Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT dilancarkan di Malaysia – RM92k, RM8k lebih murah berbanding Single Cab

    Ukuran bahagian lain adalah seperti berikut:

    Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Low Ride

    • Panjang: 5,285 mm
    • Lebar: 1,810 mm
    • Tinggi: 1,695 mm
    • Jarak roda: 3,125 mm
    • Panjang ruang barang belakang: 1,495 mm
    • Lebar ruang barang belakang: 1,530 mm
    • Tinggi ruang barang belakang: 490 mm
    • Jarak kelegaan dari tanah: 195 mm

    Isuzu D-Max 1.9L Single Cab

    • Panjang: 5,330 mm
    • Lebar: 1,810 mm
    • Tinggi: 1,770 mm
    • Jarak roda: 3,125 mm
    • Panjang ruang barang belakang: 2,345 mm
    • Lebar ruang barang belakang: 1,590 mm
    • Tinggi ruang barang belakang: 465 mm
    • Jarak kelegaan dari tanah: 220 mm

    Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT dilancarkan di Malaysia – RM92k, RM8k lebih murah berbanding Single Cab

    Berkenaan harga, Low Ride dijual pada RM92,199 tidak termasuk insurans di Semenanjung Malaysia, RM94,279.60 di Sabah dan RM94,170.30 di Sarawak. Single Cab pula adalah lebih mahal dengan harga permulaan RM100,949.20 di Semenanjung Malaysia dan meningkat lagi apabila dipilih dengan enjin yang lebih besar – harga di Sabah dan Sarawak juga berbeza.

    Kedua-dua Low Ride dan Single Cab cuma boleh didapati dalam warna Splash White, tetapi varian paling murah ini menggunakan bampar berwarna hitam (tidak dicat). Low Ride juga datang dengan rim aloi 16 inci dibalut tayar 215/70 berbanding Single Cab yang menggunakan rim besi.

    Senarai kelengkapan lain pada Low Ride adalah sama seperti Single Cab, termasuk lampu utama halogen, lampu belakang, lampu kabus dan DRL yang menggunakan mentol, skrin LCD monochrome 3.5 inci, roda stereng urethane, pemain audio single-DIN dengan fungsi Bluetooth, dua pembesar suara, pendingin hawa manual serta tempat duduk balutan fabrik.

    Dua beg udara diberikan secara standard pada model ini, bersama ABS, EBD, Brake Assist, ESC, Traction Control, Hill Start Assist, Hill Descent Control, dua pengesan undur, sistem pembatalan brek dan lampu berhenti kecemasan. Turut disediakan adalah cagak ISOFIX untuk tempat duduk belakang, tetapi tiada corong udara untuk penumpang di belakang.

    Jaminan yang diberikan untuk kedua model Low Ride dan Single Cab adalah lima tahun atau 150,000 km, dan setiap pembelian datang dengan sokongan bantuan tepi jalan.

    GALERI: Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Low Ride

    GALERI: Senarai harga dan risalah jualan Isuzu D-Max 1.9L 4×2 MT Low Ride

     
     
  • Honda hentikan tempahan Civic Type R di Jepun kerana tempahan terlalu banyak; scalper antara punca

    Honda hentikan tempahan Civic Type R di Jepun kerana tempahan terlalu banyak; <em>scalper</em> antara punca

    Laman web rasmi Honda Jepun hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Civic Type R FL5 di pasaran tersebut terpaksa dihentikan kerana permintaan yang terlalu tinggi, melebihi dari jangkaan asal. Pemberhentian pengambilan tempahan tersebut bukan hanya untuk model FL5 biasa, malah turut melibatkan model Racing Black Package yang baru didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025 bulan lalu.

    “Terima kasih kerana berminat dengan kenderaan kami. Civic Type R telah diterima dengan baik oleh pelanggan sejak ia diperkenalkan, kami telah menerima banyak tempahan. Namun bagi memastikan penghantaran Civic Type R kepada pelanggan yang telah menempahnya dapat dibuat, buat masa sekarang kami menghentikan dahulu pengambilan tempahan.

    “Kami minta maaf kerana ketidakselesaan kepada pelanggan kami yang berminat. Kami benar-benar minta maaf. Terima kasih kerana memahami,” tulis pengumuman tersebut.

    Menurut laporan Kuruma News, ini bukan kali pertama Honda menghentikan sementara pengambilan tempahan bagi Civic Type R. Ia turut terjadi pada Januari tahun lalu, di mana tempahan mula dibuka kembali apabila masa menunggu pelanggan sedia ada semakin kurang.

    Honda hentikan tempahan Civic Type R di Jepun kerana tempahan terlalu banyak; <em>scalper</em> antara punca

    Portal itu juga menyebut bahawa turut ada pihak yang mengambil kesempatan kerana permintaan yang tinggi ini kerana terdapat banyak Civic Type R yang masih belum digunakan dijual pada pasaran kereta terpakai dengan harga 1 juta yen (RM39k) lebih mahal dari kereta baharu yang dijual di bilik pameran.

    Di Jepun Honda Civic Type R FL5 ini dijual pada harga 4,997,300 yen (sekitar RM148k). Ia dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo yang menghasilkan kuasa 330 PS dengan tork 420 Nm, dan digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, tanpa pilihan kotak gear automatik.

    Manakala bagi model Racing Black Package, ia dijual pada harga 5,998,300 yen (sekitar RM172k) dan menampilkan bahagian kabin yang dimonopoli oleh kemasan hitam, berbanding merah pada model biasa.

    GALERI: Honda Civic Type R Racing Black Package 2025 di Tokyo Auto Salon 2025

     
     
  • JPJ tunjuk cara mudah untuk buat aduan kesalahan lalu lintas menerusi penggunaan aplikasi MyJPJ

    JPJ tunjuk cara mudah untuk buat aduan kesalahan lalu lintas menerusi penggunaan aplikasi MyJPJ

    Dalam pemanduan seharian, kadang-kala kita berhadapan dengan pengguna-pengguna jalan raya yang tidak bertanggungjawab membuat kesalahan – selain dari menyusahkan kita sendiri, mereka juga berpotensi untuk membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

    Dengan semakin ramai yang menggunakan kemera pemuka (dashcam), banyak rakaman kesalahan-kesalahan tersebut dapat direkodkan. Dan tahukah anda aduan dengan menggunakan bukti-bukti tersebut boleh anda buat dengan mudah secara atas talian hanya menggunakan aplikasi MyJPJ?

    Bagi mengingatkan semula kepada orang ramai terhadap saluran alternatif yang boleh mereka gunakan ini, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memuatnaik satu infografik pada hantaran laman sosial Facebook rasminya tentang bagaimana anda boleh membuat laporan kesalahan menggunakan aplikasi MyJPJ tersebut.

    Aduan berkenaan boleh dibuat dengan cara berikut:

  • – Klik pada e-Aduan @ JPJ Link pada aplikasi berkenaan
  • – Pilih “Jenis Kesalahan Lalu Lintas”
  • – Isikan “Maklumat Kesalahan Lalu Lintas” (ini termasuk bukti video yang berjaya anda rakam)
  • – Klik “Hantar”
  • – Klik “Ya” untuk pengesahan
  • – Akhir sekali paparan pada skrin akan memberitahu “Aduan Telah Berjaya Dihantar” untuk mengesahkan aduan telah lengkap dibuat.
  • JPJ tunjuk cara mudah untuk buat aduan kesalahan lalu lintas menerusi penggunaan aplikasi MyJPJ

    Ada pelbagai jenis kesalahan yang boleh anda adu menerusi aplkasi ini, antaranya termasuk:

  • – Gagal Mematuhi Lampu Isyarat Merah
  • – Memandu di Lorong Kecemasan
  • – Memotong dan Menghalang dari Memotong
  • – Memotong Sebelah Kiri
  • – Memotong di Garisan Berkembar
  • – Menggunakan Telefon Bimbit Semasa Memandu
  • – Nombor Plat Beragam (Fancy)
  • – Cermin Gelap
  • – Tidak Memakai Tali Pinggang Keledar / Topi Keledar
  • Jika anda ada sebarang pertanyaan berkenaan aplikasi MyJPJ ini, anda boleh hubungi JPJ di talian 03-27242522. Aplikasi MyJPJ ini boleh dimuat turun menerusi Google Play, Apple App Store atau Huawei AppGallery.

     
     
  • Toyota tunjuk bayangan SUV EV terbaru, lancar 12 Mac — versi produksi bagi bZ Compact SUV Concept

    Toyota tunjuk bayangan SUV EV terbaru, lancar 12 Mac — versi produksi bagi bZ Compact SUV Concept

    Toyota mula menunjukkan bayangan bagi sebuah SUV elektrik terbaru keluarannya untuk pasaran Eropah, yang dijangka bakal diperkenalkan pada 12 Mac ini. Syarikat itu belum mengumumkan sama ada pasaran lain akan turut menerima EV terbaru ini atau sebaliknya.

    Pengeluar kenderaan Jepun itu juga belum mendedahkan perincian penuh setakat ini. Kenyataan medianya hanya menyatakan yang SUV EV terbaru ini “menampilkan penggayaan coupe dengan ruang dalaman yang luas dan selesa dan akan memperkaya dinamik dan kepelbagaian pemanduan.”

    Namun, ada satu gambar dan video yang memberi bayangan dan kelibat model terbaru ini yang disediakan. Ia kelihatan seperti rekaan mirip bZ Compact SUV Concept yang ditunjuk pada 2022. Bahagian belakangnya memperlihatkan rekaan ala fastback, bahagian depan dengan rekaan “hammerhead”, garis bumbung yang tirus dan rendah serta garis tingkap yang tajam di tiang C; semua ini adalah sentuhan rekaan bagi model konsep terbabit.

    Berbanding bZ4X, model konsep berkenaan adalah lebih kecil, dengan ukuran 4,536 mm panjang (vs 4,690 mm), 1,887 mm lebar (vs 1,860 mm), 1,560 mm tinggi (vs 1,650 mm) dan dengan jarak roda 2,743 mm (vs 2,850 mm).

    Disebabkan saiznya yang lebih kecil, versi produksi bagi model konsep berkenaan dikhabarkan akan dipanggil bZ3X. Bagaimanapun, dalam beberapa laporan terbaru, Toyota dikatakan akan menggugurkan nama “bZ” untuk model EV akan datang.

     
     
  • Kerajaan sedang kaji keberkesanan pelaksanaan caj kesesakan lalu lintas di ibu negara – Menteri JPM

    Kerajaan sedang kaji keberkesanan pelaksanaan caj kesesakan lalu lintas di ibu negara – Menteri JPM

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengesahkan bahawa Kerajaan sedang mengkaji keberkesanan caj kesesakan dalam mengurangkan masalah lalu lintas di ibu negara.

    Menurut beliau, kajian itu antara lain bagi menilai keberkesanan mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya dan meningkatkan sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur, laporan Berita Harian.

    Ini kerana, katanya, hasil kajian dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad pada 2020, menunjukkan kerugian atas kesesakan jalan raya mencecah sehingga RM20 bilion pada ketika itu. Kajian caj kesesakan itu dilaksanakan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) serta Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).

    “Kajian ini membabitkan pelbagai aspek, termasuk kesan ekonomi kepada pengguna dan impak kepada pengangkutan awam dengan ia akan dibentangkan ke Jawatankuasa Kabinet Kesesakan Jalan Raya untuk pertimbangan lanjut sebelum keputusan akhir dibuat.

    Kerajaan sedang kaji keberkesanan pelaksanaan caj kesesakan lalu lintas di ibu negara – Menteri JPM

    “Bagaimanapun, dalam menangani isu kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur, penyediaan kepada ekosistem lengkap harus disediakan bagi menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam,” katanya ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

    Ini bukan isu baharu yang dibangkitkan. Pada tahun 2016, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pernah mengutarakan perkara yang sama. Ketika itu, DBKL dikatakan mempertimbang untuk melaksanakan sistem caj kesesakan di pusat bandaraya selepas perkhidmatan mass rapid transit (MRT) Line 1 mula beroperasi.

    Pada Oktober 2023 pula, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad meminta agar kerajaan mempertimbangkan untuk mengenakan caj kesesakan bagi kenderaan yang masuk ke Kuala Lumpur sebaik sahaja pembangunan infrastruktur pengangkutan awam telah mencapai tahap tertentu.

    Kata beliau, langkah berkenaan perlu diambil bagi memastikan tahap kemampanan yang lebih baik untuk bandaraya tersebut. Beliau turut menambah walaupun perbincangan untuk mengenakan caj itu telah dibuat selepas Laluan Lingkaran MRT3 siap sepenuhnya, perkara ini tidak boleh dibiarkan dan dilupakan begitu sahaja.

     
     
  • Mercedes-AMG C63 akan guna semula enjin V8 kerana versi 4-silinder turbo PHEV kurang dapat sambutan

    Mercedes-AMG C63 akan guna semula enjin V8 kerana versi 4-silinder turbo PHEV kurang dapat sambutan

    Sebelum ini CEO Mercedes-AMG Michael Schiebe mengakui syarikatnya telah kehilangan pelanggan setia apabila model generasi terkini Mercedes-AMG C63 beralih menggunakan enjin empat-siinder sebaris dengan penegcas turbo bersama sistem hybrid plug-in (PHEV), berbanding enjin V8 turbo berkembar pada model sebelumnya.

    Namun menerusi laporan Autocar, Mercedes nampaknya akan kembali menggunakan enjin V8 untuk model kemaskini C63 yang bakal diperkenalkan kelak. Perkara ini diberitahu kepada portal berkenaan oleh sumber dalaman Mercedes sendiri yang menyatakan bahawa enjin V8 tersebut akan mula digunakan pada versi coupe C63 iaitu CLE63 terlebih dahulu, kemudian akan diletakkan pada model C63 versi kemaskini pada 2026.

    Perincian enjin V8 yang akan digunakan tersebut masih belum diketahui. Namun menerusi khabar angin yang bertiup, ia akan berasaskan dari enjin V8 sebelum ini, tetapi rekaan aci engkol jenis cross-plane asal akan diganti dengan aci engkol jenis flat-plane.

    Dengan penggunaan aci engkol tersebut, Autocar menyatakan ia akan memberikan respon pendikit yang lebih baik, tetapi akan mengorbankan bunyi ‘membobok’ seperti enjin-enjin V8 tradisi Mercedes-AMG sebelum ini. Walau bagaimanapun, laporan ini menyebut bahawa AMG akan menggunakan kaedah lain untuk menghasilkan bunyi berkenaan secara buatan.

    Mercedes-AMG C63 akan guna semula enjin V8 kerana versi 4-silinder turbo PHEV kurang dapat sambutan

    Ini bukan kali pertama Mercedes-AMG menggunakan konfigurasi sedemikian kerana sebelum ini ia pernah digunakan pada enjin M178 LS2 yang disumbat pada model AMG GT Black Series pada 2021. Dengan rekaan ini juga membolehkan enjin tersebut menggunakan crankcase yang lebih kompak bagi disesuaikan pada casis C-Class generasi kelima yang pada awalnya direka tanpa pilihan enjin V8.

    Dengan penggunaan aci engkol flat-plane itu juga membolehkan enjin tersebut ditala untuk mencapai putaran enjin (rpm) yang lebih tinggi. Enjin V8 berkenaan juga dijangka akan menerima sistem hibrid ringkas yang menampilkan unit motor stater-generator yag dibina dalam bersama kotak gear bagi memberikan kuasa tambahan dan penggunaan bahan api lebih baik.

    Buat masa sekarang, unit rangkaian kuasa PHEV pada C63 sedia ada menjana sejumlah 680 hp dan tork maksima 1,020 Nm. Walaupun angka itu lebih besar berbanding enjin V8 pada model generasi sebelumnya yang menjana 503 hp/700 Nm, model berkenaan tidak mendapat sambutan kerana enjin 2.0 liter empat silinder sebaris dengan bantuan motor elektrik pada gandar belakang berkenaan tidak menyajikan karekter sebenar sebuah C63.

     
     
  • Mercedes-Maybach EQS 680 SUV diperkenal di M’sia — 658 PS/950 Nm, hingga 680 km; dari RM1.1 juta

    Mercedes-Maybach EQS 680 SUV diperkenal di M’sia — 658 PS/950 Nm, hingga 680 km; dari RM1.1 juta

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkenalkan secara rasmi model mewah Mercedes-Maybach EQS 680 SUV untuk pasaran tempatan dengan harga bermula RM1,088,888 atas jalan, belum termasuk insurans (Semenanjung Malaysia) dan termasuk 10% cukai jualan.

    Ini merupakan model EV pertama untuk penawaran mewah Maybach, dan ia dilengkapi dengan dua motor yang menjana sebanyak 658 PS dan 950 Nm tork serta sistem elektrik 396-volt. Mampu menampung kapasiti pengecasan 22 kW AC yang memerlukan enam jam 15 minit untuk penuh, dengan kapasiti pengecasan maksimumnya ialah 200 kW DC yang mengecas dari keadaan 10%-80% SoC hanya dalam 31 minit.

    Kapasiti bateri 118 kWh yang melengkapinya mampu memberikan jarak perjalanan WLTP sejauh 560 km hingga 680 km, dengan kadar penggunaan tenaga sebanyak 23.7 dan 21.7 kWh/100 km. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 4.4 saat dan laju maksimum pula 210 km/j.

    Mercedes-Maybach EQS 680 SUV diperkenal di M’sia — 658 PS/950 Nm, hingga 680 km; dari RM1.1 juta

    SUV ini mempunyai ukuran dimensi seperti berikut: 5,125 mm panjang, 2,034 mm lebar dan 1,721 mm tinggi, dengan jarak roda 3,210 mm. Sebagai perbandingan, model sama versi enjin biasa, Mercedes-Maybach GLS 600 4Matic mempunyai ukuran 5,207 mm panjang, 1,956 mm lebar dan 1,850 mm tinggi dengan 3,135 mm.

    Model Maybach ini dibezakan antara melalui wajah depannya yang tersendiri: gril gelap tertutup dengan jalur krom menegak serta jalur Digital Lights kelebaran penuh. Setiap pintu juga ada memancarkan logo Maybach ke arah lantai. Dari sisi pula boleh dilihat skim warna dua-tona dengan pinstripe buatan tangan — seperti yang lazim untuk model Maybach.

    Tiang A juga ada lencana EQS, sementara di tiang D ada lencana Maybach. Rimnya menggunakan saiz 21-inci. Di belakang, lampunya hadir dalam kelebaran penuh juga, dengan adanya kemasan krom di bahagian apron dan spoiler bawah.

    Mercedes-Maybach EQS 680 SUV diperkenal di M’sia — 658 PS/950 Nm, hingga 680 km; dari RM1.1 juta

    Maybach EQS menggunakan sistem suspensi udara Airmatic dengan larasan penyerap hentak berterusan sebagai ciri standard, dan boleh dinaikkan setinggi 25 mm untuk memberikan jarak kelegaan tanah yang lebih banyak. Stereng gandar belakang pula membolehkan roda belakang di pusing sehingga 10 darjah, mengurangkan radius pusingannya hampir dua meter.

    Mod Maybach merupakan mode pemanduan standard, yang memastikan pergerakan badan penumpang belakang berada pada tahap minimum — bagi memberikan lebih keselesaan kepada penumpang.

    Di dalam, MBUX Hyperscreen mempunyai animasi khusus Maybach ketika dihidupkan dalam ketiga-tiga paparannya. Pemandu boleh mengawal 80% daripada interaksi biasa yang diperlukan tanpa meninggalkan laman utama.

    Mercedes-Maybach EQS 680 SUV diperkenal di M’sia — 658 PS/950 Nm, hingga 680 km; dari RM1.1 juta

    Setiap penumpang belakang pula disediakan dengan paparan 11.6-inci di bahagian perehat kepala kerusi depan. Ciri MBUX High-End Rear Seat Entertainment yang ada turut membolehkan penumpang mengubah destinasi tunjuk arah dari tempat duduk belakang.

    Kelengkapan standard lainnya termasuklah tablet MBUX yang boleh digunakan di luar kenderaan, serta kamera yang boleh membantu sistem untuk mengenal pasti gerakan tangan dan badan bagi mengaktikan fungsi terpilih, seperti menyalakan lampu bacaan.

    Kemasan balutannya menggunakan kulit Nappa Maybach Exclusive dalam warna Espresso Brown dan Balao Brown Pearl (pilihan lain: Macchiato Beige dan Bronze Brown Pearl, atau kulit Nappa Manufaktur Exclusive dalam Crystal White dan Silver Grey Pearl). Ini dipadankan dengan kemasan kayu walnut liang terbuka Manufaktor Brown dan konsol tengah dengan kemasan yang sama.

    Kerusi belakang datang dengan liang pengudaraan dan fungsi urutan berserta pemadan leher dah bahu, dan juga urutan betis. Dengan Chauffeur Package, kerusi depan akan dikedepankan lagi ketika penumpang belakang merebahkan kerusi mereka.

    Terdapat empat slot USB-C untuk pengecasan pantas, dua antaramuka HDMI dan dua meja lipat. Jika mahu, konsol tengah boleh disertakan dengan peti sejuk. Lampu ambient dalam Mercedes-Maybach EQS SUV ini ada di segenap ruang kabin, dengan pilihan penataan cahaya untuk kegunaan kerja atau berehat disediakan.

    Ia juga dilengkapi dengan sisten pendingin dengan penapis HEPA yang boleh diaktifkan sebelum penumpang masuk, dan sekiranya kualiti udara di luar rendah, sistem akan meminta pengguna untuk menutup tinkap. SUV ini juga datang dengan pewangi bagi Air Balance Package — No. 12 Mood Ebony.

    Sistem audio pula melibatkan 15-pembesar suara 4D Burmester. Bunyi pemanduan khusus untuk Maybach juga telah direka untuk SUV ini, dikenali sebagai Aerial Grace. Ia akan memberi reaksi berbeza kepada parameter berlainan termasuk berdasarkan posisi pedal kelajuan dan janaan semula tenaga.

    Pilihan dua-tona warna luaran yang ditawarkan pula adalah termasuk Silver/Obsidian Black, Silver/Nautical Blue, Obsidian Black/Selenite Grey, Obsidian Black/Kalahari Gold dan Velvet Brown/Onyx Black.

    SUV elektrik mewah ini turut ditawarkan dalam Night Series: melibatkan kelainan dan kemasan yang lebih gelap. Elemen perincian krom hitam digunakan, dengan lancana Maybach dalam warna rose gold. Pinstripe-nya juga dalam warna lebih gelap serta gril krom yang lebih gelap — menambah penampilan elegan. Selain itu, rim 21-inci yang digunakannya juga berbeza. Pakej ini ditawarkan sempena pemilihan warna luaran gelap obsidian black, Manufaktur diamond white cerah dan obsidian black/mojave silver eksklusif.

     
     
  • Tesla V4 Supercharger kini di The Gardens Mall – empat pengecas DC EV, satu Destination Charger

    Tesla V4 Supercharger kini di The Gardens Mall – empat pengecas DC EV, satu Destination Charger

    Tesla Malaysia memperkembangkan lagi rangkaian Supercharger mereka dengan penambahan stesen V4 Supercharger di The Gardens Mall, yang kini sudah pun beroperasi. Ia terdiri daripada empat V4 Supercharger dan satu Destination Charging Point.

    Sama seperti Supercharger Tesla yang lain, unit baru ini mampu memberikan kadar cas maksimum DC 250 kW, dengan harga RM1.13 setiap kWh dan cas melahu RM4 setiap minit. Supercharger baru ini dapat memberi kemudahan kepada pengguna yang tinggal di bangunan tinggi serta pusat komersial dan jualan berhampiran The Gardens/Mid Valley.

    Sekarang ini sudah ada 14 stesen Supercharging Tesla di Malaysia, terdiri daripada 64 Supercharger dan 15 Destination Charger dengan 70 pengecas. Buat masa ini rangkaian Supercharger Tesla di Malaysia hanya boleh digunakan oleh kenderaan Tesla, dan ia terpampang di setiap petak letak kereta pengecas mereka.

    Tesla V4 Supercharger kini di The Gardens Mall – empat pengecas DC EV, satu Destination Charger

    Semasa pengecualian AP Tesla diluluskan pada tahun 2023 di bawah program BEV Global Leaders pada tahun 2023 lalu, antara syaratnya adalah sekurang-kurangnya 30% pengecas pantas DC mereka dibuka untuk kegunaan awam dan EV jenama lain bermula tahun 2025.

    Supercharger Tesla kebanyakannya berada di kawasan bandar dan di dalam lebuh raya cuma ada satu, iaitu di R&R Skudai, Johor. Jika pengguna Tesla menggunakan lebuh raya dan perlu mengecas, mereka perlu keluar dan pergi ke bandar berdekatan.

     
     
  • BMW M4 CS Edition VR46 dikeluarkan sempena tahun kelahiran Valentino Rossi, hanya 46 unit ditawarkan

    BMW M4 CS Edition VR46 dikeluarkan sempena tahun kelahiran Valentino Rossi, hanya 46 unit ditawarkan

    Tahun ini, lagenda lumba motosikal, Valentino Rossi akan menyambut ulang tahun kelahiran beliau yang ke-46 dan BMW menjadikannya istimewa dengan pengeluaran model edisi khas M4 CS. Hanya 46 unit akan ditawarkan kepada awam, sama seperti nombor yang digunakan oleh Rossi sepanjang karier beliau, iaitu #46.

    Model khas ini turut mendapat input daripada Rossi sendiri, dan BMW menawarkannya dalam dua versi iaitu Sport dan Style, dengan kedua-duanya mempunyai perincian yang berbeza berbanding M4 CS biasa. Sebagai permulaan, versi Sport menggunakan warna Marina Bay Blue metalik, dengan logo 46 berwarna Tanzanite Blue metallic, manakala versi Style tampil dengan warna Frozen Tanzanite Blue matte dan tulisan 46 berwarna Frozen Marina Bay Blue di tepi.

    Bukan setakat di tepi pintu, nombor yang cukup popular ini juga dicat di bahagian atas bumbung model istimewa ini, yang dibuat daripada carbon-fibre-reinforced plastic (CFRP), bersama tanda tangan juara dunia sembilan kali tersebut.

    Bagi mengekalkan tema sama, gril hadapan serta salah satu cabang rim M pada kenderaan ini diwarnakan hijau terang – satu warna yang sudah sinonim dengan Rossi. Warna ini juga boleh dilihat digunakan pada angkup brek serta jalur pada pintu.

    Bahagian dalam banyak menggunakan gabungan warna hitam dan Night Blue, termasuk kulit Merino yang membalut tempat duduk bucket M Carbon. Kontras warna kuning digunakan pada bahagian bahu tempat duduk serta stereng yang dibalut Alcantara, dan kemudiannya dilengkapkan dengan logo ‘VR46’ pada penyandar kepala serta tepi pintu. Setiap unit kereta istimewa ini akan datang dengan lencana keluaran ‘1/46’, diletakkan pada konsol tengah.

    Bahagian mekanikal tidak diubah, dengan M4 CS Edition VR46 ini masih menggunakan enjin petrol enam silinder 3.0 liter twin turbo bersama transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda M xdrive, tetapi boost ditingkatkan kepada 2.1 bar untuk menghasilkan 550 PS (543 hp atau 405 kW) dan tork 650 Nm. Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam masa 3.4 saat manakala laju maksimum adalah 302 km/j (dengan M Driver’s Package).

    Pembeli M4 CS Edition VR46 ini bukan setakat akan mendapat kereta yang mendapat sentuhan Rossi, tetapi juga pengalaman bersama dengan beliau. Anda akan diberi dua hari istimewa di Itali, dengan aktiviti khas seperti melawat VR46 Motor Ranch dan bersantai dengan Rossi, serta menyertai BMW M Driving Experience di Misano World Circuit Marco Simoncelli.

     
     
  • Smart Selangor kini ada 4 bas EV di Shah Alam – Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya bakal menyusul

    Smart Selangor kini ada 4 bas EV di Shah Alam – Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya bakal menyusul

    Kini Smart Selangor sudah mempunyai empat buah bas elektrik yang beroperasi untuk laluan SA1 yang menghubungkan antara stesen KTM Shah Alam ke Seksyen 7 di bandaraya berkenaan. Menurut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telah memperuntukkan sejumlah RM5.5 juta untuk mengendalikan bas di laluan itu untuk tempoh tiga tahun, laporan The Star.

    “Operasi bas di sepanjang laluan itu yang mempunyai kepadatan dan permintaan tertinggi di bandar ini, bermula sejak Disember tahun lalu. Kami sedang menilai beberapa faktor sebelum menambah lebih banyak bas elektrik ke laluan Smart Selangor yang lain,” katanya.

    Bas elektrik itu juga akan diperkenalkan di Klang, Petaling Jaya dan Subang Jaya berikutan kekuatan kewangan majlis bandaran yang lebih kukuh. “Kos pengendalian bas elektrik lebih tinggi berbanding bas diesel. Saya percaya ia boleh dikurangkan dengan menambah bilangan bas dan kawasan beroperasi, malah melanjutkan kontrak,” jelasnya lagi.

    Tambah beliau, “Apabila kos pengendalian bas elektrik turun iaitu sama atau hampir sama dengan bas diesel, saya percaya kita boleh memperkenalkannya di lebih banyak tempat. Kerajaan negeri juga boleh memberi sedikit peruntukan kepada PBT untuk mengoperasikan bas elektrik ketika itu.”

    Satu halangan dalam inisiatif ini ialah stesen pengecasan bas elektrik kini terletak di Puchong, yang agak jauh dari laluan SA01. Bagaimanapun, Amirudin berkata isu ini akan ditangani dengan melibatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan agensi berkaitan untuk mempunyai stesen pengecasan yang lebih dekat dengan laluan itu. Beliau menambah bahawa bas elektrik mengeluarkan kurang 700 kg CO2 ke udara setiap hari berbanding bas diesel, menjadikannya lebih baik untuk alam sekitar.

     
     
  • Prasarana tingkatkan keselamatan di stesen rel; tambah polis bantuan, pasang Smart CCTV dan PSD

    Prasarana tingkatkan keselamatan di stesen rel; tambah polis bantuan, pasang Smart CCTV dan PSD

    Susulan tragedi seorang OKU penglihatan yang maut digilis tren LRT selepas terjatuh ke landasan di Stesen Titiwangsa pada pagi Sabtu lalu, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengeluarkan kenyataan untuk mempertingkatkan aspek keselamatan di semua stesen rel kendaliannya.

    Menurut Prasarana, pihaknya akan menambah bilangan anggota polis bantuan di stesen-stesen yang tidak mempunyai pintu platform automatik (PSD) dan yang mempunyai bilangan pengguna OKU yang tinggi.

    “Penambahan anggota polis bantuan ini adalah untuk mempertingkatkan pemantauan di platform bagi mengenal pasti dan memberi pertolongan dengan lebih efisien kepada pengguna khususnya OKU dan warga emas. Tatacara pengendalian operasi (SOP) ditambah baik bagi meningkatkan mutu pemantauan khususnya di platform,” kata syarikat ini menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Prasarana tingkatkan keselamatan di stesen rel; tambah polis bantuan, pasang Smart CCTV dan PSD

    Tambahnya, pihaknya juga sedang dalam proses menaiktaraf kepada kamera litar tertutup pintar atau SMART CCTV yang berupaya mengesan perilaku aneh dan berisiko. Langkah ini dapat memberi amaran awal kepada pihak operasi sekiranya berlaku sebarang insiden khususnya di platform. “Kerja-kerja pemasangan kamera dijangka akan siap pada hujung tahun ini secara beringkat bermula dengan Laluan Monorel sebelum diteruskan ke laluan-laluan lain,” katanya lagi.

    Dalam masa yang sama, bagi langkah jangka panjang, Prasarana sedang dalam perancangan untuk memasang pintu platform automatik (PSD) di Laluan Ampang/Sri Petaling dan Laluan Kelana Jaya. “Fungsi PSD amat penting bagi mengelakkan pengguna turun atau terjatuh ke atas landasan. Untuk rekod, pemasangan PSD di Laluan Monorel telah siap pada penghujung tahun lepas,” jelasnya.

    Berkenaan tragedi berkenaan, seperti yang dinyatakan oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menjalankan siasatan dengan lebih terperinci dan hasil laporan tersebut akan dibentangkan kepada Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

    Prasarana tingkatkan keselamatan di stesen rel; tambah polis bantuan, pasang Smart CCTV dan PSD

    “Sebagai sebuah penyedia perkhidmatan pengangkutan awam yang prihatin, Prasarana komited untuk memastikan persekitaran perjalanan yang lebih selamat dan mesra OKU. Oleh itu, Prasarana akan melipatgandakan sesi libat urus bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan OKU bagi mendapatkan maklum balas serta memperbaiki prosedur dari semasa ke semasa.

    “Kami juga menyeru semua pengguna yang memerlukan bantuan tambahan, khususnya OKU, agar mendapatkan khidmat daripada petugas stesen sebelum menaiki tren. Semua petugas barisan hadapan kami telah dilatih untuk mengendalikan keperluan pengguna OKU, warga emas dan kanak-kanak, dan kakitangan stesen kami sentiasa bersedia untuk mengiringi pengguna yang memerlukan agar mereka dapat menikmati perjalanan yang selamat, selesa dan lancar,” katanya.

    Prasarana turut meluahkan rasa dukacita terhadap tragedi yang menimpa mangsa dan akan memberikan bantuan ihsan sewajarnya kepada keluarga mangsa dalam menghadapi saat yang sukar ini.

     
     
  • Triumph Tiger Sport 800 tiba di Malaysia – RM63,900

    Triumph Tiger Sport 800 tiba di Malaysia – RM63,900

    Triumph Tiger Sport 800, yang baru sahaja didedahkan kepada dunia Oktober tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM63,900 tidak termasuk insurans. Empat warna ditawarkan, iaitu Cosmic Yellow, Caspian Blue/Phantom Black, Graphite/Sapphire Black dan Sapphire Black. Istimewa bagi 30 pelanggan terawal, mereka akan menerima beg barangan serta tongkat tengah.

    Enjin yang digunakan pada Tiger Sport 800 ini dipanggil sebagai serba baru, dengan merupakan unit tiga silinder berkapasiti 798 cc, mampu menghasilkan 115 PS pada 10,750 rpm dan tork 84 Nm pada 8,500 rpm. Menyampaikan kuasa ini kepada roda belakang adalah transmisi enam kelajuan, yang didatangkan terus dengan Triumph Shift Assist (quickshifter) serta klac jenis slip & assist.

    Selain enjin yang lebih berkuasa berbanding Tiger Sport 660, kelengkapan lain Tiger Sport 800 turut dipertingkat termasuk suspensi, yang menggunakan unit Showa boleh laras dengan fork USD SFF 41 mm di hadapan dan monoshock dengan tombol pra beban di belakang. Jarak gerak kedua-duanya adalah 150 mm.

    Pada bahagian elektronik, motosikal ini menyediakan tiga mod tunggangan iaitu Sport, Road dan Rain, sementara informasi penting pula dipaparkan pada skrin gabungan digital LCD dan TFT – juga diberikan secara standard dengan sistem sambungan kepada telefon untuk memaparkan navigasi, notifikasi serta pemain muzik.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk Cornering ABS, tangki bahan api 18.6 liter, cruise control serta penghadang angin hadapan boleh laras secara manual. Berat keseluruhan Tiger Sport 800 adalah 214 kg dan tinggi tempat duduknya dalam keadaan standard adalah 835 mm.

    Pada bahagian brek pula, Tiger Sport 800 mendapat tetapan cakera 310 mm berkembar dengan angkup empat piston di hadapan, dan cakera 255 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang. Ia melekap pada rim 17 inci yang dibalut masing-masing tayar 120/70 di hadapan dan 180/55 di belakang.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.11 (+0.03)
Last Updated Jul 17, 2025