Parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) pimpinan Perdana Menteri India, Narendra Modi kembali berkuasa di ibu negara India, Delhi dan salah satu peraturan baru yang dibuat adalah kenderaan berusia lebih 15 tahun tidak dibenarkan membeli bahan api dalam ibu kota tersebut bermula 1 April 2025.
Menteri alam sekitar negara itu, Manjinder Singh Sirsa berkata, satu pasukan akan ditubuhkan untuk mengenal pasti kenderaan yang melebihi usia tersebut dan ‘gajet’ akan digunakan untuk membuat perbezaan. “Kami akan memasang gajet di pam petrol, yang akan mengenal pasti kenderaan berusia lebih 15 tahun, dan bahan api tidak akan dijual kepada mereka,” kata beliau dalam laporan NDTV.
Sementara peraturan baru ini kedengaran drastik, pelaksanaan adalah lebih penting. Sebenarnya, Delhi dan National Capital Region (NCR) mempunyai polisi di mana kenderaan diesel berusia lebih 10 tahun dan kenderaan petrol lebih 15 tahun tidak dibenarkan berada di atas jalan. Jika ditemui atas jalan bermula 1 Januari 2022, kenderaan yang termasuk dalam kategori itu boleh disita dan dihantar ke tempat lupus.
Delhi, yang menempatkan lebih 33 juta penduduk terkenal sebagai antara bandar yang paling tercemar di dunia. Kerajaan Aam Aadmi Party (AAP) sebelum ini menuding jari kepada pembakaran terbuka dan beberapa faktor lain di negeri seperti Haryana dan Uttar Pradesh, tetapi Sirsa melihat kepada Delhi sendiri.
“Sasaran kami cuma satu. Siapa yang menyebabkan pencemaran, dia lah yang akan memberi penyelesaian. Apabila kita kurangkan pencemaran dalam negeri kita, kemudian kita boleh beritahu kepada negeri lain. Faktor-faktor dalam Delhi menyumbang kepada 50% pencemaran dalam negara,” kata beliau.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



