Proton rancang pasang model SUV dan NEV di Mesir – pertembungan X50 & Geely Coolray di rantau MENA?

Proton rancang pasang model SUV dan NEV di Mesir – pertembungan X50 & Geely Coolray di rantau MENA?

Dalam ucapan ketika pelancaran Proton Saga CKD Mesir yang dipasang di kilang Ezz Elarab Elsewedy Automotive Factories (ESAF), CEO Proton Dr Li Chunrong mengesahkan bahawa syarikatnya kini turut akan meneroka peluang untuk melancarkan produk lain, termasuk SUV dan kenderaan tenaga baharu (NEV) di Mesir apabila peluang diberikan oleh keadaan pasaran.

Dalam kenyataan yang sama, Proton turut menyatakan bahawa kewujudan kilang ini juga menandakan komitmen Mesir terhadap pembangunan industri dengan menggunakan kemudahan komponen sumber tempatan dan rancangan untuk pengembangan masa depan, termasuk pengeluaran EV, sejajar dengan Wawasan 2030 Mesir.

Malah dalam laporan Al-Masry Al-Youm pula, kilang ESAF ini turut akan memasang satu lagi model sedan baharu Proton pada 2026 serta model SUV pada 2027.

Dengan perkembangan ini nampaknya Proton bukan hanya akan masuk ke pasaran mampu milik untuk rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) walaupun Geely turut telah membuka kilang di Mesir pada Januari lalu. Kilang yang terletak di di Bandar 6 Oktober berkenaan dilaporkan memasang model sedan Geely Emgrand (asas untuk Proton S70) dan juga SUV Geely Coolray (asas untuk Proton X50).

Proton rancang pasang model SUV dan NEV di Mesir – pertembungan X50 & Geely Coolray di rantau MENA?

Kilang tersebut dibuka dengan kerjasama Auto Mobility (Geely Mesir), dan ia merupakan fasiliti industri pertama dibuka oleh Geely di kawasan Mesir, Afrika dan Timur Tengah. Kilang tersebut menampilkan dua barisan produksi yang mampu menghasilkan 10,000 unit kenderaan setahun untuk memenuhi permintaan pasaran tempatan, serta boleh mengeksport 30,000 unit kenderaan untuk dipasarkan ke rantau MENA.

Ketika Geely ‘rancak’ mengumumkan pembukaan-pembukaan pasaran baharu yang meliputi pasaran pemanduan sebelah kanan dan juga Asia Tenggara yang sepatutnya menjadi pasaran yang diwakili oleh Proton, pengarah perhubungan awam Geely Holding Group Ash Sutcliffe menjelaskan kepada paultan.org bahawa Geely dan Proton tidak akan bersaing sesama sendiri dalam pasaran yang sama.

“Geely akan memasuki dan mewujudkan rangkaian pengedar dalam pasaran yang Proton masih belum ada, bermula dengan produk NEV untuk membina reputasi jenama, yang akan menjadi pelengkap kepada produk sedia ada Proton,” katanya.

Jadi dengan perkembangan terbaharu yang diumumkan oleh Proton ini, mungkin akan menyaksikan buat kali pertama model-model Proton seperti X50 dan S70 akan bersaing terus dengan kembarnya dari Geely iaitu Binyue dan Emgrand? Atau Proton akan membawa model dalam segmen yang tidak ditawarkan oleh Geely di Mesir seperti Proton X70?

Manakala bagi model-model NEV, buat masa sekarang Proton telah pun menjual model seperti X90 yang menggunakan sistem hibrid ringkas 48V, serta baru sahaja melancarkan model EV pertamanya iaitu eMas7. Dengan pembukaan kilang EV terbaharunya di Tanjong Malim yang bakal beroperasi tahun ini, Proton turut akan menawarkan model-model dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) pada masa akan datang.

Jadi model-model ini juga dilihat berpotensi untuk dipasang di Mesir kelak, dan ia mungkin sudahpun di dalam perancangan Proton untuk menghasilkan sebanyak 330,000 unit kereta setahun menjelang 2030.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required