Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton X50 facelift 2025 dibuka untuk tempahan — 10k pelanggan terawal akan terima rebat tunai RM1,000

    Proton X50 <em>facelift</em> 2025 dibuka untuk tempahan — 10k pelanggan terawal akan terima rebat tunai RM1,000

    Proton X50 facelift 2025 yang didedahkan perinciannya awal minggu ini kini dibuka untuk tempahan. 10,000 pelanggan terawal akan menerima rebat tunai RM1,000, “Gempak Deal” eksklusif yang akan diperincikan ketika pelancarannya rasminya kelak, serta kad Touch ‘n Go edisi istimewa. Untuk harga pula belum diketahui, dan hanya akan diumumkan ketika pelancaran.

    Kami telah memperincikan segala hal berkaitan X50 baru ini dan boleh dirujuk di sini: termasuklah apa yang baru dan pecahan penawaran variannya — Executive, Premium dan Flaghsip.

    Proton X50 facelift 2025 diberikan kemaskini major terhadap rekaan luarannya berdasarkan model Geely Binyue L, manakala rekaan dalamannya pula serba baru dan dihasilkan oleh Proton sendiri, serta penawaran enjin baru 1.5 liter turbocas empat-silinder dari unit i-GT (dengan kod nama BHE15TD) dengan janaan 181 PS/290 Nm yang dibangunkan oleh Aurobay — sebuah syarikat kerjasama antara Geely-Volvo (berpangkalan di Sweden) yang kini merupakan sebahagian daripada Horse Powertrain, sebuah kerjasama Geely-Renault.

    Proton X50 2025 Flagship

     
     
  • Surau Madani di PLUS R&R Seremban arah selatan mula jalankan solat Jumaat, mudahkan pengguna

    Surau Madani di PLUS R&R Seremban arah selatan mula jalankan solat Jumaat, mudahkan pengguna

    Yang pertama seumpamanya di Malaysia, Surau Madani yang terletak di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan), di KM274.6 Lebuhraya Utara-Selatan hari ini mengadakan solat Jumaat yang pertama di premis berkenaan. Ini adalah susulan pengistiharannya sebagai surau R&R pertama di lebuhraya di Malaysia yang mendapat kelulusan untuk mendirikan solat Jumaat, minggu ini.

    Penyediaan kemudahan untuk mendirikan solat Jumaat ini merupakan usaha dan kolaborasi semua pihak daripada Kerajaan Negeri Sembilan, Jabatan Mufti Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan, Lembaga Lebuhraya Malaysia serta semua pihak berkepentingan yang telah terlibat dalam membantu penyediaan inisiatif ini.

    Surau Madani di R&R Seremban (Arah Selatan) tersebut mampu menampung sehingga 150 jemaah dalam satu masa. Ia direka bentuk dengan menitikberatkan suasana yang selesa, nyaman dan mesra pengguna, terutama bagi warga emas dan golongan berkeperluan khas, bagi memastikan semua pengguna lebuhraya mendapat pengalaman beribadah yang lebih baik sepanjang perjalanan mereka.

    Surau tersebut juga telah menjalani proses naik taraf yang meliputi pemasangan mimbar, mihrab, sistem pembesar suara dan penubuhan Jawatankuasa Kariah Penaja Surau Madani R&R Seremban (Arah Selatan). Jawatankuasa ini dianggotai oleh 93 pemastautin tetap yang terdiri daripada rakan-rakan niaga serta para pekerja di kawasan R&R Seremban.

    “Objektif utama inisiatif pelaksanaan solat Jumaat di R&R Seremban ini adalah untuk menyediakan kemudahan beribadah kepada komuniti pemaustatin yang bekerja di R&R serta penduduk sekitar Labu dan Seremban. Ia juga dapat memudahkan pengguna lebuhraya yang singgah untuk menunaikan solat Jumaat di surau R&R ini,” jelas Datuk Nik Airina Nik Jaffar, Pengarah Urusan PLUS sebelum ini.

    Kepada pengguna Lebuhraya PLUS arah selatan juga kini mempunyai pilihan yang memudahkan mereka untuk menunaikan solat Jumaat tanpa perlu menyusur keluar dari lebuh raya untuk mencari masjid berdekatan.

     
     
  • EV bawah RM100k TQ Wuling Bingo akan dipertonton dalam siri jelajah sebelum dilancarkan di Malaysia

    EV bawah RM100k TQ Wuling Bingo akan dipertonton dalam siri jelajah sebelum dilancarkan di Malaysia

    TQ Manufacturing (TQ) anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor Holdings Berhad hari ini mengumumkan bahawa EV TQ Wuling Bingo yang bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi akan dipamerkan kepada orang awam menerusi siri jelajah #HelloTQWBingo Tour yang akan bermula pada Julai ini.

    Siri jelajah tersebut akan diadakan pada tarikh dan lokasi seperti di bawah:
    EV bawah RM100k TQ Wuling Bingo akan dipertonton dalam siri jelajah sebelum dilancarkan di Malaysia

    Seperti yang diumumkan tempoh hari, TQ Wuling Bingo akan terus ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan dan membolehkan ia dilancarkan dan dijual pada harga kompetitif iaitu di bawah RM100,000 pada suku ke-empat tahun ini. Ia akan dipasang menerusi kemudahan pengeluaran Tan Chong di Segambut dan dirancang untuk turut dieksport keluar.

    TQ Wuling Bingo ini tampil dengan rupa retro yang diinspirasikan dari MINI klasik. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 3,950 mm, lebar 1,708 mm, tinggi 1,580 mm dan jarak roda sejauh 2,560 mm. Jadi apabila dilancarkan kelak ia akan bersaing dengan Proton eMas 5 dan juga Perodua QV-E yang juga dijangka akan dijual di bawah RM100k dan dilancarkan lewat tahun ini.

    Spesifikasi bagi model pasaran Malaysia masih lagi belum diumumkan. Di China Bingo EV dalam versi varian asas paling murah dibekalkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 17.3 kWh, memberi jarak gerak sehingga 203 km mengikut standard CLTC. Kuasa dihantar kepada motor elektrik pada gandar hadapan dengan kuasa sehingga 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan tork 110 Nm, memberikan kelajuan maksimum 100 km/j.

    EV bawah RM100k TQ Wuling Bingo akan dipertonton dalam siri jelajah sebelum dilancarkan di Malaysia

    Ia juga hadir dengan varian yang diberikan bateri LFP lebih besar berkapasiti 31.9 kWj, mampu memberi jarak gerak sejauh 333 km, serta diberikan motor elektrik lebih berkuasa pada kadar 68 PS/150 Nm, tetapi masih menampilkan kelajuan maksima yang sama.

    Sementara varian paling tinggi menerima bateri LFP berkapasiti 37.9 kWj bagi memberikan jarak gerak 410 km, dengan padanan motor elektrik 68 PS/150 Nm yang sama, serta kelajuan maksima juga masih sama.

    Untuk pengecasan, kesemua versi boleh menerima pengecas AC sehingga 3.3 kW, dengan bateri yang lebih kecil memerlukan masa 5.5 jam untuk penuh, manakala bateri yang besar mengambil 9.5 jam. Walaubagaimanapun, bateri yang lebih besar itu boleh dicas dengan sumber DC, dan boleh naik dari kadar 20% ke 80% dalam masa 35 minit sahaja.

    Antara kelengkapan yang diberikan pada Bingo EV ini di China termasuk rim 15 inci, lampu utama dan lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik, dua skrin 10.25 inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa, dua beg udara, ABS, EBD, brek parkir elektronik, ESC, kamera undur, sistem pemerhati tekanan angin tayar, sistem tanpa kunci, cruise control dan pendingin hawa automatik.

    Menurut TQ Manufacturing, Bingo EV ini dilengkapi dengan bateri “Magic EV” yang menawarkan tahap keselamatan tertinggi tanpa sebarang insiden kebakaran atau letupan dan mempunyai sijil IP67 – disahkan memberikan perlindungan tinggi terhadap habuk dan air.

    “Kami menerima sambutan yang sangat memberangsangkan terhadap TQ Wuling Bingo EV sewaktu acara Malaysia Autoshow. Kini kami mahu membawa keterujaan itu terus kepada rakyat Malaysia di seluruh negara. Itulah semangat di sebalik Jelajah #HelloTQWBingo — memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri kereta ini dan memahami mengapa model ini penting dalam menjadikan EV lebih mudah diakses oleh ramai rakyat Malaysia,” kata Ketua Bahagian Perniagaan TQ Manufacturing Sdn. Bhd., Wan Wei Sun.

    “Bingo EV menggabungkan kelebihan dua dunia — keupayaan pengedaran dan pemasangan tempatan TCMH yang telah terbukti selama lebih 70 tahun serta inovasi teknologi EV mampu milik yang dibawakan oleh SGM Wuling. Justeru, kami ingin menjemput anda semua untuk datang dan lihat sendiri apa yang menjadikan model ini satu pilihan yang menarik, mampu milik dan relevan untuk pemandu di bandar,” tambahnya.

    Selain dari boleh melihat sendiri TQ Wuling Bingo ini, pengunjung yang datang ke siri jelajah tersebut turut boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik dan interaktif turut disediakan, termasuklah hadiah eksklusif dan persembahan secara langsung di lokasi-lokasi terpilih.

     
     
  • Lencongan jalan berperingkat di Kuala Lumpur pada 7-11 Julai 2025 sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN

    Lencongan jalan berperingkat di Kuala Lumpur pada 7-11 Julai 2025 sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN

    Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Haji Hassan Basri mengumumkan pihaknya akan melaksanakan lencongan jalan secara berperingkat di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur pada 7 hingga 11 Julai 2025. Ia adalah sempena penganjuran Mesyuarat Menteri Luar ASEAN ke-58.

    “Aktiviti raptai (Dry Run) pergerakan motoked melibatkan laluan daripada lapangan terbang hingga ke hotel-hotel penginapan di sekitar KL dan ke Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) sedang berlangsung hingga 6 Julai (Ahad ini). Ia melibatkan kekuatan seramai 391 petugas trafik yang terdiri daripada pegawai kanan polis dan pegawai rendah polis,”kata Mohd Yusri menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Lencongan jalan secara berperingkat ini akan melibatkan tiga lebuhraya dan 15 jalan utama di sekitar Lembah Klang. Menurut Mohd Yusri, pada 7 Julai, lencongan jalan berperingkat akan bermula dari jam 7 pagi dan laluan yang terlibat adalah Lebuh KLIA, Lebuhraya ELITE (KLIA – Putrajaya), Lebuhraya MEX, Lebuhraya KL-Seremban (Sg Besi – Pusat Bandar), Lingkaran Putrajaya, Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang dan Jalan Imbi.

    Lencongan jalan berperingkat di Kuala Lumpur pada 7-11 Julai 2025 sempena Mesyuarat Menteri Luar ASEAN

    Manakala pada 8 hingga 11 Julai pula, lencongan jalan berperingkat akan dilaksanakan antara jam 7 pagi, 10 pagi, 5 petang, 7 malam dan 10 malam. Ia melibatkan Persimpangan Jalan Ampang/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Sultan Ismail/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Perak/Jalan P.Ramlee, Persimpangan Jalan Perak/Jalan Pinang, Persimpangan Jalan Stonor/Jalan Kia Peng dan Persimpangan Jalan Stonor/Persiaran KLCC.

    “Kenderaan perdagangan dan kenderaan berat adalah disarankan tidak memasuki pusat bandar KL sepanjang tempoh lencongan jalan terutamanya semasa waktu puncak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas serta mengurangkan risiko kerosakan kenderaan dan kemalangan jalan raya.

    “Kerjasama orang ramai yang cakna dengan arahan semasa para petugas di lapangan amatlah dihargai selain menaikkan imej negara sebagai pengguna jalan raya yang berhemah dan berdisiplin,” kata Mohd Yusri lagi.

    Untuk itu, sila rancang perjalanan anda sewajarnya sepanjang tempoh yang dinyatakan ini dan anda juga digalakkan mengunakan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan rel seperti LRT, MRT dan Monorel.

     
     
  • Art of Speed 2025 berlangsung 26 dan 27 Julai ini – lebih banyak aktiviti, jentera dalam dan luar negara

    Art of Speed 2025 berlangsung 26 dan 27 Julai ini – lebih banyak aktiviti, jentera dalam dan luar negara

    Acara tahunan paling dinanti peminat dunia kustom dan budaya alternatif, Art of Speed Malaysia 2025 (AOS 2025) bakal berlangsung pada 26 dan 27 Julai 2025 bertempat di MAEPS Serdang. Dengan tema “Kustom Ada Gaya”, penganjuran kali ini menjanjikan pelbagai aktiviti menarik, pameran unik serta kehadiran ikon terkenal dari dalam dan luar negara.

    Antara tetamu istimewa AOS 2025 ialah Shige Suganuma dan Hiro “Wildman” Ishii dari MOONEYES, Brendon Vetuskey (pereka Hot Wheels dari Amerika Syarikat) serta pembina motosikal tersohor seperti Yuichi Yoshizawa (Custom Works Zon), Masa Sugihara (Luck MC) dan Ben Forster (Benflathead).

    Tiga motosikal kustom dari luar negara akan menjadi perhatian utama iaitu BMW R18 “Ground 0”, Harley-Davidson Knucklehead chopper dan Harley-Davidson Flathead sementara pembaharuan yang dibuat untuk tahun ini adalah termasuk World of Wheels (WOW) oleh MotorTakaful.com, pameran khas “Show and Shine” dalam Dewan A dan studio foto profesional untuk kereta dan motosikal.

    Art of Speed 2025 berlangsung 26 dan 27 Julai ini – lebih banyak aktiviti, jentera dalam dan luar negara

    Tahun ini lima kolaborasi baru dibuat oleh AOS, membawa kepada barangan yang boleh dibeli oleh peminatnya, iaitu AOS x Hot Wheels, AOS x FK (kasut eksklusif), AOS x High Cultured (fesyen jalanan tempatan), AOS x XOCKS dan AOS x MOONEYES (sempena ulang tahun ke-10).

    Konvensyen Hot Wheels Malaysia kali ke-3 kembali di Dewan C dengan pelbagai aktiviti seperti pameran koleksi jarang ditemui, pertandingan ubah suai dan sesi perkongsian bersama pereka Hot Wheels terkenal, Brendon Vetuskey.

    Untuk aktiviti komuniti dan gaya hidup, antara yang akan diadakan adalah ThunderCircus Brotherhood Rally untuk peminat motosikal, Project Car Invitational Showcase oleh NoEqual.co, Kulture Kartel di Dewan D dengan gaya vintaj, streetwear dan pertandingan B-Boy, Moto4Sale – platform jual beli motosikal bawah 500cc, perkumpulan kelab pemilik kereta serta Beetle Battle – kolaborasi bersama komuniti Volkswagen Indonesia.

    Konsert SoundCircus Takeover 2025 pula menampilkan artis terkenal seperti Noh Salleh, Ruffedge, Romantic Echoes dan ramai lagi berlangsung dari 2 petang hingga 7 malam di Dewan A. Selain itu, terdapat zon santai seperti Payung Kopi, medan selera, jualan barangan terpakai automotif dan pelbagai sesi uji pandu motosikal oleh jenama terkenal seperti Vespa, Triumph dan Harley-Davidson.

    Tiket Early Bird sudah mula dijual dalam talian, melalui laman artofspeedmy.com, iaitu pada harga RM35 untuk Weekend Pass dan RM40 untuk Sunday Pass. Kanak-kanak bawah 12 tahun dan pemegang kad OKU masuk percuma. Tiket VIP Valet Parking disediakan pada harga RM30 (tunai atau QR).

     
     
  • Hyundai Ioniq 6 N sekali lagi ditunjuk dalam teaser – suspensi dan mod drift ditala semula, muncul 10 Julai

    Hyundai Ioniq 6 N sekali lagi ditunjuk dalam teaser – suspensi dan mod drift ditala semula, muncul 10 Julai

    Hyundai bersedia untuk memperkenalkan satu lagi model berprestasi tinggi dalam barisan kenderaan elektriknya, iaitu Hyundai Ioniq 6 N. Selepas penantian agak lama sejak kemunculan Ioniq 5 N dua tahun lalu, model ini akan membuat penampilan rasmi di Goodwood Festival of Speed tidak lama lagi.

    Gambar teaser yang didedahkan memperlihatkan bahagian belakang Ioniq 6 N yang tampil dengan rekaan lebih agresif berbanding versi standard. Bampar belakang diberikan kemasan hitam sepenuhnya dengan dua elemen berbentuk ‘taring’ di kedua-dua penjuru, jalur merah pada bahagian bawah menambah sentuhan sporty, manakala fender dilebarkan dengan lebih kemas. Tidak ketinggalan, sayap belakang jenis swan-neck menyerlahkan karakter prestasi model ini.

    Hyundai turut mendedahkan beberapa maklumat teknikal utama. Berbanding Ioniq 5 N, Ioniq 6 N dijangka lebih menyerlah dari segi pengendalian kerana ia mempunyai kedudukan lebih rendah dan lebih ringan. Suspensi dipertingkat dengan reka bentuk geometri baharu yang menurunkan pusat graviti dan meningkatkan sudut caster, sekaligus memberi rasa stereng lebih tepat, maklum balas lebih baik serta penstabilan semula secara automatik yang lebih responsif.

    Hyundai Ioniq 6 N sekali lagi ditunjuk dalam teaser – suspensi dan mod drift ditala semula, muncul 10 Julai

    Sistem peredam adaptif juga telah ditala semula untuk memberikan keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian yang optimum. Menariknya, Hyundai kini membenarkan ciri N e-shift – simulasi penukaran gear – digunakan dalam semua mod pemanduan, termasuk mod Eco dan N Drift Optimiser. Nisbah gear maya turut dipendekkan untuk memberikan pecutan lebih agresif, manakala lampu suasana digunakan sebagai penunjuk waktu menukar gear.

    Mod N Drift Optimiser kini hadir dengan lebih banyak pilihan tetapan, membolehkan pemandu menyesuaikan tahap kawalan mengikut kemahiran drift masing-masing. Menurut laporan pandu uji awal di Amerika Syarikat, model prototaip memiliki fender 30 mm lebih lebar dan jarak roda lebih panjang 15 mm, yang turut menyumbang kepada sudut caster lebih besar.

    Ioniq 6 N dipadankan dengan rim aloi 20 inci bersama tayar Pirelli P Zero Elect bersaiz 275/35 R20. Sistem bunyi luaran juga dipertingkat bagi membolehkan orang ramai mendengar bunyi enjin sintetik N Active Sound+ dengan lebih jelas. N Drift Optimiser kini menawarkan tiga tahap permulaan drift dan sepuluh tahap sudut gelinciran.

    Dari aspek kuasa, Ioniq 6 N dijangka mengekalkan trenkuasa dari Ioniq 5 N – dua motor elektrik yang menghasilkan 609 PS (448 kW) dan 740 Nm tork, atau 650 PS (478 kW) dan 770 Nm dengan fungsi N Grin Boost selama 10 saat. Ia menggunakan bateri 84 kWj jenis NMC (nickel manganese cobalt).

    Namun, versi sedan ini bakal menerima penambahbaikan dari segi penyejukan bateri dan motor yang membolehkan prestasi lebih konsisten di litar serta kemungkinan output lebih tinggi. Dengan binaan lebih ringan dan reka bentuk aerodinamik yang lebih baik berbanding SUV, Ioniq 6 N dijangka menawarkan jarak pemanduan lebih jauh daripada Ioniq 5 N yang mencatat 448 km.

    Jenama Hyundai kini kembali menjadi perhatian di Malaysia selepas penubuhan syarikat utama baru, Hyundai Motor Malaysia (HMY), yang mengambil alih daripada Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM). Namun begitu, kehadiran Ioniq 6 N di pasaran tempatan masih belum dapat dipastikan memandangkan EV masih belum menjadi fokus utama dalam pelan produk HMY buat masa ini.

     
     
  • GWM Malaysia catat peningkatan jualan 20.3% untuk separa pertama 2025, atasi jualan penuh tahunan 2024

    GWM Malaysia catat peningkatan jualan 20.3% untuk separa pertama 2025, atasi jualan penuh tahunan 2024

    GWM Malaysia mengumumkan bahawa jumlah jualannya untuk enam bulan pertama tahun ini telah meningkat sebanyak 20.3% berbanding tempoh sama tahun lalu. Menurut syarikat itu, rekod tersebut merupakan prestasi separa tahun terbaik pernah dicatatkannya, dan jumlah jualan berkenaan telah mengatasi jumlah jualan penuh tahunan untuk 2024.

    Walau bagaimanapun selain dari angka peratusan, GWM Malaysia tidak berkongsi sebarang angka jualan sebenar yang lebih terperinci. syarikat itu juga mendakwa bahawa GWM kini termasuk dalam tiga jenama automotif China terbaik di Malaysia.

    Untuk pasaran Malaysia buat masa sekarang GWM menawarkan beberapa SUV antaranya SUV bersaiz besar Tank 500 yang dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM328,800, dan juga SUV hibrid Haval H6 HEV yang telah diiktiraf dalam Buku Rekod ASEAN sebagai SUV Hibrid Pertama di ASEAN yang Mencapai Jarak Pemanduan Dunia Sebenar Terpanjang Secara

    Bagi jaringan servis dan pengedar, GWM kini sudahpun mempunyai 26 bilik pameran dan pusat servis di seluruh Malaysia termasuk pusat 3S baharu yang dibuka di Taman Malim Permai, Melaka pada bulan Mei lalu.

    “Prestasi separuh pertama kami mencerminkan kekuatan rangkaian produk kami dan pengiktirafan yang semakin meningkat terhadap GWM sebagai pemain serius dalam industri automotif Malaysia. Kami komited untuk terus mencabar kebiasaan dan menawarkan produk yang relevan untuk komuniti Malaysia,” kata COO GWM Malaysia Roslan Abdullah.

     
     
  • VIDEO: Jalan Ke Kebenaran – sebuah filem Carro

    Sesetengah urus niaga kereta terasa seperti perniagaan gelap di lorong belakang.

    Anda pasti tahu tentangnya – perbualan berbisik-bisik, pertemuan di bumbung tempat letak kereta, dan perasaan ada kemungkinan anda akan ditipu.

    Terutama sekali apabila anda membeli dari sumber yang tidak disahkan, prosesnya boleh terasa lebih seperti rundingan dengan kumpulan samseng daripada transaksi yang sah.

    Dari 2 Julai hingga 15 Ogos 2025, beli kereta Carro Certified dan:

    • Nikmati diskaun sehingga RM10,000 untuk kereta Carro Certified
    • Rebut peluang untuk menang dalam cabutan bertuah kami!

    Hadiah termasuk:

    • Kamera papan pemuka
    • Kad petrol
    • TV baharu
    • Percutian untuk 2 orang ke Osaka

    PAUTAN: Carro Certified

    Klik di sini untuk inventori promo yang penuh.

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • JPJ umum gangguan capaian rangkaian di kios, MySikap, MyJPJ, JPJeBid dll – 4-5 Julai, 10mlm-6pg

    JPJ umum gangguan capaian rangkaian di kios, MySikap, MyJPJ, JPJeBid  dll – 4-5 Julai, 10mlm-6pg

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan terdapat gangguan capaian rangkaian pada 4 hingga 5 Julai 2025, dari jam 10 malam hingga 6 pagi di hampir kesemua platform dan perkhidmatannya kecuali di Kaunter JPJ Negeri, cawangan dan UTC.

    Gangguan capaian ini melibatkan perkhidmatan di portal MySikap (awam & rakan niaga), Integrasi Bersama Agensi & Rakan Niaga, Vehicle Entry Permit(VEP) (portal serta pembayaran), Road Charge (RC) melalui e-Wallet, aplikasi MyJPJ, JPJ Mobile, JPJeBID dan juga kios JPJ.

    Menurut JPJ, gangguan capaian rangkaian ini disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan perkakasan keselamatan rangkaian di pusat data JPJ. Ia bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan data utama JPJ terjamin serta memastikan semua perkakasan keselamatan berfungsi dengan optimum tanpa gangguan dalam menyokong operasi harian JPJ.

    Pada 20 Jun lalu, JPJ mengumumkan gangguan capaian rangkaian ini di semua platform perkhidmatannya termasuk kaunter JPJ Negeri, cawangan dan UTC. Walau bagaimana pun, ia ditangguhkan tanpa memaklumkan sebabnya.

     
     
  • Perodua anjur promosi Julai 2025 – Ativa dapat rebat tunai RM1,000 dan diskaun RM4,000 untuk Aruz

    Perodua sedang menganjurkan promosi Julai 2025 untuk Ativa dan Aruz yang berlangsung hingga 31 Julai 2025. Untuk SUV kompak turbo, Ativa, ia diberikan rebat tunai RM1,000, sementara MPV tujuh-tempat duduk, Aruz pula ditawarkan dengan diskaun RM4,000. Sama seperti yang ditawarkan pada bulan lalu.

    Dilancarkan pada Mac 2021, Ativa masih kekal sebagai model tunggal Perodua dengan enjin pengecas turbo. SUV segmen-A ini juga merupakan model pertama Perodua yang menggunakan platform DNGA, dijanakan unit .0 liter turbo dengan hamburan kuasa 98 PS dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear D-CVT yang kini menjadi tunjang utama Perodua. Ativa berharga dari RM62,500 untuk varian asas X hingga RM73,400 untuk model tertinggi AV dengan pilihan bumbung hitam.

    Diperkenalkan pada awal tahun 2019, Aruz merupakan MPV tujuh-tempat duduk dengan penggayaan ala SUV dan miliki jarak kelegaan tanah (ground clearance) lebih tinggi berbanding kebanyakan SUV (230 mm). Ini memberikan antara Aruz dengan satu lagi model tujuh tempat-duduk keluaran Perodua iaitu Alza yang lebih mirip dengan kereta dan jarak kelegaan tanahnya adalah 60 mm lebih rendah. Jika anda yang mahukan kenderaan yang lebih tinggi dan boleh meredah banjir yang tidak dalam, Aruz pilihan yang terbaik.

    Aruz ditampilkan dengan enjin 1.5 liter naturally-aspirated dengan output 102 PS/133 Nm, dan transmisi automatik empat-kelajuan yag menyalurkan pacuan ke gandar belakang. Passion Red telah menyertai pilihan warna bagi Aruz pada hujung 2021.

    Selain pergi terus ke bilik pameran, anda juga boleh mencuba Perodua Online Booking. Jika mahu trade-in, anda boleh berbuat demikian menerusi jabatan kereta terpakai POV yang dikendalikan sendiri oleh Perodua.

     
     
  • Petronas di Plaza Tol Shah Alam tutup hingga 20 Ogos

    Petronas di Plaza Tol Shah Alam tutup hingga 20 Ogos

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan stesen Petronas berhampiran Plaza Tol Shah Alam ditutup sementara untuk kerja-kerja penyelenggaraan sejak 1 Julai lalu sehingga 20 Ogos ini.

    Jika anda memang sering singgah di stesen minyak berkenaan, anda diminta untuk mengubah rutin tersebut sementara waktu. Bagi yang menggunakan laluan terbabit juga, pastikan bekalan minyak kenderaan anda mencukupi untuk sampai ke destinasi atau pun anda diminta mengenalpasti stesen minyak berhampiran jika perlu berbuat demikian termasuk untuk penggunaan tanda dan sebagainya.

    Anda boleh menyemak senarai stesen minyak mahu pun kawasan hentian rehat dan rawat (R&R) menerusi aplikasi dan laman web rasmi PLUS. Apa pun, sila amalkan pemanduan selamat dan berhati-hati ketika berada di jalan raya.

     
     
  • Jaecoo J8 akan dilancarkan 18 Julai ini – SUV tiga-baris tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    Jaecoo J8 akan dilancarkan 18 Julai ini – SUV tiga-baris tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    Menerusi hantaran yang dibuat di laman Facebook rasminya, Omoda | Jaecoo Malaysia telah mengesahkan bahawa SUV tiga baris tempat duduk Jaecoo J8 bakal dilancarkan ke pasaran tempatan pada 18 Julai ini. Model ini telah beberapa kali ditayangkan kepada umum, dan kali terakhir adalah pada Mac lalu di mana spesifikasi untuk pasaran tempatan disahkan dan pendaftaran minat juga turut dibuka.

    Jaecoo J8 pasaran Malaysia ini bakal ditawarkan dalam dua varian, bermula dengan varian 2WD lima tempat duduk dijual pada harga anggaran RM195,000, diikuti varian tertinggi AWD enam-tempat duduk dengan harga anggaran RM220,000.

    Kedua-dua varian ini akan digerakkan dengan unit rangkaian kuasa yang sama iaitu enjin 2.0 liter empat-silinder turbo menghasilkan 249 PS dan tork maksima 385 Nm. Model pasaran Malaysia ini nampaknya menggunakan kotak gear automatik konvesional lapan-kelajuan (bukan DCT tujuh-kelajuan seperti yang disebut sebelum ini), bersama pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda bergantung pada varian.

    Padanan ini membolehkan varian AWD SUV besar ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 200 km/j. Atas kertas, J8 AWD ini didakwa mampu mencapai penggunaan bahan api pada tahap 8.1 liter/100 km.

    Jaecoo J8 akan dilancarkan 18 Julai ini – SUV tiga-baris tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    J8 merupakan SUV flagship yang lebih besar dari kebanyakkan SUV segmen-D. Ia dihasilkan dengan ukuran 4,820 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,699 mm tinggi dan jarak antara roda sejauh 2,820 mm. Jadi model ini adalah 100 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar serta jarak roda 110 mm lebih jauh berbanding SUV segmen-D Chery Tiggo 8 Pro.

    Dari segi rupa luaran J8 ini pula direka seakan SUV bersaiz besar dari Amerika Syarikat seperti Lincoln Aviator, khususnya pada bahagian fender hadapan, tiang-D dan juga lampu belakang. Ia agak berbeza dengan model-model Jaecoo lain seperti J8 yang banyak menerima inspirasi dari model-model Range Rover.

    Manakala pada bahagian dalaman, rekaan kabin J8 adalah seperti rekaan SUV-SUV dari Chery, di mana ia mengambil inspirasi yang banyak dari model-model Mercedes-Benz. Ia boleh dilihat menerusi rekaan konsol tengah yang lebar tanpa tombol gear konvensional dan diganti dengan tuil penukar gear pada kolum stereng, corak pada upholsteri tempat duduk serta kemasan-kemasan perak dan kayu, butang penghidup enjin, suis parasange tempat duduk, serta banyak lagi.

    Juga nampak seperti Mercedes-Benz adalah papan pemuka dengan skrin paparan instrumen dan infotainmen yang bercantum di mana masing-masing bersaiz 12.3-inci, yang turut menampilkan kamera panaromik 540-darjah – kesemua perincian ini adalah standard untuk kedua-dua varian J8 pasaran Malaysia.

    Jaecoo J8 akan dilancarkan 18 Julai ini – SUV tiga-baris tempat duduk, anggaran bermula RM195k

    Selain dari perbezaan sistem penghantaran dan juga konfigurasi tempat duduk, Jaecoo telah mendedahkan beberapa perbezaan spesifikasi antara kedua-dua varian J8 pasaran Malaysia ini. Bagi varian 2WD, ia diberikan sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara, enam-beg udara, lampu suasana kabin dan dan upholsteri kulit buatan. Dengan ketiadaan tempat duduk baris ketiga, varian ini menyediakan ruang but berkapasiti 738 liter.

    Manakala J8 AWD pula diberikan kelengkapa lebih baik seperti sistem audio Sony dengan 14-pembesar suara di mana dua lagi diletakkan dalam perehat kepala tempat duduk hadapan, 10-beg udara, pintu berkuasa, sistem pewangi automatik, sistem kunci pintar menggunakan NFC, dashcam bina-dalam, tempat duduk hadapan larasan elektrik, tempat duduk kapten baris kedua dengan fungsi pengurut, tirai cermin tungkap belakang, upholsteri kulit sebenar serta kemasan-kemasan sued.

    Dengan tempat duduk baris ketiga dinaikkan, ruang but varian ini hanya menyediakan ruang berkapasiti 200 liter. Selain itu varian paling mewah ini juga diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 2.5, sistem parkir automatik, suspensi yang diberikan penyerap hentak adaptif menerusi sistem Continuous Damping Control (CDC), serta boleh mengharungi laluan air dengan kedalaman 450 mm.

    Untuk warna badan pula, varian 2WD ditawarkan dengan tiga pilihan iaitu Carbon Crystal Black, Khaki White dan Olive Grey. Kesemua pilihan warna ini turut diberikan pada varian AWD, tetapi dengan tema dua tona di mana bumbungnya diberikan dalam kemasan hitam.

     
     
  • Proton eMas 2025 – harga kekal sebab tak nak terlibat dalam perang harga yang jejaskan pembeli awal

    Proton eMas 2025 – harga kekal sebab tak nak terlibat dalam perang harga yang jejaskan pembeli awal

    Semalam subdiari Proton untuk jenama EV iaitu Pro-Net telah pun melancarkan versi kemaskini untuk SUV EV eMas 7 yang menawarkan beberapa perincian dan kemasan tambahan, tetapi masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran yang sama seperti dilancarkan pada tahun lalu iaitu RM105,800 untuk varian Prime, dan RM119,800 untuk varian Premium.

    Jadi nampaknya Proton tidak menyertai ‘perang harga’ dari beberapa saingan terdekatnya yang kini menurunkan lebih banyak harga bagi menarik pelanggan baharu. Menurut CEO Pro-Net Zhang Qiang dalam ucapannya ketika majlis pelancaran model tersebut semalam, langkah ini diambil bagi memastikan pemilik-pemilik terawal eMas 7 tidak terjejas dengan harga jualan balik yang akan jatuh mendadak.

    “Ketika kami melancarkan kereta ini (eMas 7), kami menetapkan harga yang adil dan tepat untuk rakyat Malaysia. Mengurangkan harganya sekarang akan menurunkan nilai kereta itu. Ini tidak adil kepada pelanggan pertama kami, yang percaya kepada kami sejak dari awal. Ia juga boleh melemahkan kepercayaan pelanggan terhadap Proton eMas,” kata Zhang.

    “Dalam masa yang sama, kami tahu bahawa mengekalkan harga yang stabil juga akan melindungi keyakinan terhadap Proton eMas — untuk pelanggan kami, rakan kongsi kami dan semua orang yang telah melabur kepercayaan mereka dalam perjalanan ini. Itulah sebabnya, kami akan terus melindungi nilai kereta anda — kerana kepercayaan, nilai dan keyakinan lebih penting bagi kami daripada sekadar membuat jualan pantas. Kami berada di sini untuk jangka masa panjang,” tambahnya.

    Walaupun Proton cuba mengelak, eMas 7 dilihat sebagai model yang memulakan perang harga tersebut dalam kelasnya. Sebelum adanya eMas 7, segmen ini dikuasai oleh BYD Atto 3 iaitu SUV EV segmen-C yang tiba ke pasaran Malaysia pada Disember 2022, dijual pada harga RM167,800 untuk varian Extended Range.

    Namun selepas eMas 7 diperkenalkan pada Disember 2024, Atto 3 datang dalam versi kemaskini iaitu Atto 3 Ultra yang dilancarkan ke pasaran tempatan pada April lalu dijual pada harga RM118,800 selepas rebat pelanggan terawal.

    Proton eMas 2025 – harga kekal sebab tak nak terlibat dalam perang harga yang jejaskan pembeli awal

    Satu lagi model dalam saingan segmen yang sama iaitu Chery Omoda E5 juga telah diturunkan harga lebih rendah tak lama selepas itu dengan potongan RM27,000, menjadikan harga jualan hanya RM119,818 untuk unit model 2024. Dan pada bulan Mei, Chery menurunkan lagi harga Omoda E5 sempena jualan penghabisan stok, di mana model tersebut diumum dijual pada harga hanya RM98,818. Omoda E5 ini masuk ke pasaran Malaysia pada Mac 2024, dijual pada harga asal RM146,800.

    Untuk eMas 7, harga jualan yang dinyatakan tersebut sebenarnya sudahpun termasuk diskaun RM4,000 – diskaun ini pada asalnya diberikan pada tiga ribu pelanggan terawal yang menempahnya, kemudian dilanjutkan sehingga 6,000 pelanggan terawal, dan sekarang ia sudah menjadi ‘diskaun kekal’ untuk semua pelanggan.

    Anda turut boleh mendapat diskaun tambahan RM5,000 menjadikan keseluruhan diskaun sebanyak RM9,000 diberikan menerusi pakej power exchange (ditawarkan untuk semua model Proton) sekiranya ada proses tukar beli dibuat.

     
     
  • Proton eMas 5 dilancar tahun ini — lebih kecil dan lebih murah, CKD Tg. Malim, lebih banyak model baru

    Proton eMas 5 dilancar tahun ini — lebih kecil dan lebih murah, CKD Tg. Malim, lebih banyak model baru

    Ketika pengenalan warna luaran dan dalaman baru bagi Proton eMas 7 semalam, Proton memaklumkan bahawa model eMas 5 akan dilancarkan tahun ini, dan akan bersaing dengan EV pertama Perodua, QV-E yang juga sedang dipersiapkan untuk pelancarannya, tahun ini. Menurut CEO Pro-Net, Zhang Qiang, kereta berkenaan akan lebih kecil, namun tetap menawarkan ruang, keselesaan serta ciri pintar yang setanding.

    Ini memang sudah diketahui, kerana Proton pernah mempamerkan eMas 5 dalam pelekat samaran di Malaysia Autoshow pada Mei lalu. Model kembar kepada Geely Xingyuan/Star Wish, rekaan hatchback-nya bersaing dengan model seperti BYD Dolphin.

    Juga sudah diketahui bahawa eMas 5 akan menjadi lebih mampu milik berbanding eMas 7. Memandangkan eMas 7 dijual sekitar RM100,000 untuk unit CBU-nya sebelum ini, dan kilang EV Tanjong Malim Proton akan siap hujung tahun ini untuk memasang eMas 7 terlebih dahulu, eMas 5 CBU akan bergantung kepada harga yang diluluskan oleh kerajaan.

    Proton eMas 5 dilancar tahun ini — lebih kecil dan lebih murah, CKD Tg. Malim, lebih banyak model baru

    Seperti dilaporkan sebelum ini, eMas 5 dijangka akan berkongsi mekanikal yang sama dengan Star Wish, termasuklah motor elektrik yang menjana 79 PS/130 Nm atau 116 PS/150 Nm yang terletak di belakang, serta masing-masing dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 30.12 kWh (yang memberikan jarak 310 km CLTC) dan 40.16 kWh (dengan jarak 410 km). Proton mungkin akan menawarkan kapasiti yang lebih besar, mungkin dari eMas 7, untuk memberikan jarak yang lebih jauh yang sesuai dengan penggunaan di Malaysia.

    eMas 7 dan 5 akan jadi permulaan kepada penawaran model elektrikfikasi oleh Proton, yang bakal memperkenalkan tiga model baru dalam beberapa tahun ini. Bagaimanapun, tiada sebarang perincian yang didedahkan, namun kita tahu syarikat itu telah mempatenkan nama eMas PHEV. Ini bermakna Proton juga akan memperkenalkan Galaxy Starship 7 di sini.

    Model tersebut berkongsi struktur binaan serta bahagian dalaman yang sama dengan eMas 7, tetapi ditambah dengan sistem janaan kuasa plug-in hybrid EM-i Geely. Ini terdiri daripada enjin 1.5 liter NA empat-silinder dengan janaan 111 PS/136 Nm dan sebuah motor elektrik 218 PS/262 Nm yang disepadukan ke dalam transmisi hibrid khusus (E-DHT).

    Proton eMas 5 dilancar tahun ini — lebih kecil dan lebih murah, CKD Tg. Malim, lebih banyak model baru

    Pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 7.5 saat, dan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) Aegis short blade berkapasiti paling besar 19.09 kWh, ia akan memberi jarak elektrik 120 km CLTC. Jarak gabungan keseluruhan yang boleh dicapai ialah 1,420 km.

    Satu lagi model yang berpotensi diperkenalkan di Malaysia ialah Galaxy A7, sebuah sedan segmen D yang “mampu milik”. Kereta ini menggunakan sistem EM-i AI Hybrid yang dipertingkat yang memberikan kecekapan thernal enjin sebanyak 47.26%, serta sistem tenaga dikuasakan AI untuk kadar penggunaan minyak serendah 2.67 liter per 100 km, jarak elektrik sejauh 150 km dan jarak gabungan keseluruhan 2,100 km. Geely menggelar kereta ini sebagai model global, yang menguatkan lagi kemungkinan untuk ia tiba di sini.

    Model ketiga pula masih samar-samar, dan perlu menunggu lagi untuk ia terungkai. Model Geely Galaxy mana yang ada kemungkinan itu? Mungkin saja, eMas 5 lah yang dimaksudkan sebagai model ketiga itu, yang bakal dilancarkan tahun ini.

     
     
  • JPJ akan senaraihitamkan pemandu warga asing yang tidak menyelesaikan saman AWAS bermula bulan ini

    JPJ akan senaraihitamkan pemandu warga asing yang tidak menyelesaikan saman AWAS bermula bulan ini

    Pemandu dari negara jiran yang gagal menyelesaikan saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) akan disenaraihitamkan secara automatik oleh sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bermula bulan ini, menurut Ketua {Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli.

    Beliau berkata senarai hitam ini turut terpakai kepada kenderaan berdaftar di Singapura melalui data yang diperoleh daripada rekod Permit Kemasukan Kenderaan (VEP), laporan The Star.

    “Kami akan menyenarai hitam kenderaan asing berdasarkan data VEP dan rekod kemasukan lain,” katanya sambil menambah pemandu yang dikenakan saman AWAS akan diberi tempoh kelonggaran selama 60 hari bermula 1 Julai untuk menyelesaikan bayaran saman tersebut.

    JPJ akan senaraihitamkan pemandu warga asing yang tidak menyelesaikan saman AWAS bermula bulan ini

    “Mereka yang gagal berbuat demikian dalam tempoh yang ditetapkan akan disenarai hitam secara automatik oleh sistem jabatan,” katanya.

    Pada 1 Julai lalu, JPJ mengumumkan tawaran bayaran Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 yang sepatutnya berakhir pada 30 Jun lalu, akan dilanjutkan sehingga 31 Disember 2025. Ia adalah untuk tiga kesalahan yang melibatkan tiga jenis notis saman JPJ iaitu Saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AwAS) (Saman 53A) dari Oktober 2018 hingga kini, Notis Temu Siasat (114) dan Notis Saman Tampal/JPJ(P)23 (115), kedua-duanya untuk tahun 2024 dan sebelumnya.

    Harap mereka yang mempunyai saman tertunggak ini, tak kiralah warga Malaysia mahu pun pemandu negara asing, sila ambil peluang ini untuk menyelesaikannya sementara tempoh lanjutan Kadar Kompaun Khas Kadar Rata (Flat Rate) RM150 diteruskan bagi mengelakkan nama anda disenaraihitamkan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025