Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Presiden AS Joe Biden umum tarif cukai baru untuk barangan dari China – duti EV naik dari 25%-100%

    Presiden AS Joe Biden umum tarif cukai baru untuk barangan dari China – duti EV naik dari 25%-100%

    Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden telah mengumumkan tarif cukai baharu terhadap barangan dari China yang masuk ke negara berkenaan, di mana tarif tersebut dilihat lebih tinggi, lapor The Guardian. Langkah itu difokuskan terhadap kereta elektrik (EV), dan ia nampaknya dibuat bagi melindungi pengeluar-pengeluar tempatan di AS dari model-model import yang lebih murah dan dikhuatiri akan meningkatkan tekanan perdagangan antara dua kuasa ekonomi terbesar dunia itu.

    “Pekerja Amerika boleh keluar bekerja dan mengatasi sesiapa sahaja asalkan persaingan itu adil, tetapi sudah terlalu lama ia tidak adil,” kata Biden semasa ucapan di White House Rose Garden. “Kami tidak akan membiarkan China membanjiri pasaran kami,” tambahnya, seperti yang dilaporkan oleh Reuters.

    Dalam ucapannya, Biden mengumumkan bahawa duti EV akan dinaikkan empat kali ganda daripada 25% kepada 100%, dan ini sudah tentu melegakan CEO Tesla Elon Musk. Sementara itu, levi akan meningkat dari 7.5% kepada 25% untuk bateri litium, 0% hingga 25% untuk mineral kritikal, 25% kepada 50% untuk sel solar dan 25% kepada 50% untuk semikonduktor. Tarif ke atas keluli dan aluminium, yang berkisar antara 0% hingga 7.5%, juga akan dinaikkan kepada 25%.

    Presiden AS Joe Biden umum tarif cukai baru untuk barangan dari China – duti EV naik dari 25%-100%

    Buat masa sekarang tiada lagi jenama China yang menjual kereta pada pasaran AS, namun ada jenama seperti Buick, Lincoln, Lotus, Polestar dan Volvo membawa kereta-kereta mereka yang di pasang di China ke negara tersebut, menurut Autoblog yang memetik laporan Sam Fiorani dari AutoForecast Solution di Yahoo Finance.

    Walau bagaimanapun antara semua jenama tersebut, hanya Lotus dan Polestar di mana kedua-duanya milik Geely yang mengimport model-model EV dari China untuk dijual di AS. Lotus buat masa sekarang membawa unit-unit EV dari China ke AS dalam jumlah yang cukup terhad, manakala Polestar pula dalam rancangan untuk memasang model Polestar 3 di Carolina Selatan tahun ini, dijangka bakal mengelak cukai yang tinggi tersebut berbanding sekiranya ia diimport sepenuhnya dari China.

    Fiorani juga menegaskan bahawa jenama automotif China yang mempunyai fasiliti produksi di luar China, seperti di Mexico atau Korea Selatan, boleh mengelakkan kenaikan tarif baharu tersebut. “Kongres sedang mencari cara untuk mengawal pengimportan kenderaan oleh jenama China, tetapi ia akan menjadi sukar sekiranya ia tidak dibuat di China,” katanya.

     
     
  • BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

    BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

    Mexico menjadi negara pertama menerima trak pikap pertama daripada BYD, yang dipanggil sebagai Shark dan ia dilancarkan dalam dua varian iaitu GL berharga 899,980 peso (RM251,600) dan GS pada harga 969,800 peso (RM271,000).

    Menggunakan asas daripada SUV Bao Leopard 5, trak plug-in hybrid ini digerakkan oleh sistem Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid yang melibatkan enjin empat silinder 1.5L turbo 192 hp (143 kW) bersama dua motor elektrik – yang di hadapan berkuasa 228 hp (170 kW) dan 310 Nm, manakala yang di belakang berkuasa 201 hp (150 kW) dan 340 Nm. Kuasa keseluruhan yang mampu dihasilkan adalah lebih 430 hp.

    Ini membolehkannya untuk melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.7 saat, sebelum mencapai laju maksimum 160 km/j, manakala penggunaan bahan api pula berada pada kadar 7.5 km bagi setiap 100 km. Bateri lithium iron phosphate (LFP) Blade 29.58 kWh yang digunakan mampu memberi jarak gerak elektrik 100 km, dan menyumbang kepada jarak perjalanan keseluruhan sejauh 840 km. Ia juga boleh menerima pengecasan pantas DC sehingga 40 kW, yang boleh menaikkan kuasa bateri dari 30 ke 80% dalam masa 20 minit.

    BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

    Sama seperti Leopard 5, Shark dibina atas kerangka ladder frame dengan bateri bersepadu, manakala bahagian suspensi terdiri daripada tetapan independent double wishbone di hadapan dan belakang. Ruang barangan di belakang mempunyai kapasiti 1,450 liter dan boleh membawa barang sehingga 2,665 kg. Kemampuan menarik pula adalah 2,500 kg.

    BYD mendakwa, Shark adalah model paling besar dalam kelas satu tan dengan mencatat ukuran panjang 5,457 mm, lebar 1,971 mm dan tinggi 1,925 mm. Ini menjadikan ia 132 mm lebih panjang, 71 mm lebih lebar dan 110 mm lebih tinggi berbanding Hilux yang menjadi pesaing utamanya. Ia malah lebih besar berbanding Tacoma.

    Melihat kepada rekaannya, Shark tampil seperti kebanyakan trak lain dengan bentuk berpetak dan tegap, dengan di hadapannya terdapat tulisan BYD besar di tengah dan lampu DRL berbentuk C yang kelihatan bersambung di tengah dengan kemasan pada bucu bonet. Rim menggunakan unit 18 inci.

    BYD Shark dilancarkan di Mexico – trak pikap PHEV pesaing Hilux, dua motor elektrik, kuasa lebih 430 hp

    Di dalam, banyak bahagian diambil daripada Leopard 5, termasuk butang pilihan mod pemanduan yang berada di stereng, serta tombol gear dan pelbagai lagi suis di konsol tengah. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 12.8 inci yang boleh dipusing seperti Dolphin, manakala di hadapan pemandu terletak skrin instrumen 10.25 inci. Turut diberi adalah fungsi kawalan suara, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, kunci digital, kamera 360 darjah dan head-up display 12 inci.

    Daripada aspek keselamatan, Shark datang dengan enam beg udara dan boleh dipilih dengan pelbagai sistem bantuan pemandu seperti Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Rear Collision Warning, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert dengan brek automatik.

    Trak ini sudah sah akan memasuki pasaran Australia serta Afrika Selatan, dan pernah dijumpai dengan stereng yang berada di sebelah kanan. Ini sekaligus meningkatkan kemungkinan ia juga akan memasuki pasaran Asia Tenggara seperti Thailand dan Malaysia, tetapi syarikat itu perlu bersaing dengan model diesel lebih lasak yang sudah sedia popular.

     
     
  • Sistem ART di JB babitkan tiga jajaran dengan jarak hampir 50 km – bakal miliki 32 stesen; kos RM7 bilion

    Sistem ART di JB babitkan tiga jajaran dengan jarak hampir 50 km – bakal miliki 32 stesen; kos RM7 bilion

    Trem pintar prototaip Transit Aliran Autonomi (ART) di Sarawak

    Kerajaan Johor telah memilih pembinaan Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bagi mengatasi masalah kesesakan di pusat bandar Johor Bahru. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, ART di JB bakal membabitkan jarak hampir 50 kilometer dan melibatkan 32 hentian stesen.

    Menurut beliau lagu, terdapat tiga jajaran dicadangkan iaitu laluan Iskandar Puteri sepanjang 14.78 km, laluan Skudai (18.8 km) dan laluan Tebrau (14 km). Di mana, katanya, kajian sedang dijalankan dan dijangka siap pada Ogos tahun ini untuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri, laporan Bernama.

    “ART Bertingkat ini tidak gunakan jalan biasa seperti yang dicadangkan di Sarawak. Kita menggunakan sistem yang macam Sarawak tapi infrastruktur lain. Sarawak bina di atas jalan raya. Kita atas (elevated).

    Sistem ART di JB babitkan tiga jajaran dengan jarak hampir 50 km – bakal miliki 32 stesen; kos RM7 bilion

    Kita memilih ART Bertingkat sebab boleh disiapkan dalam tempoh masa lebih pendek berbanding Transit Aliran Ringan (LRT). Kita nak melengkapi Rapid Transit System Link (RTS). RTS dijangka siap Disember 2026 mula beroperasi bulan Januari 2027,” katanya.

    Selain itu, pembinaan ART Bertingkat meliputi 90% kawasan di dalam wilayah Iskandar Malaysia. Ia juga akan dilengkapi dengan pakej pengangkutan awam seperti bas yang akan disambungkan dengan stesen. Ia akan melibatkan kos pembinaan bagi sistem pengangkutan awam itu dianggarkan hampir RM7 bilion.

    Pada 16 April lepas, Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dilapor berkata kerajaan negeri berhasrat membangunkan sistem ART bertingkat di Johor Bahru bagi mengatasi kesesakan di bandar raya itu dan cadangan tersebut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail untuk dibawa ke kerajaan Persekutuan bagi diperhalusi.

     
     
  • Lebuhraya WCE ditutup pada 19 Mei bagi acara berbasikal; Lekir-Taiping Selatan, 2 pagi-5 petang

    Lebuhraya WCE ditutup pada 19 Mei bagi acara berbasikal; Lekir-Taiping Selatan, 2 pagi-5 petang

    Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) bakal ditutup sementara pada 19 Mei (Ahad ini) bagi memberikan laluan kepada acara berbasikal RHB WCE Century Ride 2024 yang akan berlangsung pada hari tersebut. Penutupan sementara laluan terbabit adalah dari Persimpangan Lekir hingga Persimpangan Taiping Selatan, di kedua-dua arah, dari jam 2 pagi hingga 5 petang.

    “Lencongan jalan akan dilaksanakan bermula di antara WCE/Jalan Persekutuan FT5 di Batu 14 Lekir serta di antara WCE/Jalan Persekutuan FT50/PLUS Changkat Jering. Pengguna disaran untuk menggunakan laluan alternatif dan rancang perjalanan dengan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan,” kata pengendali WCE.

    RHB WCE Century Ride 2024 merupakan acara basikal dengan laluan terpanjang di lebuhraya di Malaysia yang melibatkan jarak kayuhan sejauh 160 km. Ia dijangka menerima 3,000 penyertaan, dengan tiga kategori yang dibuka iaitu 28 km, 90 km dan 160 km. Sesi flag-off dijangka berlangsung pada jam 6.45 pagi di Plaza Tol Lekir.

     
     
  • Stesen KTM Segamat baharu telah mula beroperasi

    Stesen KTM Segamat baharu telah mula beroperasi

    Pastinya ini menjadi khabar gembira buat warga Segamat, Johor, kerana telah pun memiliki stesen keretapi baharu. KTMB telah pun mengumumkan pemindahan operasi dari stesen sementara Segamat ke stesen Segamat (Baharu) yang bermula sejak jam 7 pagi tadi (15 Mei 2024).

    Pemindahan operasi Stesen sementara Segamat Ke Stesen Segamat (Baharu) ini adalah bagi migrasi Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru. Stesen keretapi baharu ini terletak di Jalan Stesen, berhampiran dengan stesen bas – rujuk peta di atas untuk gambaran lebih tepat.

    Bulan lalu, KTMB telah mengeluarkan teaser berkenaan dengan perkhidmatan tren ETS di Segamat, Johor yang akan bermupa pada 1 Julai ini. Buat masa ini, perkhidmatan ETS adalah dari Padang Besar di utara ke Gemas, Negeri Sembilan di Selatan, jadi inilah pertama kali ETS akan beroperasi di Johor.

    Stesen KTM Segamat baharu telah mula beroperasi

    Pada September tahun lalu, dilaporkan Projek Landasan Berkembar Sistem Tren Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru dijangka boleh digunakan sepenuhnya pada April 2025.

    Perkhidmatan ETS ini menghubungkan laluan dari Padang Besar, Perlis ke Johor Bahru, Johor. Untuk laluan Gemas-JB, ia melibatkan jarak sepanjang 192 kilometer dan akan melalui 11 stesen, antaranya Segamat, Kluang, Labis, Bekok, Paloh, Rengam, Layang-layang, Mengkibol, Kulai dan Kempas Baru.

    Ia akan dilengkapi dengan tren berkuasa 25,000 voltan yang bergerak selaju 140 kilometer sejam. Anggaran masa perjalanan dari KL Sentral ke JB Sentral adalah tiga jam 30 minit. Manakala dari stesen Segamat ke JB Sentral memakan masa sejam 30 minit.

     
     
  • Isuzu D-Max facelift 2024 dilancar — bermula RM99k, enjin Euro 4, Rough Terrain Mode, ADAS dipertingkat

    Isuzu D-Max <em>facelift</em> 2024 dilancar — bermula RM99k, enjin Euro 4, Rough Terrain Mode, ADAS dipertingkat

    Walaupun baru sahaja menerima penyegaran tahun lalu, ini tidak menghalang untuk Isuzu memperkenalkan satu lagi versi facelift bagi trak pikap D-Max – ini dia Isuzu D-Max facelift 2024 secara rasmi dilancarkan di Malaysia! Kemaskini kali ini bukan hanya melibatkan rombakan dilakukan di bahagian luaran dan dalaman, malah ia turut membabitkan peningkatan pada bahagian mekanikal serta kebolehannya meredah laluan off-road.

    D-Max 2024 masih kekal ditawarkan dalam bentuk badan Single Cab dengan pilihan enjin turbo diesel 3.0L dan 1.9L (kedua-duanya diberikan sistem 4X4 dan hanya kotak gear manual) serta bentuk badan Double Cab bermula varian asas Standard 1.9L 4X4 AT dan MT, diikuti varian 1.9L 4X2 Auto Plus (hanya AT), varian pertengahan 1.9L 4X4 AT Premium dan 3.0L 4X4 AT Premium, dan varian paling tinggi 3.0L 4X4 AT X-Terrain.

    Untuk bahagian luaran, model kemaskini 2024 ini menyaksikan kesemua varian menerima rekaan bampar baharu dengan elemen bar untuk gril atas direka lebih ringkas, manakala gril bawah pula kini tampil dengan elemen rekaan sarang lebah.

    Lampu hadapan juga hadir dengan kluster baharu di mana bahagian bawahnya ‘disikat’ ke atas, manakala grafik lampu nyalaan siang LED kini dialih ke atas berbanding di bawah sebelum ini. Manakala perumah lampu kabus pada bahagian sisi bampar kini turut menampilkan tirai udara bagi mengalirkan udara masuk ke ruang roda hadapan bagi mendapatkan kesan aerodinamik lebih baik.

    Isuzu D-Max <em>facelift</em> 2024 dilancar — bermula RM99k, enjin Euro 4, Rough Terrain Mode, ADAS dipertingkat

    Model kemaskini ini turut menampilkan rekaan rim baharu bagi varian-varian yang menerima set 18-inci (X-Terrain menerima rim dalam kemasan hitam) dan juga grafik LED baharu bagi lampu kombinasi belakang serta pintu tailgate belakang yang direka semula.

    Untuk pilihan warna badan, model tertinggi X-Terrain diberikan pilihan warna baharu Namibu Orange Mica, bersama pilihan Islay Gray, Onyx Black dan Dolomite Pearl, sementara varian Premium ditambah dengan pilihan warna Mercury Silver. Manakala varian Auto Plus dan Standard AT turut diberikan pilihan warna sama seperti Premium, kecuali untuk rona putih ia diganti dengan warna Splash White.

    Bagi model Standard dengan kotak gear manual, ia hanya ditawarkan dalam warna Onyx Black, Mercury Silver dan Splash White, sementara varian dengan badan Single Cab pula semuanya hanya datang dengan pilihan warna badań Splash White.

    Khas untuk varian X-Terrain, ia menerima rel bumbung, cermin sisi, pembuka pintu dan tailgate, panel di bampar hadapan, pemijak sisi dan overfender dalam kemasan kelabu gelap, bersama kemasan skid plate bawah bampar hadapan berwarna perak.

    Isuzu D-Max <em>facelift</em> 2024 dilancar — bermula RM99k, enjin Euro 4, Rough Terrain Mode, ADAS dipertingkat

    Perincian lain masih lagi kekal dengan lampu halogen bersama fungsi Follow Me Home dan lampu nyalaan siang jenis mentol diberikan pada semua varian Single Cab dan Standard MT, manakala lampu Bi-LED diberikan pada model Standard AT dan Auto Plus. Lampu nyalaan siang LED pula diberikan bermula pada varian Auto Plus dan ke atas. Model Premium dan X-Terrain diberikan lampu hadapan projektor Bi-LED Automatik.

    Di sebelah dalam, X-Terrain kini menerima panel paparan meter digital e-LUMAX dengan skrin berwarna TFT tujuh-inci, skrin infotainmen baharu bersaiz 10-inci yang menyokong Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar serta diberikan fungsi pengaktifan suara “Hi D-Max”, dan lapan pembesar suara. Varian Premium turut menerima fungsi sistem infotainmen yang sama tetapi dengan skrin sembilan-inci, dan kedua-duanya menerima lapan pembesar suara.

    Bagi varian Auto Plus ia juga menerima skrin infotainmen sembilan-inci yang sama tetapi dengan hubungan MirrorLink, Miracast, Apple CarPlay, Android Auto yang masih menggunakan sambungan wayar serta enam pembesar suara. Varian Standard pula diberikan pemain CD 2-DIN dengan enam pembesar suara, manakala model Single Cab hanya diberikan pemain audio 1-DIN dengan hubungan Bluetooth dan USB bersama dua pembesar suara.

    Anda juga boleh lihat beberapa kemasan yang telah direka semula untuk model 2024 seperti pada pad hon pada stereng, tempat duduk, kemasan sekeliling skrin infotainmen, dan juga kemasan paling atas papan pemuka.

    Untuk upholsteri, kedua-dua model paling tinggi iaitu X-Terrain dan Premium datang dengan upholsteri kulit serba hitam. D-Max 2024 ini juga kini menampilkan kemasan rekaan ‘Miura’, iaitu rekaan paralellogram diinspirasikan dari seni origami Jepun yang boleh ditemui pada papan pemuka dan panel pintu.

    Bagi model X-Terrain, warna gelap berkenaan turut diserlahkan panel kemasan Cafe Brown dan Satin Silver pada papan pemuka dan pintu, serta serlahan-serlahan jahitan benang perang termasuk pada roda stereng serta sarung tuil gear dan brek tangan. Selain itu, varian ini juga diberikan lampu selamat datang yang dipancarkan ke permukaan tanah apabila pintu dibuka serta lampu suasana kabin yang dipertingkat dan boleh dipilih dengan tujuh pilihan warna.

    Pengecas pantas tanpa wayar 15W kekal diberikan pada varian X-Terrain, Premium dan Auto Plus. Manakala port USB Type C 2.1A pula diberikan pada varian X-Terrain dan Premium, yang kini turut ditampilkan untuk pengecas penumpang belakang. Kamera perakam video digital (DVR) hadapan dan belakang masih diberikan secara standard untuk X-Terrain, manakala varian Premium kini datang standard dengan DVR hadapan.

    Untuk penghawa dingin pula, model Single Cab, Standard dan Auto Plus diberikan sistem jenis manual, disertakan dengan liang kabin belakang untuk model empat pintu. Manakala varian Premium dan X-Terrain pula diberikan penghawa dingin automatik dua-zon. Jika sebelum ini hanya X-Terrain diberikan tempat duduk larasan kuasa untuk pemandu, bagi versi kemaskini 2024 ini perincian tersebut turut diberikan pada varian Premium.

    Isuzu D-Max <em>facelift</em> 2024 dilancar — bermula RM99k, enjin Euro 4, Rough Terrain Mode, ADAS dipertingkat

    Untuk unit rangkaian kuasa, kini semua enjin yang ditawarkan pada Isuzu D-Max sudahpun dikemaskini dengan mencapai piawaian emisi Euro 4 dengan penambahan diesel particulate filter (DPF), namun masih mengekalkan angka kuasa yang sama. Semua model dengan enjin 1.9L dijana oleh unit RZ4E-TC turbodiesel common-rail empat-silinder berkuasa 150 PS dan tork maksima 350 Nm. Manakala model dengan enjin 3.0L pula masih menerima unit 4JJ3 turbodiesel empat-silinder berkuasa 190 PS dan tork maksima 450 Nm.

    Tiada perubahan untuk kotak gear enam-kelajuan manual dan automatik, dan ia masih dipadankan dengan sistem pacuan empat roda yang boleh dipilih antara mod 2H, 4H dan 4L hanya dengan memutarkan suis pilihan. Jika sebelum ini Isuzu sudahpun memberikan unit diff-lock di gandar belakang untuk semua varian bagi memberikan keupayaan off-road yang lebih baik, kini ia lebih sempurna dengan kehadiran fungsi Rough Terrain Mode baharu, namun ia hanya dipadankan pada varian X-Terrain dan Premium.

    Rough Terrain Mode ini berfungsi untuk memindahkan tork dari roda yang langsung tiada traction seperti terperangkap dalam lumpur atau pasir, kepada roda yang masih mempunyai tork. Ia boleh berfungsi tidak kira dalam mod 2H, 4H atau 4L, dan ia tersedia pada roda hadapan dan belakang serta boleh berfungsi dalam semua kelajuan.

    Secara standard, semua varian D-Max 2023 diberikan sistem keselamatan seperti brek ABS, EBD dan BA, kawalan kestabilan elektronik, Traction Control, bantuan mula mendaki, kawalan menurun cerun, isyarat berhenti kecemasan dan pengingat pemakaian tali pinggang keledar untuk semua tempat duduk.

    Isuzu D-Max <em>facelift</em> 2024 dilancar — bermula RM99k, enjin Euro 4, Rough Terrain Mode, ADAS dipertingkat

    Kini varian X-Terrain diberikan tujuh-beg udara, manakala Premium pula enam-beg udara, dan kedua-duanya dilengkapi dengan kamera pemantau 360-darjah, manakala varian lain kekal dengan hanya dua beg-udara. Bagi kamera pemantau 360-darjah tersebut, ia kini telah diperbaharui dengan memberikan lebih banyak sudut termasuk mod invisible, bantuan garis parkir lebih baik serta suis pengaktifan yang kini sudah berlampu.

    Kedua-dua varian ini juga datang standard dengan sistem pemantau titik buta serta amaran lintasan trafik belakang, dan ia kini turut datang dengan fungsi brek kecemasan automatik di belakang.

    Bagi varian X-Terrain sebelum ini ia sudahpun menerima sistam bantuan pemanduan (ADAS) termasuk amaran perlanggaran depan, brek kecemasan automatik, cruise control adaptif dengan fungsi Stop/Go, lampu tinggi automatik, amaran menukar lorong, penghindaran salah operasi pedal dan bantuan selekoh.

    Manakala bagi versi 2024 ini, sistem ini dipertingkat di mana kamera stereo generasi keempat yang dipadankan pada cermin hadapan. Kamera berkenaan kini boleh mengimbas pandangan mendatar pada sudut 120 darjah berbanding hanya 40 darjah sebelum ini, dan mengesan kenderaan hadapan pada jarak 150 meter berbanding 120 meter sebelum ini. Selain memberikan pengesanan yang lebih awal dengan imbasan yang lebih luas dan jauh, kamera ini juga mempunyai fungsi anti-kabus.

    Isuzu D-Max <em>facelift</em> 2024 dilancar — bermula RM99k, enjin Euro 4, Rough Terrain Mode, ADAS dipertingkat

    Dengan semua pembaharuan ini, Isuzu D-Max 2024 dijual pada harga bermula RM98,949.20 untuk model Single Cab 1.9L 4X4 MT, diikuti RM105,888.40 untuk model Single Cab 3.0L 4X4 MT. Model Double Cab pula bermula RM109,599.20 bagi model 1.9L 4X4 MT Standard, RM116,999.20 untuk model 3.0L 4X4 AT Standard. Satu-satunya model pacuan dua roda iaitu 1.9L 4X2 Auto Plus dijual pada harga RM109,499.20.

    Bagi model 1.9L 4X4 Premium AT dijual pada harga RM134,646.20, dan varian 3.0L 4X4 AT pula berharga RM141,138.40. Akhir sekali varian tertinggi 3.0L 4X4 At X-Terrain dijual pada harga RM157,938.40. Semua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, untuk Semenanjung Malaysia.

    Bagi varian X-Terrain, ia masih menawarkan waranti selama tujuh tahun tanpa had perbatuan, manakala varian lain kekal dengan waranti selama lima tahun atau 150,000 km.

    GALERI: Isuzu D-Max X-Terrain facelift 2024

    GALERI: Isuzu D-Max 3.0L Premium facelift 2024

     
     
  • Seorang penunggang motosikal tercedera gara-gara terlanggar benang melintang di Lebuhraya SUKE

    Seorang penunggang motosikal tercedera gara-gara terlanggar benang melintang di Lebuhraya SUKE

    Seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan di bahagian dagu gara-gara terlanggar benang melintang di Lebuhraya SUKE pada petang Isnin lalu. Menerusi perkongsiannya dalam laman media sosial ‘X’ (terdahulu dikenali sebagai Twitter), pengguna terbabit Muas Rosdi berkata dia melalui Lebuhraya SUKE selepas susur keluar Taman Kosas di Ampang menghala ke tol Bukit Teratai apabila kejadian malang itu berlaku.

    Menerusi perkongsian terbabit, dia turut berkongsikan gambar kecederaannya. Mujur juga tidak melibatkan kecederaan parah mahu pun kemalangan jiwa.

    Susulan insiden tersebut, Prolintas selaku syarikat pengendali SUKE telah mengeluarkan kenyataan media dan mengatakan bahawa buat setakat ini pihaknya masih belum menerima sebarang laporan daripada mangsa dan menyarankan agar mangsa membuat laporan kepada pihak berkuasa. Malah Prolintas berkata pihaknya kekal komited untuk memberikan kerjasama penuh dalam siasatan pihak polis.

    Selain menggesa mana-mana saksi kejadian untuk tampil membuat laporan mengenai insiden ini kepada pihak polis dan Prolintas, syarikat konsesi ini turut menggerakkan pasukan peronda SUKE untuk meningkatkan pengawasan di sepanjang lebuhraya ini. Insiden sebegini juga pernah berlaku di Lebuhraya DUKE dan Lebuhraya KESAS sebelum ini. Tak pastilah apa motif si pelaku, adakah sengaja nak buat ‘dajal’ sampai mengancam keselamatan orang lain.

     
     
  • Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) di Putrajaya – ujian rintis hingga 31 Julai, tambang percuma

    Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) di Putrajaya – ujian rintis hingga 31 Julai, tambang percuma

    Ujian bagi projek rintis Kenderaan Transit Aliran Automatik (ART) di Putrajaya sedang dilaksanakan selama tiga bulan iaitu sehingga 31 Julai ini. Menurut Perbadanan Putrajaya, projek perintis itu adalah sebahagian daripada usahanya untuk menjadikan ART sebagai mod pengangkutan yang dapat melengkapkan rangkaian pengangkutan semasa.

    Tiada sebarang tambang akan dikenakan untuk para penumpang. Sepanjang tempoh ujian, ia akan menggunakan dua lorong iaitu Laluan 1A akan beroperasi dari Isnin hingga Jumaat dari MRT Putrajaya Sentral hingga ke Lebuh Wawasan, Persiaran Perdana dan Lingkaran Gemilang sebelum kembali ke stesen MRT berkenaan.

    Manakala laluan 2B pula hanya akan beroperasi pada hujung minggu sahaja. Ia akan bergerak dari MRT Putrajaya Sentral ke Persiaran Perdana, sebelum menuju ke Lebuh Bestari, Persiaran Timur, IOI Putrajaya dan kembali ke stesen MRT. Untuk menaikinya, hanya imbas kod QR yang terdapat di perhentian. Setiap hari hanya ada tiga trip perjalanan sahaja dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

    Kerajaan Johor juga bersetuju untuk melaksanakan sistem ART sebegini di Johor Baharu berikutan kosnya yang lebih rendah berbanding rangkaian LRT. Sebelum ini sistem ART pernah diuji di Cyberjaya selama tiga bulan pada tahun 2022, dan mengendalikan tram tanpa litar dengan kapasiti 307 penumpang dan boleh mencecah kelajuan hingga 70 km/j. Sarawak juga turut melaksanakan sistem ujian ART pada tahun lalu di mana Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC) mengendalikan ujian kejuruteraan untuk sistem tram tanpa litar tiga-gerabak janaan hidrogen pada September dan November.

     
     
  • Kia EV6 facelift 2025 — tampil rekaan segar, tambah kelengkapan, bateri lebih besar 84 kWh, jarak 494 km

    Kia EV6 <em>facelift</em> 2025 — tampil rekaan segar, tambah kelengkapan, bateri lebih besar 84 kWh, jarak 494 km

    Hanya selepas tiga tahun EV6 mula dikeluarkan, Kia kini sudah menunjukkan model facelift EV berkenaan. Antara kelainan yang dilakukan termasuklah dari segi penampilan serta kapasiti bateri lebih besar yang akan memberikan jarak tambahan kepada SUV elektrik itu.

    Setakat ini, sebanyak 210,000 EV6 telah berjaya dijual di peringkat global. Dengan kejayaan itu, pembaharuan rekaan yang diberikan kepada versi terbaru ini tidaklah terlalu drastik — masih dengan kedudukan rendahnya, dengan rekaan lampu depan bentuk C serta DLR “Star Map” rekaan baru, yang diilhamkan daripada model-model terkini Kia seperti EV5.

    Ada jalur hitam yang menghubungkan semua rekaan di depan tersebut, dengan rekaan gril “Tiger Nose” yang nampak garang. Bampar juga diberi rekaan baru dengan bukaan udara bentuk sayap bagi tujuan rupa yang lebih dinamik, sementara skirting sisi bagi model standard (kekal sama untuk model GT) telah diberi rekaan baru untuk menjadikannya lebih ringkas.

    Kia EV6 <em>facelift</em> 2025 — tampil rekaan segar, tambah kelengkapan, bateri lebih besar 84 kWh, jarak 494 km

    Di belakang, lampu lengkap dengan rekaan “Star Map” yang sama, serta ada juga elemen rekaan sayap seperti di depan untuk bamparnya. Bagi versi GT-Line pula, ia menerima rekaan geometrik baru untuk bahagian depan dan bampar belakang yang menjadikannya lebih sporty, serta panel dengan lampuan di tengah yang mempertemukan garisnya dengan lampu utama dan rim aloi 20-inci yang digunakan.

    Perubahan untuk ruang dalaman pula sangat sedikit — antaranya panel paparan lengkung yang lebih tegak (masih dengan papran berkembar 12.3-inci), papan pemuka dengan tekstur baru, lampu ambient serta pelantar pengecasan tanpa wayar Qi yang lebih kesat permukaannya. Roda stereng juga baru, diambil daripada model K4, dengan bahagian atasnya rata serta ciri capacitive touch sensor.

    Ciri baru yang lain pula termasuklah sistem infotainmen connected car Navigation Cockpit (ccNC) generasi baru yang menyokong fungsi-fungsi utama kenderaan untuk menerima kemaskini secara over-the-air (OTA), bersekali dengan ciri pengesan suara canggih, Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, pengesahan cap cari dan kunci digital baru.

    Kia EV6 <em>facelift</em> 2025 — tampil rekaan segar, tambah kelengkapan, bateri lebih besar 84 kWh, jarak 494 km

    Ciri untuk keselesaan lainnya turut dipertingkat, seperti walk-away auto lock, stereng larasan kuasa, head-up display 12-inci, pendingin dengan photocatalytic sterilisation, cermin pandang belakang digital serta dash cam binaan dalam.

    Untuk janaan kuasa, EV6 terbaru ini diberikan peningkatan bateri generasi keempat, dengan kapasiti yang lebih besar dari 77.4 kWh kepada 84 kWh. Ini menjadikan jarak perjalanannya juga bertambah darip 475 km kepada 494 km bagi versi long range pacuan roda belakang, yang terus menjana 229 PS (168 kW) dan 350 Nm tork.

    Varian pacuan semua roda pula menghasilkan 325 PS (239 kW) dan 605 Nm serta memberikan jarak 461 km. Dengan kapasiti bateri yang bertambah, ia bagaimana pun masih boleh dicas dari 10-80% dalam masa 18 minit menggunakan pengecas pantas DC 350 kW, memandangkan EV6 memanfaatkan senibina elektrikal 800-volt.

    Kia EV6 <em>facelift</em> 2025 — tampil rekaan segar, tambah kelengkapan, bateri lebih besar 84 kWh, jarak 494 km

    Keselesaan juga diperkemas dengan penyerap hentak yang ditala semula, pengurangan bunyi motor elektrik serta kerangka badan yang lebih kukuh dengan penambahan ketebalan tiang B. Dari segi keselamatan, EV6 baru ini dilengkapi ciri bantuan parkir jarak jauh dan bantuan mengekalkan lorong yang dipertingkat, serta ciri brek autonomous kelajuan rendah untuk parkir. Turut ada ialah pertambahan beg udara di tengah bahagian depan, serta di sisi bahagian belakang.

    Di Korea Selatan, walaupun dengan semua kemaskini yang dilakukan tersebut, harganya tidak jauh berbeza daripada sebelumnya — dari 55.4 juta won (RM191,300) hingga 63.15 juta won (RM218,000).

     
     
  • Isu gandar belakang Chery Omoda 5: 420 unit yang dijual di Indonesia turut terlibat dan dipanggil semula

    Isu gandar belakang Chery Omoda 5: 420 unit yang dijual di Indonesia turut terlibat dan dipanggil semula

    Chery Sales Indonesia (CSI) telah mengeluarkan notis panggilan semula terhadap 420 unit Omoda 5 yang telah terjual di pasaran tersebut berhubung isu berkaitan gandar belakang pada SUV tersebut.

    Menurut CSI dalam kenyataan yang dikeluarkan, panggilan semula terhadap kesemua unit Omoda 5 yang terjejas tersebut dibuat selepas siasatan yang dijalankan oleh Chery International mendapati unit gandar belakang itu terjejas ketika proses naik taraf fasiliti pengeluaran komponen tersebut dibuat pada masa tertentu.

    “Berdasarkan hasil penyiasatan, insiden ini adalah terpencil. Walau bagaimanapun, untuk keselamatan kami dapat mengenalpasti 420 unit Omoda 5 1.5T (varian Z dan RZ) yang mempunyai potensi untuk terjejas di Indonesia”, tulis kenyataan itu.

    Isu gandar belakang Chery Omoda 5: 420 unit yang dijual di Indonesia turut terlibat dan dipanggil semula

    Bagi melengkapkan panggilan semula ini, CSI akan menghubungi semua pemilik 420 unit Omoda 5 berkenaan untuk membuat temu janji di pusat servis Chery bertauliah yang terdekat untuk diperiksa, dan komponen itu akan ditukar sekiranya perlu tanpa sebarang bayaran.

    Isu gandar belakang Chery Omodo 5 ini bermula di Malaysia pada hujung bulan lalu, apabila gandar belakang sebuah Omoda 5 tertanggal ketika dipandu oleh pemiliknya di sini. Susulan itu, Chery Malaysia telah membuat panggilan semula terhadap 600 unit Omoda 5 yang dikhuatiri terjejas kerana masalah yang sama.

    “Susulan daripada siasatan menyeluruh, vendor melaporkan bahawa masalah itu adalah disebabkan oleh naik taraf fasiliti ketika itu telah menyebabkan hujung mesin kimpalan automatik yang telah haus diganti dengan muncung baru. Penggantian tersebut telah mengakibatkan salah kalibrasi terhadap kelengkapan tersebut,” kata Naib Presiden Chery Auto Malaysia, Lee Wen Hsiang dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi memberitahu punca sebenar kerosakan komponen itu berlaku.

    Seperti juga di Malaysia, Chery turut memproduksi Omoda 5 secara pemasangan tempatan (CKD) di Indonesia. Jadi dengan panggilan semula dibuat pada kedua-dua negara mengesahkan bahawa masalah ini adalah berpunca dari kilang vendor Chery di China, bukan fasiliti pemasangan di Malaysia atau Indonesia.

     
     
  • Projek garisan jalan ‘glow in the dark’ kini dilaksanakan di Jalan Paloh J16 Batu Pahat

    Projek garisan jalan ‘glow in the dark’ kini dilaksanakan di Jalan Paloh J16 Batu Pahat

    Selepas Jalan Bukit Kucing di Gelang Patah, kini terdapat satu lagi lokasi baharu pelaksanaan garisan jalan ‘glow in the dark’ di Johor iaitu di Jalan Paloh J16 Batu Pahat. Menurut Jabatan Kerja Raya (JKR) Batu Pahat, garisan jalan ‘glow in the dark’ di laluan tersebut adalah sepanjang 300 meter.

    Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, JKR akan menyenaraikan dan menilai, mana satu jalan yang sesuai untuk digunakan teknologi ‘glow in the dark’ sebelum hujung tahun ini kerana bajet sebanyak RM1 juta yang diperuntukan adalah dalam Belanjawan Johor 2024.

    Tambahnya, jalan yang akan dinaik taraf menggunakan teknologi itu akan ditumpukan di kawasan yang tiada pendawaian atau tidak sesuai ada tiang elektrik, kawasan terlalu gelap, selekoh-selekoh berbahaya dan jalan yang menghubungkan antara pekan.

    Beliau turut berkata, teknologi yang memantulkan cahaya pada garisan pembahagi jalan itu memerlukan kos yang tinggi untuk dilaksanakan berbanding garisan pembahagi jalan yang biasa.

    Pada pertengahan November tahun lalu, JKR Daerah Hulu Langat telah melaksanakan projek rintis pemasangan cat garisan jalan ‘glow in the dark’ di persimpangan Jalan Sungai Lalang, Semenyih. Ia merupakan lokasi pemasangan cat jalan ‘glow in the dark’ yang pertama seumpamanya di Malaysia. Kemudian diikuti dengan lokasi lain iaitu di Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang menghala ke Durian Burung, Padang Terap di Kedah
    .

     
     
  • Perodua anjur cabaran jualan di Malaysia Autoshow 2024 – Aruz dengan rebat tunai RM2k, e-baucar RM350

    Perodua anjur cabaran jualan di Malaysia Autoshow 2024 – Aruz dengan rebat tunai RM2k, e-baucar RM350

    Perodua antara jenama automotif yang akan menyertai Malaysia Autoshow 2024 yang berlangsung pada minggu hadapan, dengan membawakan “cabaran jualan dua jam” dan bakal mempamerkan teknologi penggerak hibrid mereka di sana.

    Bagi tawaran cabaran jualan dua jam, pengunjung berpeluang menempah, mendaftar dan memandu pulang mana-mana model Perodua secara terus dan juga banyak tawaran menarik yang bakal diberikan.

    Tawaran eksklusif sempena Malaysia Autoshow 2024 termasuklah e-baucar bernilai RM350, sementara bagi yang membeli Aruz menerusi acara berkenaan bakal menerima rebat tunai bernilai RM2,000 dan jika pembeli membuat urusan jual-beli atau trade-in, mereka bakal menerima pakej servis percuma selama dua tahun. Bukan itu sahaja, pembelian Aruz menerusi acara tersebut juga diberikan aksesori GearUp secara percuma.

    Malaysia Autoshow 2024 bakal berlangsung pada 22 hingga 26 Mei ini bertempat di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS) di Serdang, Selangor, dari jam 10 pagi hingga 10 malam.

     
     
  • Kembara 5,000 km Tim Walkowiak dari Singapura ke Kemboja dengan Mercedes-Benz W126 500 SEL

    Kembara 5,000 km Tim Walkowiak dari Singapura ke Kemboja dengan Mercedes-Benz W126 500 SEL

    Dalam era peralihan dari enjin pembakaran dalaman ke kenderaan elektrik (EV) sekarang, kita boleh tengok bahawa teknologi terbaharu tersebut dapat menghasilkan kereta dengan bekalan kuasa yang cukup besar dengan mudah. Baru-baru ini misalnya, ada yang membandingkan sebuah Ferrari 12Cilindri dengan Tesla Model 3 Performance di mana kedua-dua model ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam rekod masa yang sama iaitu 2.9 saat, tetapi dengan jurang harga yang sangat berbeza.

    Namun keseronokkan memandu bukan hanya terletak pada kepantasan memecut semata-mata, ia lebih dari itu. Bunyi, getaran, tindak balas kereta terhadap pemandu semuanya merangsang saraf-saraf memandu, memberikan perasaan yang sukar untuk diungkap. Dan ini antara sebab mengapa ada individu yang lebih gemar memandu kereta-kereta klasik yang tiada langsung bantuan komputer.

    Bagi seorang warga Jerman, Tim Walkowiak, minat terhadap kereta klasik dan juga mempunyai hobi mengembara telah mencetuskan satu perjalanan epik merentas empat negara Asia Tenggara (pergi dan pulang) dalam masa 10-hari yang telah dibuat baru-baru ini dengan sebuah kereta yang sudahpun berumur lebih 40-tahun!

    Secara spesifiknya, pengembaraan ini bermula dari Singapura pada 5 April lalu, menuju ke Kemboja melalui jalan darat Malaysia dan Thailand, kemudian pulang semula melalui jalan yang sama dengan berakhir di Singapura pada 14 April dengan jarak keseluruhan lebih dari 5,000 km.

    Tim, 36-tahun merupakan kakitangan Porsche kini bertugas di pejabat rantau Asia Pasifik jenama berkenaan yang terletak di Singapura sejak 11-tahun lalu. Sebelum ini, Tim pernah melakukan pengembaraan dengan kereta sewa di pelbagai negara di seluruh dunia seperti Eropah, New Zealand dan Afrika.

    Namun selepas membeli sebuah Mercedes-Benz W126, dia terfikir untuk mengembara dengan kereta mewah dari zaman silam berkenaan. Berbeza dengan W126 yang lazimnya kita temui di Malaysia yang menerima lencana 300SE dengan enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris, ‘S-Class purba’ milik Tim ini pula adalah varian yang jauh lebih mewah dengan emblem 500SEL dengan enjin 5.0 liter V8! Malah dengan huruf ‘L’ pada hujung nama varian ini menunjukkan ia adalah versi jarak roda panjang yang memberikan ruang kabin belakang lebih luas.

    Kereta istimewa ini juga sebenarnya mempunyai sejarah yang cukup istimewa. Menurut Tim, Merc W126 500SEL ini pada asalnya didaftarkan di Hong Kong, dimiliki oleh seorang ahli perniagaan di sana. Ia telah digunakan oleh pemilik asalnya selama lebih 30 tahun dengan plat pendaftaran mengandungi nombor ‘8888’ di negara berkenaan, seperti yang kita ketahui ia adalah nombor yang sangat bertuah buat masyarakat Cina.

    Selepas itu, kereta tersebut telah diterbangkan ke Perth, Australia dan dipandu di sana selama lima tahun. Dan pada 2017, seorang peminat kereta klasik dari Singapura telah membawanya ke negara tersebut, sebelum Tim membeli kereta ini pada 2023.

    Tim juga memberitahu bahawa kereta ini masih lagi dalam keadaan asal dengan cat badan berwarna Petrol Blue serta enjin, kotak gear dan kemasan-kemasan dalaman yang masih asli ketika ia dibawa masuk ke Singapura sehinggalah ia berada ditangannya sekarang.

    Ia juga datang dengan perincian-perincian tertinggi serta mendahului zaman seperti sistem penghawa dingin dua-zon, tempat duduk hadapan dan belakang larasan elektrik, cermin tingkap berkuasa elektrik dan pelbagai lagi. Perlu diingatkan sekali lagi, ini bukanlah kereta dari era 90’an, tetapi ia keluar dari kilang produksi pada tahun 1983!

    Bukan hanya kelengkapannya yang begitu mewah sahaja, malah enjin V8 berkapasiti besar yang menambah aspek keselesaan kereta ini disamping ia tahan lasak turut menambah lagi rasa panasaran Tim untuk mencuba memandu kereta ini dalam pengembaraan yang jauh.

    Sebelum mengambil keputusan untuk melakukakan perjalanan ini, Tim sebenarnya sudah beberapa kali memandu Mercedes-Benz 500 SEL tersebut ke beberapa bahagian dalam Malaysia. Namun oleh kerana perjalanan berkenaan terlalu mudah dan tidak mencabar, Tim tidak menunggu lama untuk membuat perancangan bagi mengembara lebih jauh merentasi empat negara selepas itu.

    Kembara 5,000 km Tim Walkowiak dari Singapura ke Kemboja dengan Mercedes-Benz W126 500 SEL

    Tim menyatakan bahawa pemgembaraan ini juga dibuat untuk melawat kenalan-kenalannya di negara-negara berkenaan, bagi membolehkan mereka memperkenalkannya lebih mendalam tentang apa yang ada di bandar-bandar tersebut termasuk tempat-tempat bersejarah dan makanan-makanan tempatan yang popular. Ini membolehkannya lebih mengenali kawasan-kawasan tersebut lebih sekadar hanya tahu tempat-tempat lazim yang dikunjungi pelancong biasa.

    Dua hari pertama pengembaraan ini melibatkan perjalanan 740 km adalah untuk merentas Malaysia di mana Tim singgah Litar Antarabangsa Sepang untuk bergambar, dan kemudian sempat Petaling Jaya untuk membersihkan serta menyerlahkan kembali rupa Mercedes-Benz W126 tersebut di Kuzig Glanz, dan melawat Porsche Center Ara Damansara pada hari pertama.

    Tim singgah di Pulau Pinang pada hari kedua, dan kemudian meneruskan perjalanan merentas sempadan Thailand-Malaysia serta tiba di Surat Thani, di mana dalam satu hari berkenaan kereta ini dipandu sejauh 550 km. Sebelum memulakan perjalanan hari keempat, Tim sempat bergambar di Pantai Surat Thani, dan kemudian meneruskan perjalanan sejauh 670 km untuk sampai ke Bangkok pada hari yang sama.

    Di Ibu Negara Thailand tersebut, Tim sempat singgah di Porsche Center Bangkok dan beberapa tempat bersejarah termasuk Muzium Nasional dan Istana Besar Kerajaan Bangkok dan lain-lain, sebelum bergerak menuju ke sempadan Kemboja dengan perjalanan sejauh 290 km.

    Perjalanan untuk masuk ke Kemboja hanya dibuat pada hari ke-lima pengembaraan ini iaitu pada 9 April, namun Tim berhadapan dengan masalah dengan dokumentasi bagi merentas sempadan. Menurut Tim, ‘drama’ selama tiga jam berkenaan memaksanya meninggalkan kereta di sempadan untuk berjalan kaki ke merentas jambatan bagi mengambil beberapa dokumen asli yang telah diserahkan kepada kastam Thailand.

    Selepas beberapa perbincangan dan menunggu, Tim hampir putus asa dan berniat untuk berpatah balik ke Thailand, namun secara tiba-tiba permit untuk masuk ke Kemboja diluluskan membolehkan Mercedes-Benz tersebut merentasi sempadan.

    Di Kemboja, Tim mensasarkan perjalanan sehingga ke Siam Riep, dan perjalanan sejauh 250 km tersebut hanya dimulakan pada keesokan hari iaitu pada 10 April. Sampai di wilayah tersebut, Tim mengambil kesempatan untuk melawat Angkor Wat, iaitu kuil agama Buddha yang telah dibina pada pertengahan abad ke-12.

    Perjalanan pulang semula ke Singapura bermula pada 11 April, dan Tim sempat tiba di Selatan Thai ketika masyarakat Thai meraikan pesta Songkran. Walaupun tidak turun bersama bermain air bersama orang ramai, kemeriahan Songkran tetap dirasai apabila penduduk tempatan pada setiap kampung yang dilalui menyimbah air pada Benz klasik tersebut.

    Tim melintasi sempadan Thailand-Malaysia pada 13 April, namun kali ini dia tidak singgah ke Pulau Pinang, sebaliknya berhenti di Ipoh. Pengembaraan ini tamat keesokan harinya apabila Tim dan Mercedes-Benz W126 500 SEL miliknya itu tiba di Singapura pada 14 April 2024.

    Tim menyatakan bahawa dia kereta tersebut langsung tidak mengalami sebarang kerosakan mekanikal sepanjang 10-hari pengembaraan walaupun cuaca di Thailand dan Kemboja mencecah 42 darjah selsius, dan dia hanya perlu menambah cecair penyejuk pada tangki radiator apabila perlu.

    Selepas berakhirnya pengembaraan ini, Tim memberitahu bahawa dia dipelawa untuk menyertai pelbagai lagi pengembaraan bersama komuniti kereta klasik di rantau ini menerusi media-media sosial, malah ada juga pihak yang memintanya untuk menganjurkan bersama perjalanan lain.

    Malah Tim juga berhajat untuk memandu kereta ini balik ke kampung halamannya di Stuttgart Sindelfingen, Jerman melalui jalan darat selepas khidmatnya di Singapura berakhir!

     
     
  • Moto Morini Seiemmezzo STR enjin dua silinder 649 cc akan dilancar di Malaysia Auto Show 2024?

    Moto Morini Seiemmezzo STR enjin dua silinder 649 cc akan dilancar di Malaysia Auto Show 2024?

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd akan membuat penampilan gah di Malaysia Autoshow 2024 dengan membawa lebih 100 buah model untuk pameran, dan bagi salah satu jenama di bawahnya, iaitu Moto Morini, model yang dijangka adalah Seiemmezzo STR.

    Ini kerana laman Facebook Moto Morini Malaysia sudah mula mengeluarkan teaser yang menampakkan bayang serta lampu hadapan menyamai model bergaya scrambler tersebut. Apa yang masih belum pasti adalah sama ada ia akan dilancar untuk pasaran atau sekadar sebagai pameran.

    Seiemmezzo STR dipacu oleh enjin dua silinder selari 649 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 60 hp pada 8,500 rpm dan tork 56 Nm pada 7,000 rpm. Ia dikatakan boleh mencecah kelajuan sehingga 180 km/j dan tangki bahan api mempunyai kapasiti 15.5 liter.

    Sistem brek motosikal ini menggunakan barangan daripada Brembo, dengan tetapan cakera berkembar di hadapan dan tunggal di belakang, bersama sistem ABS secara standard. Rim spoked yang digunakan adalah berbeza saiz, iaitu 18 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut dengan tayar Pirelli MT60 RS.

    Ia juga dilihat mempunyai kelengkapan lain yang canggih dan berkualiti seperti skrin TFT lima inci dengan fungsi mirroring, fork USD warna emas, lampu hadapan projector dengan DRL serta tempat duduk dibalut kulit. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 195 kg dan tempat duduknya mencatat ketinggian 795 mm.

     
     
  • Mercedes-Benz Certified Pre-owned Carnival di KL, P. Pinang dan JB, 17-19 Mei — 300 kereta menanti

    Mercedes-Benz Certified Pre-owned Carnival di KL, P. Pinang dan JB, 17-19 Mei — 300 kereta menanti

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah umumkan penganjuran acara Mercedes-Benz Certified Pre-owned Carnival hujung minggu ini yang akan diadakan di beberapa lokasi di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru bermula 17 hingga 19 Mei 2024. Acara ini akan menyaksikan 300 unit terpakai Mercedes-Benz akan dijual sepanjang tiga hari berlangsung.

    Tiga lokasi yang dimaksdukan ada seperti berikut:

    • Kuala Lumpur – Carro Puchong South
    • Penang – Juru Auto City
    • Johor Bahru – Eco Galleria

    Untuk menjadikannya lebih menarik, MBM turut menawarkan pilihan trade-in, serta pemeriksaan trade-in percuma bersama Carro. Turut ditawarkan ialah skim pembiayaan Young Star Agility+ yang memberikan pelanggan kredit pengecasan sebanyak RM1,200 untuk model elektrik EQ, sehingga RM6,400 bagi sokongan insurans dan sehingga RM888 kredit Touch ‘n Go, serta pilihan tamat perjanjian yang fleksibel dengan nilai masa depan yang dijamin untuk kereta yang ditawarkan.

    Sebagai tambahan, ada juga tawaran tempoh terhad berupa pemasangan filem penapis haba percuma bagi 50 pelanggan terawal serta baucar aksesori, serta peluang untuk memenangi hadiah bernilai sehingga RM10,000 dalam cabutan bertuah. Layari laman web Mercedes-Benz Malaysia untuk maklumat lanjut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025