Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Nissan Note facelift 2024 didedah di Jepun – enjin hibrid 1.2L e-Power, 2WD atau 4WD, dari RM75k

    Nissan Note facelift 2024 didedah di Jepun – enjin hibrid 1.2L e-Power, 2WD atau 4WD, dari RM75k

    Nissan telah memberikan facelift kepada model Note generasi ketiga pasaran Jepun, dengan ia akan mula dijual hujung bulan Januari tahun depan. Hatchback itu masih menggunakan enjin hibrid tiga silinder 1.2 liter sebagai penggerak utama, sementara peningkatan dibuat pada bahagian luaran serta dalamannya.

    Enjin Note ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 79 PS dan tork 103 Nm, dan menjadi generator untuk menghantar tenaga kepada motor elektrik, sama ada satu ataupun dua, untuk menjadikannya sebagai kenderaan pacuan dua roda ataupun empat roda.

    Secara visualnya, Note facelift 2024 ini menerapkan konsep rekaan terkini gril V-Motion, yang boleh didapati sama ada dalam warna yang sama dengan badan ataupun kelabu gelap metalik – bergantung kepada pilihan warna badan.

    Nissan Note facelift 2024 didedah di Jepun – enjin hibrid 1.2L e-Power, 2WD atau 4WD, dari RM75k

    Bahagian belakang Note facelift ini telah diberikan rekaan yang menggunakan garis-garis lurus, sementara rim 16 incinya pula mendapat rekaan geometri tradisional Jepun yang memberikan penampilan seakan tiga dimensi – kata Nissan. Lampu utama LED kini diberikan secara standard untuk semua varian.

    Konsep garis-garis terus digunakan ke bahagian dalam, di mana motif ‘mizuhiki‘ tampil pada bahagian papan pemuka, sementara jalur rawak digunakan pada fabrik tempat duduk, sementara tempat letak barangan dijadikan lebih besar.

    Demi memberikan lebih kemudahan kepada pengguna, Intelligent Key pada Note facelift ini sekarang mempunyai fungsi “approach unlock” yang membolehkan kunci dibuka secara automatik apabila pemegang kunci mendekati kenderaan. Ia juga boleh mengunci sendiri kenderaan apabila pemegang kunci beredar.

    Note facelift pasaran Jepun juga datang dalam varian yang mempunyai tempat duduk penumpang hadapan boleh pusing secara manual untuk memudahkan penumpang masuk dan keluar dari kenderaan – sebagai bantuan kepada penumpang yang mempunyai masalah pergerakan. Tempat duduk ini juga datang dengan peletak kaki.

    Secara keseluruhannya ada 14 warna luaran yang ditawarkan oleh Nissan melalui Note facelift ini di Jepun, termasuk pilihan dua tona.

    Varian pula ada empat bermula dengan X 2WD berharga 2,299,000 yen (RM74,864) dan X Four 4WD berharga 2,580,600 yen (RM84,021). Jika diambil dengan tempat duduk penumpang boleh pusing, varian X dijual pada harga 2,409,000 yen (RM78,504) manakala X Four 2,690,600 yen (RM87,681).

     
     
  • 100 unit EV smart #1 telah dihantar kepada pelanggan dalam masa sebulan menerusi 10 cawangan pengedar

    100 unit EV smart #1 telah dihantar kepada pelanggan dalam masa sebulan menerusi 10 cawangan pengedar

    smart Malaysia mengumumkan bahawa sebanyak 100 unit EV smart #1 telah pun berjaya dihantar kepada pelanggan selepas model pertamanya untuk pasaran tempatan itu dilancarkan pada 21 November lalu.

    Menurut syarikat itu kejayaan berkenaan dapat dicapai menerusi kerjasama 10 cawangan pengedarnya yang telahpun wujud di seluruh negara dan berada pada lokasi yang strategik, serta ia berjaya membawa sejumlah stok kenderaan jauh lebih awal sebelum pelancaran rasminya.

    “Selepas berjaya menghantar 100 unit smart #1 dalam masa yang singkat, kami teruja untuk melihat kereta kami dimiliki oleh pembeli segmen yang mementingkan gaya dan identiti tersendiri. Mereka bukan hanya mahukan pengangkutan; mereka menghargai gabungan teknologi, keselamatan, dan keterhubungan yang ditawarkan oleh smart #1 kami. Kami gembira bahawa pelanggan menemui kualiti-kualiti ini dalam kereta kami,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.

    100 unit EV smart #1 telah dihantar kepada pelanggan dalam masa sebulan menerusi 10 cawangan pengedar

    smart #1 ditawarkan dalam tiga varian untuk pasaran Malaysia. Ia dijual dengan harga bermula RM189,000 bagi varian Pro, dengan varian Premium pula pada harga RM219,000 – kedua-dua varian ini menerima motor elektrik tunggal memacu roda belakang berkuasa 272 PS (200 kW)/343 Nm. Manakala bagi versi yang lebih berprestasi dengan dua motor AWD berkuasa 428 PS (315 kW)/543 Nm smart #1 Brabus pula dijual harga RM249,000.

    Setiap pembelian smart #1 ini datang dengan pakej waranti komprehensif menampilkan waranti bateri EV selama 8 tahun atau 200,000km, waranti komponen bervoltan tinggi selama 8-tahun atau 150,000km, waranti kenderaan selama 4-tahun tanpa had perbatuan dan waranti alat ganti selama 2-tahun tanpa had perbatuan. Pelanggan juga diberikan khidmat bantuan tepi jalan 24 jam sehari, 7-hari seminggu.

    Sebagai tambahan, smart Malaysia juga menawarkan pakej aksesori percuma bernilai RM2,000 dan data internet 60GB selama lima-tahun. Sempena pelancaran semula jenama smart di Malaysia, syarikat itu turut menawarkan smartCharge Home Charger bernilai RM3,200 secara percuma (tidak termasuk kos pemasangan, yang bermula dari RM2,488). Namun tawaran ini hanya sah sehingga 31 Disember 2023.

    GALERI: Pilihan warna luaran smart #1 2023

    GALERI: smart #1 Premium di Malaysia


    GALERI: smart #1 Brabus di Malaysia

     
     
  • Perodua Bezza generasi baru akan terap ilham rekaan daripada pemenang; bukan dalam masa terdekat

    Perodua Bezza generasi baru akan terap ilham rekaan daripada pemenang; bukan dalam masa terdekat

    Sejak Julai lalu, buat julung kalinya Perodua menganjurkan sebuah program rekabentuk kenderaan peringkat Asia yang dikenali sebagai Asian Compact Sedan Design Challenge 2023 (ACSDC), dengan kerjasama Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM).

    Menariknya, Perodua hanya ada sebuah model sedan kompak ketika ini, dan melalui program berkenaan sudah agak jelas dan disahkan oleh Naib Presiden Perodua, Datuk Ahmad Suhaimi Hashim sendiri bahawa Perodua akan menerapkan rekaan yang dihasilkan dalam pertandingan ini untuk model Bezza generasi akan datang. Bagaimanapun, itu bukanlah akan berlaku dalam masa terdekat: masih memerlukan beberapa tahun lagi untuk pembangunannya.

    Ini juga kali pertama Perodua menyatakan dengan agak jelas tentang perancangan syarikat itu untuk hari-hari ke depan. Biasanya umum akan hanya mengetahui apa yang sedang Perodua kerjakan ketika produknya sudah dalam fasa akhir sebelum pengenalan.

    Merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia, program ACSDC 2023 berkenaan menerima keseluruhannya 93 penyertaan dari tujuh negara. Ia terbuka untuk dua kategori: profesional dan juga pelajar dari seluruh rantau Asia.

    “Melihat kepada angka penyertaan dari luar, ia agak memberangsangkan kerana kehadiran Perodua dan MRM di luar Malaysia amatlah terhad,” jelas Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad dalam kenyataannya.

    Penyertaan yang diterima melibatkan dari negara seperti Indonesia, Jepun, Filipina, Singapura, Iran, India dan Malaysia sendiri. Dua pemenang utama dipilih dan diumumkan dalam satu majlis khas, hari ini.

    Bagi kategori Profesional, pereka dari Malaysia, Kenny Chan diangkat sebagai pemenang melalui rekaan kereta konsepnya, “Payung”. Menurut Ketua Juri, Muhamad Zamuren Musa, rekaan tersebut menunjukkan dinamik dengan bayangan fastback, kerektor badan yang kuat dan stabil dan nampak seimbang. Perincian dan elemen penggayaan lain juga menjadikan rekaan ini paling menonjol berbanding yang lain.

    Bagi kategori sama, dua lagi pemenang yang menerima hadiah ialah Philip Samuel Tandio dari Indonesia melalui rekaan konsep “Out Ride” dan diikuti oleh Muhammad Izhar Che Shukarno dengan rekaan “Fastback” yang ditampilkan.

    Sementara itu, bagi kategori pelajar, Bryan Teh Yea Quan dari Asia Pacific University (APU) Malaysia dipilih sebagai pemenang utama melalui ilham menariknya terhadap rekaan sedan. Beliau diikuti oleh Alfred Han Wen Hao dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Malaysia dan kemudian oleh Muhammad Amin Othman from Universiti Teknologi MARA (UiTM).

    Rekaan ini antara lain menggariskan keperluan ke atas rekaan yang dihasilkan agar menampilkan rekaan bagi kereta sedan serta yang mempunyai sentuhan dan selera yang unik untuk pasaran Asia.

     
     
  • Pelanggan pas perjalanan My50 meningkat dari 120k ke 200k, peruntukan akan ditingkatkan – Anthony Loke

    Pelanggan pas perjalanan My50 meningkat dari 120k ke 200k, peruntukan akan ditingkatkan – Anthony Loke

    Kerajaan memberitahu, penawaran pas perjalanan tanpa had My50 akan diteruskan kerana ia terbukti semakin diterima ramai di Lembah Kelang, dengan jumlah pelanggannya meningkat 66% tahun ini, dari sekitar 120,000 pengguna pada awal tahun ini, menjadi 200,000 pada masa sekarang.

    Disebabkan itu, menteri pengangkutan, Anthony Loke menyatakan inisiatif ini akan diteruskan, dengan peruntukan untuk program My50 untuk tahun-tahun akan datang dinaikkan dari RM115 juta kepada RM200 juta bagi menampung permintaan yang semakin meningkat – lapor New Straits Times.

    “Ia adalah satu pelaburan yang sangat berbaloi, dan kami harap lebih ramai penduduk bandar akan menggunakan peluang ini,” kata beliau sambil menambah bahawa jumlah pengguna yang meningkat ini boleh dikaitkan dengan pembukaan MRT Laluan Putrajaya yang memulakan operasi Mac lalu, menyambungkan Kepong ke Putrajaya.

    Loke memberitahu lagi, program ini menguatkan lagi komitmen kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat melalui pengangkutan awam mampu milik. “Tiada negara lain yang memberikan subsidi banyak seperti ini untuk pengangkutan awam, menjadikan ia satu pilihan yang mampu milik untuk rakyat. Bayangkan dengan hanya tidak sampai dua ringgit sehari, anda boleh menggunakan apa sahaja pengangkutan awam di Kuala Lumpur,” kata Loke.

    “Ada bermacam lagi inisiatif yang boleh dilaksanakan, tetapi kami tidak mahu membebankan rakyat. Kami sasarkan untuk menyediakan pilihan menarik untuk menangkap perhatian mereka dan mempromosikan penggunaan pengangkutan awam,” tambah beliau.

    Diperkenalkan pada tahun 2019, My50 adalah satu pas perjalanan tanpa had yang menawarkan penggunaan tanpa had selama 30 hari untuk Rapid KL LRT, MRT, monorel, BRT, bas Rapid KL dan bas perantara MRT di Lembah Kelang.

     
     
  • Gentari tandatangan MoU dengan IHI untuk bangunkan industri hidrogen, turbin kuasa ammonia hijau bersih

    Gentari tandatangan MoU dengan IHI untuk bangunkan industri hidrogen, turbin kuasa ammonia hijau bersih

    Gentari Hydrogen, yang merupakan anak syarikat milik penuh Gentari (divisi tenaga bersih Petronas) telah menandatangani satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan IHI Corporation dari Jepun, yang akan menyaksikan kedua-dua pihak menguatkan lagi kerjasama mereka untuk membangunkan industri hidrogen.

    Melalui MoU tesebut, kedua-dua syarikat akan bersama meneroka pembentukan rangkaian nilai ammonia hijau global. Ini melibatkan pengeluaran, pengangkutan, penyimpanan serta penggunaan ammonia hijau di Asia Pasifik serta kawasan lain yang mempunyai kepentingan sama.

    Kerjasama ini akan meneroka kemajuan penggunaan komersial IM270, iaitu turbin kuasa gas ammonia penuh yang dibangunkan oleh IHI, dengan sokongan Organisasi Pembangunan Tenaga Baru dan Industri (NEDO) Jepun. Aplikasi komersial IM270 ini dijangka bermula pada tahun 2026 dan berpotensi menjadi turbin gas ammonia penuh pertama di dunia.

    Pengeluaran ammonia hijau menggunakan sumber tenaga boleh diperbaharui, dengan bahan mentah yang diperlukan terdiri daripada hidrogen yang diperoleh melalui elektrolisis air serta nitrogen yang didapati daripada udara melalui unit pengasingan. Ia adalah berbeza dengan “ammonia perang” yang dihasilkan menggunakan bahan bakar fosil. Sementara kebiasaannya digunakan untuk produk baja, ammonia hijau untuk boleh dijadikan sebagai sumber bersih untuk menghasilkan elektrik.

    Melalui kerjasama ini juga, Gentari dan IHI mempunyai perancangan untuk menaikkan permintaan ammonia hijau di Malaysia serta benua Asia Tenggara, seterusnya mempercepatkan lagi penerimaan hidrogen bersih.

     
     
  • Tiada lagi bas GoKL percuma untuk warga asing, bayaran RM1 akan dikenakan mulai 1 Jan 2024 – DBKL

    Tiada lagi bas GoKL percuma untuk warga asing, bayaran RM1 akan dikenakan mulai 1 Jan 2024 – DBKL

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan bahawa bermula 1 Januari 2024 warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas GoKL di bandaraya tersebut perlu membuat bayaran RM1 dan bukan lagi percuma seperti buat masa sekarang, lapor Bernama.

    Pengumuman itu dibuat menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan, dan ia turut menambah caj ini bakal dilaksanakan secara berperingkat membabitkan empat laluan di sekitar pusat bandar iaitu Laluan 01 (Hijau), Laluan 02 (Ungu), Laluan 03 (Merah) dan Laluan 04 (Biru).

    Warga asing yang menggunakan perkhidmatan ini hanya boleh melakukan pembayaran secara tanpa tunai menerusi kad Touch ‘n Go, kod QR, kad kredit atau kad debit, manakala kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah tidak kira warganegara atau tidak masih lagi percuma, kata kenyataan itu.

    Bagi warganegara Malaysia yang menggunakan Mykad dan mempunyai sistem Touch ‘n Go pula, anda perlu membuat pendaftaran MyKad bagi terus menikmati perkhidmatan bas GoKL berkenaan secara percuma.

    Untuk memudahkan orang ramai membuat pendaftaran, DBKL sudahpun menyediakan kaunter pendaftaran di tiga lokasi iaitu Hentian Bas KLCC, Hentian Akhir Titiwangsa (Pekeliling) dan Hentian Akhir Pasar Seni dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga jam 7 malam mulai 1 Disember lalu.

     
     
  • Struktur cukai jalan EV: Draf perlu masa untuk ditambahbaik, tidak diumumkan bulan ini – Loke

    Struktur cukai jalan EV: Draf perlu masa untuk ditambahbaik, tidak diumumkan bulan ini – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan pihaknya masih memperincikan draf struktur cukai untuk kenderaan elektrik (EV). Katanya, sehingga kini terdapat beberapa perkara dalam draf berkenaan yang perlu ditambah baik, laporan MalaysiaGazette.

    “Saya nak lihat lagi ada beberapa perkara saya tidak puas hati dengan draf tersebut.Tapi tidak akan ada kesan kepada pengguna EV yang sekarang kerana masih pengecualian cukai. Bukan tahun ini,” katanya kepada pihak media baru-baru ini.

    Jelasnya, draf yang lengkap akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Pemandu EV terlebih dahulu. “Tapi buat masa ini saya nak tambah baik draf tersebut untuk kadar yang terbaik kepada pembeli,” katanya lagi.

    Sebelum ini, Loke dilaporkan berkata, kerajaan akan mengumumkan struktur cukai jalan EV yang lebih kompetitif pada bulan ini sebagai usaha menggalakkan penggunaan kenderaan tersebut.

    Di mana, katanya,struktur cukai jalan itu hanya akan terpakai selepas 2025 iaitu selepas berakhirnya tempoh pengecualian cukai jalan kepada kenderaan EV.

    Struktur cukai jalan EV: Draf perlu masa untuk ditambahbaik, tidak diumumkan bulan ini – Loke

     
     
  • Projek pelebaran laluan JB ke Simpang Renggam di Lebuhraya PLUS dijangka siap dalam 3 tahun – MB

    Projek pelebaran laluan JB ke Simpang Renggam di Lebuhraya PLUS dijangka siap dalam 3 tahun – MB

    Projek pelebaran laluan dari Johor Bahru (JB) ke Simpang Renggam di Lebuhraya Utara-Selatan bakal direalisasikan tidak lama lagi. Melalui perkongsian di laman Fecebook rasminya, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, PLUS Malaysia Berhad akan melaksanakan kerja pelebaran lebuh raya bagi fasa pertama laluan berkenaan yang dijangka siap dalam tiga tahun.

    “Kerajaan Negeri juga telah mencadangkan agar kerja pelebaran ini dilaksanakan sehingga ke Tangkak pada fasa seterusnya.

    “Selain itu, menerusi perjumpaan dengan Datuk Nik Arina Nik Jaafar, Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, beberapa perkara lain telah dibangkitkan dan dibincangkan terutamanya mengenai aliran trafik, penyelenggaraan dan pembangunan infrastruktur kemudahan untuk pengguna,” kata Onn.

    Projek pelebaran laluan JB ke Simpang Renggam di Lebuhraya PLUS dijangka siap dalam 3 tahun – MB

    Jelasnya antara perkara yang dibincangkan termasuklah mengaktifkan smartlane atau lorong kecemasan di lebuh raya pada waktu puncak dan hujung minggu dan meningkatkan fasiliti RnR di lebuh raya..

    Selain itu, PLUS juga diminta agar memantau jadual waktu bagi melakukan kerja naik taraf atau baik pulih jalan di lebuh raya dan mengawal masa pergerakan lori dan kontena.

    “Semoga segala cadangan ini dapat diterjemahkan demi keselesaan dan keselamatan rakyat Johor,” katanya lagi.

    Sebelum ini kerajaan Johor dilaporkan berulang kali memohon supaya laluan Lebuhraya PLUS antara Yong Peng ke Skudai dinaik taraf kepada enam lorong berikutan kesesakan yang sering dialami sepanjang laluan 70 km tersebut.

     
     
  • Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup pada Jumaat malam untuk acara PDRM 2023 Solidarity Fun Ride

    Jambatan Kedua Pulau Pinang ditutup pada Jumaat malam untuk acara PDRM 2023 Solidarity Fun Ride

    Hujung minggu lalu, Jambatan Pulau Pinang ditutup sementara untuk memberikan laluan kepada acara Penang Bridge International Marathon, kali ini giliran Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS), a.k.a. Jambatan Kedua Pulau Pinang pula.

    PLUS selaku pengendali jambatan tersebut telah memaklumkan bahawa JSAHMS akan ditutup kepada trafik mulai jam 10 malam pada Jumaat ini (22 Disember) untuk menjayakan acara berbasikal ‘Penang 2nd Bridge PDRM 2023 Solidarity Fun Ride’. Jambatan berkenaan akan ditutup sehingga jam 3 pagi Sabtu, 23 Disember 2023.

    Untuk pengguna jalan raya yang sering menggunakan jambatan berkenaan, yang menghubungkan Batu Kawan di tanah besar ke Batu Maung di bahagian pulau, diminta menggunakan Jambatan Pulau Pinang sepanjang penutupan JSAHMS sebagai laluan alternatif.

    Pengguna jalan raya juga dinasihati agar patuhi isyarat papan tanda serta arahan petugas trafik. Sila pandu berhati-hati.

     
     
  • Punca kebakaran kereta-kereta lumba atas treler pengangkut belum dapat dipastikan – Bomba Johor

    Pagi ini telah tular di laman-laman sosial gambar kebakaran tujuh buah kereta yang di bawa di atas treler, berlaku di Lebuhraya Utara Selatan. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, secara spesifiknya kejadian itu berlaku pada pukul 4.52 pagi ini di KM38.1 (Kulai) Lebuhraya PLUS Arah Utara.

    Dalam kenyataan tersebut JBPM Johor memberitahu tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, BBP Skudai dan BBP Tebrau dengan kekuatan seramai 25 anggota dihantar ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan. Menurut komander operasi Pegawai Bomba Kanan II Fauzi Bin Che Deris, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar terdapat kebakaran sebuah lori treler bermuatan 7 buah kereta.

    “Kereta yang terbakar jenis Honda sebanyak 5 buah, sebuah Toyota Yaris dan sebuah Proton Saga. Kebakaran memusnahkan lebih kurang 70% dari semua kenderaan. Pemadaman menggunakan 4 aliran salur bantu mula sehingga selesai. Kebakaran tidak melibatkan mangsa. Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

    Difahamkan sebahagian besar kenderaan yang dibawa oleh treler berkenaan adalah kereta-kereta lumba milik pasukan R Engineering yang berpengkalan di Johor Bahru, Johor. Pasukan tersebut kemudiannya mengeluarkan kenyataan bagi mengesahkan kejadian tersebut menerusi laman facebook rasminya.

    “Kami faham bahawa banyak persoalan timbul daripada kejadian ini. Memandangkan kes itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan, kami akan memberikan maklumat terkini dalam masa terdekat. Kami mohon jasa baik anda untuk mengelakkan sebarang spekulasi semasa siasatan sedang dijalankan. Sekali lagi, terima kasih semua atas mesej keprihatinan anda. Kami berhasrat untuk memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini dalam masa yang ditetapkan,” tulis kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

     
     
  • Wing Hin Motorsport bawa nama M’sia ke perlumbaan 10-jam Idemitsu Super Endurance 600 di Thailand

    Wing Hin Motorsport bawa nama M’sia ke perlumbaan 10-jam Idemitsu Super Endurance 600 di Thailand

    Wing Hin Motorsport bakal beraksi di perlumbaan ketahanan Idemitsu Super Endurance 600 10-Jam Trofi Asia Tenggara pada hujung minggu ini, 23 Disember 2023 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand dan menjadi satu-satunya pasukan dari Malaysia dalam perlumbaan tersebut.

    Pasukan yang baru sahaja memenangi perlumbaan Sepang 1000KM (S1K) hujung bulan lalu itu bakal mempertaruhkan dua buah Toyota Yaris dan sebuah Toyota Vios, dipandu oleh enam orang pemandu Malaysia.

    Juara keseluruhan S1K 2023 iaitu pasangan Amer Harris dan Nabil Azlan -kedua-duanya merupakan alumni kategori Rookie perlumbaan Vios Challenge Malaysia – bakal mengemudi jentera yang sama iaitu Toyota Yaris dengan nombor #339. Manakala Naquib Azlan (abang kepada Nabil) yang menghabiskan S1K 2023 di tempat ketiga akan berpasangan dengan pelumba touring car berpengalaman, Mitchell Cheah dalam Toyota Yaris bernombor #338.

    Kedua-dua Yaris tersebut akan bersaing dalam kelas Division 3, manakala jentera Vios bernombor #438 dipandu oleh Dannies Ng yang menduduki tempat keempat dalam S1K 2023 bersama pelumba lebih berpengalaman, Boy Wong dalam kelas Division 4.

    Ini merupakan kali pertama Wing Hin Motorsport bertarung dalam perlumbaan 10-jam ini, namun pasukan tersebut telah pun bersedia dengan pengalaman bergelar juara kelas D5 dalam perlumbaan Idemitsu Super Endurance 400 Minutes, juga di Thailand dengan Toyota Vios yang dipandu oleh Boy Wong dan Naquib Azlan, hanya dalam percubaan pertamanya.

    Malah pasukan ini turut bertanding dalam satu lagi siri perlumbaan di Thailand iaitu Idemitsu Super Turbo Championship 2023 dalam kelas Junior (NA), di mana pelumba muda negara Hayden Haikal yang baru berumur 19-tahun mendominasi siri tersebut dengan menang lima dari enam perlumbaan keseluruhan.

    Wing Hin Motorsport bawa nama M’sia ke perlumbaan 10-jam Idemitsu Super Endurance 600 di Thailand

    “Tahun ini adalah tahun pertama kami bersaing di Thailand dan terus terang kami amat terharu dengan keputusan setakat ini. Memang sentiasa menjadi matlamat untuk bersaing di luar Malaysia sebagai cara untuk menilai kedudukan kami dari segi persaingan serantau dan untuk menilai kebolehan kami,” kata Prinsipal Pasukan Wing Hin Motorsport, William Loh.

    “Persaingan dan pengalaman yang kami tempuhi di Thailand bukanlah sesuatu yang mudah, dan saya jangkakan perlumbaan hujung minggu ini lebih mencabar dengan jumlah 70 penyertaan, termasuk penyertaan pasukan terkemuka Thailand.

    “Seperti setiap perlumbaan ketahanan, ia amat sukar untuk diramal, dan apa yang boleh saya katakan ialah kami bersedia dengan bukan sahaja kereta yang kompetitif tetapi dengan barisan pemandu yang sangat berbakat serta berpengalaman. Kami akan menggunakan kereta yang sama menang dalam S1K dan kami telah melalui proses pembinaan semula sebagai persediaan untuk Thailand,” tambah Loh.

    Wing Hin Motorsport bawa nama M’sia ke perlumbaan 10-jam Idemitsu Super Endurance 600 di Thailand

    Perlumbaan kali ini juga akan menjadi pengalaman pertama berlumba di Thailand buat Amer dan Nabil. Walaupun kedua-dua pemandu ini “tamat pengajian” menerusi program pembangunan pelumba baru Toyota Gazoo Racing Malaysia, Amer merupakan pelumba yang berasal dari perlumbaan kart, sementara Nabil pula lahir dari perlumbaan simulator.

    “Untuk mara ke perlumbaan antarabangsa pertama saya selepas hanya dua tahun berlumba dan beralih daripada perlumbaan simulator adalah sangat menarik bagi saya. Seperti setiap perlumbaan yang saya sertai, matlamatnya adalah untuk menamatkan di tangga teratas podium tetapi saya tidak akan meletakkan terlalu banyak tekanan kepada diri saya sendiri. Semoga saya dan Amer dapat melakukan yang terbaik dan membawa momentum yang kami miliki daripada kemenangan S1K untuk beraksi dengan baik di Thailand,” kata Nabil yang baru berusia 21 tahun.

    “Sejujurnya, Toyota Yaris #339 adalah jentera ‘kalis peluru’ yang luar biasa sepanjang S1K dan saya sangat bersyukur kerana kereta itu menunjukkan prestasi yang menakjubkan sepanjang 9 jam perlumbaan. Cabaran di hadapan kami sekarang adalah tambahan satu jam lagi di Thailand. Saya percaya perlumbaan di Thailand akan menjadi sangat kompetitif jika tidak lebih sukar dan kami akan memandu menentang pelumba antarabangsa – tetapi saya bersedia untuk cabaran itu,” tambahnya lagi.

    Wing Hin Motorsport bawa nama M’sia ke perlumbaan 10-jam Idemitsu Super Endurance 600 di Thailand

    “Berdasarkan pengalaman saya dalam perlumbaan kart, pemandu Thailand pastinya tidak lekang, dan semua pasukan sudah bersedia dengan peralatan bertaraf dunia. Di atas kertas, kami mungkin tidak mempunyai rentak yang jelas kerana kebanyakan kereta lain jauh lebih laju dari segi kuasa kuda. Tetapi berdasarkan pengalaman pasukan sebelum ini di Thailand, nampaknya kuasa kuda bukanlah jawapan untuk memenangi perlumbaan di sana sama sekali, tetapi lebih bergantung kepada strategi perlumbaan dan konsistensi daripada pemandu, yang kami benar-benar kuat,” kata Amer.

    “Secara peribadi saya baru sahaja menghabiskan masa berjam-jam pada simulator cuba untuk mendapatkan cengkaman pada trek, dan rentaknya kelihatan sangat baik setakat ini,” tambah pelumba yang baru berusia 20-tahun itu.

    Perlumbaan Idemitsu Super Endurance 600 Trofi Asia Tenggara ini boleh ditonton secara langsng atas talian di laman facebook Super Turbo Thailand. Ia akan berlangsung bermula pukul 10 pagi (11 pagi waktu Malaysia) dan bakal berakhir pada pukul 8 malam (9 malam waktu Malaysia).

     
     
  • Tiada PKP walaupun kes Covid-19 meningkat — KKM

    Tiada PKP walaupun kes Covid-19 meningkat — KKM

    Dalam sidang media berkaitan Covid-19 yang diadakan petang ini oleh Menteri Kesihatan yang baru, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, antara keresahan yang sempat bermain dalam fikiran adalah kemungkinan diadakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Perkembangan dalam beberapa minggu terakhir ini menunjukkan peningkatan semula jumlah kes Covid-19 di Malaysia. Ini dapat dilihat daripada angka rasmi yang turut dikongsikan dalam sidang media berkenaan. Menurut Dr. Dzul, berlaku peningkatan kes Covid-19 sebanyak 62.2% ketika ini, termasuk 28 kes kematian. Terdapat juga seramai 151 orang dalam ICU, dan 96 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

    Namun, walaupun disebabkan perkembangan itu, situasi dan kapasiti kemudahan Kementerian Kesihatan Malaysia masih lagi terkawal. Disebabkan itu juga, PKP tidak akan diperkenalkan semula ketika ini.

    Selain itu, ketika ini juga belum lagi diwajibkan penggunaan pelitup muka atau imbasan MySejahtera diperlukan di premis-premis yang dikunjungi. Dr. Dzul hanya menasihatkan semua untuk menggunakan pelitup muka terutama ketika berada di kawasan ramai orang dan menjaga kebersihan diri dengan mengamalkan langkah berjaga-jaga yang pernah kita laksanakan sebelum ini.

     
     
  • Hayden Haikal rangkul juara dan tempat ketiga untuk pusingan akhir Super Eco Siri Super Thailand 2023

    Hayden Haikal rangkul juara dan tempat ketiga untuk pusingan akhir Super Eco Siri Super Thailand 2023

    Selepas mencapai keputusan yang kurang baik pada pusingan kedua, pelumba touring car muda negara, Hayden Haikal sekali lagi menunjukkan kemampuannya di pusingan keempat dan juga terakhir perlumbaan Siri Super Thailand dalam kelas Super Eco hujung minggu lalu dengan menang pada Race 1 serta berada ditempat ketiga pada Race 2.

    Keputusan ini juga merupakan pencapaian terbaiknya bersama pasukan baharu dalam musim ini iaitu Pipekids Racing Team, selepas menduduki tempat kelima dan keenam pada pusingan pertama, kedua dan keempat pada pusingan kedua, serta ke-12 dan ke-20 pada pusingan ketiga.

    Hayden mencatatkan masa ketiga terpantas dalam sesi kelayakan membolehkan dia memulakan Race 1 yang berlangsung pada Sabtu, 16 Disember di barisan kedua grid permulaan. Hayden yang baru berusia 19-tahun memandu sedan Honda Brio Amaze bernombor #24 yang baru dibangunkan oleh Pipekids Racing Team terpaksa bersaing sengit dengan Athipong Khumtong dari pasukan V-Are Pro Garage Racing Team yang memandu Suzuki Swift dan juga Danuwat Worakitichai dari pasukan Insane Motorsport dengan hatchback Honda Brio.

    Ketiga-tiga pelumba berkenaan bersaing rapat sepanjang perlumbaan 12-lap di Litar Antarabangsa Chang itu. Walaupun Athipong berada di hadapan pada lap terakhir, Hayden berjaya memintasnya di saat akhir dan menang dengan kelebihan hanya 0.6 saat.

    “Ia adalah perlumbaan yang sangat sukar tetapi menarik di mana kesemua pelumba kelompok hadapan semuanya mahu menang. Pada satu ketika, kami mempunyai sebanyak tiga hingga empat kereta yang bersaing di selekoh. Pasukan ini mempunyai kereta yang kuat menjelang hujung minggu perlumbaan terakhir dan saya hanya fokus untuk memastikan ia lancar di litar, mengelakkan sebarang sentuhan yang tidak perlu dan fokus pada pemanduan saya,” kata Hayden yang juga satu-satunya pelumba luar bersaing dengan 17 pelumba tempatan lain.

    Dalam Race 2, Hayden bermula pada kotak kelima menerusi peraturan grid terbalik dalam perlumbaan ini. Walaupun dengan ballast berat 25kg diterima selepas menang perlumbaan pertama, Hayden masih mampu berada di kedudukan paling hadapan selepas 3 lap perlumbaan berlangsung.

    Walau bagaimanapun dia diasak oleh tiga pelumba lain iaitu S. Thanapattra, N. Chanoknun dan Athipong. Chanoknun akhirnya berjaya memintas Hayden pada empat lap terakhir, dan setelah beberapa kedudukan bertukar antara empat pelumba ini, Hayden dapat menamatkan perlumbaan pada kedudukan ketiga.

    “Keputusan enam perlumbaan sebelum ini pada awal tahun secara realistik tidak meletakkan kami dalam saingan utama bagi merebut gelaran juara keseluruhan. Walau bagaimanapun, objektif pasukan adalah untuk meraih mata sebanyak yang boleh memandangkan ini adalah tahun pertama PipeKids Racing berlumba,” kata Hayden

    Hayden Haikal rangkul juara dan tempat ketiga untuk pusingan akhir Super Eco Siri Super Thailand 2023

    “Bagi saya secara peribadi, datang ke Thailand bukan sahaja untuk memenuhi cita-cita untuk naik kelas perlumbaan tetapi juga untuk membuktikan kepada diri sendiri bahawa saya boleh menjadi aset berharga sebagai pemandu pembangunan. Ia adalah musim yang hebat dan saya amat bersyukur kerana saya dapat membantu menaikkan Pipekids Racing berada di hadapan pada tahun pertamanya.”

    “Kami telah belajar banyak sebagai satu pasukan dan diharapkan pengalaman tahun ini akan meletakkan Pipekids Racing pada kedudukan yang lebih kukuh untuk merebut kejuaraan pada 2024,” tambahnya lagi.

    Ini tahun kedua Hayden berlumba dalam siri tersebut di mana dia berjaya bergelar naib juara keseluruhan bagi kelas Super Eco 2022. Dia juga mula berlumba dalam Idemitsu Super Turbo Championship juga di Thailand tahun ini dan telah pun bergelar juara kelas Junior pada Jun lalu.

    “Secara keseluruhan, 2023 adalah hebat. Tumpuan kini adalah untuk meneroka peluang untuk naik ke kelas perlumbaan yang lebih tinggi, iaitu perlumbaan kereta GT,” tegas Hayden.

     
     
  • Kad Touch n Go Titan Edition mula dijual — kad Enhanced NFC warna emas dan hitam, harga RM25

    Kad Touch n Go Titan Edition mula dijual — kad Enhanced NFC warna emas dan hitam, harga RM25

    Touch n Go kini memperkenalkan pula kad Touch n Go Enhanced NFC khas LUXE Card – Titan Edition yang menampilkan skim warna elegan yang menggabungkan warna emas dan hitam.

    Kad Touch n Go LUXE Card – Titan Edition ini dijual pada harga RM25, RM15 lebih mahal berbanding kad NFC biasa yang dijual pada harga RM10.

    Jika berminat untuk mendapatkannya, anda boleh berbuat demikian melalui pautan ini:

    Touch n Go LUXE Card di Shopee
    Touch n Go LUXE Card di Lazada

    Dengan adanya edisi khas Titan ini, adakah akan ada edisi-edisi lain pula yang akan diperkenalkan nanti? Dan, adakah anda rasa berbaloi untuk miliki kad Touch n Go seumpama ini?

     
     
  • Honda CR-V 2024 — video ringkas SUV generasi keenam; 1.5L turbo dan 2.0L hibrid, dari RM160k

    Honda CR-V 2024 — video ringkas SUV generasi keenam; 1.5L turbo dan 2.0L hibrid, dari RM160k

    Honda Malaysia minggu lalu baru sahaja melancarkan SUV Honda CR-V 2024 generasi keenam untuk pasaran tempatan. Empat varian ditawarkan, dengan tiga daripadanya unit turbocas manakala satu lagi hibrid.

    Empat varian berkenaan adalah seperti berikut: Honda CR-V 1.5L Turbo S – RM159,900; Honda CR-V 1.5L Turbo E – RM169,900; dan Honda CR-V 1.5L Turbo V AWD – RM181,900. Honda CR-V 2.0L e:HEV RS pula akan mula dijual pada awal 2024 nanti, dan harganya akan diumumkan kelak. Versi dengan enjin R20 2.0L i-VTEC yang kali terakhir ditawarkan bagi varian paling asas 2WD untuk model facelift generasi kelima tidak lagi ditawarkan.

    Selain itu, sempena meraikan 20 tahun pengeluaran CR-V di Malaysia, Honda Malaysia akan turut menawarkan edisi terhad CR-V varian S edisi ulangtahun berkenaan, yang terhad kepada 750 unit sahaja, pada harga RM157,900.

    Bagi varian turbo, semuanya menggunakan unit sama 1.5L VTEC Turbo seperti sebelum ini. Unit L15BE DOHC turbo empat silinder berkenaan menghasilkan kuasa 193 PS (190 hp) pada 6,000 rpm dan 243 Nm dari 1,700-5,000 rpm, tetapi rpm bagi kedua-dua kuasa dan tork ini tiba telah dipercepat, kesan daripada pembaharuan terhadap respon pecutan yang diperbaiki dan menjadikannya lebih senyap.

    Enjin ini kekal digandingkan bersama Earth Dreams CVT seperti sebelum ini. Ini juga telah diberikan pembaharuan untuk mengurangkan bunyi dan gegarannya. Dari sudut prestasi, varian S memecut 0-100 km/j dalam masa 9.7 saat, sementara E dengan 9.8 saat dan V AWD memerlukan 10.4 saat.

    Dari segi ukuran, CR-V mempunyai 4,691 mm panjang, 1,866 mm lebar dan 1,681 mm tinggi, menjadikannya 68 mm lebih panjang, 11 mm lebih lebar dan 2 mm lebih tinggi berbanding model lama. Jarak antara rodanya juga bertambah 40 mm menjadi 2,700 mm.

    Tonton sorotan ringkas kami berkaitan model berkenaan. Untuk maklumat lanjut tentang Honda CR-V 2024, baca laporan penuh pelancarannya di sini.

    Honda CR-V V 2024

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025