smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

Selepas versi biasanya ditunjuk kepada orang awam pada Julai lalu, kini smart Malaysia mendedahkan pula versi prestasi tinggi untuk SUV EV kompak #1 iaitu smart #1 Brabus yang akan dilancarkan secara rasmi pada pasaran tempatan tidak lama lagi. Model ini bukan hanya diberikan kemasan-kemasan lebih garang semata-mata, kerana ia adalah versi Brabus sebenar yang menampilkan kuasa pacuan jauh lebih agresif dari smart #1 biasa.

Berbanding smart #1 Pro dan Premium yang hanya dibekalkan dengan satu motor elektrik tunggal berkuasa 272 PS (200 kW) dan tork maksima 343 Nm untuk memacu roda belakang, versi Brabus ini pula ditambah dengan satu lagi motor elektrik bagi memacu roda hadapan.

Ini membolehkan ia dibekalkan kuasa dengan 428 PS (315 kW) dan tork maksima 543 Nm, serta mempunyai cengkaman dan pengendalian lebih baik dengan kebolehan pacuan semua roda. Hasilnya, smart #1 Brabus ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat, berbanding model Pro dan Premium yang mencapai pecutan sama dalam masa 6.7 saat.

smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

Kedua-dua motor berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium nikel mangan kobalt oksida (NMC) berkapasiti 66kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 400 km untuk satu cas penuh dalam kitaran WLTP. Dengan pengecas AC 22 kW kadar cas 10% hingga 80% dapat dipenuhkan dalam masa tiga jam, manakala dengan pengecas pantas DC 150 kW pula kadar cas yang sama dapat dicapai dalam masa 29 minit.

smart #1 ini diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture (SEA) rekaan Geely, oleh itu bateri berkenaan menjadi ‘alas’ sepenuhnya kepada lantai kereta ini. Namun untuk rekaan luaran dan dalaman, model-model EV baharu smart ini masih menerima sentuhan sepenuhnya dari Mercedes-Benz.

Dimensi untuk ketiga-tiga varian smart #1 ini adalah sama iaitu panjang 4,270 mm, lebar 1,822 mm, tinggi 1,636 mm dan jarak roda sejauh 2,750 mm. Dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan menjadi varian Brabus ini model yang paling berat, ditimbang pada 1,900 kg berbanding 1,780 kg untuk Pro dan 1,800 kg untuk Premium.

smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

Manakala untuk ruang kargo, smart menyatakan #1 menawarkan but belakang dengan kapasiti 323 hingga 411 liter. But tersebut menampilkan lantai yang rata, namun ia mempunyai ruang storan tersembunyi di bawahnya untuk menyimpan kabel pengecas dan juga barang-barang lain.

Kapasiti maksimum 986 liter dapat dicapai sekiranya tempat duduk belakang dilipat (nisbah 60:40) sepenuhnya. Dan walaupun pada bahagian but hadapan sudah dipenuhi dengan gandar dan motor elektrik, ia masih menampilkan ruang storan “frunk” berkapasiti 15 liter sama seperti versi pacuan roda belakang Pro dan Premium.

Dari segi rekaan, bentuk smart #1 ini adalah seakan batu pebel. Ia menerima lampu hadapan tirus di hadapan yang dihubungkan kedua-duanya dengan satu jalur LED yang merentangi sepenuhnya pada muka. Ia diberikan tiang-A yang digelapkan dan tiang-C nampak seakan sebahagian dari bumbung, memberikan illusi seperti bumbung tersebut seakan terapung.

Sebagai sebuah model yang dikelaskan sebagai sebuah SUV, semua varian dibekalkan dengan rim 19-inci dan jarak kelegaan tanah 182 mm, dan juga sepasang rel bumbung. Bentuk lampu belakang direka selari dengan rekaan muka, namun jika anda lihat bentuk kluster lampu tersebut adalah seperti model Mercedes-Benz EQA atau EQB, manakala grafik dalamnya seperti grafik stardust lampu belakang S-Class W222.

Khas untuk model Barbus ini, ia nampak lebih garang dengan liang udara palsu pada bahagian atas bampar hadapan (di atas jalur lampu), tambahan spoiler dagu di bawah bampar hadapan, spoiler bumbung lebih besar, rekaan diffuser belakang berbeza serta serlahan kemasan merah pada jalur-jalur bawah bampar dan kemasan sisi bawah pintu, liang udara pada gril bawah bampar hadapan, penutup cermin sisi dan juga angkup brek. Emblem-emblem dengan tulisan ‘Brabus’ ditampal pada spoiler hadapan, kemasan sisi pintu dan juga pada diffuser belakang.

Untuk roda, varian Brabus ini berkongsi dimensi tayar 235/45R19 dan saiz rim 19-inci yang sama dengan varian lain, tetapi ia diberikan rekaan rim Dynamo yang nampak lebih sporty dan juga tayar UHP Dunlop SP Sportmaxx. Sistem brek juga adalah sama seperti varian-varian lebih rendah, cuma talaan penyerap suspensi sahaja lain dengan mengambil kira berat, kuasa serta lebih keras bagi memberikan pengendalian lebih berorientasikan prestasi tinggi.

smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

smart #1 ini juga sebenarnya meriah dengan lampu. Ia diberikan lampu isyarat membelok sequential, lampu pembuka pintu, lampu pada gril hadapan, lampu tambahan pada cermin sisi, logo smart bernyala pada tiang-C dan pelbagai lagi. Malah lampu-lampu ini juga boleh membuat persembahan khas mengikut rentak lagu yang dimainkan menerusi sistem audio di dalam kereta.

Perincian luaran lain yang turut diberi termasuk bumbung panaromik, cermin sisi dengan pemanas, auto-malap dan auto-dipping ketika mengundur, pintu tailgate bantuan kuasa dan pelbagai lagi. smart #1 Brabus boleh dipilih dengan tujuh kombinasi warna badan berbeza. Sekiranya pembeli memilih warna bumbung Radiant Red, ia boleh digandingkan dengan warna badan Atom Grey–Matte, Meta Black dan Cyber Silver.

Manakala pembeli yang mahukan pilihan warna bunbung hitam, ia boleh digandingkan dengan warna badan Digital White, Laser Red dan Cyber Silver. Satu-satunya pilihan monotone untuk varian Brabus ini hanya ditawarkan untuk Atom Grey-Matte. Unit yang dipamerkan ini merupakan kombinasi warna badan Atom Grey-Matte (yang nampak seperti warna-warna kelabu magno Mercedes-AMG) dan juga bumbung berwarna Radiant Red.

Pada sebelah dalam, rupa asas versi Brabus ini nampak masih seiras dengan varian-varian lain, tetapi menerima beberapa perincian istimewa. Ia dilengkapi dengan skrin utama 12.8-inci dengan sistem navigasi bina-dalam, hubungan Apple CarPlay dan Android Auto dan digandingkan dengan sistem bunyi premium dari Beats menampilkan 13-pembesar suara.

Sistem bunyi ini bukan hanya memberikan bunyi muzik dan persembahan lampu yang baik, malah ia juga menjadi saluran untuk mengeluarkan bunyi enjin palsu, yang didakwa diinspirasikan dari bunyi enjin V6. Dengan lantai rata menerusi platform SEA ini, satu ruang storan yang agak besar dapat diberikan di bahagian bawah konsol tengah.

Pemandu akan menerima perincian khas seperti paparan instrumen digital HD penuh yang direka nipis bersaiz 9.2-inci, paparan head-up berwarna penuh 10-inci yang dipancar ke cermin hadapan, roda stereng dengan upholsteri gandingan kulit dan Alcantara serta logo Brabus bernyala di bawah, tempat duduk larasan kuasa 10-hala dengan fungsi memori dan juga set pedal aloi.

Pengaruh rekaan-rekaan dari Mercedes-Benz juga boleh dilihat pada kabin smart #1 ini seperti rekaan papan pemuka yang bersambung dengan konsol tengah pada kedudukan agak tinggi, suis pemilih ‘PNDR’ menggunakan tuil pada konsol stereng, jalur lampu suasana kabin dengan LED 64-warna dan pelbagai lagi.

Untuk tempat duduk, sekali lagi semua varian menampilkan rekaan tempat duduk yang sama dengan fungsi larasan kuasa dan berliang pada bahagian hadapan, tetapi untuk varian Brabus ini ia menerima upholsteri Ultra Sued, serlahan jahitan benang merah dan juga sulaman logo Brabus pada perehat kepala hadapan.

Perincian lain yang turut disertakan termasuk sistem pendingin hawa dua zon, penapis udara kabin N95, corong udara belakang, fungsi pendingin dan pemanas pada ruang storan konsol tengah, kemasan bendul pintu berlampu, pengecas telefon pintar tanpa wayar dan lain-lain.

smart #1 ini diberikan kunci kawalan jauh yang unik berbentuk seperti piring. Ia juga menampilkan aplikasi telefon pintar Hello smart yang bukan sahaja untuk fungsi kunci, malah turut memberikan pemantauan dan membuat pra-tetapan dari jauh, serta pengesan lokasi kereta dan juga fungsi pemberitahu sekiranya kereta sedang dicuri.

Untuk keselamatan, smart #1 diberikan kelengkapan seperti tujuh beg udara, sistem pemantau tekanan angin tayar, cagak tempat duduk Isofix pada tempat duduk belakang, bantuan mula mendaki dan bantuan turun bukit, kawalan brek selekoh (CBC) dan pelbagai lagi.

Ia turut dibantu sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan hampir 30-fungsi disenaraikan dalam kertas spesifikasi dan dikelaskan mempunyai kebolehan pemanduan autonomous Tahap 2. Antara fungsi tersebut termasuk cruise control adaptif dengan bantuan tukar lorong, bantuan kesesakan trafik (TJA), parkir autonomous sepenuhnya dan pelbagai lagi.

Semua varian smart #1 ini sudahpun boleh ditempah bermula 19 September lalu dan ia akan dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Harga sebenar belum diumumkan namun smart Malaysia mengesahkan ia akan dijual pada julat harga bermula RM200,000 untuk varian paling asas sehingga RM250,000 untuk varian paling tinggi iaitu smart #1 Brabus ini.

Kesemua tempahan smart #1 ini boleh dibuat menerusi aplikasi pintar Hello (boleh didapati di Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery) yang dikendalikan oleh smart Malaysia. Untuk memuktamadkan tempahan ini, anda perlu membuat bayaran tempahan sebanyak RM1,000 yang boleh dipulangkan semula.

Istimewa untuk 501 pelanggan terawal yang menempah EV ini menerusi aplikasi Hello smart, smart Malaysia turut akan memberikan kredit pengecasan bernilai RM1,001 melalui aplikasi tersebut. Kredit pengecasan ini akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas smart #1 dihantar kepada mereka.

Selain diprebiu kepada media pada awal minggu ini, anda boleh melihat sendiri smart #1 Brabus ini depan mata kerana ia kini sedang dipamerkan di acara International Electric Mobility Showcase (IEMS) yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sejak semalam, 4 Oktober sehingga 6 Oktober 2023.

smart #1 Brabus didedahkan di Malaysia – harga anggaran RM250k, 428PS/543 Nm, 0-100 km/j 3.9 saat!

Menurut smart, ini merupakan kemunculan sulung #1 Brabus bukan hanya untuk Malaysia, malah bagi peringkat Asia Tenggara. Ia didedahkan Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi, bersama YB Anthony Loke, Menteri Pengangkutan.

Pendedahan tersebut turut disaksikan oleh CEO Proton Dr Li Chunrong, Naib CEO Proton En Roslan Abdullah dan CEO Pro-Net Encik Zhang Qiang. Seperti yang diketahui sebelum ini, smart Malaysia adalah entiti yang diuruskan oleh Pro-Net, iaitu anak syarikat Proton yang diwujudkan bagi perniagaan kenderaan tenaga baharu.

“Setelah kami memperkenalkan varian smart #1 BRABUS, smart Malaysia berasa teruja untuk membuka laluan baharu dalam pasaran EV tempatan. Dengan gabungan teknologi canggih, prestasi EV yang luar biasa dan keselesaan tanpa kompromi, model BRABUS adalah varian tertinggi bagi model pertama kami, iaitu smart #1″, kata Zhang Qiang.

“Penyertaan smart Malaysia di IEMS juga mempamerkan komitmen syarikat ke arah membantu Malaysia mencapai matlamat pelepasan sifar bersih jangka panjangnya. Ketika kami menghampiri pelancaran rasmi pada suku terakhir tahun ini, kami mempunyai banyak lagi perkembangan menarik untuk diumumkan yang akan mentakrifkan semula pengalaman pemilikan EV,” tambahnya lagi.

GALERI: Brosur rasmi smart #1 Brabus di Malaysia

GALERI: smart #1 Premium di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required