Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Petronas, Gentari, Amazon, AWS tandatangan usaha kurangkan emisi karbon, kaji bahan api alternatif

    Petronas, Gentari, Amazon, AWS tandatangan usaha kurangkan emisi karbon, kaji bahan api alternatif

    Petronas dan Gentari, bersama Amazon dan Amazon Web Services (AWS) telah menandatangani perjanjian kerjasama untuk usaha kemapanan dan nyah-karbon, yang selari dengan komitmen pengeluar bahan api nasional itu untuk memberikan penyelesaian yang berkemampuan dan tenaga rendah karbon, serta dalam masa yang sama mengurangkan kadar pengeluaran bahan sisa gas dalam operasinya.

    Kerjasama antara syarikat-syarikat ini mencerminkan pendekatan menyeluruh ke arah kemapanan, kemajuan teknologi dan kemajuan sosio-ekonomi.

    Antara usaha yang dirancangkan termasuklah untuk Gentari bekerjasama dengan penyedia servis pihak ketiga untuk melanjutkan elektrifikasi rangkaian pengangkutan Amazon India. Amazon telah menyatakan komitmen untuk mengerahkan 10,000 EV dalam armada penghantarannya di India menjelang 2025, dan kerjasama ini akan melibatkan Gentari sebagai penyedia servis pengurusan barisan kenderaan EV untuk penyedia servis penghantaran pihak ketiga bagi Amazon.

    Sementara itu, Petronas dan Amazon Web Services akan menerokaan rekaan dan membangunkan “kilang untuk masa depan” yang mensasarkan memperluas usaha R&D oleh Petronas bagi pengeluaran minyak mikroalgae yang berpotensi sebagai bahan suapan kepada kemapanan bahan bakar industri pesawat.

    Petronas, Gentari, Amazon, AWS tandatangan usaha kurangkan emisi karbon, kaji bahan api alternatif

    Amazon berhasrat untuk menilai penyelesaian bahan api alternatif dan rendah karbon oleh Petronas untuk potensi disepadukan bagi sektor termasuk mobiliti, aplikasi tenaga setempat dan pengurusan karbon.

    Petronas juga akan terus memanfaatkan teknologi cloud AWS untuk memperluaskan penyelesaian baru dan sedia adanya, seperti Setel — aplikasi eWallet untuk pembelian di stesen Petronas — dan juga Stear — sebuah platform penyelesaian dan servis logistik berasaskan cloud untuk industri offshore.

    Petugas teknikal dan bukan teknikal Petronas juga akan terus memperkukuh tahap kecelikan digital mereka melalui program latihan dan pensijilan AWS, yang selaras dengan komitmen lebih luas AWS untuk membantu membangunkan tenaga kerja dengan kemahiran digital yang tinggi untuk ekonomi digital Malaysia.

     
     
  • Proton sahkan kebakaran X90 disebabkan kabel bumi; semua pemilik akan dipanggil untuk pemeriksaan

    Proton sahkan kebakaran X90 disebabkan kabel bumi; semua pemilik akan dipanggil untuk pemeriksaan

    Susulan kejadian kebakaran sebuah Proton X90 bulan lalu, Proton hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi bagi mendedahkan punca kejadian tersebut.

    Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan, insiden itu terjadi disebabkan masalah sambungan pembumian (grounding) kepada badan kereta. Masalah tersebut telah menyebabkan berlakunya pemanasan melampau pada bahagian hubungan itu apabila arus elektrik dengan kadar besar terus melaluinya.

    Akibatnya, ia turut memanaskan bahan penebat bunyi yang berada berhampiran, seterusnya memulakan kebakaran. Punca ini dikenalpasti menerusi siasatan yang dijalankan oleh sekumpulan pakar produk dari Proton dan Geely.

    Proton sahkan kebakaran X90 disebabkan kabel bumi; semua pemilik akan dipanggil untuk pemeriksaan

    Sebagai langkah pencegahan, semua pemilik Proton X90 akan dihubungi secara peribadi oleh pusat-pusat 3S dan 4S Proton bagi membolehkan semua unit-unit berkenaan diperiksa semula. Selepas pemeriksaan dibuat, langkah pembaikan akan dibuat oleh pusat servis sekiranya perlu bagi mengelakkan terjadinya apa-apa risiko kebakaran.

    Pemilik-pemilik Proton X90 juga boleh menghbungi sendiri pusat 3S atau 4S terdekat bagi membuat temujanji pemeriksaan ini, atau hubungi talian bantuan Proton menerusi nombor 1-800-88-8398 bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut.

    Selain itu, Proton dan juga vendor-vendornya telah mengambil langkah pencegahan dengan menambah baik proses kawalan pembekalnya dan pemeriksaan-pemeriksaan selepas ini pada barisan produksi Proton X90.

    Proton turut mengesahkan kejadian ini tidak berkaitan dengan bateri hibrid ringkas 48V yang digunakan pada Proton X90 tersebut, serta memberi jaminan kepada semua bahawa kualiti produk-produknya dan juga keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan.

     
     
  • Peugeot e-3008 EV diperkenal – varian satu motor dan dua motor, bateri sehingga 98 kWh, jarak gerak 700 km

    Peugeot e-3008 EV diperkenal – varian satu motor dan dua motor, bateri sehingga 98 kWh, jarak gerak 700 km

    Peugeot telah memperkenalkan e-3008, sebuah model elektrik penuh yang ditawarkan dalam tiga versi iaitu dua versi dengan tetapan satu motor, 2WD – 157 kW (213 PS) dan 170 kW (231 PS) – dan satu versi menggunakan dua motor AWD 240 kW (326 PS).

    Selain membawa konsep rekaan baru Peugeot, e-3008 ini juga dilihat mempunyai bumbung yang lebih rendah seakan fastback berbanding yang lebih tinggi pada 3008 biasa. Tanda unik seperti pencahayaan lampu tiga jalur masih dikekalkan di hadapan dan belakang, sementara rim pula terdiri daripada saiz 19 dan 20 inci.

    Menurut Peugeot, kedudukan bateri nickel-manganese-cobalt 400 volt yang rendah pada SUV ini dapat menyumbang kepada titik graviti yang rendah serta lebih stabiliti dan ia disediakan dalam dua pakej.

    Peugeot e-3008 EV diperkenal – varian satu motor dan dua motor, bateri sehingga 98 kWh, jarak gerak 700 km

    Pakej pertama adalah pek 73 kWh, yang digunakan untuk varian asas berkuasa 213 PS/343 Nm serta varian Dual Motor 326 PS. Jarak gerak kedua-duanya adalah sama, iaitu 525 km. Pakej kedua adalah pek 98 kWh, yang digunakan untuk varian Long Range 231 PS/343 Nm dan mampu memberikan jarak gerak 700 km.

    SUV elektrik ini boleh dicas menggunakan pengecas AC 11 kW (standard), AC 22 kW (pilihan tambahan) atau DC 160 kW. Apabila menggunakan sumber DC, tahap baterinya boleh naik dari 20 ke 80% dalam masa 30 minit untuk versi standard dan bawah 30 minit untuk versi Long Range.

    Empat mod pemanduan disediakan pada e-3008, termasuk mod AWD untuk varian dua motor. Mod Normal mengehadkan kuasa dan tork apabila pedal ditekan dari 0-70%, manakala mod Eco menggunakan tetapan maklum balas pedal khas yang bukan sahaja mengehadkan kuasa, tetapi juga mengurangkan fungsi pendingin hawa. Mod Sport memberikan kuasa dan pemanduan yang lebih dinamik.

    Pada bahagian dalam, varian GT e-3008 akan mendapat skrin sesentuh melengkung 21 inci Peugeot Panoramic i-Cockpit, sementara varian Allure menggunakan dua panel paparan 10 inci yang digabungkan. Di bahagian tengah papan pemuka terdapat panel sesentuh untuk mengawal pelbagai fungsi kenderaan. Penukar gear berada di stereng.

    Model ini juga menjadi model Peugeot pertama yang boleh didapatkan dengan tempat duduk yang mempunyai fungsi bahagian tepi boleh kembung dan kempis mengikut bentuk badan pengguna. Sistem bunyi menggunakan 10 pembesar suara Focal.

    Pada bahagian keselamatan, e-3008 datang dengan pakej Drive Assist Plus yang memberikan Adaptive Cruise Control dengan fungsi stop-and-go, Lane Keeping Assist, Assisted Lane Change, Speed Limit Notification, AEB, Lane Departure Warning, Driver Attention Alert, Long-Range Blind Spot Monitoring (sehingga 75 meter), Hill Descent Control dan Traction Control.

     
     
  • KTM 890 Adventure R Rally diperkenal – hanya 700 unit untuk seluruh dunia, prestasi offroad dipertingkat

    KTM 890 Adventure R Rally diperkenal – hanya 700 unit untuk seluruh dunia, prestasi offroad dipertingkat

    KTM di Eropah sedang membuka tempahan untuk 890 Adventure R Rally 2024, iaitu sebuah motosikal dual purpose yang dihasilkan dengan prestasi lebih tinggi, dan hanya akan dikeluarkan sebanyak 700 unit untuk seluruh dunia. Harga yang ditetapkan adalah 22,990 euro (RM115,371) dan 39 pembeli bertuah akan berpeluang menyertai acara Ultimate KTM Desert Experience bersama penunggang professional.

    Model ini mendapat inspirasi daripada jentera lumba factory KTM 450 Rally yang digunakan oleh Kevin Benavides, dengan suspensinya dinaik taraf kepada unit fork USD WP Xplor Pro 7548 di hadapan dan monoshock WP XPlor Pro 6746 di belakang, memberikan jarak gerak 270 mm.

    Kemampuan meredah jalan lasak 890 Adventure R Rally dipertingkat dengan rim Excel yang terdiri daripada unit 21 x 2.15 di hadapan dan 18 x 4.00 di belakang. Sistem brek terdiri daripada angkup empat piston di hadapan dan dua piston di belakang, dengan Cornering ABS Bosch 9.3 MP diberikan secara standard (boleh ditutup.

    KTM 890 Adventure R Rally diperkenal – hanya 700 unit untuk seluruh dunia, prestasi offroad dipertingkat

    Model ini digerakkan oleh enjin dua silinder selari 889 cc yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sehingga 105 hp dan tork 100 Nm. Dengan catatan berat tidak sampai 200 kg, KTM mendakwa, ini adalah jentera adventure paling berkemampuan untuk offroad di dalam pasaran.

    Kelengkapan lain yang diberikan terus dengan motosikal ini adalah termasuk sistem ekzos Akrapovic, tempat duduk dan peletak kaki Rally, pelindung enjin, radiator, pam brek belakang dan suspensi belakang, sprocket Supersprox, grafik khas serta tangki bahan api 20 liter.

     
     
  • Perkhidmatan bas di Lembah Klang akan diselaraskan, Rapid KL tambah bilangan bas – Anthony Loke

    Perkhidmatan bas di Lembah Klang akan diselaraskan, Rapid KL tambah bilangan bas – Anthony Loke

    Menteri Anthony Loke mengeluarkan kenyataan bahawa Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) akan menyelaraskan laluan perkhidmatan bas di Lembah Klang supaya pengangkutan awam itu lebih berintegrasi pada masa depan.

    Katanya, setakat ini terdapat tiga operator berlainan yang mengendalikan perkhidmatan bas di Lembah Klang iaitu Rapid Bus, bas percuma GoKL oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan bas Smart Selangor oleh kerajaan Selangor, laporan Bernama.

    “Kita perlu selaraskan supaya laluan-laluan (bas) itu lebih berintegrasi, tidak overlap (bertindih) antara satu sama lain. Kita berharap bahawa integrasi dan kerjasama ini dapat membantu menyediakan mutu perkhidmatan bas yang lebih lancar, efisien dan bilangan penumpang juga dapat ditambah,” katanya.

    Jelasnya, buat masa ini, sebanyak 724 bas beroperasi di Lembah Klang setiap hari, iaitu satu jumlah yang kecil, berbanding keperluan hampir 4,000 bas bagi perkhidmatan yang efisien. Bagaimanapun, beliau berkata, Rapid Bus akan terus berusaha menambah bilangan itu dan dianggarkan 1,000 bas akan dapat beroperasi setiap hari menjelang akhir tahun.

    “Sekarang ada 150 bas Rapid KL yang masih diselenggarakan dan boleh kembali untuk perkhidmatan. Selain itu, kita juga sedang melantik operator bas baharu, umpamanya laluan yang tidak cukup bas kita akan berikan kepada operator lain,” katanya.

    Perkhidmatan bas di Lembah Klang akan diselaraskan, Rapid KL tambah bilangan bas – Anthony Loke

    Mengenai operasi lorong bas yang telah dimulakan sejak Julai lalu, Loke berkata, terdapat peningkatan jumlah penumpang sebanyak 12%, iaitu daripada 12,936 kepada 14,523 penumpang setiap hari dengan penjimatan masa perjalanan kira-kira 20 minit berbanding penggunaan kereta persendirian.

    “Dari segi pengamatan saya, walaupun ada lorong bas, masih banyak kereta yang mengikuti lorong bas, mereka pada permulaannya terpaksa keluar dari lorong bas itu kerana ada anggota penguat kuasa di depan untuk masuk lorong kanan.

    “Tetapi banyak kereta persendirian selepas melalui kira-kira 500 meter, mereka masuk kembali ke kiri (lorong bas) dan itu kadangkala menyusahkan bas kerana masih ada kereta. Perkara ini akan dibincangkan lagi pada mesyuarat jawatankuasa kabinet atasi kesesakan jalan raya pada bulan depan,” katanya.

    Laluan khas bas juga telah dilaksanakan sepanjang 3 km dari bangunan Risda hingga ke persimpangan Jalan Tun Razak, pada waktu puncak hari biasa dari jam 6 pagi hingga 9 pagi.

    CEO Rapid KL Muhammad Yazurin Sallij berkata, pada ketika ini, sebanyak 36 bas akan digunakan sepanjang ujian di sepanjang Jalan Ampang dalam tempoh enam bulan itu, melibatkan bas dua tingkat utuk laluan 300 dan DS01 serta sembilan lagi bas bagi laluan 303, dengan kekerapan bas dua kali ganda berbanding sebelum ujian percubaan ini dijalankan.

     
     
  • 70% kenderaan terbakar kerana sistem pendawaian elektrik, 632 kes setakat 12 Sept – Bomba Selangor

    70% kenderaan terbakar kerana sistem pendawaian elektrik, 632 kes setakat 12 Sept – Bomba Selangor

    Sistem pendawaian elektrik didapati menjadi antara punca utama kes kenderaan terbakar, menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor. Berdasarkan statistik, pihak Bomba Selangor telah mencatatkan sebanyak 632 kes kenderaan terbakar di negeri ini, antara Januari hingga 12 September 2023, dengan 70% daripadanya berpunca daripada sistem pendawaian elektrik.

    Menurut Pengarah JBPM Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, sepanjang tempoh itu juga, sebanyak 12 kes menyebabkan kecederaan, manakala empat kes kematian dilaporkan.

    “Setakat semalam, terdapat 632 kes yang diterima JBPM Negeri Selangor dan sepanjang tahun lalu pula sebanyak 947 kes. Kesemua kes ini, bomba menjalankan operasi menyelamat dan memadamkan kebakaran. Hasil penyiasatan JBPM Selangor, kebanyakan kes iaitu 70% kebakaran kenderaan adalah berpunca daripada sistem pendawaian elektrik,” katanya seperti dilaporkan oleh Harian Metro.

    Justeru, bomba menasihatkan pemilik kenderaan agar memastikan setiap sambungan pendawaian dan pertambahan aksesori kenderaan dilaksanakan oleh pihak yang bertauliah dan berkelayakan.m Selain itu, pemilik kenderaan diingatkan supaya melakukan penyelenggaraan kenderaan mengikut tempoh yang ditetapkan.

    “Jangan merokok di dalam kenderaan kerana ia boleh menyebabkan berlaku kebakaran memandangkan bahan di dalam kereta mengandungi bahan mudah terbakar. Sediakan alat pemadam yang bersesuaian di dalam kenderaan serta elakkan pemasangan aksesori tambahan yang berlebihan. Elakkan meletak bahan yang mudah terbakar di dalam kenderaan, contohnya barangan elektrik (seperti power bank), tin aerosol dan pemetik api,” katanya lagi.

     
     
  • JPJ umum perkhidmatan sistem mySikap bakal alami gangguan capaian pada 15-17 Sept, 5 petang-6 pagi

    JPJ umum perkhidmatan sistem mySikap bakal alami gangguan capaian pada 15-17 Sept, 5 petang-6 pagi

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan bahawa perkhidmatan sistem mySikap bakal mengalami gangguan capaian pada 15 hingga 17 September 2023 (Jumaat-Ahad ini). Gangguan capaian ini berlaku pada jam 5 petang hingga 6 pagi setiap hari pada tarikh yang dimaklumkan itu.

    Menurut JPJ, antara perkhidmatan yang terjejas melibatkan kaunter JPJ cawangan dan negeri, portal awam dan portal rakan niaga, integrasi bersama agensi dan rakan niaga, Permit Kemasukan Kenderaan (Vehicle Entry Permit atau VEP) termasuk pembayaran wallet, aplikasi MyJPJ, JPB eBid dan juga kios.

    Difahamkan bahawa gangguan capaian ini bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaran sistem, berdasarkan imej pada info grafik.

    Untuk itu, bagi pengguna yang mempunyai urusan yang berkaitan, harap boleh melaksanakan urusan tersebut sebelum tarikh yang dinyatakan atau pun menangguhkannya sehingga capaian sistem kembali berfungsi seperti sedia kala.

     
     
  • Goodyear rai ulang tahun ke-125 – sambutan peringkat Asia Pasifik di Malaysia, perkenal empat tayar baru

    Goodyear rai ulang tahun ke-125 – sambutan peringkat Asia Pasifik di Malaysia, perkenal empat tayar baru

    Pengeluar tayar dari Amerika Syarikat, Goodyear meraikan ulang tahunnya yang ke-125 dengan menganjurkan acara serantau bertemakan “Goodyear:125 Years in Motion” yang berlangsung di Malaysia hari ini. Acara berkenaan dihadiri oleh jemputan dari Asia Pasifik termasuk Australia dan New Zealand, dan ia turut memperkenalkan empat tayar baharu bagi rantau ini dalam acara yang sama.

    Empat rangkaian tayar baharu tersebut adalah tayar UHP Eagle F1 Asymmetric 6 untuk kereta sport mewah, tayar off-road Wrangler DuraTrac RT untuk kenderaan 4X4 Premium, tayar untuk kenderaan elektrik (EV) ElectricDrive, dan juga tayar untuk kegunaan kenderaan penumpang biasa Assurance MaxGuard.

    Antara empat tayar ini, Assurance MaxGuard sudahpun mula masuk ke pasaran Malaysia terlebih dahulu tidak, dan akan diikuti rangkaian produk lain. Bagi Assurance MaxGuard, ia adalah tayar yang dihasilkan lebih baik dari Assurance Triple Max 2 sedia ada, untuk kegunaan kereta penumpang biasa, sedan bersaiz sederhana sehingga sedan mewah aras mula.

    Goodyear rai ulang tahun ke-125 – sambutan peringkat Asia Pasifik di Malaysia, perkenal empat tayar baru

    Assurance MaxGuard ini menampilkan teknologi kompaun ActiveGrip dari Goodyear yang memberikan jarak membrek lebih dekat pada permukaan jalan yang basah. Ia juga menerima teknologi Duraguard, menampil struktur binaan dua lapisan bagi memberikan ketahanan lebih baik ketika impak, melindunginya dari terpotong atau pancit.

    Tayar Goodyear Assurance Maxguard ini ditawarkan dalam 18 saiz berbeza untuk pasaran Malaysia, untuk kegunaan rim berdiameter 15 hingga 17-inci.

    Acara ini juga menerima kunjungan hampir 300 wakil pelanggannya, serta dihadiri oleh Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang; Naib Presiden Tayar Pengguna Goodyear Asia Pasifik, Pietro Saletta; dan Naib Presiden Pembangunan dan Kualiti Produk Goodyear Asia Pasifik, Greg Hanna.

    Dalam acara yang sama, wakil-wakil pelanggan dan juga wakil media dari dalam dan luar negara yang dijemput turut diberikan peluang bagi mencuba kesemua empat tayar yang diperkenalkan menerusi sesi pandu uji yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang.

    Malah Goodyear turut menyediakan ruang pameran bagi menunjukkan teknologi-teknologi tayar masa hadapan yang sedang dibangunkan seperti tayar tanpa angin, tayar aero, tayar dengan penderia pada sebelah dalam dan pelbagai lagi yang mungkin akan diproduksi selepas ini.

    Goodyear turut mempamerkan teknologi tayar yang 90% diperbuat daripada bahan mampan, menunjukkan aspirasinya untuk membangunkan tayar yang 100% diperbuat daripada bahan mampan dan bebas penyelenggaraan menjelang 2030. Dalam pameran ini juga turut menyediakan paparan interaktif yang membolehkan para hadirin memahami secara lebih mendalam penyelesaian dan perkhidmatan unggul yang ditawarkan oleh Goodyear untuk masa depan mobiliti.

    “Asia Pasifik telah menjadi salah satu daripada pasaran automotif terbesar di dunia dan mempunyai potensi yang luar biasa,” kata Presiden Goodyear Asia Pasifik, Nathaniel Madarang.

    “Semangat inovasi serta dorongan ke arah kecemerlangan yang dijunjung oleh Goodyear meletakkan kami di tengah tengah revolusi mobiliti dan kami sentiasa bekerjasama rapat dengan para pelanggan dan inovator bagi mentransformasikan industri pengangkutan,” tambahnya lagi.

    GALERI: Goodyear Assurance Maxguard

    GALERI: Goodyear Eagle F1 Asymetric 6

    GALERI: Goodyear Wrangler DuraTrac RT

    GALERI: Goodyear ElectricDrive

    GALERI: Sesi Pandu Uji Goodyear 125 Years in Motion

     
     
  • Pas bermusim feri P. Pinang bagi motosikal diberi potongan harga 30%, RM105 hingga 30 Jun 2024

    Pas bermusim feri P. Pinang bagi motosikal diberi potongan harga 30%, RM105 hingga 30 Jun 2024

    Pengendali feri Pulau Pinang yang baru, Penang Port Sdn Bhd (PPSB), telah mengumumkan syarikat itu akan menawarkan potongan harga 30% bagi pemegang pass bermusim bagi penunggang motosikal yang menggunakan perkhidmatan itu, lapor Bernama.

    Potongan harga tambang itu diberikan susulan pengumuman tambang yang dilakukan minggu lalu bagi kedua-dua terminal — terminal Sultan Abdul Halim di tanah besar dan juga Jeti Raja Tun Uda di sebelah pulau.

    Pas bermusim untuk penunggang motosikal, yang biasanya dikenakan RM150, kini akan dijual pada harga hanya RM105 hingga 30 Jun 2024, menurut PPSB. Kos bagi setiap perjalanan berdasarkan harga pas bermusim terbaru ini ialah RM1.75, berbanding RM2.50 mengikut harga biasa, dan dikira berdasarkan purata 60 perjalanan sebulan.

    Pengendali perkhidmatan feri Pulau Pinang juga akan menawarkan perjalanan tambahan pada 11 malam setiap hari dari terminal Sultan Abdul Halim di Butterworth untuk menyelaraskan perkhidmatan feri itu dengan kaedah pengangkutan lain di negeri itu.

    Untuk harga biasa, feri Pulau Pinang mengenakan caj RM1 bagi pejalan kaki, dan juga RM23 bagi basikal. Penunggang motosikal dikenakan RM2.50; ini adalah bagi perjalanan tunggal searah. Feri baru ini tidak mengangkut kereta seperti feri lama dahulu.

     
     
  • Subsidi bersasar dijangka mula awal 2024 — Rafizi

    Subsidi bersasar dijangka mula awal 2024 — Rafizi

    Kerajaan dijangka akan mula melaksanakan program subsidi bersasar awal tahun hadapan. Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, jangka masa ini adalah berdasarkan pelancaran Pangkalan Data Utama (PADU), sebuah pangkalan data sosio-ekonomi, yang telah dijadualkan pada November ini. Pangkalan data tersebut akan terbuka kepada umum untuk pengesahan status sosio-ekonomi mereka bermula Januari tahun depan, lapor Bernama.

    Awal tahun ini, Rafizi memberi petunjuk bahawa pangkalan data PADU akan menyertakan metriks pendapatan boleh guna isu rumah yang telah dikumpul, dan menggunakannya sebagai struktur kayu ukur bagi memastikan subsidi bersasar boleh diagihkan dengan lebih tepat.

    Bagaimanapun, kaedah agihannya pula masih belum dijelaskan. “Sama ada kaedahnya akan menggunakan pindahan tunai atau pengeluaran kad, itu akan ditentukan kelak. Keutamaan buat masa sekarang adalah untuk memastikan maklumat yang diperlukan adalah lengkap berkaitan status sosio-ekonomi setiap isi rumah,” jelas beliau.

    Julai lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan pihaknya sudah membincangkan tentang sistem pengenalan khas bagi kaedah agihan subsidi bersasar untuk bahan api diesel dan petrol RON 95.

    Sebelum ini, dilaporkan bahawa kerajaan akan memulakan subsidi minyak bersasar untuk diesel tahun depan dan memerhatikan keberkesanannya, begitu juga dengan subsidi bersasar untuk elektrik, sebelum mengumumkan sebarang keputusan untuk subsidi bersasar bagi petrol RON 95.

     
     
  • Aprilia RS 457 didedah – motosikal sports dengan enjin dua silinder selari 457 cc 47 hp, berat 175 kg

    Aprilia RS 457 didedah – motosikal sports dengan enjin dua silinder selari 457 cc 47 hp, berat 175 kg

    Siri model sport Aprilia yang menggunakan nama RS berkembang lagi dengan pengenalan model baru RS 457. Disasarkan oleh Aprilia untuk menjadi satu tanda aras teknologi dan gaya bagi penunggang muda, RS 457 ini akan memasuki pasaran untuk bersaing dengan model seperti KTM RC390, Kawasaki Ninja 400/ZX-4R dan CFMoto 450SR.

    Melekap pada kerangka aluminiumnya adalah enjin dua silinder selari DOHC 457 cc bersama padanan transmisi enam gear, yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 46.9 hp. Dengan berat keseluruhan motosikal 175 kg (lengkap dengan minyak), Aprilia mendakwa RS 457 memberikan nisbah kuasa kepada berat yang tidak boleh disaingi dalam kelasnya.

    Bahagian suspensi RS 457 menggunakan kelengkapan yang terdiri daripada fork USD dengan pelarasan pra beban dan jarak gerak 120 mm di hadapan, serta monoshock dengan hanya pelarasan pra beban, dengan jarak gerak 130 mm di belakang.

    Melaksanakan tugas membrek adalah angkup Bybre empat piston serta cakera 320 mm di hadapan, dan angkup Bybre satu piston bersama cakera 220 mm di belakang. Sistem ABS diberikan secara standard, dan penunggang boleh memilih dua mod, iaitu dual-channel atau single-channel.

    Memudahkan pengguna, motosikal ini datang dengan pilihan tiga mod tunggangan serta tiga tahap kawalan cengkaman (juga boleh ditutup terus). Quickshifter pula hanya datang sebagai aksesori pilihan tambahan.

     
     
  • PDRM keluarkan 2.56j saman dalam 8 bulan tahun ini

    PDRM keluarkan 2.56j saman dalam 8 bulan tahun ini

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah berkata sebanyak sebanyak 2.56 juta kompaun saman dikeluarkan dalam tempoh lapan bulan tahun ini.

    Menurut Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Seri Mat Kasim Karim, jumlah itu membabitkan sebanyak 1.52 juta saman K257 iaitu secara bersemuka manakala 1.03 juta kompaun K170A membabitkan kesalahan dikesan PDRM melalui kamera atau penguatkuasaan dijalankan, laporan Harian Metro.

    “Saman tertinggi dikeluarkan membabitkan kesalahan tanda trafik iaitu 985,635 saman. Antara kesalahan yang dilakukan termasuklah memandu melebihi had laju ditetapkan, tidak mematuhi lampu isyarat, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, memotong barisan, dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 555,002 saman lesen dikenakan terhadap mereka yang tidak mempunyai lesen sah atau lesen yang tamat tempoh. Manakala sebanyak 205,464 saman membabitkan kes kemalangan manakala 187,120 keping kompaun terhadap kesalahan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya.

    Tambah beliau, sebanyak 154,369 saman turut dikeluarkan terhadap kesalahan yang menyumbang kepada kemalangan jalan raya. Contohnya, pemandu gagal meletakkan penanda segi tiga apabila kenderaan rosak hingga berlakunya kemalangan.

    Beliau berkata, pihaknya menerusi JSPT akan sentiasa melakukan penguatkuasaan dan operasi bagi memastikan pengguna jalan raya mengikut peraturan ditetapkan.

    “Antaranya saman ekor yang dilaksanakan bermula 21 Ogos lalu. Itu bagi bertujuan untuk mendidik pemandu supaya menggunakan jalan raya dengan berhemah. Terutamanya apabila kesalahan memandu melebihi had laju antara penyumbang utama kemalangan,” katanya.

     
     
  • Volvo Car Malaysia kemaskini model PHEV 2024 — kadar OBC naik kepada 6.4 kW, cas penuh tiga jam

    Volvo Car Malaysia kemaskini model PHEV 2024 — kadar OBC naik kepada 6.4 kW, cas penuh tiga jam

    Volvo Car Malaysia (VCM) telah umumkan syarikat itu akan memperkenalkan kemaskini bagi barisan model plug-in hybrid keluarannya, melibatkan XC90, XC60, S90, S60 dan V60.

    Kemaskini untuk pasaran Malaysia tersebut bakal memperkenalkan pengecas binaan dalaman (OBC) yang lebih berkuasa yang akan membolehkan sehingga 6.4 kW dengan pengecasa dua atau tiga fasa, atau 3.6 kW dengan pengecasan fasa tunggal.

    Menurut VCM, pengecasan dua atau tiga fasa sehingga 6.4 kW membolehkan tempoh pengecasan menjadi tiga jam sahaja, berbanding lima jam dengan pengecas 2.6 kW dan 16 A. Pengecas baru itu memerlukan empat jam untuk cas penuh pada kadar 4.0 kW, atau tujuh jam pada kadar 2.4 kW.

    Volvo Car Malaysia kemaskini model PHEV 2024 — kadar OBC naik kepada 6.4 kW, cas penuh tiga jam

    Semua model PHEV 2024 yang ditawarkan oleh VCM akan dilengkapi dengan bumbung panoramik larasan kuasa elektrik sebagai ciri standard, dan semua model akan menerima pilihan warna badan Vapour Grey sebagai tambahan terbaru, menyertai warna sedia ada Onyx Black, Crystal White, Denim Blue, dan Platinum Grey.

    Kemaskini luaran lain yang diberikan adalah rekaan rim baru, dengan S90 Recharge menerima rekaan lapan-jejari baru sementara S60 Recharge dan V60 Recharge akan menerima rekaan rim enam-jejari baru.

    Di dalam, model Volvo 2024 di Malaysia akan ditawarkan dengan akses lima-tahun percuma untuk servis digital termasuk Google Assistant, Google Maps, Google Play Store dan fungsi jarak jauh aplikasi Volvo Cars.

    Volvo Car Malaysia kemaskini model PHEV 2024 — kadar OBC naik kepada 6.4 kW, cas penuh tiga jam

    Turut disertakan ialah aplikasi Youtube sebagai binaan sedia ada Google, yang hanya boleh digunakan ketika kenderaan berada dalam keadaan berhenti. Model Volvo sebelum ini yang ada sistem binaan dalam Google juga akan menerima aplikasi itu melalui kemaskini over-the-air (OTA).

    Selain kadar pengecas dalaman yang dipertingkat, tiada perubahan lain kepada sistem janaan plug-in hybrid yang digunakan oleh model PHEV Volvo 2024, dan mengekalkan semua kemaskini yang dilakukan untuk model tahun 2023 di Malaysia. Ini termasuklah bateri lithium-ion dengan kapasiti lebih besar 18.8 kWh yang menyediakan jarak EV dari 40 hingga 49 km dan dari 70 hingga 90 km, bergantung model.

    Volvo Car Malaysia kemaskini model PHEV 2024 — kadar OBC naik kepada 6.4 kW, cas penuh tiga jam

    Kemaskini itu juga memberi manfaat kepada output motor elektrik, yang meningkat janaannya kepada 145 PS dan menjadikan output keseluruhan 462 PS dan 709 Nm tork, sementara enjin 2.0 liter turbocas dan supercas empat-silinder petrol turut ditala semula untuk memberikan pemanduan lebih lancar.

    Untuk harga, model Volvo PHEV 2024 di Malaysia seperti dipaparkan laman web rasminya menunjukkan XC90 Recharge bermula dari RM432,888, dengan XC60 Recharge dari RM355,888. S90 Recharge pula dari RM370,888 manakala S60 Recharge dari RM313,888 dan V60 Recharge dari RM321,888.

     
     
  • MRT Laluan Kajang uji koc wanita hujung Sept ini

    MRT Laluan Kajang uji koc wanita hujung Sept ini

    Koc atau gerabak khas untuk penumpang wanita bagi MRT Laluan Kajang akan dimulakan pada penghujung bulan ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, laporan Bernama.

    Pihak kementerian juga dikhabarkan akan memperkembangkan langkah memperkenalkan koc wanita untuk perkhidmatan tren di laluan lain jika inisiatif itu dapat dilaksanakan dengan baik, kata menteri pengangkutan itu.

    “Pengenalan koc wanita ini berikutan fakta bahawa kita melihat peningkatan kes gangguan seksual di dalam keretapi. Khususnya pada waktu puncak, penumpang wanita terpaksa menaiki tren yang sesak dan kadangkala ada sentuhan fizikal,” kata Loke yang menambah setiap koc boleh memuatkan lebih 100 penumpang wanita pada satu-satu masa.

    Pengenalan koc wanita untuk Laluan Kajang ini diumumkan pada Julai lalu. Sementara itu, Rapid KL pula mengumumkannya pada awal bulan ini bahawa pemasangan pelekat khas dan ujian operasi sedang berjalan. Imej yang dikongsikan oleh Rapid KL menunjukkan pelekat berwarna merah jambu telah dipasang di lantai dan pintu gantri yang mudah dilihat.

    Pada tahun 2010, perkhidmatan rel komuter khas untuk wanita mula diperkenalkan oleh KTM Komuter, yang merangkumi 60% penumpang, laporan New Straits Times pada Julai lalu.

     
     
  • JPJ eBid: Siri ANE dan BRQ dibuka untuk bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Perak, ANE, bakal dibuka bidaan pada 18 September 2023. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 22 September ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 23 September 2023. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Selangor pula, BRQ, bidaannya pula bakal dibuka mulai 20 September ini dan akan berakhir jam 10 malam pada 24 September 2023. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 25 September 2023.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025