Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Proton eMas 5 dilihat sedang diuji sebelum pelancaran

    Proton eMas 5 dilihat sedang diuji sebelum pelancaran

    Selepas dipertontonkan di Malaysia Autoshow Mei lalu, Proton eMas 5 kini dilihat pula sedang diuji di jalan awam.

    Dikesan oleh seorang pembaca paultan.org, Amar di Melaka, EV kedua Proton itu masih mengenakan pelekat samaran, kali ini dengan tema hitam-putih dan bukan berwarna-warni seperti sebelumnya. eMas 5 ini juga bergerak bersama dengan sebuah lagi unit X50 facelift, model yang dijangka akan dilancarkan dalam masa terdekat. Semua lagi kereta yang ikut serta ialah Saga MC3.

    Dijadualkan untuk pelancaran rasmi pada suku keempat 2025, eMas 5 berada di bawah eMas 7, dan menggunakan asas daripada Geely Star Wish, yang dijual di China dengan nama Xingyuan. Tiada perincian teknikal yang didedahkan oleh Proton setakat ini, tetapi Star Wish/Xingyuan di China menggunakan motor elektrik di belakang dengan janaan 79 PS (78 hp atau 58 kW) dan 130 Nm tork. Ini dipadankan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 30.12-kWh yang memberikan jarak 310 km CLTC.

    Proton eMas 5 dilihat sedang diuji sebelum pelancaran

    EV berkenaan juga ditawarkan dengan bateri LFP yang lebih besar, 40.16-kWh dengan jarak hingga 410 km CLTC, dengan janaan yang juga lebih besar, 116 PS (114 hp atau 85 kW) dan 150 Nm. Di China, ia dijual dengan harga antara 68,800 dan 97,800 yuan (sekitar RM40k hingga RM58k).

    Untuk kelengkapan, Star Wish/Xingyuan datang dengan paparan instrumen digital 8.8-inci, skrin sentuh infotainmen 14.6-inci, lampu ambient 256 warna, papan pemuka dan panel pintu dengan lampu, pendingin automatik dengan corong di belakang, kerusi depan larasan kuasa, pengecas tanpa wayat Qi 50 watt, fungsi vehicle-to-load (V2L) 3.3 kW serta fungsi ADAS. Unit ujian ini menggunakan rim 16-inci.

    eMas 5 dijangka tiba dalam bentuk CBU terlebih dahulu, memandangkan kilang EV Proton di Tanjung Malim hanya akan memasang eMas 7 terlebih dahulu sebaik mula beroperasi hujung tahun ini. Melihat kepada posisinya, eMas 5 akan dijual lebih murah berbanding eMas 7 yang ketika ini bermula dari RM105,800. Ketika ini, EV CBU tidak boleh dijual di bawah RM100k hingga akhir 2025.

     
     
  • Nissan Leaf 2026 – dibuat untuk jadi lebih cekap, 0.25 Cd, jarak gerak “300 – 500 km” sekali cas penuh

    Nissan Leaf 2026 – dibuat untuk jadi lebih cekap, 0.25 Cd, jarak gerak “300 – 500 km” sekali cas penuh

    Nissan berkongsi lebih banyak maklumat berkenaan model Leaf generasi ketiga yang sebelum ini diperkenalkan secara ringkas Mac lalu. Pelancaran rasmi model elektrik ini dijangka berlangsung dalam masa beberapa minggu lagi. Maklumat terbaru ini disampaikan melalui siri video pendek tiga bahagian yang menunjukkan perkembangannya, yang sekarang sudah berubah daripada sebuah hatchback biasa kepada SUV elektrik yang lebih bergaya – sedikit lebih kecil daripada model Ariya.

    Model baharu Leaf ini dibina menggunakan platform CMF-EV yang sama dengan Ariya dan tampil dengan rekaan yang sangat moden. Antara ciri menarik adalah jalur lampu hadapan melintang penuh, lampu siang bentuk segi empat melengkung, bonet yang kelihatan lebih tajam, bahagian belakang lebar, bumbung rendah serta pemegang pintu belakang yang tersembunyi.

    Antara yang menarik, Leaf baharu ini lebih aerodinamik berbanding model-model Nissan sebelum ini hasil penggunaan gril aktif yang boleh dibuka dan ditutup, pemegang pintu yang sama rata dengan badan dan bahagian bawah kereta yang rata sepenuhnya. Hasilnya, model untuk pasaran Eropah mencatatkan kecekapan rintangan udara serendah 0.25 Cd.

    Meskipun kita masih belum dapat melihat sepenuhnya bahagian belakang kereta ini, Nissan mengatakan rekaan pintu belakangnya yang bersambung dengan bentuk bumbung fastback membantu menghasilkan kesan seperti sayap untuk meningkatkan aerodinamik.

    Bahagian dalam Leaf juga masih belum ditunjukkan sepenuhnya, kecuali bumbung kaca panoramik. Ia datang dengan fungsi penggelapan elektrokromik, di mana pengguna boleh mengawal tahap kegelapan bumbung seperti membuka dan menutup penutup penghadang matahari biasa. Menariknya, disebabkan tiada penutup bumbung manual, Nissan dapat merendahkan bumbung sebanyak 12 mm tanpa menjejaskan ruang kepala.

    Matlamat utama Nissan kali ini adalah untuk menjadikan Leaf lebih cekap atas lebuh raya. Walaupun jarak gerak sebenar masih belum diumumkan, Nissan meletakkan sasaran Leaf boleh digunakan untuk perjalanan jarak jauh antara 300 ke 500 km untuk setiap cas penuh. Menurut naib presiden strategi produk global Nissan, Richard Candle, Leaf juga mampu menambah lebih 250 km hanya selepas dicas 14 minit menggunakan sumber DC – maklumat spesifik pengecas masih belum disiar.

     
     
  • McLaren 750S Le Mans diperkenal – model peringatan kemenangan dalam perlumbaan 24 jam 30 tahun dulu

    McLaren 750S Le Mans diperkenal – model peringatan kemenangan dalam perlumbaan 24 jam 30 tahun dulu

    Menjelang perlumbaan 24 Jam Le Mans yang akan berlangsung tidak lama lagi, McLaren mengeluarkan model khas 750S Le Mans untuk meraikan ulang tahun ke-30 kemenangan mereka dalam perlumbaan itu pada 18 Jun 1995. Pada ketika itu, kereta lumba F1 GTR #59 yang dipandu oleh JJ Lehto, Yannick Dalmas, dan Masanori Sekiya telah memenangi perlumbaan selama 24 jam tersebut, sementara tiga lagi kereta F1 GTR turut berjaya menduduki lima tempat teratas.

    Model penghormatan baru ini dinamakan sebagai 750S Le Mans dan seperti model 720S Le Mans yang diperkenalkan lima tahun lalu, ia hanya akan dihasilkan sebanyak 50 unit sahaja. Untuk makluman, 750S merupakan asas kepada jentera perlumbaan McLaren GT Evo yang akan bersaing dalam kategori LMGT3 di edisi Le Mans tahun ini.

    750S Le Mans memberi penghormatan kepada kereta #59 dengan warna badan Le Mans Grey, yang merujuk kepada livery jentera yang ditaja Uneo Clinic ketika memenangi perlumbaan. Pelanggan juga boleh memilih warna McLaren Orange, warna perlumbaan tradisional syarikat tersebut.

    Setiap unit dilengkapi dengan High-Downforce Kit (HDK) yang termasuk splitter hadapan lebih besar, sayap belakang gentian karbon serta panel bawah berbentuk louver yang meningkatkan downforce sebanyak 10% berbanding model 750S biasa. Ia turut dilengkapi bukaan di atas bumbung dan rim lima jejari ‘LM’, inspirasi daripada rim OZ Racing yang digunakan pada kereta lumba F1 GTR asal – penutup tengah rim pula berwarna merah di satu sisi dan biru di sisi yang lain.

    Dengan bayaran tambahan, pelanggan boleh memilih pakej brek untuk litar yang dilengkapi angkup brek berwarna keemasan seperti unit Brembo pada kereta lumba asal. Bahagian dalaman pula menawarkan dua tema pilihan serta dua jenis tempat duduk bucket dengan tali pinggang lumba lima bahagian berwarna biru. Turut disediakan adalah pelbagai pilihan komponen gentian karbon.

    Bahagian enjin tidak berubah. Model ini masih menggunakan enjin petrol V8 4.0 liter turbo berkembar M840T yang menjana 750 PS (740 hp atau 552 kW) dan 800 Nm tork, disalurkan ke roda pacuan menerusi kotak gear klac berkembar tujuh kelajuan.

     
     
  • JPJ eBid: Siri BSK dan APB bakal dibuka bidaan

    Kenderaan yang anda tempah bakal diperoleh tidak lama lagi, pasti anda teruja tercari-cari plat nombor pendaftaran yang sesuai kan. Ini ada dua pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor terkini dari Selangor, BSK, bakal dibuka bidaan mulai 6 Jun 2025. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir pada 10 Jun, jam 10 malam. Keputusannya akan dikeluarkan keesokan harinya, 11 Jun 2025. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Perak pula, APB, bidaannya pula bakal dibuka mulai 7 Jun dan akan berakhir jam 10 malam pada 11 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 12 Jun 2025.

    Jadi, jika anda mengingini mana-mana siri yang ditawarkan ini, anda boleh membidanya menerusi JPJ eBid tanpa perlu menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa.

     
     
  • Pelaksanaan VEP dikuatkuasa sepenuhnya di pintu sempadan Malaysia-Singapura mulai 1 Julai 2025

    Pelaksanaan VEP dikuatkuasa sepenuhnya di pintu sempadan Malaysia-Singapura mulai 1 Julai 2025

    Menteri Pengangkutan Antony Loke telah mengumumkan pelaksanaan Vehicle Entry Permit (VEP) di pintu sempadan Malaysia-Sigapura akan dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 Julai 2025. Di mana mulai tarikh itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengeluarkan notis saman kepada pemilik kenderaan asing yang tidak mendaftar atau mengaktifkan VEP.

    “Sepertimana semua sedia maklum, penguatkuasaan VEP di pintu sempadan darat Malaysia-Singapura telah dilaksanakan sejak 1 Oktober 2024 yang dijalankan secara berfasa dengan kaedah advokasi iaitu mengeluarkan Notis Peringatan kepada pemilik kenderaan Singapura yang belum membuat pendaftaran VEP.

    “Berdasarkan kepada penguatkuasaan fasa pertama tersebut, sebanyak 52,012 kenderaan Singapura telah diperiksa secara rawak dan 2,245 (4.32%) Notis Peringatan telah dikeluarkan kepada pemilik kenderaan Singapura yang belum mendaftar VEP,” kata Loke.

    Pelaksanaan VEP dikuatkuasa sepenuhnya di pintu sempadan Malaysia-Singapura mulai 1 Julai 2025

    Sehingga 2 Jun lalu, sebanyak 194,507 kenderaan persendirian individu telah memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP ini, dan 2,660 kenderaan persendirian syarikat juga telah berbuat demikian. Manakala 36,511 kenderaan persendirian individu belum mengaktifkan tag RFID terbabit. Jumlah keseluruhan tag RFID yang telah dikeluarkan adalah sebanyak 231,018 unit untuk kenderaan persendirian individu dan 2,660 unit bagi kenderaan persendirian syarikat

    “Pelaksanaan ini adalah selaras dengan Seksyen 66H (7), Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), di mana menjadi satu kesalahan jika mana-mana orang memandu kenderaan motor asing tanpa permit sebelum memasuki atau berada di dalam Malaysia,” tambahnya.

    Bagi kaedah penguatkuasaan bagi kenderaan asing melibatkan pendaftaran VEP adalah seperti berikut:

    Pelaksanaan VEP dikuatkuasa sepenuhnya di pintu sempadan Malaysia-Singapura mulai 1 Julai 2025

    Loke turut berkata, “Pemilik kenderaan asing yang dikenakan tindakan saman atas sebab tiada VEP sah, perlu menyelesaikan saman tersebut sebelum keluar dari Malaysia. Bayaran saman perlu dibuat melalui kaedah tanpa tunai di Kaunter Pejabat JPJ, Kaunter Bergerak JPJ Mobile atau secara online (myEG).”

    Justeru, pihak JPJ menyeru kepada semua pemilik kenderaan motor asing untuk segera mendaftar, memasang dan mengaktifkan tag RFID VEP bagi mengelakkan sebarang kesulitan semasa memasuki dan keluar dari Malaysia pada masa akan datang.

     
     
  • ETCM buka bilik pameran baharu Nissan di Kluang

    ETCM buka bilik pameran baharu Nissan di Kluang

    Pengedar Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) mengumumkan bahawa jenama automotif Jepun itu membuka satu lagi bilik pameran baharunya yang terletak di Kluang, Johor.

    Fasiliti yang terletak di No. 46, Jalan Kluang Perdana 1, Taman Kluang Perdana tersebut meliputi kawasan seluas kira-kira 6,400 kaki persegi dan menampilkan identiti korporat terkini Nissan dengan menggunakan logo baharu. Ia boleh mempamerkan sehingga enam model baharu Nissan dalam satu-satu masa dalam masa yang sama menyediakan ruang tontonan dan perbincangan yang selesa, tempat penyerahan kenderaan baharu yang khusus serta ruang istirehat yang selesa dengan sambungan WIFI.

    “Nissan telah menjadi sebahagian daripada perjalanan rakyat Malaysia selama beberapa dekad, dan kami ingin memberi jaminan bahawa Nissan masih kukuh bertapak di sini – dan akan terus kekal di sini. Komitmen kami kepada pelanggan adalah teguh. Kami akan terus memperkenalkan model-model baharu yang inovatif, serta kekal komited sepenuhnya dalam menyokong semua jaminan, alat ganti dan perkhidmatan sedia ada tanpa kompromi. Pembukaan bilik pameran baharu kami di Kluang merupakan bukti nyata terhadap pelaburan berterusan kami dalam menyediakan kenderaan berkualiti serta perkhidmatan yang diyakini – di mana jua pelanggan kami berada.” kata CEO ETCM, En. Khoo Cheng Pah.

    ETCM buka bilik pameran baharu Nissan di Kluang

    Bilik pameran Nissan Kluang ini dibuka setiap hari di mana untuk hari Isnin hingga Sabtu operasinya akan bermula pukul 9.00 pagi hingga 7.00 petang, sementara hari Ahad dan cuti umum di dibuka bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

    Walau bagaimanapun fasiliti ini hanya menyediakan perkhidmatan jualan, manakala pelanggan yang memerlukan perkhidmatan selepas jualan boleh mengunjungi Tan Chong Ekspres Auto Servis (TCEAS) Kluang yang terletak 15 minit dari bilik pameran iaitu di No. 1-A, Jalan Sekolah Chong Hwa, Kluang. Ia dibuka dari Isnin hingga Sabtu bermula pukul 8 pagi sehingga 5 petang, dan tutup pada hari Ahad serta cuti umum.

     
     
  • Hilux Unleashed anjuran Toyota Malaysia: Cabaran mengujakan peminat di KK, Kuching dan Melaka

    Hilux Unleashed anjuran Toyota Malaysia: Cabaran mengujakan peminat di KK, Kuching dan Melaka

    Toyoya Malaysia baru-baru ini telah pun menganjurkan Hilux Unleashed: The Ultimate Challenge, iaitu acara berbentuk pencarian harta karun yang penuh aktiviti menyeronokkan yang direka bagi menyerlahkan kekuatan Hilux sebagai trak pikap.

    Acara ini diadakan di tiga lokasi iaitu Kota Kinabalu di Sabah, Kuching di Sarawak dan juga di Melaka. Ia bukan hanya disertai pemilik-pemilik Hilux, malah turut melibatkan ahli keluarga dan sahabat handai masing-masing.

    Di Kota Kinabalu, ia disertai oleh 121 orang yang membentuk 42 pasukan, bermula di Pacific Sutera Harbour pada 10 Mei. Aktiviti pencarian harta karun tersebut kemudiannya membawa peserta ke Anjung Waterfront, Bukit Kokol sehingga ke Tuaran.

    Disamping itu, semua peserta juga berpeluang menyertai aktiviti lain termasuk taxi-ride laluan off-road, cabaran Pemantau Pandangan Panaromik (PVM) dan Titik Buta serta aktiviti pemanduan jitu menggunakan Hilux. Hilux Unleashed di KK ini tamat di Nexus Resort & Spa Karambunai, di mana Dolumin Dommin dan Team 32 mendapat tempat pertama, manakala Teo Seh Tiong dan Team 12, serta Rudy bin Borhan dan Team 23 masing-masing di tempat kedua dan ketiga.

    Bagi acara yang berlangsung di Kuching, ia disertai oleh 138 peserta menerusi 45 pasukan, bermula du Hotel UCSI pada 17 Mei. Pengembaraan kali ini membawa peserta ke lokasi seperti Saradise, tugu kucing di Padungan, Samariang dan berakhir di Damai Lagoon.

    Di Kuching acara ini diungguli oleh Lee Min Qi bersama Team Hilux 20, diikuti oleh Letizia anak Nicholas Steven bersama Team Hilux 31, dan tempat ketiga milik Serene Tan Yan Yu bersama Team Hilux 15. Seperti di KK, peserta-peserta di Kuching turut berpeluang menyertai taxi-ride laluan off-road, cabaran Pemantau Pandangan Panaromik (PVM) dan Titik Buta serta aktiviti pemanduan jitu menggunakan Hilux.

    Manakala di Melaka, ia merupakan acara terbesar untuk siri Hilux Unleashed: The Ultimate Challenge 2025 ini di mana ia disertai oleh 41 pasukan menerusi 140 peserta dari Kuala Lumpur dan 49 pasukan yang terdiri dari 139 peserta dari Johor Bahru.

    Diadakan pada 24 Mei, edisi ini bermula di Glenmarie Hotel & Golf Resort kemudian bergerak ke Selatan semenanjung Malaysia iaitu ke Pulai Spring Resort di Johor Bahru, dan selepas itu ‘naik’ semula ke utara untuk menamatkan cabaran di hotel DoubleTree by Hilton Melaka. Selain mencari harta karun, peserta turut diberikan peluang untuk memenangi hadiah dalam peraduan fotografi di laman media sosial.

    Untuk peserta dari KL, ia dimenangi oleh Omar Abdul Rahman bersama Team Hilux 3, diikuti Faiz Kamaruzzaman dari Team Hilux 45 dan juga Kwan Siu Me dari Team Hilux 45. Manakala untuk peserta dari Johor Bahru, ia dimenangi oleh M. Dzulfaqar bersama Team Hilux 67, Ashley Wong bersama Team Hilux 68 dan Shawn Liew dari Team Hilux 71.

    Toyota Malaysia turut mengadakan karnival jualan selama dua hari bersempena dengan Hilux Unleashed: The Ultimate Challenge yang diadakan KK, Kuching dan Melaka, masing-masing di Stadium Likas, Saradise dan Pantai Klebang. Selain pameran kereta dan pandu uji, terdapat juga taxi ride, pemeriksaan kenderaan percuma dan penilaian Topmark, serta barangan GR yang dijual pada acara berkenaan.

     
     
  • Perodua anjur promosi Jun 2025 – Ativa dapat rebat tunai RM1,000, diskaun RM4,000 untuk Aruz

    Perodua kini sedang menganjurkan promosi sepanjang Jun 2025 untuk Ativa dan Aruz yang berlangsung hingga 30 Jun ini. Jika anda memilih SUV pengecas turbo kompak, rebat tunai sebanyak RM1,000 akan diberikan. Manakala untuk MPV tujuh-tempat duduk Aruz pula, diskaun sebanyak RM4,000 akan diberikan, iaitu lebih RM500 berbanding promosi Raya yang ditawarkan pada April lalu.

    Dilancarkan pada Mac 2021, Ativa masih kekal sebagai model tunggal Perodua dengan enjin pengecas turbo. SUV segmen-A ini juga merupakan model pertama Perodua yang menggunakan platform DNGA, dijanakan unit .0 liter turbo dengan hamburan kuasa 98 PS dan tork 140 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear D-CVT yang kini menjadi tunjang utama Perodua. Ativa berharga dari RM62,500 untuk varian asas X hingga RM73,400 untuk model tertinggi AV dengan pilihan bumbung hitam.

    Diperkenalkan pada awal tahun 2019, Aruz merupakan MPV tujuh-tempat duduk dengan penggayaan ala SUV dan miliki jarak kelegaan tanah (ground clearance) lebih tinggi berbanding kebanyakan SUV (230 mm). Ini memberikan antara Aruz dengan satu lagi model tujuh tempat-duduk keluaran Perodua iaitu Alza yang lebih mirip dengan kereta dan jarak kelegaan tanahnya adalah 60 mm lebih rendah. Jika anda yang mahukan kenderaan yang lebih tinggi dan boleh meredah banjir yang tidak dalam, Aruz pilihan yang terbaik.

    Aruz ditampilkan dengan enjin 1.5 liter naturally-aspirated dengan output 102 PS/133 Nm, dan transmisi automatik empat-kelajuan yag menyalurkan pacuan ke gandar belakang. Passion Red telah menyertai pilihan warna bagi Aruz pada hujung 2021.

    Selain pergi terus ke bilik pameran, anda juga boleh mencuba Perodua Online Booking. Jika mahu trade-in, anda boleh berbuat demikian menerusi jabatan kereta terpakai POV yang dikendalikan sendiri oleh Perodua.

     
     
  • MG5 yang dipertingkat kini terima penarafan 3-bintang dari ANCAP berbanding sifar-bintang sebelum ini

    MG5 yang dipertingkat kini terima penarafan 3-bintang dari ANCAP berbanding sifar-bintang sebelum ini

    Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) telah mengumumkan bahawa sedan MG5 yang dipertingkat dan diuji semula kini telahpun menerima penarafan 3-bintang berbanding sifar-bintang pada model yang diuji pada 2023. Menurut ANCAP, penarafan ini sah untuk MG5 yang dihasilkan selepas November 2024, menampilkan banyak tingkat taraf kelengkapan berbanding versi sifar-bintang yang dibuat antara Mac 2023 hingga September 2024.

    Antara perincian yang telah dipertingkat pada MG5 yang dikemaskini ini termasuk pre-tensioner pada tali pinggang pada tempat duduk hadapan dan juga tempat duduk kiri dan kanan bahagian belakang, pengingat pemakaian tali pinggang untuk semua tempat duduk serta dilengkapi teknologi pengelak pelanggaran termasuk fungsi brek kecemasan automatik dan sistem sokongan lorong – semuanya kini standard untuk semua varian.

    Dengan pemadanan pre-tensioner pada tali pinggang keledar dan pengehad beban, ia terbukti dapat mengurangkan kecederaan penumpang dalam ujian pelanggaran offset hadapan dan ujian pelanggaran hadapan penuh. Ujian tambahan turut dibuat pada MG5 kemaskini ini melibatkan ujian whiplash dan ujian impak terhadap pejalan kaki bersama ujian prestasi untuk sistem pengelak pelanggaran.

    Hasilnya, untuk aspek Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) kini mendapat markah 62% (naik dari 37%), Perlindungan Penumpang kanak-kanak diberikan markah 68% (naik dari 58%), perlindungan terhadap pengguna jalan raya lain kini 65% berbanding 42% sebelum ini, Bantuan keselamatan kini mencapai 59% barbanding hanya 13% sebelum ini.

    MG5 yang dipertingkat kini terima penarafan 3-bintang dari ANCAP berbanding sifar-bintang sebelum ini

    Markah-markah yang diberikan mewakili untuk markah perlindungan kepala, dada, dan bahagian bawah kaki dilihat semakin baik dalam ujian offset, manakala risiko untuk kecederaan dalam ujian pelanggaran hadapan penuh juga kini lebih baik di mana aspek berkenaan markah untuk perlindungan leher pemandu dan perlindungan setiap penumpang telah dinaikkan kepada Bagus (markah penuh).

    Bagi perlindungan dada penumpang belakang, ia kini sudahpun menerima markah dari teruk meningkat kepada marginal selepas dipasang dengan pre-tensioner dan pengehad beban untuk tali pinggang keledar berkenaan.

    Peningkatan yang paling ketara dilihat adalah keupayaan sistem keselamatan aktif MG5 ini. Sistem brek kecemasan autonominya telah dipertingkatkan dengan fungsi yang lebih luas seperti senario kereta ke kereta, kereta ke pejalan kaki, kereta ke penunggang basikal dan kereta ke motosikal. Sistem sokongan lorong, termasuk bantuan kekal lorong dan penjaga lorong kecemasan (ELK), juga kini telah diberikan sebagai kelengkapan standard.

    Walau bagaimanapun ANCAP menyatakan bahawa MG5 masih berada di belakang lawan-lawannya yang lain, terutumanya beg udara tengah masih ahi belum dipadankan.

    MG5 yang dipertingkat kini terima penarafan 3-bintang dari ANCAP berbanding sifar-bintang sebelum ini

    “Kami memuji MG kerana mengambil peluang untuk meningkatkan prestasi keselamatan MG5. Peningkatan ini menunjukkan kemajuan penting,” kata CEO ANCAP, Carla Hoorweg.

    “Walaupun penarafan ini adalah satu langkah untuk menaik, adalah penting bagi pengguna dan pengendali flit menyedari masih terdapat had keselamatan pada model ini Juga terdapat kenderaan lain di pasaran yang menawarkan prestasi keselamatan yang lebih mantap.”

    Australia menerima unit MG5 ini terus dari China, berbeza dengan model pasaran Malaysia yang diambil dari Thailand yang sememangnya telah menerima pre-tensioner untuk tali pinggang keledar dan lebih baik dari versi sifar-bintang

    Model pasaran Malaysia ini juga diberikan enam beg udara serta pakej MG Pilot yang menampilkan fungsi pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar lorong, bantuan tukar lorong dan amaran pelanggaran belakang. Namun sistem brek kecemasan automatik (AEB) tidak disertakan.

     
     
  • Suzuki Fronx dilancar di Indonesia — pesaing Ativa, WR-V; 1.5L NA mild-hybrid; ADAS; dari RM67k

    Suzuki Fronx dilancar di Indonesia — pesaing Ativa, WR-V; 1.5L NA <em>mild-hybrid</em>; ADAS; dari RM67k

    SUV kompak Suzukii Fronx kini telah dilancarkan secara rasmi di Indonesia. Ia menjadi pesaing kepada model-model seperti Honda WR-V, Daihatsu Rocky (kembar Perodua Ativa) dan Nissan Magnite. Pertama kali didedahkan di India pada 2023, Fronx di jual dengan harga antara 259 juta dan 321.9 juta Rupiah (sekitar RM67k dan RM84k).

    Dari segi dimensi, Fronx mempunyai ukuran 3,995 mm panjang, 1,765 mm lebar, 1,550 mm tinggi dengan jarak roda 2,520 mm. Ada tiga tingkat kemasan yang ditawarkan, dengan dua daripadanya dengan janaan mild-hybrid.

    Model dengan mild-hybrid ialah GX dan SGX, yang dilengkapi enjin mild-hybrid K15C 1.5 liter NA empat-silinder sebaris yang menghasilkan 101 PS (99 hp atau 74 kW) pada 6,000 rpm dan 135 Nm pada 4,400 rpm.

    Kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear manual lima-kelajuan (pilihan hanya untuk GX) atau transmisi automatik enam-kelajuan (untuk GX dan SGX). Di Jepun, Fronx juga boleh dipilih dalam versi pacuan semua roda dengan 6AT.

    Suzuki Fronx dilancar di Indonesia — pesaing Ativa, WR-V; 1.5L NA <em>mild-hybrid</em>; ADAS; dari RM67k

    GL pula merupakan model bukan mild-hybrid bagi Fronx di Indonesia, dan dilengkapi dengan enjin K15B 1.5 liter empat-silinder sebaris NA petrol yang menjana sebanyak 105 PS (103 hp atau 77 kW) pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,400 rpm. Pilihan transmisi pula ialah manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan.

    Untuk kelengkapan, GL datang dengan rim 16-inci aloi, lampu utama reflektor LED, lampu posisi LED, lampu belakang mentol biasa, stereng multi-fungsi urethane, kerusi balutan fabrik, pendingin hawa manual dengan corong belakang, head unit paparan tujuh-inci, empat pembesar suara, enam beg udara, sensor parkir belakang, ESP, kamera undur dan bantuan mula mendaki.

    GX pula menerima tambahan stereng balutan kulit, kluster instrumen multi-info 4.2-inci, head unit paparan sembilan inci, kawalan melayar, pendingin automatik, paddle shifter (hanya untuk 6AT) serta dua Tweeter untuk keseluruhannya enam-pembesar suara.

    SGX pula menerima tambahan spoiler badan di depan dan belakang, visor pintu dan pilihan untuk warna luaran dua-tona. Ia juga menerima lampu belakang LED, kerusi balutan kulit buatan dan pengecas telefon tanpa wayar.

    Suzuki Fronx dilancar di Indonesia — pesaing Ativa, WR-V; 1.5L NA <em>mild-hybrid</em>; ADAS; dari RM67k

    Varian paling lengkap ini juga satu-satunya yang dilengkapi ADAS, yang terdiri daripada fungsi seperti kawalan melayar adaptif, kameran 360-darjah, bantuan mengekalkan lorong, amaran penukaran lorong, amaran olengan kenderaan, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang, bantuan lampu tinggi, head-up display dan sistem AEB Suzuki yang dikenali Dual Sensor Brake Support II (DSBS II).

    Fronx dipasang di Indonesia di kilang pengeluarnya di Cikarang, yang turut memasang Ertiga dan XL7. GL ditawaran pilihan warna badan Cool Black, Pearl Snow White dan Metallic Magma Grey; GX pula dengan tambahan Savanna Ivory. SGX hadir dengan pilihan Cool Black, atau pilihan dua-tona Ice Grayish Blue, Pearl Snow White dan Savanna Ivory dengan bahagian bumbung hitam.

     
     
  • Aveta keluar kenyataan tiada kaitan dengan Demak

    Aveta keluar kenyataan tiada kaitan dengan Demak

    Aveta Motor, yang ditubuhkan di Malaysia sejak tahun 2018 mengeluarkan satu kenyataan bagi menjelaskan salah faham ramai berkaitan pemilikan serta hubungannya dengan jenama lain.

    Isi utama dalam kenyataan itu ditandakan dengan jelas – Aveta Motor Malaysia tidak mempunyai gabungan, kaitan atau hubungan dalam apa cara sekali pun dengan Demak, atau jenama dan pengedar motosikal lain di Malaysia.

    “Aveta Motor adalah satu syarikat milik penuh warga Malaysia sendiri, diuruskan di bawah Aveta Global Marketing Sdn Bhd, yang merupakan sebahagian daripada MAG Group. Semua bahagian perniagaan kami – dari operasi ke pembangunan produk dan pemasaran – semuanya diuruskan di dalam negara oleh pasukan Malaysia yang komited untuk memberikan motosikal mampu milik berkualiti kepada pasaran tempatan,” tertulis dalam siaran akhbarnya.

    Persepsi ramai yang mengatakan Aveta ada pertalian dengan Demak timbul apabila ada modelnya yang kelihatan sama sepeti model Demak. Namun kini, kenyataan yang dikeluarkan telah menafikan sebarang hubungan dengan Demak.

    Bermula dengan ‘kapcai murah’, sekarang Aveta mempunyai pelbagai model dalam pasaran termasuk “supermopedSVR 180, hibrid VADV 150, kapcai gaya hidup lasak Aveta Ranger, scrambler VTM 150, skuter 250 cc Vanguard dan skuter Nova.

     
     
  • Geely Galaxy M9 didedah – SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, bakal jadi Proton paling mahal?

    Geely Galaxy M9 didedah – SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, bakal jadi Proton paling mahal?

    Geely baru saja memperkenalkan model flagship dalam barisan kenderaan tenaga baharu mereka yang dinamakan sebagai Geely Galaxy M9. Ia adalah sebuah SUV plug-in hybrid besar dengan enam tempat duduk dan jika anda pernah nampak model konsep Galaxy Starship tahun lepas, ini adalah versi produksinya.

    Galaxy M9 ini menyertai dua lagi model SUV mewah tiga baris tempat duduk yang berada di bawah payung Geely Group iaitu Lynk & Co 900 dan Zeekr 9X. Tapi bagi Galaxy M9, rekaannya lebih “biasa” – tak terlalu garang, tapi tetap nampak elegan.

    Di bahagian hadapan terdapat jalur lampu penuh dengan rekaan motif bintang dan lampu utama LED jenis projektor. Reka bentuk depan agak bersih kerana tidak mempunyai gril langsung sementara lampu belakang juga menggunakan motif bintang, dengan 816 lampu LED.

    Geely Galaxy M9 didedah – SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, bakal jadi Proton paling mahal?

    Dilihat dari tepi, ia tidak mengikut trend menggunakan pemegang pintu yang sama rata dengan badan, sebaliknya masih menggunakan pemegang pintu biasa. Keliling cermin terdapat kemasan krom dan c pillar mempunyai kedudukan yang agak tegak. Melengkapkan penampilannya adalah rim aloi multi-spoke dan muncung ekzos hiasan.

    Masuk ke dalam, anda boleh nampak skrin gergasi 30 inci – dari tengah sampai ke depan penumpang – satu panel. Sistem infotainmen Flyme Auto siap dilengkapi AI generatif (dikatakan sebagai yang pertama dalam industri dengan memori adaptif dan dinamik).

    Penumpang depan disediakan dengan penyandar kaki, sistem bunyi Flyme Sound dan peti sejuk kecil 9.1 liter di belakang konsol tengah. Penumpang baris kedua pula duduk atas kerusi kapten mewah dengan fungsi urutan 10 bahagian dan boleh menonton skrin di bumbung. Baris ketiga juga bukan calang-calang, boleh baring sampai 120 darjah dan mempunyai lantai rata.

    Geely Galaxy M9 didedah – SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, bakal jadi Proton paling mahal?

    Geely Galaxy M9 ni dibina atas platform GEA Evo dan menggunakan sistem hibrid prestasi tinggi EM-P. Uniknya, motor elektrik belakang diletak terus dalam hab roda, bukan di bahagian gandar tengah dan ini mungkin dibuat untuk memberikan lebih ruang kepada penumpang belakang dan but.

    Untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, Galaxy M9 mengambil masa 4.5 saat, manakala penggunaan minyak berada sekitar 4.8L/100km dengan jarak keseluruhan lebih 1,500km. Spesifikasi penuh belum diumumkan, tapi berkemungkinan besar Galaxy M9 ni akan menggunakan penggerak sama seperti Lynk & Co 900 – termasuk enjin 1.5L turbo (190PS/300Nm), 2.0L turbo (254PS/350Nm) dan motor elektrik depan-belakang yang boleh capai kuasa gabungan lebih 462PS/560Nm (tiga motor).

    Geely M9 ni juga datang dengan sistem bantuan pemandu terbaru G-Pilot H5, lengkap dengan sensor lidar di atas cermin depan. Sistem ni boleh melakukan pemanduan separa automatik atas lebuhraya tanpa menggunakan peta HD.

    Geely Galaxy M9 didedah – SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, bakal jadi Proton paling mahal?

    Untuk pengetahuan, majlis pengenalan Galaxy M9 ni dibuat di Milan dan ini menjadi petunjuk bahawa Geely mungkin mahu memasarkan model ini secara global. Disebabkan itu, tidak mustahil jika satu hari nanti Proton juga akan membawanya masuk sebagai model PHEV flagship, mungkin digandingkan dengan Proton eMas 7 nanti.

    Cuma satu, jika betul masuk Malaysia, ia bakal menjadi Proton paling mahal pernah dijual. X90 pun boleh jadi “murah” kalau dibandingkan dengan M9 ni. Adakah orang sanggup untuk membeli Proton dengan harga sebegitu dan ciri premium?

     
     
  • Kamera perangkap laju AWAS berdasarkan point-to-point masih belum mula diuji seperti yang dirancang

    Kamera perangkap laju AWAS berdasarkan <em>point-to-point</em> masih belum mula diuji seperti yang dirancang

    Menurut laporan berita dari NST, ujian rintis untuk sistem pemantau kelajuan dari satu titik ke satu titik yang lain (point-to-point) di bawah sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) belum lagi dimulakan. Laporan pada Mac lalu menyatakan bahawa ujian rintis tersebut bakal dimulakan pada 1 Jun di dua lebuhraya iaitu KL-Karak dan Lebuhraya Utara Selatan.

    “Projek perintis sistem point-to-point belum bermula. Setakat ini, tiada maklumat mengenai bila ia dijadualkan bermula,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat menteri pengangkutan kepada akhbar berkenaan.

    Mengikut rancangan awal, bagi Lebuhraya KL-Karak ujian ini akan dibuat bermula dari terowong Genting Sempah sehingga di kawasan rehat Gombak. Manakala di Lebuhraya Utara Selatan pula ujian ini akan bermula dari plaza tol Senawang sehingga ke plaza tol Simpang Ampat.

    Menerusi sistem point-to-point ini kamera akan diletakkan pada titik permulaan dan titik akhir lokasi yang dinnyatakan, dan kesalahan akan ditentukan berdasarkan jarak dan masa yang digunakan. Antara kawasan yang disasarkan untuk menggunakan sistem ini adalah di kawasan yang selalu terjadinya kemalangan seperti laluan bermula di Terowong Menora ke kawasan rehat Sungai Perak.

    “Projek akan dilaksana secara rintis di dua lokasi lebuh raya terbabit. Jika benar-benar efisien, kita sedia serahkannya untuk dilaksanakan. Sistem ini yang dipasang di plaza tol akan ambil bacaan masa perjalanan berdasarkan jarak ke jarak,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan (MOT), Datuk Jana Santhiran Muniayan dalam laporan sebelum ini.

    “Contohnya pemandu dari Jalan Duta, Kuala Lumpur ke Tanjung Malim, Perak, tiba lebih awal dari masa sepatutnya, jadi nombor plat kenderaan akan dikesan dan saman dikeluarkan automatik,” tambahnya lagi. Sistem ini didakwa turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi mengesan sama ada sesebuah kereta itu ada singgah sementara di kawasan rehat untuk memanjangkan masa sekaligus mengelakkan dari disaman.

     
     
  • Mazda CX-60 2025 – pengedar mula buka tempahan di M’sia; 2.5L NA; CBU; dijangka berharga RM199k

    Mazda CX-60 2025 – pengedar mula buka tempahan di M’sia; 2.5L NA; CBU; dijangka berharga RM199k

    Pengedar Mazda di Malaysia telah mula mengiklankan CX-60 menerusi Facebook, dengan menyatakan tempahan bagi SUV itu mula dibuka. Pertama kali diperkenalkan di peringkat global pada Mazda 2022, CX-60 telah dipertontonkan di sini termasuk di Malaysia Autoshow tahun ini.

    Harga jangkaannya sekitar RM198,900, CX-60 ni akan ditawarkan dengan varian tunggal iaitu 2.5G 2WD dengan lima pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Platinum Quartz, Rhodium White, Jet Black dan Zircon Sand.

    Bagi menjana kuasanya, CX-60 untik pasaran Malaysia menampilkan unit Skyactiv-G 2.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris dengan output 191 PS (189 hp atau 141 kW) dan tork 261 Nm, dengan pacuannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan. Larasan enjin ini sama dengan unit yang ditawarkan di Singapura, walaupun nampaknya kita tidak akan mendapat enjin enam-silinder sebaris seperti yang ditawarkan di pasaran jiran lain seperti Indonesia dan Filipina.

    Ciri-ciri kelengkapan standardnya masih belum diketahui secara lebih terperinci buat masa ini, namun difahamkan SUV ini didatangkan dengan tempat duduk kulit upholstery, kluster instrumen digital 12.3-inci, paparan infotainmen 12.3-inci, kawalan suhu dua zon (dengan corong di belakang), bumbung suria panoramik, roda 20-inci, paparan utama dan kelengkapan keselamatan aktif dan sistem bantuan pemandu.

    Dengan harga jangkaan itu, CX-60 lima-tempat duduk ini adalah lebih mahal berbanding CX-5 yang dijual antara RM144,469 dan RM188,760, harga atas jalan tanpa insurans. Varian tertinggi CX-5 dilengkapi dengan sistem pacuan semua-roda dan enjin 2.5 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 231 PS (228 hp atau 170 kW) dan tork 420 Nm.

    Walau bagaimana pun, CX-60 lebih besar dan berukuran 4,740-4,745 mm panjang, 1,890 mm lebar dan 1,680 mm tinggi. Sebagai perbandingan, CX-5 pula berukuran 4,575 mm panjang, 1,845 mm lebar, 1,675 mm tinggi, sementara jarak rodanya pula 2,700 mm iaitu lebih rendah daripada CX-60 yang berukuran 2,870 mm.

    Menurut pengedar Mazda, CX-60 untuk pasaran Malaysia adalah model import sepenuhnya (CBU), dengan penghantarannya bermula September ini.

    GALERI: Mazda CX-60 dipertontonkan di KLIMS 2024

     
     
  • Puspakom cawangan Langkawi kini mula beroperasi

    Puspakom cawangan Langkawi kini mula beroperasi

    Puspakom Sdn Bhd mengumumkan bahawa cawangan terbaharunya yang terletak di Pulau Langkawi telah pun memulakan operasi. Pastinya ia memberikan kemudahan yang lebih selesa dan mudah diakses kepada penduduk pulau itu untuk mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan.

    Terletak di PT2942, Persiaran Bunga Raya Kuah, cawangan Langkawi ini menandakan komitmen berterusan Puspakom dalam memperluaskan capaian perkhidmatan di lokasi strategik bagi manfaat pelanggan. Ia juga dijangka akan memudahkan urusan pelanggan persendirian dan komersial di Langkawi untuk menjalani pemeriksaan kenderaan mengikut piawaian keselamatan dan peraturan jalan raya.

    Ketua Pegawai Eksekutif PUSPAKOM, Mahmood Razak Bahman berkata cawangan baharu yang diwujudkan di “Permata Kedah” itu merupakan antara komitmen Puspakom untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

    “Pembukaan cawangan baharu di Langkawi mencerminkan komitmen kami untuk memastikan akses yang lebih meluas kepada perkhidmatan pemeriksaan, selain menyediakan lokasi yang lebih strategik dan hampir dengan pusat bandar,” kata Mahmood.

    Cawangan Puspakom Langkawi menawarkan perkhidmatan seperti Pemeriksaan Awalan, Pemeriksaan Berkala, Pemeriksaan Tukar Hak Milik, Pemeriksaan Sewa-Beli dan lain-lain. Ia beroperasi dari Ahad hingga Khamis bermula jam 8 pagi hingga 5.30 petang.

    Dengan kapasiti pemeriksaan sehingga 100 kenderaan sehari, ia dilengkapi kemudahan seperti ruang menunggu berhawa dingin, surau dan tandas, serta dua lorong pemeriksaan untuk meningkatkan kecekapan operasi.

    “Pembinaan cawangan tetap ini merupakan sebahagian daripada kempen #MacamBaharu iaitu satu inisiatif transformasi Puspakom dalam menuju ke arah menjadi organisasi yang lebih kompetitif, berkualiti serta berintegriti sejajar dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri pemeriksaan kenderaan di Malaysia.

    “Berbekalkan pengalaman lebih tiga dekad dalam industri ini, serta transformasi berterusan untuk kecemerlangan perkhidmatan, Puspakom akan terus mendahului pasaran walaupun dengan kemunculan pesaing kelak,” ujar Mahmood lagi.

    Sebelum pembukaan Puspakom Langkawi, pelanggan mendapatkan pemeriksaan kenderaan di tapak pemeriksaan sementara Puspakom yang terletak di Kompleks Kilim. Tapak sementara ini telah beroperasi sejak tahun 2023 menggunakan Unit Trak Bergerak Puspakom dan menamatkan operasinya pada 30 Mei 2025.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025