Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • CEO Proton: kecewa jualan Iriz kurang memberangsangkan akibat pinjaman kadar rendah yang sukar diluluskan; teknologi Iriz bakal dinaiktaraf

    Proton_Iriz_002_BM

    Walau pun Proton Iriz telah diperkenalkan pada September 2014 dan bersaing dengan Perodua Myvi bagi pasaran segmen-B, namun nampak gayanya nasib kurang menyebelahi model hatchback terbaharu Proton itu. Di mana prestasi jualannya sedikit perlahan berbanding pesaingnya. Datuk Abdul Harith Abdullah, CEO Proton, berkata, penjualan Iriz sedikit perlahan walau pun ia diterima di dalam pasaran.

    Beliau berpendapat, perkara ini didorong oleh pinjaman bank yang yang sukar untuk diluluskan bagi amaun yang agak rendah. Katanya, “Itu sebabnya Proton kini bekerjasama dengan beberapa institusi kewangan bagi menangani masalah ini.”

    Beliau turut menambah, Proton mensasarkan jualan bagi Iriz antara 4,000 hingga 5,000 unit sebulan, namun kini ia hanya dijual sekitar 2,500 unit sebulan sahaja.

    Ketika ditanya, adakah Proton bakal memperkenalkan elemen baharu bagi model akan datang, Harith menjawab, ia juga akan dilakukan pada Iriz. “Bagi model sedia ada hari ini, ada sesetengahnya akan digantikan dengan model serba baharu, yang kini telah pun berada dalam perancangan. Sesetengahnya akan diperkenalkan tahun ini.”

    Sambungnya lagi, “Bagi Iriz, ia terlalu baru lagi, tetapi mungkin kita akan menaik tarafnya atau melakukan penambah baikan dari segi teknikal pada tahun ini.”

    Terdapat perkhabaran yang mengatakan, Proton sedang menambah baik NVH bagi Iriz dengan pemegang enjin baharu, seperti mana kotak gear CVT yang dinaik taraf. Ini termasuk bagi varian turbo yang mungkin bakal diperkenalkan, seperti mana yang pernah dipamerkan dalam Alami Proton pada tahun lalu.

    Rasa-rasanya, apakah perubahan atau pun penambah baikan yang anda inginkan pada model Iriz versi facelift? Adakah dengan pilihan kotak gear manual? Kongsikan bersama kami.

     
     
  • CEO Proton: Harga mungkin akan naik selepas CNY

    Proton_Iriz_001_BM

    Disebabkan kemelesetan pertukaran mata wang asing di peringkat global yang agak menjejaskan Ringgit Malaysia, banyak industri agak terjejas disebabkan peningkatan kos pengeluaran.

    Industri automotif juga tidak ketinggalan terkena tempias yang sama, malah kebanyakan syarikat pengeluar kenderaan telah mula menaikkan harga bagi model kenderaan masing-masing. Ini termasuklah Honda, Toyota, Lexus dan Audi.

    Dalam majlis menandatangani pengambilan 29 pusat servis Suzuki oleh Proton pada pagi ini, CEO nya, Dato’ Abdul Harith Abdullah turut mengumumkan kemungkinan besar syarikat ini bakal mengambil langkah yang sama selepas Tahun Baru Cina (CNY) ini.

    “Perkara ini tidak dapat dielakkan dan ia akan diumumkan selepas CNY tidak lama lagi. Jadi bagi anda yang ingin membeli kenderaan Proton, saya sarankan anda membelinya sekarang sebelum kami umumkan kenaikan harga,” ujar Harith.

    Malah Pengerusi Proton, Tun Dr Mahathir Mohamed turut menjelaskan, perkara ini adalah disebabkan kemerosotan ringgit di mana pembuat kereta nasional harus membayar lebih bagi komponen yang diimport atau perkhidmatan. Di mana kadar pertukaran mata wang asing bagi USD$1 kini bersamaan sekitar RM4.40 berbanding RM3.00 sebelum ini.

    Dengan kos yang tinggi bagi memproduksikan kenderaan secara tidak langsung memberikan kesan terhadap harga model berkenaan. Tun Dr Mahathir juga mendakwa, bukan setakat Proton sahaja yang terpaksa menanggung kesan akibat kejatuhan ringgit ini, malah banyak jenama pengeluar kenderaan lain turut berhadapan dengan realiti ini. Buat masa ini, pengeluar kenderaan akan melakukan sebaik mungkin untuk mengekalkan harga sedia ada selama yang termampu.

     
     
  • Proton-Suzuki bakal memproduksikan model kerjasama baharu sebelum 2016 berakhir

    Proton-Suzuki-MOU_-010_BMProton-Suzuki-MOU_-010_BM

    Pada 15 Jun 2015 lalu, Proton dan Suzuki telah menandatangani Memorandum persefahaman (MOU) bagi penghasilan model baharu kenderaan dengan rekaan dan teknologi tersendiri.

    Selain daripada teknologi, Kerjasama ini adalah bagi perkongsian kepakaran bagi penghasilan model kenderaan enjin berkapasiti kecil, terutamanya bagi segmen A dan B.

    Menerusi pembangunan hasil daripada kerjasama ini, secara tidak langsung memberikan peluang kepada Proton untuk memanfaatkan kekuatan Suzuki, yang mana mampu memaksimumkan potensi pengeluaran, memasarkan produk tepat pada masanya. Ia mampu dicapai menerusi perkongsian teknologi dan keupayaan mengekalkan penjimatan kos.

    “Kerjasama ini dilihat sebagai satu lagi langkah bagi Proton untuk bergerak lebih progresif dan mengembangkan lagi rangkaian edaran, vendor, kemahiran tenaga kerja, perkongsian platform dan teknologi,” ujar Dato’ Abdul Harith Abdullah, CEO Proton.

    Beliau turut menambah Proton juga berbesar hati apabila mendapat sokongan penuh daripada kerajaan atas usahasama ini sejajar dengan Dasar Automotif Nasional (NAP).

    Ujarnya lagi, “Suzuki diharap dapat membantu Proton bagi meningkatkan lagi kedudukan kami di dalam industri ini. Sekali gus dapat memacu Proton dalam membangunkan dan menghasilkan model kereta yang menepati standard dan piawaian antarabangsa.”

    Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Proton akan menggunakan kelebihan yang ada pada Suzuki termasuk pembangunan model, platform, penjana kuasa dan teknologi automotif yang ada. Di mana Suzuki akan memberikan bantuan teknikal yang lebih spesifik untuk penghasilan produk yang direncana.

    Sebelum ini Pengerusi Proton Tun Mahathir Mohamed pernah berkata, penghasilan kenderaan ini akan memfokuskan kenderaan kompak terlebih dahulu dengan kapasiti enjin yang disasarkan iaitu 1.0 liter memandangkan Suzuki ada menghasilkan kenderaan kompak dengan enjin dengan kapasiti yang lebih rendah. Malah Suzuki tidak memasarkan kenderaan dengan enjin berkapasiti itu di Malaysia.

    Produksi bagi model kerjasama ini akan dimulakan sebelum akhir 2016 di kilang Proton yang terletak di Tanjung Malim.

     
     
  • Kesemua 29 pusat jualan Suzuki kini bertukar menjadi Proton Edar – jualan bagi jenama Suzuki ditamatkan

    Proton-Suzuki-dealership-signing

    Hasil daripada jalinan usahasama dengan Suzuki Malaysia Automobile Sdn Bhd, Proton Holdings Bhd telah mengumumkan pengambilalihan 29 pusat servis Suzuki iaitu 25 daripadanya merupakan pusat servis 3S dan empat 4S. Seperti mana sedia maklum, Suzuki kini tidak lagi berkhidmat di Malaysia.

    Dengan itu, kesemua pusat servis terbabit kini ditukar menjadi antara cawangan Proton Edar tetapi akan mempamerkan kedua-dua logo iaitu Proton dan Suzuki.

    Walau bagaimana pun, ia akan terus menyalurkan perkhidmatan menyelenggara dan membaiki bagi sejumlah 48,000 kenderaan milik pelanggan Suzuki sedia ada di Malaysia.

    Pengambilahan ini turut membuka peluang kepada para pengedar Suzuki untuk mengembangkan perniagaan mereka termasuk menjual model Proton. Malah ramai pengedar Suzuki turut meluahkan perasaan teruja untuk menjual kenderaan Proton.

    Menurut CEO Proton, Datuk Abdul Harith Abdullah, perkara ini adalah susulan daripada perjanjian sefahaman yang ditandatangani pada 15 Jun 2015 iaitu di antara Proton, DRB-Hicom dan Suzuki.

    Proton-Suzuki-dealership-outlets

    “Kerjasama ini dilihat sebagai satu lagi langkah bagi Proton untuk bergerak lebih progresif dan mengembangkan lagi rangkaian edaran, vendor, kemahiran tenaga kerja, perkongsian platform dan teknologi,” ujar Harith.

    Pengarah Urusan Suzuki Automobile Malaysia Sdn Bhd (SMA) Masashi Fukuda pula berkata, “SMA sangat berbangga dapat berkhidmat untuk pelanggan di Malaysia sejak lebih sedekad yang lalu. Pengambilalihan bilik pameran Suzuki sedia ada ini dengan Proton dilihat mampu memantapkan lagi perkhidmatan selepas jualan seperti mana yang dikehendaki oleh para pelanggan kami.”

    Pemilik kenderaan sedia ada Suzuki kini boleh terus mendapatkan perkhidmatan selepas jualan dan pelindungan waranti termasuk alat ganti tulen Suzuki di semua pusat servis yang terbabit.

    “Dengan penambahan 29 pusat servis 3S dan 4S baharu ini, ia dilihat mampu memperkukuhkan lagi rangkaian Proton dan memperhebatkan lagi komitmen kami bagi memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggan,” akhiri Harith.

     
     
  • TIP: Elakkan insiden kanak-kanak terperangkap dalam kenderaan berkunci

    Pada 6 Januari lalu, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun enam bulan terperangkap di dalam sebuah kereta milik ibunya selepas kenderaan itu terkunci dari dalam di sebuah taska di Bertam Indah, Pulau Pinang.

    Dua hari selepas kejadian tersebut, ada lagi seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun mengalami insiden yang sama dan kejadian tersebut berlaku di Batu Gajah, Melaka.

    Kejadian seumpama ini bukannya pertama kali berlaku di negara kita. Ia telah banyak kali berlaku, namun terdapat segelintir ibu bapa yang masih tidak mengambil iktibar di sebalik kejadian ini. Banyak alasan tercipta, antaranya, “Enjin hidup tetapi tiba-tiba kenderaan terkunci secara automatik”. Memang benar, namun ia sudah mengundang padah!

    Sedar atau tidak, insiden sebegini sebenarnya mampu mengancam nyawa anak-anak anda. Jika terperangkap dalam kenderaan yang enjinnya dimatikan, ia boleh menyebabkan kanak-kanak terbabit mengalami sesak nafas dan strok haba (heat stroke) akibat kekurangan oksiden dan kepanasan melampau.

    Jadi, untuk golongan ibu bapa, sila ambik berat mengenai perkara ini. Usah abaikan keselamatan dan nyawa anak-anak anda.

    Apa yang paling penting ialah jangan sesekali meninggalkan bayi dan kanak-kanak kecil sendirian tanpa pengawasan penumpang dewasa atau kanak-kanak yang sudah mampu berdikari, tidak kira di mana sahaja termasuk di ruang parkir, stesen minyak, kedai dan sebagainya.

    Walau pun mungkin anda membuka sedikit cermin tingkap untuk aliran udara atau pun membiarkan enjin kenderaan hidup dengan penghawa dingin terpasang, atau pun dengan alasan, “sekejap saja!”, tindakan anda itu mampu mengundang padah. Ingat, malang tidak berbau!

    Selain itu, jadikan sebagai tabiat untuk memeriksa bahagian tempat duduk belakang sebelum anda mengunci pintu dan meninggalkan kenderaan anda.

    Pernah ada kejadian, seorang ibu tidak menyedari kehadiran anaknya di bahagian tempat duduk belakang dan meninggalkan kenderaan terbabit dalam tempoh yang agak lama. Sekembalinya ke kenderaan terbabit, didapati anaknya sudah tidak bernyawa kerana mengalami sesak nafas. Kanak-kanak tersebut dipercayai tertidur di bahagian tempat duduk belakang dan tidak disedari oleh ibunya.

    Malah, untuk golongan masyarakat pula, kepekaan dan keprihatinan anda juga amat wajar diperlukan. Keselamatan dan pelindungan kanak-kanak adalah tanggungjawab semua pihak.

    Baby boy in car seat

    Jika anda terlihat ada bayi atau kanak-kanak kecil bersendirian di dalam kenderaan tanpa pengawasan, sila perhatikan keadaannya. Jika bayi atau kanak-kanak terbiar tanpa pengawasan dengan keadaan enjin kenderaan yang dimatikan (sudah pasti penghawa dingin juga tidak dihidupkan), sila dapatkan bantuan segera.

    Seandainya ibu atau bapa bayi atau kanak-kanak terbabit tidak datang dengan kadar segera, sila hubungi pihak berkuasa, sama ada polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam atau agensi keselamatan lain untuk tindakan lanjut.

    Sekiranya didapati bayi atau kanak-kanak terbabit mungkin mengalami simptom strok haba seperti kulit bertukar kemerah-merahan (apa yang anda lihat dan ia mungkin membahayakan nyawa si kecil itu), mungkin tindakan anda memecahkan/mengumpil cermin tingkap kenderaan terbabit ‘harus dimaafkan’ kerana ia bertujuan untuk menyelamatkan nyawanya. Itu pun sekiranya bantuan kecemasan mungkin lambat tiba, namun disarankan anda mendapatkan bantuan polis peronda atau penguatkuasa berhampiran.

    Namun sekiranya anda terlihat ada si kecil yang bersendirian di dalam kenderaan dengan enjin hidup dan penghawa dingin berfungsi, dinasihatkan agar anda berada berhampiran kenderaan terbabit untuk memantau keadaan bayi atau kanak-kanak tersebut sehinggalah ibu atau bapanya tiba.

    Waima, meninggalkan si kecil dalam keadaan ini memang merbahaya dan mampu mengancam keselamatanya sendiri. Jadi sebagai seorang dewasa, walau pun anda mungkin tidak mengenali si kecil atau ibu bapa terbabit, apa salahnya anda bersikap prihatin memantau keadaan tersebut. Manalah tau, bimbang ada perkara yang tidak diingini berlaku pula.

    Dalam cuaca panas terik El Nino yang melanda negara kita sekarang ini, adalah tidak wajar meninggalkan si kecil atau pun sesiapa sahaja di dalam kenderaan yang enjinnya dimatikan. Ini kerana ia boleh menyebabkan gejala strok haba.

    Menurut pakar perubatan, antara tanda awal terkena strok haba ialah sakit kepala berdenyut, mual, kurang berpeluh walaupun dalam suhu panas dan denyutan nadi yang pantas. Selain itu, tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam.

    Di mana suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian.

    Ingat, jika ia membabitkan keselamatan dan nyawa, tiada kompromi mengenainya! Jadilah seorang masyarakat yang prihatin!

     
     
  • PANDU UJI: Mazda CX-3 2.0L SkyActiv-G di Melbourne – bakal dilancarkan 8 Dis ini, adakah ia berbaloi?

    Mazda CX-3 12

    The English version of this story: DRIVEN: Mazda CX-3 2.0L SkyActiv-G in Melbourne, was published on 26 September 2015.

    Sejak lima tahun kebelakangan ini, pasaran crossover segmen-B semakin menarik perhatian. Pengeluar telah lama memberikan petanda bahawa dengan gabungan supermini dan SUV, hatchback yang lebih tahan lasak ini akan menjadikan jentera sebegini seakan produk yang cukup sempurna.

    Mengimbas sejarah dahulu pada ketika Nissan Juke dilancarkan pada tahun 2010, para pengkritik tidak dapat menerima pengayaan yang ekstrovert, tetapi pembeli menyukainya dan ternyata jualan yang diperoleh jauh mengatasi jangkaan Nissan sendiri.

    Sejak itu, beberapa pesaing mula mengambil langkah yang sama, terutamanya di Eropah, di mana permintaannya begitu mendadak dalam masa yang agak singkat. Tetapi situasi di Malaysia sangat berbeza. Di sini, Juke tidak pernah dipasarkan, walau bagaimana pun beberapa pesaingnya termasuk Peugeot 2008 dan Ford EcoSport memasuki pasaran tempatan, sayangnya kedua-duanya tidak mendapat sambutan yang memberangsangkan.

    Mazda CX-3 34

    Tetapi selepas memandu uji Honda HR-V pada awal tahun ini, kami mendapati bahawa ia memberikan praktikaliti yang mengagumkan dan rasa pemanduan yang memberangsangkan. Malah kami menjangkakan ia bakal memperoleh sambutan yang memberangsangkan apabila memasuki pasaran kita. Dan ternyata, ia menjadi kenyataan apabila HR-V berjaya memperoleh jualan sebanyak 16,115 unit sejak ia dilancarkan bulan Februari lalu, dengan tarikh menunggu selepas tempahan sehingga enam bulan pada satu ketika.

    Hari ini, semakin banyak syarikat pengeluar kenderaan saling berlumba-lumba untuk bersaing dengan Honda, menghasilkan SUV dari kelas yang lebih besar (termasuk Mazda CX-5 GL dan Kia Sportage 2WD) dan juga dari kelas yang sama (seperti Renault Captur yang merupakan crossover terlaris di Eropah).

    Namun masih tiada yang mampu mencabar kedudukan HR-V setakat ini, melainkan Mazda CX-3 baharu yang mempunyai senarai spesifikasi yang banyak serta mungkin boleh dianggap sebagai pencabar terdekat. Tetapi adakah ia benar-benar mampu mengugat kedudukan Honda? Kami telah memandu ujinya di Melbourne untuk mengetahui adakah ia menepati citarasa penggemar crossover di Malaysia.

    Baca artikel sepenuhnya.

     
     
  • PANDU UJI: Renault Captur – pesaing baharu bagi Honda HR-V, adakah lebih menonjol?

    pandu-uji-renault-captur-40

    Mungkin ramai yang tidak mengetahui, Renault Captur merupakan SUV segmen-B yang paling laris di Eropah, yang bersaing dengan model seperti Nissan Juke, Peugeot 2008 dan Opel Mokka.

    Walau bagaimana pun, Asia tetap didominasi produk buatan Asia sendiri, di mana Honda HR-V telah menguasai sebahagian pasaran di dunia. Di Malaysia, ia telah menarik perhatian walau pun bukan yang pertama di pasaran (sebelum kewujudan 2008 dan Ford EcoSport). Malah HR-V juga bakal menyertai Mazda CX-3 yang memiliki paras rupa lebih anggun, yang dilihat dari pra-pelancarannya, bakal mencipta fenomena yang tersendiri.

    Terdapat juga SUV dari segmen-C berada dalam lingkaran ini. Termasuklah Mitusbishi ASX yang baru-baru ini diperkenalkan dengan wajah baharu, berharga hanya RM105k. Manakala Kia Sportage 2WD boleh dimiliki dengan harga RM119k (termasuk insurans). Begitu juga dengan Mazda CX-5 dengan harga yang tidak jauh tinggi iaitu RM126k. Kedua-dua segmen ibarat bersaing sesama sendiri dengan nilai harga yang ditawarkan.

    Diperkenalkan pada Julai lalu, Captur bakal dilancarkan sebelum 2015 berakhir. Tiga bulan yang lalu, ia ditawarkan dengan harga jangkaan yang kompetitif iaitu antara RM118k-RM123k seperti mana yang ditetapkan oleh Renault, tetapi Ringgit Malaysia telah mengalami penyusutan. Harap Captur tidak akan terkesan memandangkan ia antara produk menarik dalam pasaran kita.

    Baca keseluruhan pandu uji di sini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.30
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jun 27, 2024