Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Perodua eMO EV versi produksi dilihat sudah mula diuji – dijangka dilancar Disember ini, bermula RM80k

    Perodua eMO EV versi produksi dilihat sudah mula diuji – dijangka dilancar Disember ini, bermula RM80k

    Projek penghasilan model EV pertama Perodua bukan lagi perkara baharu. Pembuat kereta dari Rawang itu telahpun mula menunjukkan model konsep dalam skala 1:6 digelar sebagai EM-O (singkatan bagi Electric Motion Online), yang dibayangkan sebagai model EV pertamanya pada bulan Mei 2023.

    Unit prototaip saiz sebenar digelar sebagai eMO-1 dan boleh dipandu kemudiannya muncul setahun selepas itu, namun unit tersebut masih menggunakan Perodua Myvi sebagai asas, bagi menunjukkan asas unit rangkaian kuasa yang bakal digunakan. Manakala pada Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 Disember lalu, Perodua mendedahkan pula model konsep yang digelar sebagai eMO-II, membayangkan rupa model EV produksi sebenar kelak.

    Dan pada hujung minggu ini, internet digegarkan bahawa Perodua sudah mula menguji prototaip ujian bagi model produksi sebenar model EV berkenaan menerusi pelbagai gambar yang telah tular. Imej yang kami perolehi ini adalah milik Meng Lee Chen yang dikongsi dalam paultan.org Automotive/Car Discussion Facebook Group, yang agak lengkap dari hadapan, belakang dan juga sisi prototaip ujian berkenaan.

    Perodua eMO EV versi produksi dilihat sudah mula diuji – dijangka dilancar Disember ini, bermula RM80k

    Tapi apa yang membuatkan kereta yang dibalut sepenuhnya dengan pelekat penyamaran berkenaan adalah milik Perodua? Mudah, trade plate ‘B3598A’ yang digunakan adalah milik Perodua dan ia telah digunakan pada beberapa prototaip ujian lain sebelum ini.

    Ini bermakna projek pembangunan EV Perodua tersebut telah mendahului jadual yang ditetapkan kerana pada Februari lalu CEO kumpulan Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson telah mendedahkan bahawa model EV pertama keluaran Perodua akan masuk ke fasa ujian pada Jun nanti. Dalam laporan yang sama, Datuk Jeffri turut mengesahkan pelancarannya akan dibuat pada bulan Disember tahun ini.

    Walaupun dibalut hampir sepenuhnya dengan pelekat penyamaran, dapat dilihat model produksi ini kelak akan menampilkan rupa yang diinspirasikan sepenuhnya dari model konsep eMO-11. Ia termasuk rekaan bayangan sisi dengan rekaan tiang-C yang landai, rekaan cermin-cermin tingkap dan cermin hadapan.

    Ia juga nampaknya bakal mengekalkan jalur lampu LED yang nipis merentasi sepenuhnya muka hadapan. Pembuka pintu belakang turut disorokkan bagi memberikan rupa seakan coupe dua-pintu, manakala pembuka hadapan direka tenggelam dalam panel badan.

    Sekiranya dibandingkan dengan kenderaan sekitar dalam set foto ini seperti Honda City dan Mitsubishi Triton, saiz sebenar EV pertama Perodua ini nampak memang besar seperti model konsep yang didedahkan sebelum ini. Dan berdasarkan panel pelindung badan pada ruang roda, EV ini mungkin akan diposisikan sebagai sebuah SUV dan bukan hatchback.

    Ini merupakan model pertama Perodua yang dibina tanpa pembabitan sekutu globalnya iaitu Daihatsu serta syarikat induknya, Toyota. Ini kerana kedua-dua jenama berkenaan masih belum ada teknologi EV yang dibina untuk kenderaan kompak, di mana jenama-jenama Jepun itu lebih menumpukan unit rangkaian kuasa hibrid untuk model dengan saiz sedemikian.

    Antara perincian awal yang telah disebut oleh Perodua untuk EV ini termasuk pecutan 0-100 km/j boleh dicapai sekitar enam atau tujuh saat, dan bakal menampilkan jarak gerak sejauh 400 hingga 410 km menggunakan bateri litium logam fosfat (LFP) yang dibekalkan oleh pembuat bateri dari China, CATL.

    Menurut Perodua lagi, buat permulaan bateri dan motor elektrik akan dibekalkan dari luar negara, tetapi mereka mempunyai rancangan untuk memasangnya sendiri di Malaysia selepas itu. Harga anggaran bagi EV pertama ini juga telah diumumkan oleh Perodua iaitu sekitar RM80,000, tetapi ia tidak termasuk bateri kerana komponen itu dirancang akan ditawarkan menerusi program sewaan atau pajakan.

    Sekiranya anda ada rancangan untuk beralih kepada EV dengan penawaran harga bawah RM100,000, berita baik pilihan berkenaan bukan hanya akan ditawarkan oleh Perodua. Ini kerana Proton turut telah mengumumkan akan menawarkan satu lagi model EV kompak yang lebih kecil dari eMas 7.

    Model tersebut dijangka akan dikenali sebagai Proton eMas 5 dan diasaskan dari Geely Xingyuan/Star Wish, dengan spesifikasi pasaran China menawarkan jarak gerak 410 km dalam kitaran ujian CLTC.

    GALERI: Perodua e-MO-II Concept di KLIMS 2024

     
     
  • Honda ADV 160 dengan warna baru – dari RM13,249

    Honda ADV 160 dengan warna baru – dari RM13,249

    Boon Siew Honda memperkenalkan pilihan warna baru untuk ADV 160 tahun 2025. Bagi model biasa yang dijual pada harga RM13,249, warna putih sebelum ini dikekalkan dan ia ditambah dengan dua warna baru iaitu hitam matte dan merah.

    Kemudiannya bagi versi SE yang sebelum ini cuma disediakan dalam warna hijau matte ditambah dengan warna kelabu, ringkas tanpa sebarang pelekat dan dijual pada harga lebih RM300, menjadi RM13,549. Semua harga ini adalah harga cadangan pengeluar dan tidak termasuk insurans.

    Honda ADV 160 adalah skuter yang dipacu oleh enjin satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+, dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Selain dilengkapi brek ABS single-channel (tetapan cakera di hadapan dan belakang), model pasaran Malaysia juga tiba dengan sistem kawalan cengkaman HSTC. Demi memberikan sedikit kepuasan kepada pengguna, sistem kawalan cengkaman ini boleh ditutup dengan menekan butang yang disediakan.

    Kelengkapan lain ADV 160 adalah termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak Showa di belakang dengan tabung gas, rim 14 inci di hadapan dengan tayar 110/80, rim 13 inci di belakang dengan tayar 130/70, sistem kunci pintar, sistem start/stop enjin, pengecas USB serta tangki bahan api 8.1 liter.

     
     
  • Kilang tayar Continental di Alor Setar tutup atas sebab perniagaan, tidak libatkan faktor lain — MB Kedah

    Kilang tayar Continental di Alor Setar tutup atas sebab perniagaan, tidak libatkan faktor lain — MB Kedah

    Hujung April lalu, syarikat pengeluaran German, Continental mengumumkan bakal menamatkan operasi pengeluaran tayarnya di Alor Setar pada penghujung tahun ini. Penutupan kemudahan itu, yang ketika ini mengeluarkan tayar bagi kenderaan penumpang, trak tugasan ringan dan motosikal untuk pasaran Asia-Pasific, akan memberi kesan kepada 950 pekerjaan.

    Susulan daripada pengumuman itu, MB Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan yang keputusan Continental tersebut adalah satu langkah perniagaan dan tidak ada kena-mengena dengan politik, lapor New Strait Times.

    “Itu merupakan keputusan perniagaan. Bukan kerana mereka benci Sanusi. Sejak bila syarikat tayar terlibat dengan politik?,” ujarnya terhadap hantaran di TikTok yang mengaitkannya dengan penutupan kilang itu.

    “Syarikat tayar sedang berdepan dengan tempoh sukar berdepan cabaran dan persaingan harga dan teknologi oleh syarikat dari China dalam pasaran kenderaan penumpang. Sebab itu Continental mengalih tumpuannya kepada kereta prestasi dan kenderaan industri berat. Syarikat itu juga ada kilang di Thailand dan memutuskan untuk melakukan pengeluaran tayar di sana. Ia tiada kaitan dengan politik,” tambahnya.

    Sanusi juga memaklumkan, walaupun berdepan penutupan itu, ada pelabur baru yang berminat untuk mendirikan kilang tayar di Kedah. Bagaimanapun, perinciannya belum boleh didedahkan atas permintaan pihak berkenaan.

     
     
  • Denza Z di Shanghai – kereta sports elektrik konsep dengan penyerap magnetik, kuasa cecah 1,000 PS?

    Denza Z di Shanghai – kereta sports elektrik konsep dengan penyerap magnetik, kuasa cecah 1,000 PS?

    Semasa acara Auto Shanghai 2025, BYD membawa sebuah kereta sports konsep yang dipanggil ringkas sebagai Z. Sekarang, pengeluar tersebut sudah mempunyai dua model coupe prestasi tinggi, dengan satu lagi adalah Yangwang U9.

    Menggunakan bentuk coupe dengan bumbung yang rendah dan menjunam di belakang, Z tampil garang dengan pelbagai panel aerodinamik termasuk spoiler besar di belakang, serta bukaan udara di banyak bahagian termasuk atas bonet, atas fender hadapan, tepi pintu menghala ke roda belakang serta di bampar hadapan. Rim bersaiz 21 inci.

    Di bahagian dalam, tema warna sama digunakan, dengan kebanyakan bahagian berwarna biru, sementara stereng menggunakan inspirasi daripada kereta lumba dengan terdapat banyak butang kawalan berbentuk bulat. Bukan setakat itu, stereng ini juga boleh tenggelam ke dalam apabila kereta dalam mod pemanduan sendiri.

    Sekurang-kurangnya terdapat tiga skrin dalam kereta ini (termasuk bertentangan penumpang hadapan), dan barangan lain adalah seperti tempat duduk bucket gentian karbon, roll cage separuh di belakang serta tali pinggang berwarna kuning. Disebabkan bumbungnya panjang dan masih ada ruang di bahagian belakang, kami merasakan versi produksi nanti mungkin akan mempunyai empat tempat duduk.

    Melalui Z ini, Denza menggunakan buat pertama kalinya suspensi DiSuz-M dengan penyerap magnetorheological, yang dikatakan boleh melaras kuasa serapan dalam masa milisaat. Spesifikasi teknikal tidak diberitahu, tetapi kita boleh menjangkakan Z menggunakan motor elektrik terbaru BYD yang boleh berpusing sehingga 30,511 rpm, seperti laporan Car News China.

    Motor ini sudah pun dipasang pada model termasuk Han L, dan boleh menghasilkan sehingga 789 PS (580 kW) dan tork 450 Nm, hanya daripada satu motor. Pada Han L juga, ia ada dipadankan bersama satu lagi motor 313 PS (230 kW) dan 410 Nm di hadapan, menjadikan kuasa keseluruhannya 1,101 PS (810 kW) dan 860 Nm.

     
     
  • GWM Tank 500 HEV dilancar di Malaysia pada 8 Mei ini

    GWM Tank 500 HEV dilancar di Malaysia pada 8 Mei ini

    Dipertontonkan di Malaysia pada bulan lalu, GWM Tank 500 HEV dijadualkan akan dilancarkan pada 8 Mei ini dalam acara Malaysia Autoshow 2025. Model 4×4 hibrid besar ini pertama kali ditunjuk di khalayak umum di sini ketika penganjuran Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) pada Disember lalu.

    Dipasang di kilang pengeluar berkenaan di Rayong, Thailand, Tang 500 dijangka akan ditawar pada harga bawah RM350,000. Ini akan menjadikannya salah satu kenderaan paling mahal daripada pembuat kereta China, menyaingi Zeekr 009 yang juga ditawarkan di sini dengan harga yang tinggi.

    Abang kepada GWM Tank 300 ini ditampilkan dengan pilihan enjin termasuk 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu memberikan kuasa 244 PS dari 5,500 hingga 6,000 rpm dan tork 380 Nm dari 1,700 hingga 4,000 rpm, serta motor elektrik 106 PS/268 Nm dan transmisi automatik sembilan-kelajuan. Keseluruhan kuasa yang terhasil mencecah 346 PS adan 648 Nm, yang dipacu menerusi kesemua rodanya menerusi sistem pacuan empat-roda.

    Ia juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi off-road, termasuk electronic locking differential hadapan dan belakang, mechanical centre locker, kawalan kelajuan off-road, fungsi pengesan kedalaman air dan fungsi “tank turn” untuk mengunci roda belakang ketika membuat pusingan-u yang sempit. Selain itu, ia juga diberikan 11 mod pemanduan (empat mod on-road, tujuh off-road) dan mampu meredah air maksimum hingga 800 mm.

    Dengan dimensi berukuran 4,928 mm panjang, 1,934 mm lebar dan 1,905 mm tinggi, 500 adalah 160 mm lebih panjang, empat milimeter lebih lebar dan dua milimeter lebih tinggi berbanding 300, sementara jarak rodanya 2,850 mm iaitu 100 mm lebih panjang. Jika dibandingkan dengan Everest, GWM lebih panjang sebanyak 14 mm, 11 mm lebih lebar dan 64 mm lebih tinggi tetapi jarak rodanya lebih pendek sekitar 50 mm.

    Tank 500 dijangka akan ditawarkan dengan varian tunggal di sini iaitu model spesifikasi penuh Ultra, dan diberikan termasuk kelengkapan lampu utama dan lampu belakang LED penuh, rel bumbung perak, roda aloi pelbagai-jejari 20-inci dengan dibaluti tayar Continental CrossContact RX 265/50R20 dan pemijak sesi yang boleh dilaras secara kuasa.

    GWM Tank 500 HEV dilancar di Malaysia pada 8 Mei ini

    Untuk ruang kabinnya, ia diberikan paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.6-inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlar, sistem bunyi Infinity dengan 12-pembesar suara, upholstery kulit Nappa quilted dan tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan fungsi memori untuk bahagian pemandu.

    Selain itu, ia juga diberikan sistem kawalan suhu tiga-zon, tirai suria untuk barisan kedua dan juga perehat belakang larasan kuasa untuk barisan ketiga. Bagi barisan ketiga, terdapat juga butang untuk melipat dan membuka tempat duduk di bahagian itu secara elektrikal dengan hanya menekan satu butang sahaja.

    Bagi aspek keselamatan dan kelengkapan bantuan pemandu, Tank 500 diberikan brek kecemasan autonomous, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, pemantauan titik buta, kepekaan trafik lintasan belakang dengan brek auto dan Wisdom Dodge System untuk mengerakkan SUV ini ke tepi luar lorong bagi memberi ruang kepada kenderaan besar dan motosikal. Selain itu, enam beg udara, bantuan parkir, sistem kamera 360-darjah dengan fungsi transparency dan kawalan kestabilan juga diberikan.

     
     
  • Proton eMas 7 bakal dipamerkan di Singapura hujung minggu ini – menawarkan unit Founders Edition

    Proton eMas 7 bakal dipamerkan di Singapura hujung minggu ini – menawarkan unit Founders Edition

    Proton eMas 7 bakal dipamerkan di The Car Expo di Singapura pada hujungb minggu ini, menurut laman Facebook Proton eMas Singapore. Menurut perkhabaran yang dimuat naik itu, eMas 7 yang ditawarkan di Singapura adalah unit Founders Edition.

    Pada Disember lalu susulan pelancaran SUV EV eMas 7 di Malaysia, ia dikhabaskan akan memasuki pasaran Singapura dengan pelantikan Vincar Group sebagai pengedar rasmi untuk kenderaan elektrik eMas. Menurut Vincar, bilik pameran perdana bagi jenama berkenaan akan berada di Leng Kee termasuk untuk perkhidmatan jualan dan selepas jualan.

    Di Malaysia, eMas 7 dijual pada harga dari RM105,800 untuk Prime, meningkat ke RM119,800 bagi Premium dengan tempahan pertamanya mencecah 6,000 unit, menurut laman web Proton. Varian Prime dilengkapi dengan bateri 49.52 kWh yang menawarkan jarak gerak hingga 345 km mengikut kitaran WLTP, sementara Premium diberikan bateri 60.22 kWh dengan jarak gerak hingga 410 km (WLTP).

    Ia menyokong pengecasan pantas DV sehingga 100 kW untuk Premium atau 80 kW bagi Prime, dan kedua-duanya mengambil masa sekitar 20 minit untuk mencapai status pengecasan antara 30-80%. Jika menggunakan pengecas AC berkapasiti hingga 11 kW, ia mengambil masa sekitar 4.9 jam untuk Prime, an 6.1 jam bagi Premium. Bagi bantuan pemanduan, eMas 7 mendapat set kelengkapan ADAS Tahap 2.

     
     
  • Lebuhraya LKSA, SILK, DASH dan SUKE kini mula laksana sistem pembayaran tol terbuka – Prolintas

    Lebuhraya LKSA, SILK, DASH dan SUKE kini mula laksana sistem pembayaran tol terbuka – Prolintas

    Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) mengumumkan bahawa empat lagi lebuhraya di bawah seliaannya melaksanakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka bermula semalam, 1 Mei 2025. Ia adalah bagi menawarkan fleksibiliti dan kemudahan yang lebih baik kepada pengguna lebuhraya di plaza tol.

    Empat lebuhraya yang terlibat adalah Lebuhraya Kemuning–Shah Alam (LKSA), Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK), Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

    Menurut syarikat ini, dengan adanya lorong Pembayaran Tol Terbuka baharu, pengguna kini mempunyai alternatif tambahan untuk membayar tol menggunakan kad debit dan kredit, selain kaedah sedia ada seperti kad Touch ‘n Go, SmartTAG dan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID). Ini menjadikan kesemua enam lebuhraya Prolintas kini menawarkan Sistem Pembayaran Tol Terbuka.

    Lebuhraya LKSA, SILK, DASH dan SUKE kini mula laksana sistem pembayaran tol terbuka – Prolintas

    “Pelaksanaan Sistem Pembayaran Tol Terbuka di lebuhraya kendalian Prolintas mencerminkan komitmen berterusan kami untuk meningkatkan kemudahan kepada pengguna, memperkukuh keselamatan jalan raya, serta mengurangkan kesesakan di plaza tol. Kami yakin bahawa penyediaan pilihan pembayaran yang lebih fleksibel akan dapat memudahkan perjalanan semua pengguna lebuh raya,” kata Mohamad Idros Mosin, Pengarah Eksekutif Prolintas.

    Tambahnya, sebanyak 36 lorong menggunakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka secara keseluruhan di enam lebuhraya kendalian Prolibtas. Bagi SILK, lapan lorong akan disediakan, manakala LKSA dan DASH, masing-masing mempunyai empat dan enam lorong. SUKE pula menawarkan sejumlah 10 lorong merentasi plaza tolnya.

    Sebelum ini, dua lagi lebuhraya kendaliannya iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) antara yang pertama memperkenalkan Sistem Pembayaran Tol Terbuka sejak September 2023.

    “Pelaksanaan Sistem Pembayaran Tol Terbuka mengukuhkan lagi komitmen Prolintas terhadap pendigitalan, dengan penggunaan teknologi untuk mewujudkan pengalaman lebuhraya yang lebih lancar, efisien dan mengutamakan pelanggan,” kata Mohamad Idros.

     
     
  • BRT Sunway beroperasi di aras jalan pada 3 Mei – trek bertingkat diguna untuk Under Armour Infinite Race

    Ini ada makluman buat penduduk Sunway/USJ dan juga pengguna perkhidmatan BRT laluan Sunway. Laluan bas bertingkat ini akan beroperasi di aras jalan biasa pada 3 Mei 2025 (Sabtu ini), dari jam 2 petang hingga tamat waktu operasi. Ia adalah bagi memberikan laluan kepada penganjuran acara larian Under Armour Infinite Race yang bermula jam 7 malam.

    Ini bermakna bas BRT akan bergerak di bawah trek bertingkat, dan akan berhenti di bawah stesen BRT kecuali di empat stesen, yang akan mempunyai lokasi alternatif untuk mengambil/menurunkan penumpang. Stesen berkenaan ialah USJ 7, South Quay, Mentari dan Sunway Setia Jaya – senarai penuh seperti di atas.

    Rapid KL selaku pengendali perkhidmatan ini turut berkata, BRT Laluan Sunway yang akan beroperasi di atas jalan raya pada tarikh berkenaan secara percuma dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit. BRT Laluan Sunway ini akan kembali beroperasi seperti biasa pada keesokan harinya iaitu bermula jam 6 pagi.

     
     
  • iCaur V23 sah ke Malaysia; bakal buat kemunculan sulung pada pelancaran jenama minggu depan

    iCaur V23 sah ke Malaysia; bakal buat kemunculan sulung pada pelancaran jenama minggu depan

    Sub-jenama Chery yang menawarkan kenderaan gaya hidup iaitu iCaur mengesahkan bahawa SUV EV yang direka dengan gandingan model-model retro yang ikonik digelar sebagai iCaur V23 sah bakal diperkenalkan di Malaysia. Perkara ini disahkan oleh iCaur Malaysia menerusi laman instagram mereka bahawa V23 bersama satu lagi SUV jenama berkenaan iaitu iCaur 03 akan dibawa ke Malaysia Autoshow 2025 bermula 9 Mei ini di MAEPS bagi perasmian kemasukan jenama itu ke pasaran tempatan.

    iCaur (atau dikenali sebagai iCar di China) telah memperkenalkan V23 di pasaran negara berkenaan pada April tahun lalu, tetapi pengenalannya untuk peringkat global hanya di buat ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025 pada bulan lalu.

    V23 dihasilkan dengan dimensi panjang 4,220 mm, lebar 1,915 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak roda sejauh 2,735 mm. Walaupun nampak kecil, iCar V23 ini sebenarnya 235 mm lebih panjang, 270 mm lebih lebar serta jarak roda 145 mm lebih jauh berbanding SUV off-road kompak popular Jepun iaitu Suzuki Jimny 5-Door.

    Namun iCaur V23 bukanlah model yang digerakkan oleh enjin pembakaran dalaman seperti Jimny kerana ia adalah SUV elektrik penuh (EV). Di China, ia ditawarkan dalam versi pacuan roda belakang (RWD) dengan satu motor elektrik pada gandar belakang, dan juga versi pacuan semua roda (AWD) dengan tambahan satu lagi motor elektrik pada gandar hadapan.

    Bagi varian RWD, motor elektrik tunggal yang dibekalkan mampu menghasilkan 136 PS dan tork maksima 180 Nm. Tiada angka pecutan 0-100 km/j ditunjuk, tetapi hanya ujian 0-50 km/j didedahkan di mana varian ini dapat mencatatkan masa 4.8 saat untuk pecutan tersebut.

    Varian RWD ini juga hadir dengan dua pilihan bateri, sama ada bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 59.93 kWj dan bateri nikel mangan kobalt (NMC) berkapasiti 81.76-kWj. Versi dengan bateri lebih kecil membolehkan V23 ini bergerak sejauh 401 km dalam kitaran ujian tempatan CLTC, manakala dengan bateri NMC lebih besar ia boleh bergerak sejauh 550 km CLTC.

    iCaur V23 sah ke Malaysia; bakal buat kemunculan sulung pada pelancaran jenama minggu depan

    Manakala bagi varian AWD, motor elektrik hadapan berkuasa 75 PS/112 Nm membolehkan SUV ini dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 211 PS/292 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-50 km/j dalam masa 3.5 saat. Hanya bateri NMC 81.76 kWj diberikan pada varian ini, memberikan jarak gerak sejauh 501 km CLTC.

    Kesemua varian iCar V23 ini dibekalkan dengan pengecas pantas DC yang membolehkan bateri dipenuhkan dari 30-80% dalam masa 30 minit, dan juga sistem Vehicle-To-Load (VTL) 3.3 kW yang membolehkan bateri EV dari SUV ini menghidupkan peralatan elektrik seperti periuk nasi, mesin kopi dan sebagainya.

    Dalam pembentangan jenama ini kepada media ketika berlangsungnya Auto Shanghai 2025, iCaur tidak segan silu menyatakan bahawa rekaan V23 ini sememangnya diinspirasikan dengan muka depan dari Toyota Land Cruiser, bahagian belakang seperti Mercedes G-Wagen dan bahagian sisi menyerupai Land Rover Defender.

    Rekaan bukan hanya untuk faktor estika di mana bentuk muka Land Cruiser dan belakang G-Wagen yang mengenakan bampar yang pendek dan singkat membolehkan V23 ini memanjat batu menerusi sudut approach 42 darjah dan sudut berlepas 40 darjah. Jarak kelegaan tanah SUV ini diumumkan pada 200 mm, membolehkan ia meredah laluan air dengan kedalaman 600 mm.

    Imej lasak turut dibawa ke kabin V23 ini. Ia diberikan papan pemuka ringkas dengan hanya satu skrin besar 15.4-inci diletakkan di tengah untuk paparan instrumen dan infotainmen. Sementara suis-suis kawalan termasuk penukar mod pemanduan direka dengan saiz besar untuk memudahkan operasi dan capaian.

    Namun ia tidak ketinggalan dalam penawaran sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan dibekalkan fungsi termasuk brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, pemantau titik buta dan pelbagai lagi.

    Di China, iCaur V23 dijual pada harga bermula 109,800 yuan hingga 149,800 yuan (sekitar RM66k hingga RM90k). Agaknya berapa pula harga SUV ini setelah tiba di Malaysia kelak ya?

    GALERI: iCaur V23 di Auto Shanghai 2025

     
     
  • Harga minyak 1-7 Mei – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 1-7 Mei – Semuanya dikekalkan

    Kementerian Kewangan mengumumkan bagi minggu pertama Mei 2025 iaitu bertarikh 1 hingga 7 Mei, kesemua harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api utama di pasaran kita dikekalkan buat dua minggu berturut-turut.

    Di mana harga bagi petrol RON 97 masih sama pada kadar RM3.18 seliter. Begitu juga dengan harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Untuk diesel pula, selepas mengalami penurunan harga pada minggu sebelum ini, harga runcit yang dijual di Semenanjung dikekalkan pada RM2.08 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata kriteria kelayakan subsidi RON95 serta kaedah pelaksanaannya akan diumumkan dalam tempoh terdekat. Menurut beliau, kementeriannya akan membentangkan hal-hal berkaitan kepada Kabinet dalam masa terdekat untuk mendapatkan kelulusan sebelum diumumkan kepada umum.

    Pengumuman ini juga akan meliputi peralihan kelayakan dari set sedia ada yang berasaskan pendapatan kasar, yang dikelaskan mengikut segmen B40, M40 dan T20, kepada berdasarkan pendapatan boleh dibelanjakan (disposable income).

     
     
  • Isuzu D-Max EV — 190 PS/325 Nm, 263 km jarak WLTP; versi RHD akan mula diproduksi hujung 2025

    Isuzu D-Max EV — 190 PS/325 Nm, 263 km jarak WLTP; versi RHD akan mula diproduksi hujung 2025

    Isuzu sebelum ini telah menunjukkan D-Max EV, versi elektrik bagi trak pikap popular keluarannya ketika Pameran Permotoran Antarabangsa Bangkok 2024 dan dikenali sebagai D-Max BEV Concept.

    Trak pikap double-cab bateri elektrik ini menerima pacuan 4WD daripada unit pacuan yang baru dibangunkan bagi setiap gandar, melibatkan motor elektrik di depan dengan janaan 43 kW (58 PS) dan 108 Nm, serta satu lagi unit di belakang dengan 97 kW (132 PS) dan 217 Nm, yang memberikan output keseluruhan sebanyak 140 kW (190 PS) dan 325 Nm tork. Ini membolehkannya mencapai 0-100 km/j dalam masa 10.1 saat, dan laju maksimum 130 km/j.

    Tenaga diperoleh daripada bateri lithium-ion 66.9 kWh dan memberikan jarak 263 km WLTP (361 km untuk kitaran ujian WLTP dalam bandar). Untuk pengecasan, D-Max EV boleh menerima sehingga 50 kW pengecasan DC yang membolehkan 20%-80% dicapai dalam masa sejam, sementara pengecasan AC hingga 11 kW, yang memerlukan 10 jam untuk mengecas 0-100%.

    Isuzu D-Max EV — 190 PS/325 Nm, 263 km jarak WLTP; versi RHD akan mula diproduksi hujung 2025

    Ukuran dimensinya bagaimanapun ada perbezaan berbanding model D-Max generasi ketiga yang menerima facelift pada 2023 — D-Max EV mempunyai ukuran 5,280 mm panjang (15 mm lebih panjang), 1,870 mm lebar (sama) dan 1,810 mm tinggi termasuk landasan di bumbung, dengan jarak roda yang sama 3,125 mm, dan kelebaran jejak depan dan belakangnya ialah 1,570 mm. Berat keringnya 2,350 kg.

    D-Max EV ini didakwa mampu menampung bebanan sebanyak 1,010 kg, dengan kapasiti menunda maksimum 3,500 kg. Untuk kegunaan off-road, sudut mendekat dan lepas di depan dan belakangnya ialah masing-masing 30.5-darjah dan 24.2-darjah, engan jarak kelegaan tanah 210 mm serta ketinggian meredah air sedalam 600 mm. Radius pusingan D-Max EV ialah 6.1 meter.

    Trak elektrik ini menggunakan tataletak suspensi belakang De Dion, menggantikan tetapan leaf spring yang digunakan untuk versi dieselnya. Perubahan ini adalah bagi memberikan pengendalian yang lebih baik. Untuk rim, ia menggunakan saiz 18-inci dengan tayar 265/60R18.

    D-Max EV kini telah mula diproduksi sebagai model pemanduan sebelah kiri untuk pasaran Eropah dengan penghantaran dijangka dilakukan pada suku ketiga tahun ini. Untuk pasaran pemanduan sebelah kanan, ia dijadualkan mula dipasang hujung tahun ini. Jualan di UK dijangka bermula awal tahun depan, dan pasaran lain akan menerima trak pikap EV ini mengikut keperluan pasaran.

     
     
  • Polis, KPDN serbu sindiket minyak enjin tiruan – rampas produk bernilai jutaan ringgit, 13 diberkas

    Polis, KPDN serbu sindiket minyak enjin tiruan – rampas produk bernilai jutaan ringgit, 13 diberkas

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan sindiket yang membotolkan minyak enjin kenderaan palsu yang menyerupai jenama popular telah diserbu di tiga premis perniagaan berasingan di Ara Damansara dan Kepong, Kuala Lumpur, semalam.

    Timbalan Pengarah Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata serbuan menerusi operasi khas bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang bermula 11.30 pagi itu berjaya menahan 13 individu serta merampas minyak enjin bernilai jutaan ringgit, laporan Bernama.

    Katanya, minyak enjin tiruan berkenaan diiklankan di platform e-dagang dan bengkel bagi mengaut keuntungan berganda. Pihaknya bersama KPDN telah menjalankan risikan selama dua bulan sebelum menyerbu premis terbabit. Serbuan diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah (Risikan/Siasatan Khas) WCB/PSK KDNKA Bukit Aman Asisten Komisioner Zulkarnain Samsudin dan Pegawai Penguatkuasa KPDN Putrajaya, Ahlami Idris Abdul Rashid.

    “Dalam serbuan di dua premis di Ara Damansara, pasukan menahan empat individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, dua lelaki warga Bangladesh dan seorang lelaki warga Sri Lanka. Manakala serbuan di Kepong pula menahan seramai sembilan individu membabitkan tiga lelaki tempatan, dua wanita tempatan dan empat lelaki warga Bangladesh,” katanya.

    Polis, KPDN serbu sindiket minyak enjin tiruan – rampas produk bernilai jutaan ringgit, 13 diberkas

    Mohammad Azlin turut berkata, pemeriksaan mendapati tiga premis berkenaan menjalankan aktiviti membotolkan minyak enjin menggunakan label hampir menyerupai jenama terkenal bagi memperdaya pengguna khususnya bengkel kenderaan. Dalam serbuan terbabit, pihaknya merampas minyak enjin, botol kosong, tong berisi cecair dan label jenama palsu dengan anggaran nilai jutaan ringgit.

    “Minyak enjin berkenaan dijual lebih murah daripada harga pasaran antaranya melalui platform media sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram selain diedarkan terus ke bengkel. Siasatan mendapati sindiket terbabit dipercayai beroperasi sejak dua hingga tiga tahun lalu dan menggunakan taktik menyamar sebagai pengeluar sah walaupun tidak mempunyai pengiktirafan rasmi,” katanya.

    Mohammad Azlin berkata, siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti bagaimana bekalan minyak enjin diperoleh termasuk kemungkinan ia adalah minyak enjin yang diguna semula. Tambah beliau, pihak KPDN akan menjalankan analisis terhadap sampel minyak enjin berkenaan di Jabatan Kimia bagi mengesahkan kandungannya.

    Menurut beliau, siasatan dijalankan mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan perihal palsu pada produk serta Akta Imigresen 1959/63 kerana menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah. Dalam masa yang sama, beliau turut berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan saki-baki sindiket dan tidak menolak kemungkinan wujud jaringan lebih besar membabitkan premis lain yang masih aktif.

     
     
  • Chery mahu hasilkan lebih banyak kereta kecil untuk pasaran global dengan harga lebih mampu milik

    Chery mahu hasilkan lebih banyak kereta kecil untuk pasaran global dengan harga lebih mampu milik

    Perasan tak dalam barisan model Chery, jenama automotif dari China itu sangat kurang model-model kecil yang boleh dijual pada harga lebih mampu milik. Perkara ini diakui sendiri oleh Chery bahawa ia kini agak ketinggalan dalam segmen kenderaan dengan bahagian pasaran global yang mencecah sehingga 40% itu.

    “Skala global untuk kereta kecil adalah sangat besar, tapi Chery kekurangan kereta kecil pada hari ini,” kata presiden Chery International Zhang Guibing dalam ucapannya ketika berlangsung Sidang Kemuncak Perniagaan Chery International 2025 di Bandar Wuhu, China hujung minggu lalu.

    Oleh itu, Zhang mengumumkan bahawa Chery dan setiap sub-jenamanya pada pasaran eksport termasuk Chery, Omoda, Jaecoo, dan Lepas akan memperkenalkan bukan satu, tapi masing-masing akan menawarkan tiga model kecil (kecuali Jaecoo) ke dalam pasaran kelak. Model-model tersebut adalah Chery T3, T2 dan T1, Omoda C3, C2 dan C1, Jaecoo J3 serta Lepas L3, L2, dan L1.

    Chery mahu hasilkan lebih banyak kereta kecil untuk pasaran global dengan harga lebih mampu milik

    Sama seperti barisan model-model yang lebih besar yang lain, semua model kecil yang bakal dibina ini akan menggunakan platform dan juga unit rangkaian kuasa yang sama, tetapi dibezakan dengan identiti penggayaan jenama masing-masing bagi memastikan kos pembangunannya kekal rendah, serta dapat menawarkan harga yang kompetitif dalam pasaran kelak.

    Menurut Zhang lagi, platform dan unit rangkaian kuasa yang akan digunakan tersebut dibangunkan khas untuk model-model sedemikian, dan bakal menampilkan pengendalian yang dinamik, seronok untuk dipandu dalam masa yang sama masih menampilkan harga yang kompetitif.

    Dalam pembentangan itu juga Zhang turut memperincikan saiz setiap model berkenaan, di mana model dengan angka ‘3’ menampilkan panjang keseluruhan 4,200 mm, panjang model dengan angka ‘2’ adalah 4,000 mm, dan juga model dengan angka ‘1’ tampil dengan panjang hanya 3,800 mm. Sebagai rujukan, model produksi paling kecil untuk Chery Tiggo sekarang iaitu Tiggo 4/Tiggo Cross (yang bakal masuk ke pasaran Malaysia tidak lama lagi) menampilkan panjang keseluruhan 4,320 mm.

    Chery mahu hasilkan lebih banyak kereta kecil untuk pasaran global dengan harga lebih mampu milik

    Antara model-model yang disebutkan tersebut, Omoda 3 adalah model yang telah didedahkan sehari sebelum Zhang mengumumkan strategi ini. Ia adalah sebuah SUV kompak yang lebih kecil dari Omoda 5 yang telahpun berada di Malaysia, menampilkan rupa yang sangat agresif seakan mengambil inspirasi rekaan dari Lamborghini Urus. Omoda 3 ini diumumkan bakal dilancarkan di beberapa pasaran luar China bermula Oktober tahun ini.

    Buat masa sekarang untuk pasaran Malaysia, model-model dari Chery, Omoda dan Jaecoo dilihat begitu kompetitif dalam pasaran kerana mampu menawarkan harga yang boleh menggugat jenama nasional khususnya Proton. Dengan strategi baharu ini, nampaknya Chery bakal tampil dengan model yang boleh bersaing dengan model tempatan seperti Axia, Myvi dan Ativa. Mungkin Perodua bakal bertemu dengan pesaing yang boleh mengambil sedikit bahagian pasarannya yang begitu besar di Malaysia selepas ini?

     
     
  • Honda P7, S7 dipamer di Shanghai — kereta sama beza penampilan; hingga 476 PS/770 Nm, 650 km CLTC

    Honda P7, S7 dipamer di Shanghai — kereta sama beza penampilan; hingga 476 PS/770 Nm, 650 km CLTC

    Honda P7 dan S7 yang dipamerkan di Shanghai sebenarnya adalah satu model kereta EV yang sama, tetapi ditampilkan secara berbeza. Dalam hal ini, P untuk premium, dan S untuk sport, mungkin.

    Apa yang sama antara keduanya ialah sistem janaan — melibatkan motor tunggal di belakang dengan output 272 PS/420 Nm atau dua motor AWD dengan output 476 PS/770 Nm. Bateri yang ditawarkan pula hanya satu kapasiti, 89.8 kWh NMC daripada CATL, yang memberikan jarak masing-masing sejauh 650 km dan 620 km CLTC, dan boleh dicas hingga 80% dalam masa 36 minit.

    Honda P7, S7 dipamer di Shanghai — kereta sama beza penampilan; hingga 476 PS/770 Nm, 650 km CLTC

    Dua model elektrik ini dibangun menggunakan Architecture W oleh Honda. Ukuran dimensinya adalah 4,750 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,625 mm tinggi dengan jarak roda 2,930 mm (saiz Tesla Model Y), dengan ruang but seluas 471 liter. Ia turut mempunyai keteguhan torsional sebanyak 40,000 Nm/darjah, 11 beg udara, kawalan penyerap hentak berterusan, suspensi depan jenis double-wishbone dan five-link di belakang.

    Jadi, apa yang membezakan keduanya? P7 tampil dengan rekaan lebih konservatif dan merupakan produk GAC-Honda, sementara S7 yang tampil lebih agresif merupakan produk Dongfeng-Honda. Misalnya, P7 diberikan rekaan lampu utama dan lampu belakang bentuk C, manakala S7 datang dengan lampu utama bentuk Y dan lampu belakang menegak. P7 juga menggunakan kamera sebagai cermin sisi (cermin pandang belakangnya juga paparan dari kamera), sementara S7 menggunakan cermin biasa.

    Ruang dalaman P7 menggunakan warna dua-tona, sementara S7 hitam sepenuhnya. Corak di kerusi juga berbeza, tetapi kedua-duanya menerima kluster instrumen digital 9.9-inci, skrin sentuh di tengah 12.8-inci, skrin sentuh kawalan pendingin 10.25-inci, head-up display AR 41.9-inci, 16-pembesar suara Bose dan Honda Sensing.

    Di China, kedua-duanya dijual dengan harga yang sama — RMB199,900 (RM118k) untuk RWD dan RMB249,900 (RM148k) untuk AWD.

    Honda P7 di Auto Shanghai 2025

    Honda S7 di Auto Shanghai 2025

     
     
  • BMW R1300 RT didedah – model sports tourer terima enjin 1,300 cc, kerangka baru, tambahan kelengkapan

    BMW R1300 RT didedah – model sports tourer terima enjin 1,300 cc, kerangka baru, tambahan kelengkapan

    Satu lagi model siri R daripada BMW Motorrad diperkenalkan hari ini, iaitu R1300 RT, yang merupakan sebuah sports tourer menggantikan R1250 RT sebelum ini, dengan membawa peningkatan dibahagian enjin, casis serta aerodinamik.

    Memacu R1300 RT ini adalah enjin boxer 1,300 cc, yang menerima silinder lebih besar serta crankshaft baru, membawa kepada kuasa maksimum 45 hp pada 7,750 rpm dan tork 149 Nm pada 6,500 rpm – naik sembilan hp dan enam Nm berbanding R1250 RT.

    Transmisi enam kelajuan yang digunakan untuk menyampaikan kuasa kepada roda belakang melalui sistem syaf pada motosikal ini datang dengan Automated Shift Assistant (ASA), yang memberikan pilihan kepada penunggang untuk memilih mod tukaran gear automatik atau manual.

    BMW R1300 RT didedah – model sports tourer terima enjin 1,300 cc, kerangka baru, tambahan kelengkapan

    Kerangka baru yang lebih tegap pada R1300 RT ini disambungkan kepada suspensi yang terdiri daripada unit EVO Telelever di hadapan dan EVO Paralever di belakang – juga ditala semula untuk memberikan kawalan yang lebih tepat, stabil dan tegap.

    Satu lagi ciri baru pada R1300 RT adalah Dynamic Chassis Adaption (DCA), yang berkerjasama dengan suspensi elektronik ESA untuk menyediakan dua pilihan kedudukan menunggang dalam pelarasan mod menunggang. Kedudukan pertama memberikan sudut steering head yang lebih rata, untuk lebih stabiliti dan kelancaran, sementara kedudukan kedua memberikan serapan lebih keras serta kadar spring dan kedudukan yang lebih tinggi.

    Dalam keadaan standard, tinggi tempat duduk R1300 RT adalah 780 mm, dengan bukaan tepi dijadikan lebih ramping, namun disediakan dengan beberapa lagi pilihan tempat duduk berbeza tebal dalam katalog. Beg barangan tepi berkapasiti 27 liter setiap satu diberikan secara terus, sementara saiz yang lebih besar dan kotak belakang dijual secara berasingan.

    Tiga mod tunggangan disediakan secara standard pada R1300 RT ini iaitu Road, Rain dan Eco, sementara dua lagi mod boleh laras dalam Riding Modes Pro disediakan sebagai pilihan tambahan. Turut diberikan secara standard adalah engine drag torque control (MSR).

    Panel meter menggunakan unit TFT 10.25 inci, yang datang dengan peta navigasi bersepadu, manakala sistem hiburan Audio System dan Audio Pro disediakan sebagai pilihan tambahan. Rim 17 inci baru pada motosikal ini adalah 1.4 kg lebih ringan berbanding sebelum ini, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 24 liter. Berat keseluruhannya adalah 281 kg.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025