Hampir satu tahun selepas ADV 150 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, kini tiba pula model generasi baru yang akan menggantikannya, iaitu ADV 160 dengan harga RM12,999 tidak termasuk insurans. Dua warna ditawarkan untuk skuter bergaya adventure ini, iaitu Mat Charcoal Gray Metallic dan Vivacity Red.

Seperti yang boleh diketahui melalui namanya, naik taraf utama pada ADV 160 ini adalah pada bahagian enjin, di mana sekarang ia menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+ yang dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa ini adalah sama seperti Vario 160 dan Air Blade 160 yang menggunakan enjin sama.

Walaupun nampak seakan sama, semua panel badan serta casis skuter ini sebenarnya adalah baru, termasuklah panel yang memegang lampu hadapan, tepi, bawah, pelindung ekzos, penghadang angin (lebih tinggi) dan penghadang lumpur hadapan. Dengan badan yang sudah ditukar ini, ruang simpanan di bawah tempat duduk juga bertambah besar menjadi 30 liter. Lampu hadapan dan belakang LED bagaimanapun masih lagi sama seperti ADV 150.

Bahagian meter juga telah diperbaharui dengan unit LCD yang rata tanpa sebarang butang, dan di sekelilingnya tidak mempunyai pelindung plastik seperti pada ADV 150. Semua informasi dipaparkan pada skrin ini, termasuklah lampu amaran yang sebelum ini diasingkan pada ADV 150, dan di bawahnya terdapat tiga butang kawalan.

Model yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia ini, selain dilengkapi brek ABS single-channel, juga diberikan sekali dengan sistem kawalan cengkaman HSTC. Demi memberikan sedikit kepuasan kepada pengguna, sistem kawalan cengkaman ini boleh ditutup dengan menekan butang yang disediakan.

Kelengkapan lain skuter ini masih lagi sama seperti ADV 150 yang diperkenalkan kali pertama pada tahun 2019, termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak Showa di belakang dengan tabung gas, rim 14 inci di hadapan dengan tayar 110/80, rim 13 inci di belakang dengan tayar 130/70, sistem kunci pintar serta sistem start/stop enjin.