Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Leapmotor B10 EV di Shanghai — SUV 5-tempat duduk segmen C dengan 215 hp akan ke Malaysia

    Leapmotor B10 EV di Shanghai — SUV 5-tempat duduk segmen C dengan 215 hp akan ke Malaysia

    Leapmotor B10 ini pertama kali ditunjukkan kepada umum ketika Paris Motor Show tahun lalu. Mula dijual di China bulan lalu, SUV elektrik ini kini dipamerkan pula di Auto Shanghai 2025. Diposisikan di bawah model C10, B10 akan memasuki pasaran Eropah dalam masa terdekat, dan kemudiannya ke Malaysia juga.

    Dengan ukuran 4,515 mm panjang, 1,855 mm lebar dan 1,655 mm tinggi, dengan jarak roda 2,735 mm, model segmen C ini mengikut alur rekaan model Leapmotor siri C lainnya, seperti wajah depan tertutup, dengan lampu depan jalur bersambung. Di belakang, tema sama diteruskan, dengan rekaan jalur lampu melintang menghubungkannya.

    Di China, B10 dijual dalam lima varian. Paling asas menggunakan motor elektrik belakang dengan janaan 177 hp (179 PS, atau 132 kW) dan 175 Nm tork. Bateri lithium iron phosphate (LFP) 56.2 kWh memberikan jarak 510 km CLTC dengan satu cas, atau bersamaan 420 km WLTP. 0-100 km/j pula dalam masa 9.3 saat.

    Leapmotor B10 EV di Shanghai — SUV 5-tempat duduk segmen C dengan 215 hp akan ke Malaysia

    Varian lain pula menerima motor elektrik lebih berkuasa dengan janaan 215 hp (218 PS, atau 160 kW) dan 240 Nm dengan bateri 56.2 kWh yang sama memberikan jarak 510 km CLTC, sementara kapasiti bateri LFP 67.1 kWh memberikan 600 km jarak CLTC (atau sekitar 490 km WLTP). 0-100 km/j bagi kedua-duanya adalah 6.8 saat.

    Untuk pengecasan, 4.2 jam diperlukan untuk mengecas bateri kapasiti lebih kecil itu untuk SoC 30%-80%, atau 5.6 jam untuk kapasiti bateri lebih besar menerusi pengecasan AC kadar penuh 11 kW. Dengan senibina elektrikal 800V, B10 menyokong pengecasan pantas yang membolehkah 30%-80% SoC dicapai dalam 19 minit untuk unit 56.2 kWh, atau 20 minit 67.1 kWh.

    Seperti juga EV B01 sedan yang membuat penampilan sulung di Auto Shanghai hari ini, B10 menggunakan platform LEAP 3.5. Casis B10 dibangunkan bersama dengan Stellantis untuk mengutamakan keselesaan dan pengendalian yang bagus. Antara yang dilakukan ialah sudut stereng yang optimum dan sistem brek bersepadu yang lancar dan cekap tenaga.

    Ia juga menampilkan teknologi cell-to-chassis yang sama seperti C10, yang menampilkan rekaan khusus dengan bateri di bahagian lantai. Selain ruang kabin yang luas dan binaan lebih kukuh, ia juga memperbaiki kecekapan pengecasan pantas yang lebih mudah dicapai.

    Di dalam, kokpitnya menempatkan antara lain kluster instrumen digital 8.8-inci dan paparan skrin sentuh infotainmen 14.6-inci 2.5K definisi tinggi, dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon SA8155 dan sistem operasi Leapmotor OS 4.0 Plus. Ia juga menerima Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kelengkapan lain yang ada termasuklah sistem bunyi Leapmotr dengan 12-pembesar suara, bumbung kaca panoramik, kawalan pendingin zon tunggal, lampu ambient 256-warna, pengecas tanpa wayar, pintu karga kuasa elektrik dan balutan kemasan kulit buatan Oeko-Tex untuk varian lebih tinggi. Ruang but ialah 420 liter, dan dengan merebahkan tempat duduk akan memberikan kapasiti 1,415 liter.

    Varian lebih tinggi menampilkan sistem ADAS lengkap dengan 26 fungsi, dengan cip Qualcomm SA8650 yang dibantu oleh barisan kamera, radar ultrasonic, radar gelombang milimeter dan sensor lidar di bumbung. Semua versi menerima parkir automatik sebagai standard.

    Di China, harga pelancarannya ialah antara 109,800 hingga 139,800 yuan (sekitar RM66,100 hingga RM84,200). Model ini sudah disebut-sebut akan sampai ke Malaysia untuk CKD.

     
     
  • GWM Ora 07 Touring wagon muncul di Shanghai

    GWM Ora 07 Touring wagon muncul di Shanghai

    Bentuk wagon sekarang seperti menjadi trend di China, dengan Zeekr 007 dan Neta S sudah mempunyai versi bumbung panjangnya, dan sekarang ia disertai pula oleh GWM Ora 07 Touring, yang membuat kemunculan pertama di Shanghai Motor Show 2025.

    Model ini tidak kelihatan begitu panjang berbanding Ora 07 biasa, tetapi sekarang tiada lagi bumbung yang menjunam terus ke bawah, dan diganti dengan bumbung yang lebih rata serta pintu but belakang yang mempunyai spoiler. Kelihatan pada cermin hadapannya terdapat sensor lidar baru, sementara rim masih menggunakan unit 19 inci “cakar kucing” berwarna hitam.

    Kereta yang dipamerkan ini masih dikunci, tetapi apabila melihat ke dalam, terdapat panel instrumen baru bersama skrin sesentuh infotainmen yang lebih besar dan konsol tengah “terapung” yang menghapuskan butang kawalan pendingin hawa untuk diganti dengan pad pengecas tanpa wayar serta peletak cawan.

    Perincian rasmi untuk kereta ini masih belum didedahkan, tetapi kita boleh menjangkakan ruang barangan serta ruang kepala untuk penumpang belakang yang lebih luas, dan ciri mekanikal sama seperti 07 biasa. Ini bermakna, ia mungkin digerakkan oleh motor tunggal dengan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 340 Nm, atau dua motor dengan kuasa 408 PS (300 kW) dan tork 680 Nm.

    Bateri standard adalah unit lithium iron phosphate (LFP) 64 kWh yang mampu memberikan jarak gerak 440 km pada model FWD, sementara bateri nickel manganese cobalt (NMC) 83.5 kWh menambahkan lagi jarak gerak kepada 640 km (NEDC) bagi model FWD dan 483 km (WLTP) pada model AWD.

     
     
  • Zeekr 9X buat penampilan pertama di Shanghai — SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, 898 PS

    Zeekr 9X buat penampilan pertama di Shanghai — SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, 898 PS

    Semalam gambar tersebar, dan hari ini Zeekr 9X membuat penampilan pertama di Shanghai Motor Show 2025. Ia adalah sebuah SUV tiga baris tempat duduk yang diletakkan oleh Zeekr sebagai model “ultra mewah”, dan mencatat ukuran panjang 5,239 mm, lebar 2,029 mm, tinggi 1,819 mm dan jarak roda 3,169 mm.

    Buat masa ini bahagian dalamnya masih belum dapat dilihat, tetapi untuk penumpang belakang, Zeekr memberitahu, 9X ini mempunyai pintu belakang paling besar bagi SUV tenaga baru (mempunyai kuasa elektrik) di China. Pintu belakang ini boleh dibuka sehingga 80 darjah dan turut membantu penumpang di baris ketiga.

    Khabar angin sebelum ini juga adalah betul. SUV 9X adalah model hibrid pertama daripada Zeekr yang berjaya mencatat jarak gerak elektrik 380 km mengikut standard ujian CLTC, dan Zeekr mendakwa, jarak EV ini adalah yang paling jauh pernah dicapai bagi mana-mana kenderaan hibrid.

    Zeekr 9X buat penampilan pertama di Shanghai — SUV hibrid mewah tiga baris tempat duduk, 898 PS

    Kuasa elektrik pada Zeekr 9X ini disimpan dalam bateri CATL Xiaoyao, yang menjadi sebahagian daripada binaan elektrikal 900 volt yang digabungkan bersama enjin pembakaran dalaman petrol 2.0 liter turbo yang secara sendiri boleh menghasilkan kuasa 205 kW (279 PS).

    Digabungkan bersama pacuan elektrik daripada motor 290 kW (395 PS) di hadapan dan motor 370 kW (503 PS) di belakang untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 898 PS, 9X ia mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa tiga saat dan mencapai kelajuan maksimum 240 km/j. Enjin petrol 2.0 liter turbo itu dipadankan bersama transmisi automatik tiga kelajuan untuk memacu keempat-empat tayar bersama tetapan motor elektrik berkembar.

    Zeekr mendakwa, 9X ini adalah SUV hibrid yang paling pantas dicas, dengan kadar pengecasan 6C (kadar kW enam kali ganda daripada kapasiti baterinya), membolehkan tahap 20-80% dicapai dalam masa cuma sembilan minit. Kapasiti bateri sebenar masih belum disahkan.

    Datang dengan rim aloi 22 inci, 9X juga diberitahu mendapat sistem suspensi udara yang boleh manikkan kenderaan sehingga 110 mm dan mendapat kelegaan dari tanah maksimum 288 mm. Keupayaannya kemudian ditambah lagi dengan sistem active roll stabilisation elektrik 48 volt, yang dikatakan oleh Zeekr sebagai yang pertama bagi SUV jenama China.

    Untuk sistem bantuan pemanduan, Zeekr 9X juga menjadi model pertama yang menggunakan sistem pemanduan autonomous G-Pilot H9, yang dikatakan oleh Zeekr mencapai kemampuan pemanduan Level 3. Ia dikuasakan oleh dua cip Thor untuk menghasilkan kuasa pengkomputeran 1,400 TOPS dan mempunyai lima sensor lidar.

    Zeekr 9X akan mula dijual di pasaran China suku ketiga tahun ini, dan untuk negara kita, buat masa ini Zeekr Malaysia masih belum dapat memberi sebarang pengesahan sama ada 9X ini akan masuk atau tidak. Jika masuk, spesifikasinya mungkin boleh jadi berbeza.

     
     
  • GWM Tank 300 facelift tampil di Shanghai dengan kemaskini — model 2.0T, diesel, PHEV, dari RM120k

    GWM Tank 300 <em>facelift</em> tampil di Shanghai dengan kemaskini — model 2.0T, diesel, PHEV, dari RM120k

    Di Auto Shanghai 2025, GWM turut mempamerkan beberapa model dengan penampilan versi terkini. Antaranya ialah Tank 300 facelift ini. Dilancarkan di Malaysia tahun lalu, 4×4 body-on-frame ini menerima sedikit kemaskini luaran, dengan kemaskini dalaman yang penting.

    Satu-satunya kelainan di bahagian luar ialah untuk bahagian bampar depannya: pertama kali dilihat untuk model Hi4-T plug-in hybrid tahun lalu, kini hadir dengan bukaan udara hiasan di bucunya dengan kedudukan lampu kabus yang lebih jauh ke luar. Turut diberikan ialah pilihan warna badan Dune Beige.

    Di dalam, konsol tengan hadir dengan rekaan baru dengan skrin sentuh infotaimen 14.6-inci yang menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 8155 dan perisian Coffee OS 3. Corong udara di tengah pula lebih tirus, dan tiada lagi jam analog ala Mercedes-Benz.

    GWM Tank 300 <em>facelift</em> tampil di Shanghai dengan kemaskini — model 2.0T, diesel, PHEV, dari RM120k

    Sementara itu, terowong transmisinya menempatkan dua pengecas tanpa wayar Qi 50-watt, serta suis baru untuk pemilih janaan kuasa, mod pemanduan dan mod off-road. Tombol gear yang besar juga tiada lagi, dan digantikan dengan tuil pada kolum di belakang sterengnya. Sistem bunyi pula kini 960-watt dengan 12-pembesar suara, menggantikan tetapan dengan sembilan-pembesar suara sebelum ini.

    Aspek mekanikal masih kekal sama, dengan pilihan enjin 2.0 liter turbocas petrol empat-silinder yang menghasilkan 220 PS/380 Nm, dan juga 2.4 liter turbodiesel dengan 184 PS/480 Nm — kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda separuh masa.

    Model Hi4-T menggabungkan versi enjin 2.0 liter turbo petrol dengan 245 PS dengan sebuah motor elektrik dengan janaan 163 PS/400 Nm untuk output keseluruhan sistem 408 PS dan 700 Nm, membolehkan Tank 300 memecut 0-100 km/j dalam masa 6.7 saat. Sebuah bateri 37.1 kWh membolehkan pacuan elektrik sejauh 105 km dalam kitaran WLTP.

    Harga di China bermula dari 199,800 yuan (RM120,500) untuk model petrol, hingga 234,800 yuan (RM141,600) untuk model diesel dan 249,800 yuan (RM150,600) untuk model Hi4-T.

     
     
  • MG Cyber X buat penampilan sulung di Shanghai — SUV rekaan kotak, stylo dengan lampu pop-up!

    MG Cyber X buat penampilan sulung di Shanghai — SUV rekaan kotak, stylo dengan lampu pop-up!

    Auto Shanghai 2025 mula dibuka hari ini, dan terdapat banyak kenderaan yang akan membuat penampilan global pertama mereka. Satu daripadanya ialah MG Cyber X, yang tampil berlainan daripada kebanyakan model jenama China yang dipamerkan.

    Walaupun tampil dengan rekaan kotak untuk sebuah SUV, ia tidak meminjam rekaan 4×4 yang terkenal sebelum ini. Ia dilengkapi dengan ciri yang belum pernah ada untuk sebuah SUV setakat ini, iaitu lampu utama pop-up. Betul, bahagian atas lampu yang dilihat ini tersembunyi jika tidak dipasang, dan akan muncul jika diperlukan.

    Lain-lain perincian yang dapat dilihat ialah ia lengkap dengan lampu LED khas dengan lebar penuh di depan dan belakang, serta logo dengan pencahayaan. Bahagian bonet juga berlapis. Ada juga bahagian yang kelihatan berkilau kelihatan, seperti untuk perumah cermin sisi dan rim dua-tona. Selebihnya, ia tampil kemas dan ringkas, sangat menawan untuk sebuah SUV.

    Namun, belum ada sebarang perincian yang didedahkan. Tetapi menurut Autocar, Cyber X akan menggunakan platform elektrik terkini E3 yang dihasilkan syarikat induknya, SAIC. Senireka elektrik sepenuhnya yang pertama ini menerapkan binaan cell-to-body, yang mana baterinya menyumbang kepada keutuhan badan, dan mengurangkan berat keseluruhan.

    Ini mungkin akan dijadikan SUV flagship untuk jenama MG — yang juga menggunakan nama “Cyber”, sama seperti kereta sport MG Cyberster yang ada ketika ini. Kami akan kemaskini perincian SUV ini kelak ketika maklumatnya sudah diperoleh. Sementara itu, ikuti perkembangan berikutnya bersama kami.

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 25 hingga 26 April di semua kaunter saman trafik Selangor

    Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 25 hingga 26 April di semua kaunter saman trafik Selangor

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sebanyak 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan pada 25 hingga 26 April 2025 (JUmaat & Sabtu). Ia adalah sempeba dengan Hari Bertemu Pelanggan Peringkat Kontijen Selangor 2025.

    Menurut JSPT Selangor, pemberian diskaun saman trafik terpilih itu ditawarkan di seluruh kaunter saman trafik dalam negeri Selangor, dari jam 8.30 pagi hingga 4 petang, pada kedua-dua tarikh berkenaan.

    Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman tersebut tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman emalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan kenderaan berat, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Op Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di negeri Selangor, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Laluan dari Plaza Tol Shah Alam di ELITE ke TTDI Jaya, Shah Alam dilanda banjir – rancang perjalanan

    Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan bahawa kini berlaku banjir kilat di laluan dari Plaza Tol Shah Alam di Lebuhraya ELITE menghala ke ke TTDI Jaya dan Shah Alam. Ia membuatkan laluan berkenaan terhalang dan mendorong pihak konsesi lebuhraya untuk melaksanakan lencongan trafik ke Persimpangan Bukit Jelutong Sentral.

    Dalam masa yang sama, hanya lorong kiri di laluan dari Bukit Jelutong ke Plaza Tol Shah Alam (ELITE) yang boleh dilalui oleh kenderaan.

    “Trafik sesak di kedua-dua arah di lokasi. Rancang perjalanan anda dan patuhi arahan petugas di lokasi. Segala kesulitan yang dialami amat dikesali,” kata LLM menerusi pengumumannya di Facebook rasminya.

    Untuk pemilik kenderaan, anda disarankan mengambil perlindungan special perils atau bencana alam — memang akan ada kos tambahan, tetapi sangat membantu jika kenderaan anda rosak akibat banjir.

    Elak dari meredah air banjir yang kita tidak tahu kedalamannya dan dibimbangi kenderaan akan hanyut dibawa arus yang pastinya mendatangkan risiko buat anda. Jika kediaman atau kawasan anda dinaiki air, bertindak pantas mengalihkan kenderaan anda ke kawasan yang lebih selamat. Dan segeralah berpindah ke lokasi yang selamat sebelum keadaan kian meruncing.

     
     
  • Jualan kenderaan Mac 2025 Malaysia naik 12% – MAA

    Jualan kenderaan Mac 2025 Malaysia naik 12% – MAA

    Data jualan kenderaan terbaru yang dikeluarkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk bulan Mac 2025 menyaksikan 72,704 buah kenderaan berjaya diserahkan kepada pelanggan. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12% berbanding jumlah 65,061 yang dicatat pada bulan sebelumnya.

    Menurut MAA, peningkatan ini berlaku kerana sambutan perayaan Hari Raya serta promo menarik yang ditawarkan oleh syarikat kenderaan. Jika dibandingkan dengan tempoh sama tahun lepas, jumlah ini adalah 2% lebih tinggi berbanding pada Mac 2024.

    Walaubagaimanapun, jumlah jualan keseluruhan untuk tahun 2025 masih lagi lebih rendah berbanding tahun 2024 (kurang 7%). MAA menjangkakan, jualan pada bulan April 2025 akan menjadi lebih rendah berbanding Februari 2025 kerana cuti Hari Raya yang panjang antara 31 April ke 6 April.

     
     
  • LG tarik diri dari projek bateri RM37bil di Indonesia

    LG tarik diri dari projek bateri RM37bil di Indonesia

    LG Energy Solution (LGES) telah menarik diri daripada perjanjian bernilai 142 trilion Rupiah (RM36.9 bilion) yang ditandatangi bersama kerajaan Indonesia pada 2020 — dikenali sebagai Indonesia Grand Package — untuk membangunkan kilang bateri EV di negara itu, lapor Reuters.

    “Mengambil kira beberapa faktor, termasuk keadaan pasaran dan persekitaran pelaburan, kami bersetuju untuk menarik diri secara rasmi daripada projek Indonesia GP. Bagaimanapun, kami bersedia untuk meneroka beberapa cabang kerjasama lain dengan kerajaan Indonesia, dengan tumpuan terhadap usaha sama bateri di Indonesia, HLI Green Power,” jelas LGES dalam satu kenyataan.

    HLI Green Power, sebuah kerjasama LGES-Hyundai Motor Group, telah mula membina kilang pengeluaran sel bateri pertama Indonesia dengan kapasiti tahunan 10-gigawatt-jam, dengan perancangan untuk memperluas kapasiti berkenaan dalam pelaburan fasa kedua.

    LG tarik diri dari projek bateri RM37bil di Indonesia

    “Walaupun LG telah menarik diri, Indonesia kekal yakin yang nickel kami lebih berdaya saing berbanding negara lain,” jelas pegawai Kementerian Tenaga, Tri Winarno dengan menambah bahawa negaranya akan terus mencari rakan negara asing untuk membangunkan industri baterinya.

    Indonesia Battery Corporation dan pelombong Aneka Tambang antara syarikat yang dikawal oleh negara yang berhasrat untuk menjadi rakan niaga LGES; sebelum LGES akhirnya mewujudkan usaha sama dengan CBL, sebuah anak syarikat CATL.

    Berita tentang Hyundai dan LG ingin mengeluarkan bateri EV di Indonesia pertama kali muncul pada 2020, dengan kerja sama itu diumumkan pada Julai 2021 sebelum kerja-kerja pembinaan kilang bermula pada September. Pada 2022, kedua-dua syarikat Korea itu telah mendapatkan pembiayaan US$710 million (RM3.1 bilion) untuk kilang tersebut.

     
     
  • Firefly EV versi pemanduan kanan akan siap Oktober ini – masuk pasaran Singapura, Malaysia seterusnya?

    Firefly EV versi pemanduan kanan akan siap Oktober ini – masuk pasaran Singapura, Malaysia seterusnya?

    Nio mengumumkan, EV Firefly versi pemanduan sebelah kanan akan siap pada bulan Oktober ini dan ia kemudiannya akan dipasarkan bermula di United Kingdom serta Asia Tenggara, manakala pengedar rasmi di Singapura akan disahkan minggu ini, seperti yang dilaporkan oleh CnEVPost.

    Presiden dan pengasas bersama Nio, Qin Lihong berkata semasa sidang akhbar di Shanghai hari ini, Firefly akan memilih masa antara Jun ke Ogos untuk pelancaran di Eropah, dan akan berada di sekitar 20 pasaran luar menjelang akhir tahun. Pesaing kepada model EV MINI dan smart ini baru sahaja dilancarkan di China awal bulan ini dalam dua varian, pada harga masing-masing RMB119,800 (RM72k) dan RMB125,800 (RM75k).

    Harga itu adalah termasuk sekali dengan bateri, tetapi tidak lama lagi pembeli boleh membeli kenderaan dan menyewa sahaja bateri melalui program battery-as-a-service (BaaS), dan sepatutnya dapat mengurangkan harga sehingga berpuluh ribu yuan – lapor CnEVPost.

    Antara ciri Firefly EV ini antaranya adalah bateri yang boleh dibawa keluar (kerjasama dengan CATL), radius pusingan 4.7 meter, ruang simpanan di hadapan 92 liter, ruang simpanan belakang 1,250 liter, penarafan C-NCAP lima bintang, badan besi berkekuatan tinggi 83.4%, sembilan beg udara dan ADAS.

    Rekaan unik hatchback ini adalah hasil daripada Kris Tomasson, yang sebelum ini pernah bekerja di BMW dan Ford, dengan bahagian dalamnya menggunakan konsep minimalis. Daripada aspek saiz, Firefly ini kecil sedikit berbanding BYD Dolphin, tetapi lebih besar berbanding BYD Seagull/Dolphin Surf.

     
     
  • CATL lancar Naxtra — jenama baru bateri sodium-ion

    CATL lancar Naxtra — jenama baru bateri sodium-ion

    Contemporary Amperex Technology Co Ltd (CATL) telah melancarkan sebuah jenama baru bagi bateri sodium-ion keluarannya — Naxtra — serta bateri kenderaan elektrik pengecasan pantas generasi kedua, lapor Reuters. Bateri Naxtra yang pertama akan mula di keluarkan secara massa pada Disember ini. Unit Sodium-ion berkenaan akan mempunyai kepadatan tenaga sebanyak 175 kWh per kg, hampir bersamaan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP).

    Presiden Bersama CATL R&D, Ouyang Chuying menyatakan, bateri sodium-ion mempunyai kelebihan dari sudut kos berbanding bateri lithium-ion ketika teknologi berkenaan serta rantaian bekalannya berkembang. Sementara Pengasasnya, Robin Zeng pula menjelaskan bateri sodium-ion berpotensi untuk menggantikan hingga separuh penggunaan bateri LFP dalam pasaran yang kini didominasi oleh CATL.

    CATL lancar Naxtra — jenama baru bateri sodium-ion

    Pakar memaklumkan yang sodium lebih mudah dan banyak tersedia, tidak seperti material lain untuk bateri, dan kimianya berpotensi mengurangkan kebakaran EV. CATL melancarkan bateri sodium-ion pertamanya ada 2021, sekaligus menjadi pengeluar bateri automotif utama yang pertama berbuat demikian. Versi generasi keduanya dilancarkan tahun lalu.

    Selain Naxtra, CATL juga melancarkan bateri pengecasan pantas Shenxing generasi kedua — 520 km dengan hanya lima minit pengecasan, 0%-80% SoC dalam 15 minit dan cuaca dingin — yang akan membekalkan kuasa kepada 67 model baru EV tahun ini. Ketika ini, 18.32 juta kenderaan telah dilengkapi oleh bateri CATL dan digunakan di 66 negara.

     
     
  • KDN cadang guna MyDigital ID untuk bayar saman

    KDN cadang guna MyDigital ID untuk bayar saman

    Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mencadangkan penggunaan MyDigital ID untuk pembayaran saman trafik. Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan Berita Harian yang walaupun penggunaan aplikasi tersebut tidak diwajibkan, ia adalah sebahagian daripada polisi kerajaan.

    “Perkara ini masih dalam peringkat cadangan dan belum diluluskan di parlimen. Kami ingin menggalakkan pengguna untuk menggunakan aplikasi ini bagi tujuan mengesahkan identiti mereka dalam setiap transaksi,” ujarnya.

    Kerajaan telah bersetuju untuk meminda Akta Pendaftaran Kebangsaan 1959 untuk membolehkan penggunaan MyDigital ID dan memastikan peningkataan penggunaan aplikasi berkenaan pada masa depan. Semua transaksi akan datang yang melibatkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) akan mengutamakan mereka yang berdaftar dengan MyDigital ID ini.

    “Jika sebelum ini JSPT menawarkan diskaun saman 50%, kami boleh memberikan kelebihan yang sama atau lebih kepada mereka yang menggunakan aplikasi berkenaan, misalnya 55%. Sangat mudah untuk mendaftar MyDigital ID, hanya gunakan telefon mudah alih anda dan prosesnya hanya sekejap,” jelas Saifuddin.

     
     
  • Lebih 35k kemalangan berlaku di LPT 1 sejak 2004

    Lebih 35k kemalangan berlaku di LPT 1 sejak 2004

    Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) telah merekodkan sebanyak 35,551 kemalangan sejak pembukaannya pada 2004 hingga Disember 2024, termasuk 730 kematian, lapor Bernama.

    “Tiada lokasi di LPT1 yang dikategorikan sebagai kawasan panas kemalangan, tetapi ada beberapa kawasan di mana kemalangan kerap berlaku,” jelas Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Razali Kassim dalam satu maklum balas kepada ADUN Datuk Wong Tat Chee yang bertanya tentang kadar kemalangan dan kematian di lebuh raya serta kawasan lain.

    “Langkah pembaikan telah dilakukan untuk mengurangkan risiko kemalangan di kawasan tersebut, termasuk di KM238.7 dan KM87 arah barat,” tambahnya, dan memaklumkan bahawa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menjalankan analisa tahunan bagi mengesan lokasi yang kerap berlaku kemalangan melalui Sistem Analisa dan Pangkalan Data Kemalangan Lebuh Raya dan Jalan Malaysia (MHROADS).

    “Keberkesanan langkah pencegahan akan dipantau bagi memastikan kadar kemalangan boleh dikurangkan,” ujarnya, dengan menambah bahawa AFA Prime Berhad, syarikat yang bertanggungjawab ke atas operasi dan penyelenggaraan LPT1, akan terus menjalankan audit keselamatan jalan raya, kempen keselamatan dan sesi nasihat bersama pengguna.

     
     
  • SYM Naga 150 akan tiba di Malaysia tahun ini – asas sama dengan Husky 150, harga dijangka sekitar RM9k

    SYM Naga 150 akan tiba di Malaysia tahun ini – asas sama dengan Husky 150, harga dijangka sekitar RM9k

    Tahun ini, selain ADXTG 400, satu lagi model daripada SYM yang akan tiba di Malaysia adalah Naga 150. Pada masa ini, skuter ini dikenali dengan nama kod MMBCU di Taiwan, tetapi untuk beberapa negara termasuk Malaysia, ia akan dipanggil sebagai Naga 150.

    Asas untuk Naga 150 ini sebenarnya adalah sama seperti Husky 150, termasuk enjin, iaitu unit satu silinder 149.6 cc dengan sistem suntikan bahan api elektronik dan penyejukan cecair, mampu menghasilkan 14.2 hp pada 8,000 rpm dan 13 Nm tork pada 7,500 rpm dihantar kepada roda belakang melalui transmisi CVT dan sistem tali sawat.

    Sementara Husky 150 tampil dengan gaya adventure, Naga 150 pula membawa rupa sport/urban, dengan muka hadapan yang agresif. Ia terletak di atas jalan melalui rim bersaiz 13 inci di hadapan dan belakang, dibalut tayar masing-masing 120/70 dan 130/70, kemudiannya dipegang oleh fork teleskopik dan monoshock di belakang.

    Selain ABS dual-channel, skuter ini juga didatangkan secara standard dengan kawalan cengkaman untuk bahagian keselamatan. Kedua-dua brek hadapan dan belakang Naga 150 adalah unit cakera dan di bawah tempat duduknya masih terdapat ruang barangan yang luas.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk semua lampu jenis LED, panel meter LCD, soket pengecas USB, cangkuk dan poket barangan kecil serta tangki bahan api 7.3 liter. Buat masa ini jangkaan harga yang dikeluarkan untuk Naga 150 adalah sekitar RM9k apabila dipasarkan di Malaysia nanti.

     
     
  • Cycle & Carriage buka pusat 3S di George Town, P. Pinang — wakili jenama Leapmotor dan Peugeot

    Cycle & Carriage buka pusat 3S di George Town, P. Pinang — wakili jenama Leapmotor dan Peugeot

    Cycle & Carriage telah melancarkan pengedar 3S terbarunya di George Town, Pulau Pinang yang akan mewakili kedua-dua jenama Leapmotor dan Peugeot, jenama di bawah portfolio Stellantis.

    Terletak di kawasan warisan UNESCO, bilik pameran bagi dua jenama berkenaan menempati kawasan seluas 7,260 kaki persegi dan boleh menampung hingga 11 kenderaan dalam satu masa, dan mempunyai ruang khusus lain untuk serahan kenderaan kepada pelanggan.

    Sementara itu, pusat lepas jualan dengan kelengkapan penuhnya pula meliputi kawasan seluas 8,704 kaki persegi dan menampilkan lima ruang servis dengan pengangkat kenderaan, bilik alat ganti serta kawasan perkakasan. Keseluruhannya, Cycle & Carriage Georgetown mengisi ruang berkeluasan 15,964 kaki persegi. Ciri lain premis berkenaan termasuklah konfigurator kereta 3D serta ruang menunggu yang lengkap dengan hidangan ringan dan ruang santai.

    “Kami berbesar hati dapat memberikan pengalaman pelanggan yang selesa. Cawangan Cycle & Carriage George Town mencerminkan visi kami dalam mengadun warisan dengan kecemerlangan automotif, memberikan lebih banyak pilihan kepada pelanggan,” ujar CEO Cycle & Carriage, Thomas Tok.

    “Dengan mewakili jenama daripada Stellantis seperti Peugeot dan Leapmotor, kami ingin memperluas kehadiran kami dan menyediakan perkhidmatan terbaik yang dapat memperkaya pelangalaman pemilkan pelanggan di Pulau Pinang,” tambahnya.

    Cycle & Carriage George Town terletak di 24, Jalan Sultan Ahmad Shah, 10050 George Town, Pulau Pinang. Bilik pameran tersebut dibuka dari Isnin hingga Sabtu dari 8.30 pagi hingga 7 malam, dan dari 11 pagi hingga 5 petang pada Ahad. Bagi pusat servis, ia dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang Isnin-Jumaat, dan dari 8 pagi hingga 12 tenghari pada Sabtu, dan tutup pada Ahad.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025