Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - facelift ke all-new?



Artikel Terkini

  • Kerajaan tambah 10,000 lagi slot MyLesen B2 tahun ini – MoT tanggung kos RM350 untuk setiap individu

    Kerajaan tambah 10,000 lagi slot MyLesen B2 tahun ini – MoT tanggung kos RM350 untuk setiap individu

    Kementerian Pengangkutan (MoT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah 10,000 slot baharu untuk program MyLesen B2, yang menawarkan lesen motosikal B2 secara percuma. Kos bagi setiap lesen ialah RM350, dan kerajaan telah memperuntukkan tambahan kos sebanyak RM3.5 juta untuk program tersebut pada tahun ini.

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata seramai 14,581 peserta atau 97% daripada kuota asal sebanyak 15,000 telah digunakan oleh golongan belia dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2025. “Kita akan tambah 10,000 lagi kuota bermula pertengahan tahun ini di seluruh negara. Kos bagi setiap lesen adalah RM350 dan ditanggung sepenuhnya oleh kementerian,” katanya di Seremban semalam, seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Loke, yang juga Ahli Parlimen Seremban, menambah program MyLesen B2 adalah komitmen kerajaan untuk membantu golongan B40 meningkatkan taraf sosioekonomi dan pendapatan isi rumah mereka melalui peluang pekerjaan, terutamanya dalam ekonomi gig. Ia juga merupakan usaha untuk melahirkan penunggang motosikal yang berkemahiran dan selamat di jalan raya.

    Menteri MoT itu turut menggesa pihak sekolah membantu mengenal pasti pelajar yang menunggang motosikal tanpa lesen, dan menggalakkan mereka untuk menyertai program ini. Beliau juga berharap agar golongan belia yang memperoleh lesen melalui program MyLesen B2 dapat menjadi duta keselamatan jalan raya, menyebarkan mesej kepatuhan kepada peraturan serta menjadi penunggang motosikal yang berhemah dan bertanggungjawab.

     
     
  • Chery Malaysia kini mempunyai 58 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak

    Chery Malaysia kini mempunyai 58 cawangan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak

    Dalam majlis pelancaran Chery Tiggo Cross kelmarin, Chery Malaysia mendedahkan kini pihaknya telah mempunyai 58 cawangan (bilik pameran, pusat servis dan pusat body and paint) di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.

    “Daripada hanya beberapa cawangan ketika kami memulakan operasi pada Julai 2023, kini kami dengan bangganya mengendalikan 58 cawangan di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak. Sejak berada di sini, kami telah memperkenalkan empat model menarik untuk pasaran Malaysia dan saya dengan yakin boleh katakan bahawa banyak lagi (model baharu) akan datang pada separuh kedua tahun ini,” kata Michael Chew, Naib Presiden Chery Malaysia.

    Kemunculan semula jenama China itu ke Malaysia diterajui oleh dua SUV yang dilancarkan pada Julai 2023, iaitu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro. Omoda 5 kemudiannya menerima varian elektrik sepenuhnya yang dinamakan Omoda E5 pada Mac 2024, manakala sebuah lagi SUV – Tiggo 7 Pro – menyertai barisan model pada Jun tahun yang sama. Tiggo Cross merupakan penambahan terkini dalam rangkaian model dan ditawarkan dalam varian pengecas turbo serta hibrid.

    Model-model lain dalam keluarga Chery tetapi dijual melalui pengedar berasingan termasuk jenama Omoda | Jaecoo, antaranya J7 yang ditawarkan dalam varian petrol sahaja dan plug-in hybrid, manakala J8 dijadualkan untuk dilancarkan pada 18 Julai. Terdapat juga iCaur (atau iCar seperti yang dikenali di China), yang akan melancarkan model 03 terlebih dahulu sebelum V23 menyusul.

     
     
  • Prototaip kereta sport baharu Toyota ‘710D’ sedang dibina, muncul 2027 – ini GR Celica atau GR MR2?

    Prototaip kereta sport baharu Toyota ‘710D’ sedang dibina, muncul 2027 – ini GR Celica atau GR MR2?

    Portal automotif Jepun, BestCar melaporkan bahawa Toyota kini sedang membangunkan sebuah kereta sport baharu yang dikenali dengan kod dalaman 710D, dipercayai merupakan Toyota Celica generasi baharu dan akan diproduksi serta dijual sebagai Toyota GR Celica.

    BestCar menyatakan berdasarkan maklumat yang diterima, kereta sport ini akan menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder yang akan diletakkan pada bahagian tengah badan, serta digandingkan dengan sistem pacuan semua roda. Unit rangkaian kuasa berkenaan kini sedang diuji disebalik jentera prototaip yang dikenali sebagai Toyota Yaris M-Concept yang didedahkan ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2025 Januari lalu.

    Enjin G20E 2.0 liter empat silinder turbo berkenaan dilaporkan mampu untuk menghasilkan kuasa sehingga sekitar 400 PS dan tork maksima 550 Nm. Yaris M-Concept ini juga merupakan prototaip yang berfungsi dan bakal berlumba dalam siri perlumbaan Super Taikyu Endurance di Jepun sebagai salah satu cara untuk menguji dan menala unit rangkaian kuasa berkenaan.

    Laporan ini turut menyebut bahawa bahagian belakang kereta sport ini akan menggunakan rekaan ‘double deck’, di mana ia akan menampilkan dua penutup dan ruang berbeza untuk mengasingkan ruang enjin dan juga ruang but belakang. Rekaan ini adalah seiras dengan rekaan dua generasi kereta sport enjin tengah Toyota MR2 terdahulu, yang bukan sahaja lebih praktikal, malah ia memberikan rekaan kerangka badan yang lebih tegap.

    Prototaip kereta sport baharu Toyota ‘710D’ sedang dibina, muncul 2027 – ini GR Celica atau GR MR2?

    Bagi mengurangkan berat kereta sport ini, ia juga dikatakan bakal menampilkan penutup but hadapan dan belakang serta bumbung yang diperbuat dari gentian karbon, seperti pada GR Yaris dan GR Corolla.

    Satu lagi aspek yang diambil berat oleh Toyota untuk kereta sport baharu ini adalah rekaan tiang-A, di mana ia akan diletakkan lebih kebelakang memerlukan cermin hadapan direka lebih melengkung pada hujung kedua-dua sisi. Rekaan ini dibuat bagi memberikan pandangan hadapan yang lebih baik dan luas, serta mengelakkan bahagian ‘titik buta’ yang selalunya terjadi pada bahagian tiang-A yang tebal.

    Menurut laporan ini lagi, kereta sport ini akan didedahkan di Tokyo Auto Salon 2027, kemudian versi produksi akhir akan dilancarkan ke pasaran ketika berlangsungnya Tokyo Auto Salon 2028. Seperti barisan model-model GR terkini di Jepun, ia akan ditawarkan dalam varian tertinggi RZ, dan juga varian ‘kosong’ RC bagi memudahkan ia diubah menjadi kereta lumba.

    Dan, kereta sport 710D ini dikhabarkan hanya akan ditawarkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan, tanpa pilihan kotak gear automatik lapan-kelajuan Gazoo Racing Direct Automatic Transmission (GR-DAT) seperti pada GR Yaris dan GR Corolla.

    710D model penerus MR2 (kiri) atau Celica (kanan)?

    Namun BestCar masih tidak faham apa yang dimaksudkan dan boleh dibayangkan dengan kod ‘710D’ berkenaan, tidak seperti kod nama ‘086A’ yang diberikan pada projek pembangunan Toyota 86 ZN6 terdahulu yang jelas membayangkan ia adalah model pengganti Toyota Corolla AE86.

    Walau bagaimanapun bagi penulis sendiri, kod 710D berkenaan terus memberikan bayangan kereta rali Group S yang dibina secara rahsia oleh Toyota pada era 80’an dikenali dengan kod 222D. Kereta rali berkenaan dibina berasaskan Toyota MR2 generasi pertama AW11, tetapi enjin 1.6 liter NA 4A-GE asal digantikan dengan enjin 2.0 liter empat silinder turbo, serta digandingkan dengan sistem pacuan semua roda – sama seperti asas unit rangkaian kuasa bagi projek 710D ini.

    Pada sebelah luar, kereta rali 222D berkenaan kelihatan seperti MR2 yang telah berubah menjadi Frankenstein, dengan badan yang lebih lebar serta lampu pop-up hadapan diubah menjadi lampu bulat tetapi masih diletakkan dalam perumah yang aerodinamik.

    Kereta rali Group S Toyota 222D

    Projek yang dibangunkan oleh Toyota Team Europe (TTE) yang mengendalikan pasukan rali dunia Toyota ketika itu dihentikan selepas FIA mengubah rancangan untuk menggantikan undang-undang Group B kepada Group S untuk kelas tertinggi Kejohanan rali Dunia (WRC), dan beralih kepada undang-undang Group yang lebih ‘jinak’ pada 1987.

    Keputusan itu dibuat oleh FIA selepas berlakunya beberapa kemalangan yang membabitkan kematian penonton serta pelumba WRC kerana kereta Group B yang terlalu berkuasa. Kereta-kereta Group S pada asalnya dirancang sebagai pengganti Group B yang dihadkan kuasa hanya pada 300 PS, namun ia dilihat masih lagi terlalu merbahaya berbanding Group A yang lebih dekat dengan spesifikasi kereta produksi yang dijual di bilik pameran.

    Jadi persoalannya, adakah 710D ini pengganti Celica atau MR2, sama-sama kita tunggu lagi dua hingga tiga tahun untuk Toyota menyudahkan projek ini.

     
     
  • Aktiviti berbasikal di lebuhraya adalah dilarang – JSPT

    Aktiviti berbasikal di lebuhraya adalah dilarang – JSPT

    Ini bukanlah kali pertama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman mengeluarkan peringatan berkenaan dengan aktiviti menunggang basikal di lebuhraya dan jalan raya. Setiap kali ada isu panas berkenaan dengannya, peringatan sebegini akan ‘diulang tayang’ untuk tatapan dan makluman umum.

    Susulan isu panas ‘pertelingkahan’ antara kumpulan penunggang basikal dengan seorang pemandu bas perantara MRT di Kuala Selangor baru-baru ini, Pengarah JSPT, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, aktiviti berbasikal di lebuhraya adalah dilarang di negara ini kerana laluan berkenaan digunakan oleh pelbagai kenderaan bermotor seperti lori, bas, kereta dan motosikal, laporan Harian Metro.

    “Dalam Kaedah Lalu Lintas LN165/59 ada menyatakan 18 peraturan asas berkaitan penunggang basikal yang perlu dipatuhi termasuk Peraturan 65 iaitu sentiasa mematuhi undang-undang semua kaedah dan peraturan lalu-lintas.

    Aktiviti berbasikal di lebuhraya adalah dilarang – JSPT

    Acara berbasikal seperti RHB Lekas Highway Ride membuka peluang kepada penunggang basikal untuk berkayuh secara bebas di lebuhraya

    “Jangan sesekali tidak mempedulikan isyarat jalan. Isyarat tangan bagi keselamatan dan tunjuk arah serta pemandu kenderaan bermotor yang lain. Bagi Peraturan 66, mereka perlu menggunakan laluan paling selamat dan menjauhi lalu-lintas yang sibuk,” katanya.

    Tambah beliau, pihak konsesi lebuhraya atau pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu meletakkan papan tanda larangan bagi melarang penunggang basikal menggunakan laluan itu.

    “Ia termaktub dalam Kaedah Isyarat lalu Lintas LN167/59. Dalam Peraturan 17, ia ada menyatakan bahawa kenderaan yang ditarik oleh haiwan, basikal roda tiga, beca dan basikal adalah dilarang masuk (di lebuhraya). Kedua-dua tanda isyarat ini perlu dipasang oleh pihak konsesi atau PBT bagi memberi pemberitahuan yang jelas berkaitan larangan itu,” katanya.

    Aktiviti berbasikal di lebuhraya adalah dilarang – JSPT

    Nak kayuh bebas di jalan raya? Sertai KL Car Free Morning atau acara yang sama di Shah Alam dan Putrajaya

    Jika melanggar larangan terbabit, individu berkenaan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 70(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Di mana individu yang bersalah boleh dikenakan denda mencecah RM1,000 hingga RM5,000 atau penjara 12 bulan bergantung kepada kesalahan dilakukan, kata Mohd Yusri.

    Menurutnya, secara umum, terdapat dua tujuan berbasikal di Malaysia iaitu bagi tujuan rekreasi dan pengangkutan.

    “Untuk tujuan rekreasi, penunggang sepatutnya berkayuh di kawasan taman yang membenarkan aktiviti rekreasi atau semasa program kayuhan basikal dianjurkan oleh PBT atau pihak lain. Seorang penunggang basikal perlu mematuhi 18 peraturan asas LN 165/59 yang ditetapkan sebagai pengguna jalan raya.

    “Aktiviti berbasikal hanya dibenarkan pada tempoh dan hari tertentu sahaja. Umpamanya aktiviti berbasikal di ibu negara dijalankan pada setiap cuti hari minggu pertama dan ketiga setiap bulan iaitu KL Car Free Morning pada 7 pagi sehingga 9 pagi,” katanya sambil menambah jalan raya di Malaysia lebih memberi penekanan kepada pergerakan kenderaan bermotor.

     
     
  • Jaecoo J7 — promosi servis percuma 5-tahun atau subsidi faedah 0.8%; jaminan 10-tahun/1 juta km PHEV

    Jaecoo J7 — promosi servis percuma 5-tahun atau subsidi faedah 0.8%; jaminan 10-tahun/1 juta km PHEV

    Omoda & Jaecoo Malaysia meneruskan momentum jualan yang baik bagi model Jaecoo J7 dengan memberikan tawaran khusus untuk SUV berkenaan; pembeli unit barunya mempunyai pilihan sama ada untuk menikmati pakej servis percuma selama lima-tahun/100,000 km (sama seperti promosi hujung tahun lalu) atau “subsidy faedah” 0.8% yang akan menjadikan ansuran bulanan lebih rendah.

    Paker servis berkenaan termasuklah upah kerja dan alat ganti seperti minyak enjin 5W-30 serta penapisnya, washer, palam pencucuh dan minyak pelincir untuk klac berkembarnya serta minyak brek. Bagi model pacuan semua roda, Jaecoo juga akan menggantikan pelincir untuk fungsi transfer-nya, serta minyak untuk komponen pemindahan tork dan juha minyak untuk pemacu di belakang.

    Bagi J7 PHEV, Jaecoo meneruskan lagi promosi pelancarannya sejak awal tahun ini dengan menawarkan jaminan 10-tahun/1,000,000 km untuk enjin dan baterinya. Motor elektrik serta elektroniknya pula terus diberikan jaminan lapan-tahun/160,000 km, sementara transmisi khusus hibridnya (DHT) diberikan jaminan tujuh-tahun/150,000 km.

    Dijual dengan harga RM138,800, J7 petrol dikuasakan oleh enjin 1.6 liter turbocas dan suntikan terus empat-silinder yang menjana sebanyak 197 PS dan 290 Nm tork yang digandingkan dengan kotak gear DCT tujuh-kelajuan. Varian AWD pula dikenakan tambahan RM10,000 dengan harga jualan RM148,800.

    Sementara itu, versi PHEV pula dijual dengan harga RMRM158,800, yang menggabungkan enjin 1.5 liter turbo 143 PS/215 Nm dengan transmisi DHT kelajuan tunggal, serta sebuah motor elektrik 204 PS/310 Nm, yang memberikan janaan akhir sebanyak 347 PS dan 525 Nm. Kadar penggunaan minyaknya ialah 4.9 liter per 100 km, dan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP) 18.3 kWh, jarak elektrik yang disediakan adalah sejauh 88 km WLTP, dengan jarak gabungan keseluruhan sejauh 1,200 km.

     
     
  • PACE 2025: Nikmati kelebihan pembiayaan EV jika memohon melalui portal dalam talian terbaharu RHB

    PACE 2025: Nikmati kelebihan pembiayaan EV jika memohon melalui portal dalam talian terbaharu RHB

    Bagaimana untuk mendapatkan keuntungan berganda jika anda ingin memiliki sebuah EV? Jika sudah ada pilihan EV yang diinginkan, membiayai pembeliannya dengan Pembiayaan Hijau dari RHB adalah pilihan yang menguntungkan disebabkan kadar faedah yang rendah serta nikmati keahlian penjagaan kereta sekali gus.

    Biaya pembelian EV anda dengan RHB Bank dan nikmati kadar faedah yang rendah, bermula dari 2.1% setahun (setara dengan kadar tetap). Pelan pembiayaan fleksibel ini membolehkan anda membayar lebih untuk melonjakkan simpanan, dan ketika memerlukan wang tunai tambahan, anda boleh mengeluarkannya pada daripada lebihan bayaran terkumpul. Fleksibiliti yang sama ditawarkan untuk pembiayaan rumah, cuma kali ini ia untuk pembelian kenderaan.

    Jika memilih pembiayaan RHB Bank untuk EV bukan-nasional, anda akan menerima kredit pengecasan chargEV bernilai RM210 serta keahlian untuk CARs International Silver Membership1 dengan satu servis cucian kereta. Tawaran ini juga diberikan kepada kereta bukan-nasional dengan enjin biasa. Namun, ia adalah tawaran tempoh terhad, jadi yang berlengah akan tertinggal.

    PACE 2025: Nikmati kelebihan pembiayaan EV jika memohon melalui portal dalam talian terbaharu RHB

    Kunjungi juga reruai RHB Bank di PACE 2025 — yang akan berlangsung dari 19-20 Julai ini di Pusat Persidangan Setia City (SCCC) — dan cuba sendiri serahan permohonan pembiayaan secara dalam talian yang baru, dan nikmati baucar petrol percuma bernilai RM502.

    Antara jenama yang akan ikut serta dalam PACE 2025 ini termasuklah BMW dan MINI (kedua-duanya diwakili oleh Auto Bavaria), Mercedes-Benz (diwakili oleh Hap Seng Star), Audi, BYD, Denza, Xpeng, Hyundai, Kia, Mazda, GWM dan Zeekr. Akan turut dipameran ialah motosikal premium daripada BMW Motorrad, dan turut disertai oleh Kineta dan Trapo.

    Selain daripada tawaran menarik yang ditawarkan oleh setiap jenama, membeli kenderaan di PACE 2025 juga datang dengan pelbagai manfaat lain. Antaranya, 200 tempahan kenderaan baru terawal akan diberikan baucar bernilai RM3,000 untuk produk daripada rakan-rakan penyokong acara tersebut, seperti Solar Gard, Dodomat, The Carage, Kuzig Glanz, Gintell dan DK Schweizer.

    PACE 2025: Nikmati kelebihan pembiayaan EV jika memohon melalui portal dalam talian terbaharu RHB

    Begitu juga dengan 40 tempahan motosikal baru yang terawal, pelanggan akan menerima baucar bernilai RM3,000 daripada rakan-rakan penyokong yang dinyatakan. Dan, tidak hanya itu: tempahan kereta baru yang sudah disah akan membolehkan anda ikut serta dalam cabutan bertuah dengan tawaran hadiah lumayan, termasuk 10 telefon pintar bernilai RM3,500 setiap satu, dan hadiah utama yang melibatkan pakej percutian untuk dua orang bernilai RM25,000!

    Dengan baucar yang akan diberikan serta pelbagai ganjaran lain yang ditawarkan, tiada kesempatan lain yang lebih baik jika anda ingin membeli kereta selain di PACE. Terus ikuti perkembangan di sini dan ketahui tawaran-tawaran utama yang diberikan oleh jenama-jenama terlibat. Selebihnya, tandakan kalendar anda dan jumpa di PACE 2025 pada 19-20 Julai ini di SCCC!

    1Terma & syarat kempen RHB Auto Financing Ride and Shine
    2Terma & syarat Kempen Permohonan Dalam Talian Vehicle Financing-i

     
     
  • Triumph Scrambler 400 XC didedah – penampilan lebih lasak, rim spoked 19 inci depan dan 17 inci belakang

    Triumph Scrambler 400 XC didedah – penampilan lebih lasak, rim spoked 19 inci depan dan 17 inci belakang

    Barisan model siri 400 daripada Triumph kini menerima ahli baru apabila pengeluar dari United Kingdom itu memperkenalkan Scrambler 400 XC. Kemampuan offroad ringan sedia ada pada Scrambler 400 dipertingkat lagi pada model ini, dengan diberikan beberapa perubahan kelengkapan.

    Paling utama adalah di bahagian roda, di mana Scrambler 400 XC ini datang dengan rim aluminium spoked tanpa tiub jenama Excel 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dibalut masing-masing tayar Metzeler Karoo Street 100/90 dan 140/80.

    Untuk menjadikan penampilannya lebih bersesuaian dengan imej lasak yang dibawa, Scrambler 400 XC dipasang dengan penghadang lumpur hadapan yang tinggi, bersama penghadang angin atas lampu, pelindung tangan serta pelindung bawah enjin secara standard.

    Dengan semua perubahan ini, Scrambler 400 XC mencatat berat 190 kg, menjadikan ia sedikit lebih berat berbanding Scrambler 400 (179 kg). Tangki bahan api dan tinggi tempat duduk masih sama iaitu masing-masing 13 liter dan 835 mm.

    Bahagian asas lain juga tidak mempunyai beza, termasuk enjin, iaitu unit satu silinder 398 cc berkuasa 40 PS dan tork 37.5 Nm, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist.

    Suspensi pula terdiri daripada fork USD 43 mm di hadapan, dan monoshock RSU dengan pelarasan pra beban di belakang, masing-masing memberikan jarak gerak sama iaitu 150 mm (juga masih sama dengan Scrambler 400).

    Triumph Scrambler 400 XC didedah – penampilan lebih lasak, rim spoked 19 inci depan dan 17 inci belakang

    Tugas menghentikan motosikal dijalankan brek cakera tunggal 320 mm dengan angkup empat piston di hadapan dan 230 mm dengan angkup satu piston di belakang. ABS dual-channel dengan mod offroad diberikan secara standard, bersama kawalan cengkaman yang boleh ditutup.

    Bahagian meter menggunakan unit padanan analog dan digital, sementara kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk soket pengecas USB-C serta immobiliser pencegah kecurian. Tiga warna ditawarkan untuk Scrambler 400 XC ini iaitu Racing Yellow, Storm Grey dan Vanilla White.

     
     
  • Bentley EXP 15 didedah – model konsep tiga tempat duduk, tiga pintu, petunjuk EV pertama jenama itu

    Bentley EXP 15 didedah – model konsep tiga tempat duduk, tiga pintu, petunjuk EV pertama jenama itu

    Bentley mendedahkan model konsep terbarunya, Bentley EXP 15, yang merupakan sebuah fastback tiga pintu dengan posisi badan tinggi dan memberi bayangan kepada rupa model elektrik penuh pertama jenama mewah Britain itu yang dijadualkan dilancarkan pada tahun hadapan.

    Model ini dikatakan mengambil inspirasi daripada Bentley Speed Six tiga tempat duduk tahun 1930, yang dikenali dengan nama jolokan “Blue Train”. Menurut Bentley, EXP 15 membawakan lima prinsip utama reka bentuk luaran yang akan membentuk identiti model-model masa depan jenama itu. Pertamanya adalah ‘Upright Elegance‘, di mana reka bentuk hadapan setiap Bentley akan menampilkan garisan menegak yang melengkung lembut, mencerminkan gaya klasik Bentley.

    Seterusnya adalah gril ikonik, yang akan kekal sebagai elemen penting dalam identiti visual Bentley. Meskipun ia tidak lagi berfungsi sebagai bukaan udara untuk enjin pembakaran dalaman, teknologi pencahayaan moden memberi peluang untuk menjadikannya satu bentuk seni digital.

    Ini kemudiannya diikuti oleh ‘Garisan Bonet Tidak Berpenghujung’. Mengambil inspirasi daripada reka bentuk lama seperti Bentley Gurney Nutting Coupé 1930, garisan bonet pada EXP 15 dibuat berterusan dari hadapan ke belakang, termasuk bawah tingkap sisi hingga ke tiang belakang.

    Keempat adalah ‘Resting Beast’. Reka bentuk ini menekankan bahagian belakang yang berotot dan menonjol, menyerupai kaki belakang kucing besar yang membengkok, memberi kesan tenaga dan kuasa terpendam, jelas Ketua Reka Bentuk Luaran Bentley, Domen Rucigaj.

    Akhir sekali ‘Prestigious Shield‘. Pada bahagian belakang EXP 15, permukaan besar dan bersih mengingatkan rekaan klasik seperti Gurney Nutting Coupé yang menempatkan ruang simpanan berasingan untuk bagasi. Logo sayap Bentley baru turut ditampilkan, diapit oleh lampu belakang dengan corak berlian.

    Bentley EXP 15 didedah – model konsep tiga tempat duduk, tiga pintu, petunjuk EV pertama jenama itu

    Bahagian dalam EXP 15 mengekalkan konfigurasi tiga tempat duduk seperti Speed Six, namun dengan susun atur tidak simetri yang lebih moden. Tempat duduk penumpang boleh digerakkan secara elektrik ke depan atau belakang, serta boleh dipusingkan sehingga 45 darjah bagi memudahkan keluar masuk.

    Selain itu, Bentley memperkenalkan sistem “Concertina Floor Storage” – satu rekaan unik yang membolehkan penyandar kaki dilipat ke dalam lantai, seterusnya memberikan ruang tambahan untuk menyimpan bagasi atau memasukkan sangkar haiwan. Menariknya, ruang ini boleh diakses tanpa perlu membuka but.

    Bentley turut memperkenalkan falsafah reka bentuk baru yang menggabungkan elemen fizikal dan digital. Skrin digital penuh EXP 15 boleh dipadamkan untuk menampilkan permukaan kayu berlapis di bawah kaca paparan itu.

    Di sebalik skrin itu juga terdapat satu peranti menyerupai jam dengan pelbagai “jari” bercahaya yang boleh bergerak – berfungsi sebagai petunjuk arah, tahap cas bateri dan pelbagai lagi. “Kami percaya ramai yang akan bosan dengan pengalaman digital sepenuhnya. Mereka mahukan unsur mekanikal fizikal juga. Jadi gabungan kedua-duanya adalah langkah terbaik,” kata pengarah rekaan Bentley, Robin Page.

    Menurut Bentley, EXP 15 dibina menggunakan platform dan komponen yang boleh direalisasikan, sekaligus membuka kemungkinan untuk ia memasuki fasa produksi. “Apa yang kami mahu sekarang adalah melihat sejauh mana konsep ini menarik minat orang ramai,” ujar Page kepada Autocar.

     
     
  • Lencongan trafik 24 jam dilaksanakan di KM25.75–KM26.39 di Lebuhraya KL-Karak hingga 31 Ogos 2025

    Lencongan trafik 24 jam dilaksanakan di KM25.75–KM26.39 di Lebuhraya KL-Karak hingga 31 Ogos 2025

    AFA Prime Berhad (sebelum ini dikenali sebagai ANIH Berhad), pemegang konsesi bagi Lebuhraya KL-Karak (KLK), telah mengumumkan bahawa pihaknya sedang melaksanakan lencongan trafik di KM25.75 hingga KM 26.39 di lebuhraya terbabit, iaitu di laluan Gombak-Genting Sempah, hingga 31 Ogos 2025. Ia adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembinaan projek ECRL.

    Menurut AFA Prime, ‘lencongan trafik selama 24 jam’ dilaksanakan bagi laluan timur dan barat ini melibatkan penyusunan semula aliran trafik bagi seksyen yang terjejas, dan semua lorong bagi kedua-dua arah kekal dibuka sepenuhnya dan beroperasi seperti biasa, Jadi tiada keperluan untuk pengguna laluan terbabit keluar dari lebuhraya atau mencari laluan alternatif.

    “Mohon semua pengguna jalan raya patuhi arahan papan tanda dan ikut laluan yang ditetapkan. Pandu perlahan, tingkatkan fokus, dan sentiasa berhati-hati melalui kawasan kerja. Keselamatan anda adalah keutamaan kami,” kata syarikat berkenaan.

     
     
  • Chery Tiggo Cross dilancar di Malaysia – RM88,800-RM99,800, 1.5L Turbo & hibrid, saingan Ativa & WR-V

    Chery Tiggo Cross 1.5T (kiri) dan 1.5 HEV (kanan)

    Selepas beberapa sesi pratonton dibuat, hari ini secara rasmiya Chery Tiggo Cross dilancarkan ke pasaran Malaysia. Dua varian ditawarkan pada pasaran Malaysia terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD) bermula dengan varian 1.5L Turbo dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM99,800, dan juga varian 1.5 HEV dijual pada harga RM88,800.

    Chery Malaysia menawarkan perlindungan waranti selama tujuh-tahun atau 150,000 km bersama khidmat trak tunda percuma 24/7, dan juga pakej servis percuma selama lima tahun untuk Tiggo Cross ini. Manakala untuk varian hibrid HEV, pek bateri, motor elektrik dan juga unit kawalan hibrid diberikan waranti selama lapan-tahun atau sehingga 160,000 km. Khas untuk 2,000 pelanggan pertama, Chery Malaysia memberikan pakej servis percuma (termasuk kod buruh dan alat ganti) selama dua tahun.

    Tiggo Cross dihasilkan dengan panjang keseluruhan 4,318 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,670 dan jarak roda sejauh 2,610 mm. Berbanding Chery Omoda 5 yang diletakkan sebagai SUV segmen-B, Tiggo Cross ini adalah 2 mm lebih pendek, lebar yang sama dan jarak roda 20 mm lebih dekat. Jadi walaupun saiznya hampir sama, Tiggo Cross masih diletak di bawah satu aras berbanding Omoda 5 dan ia akan bersaing dalam kelas SUV segmen-A bagi berhadapan terus dengan model-model seperti Perodua Ativa dan Honda WR-V.

    Chery Tiggo Cross 1.5T (kiri) dan 1.5 HEV (kanan)

    Oleh itu Tiggo Cross mempunyai kelebihan dari segi saiz berbanding lawannya, di mana ia adalah 253 mm lebih panjang dari Perodua Ativa, dan ia hampir kepada saiz segmen-B dengan jarak roda yang sama seperti Honda HR-V serta lebih jauh dari Proton X50. Malah Tiggo Cross ini juga lebih lebar dari kedua-dua SUV segmen-B tersebut di mana HR-V direka dengan lebar 1,790 mm dan Proton X50 pula adalah 1,800 mm.

    Pasaran Malaysia menerima facelift terbaharu Tiggo Cross seperti yang telah dilancarkan di Thailand Mac lalu. Pada sebelah luar kedua-dua varian pasaran Malaysia ini menampilkan perincian yang hampir sama, iaitu diberikan lampu hadapan LED automatik, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang, rel bumbung, spoiler bumbung dan angkup brek yang diberikan kemasan merah.

    Selain dari emblem, untuk mudah membezakan kedua-dua varian ini adalah set roda di mana varian petrol penuh menerima rim aloi 18-inci sementara varian HEV pula diberikan set rim 17-inci.

    Chery Tiggo Cross 1.5T (kiri) dan 1.5 HEV (kanan)

    Unit rangkaian kuasa merupakan satu lagi kelebihan untuk Tiggo Cross kerana kedua-dua varian dibekalkan dengan kuasa antara yang paling besar dalam kelasnya. Bagi versi petrol penuh, Tiggo Cross menerima enjin 1.5 liter turbo 147 PS dan tork maksima 210 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik enam kelajuan. Gandingan ini membolehkan model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 9.9 saat serta memberikan pengunaan bahan api 6.3 liter untuk setiap 100 km.

    Manakala untuk Tiggo Cross HEV ia menerima unit rangkaian kuasa Chery Super Hybrid (CSH) terbaharu. Ia menampilkan enjin G4G15B 1.5 liter empat silinder NA beroperasi dengan kitaran Atkinson. Enjin ini memang dibuat khas untuk dipadankan dengan sistem hibrid, dengan memberikan keberkesanan haba yang tinggi mencecah 40%, dan menghasilkan kuasa 96 PS dan tork makisma 120 Nm.

    Bukan itu sahaja, enjin berkenaan digandingkan bersama kotak gear khas hibrid DHT150 yang menampilkan tukaran gear dengan mekanisma CVT serta dua buah motor elektrik yang membekalkan kuasa 204 PS dan tork maksima 310 Nm. Kuasa elektrik untuk sistem hibrid dibekalkan dari bateri LFP berkapasiti 1.8 kWj.

    Ini membolehkan Tiggo Cross HEV berkenaan mencapai pecutan 0-100 km/j lebih pantas dari varian turbo iaitu 9.6 saat serta penggunaan bahan api serendah 5.4 liter setiap 100 km. Sistem hibrid ini berfungsi memberikan rasa pemanduan hampir seperti EV sebenar dimana ia akan mula bergerak dengan menggunakan motor elektrik dan boleh mencapai sehingga 80 km/j sebelum enjin pembakaran dalaman digerakkan.

    Papan pemuka Chery Tiggo Cross 1.5T (kiri) dan 1.5 HEV (kanan)

    Sama seperti luaran, perincian pada sebelah dalam juga agak sama bagi kedua-dua varian dengan menampilkan kelengkapan seperti skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen, kamera panaromik 540 darjah, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta enam pembesar suara. Kedua-dua varian juga menerima tempat duduk pemandu larasan elektrik enam-hala tetapi varian petrol tidak menerima sokongan lumbar.

    Kelengkapan lain yang dikongsi bersama untuk kedua-dua varian Tiggo Cross ini adalah roda stering pelbagai fungsi, lampu suasana kabin, upholsteri kulit sintetik berwarna hitam, pengecas telefon pintar tanpa wayar 15W, penghawa dingin dua zon dengan liang udara kabin belakang, pengidup enjin jarak jauh, sistem start-stop 12V, pengelap cermin automatik dan lain-lain.

    Untuk keselamatan, varian HEV mempunyai kelebihan dengan diberikan tujuh-beg udara berbanding hanya enam untuk varian petrol. Perincian asas keselamatan lain adalah sama termasuk bantuan mula mendaki, sistem pemantau angin tayar dan pengingat had laju.

    Bagi sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS), kedua-dua varian diberikan fungsi brek kecemasan automatik bersama amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif, amaran dan pengelak keluar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan pemantau titik buta.

    Namun untuk varian HEV ia menerima beberapa tambahan fungsi ADAS termasuk amaran buka pintu, amaran pelanggaran belakang, brek lintasan trafik belakang, bantuan tukar lorong, cruise control bersepadu bersama kelajuan pintar kenderaan.

    Kedua-dua varian Chery Tiggo Cross pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam warna badan Carbon Black, Phantom Grey dan Khaki White. Manakala warna Blood Stone Red hanya eksklusif untuk varian 1.5L Turbo, dan warna Moonlight Silver hanya ditawarkan untuk varian 1.5L HEV.

    Chery Tiggo Cross dilancar di Malaysia – RM88,800-RM99,800, 1.5L Turbo & hibrid, saingan Ativa & WR-V

    Jadi ini dia Tiggo Cross pasaran Malaysia – ia bukan sahaja menampilkan saiz paling besar dalam kelasnya, malah turut diberikan unit rangkaian kuasa lebih bertenaga serta efisien, kelengkapan-kelengkapan yang lebih banyak dari pesaingnya, serta ditawarkan dengan harga bukan SUV segmen-A yang paling mahal.

    Tanggapan awal kami terhadap SUV ini boleh anda baca pada PAUTAN INI. Tanggapan anda pula bagaimana? Kongsikannya di ruangan komen di bawah atau di laman-laman sosial media kami.

    GALERI: Chery Tiggo Cross 1.5 HEV pasaran Malaysia

    GALERI: Chery Tiggo Cross 1.5 Turbo pasaran Malaysia

     
     
  • Selamat Hari Jadi Proton Saga! Kereta nasional pertama Malaysia sudah berusia 40-tahun hari ini

    Selamat Hari Jadi Proton Saga! Kereta nasional pertama Malaysia sudah berusia 40-tahun hari ini

    Mungkin ada daripada kita sedang menunggu kedatangan model kemaskini terbaharu Proton Saga iaitu versi perubahan besar ke-3 (MC3) untuk model generasi ketiga yang kini dilihat sedang giat ‘berkeliaran’ di uji di atas jalan raya awam. Namun tahukah anda hari ini merupakan ‘hari lahir’ ke-40 buat Proton Saga?

    Ini kerana pada 9 Julai 1985 merupakan detik bersejarah di mana unit pertama Saga generasi pertama keluar dari barisan pengeluaran di kilang Proton yang terletak di Hicom Shah Alam, sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada 1 September tahun yang sama oleh Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Sejak tarikh kelahirannya sehingga bulan Mei tahun lalu, Proton telah merekodkan lebih dua juta unit Saga terjual, dan sedan ini juga menjadi model nombor empat paling laris di Malaysia tahun lalu dengan mencatatkan jualan sebanyak 69,863 unit sepanjang 2024. Manakala untuk tahun ini, rekod Proton menunjukkan bahawa sebanyak 25,790 unit telah terjual untuk suku pertama 2025.


    Iklan Proton Saga pasaran Mesir terkini dibintangi oleh pelakon terkenal negara tersebut, Ahmed El Sakka.

    Saga bukan hanya dijual di Malaysia, di mana model ini pernah membawa nama Malaysia ke pasaran-pasaran eksport seperti Austrlia dan UK sebagai sedan mampu milik yang menawarkan pelbagai perincian yang berbaloi. Malah Saga generasi terkini masih lagi terjual pada pasaran eksport seperti Bangladesh, Mesir, Afrika Selatan dan banyak lagi.

    Walaupun ia sebuah model mampu milik, Proton mendakwa Saga masih mengekalkan kualitinya. Dengan memetik Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) yang dijalankan secara dalaman oleh Proton sendiri, markah demerit untuk Saga semakin baik dan terkini ia telah turun dari 2,580 markah pada Ogos 2024 kepada 1,050 markah pada Mei 2025. Oleh itu Proton turut mendakwa bahawa kualiti Saga kini adalah setara dengan pesaing terdekatnya, yang kita tahu adalah Perodua Bezza.

    Markah CGPA yang rendah bermakna kurang masalah timbul ketika proses produksinya di kilang, jadi boleh disimpulkan bahawa kualitinya semakin baik secara keseluruhan. Ia adalah kaedah yang direka oleh Geely untuk mengawasi kualiti produknya – jadi tidak pasti bagaimana Proton mengaitkan dapatan dari audit CGPA tersebut dengan kaedah menilai kualiti Perodua Bezza.

    Merentas tiga generasi pengeluarannya, Saga masih lagi model yang ‘berbakti’ untuk segmen entry level. Menurut Proton, 64% dari pembeli Proton Saga merupakan pemilik kereta kali pertama, 18% pelanggan membeli Saga sebagai kereta tambahan, manakala 17% lagi membeli Saga untuk menggantikan kereta sebelumnya.

    Tinjauan ini dibuat pada akhir tahun lalu dengan mengambil sampel dari 57,674 orang. Statistik dari tinjauan tersebut juga menunjukkan 59% dari pembeli adalah lelaki dan 41% selebihnya adalah wanita, dan dari jumlah sampel itu juga 48% pemilik Saga sudah berkahwin, dan 41% masih bujang.

    “Dengan sokongan rakyat Malaysia selama empat dekad, Proton Saga bukan sekadar sebuah model ikonik, tetapi lambang mobiliti dan kemajuan negara. Ketika kami menyambut ulang tahun ke-40, Saga terus memainkan peranan penting sebagai kereta pertama pilihan ramai. Dengan pelancaran model baharu yang bakal tiba, kami yakin Saga akan terus relevan dan menjadi pilihan generasi seterusnya,” kata Desmond John Pinto, Eksekutif Program Kenderaan Proton yang terlibat dalam pembangunan keseluruhan Saga generasi terkini.

    Selamat Hari Jadi Proton Saga! Kereta nasional pertama Malaysia sudah berusia 40-tahun hari ini

    Sempena ulangtahun ini juga, Proton bersama pengeluar permainan antarabangsa, Mattel sekali lagi memperkenalkan edisi terhad model skala 1/64 HotWheels Proton Saga generasi pertama yang mula dijual dalam pasaran bermula hari ini. Model edisi terhad ini masih lagi menggunakan kad blister rekaan adik Saw Jane Harn yang memenangi pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition pada 2023, namun Saga HotWheels itu sendiri menampilkan warna badan putih berbanding merah sebelum ini.

    Selain dijual di gedung-gedung beli-belah utama, kedai-kedai mainan, kedai serbaneka dan juga di kedai-kedai stesen minyak seluruh negara bermula hari ini, Proton turut mengumumkan bahawa ia turut boleh didapati di semua pusat jualan Proton di seluruh negara melalui promosi khas untuk pelanggan Proton.

    Selama 40-tahun Saga berada di bilik pameran dan lebih dari dua juta unit terjual, pastinya hampir semua rakyat Malaysia mempunyai cerita sendiri terhadap model berkenaan. Ada cerita Saga yang ingin anda kongsi? Mari kongsikannya pada ruangan komen di bawah atau mana-mana ruang komen laman-laman media sosial kami.

     
     
  • Selangor lantik syarikat konsesi kendali sistem kutipan parkir untuk MBPJ, MBSJ, MBSA, MPS mulai 1 Ogos

    Selangor lantik syarikat konsesi kendali sistem kutipan parkir untuk MBPJ, MBSJ, MBSA, MPS mulai 1 Ogos

    Bermula 1 Ogos 2025, sistem kutipan bayaran parkir kenderaan di kawasan bawah empat pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor akan dikendalikan oleh Rantaian Mesra Sdn Bhd sebagai syarikat konsesi baharu yang dilantik Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Selangor, laporan Berita Harian.

    Menurut EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim, empat PBT terbabit fasa pertama pelaksanaan itu ialah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

    Ng berkata, pembaharuan itu bertujuan meningkatkan hasil kutipan caj parkir kenderaan yang kini hanya mampu mencapai sekitar 30% daripada 1,000 petak. Di mana syarikat konsesi berkenaan akan mengambil alih tugas mengutip serta penguatkuasaan bayaran parkir dengan dipantau ketat oleh PBT dan kerajaan negeri.

    “Kita menyasarkan hasil kutipan bayaran parkir bakal meningkat lebih 60%, selain dapat menyelesaikan masalah di kawasan sibuk, seperti ‘double parking’,” katanya yang turut mengesahkan syarikat terbabit akan memperoleh 50% hasil kutipan, manakala 40% untuk PBT dan MBI Selangor pula 10%.

    Selangor lantik syarikat konsesi kendali sistem kutipan parkir untuk MBPJ, MBSJ, MBSA, MPS mulai 1 Ogos

    Bagimana pun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan itu menafikan dakwaan bahawa pelantikan syarikat itu tanpa melalui tender dan mempunyai elemen rundingan terus, sekali gus menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas.

    “Kerajaan Selangor menerusi MBI mengeluarkan Request for Proposal dan terdapat 26 syarikat yang berminat dalam sektor industri parkir ini sebelum tiga syarikat terpilih untuk disenarai pendek. Syarikat terpilih dikenakan syarat meningkatkan hasil kutipan dalam tempoh tertentu. Malah tindakan pembatalan kontrak boleh dilakukan pada bila-bila masa walaupun kontrak 10 tahun diberikan kepada syarikat konsesi berkenaan,” katanya.

    Beliau turut menegaskan bayaran parkir tidak akan meningkat susulan pembaharuan itu, beliau berkata, caj di Selangor adalah berpatutan pada kadar 40 hingga 60 sen sejam.

     
     
  • Harga minyak 10-16 Julai – diesel untuk semenanjung dinaikkan sebanyak tiga sen seliter, yang lain kekal

    Harga minyak 10-16 Julai – diesel untuk semenanjung dinaikkan sebanyak tiga sen seliter, yang lain kekal

    Bagi minggu bertarikh 10 hingga 16 Julai 2025, Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 dikekalkan pada paras RM3.18 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling, turut dikekalkan pada RM2.05 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi diesel yang dijual di Semenanjung Malaysia pula dinaikkan sebanyak tiga sen seliter iaitu menjadi RM2.88 seliter. Manakala harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Berkaitan dengan pelaksanaan pelaksanaan subsidi bersasar RON95 pula, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan ia akan diteruskan seperti yang dirancangkan. Dalam masa yang sama, beliau turut mengulangi bahawa pelaksanaan subsidi bersasar RON95 tidak akan menjejaskan sebahagian besar rakyat

    Di mana mekanisme pelaksanaan subsidi ini akan menggunakan sistem pengenalan diri MyKad dan dua kadar harga. Katanya, pembangunan mekanisme pelaksanaan langkah yang disasarkan dapat mengukuhkan kewangan negara sedang diperhalusi dengan kerajaan tidak mahu mengumumkan sesuatu pelaksanaan dasar secara terburu-buru.

     
     
  • SenangCas CPO terbaru sedia rangkaian pengecas EV — kerjasama antara Pekema dan Aquateak Energy

    SenangCas CPO terbaru sedia rangkaian pengecas EV — kerjasama antara Pekema dan Aquateak Energy

    Kini muncul sebuah lagi syarikat yang bertindak sebagai pengendali kemudahan pengecasan (CPO) di Malaysia. Dikenali sebagai Senangcas, ia merupakan sebuah usahasama antara Persatuan Peniaga dan Pengimport Kenderaan Melayu (Pekema, yang juga pemegang AP kereta import) dengan Aquateak Energy. Senangcas merancang untuk memasang sebanyak 650 pengecas EV di seluruh negara sebelum hujung tahun 2026 nanti. Lokasi pengecas mereka akan berada di pusat bandar serta di sepanjang lebuh raya utama.

    “Melalui kerjasama dengan Aquateak Energy ini, kami ingin Pekema muncul sebagai pelopor bagi pembangunan rangkaian EV yang lebih mesra pengguna, pintar serta lebih cekap. Ini merupakan langkah holistik yang kami ambil untuk membantu negara mencapai sasaran 10,000 pengecas EV awak menjelang 2030,” ujar Presiden Pekema, Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin.

    “Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Pekema dalam usaha ini. Ia tidak hanya akan membantu Malaysia mencapai bukan hanya sasaran neutral karbon tetapi juga memberi manfaat secara langsung kepada pengguna untuk mendapat capaian pengecasan yang pantas dan lebih meluas,” jelas Pengarah Aquateak Energy, Datuk Tarmizi Jusoh.

    Mohd Nazri juga menyatakan yang rangkaian ahli Pekema yang meluas di seluruh negara “merupakan kelebihan utama dari segi capaian pasaran dan lokasi strategik untuk projek ini”, yang mensasarkan penggunaan tenaga bersih dan teknologi grid pintar untuk memastikan sistem yang lebih stabil.

     
     
  • Kereta rasmi Honda CR-V milik JPJ dirakam sedang memotong di garisan berkembar, hampir berlanggar

    Kereta rasmi Honda CR-V milik JPJ dirakam sedang memotong di garisan berkembar, hampir berlanggar

    Sedutan rakaman dari sebuah dashcam muncul di Facebook, memaparkan satu kejadian yang hampir menyebabkan kemalangan antara dua kereta. Lebih aneh, ia melibatkan sebuah kenderaan yang kelihatan dengan jelas sebagai sebuah kenderaan rasmi agensi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

    Rakaman itu, yang bertarikh 9 Julai 2025 (hari ini), dengan tanda masa 10.18 pagi, menunjukkan kenderaan dashcam terbabit sedang menghampiri sebuah selekoh dengan garisan berkembar. Dari arah bertentangan, kelihatan sebuah lori besar sedang melalui jalan berkenaan, sebelum sebuah SUV Honda CR-V JPJ kemudiannya dilihat cuba memotong lori terbabit dan memakan jalan dari arah bertentangan — dengan lampu strobe dinyalakan.

    Mujur pemandu dan penumpang dalam kenderaan dashcam terbabit mempunyai ruang bahu jalan di sebelah kiri yang luas untuk mereka mengelak kemungkinan perlanggaran dengan kenderaan JPJ tersebut. Garisan berkembar yang ada sangat jelas boleh dilihat, dan berlangsung sepanjang 12 saat seperti dipaparkan dalam video berkenaan.

    Persoalannya, apakah protokol yang sebetulnya bagi kenderaan yang menjalankan tugas rasmi ketika berada dalam keadaan seperti ini? Bukankan mereka terlebih dahulu perlu memastikan keadaan selamat untuk pengguna lain sebelum memotong?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Jul 10, 2025