
TQ Manufacturing (TQ) anak syarikat milik penuh Tan Chong Motor Holdings Berhad hari ini mengumumkan bahawa EV TQ Wuling Bingo yang bakal dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi akan dipamerkan kepada orang awam menerusi siri jelajah #HelloTQWBingo Tour yang akan bermula pada Julai ini.
Siri jelajah tersebut akan diadakan pada tarikh dan lokasi seperti di bawah:

Seperti yang diumumkan tempoh hari, TQ Wuling Bingo akan terus ditawarkan dalam versi pemasangan tempatan dan membolehkan ia dilancarkan dan dijual pada harga kompetitif iaitu di bawah RM100,000 pada suku ke-empat tahun ini. Ia akan dipasang menerusi kemudahan pengeluaran Tan Chong di Segambut dan dirancang untuk turut dieksport keluar.
TQ Wuling Bingo ini tampil dengan rupa retro yang diinspirasikan dari MINI klasik. Ia dihasilkan dengan dimensi panjang 3,950 mm, lebar 1,708 mm, tinggi 1,580 mm dan jarak roda sejauh 2,560 mm. Jadi apabila dilancarkan kelak ia akan bersaing dengan Proton eMas 5 dan juga Perodua QV-E yang juga dijangka akan dijual di bawah RM100k dan dilancarkan lewat tahun ini.
Spesifikasi bagi model pasaran Malaysia masih lagi belum diumumkan. Di China Bingo EV dalam versi varian asas paling murah dibekalkan dengan bateri litium logam fosfat (LFP) berkapasiti 17.3 kWh, memberi jarak gerak sehingga 203 km mengikut standard CLTC. Kuasa dihantar kepada motor elektrik pada gandar hadapan dengan kuasa sehingga 41 PS (40 hp atau 30 kW) dan tork 110 Nm, memberikan kelajuan maksimum 100 km/j.

Ia juga hadir dengan varian yang diberikan bateri LFP lebih besar berkapasiti 31.9 kWj, mampu memberi jarak gerak sejauh 333 km, serta diberikan motor elektrik lebih berkuasa pada kadar 68 PS/150 Nm, tetapi masih menampilkan kelajuan maksima yang sama.
Sementara varian paling tinggi menerima bateri LFP berkapasiti 37.9 kWj bagi memberikan jarak gerak 410 km, dengan padanan motor elektrik 68 PS/150 Nm yang sama, serta kelajuan maksima juga masih sama.
Untuk pengecasan, kesemua versi boleh menerima pengecas AC sehingga 3.3 kW, dengan bateri yang lebih kecil memerlukan masa 5.5 jam untuk penuh, manakala bateri yang besar mengambil 9.5 jam. Walaubagaimanapun, bateri yang lebih besar itu boleh dicas dengan sumber DC, dan boleh naik dari kadar 20% ke 80% dalam masa 35 minit sahaja.
Antara kelengkapan yang diberikan pada Bingo EV ini di China termasuk rim 15 inci, lampu utama dan lampu belakang LED, tempat duduk balutan kulit sintetik, dua skrin 10.25 inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa, dua beg udara, ABS, EBD, brek parkir elektronik, ESC, kamera undur, sistem pemerhati tekanan angin tayar, sistem tanpa kunci, cruise control dan pendingin hawa automatik.
Menurut TQ Manufacturing, Bingo EV ini dilengkapi dengan bateri “Magic EV” yang menawarkan tahap keselamatan tertinggi tanpa sebarang insiden kebakaran atau letupan dan mempunyai sijil IP67 – disahkan memberikan perlindungan tinggi terhadap habuk dan air.
“Kami menerima sambutan yang sangat memberangsangkan terhadap TQ Wuling Bingo EV sewaktu acara Malaysia Autoshow. Kini kami mahu membawa keterujaan itu terus kepada rakyat Malaysia di seluruh negara. Itulah semangat di sebalik Jelajah #HelloTQWBingo — memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri kereta ini dan memahami mengapa model ini penting dalam menjadikan EV lebih mudah diakses oleh ramai rakyat Malaysia,” kata Ketua Bahagian Perniagaan TQ Manufacturing Sdn. Bhd., Wan Wei Sun.
“Bingo EV menggabungkan kelebihan dua dunia — keupayaan pengedaran dan pemasangan tempatan TCMH yang telah terbukti selama lebih 70 tahun serta inovasi teknologi EV mampu milik yang dibawakan oleh SGM Wuling. Justeru, kami ingin menjemput anda semua untuk datang dan lihat sendiri apa yang menjadikan model ini satu pilihan yang menarik, mampu milik dan relevan untuk pemandu di bandar,” tambahnya.
Selain dari boleh melihat sendiri TQ Wuling Bingo ini, pengunjung yang datang ke siri jelajah tersebut turut boleh menyertai pelbagai aktiviti menarik dan interaktif turut disediakan, termasuklah hadiah eksklusif dan persembahan secara langsung di lokasi-lokasi terpilih.